Bab 3
Jam di tangan dikerling. Waktu sudah menginjak ke pukul tujuh sepuluh minit malam. Hanya beberapa minit sahaja lagi azan maghrib akan berkumandang. Hendak terus balik bimbang tidak sempat mengejar maghrib. Solat dekat surau hospital? Ermmm... Tentu ramai orang. Bersesak dan tergesa-gesa pula nanti. Pergi masjid ajelah. Bukannya jauh. Putusnya dan tidak menunggu, langkah terus diayun.
Sebaik berdiri di hadapan pintu lif, butang turun ditekan. Elok sahaja pintu lif terbuka, menderu-deru pelawat hospital menyerbu masuk. Masing-masing hendak balik agaknya kerana waktu melawat sudah sepuluh minit tamat. Walau tidak selesa dengan keadaan itu, dia terpaksa menyelit juga. Takut terlewat dan terlepas maghrib pula nanti.
Sebaik pintu lif sampai di aras yang paling bawah sekali, dia terus melangkah keluar. Kad nama yang masih melingkar di leher ditanggalkan dan disumbatkan ke dalam beg. Kunci kereta dicapai dan langkah diayun semakin laju. Maklumlah, laluan untuk ke keretanya agak suram dan sunyi sedikit jadi terpaksalah dia mempercepatkan langkah.
"Doktor baru nak balik ke?"
Ditegur seseorang, spontan itu tubuh Aireen berpusing. Terpandangkan Kak Zila dan beberapa jururawat lain tidak jauh dari situ, nafasnya dihela. Ya Allah, terkejut dia. Sangkanya hanya dia seorang sahaja yang melalui laluan tersebut rupa-rupanya masih ada beberapa orang lagi di situ.
"Ya kak, baru nak balik ni," balasnya ramah.
"Oh! Hati-hati drive, doktor."
Aireen senyum dan mengangguk.
"Terima kasih, kak," ucapnya dan terus beredar. Sebaik menghampiri kereta Honda Civic putih miliknya itu, penggera ditekan dan dia terus masuk. Enjin dihidupkan dan kereta terus dipandu keluar dari kawasan Hospital Tengku Ampuan Afzan tersebut menuju ke masjid tidak sampai satu kilometer jaraknya dari situ.
Tiba sahaja di pekarangan masjid, keretanya diperlahankan dan mata melilau mencari ruang parkir. Terpandangkan satu tempat kosong di hadapan, keretanya terus dipandu ke situ dan diparkirkan. Enjin dimatikan dan dia terus keluar. Beg telekung yang diletakkan di tempat duduk belakang dicapai dan dia terus melangkah masuk ke dalam masjid.
Selesai mengerjakan solat dan mengemaskan kain telekungnya, Aireen terus keluar. Perlahan-lahan kaki diayun menuruni mata tangga. Sebaik kaki memijak tangga yang bawah sekali, selipar yang dipakainya disarungkan ke kaki dan dia mula ayun langkah. Baru beberapa langkah dia berjalan, dia terpandangkan seseorang. Langkahnya terhenti dan lelaki itu diperhati dengan penuh minat.
"Bukankah itu lelaki yang sama?" bisiknya perlahan dan lelaki itu diamati lagi. Ya, betul dia. Bukan sekali tetapi ini adalah kali ketiga dia melihat lelaki itu di tempat yang sama. Ya Allah, adakah Engkau sedang menunjukkan sesuatu? Hati bertanya sendiri.
Lelaki itu terus beredar dari situ sebaik selesai menyarungkan kasut ke kakinya. Dan dia? Masih tidak berkelip memandang sehingga lelaki itu hilang dari pandangan. Allah!
"Lewat balik hari ni?" Ditegur tiba-tiba, langkah Adam terhenti dan tubuhnya dipusingkan ke kiri.
"Mak," panggilnya dengan senyuman apabila wajah Hajah Rosnah menyapa pandangan matanya.
"Lewat balik hari ni?" Hajah Rosnah mengulang semula pertanyaannya tadi.
"Adam pergi bandar tadi, mak. Beli barang sikit."
"Oh!" Hajah Rosnah mengangguk.
"Ermmm... Dah solat?" tanyanya pula.
"Dah. Adam solat dekat Masjid Besar tadi."
"Dah makan belum?"
Mendengar pertanyaan bertalu-talu ibunya, Adam tergelak. Begitulah selalunya. Asal dia balik lambat sahaja, bermacam-macam soalan menyapa telinganya. Emak ingat dia masih dua puluh tahun agaknya sebab itulah masih risaukan dia.
"Belum," jawabnya sepatah.
"Kalau nak makan, biar mak siapkan." Belum sempat Adam membalas, Hajah Rosnah sudah buka langkah menuju ke dapur. Sebenarnya dia ada hajat yang hendak disampaikan. Jadi terpaksalah bermukadimah yang manis-manis dahulu. Diterjah terus nanti tentu anak terunanya itu akan angkat kaki dan terus memerap di dalam biliknya sahaja. Bukan dia tidak tahu anaknya Si Adam itu bagaimana perangainya.
"Mak masak apa malam ni?" Barang di tangan terus diletakkan ke atas sofa. Dan kaki diayun mengekor langkah emaknya.
"Mak buat mi bandung aje malam ni."
"Uishhh! Sedap tu. Favourite!" Langkah Adam semakin laju.
"Sebab favourite Adamlah mak buat," balas Hajah Rosnah penuh makna. Manalah tahu dapat makan makanan kegemaran boleh lembut sikit hati anak terunanya itu, bisiknya bersama senyuman. Walaupun hajat itu daripada ibu mentuanya tetapi dia pun mengharap juga.
Adam sengih sahaja dan terus duduk. Sebaik Hajah Rosnah menghidangkan mi bandung kegemarannya itu, dia terus menikmatinya dengan berselera.
Hajah Rosnah hanya menggeleng sahaja. Adam, memang begitulah dia. Walau ke mana dia pergi tetap cari makanan di rumah juga. Sebab itulah kalau boleh dia harap sangat bakal isteri Adam jenis yang rajin dan pandai di dapur.
"Makan dulu, mak nak keluar sekejap."
Dengan mi bandung yang penuh di dalam mulut, Adam hanya mengangguk sahaja. Tidak lama, Hajah Rosnah keluar, dia masuk semula dengan membawa sesuatu di tangan. Adam memandang sekilas sebelum menyambung makannya. Hajah Rosnah terus duduk dan menunggu di situ sehingga Adam selesai menikmati makan malamnya.
"Dah sudah?" soalnya sebaik Adam menolak pinggannya ke hadapan sedikit.
Adam mengangguk dan air sirap limau di hadapannya dicapai kemudian dihirup.
Baru sahaja Adam hendak bangun untuk mencuci pinggan yang digunakan tadi, Hajah Rosnah terus menghalang.
"Biar mak basuh. Adam duduk dulu. Mak ada benda nak bincang ni," ucapnya.
Dengan kerutan di dahi, Adam duduk semula. Melihat reaksi emaknya, dia tahu mesti ada sesuatu yang penting untuk dibincangkan. Sambil memerhati Hajah Rosnah mencuci pinggan, otak ligat meneka apakah perkara yang hendak dibincangkan? Hurm...
Sebaik selesai, Hajah Rosnah terus duduk sambil memegang sesuatu.
"Nak bincang tentang apa, mak?" Tidak bertangguh, Adam terus bertanya. Cuak pula dia dibuatnya.
"Ini, tok wan minta mak tunjukkan pada Adam." Gambar di tangannya diletakkan di atas meja dan ditolakkan betul-betul di hadapan Adam.
"Namanya Liyana, umur 22 tahun. Baru aje habis belajar di UiTM. Dia ni bakal jururawat," sambungnya.
Adam langsung tidak memberikan sebarang reaksi. Masih dengan riak seperti tadi, gambar di hadapannya dicapai dan direnung.
"Macam mana?" Adam yang sedang terkebil-kebil merenung gambar yang baru dihulurkan dipandang bersama kerutan. Dia pula yang cuak menanti jawapan anak terunanya itu. Melihat reaksi Adam lagilah dia cuak.
"Macam mana apa, mak?" Adam buang sengih. Gambar di tangannya diletakkan semula ke atas meja dengan wajah bersahaja.
"Ya Allah, budak bertuah ni. Kita tanya dia, ditanyanya kita balik?" Hajah Rosnah membebel dan menggeleng.
Geli hati, Adam lepaskan tawa dan tubuh disandarkan ke dinding kerusi.
"Macam mana? Suka tak dengan pilihan tok wan tu?"
Hajah Rosnah bersuara teruja.
Senyap.
"Kalau suka, mak boleh suruh tok wan risikkan dulu. Lepas tu baru kita teruskan dengan urusan meminang," sambung Hajah Rosnah beria-ia. Tak pasal-pasal dia pula jadi ejen untuk berkempen.
"Muda sangatlah mak pilihan tok wan tu." Adam mula berdalih.
"Ha, mudalah bagus. Masih kuat lagi kalau nak bersalin ramai-ramai."
Adam tergelak. Itu pula yang emaknya fikirkan.
"Tapi macam tak sesuai aje dengan Adam."
Dia masih terus berdalih. Haih! Muak dah dia diajukan dengan kisah yang sama. Calon? Sudah ramai rasanya tapi entah kenapa tidak ada seorang pun yang berkenan dalam hatinya. Calon yang dipilihkan bukannya tidak lawa dan bagus-bagus tapi entahlah, hati seorang Adam masih belum bersedia untuk dimiliki lagi.
"Nak sesuai yang macam mana lagi, Dam? Jenuh dah mak dan ayah pilihkan calon tapi semuanya kamu tolak. Nak kata tak cantik, semuanya ada rupa. Nak kata tak pandai, lulusan universiti belaka."
Hajah Rosnah sudah mula membebel. Risau juga dia dibuatnya. Janganlah anaknya itu jenis yang minat rakan sama jantina. Kalau tidak, masakan dengan perempuan semuanya tak berkenan? Ya Allah, jauhkanlah. Nauzubillah!
"Mak tengok budak ni dah elok dah. Lawa dan manis aje senyuman dia. Anak dara kampung lagi. Mesti pandai memasak dan buat kerja rumah," pancing Hajah Rosnah pula cuba menarik minat anaknya.
Adam berdeham. Walau seribu kali cantik pun kalau dia tak berkenan tak guna juga, hati berbisik sendiri.
"Mak, biarlah Adam cari sendiri. Lagipun buat masa ni Adam belum terfikir lagi soal tu," tolaknya lembut.
"Sampai bila tak nak fikir, Dam? Atau kamu ni suka kaum sejenis?" bedil Hajah Rosnah akhirnya.
"Astaghfirullahalazim, mak. Ada pula fikir macam tu."
Adam geleng kepala bersama tawa kecil di bibir. Boleh pula itu yang emaknya fikirkan. Nauzubillah!
"Yalah, macam mana mak tak fikir kalau sikap kamu macam tu? Sudahlah macam-macam kisah yang mak dengar sekarang. Geng kunyitlah, geng timunlah... Haih! Takut bila dengar."
Tawa Adam bersambung lagi.
"Insya-Allah mak, anak mak ni masih bernafsu pada perempuan lagi cuma sampai sekarang Adam belum jumpa calon yang betul-betul sesuai. Mak tak payahlah risau, nanti-nanti adalah tu," pujuknya lembut.
"Nanti kamu tu dari lima tahun lepas lagi, Dam. Mak tunggu-tunggu tak ada juga. Atau kamu ni sedang tunggu seseorang?"
"Haah, Adam tengah tunggu perempuan pinang Adam, mak," selorohnya.
Geram mendengar jawapan Adam, laju sahaja jari Hajah Rosnah mencari sasarannya. Haih! Dia serius, boleh pula Adam main-main?
"Aduh! Mak. Dah besar panjang macam ni pun kena cubit lagi?" Tangannya yang terasa perit digosok. Dari dulu sampai sekarang cubitan mak masih tetap tak berubah. Pedih dan berbisa.
"Besar panjang apanya? Dah tua bangka dah!" kutuk Hajah Rosnah selamba.
Adam gelak besar. Kena sebijik dia.
"Mak tanya lagi sekali ni, kamu setuju ke tidak dengan calon tok wan kamu ni?"
Gambar Liyana yang diberikan ibu mentuanya itu dipegang dan ditunjukkan semula. Kalau Adam menolak, entah bagaimanalah dia hendak menjawab dengan ibu mentuanya itu.
"Maaf mak, Adam tak minat," balasnya bersahaja. Walau lembut tetapi tegas bunyinya.
Keluhan kecil dilepaskan dan gambar di tangannya diletakkan semula.
"Jenuhlah mak hendak menjawab dengan tok wan kamu, Dam. Kamu bukannya tak tahu mulut tok wan kamu tu macam mana."
Adam buang senyum. Bahu ibunya dirangkul.
"Kalau mak tak nak cakap dengan tok wan, biar Adam aje yang beritahu. Lagipun soal jodoh ni bukannya boleh paksa. Adam tahu niat baik tok wan tapi calon yang tok wan kenalkan tu memang langsung tak sesuai dengan Adam."
"Tak nak cuba kenal-kenal dulu?"
Adam menggeleng.
"Okey macam ni, apa kata hujung minggu ni kita balik rumah tok wan dan kamu jumpa budak Liyana ni dulu. Mana tahu bila jumpa berdepan lain pula perasaan hati kamu tu?" Hajah Rosnah tetap cuba memujuk.
"Tak payahlah, mak. Buang masa aje," tolak Adam lagi.
"Hurmmm..."
Hajah Rosnah tarik muka. Geram kerana bulat-bulat cadangannya ditolak.
Serba salah melihat riak ibunya itu, akhirnya Adam mengalah.
"Okeylah, kalau mak nak sangat Adam jumpa budak tu dulu, Adam ikutlah. Tapi kalau lepas jumpa pun Adam tak berkenan, mak jangan paksa Adam."
Spontan itu air muka Hajah Rosnah berubah.
"Tak, mak tak akan paksa. Yang penting, Adam jumpa dia dulu. Sekurang-kurangnya tak adalah perit telinga mak ni nak dengar tok wan kamu membebel nanti."
Adam mengangguk sahaja walaupun separuh rela. Dia pun kasihan juga membiarkan ibunya menjawab dengan tok wan. Maklumlah tok wannya itu kadang-kadang susah juga untuk dibawa berbincang.
"Malam ni mak telefon tok wan dan beritahu dia tentang hal ni."
Sekali lagi Adam mengangguk bersama helaan nafas panjang. Cubalah kenal dulu, Adam. Mana tahu tiba-tiba berkenan, bisiknya memujuk diri sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro