Bab 2
"Berapa dah umur Si Adam tu, Ros?" Adam yang sedang leka bermain dengan anak-anak saudaranya diperhati. Hurm... Rupa ada, kerja bagus tapi kenapalah tak kahwin lagi? Hajah Maimon berbisik sendiri. Mana mungkin tidak ada seorang perempuan pun yang berminat dengan cucunya itu? Sudah cukup lengkap pakejnya sebagai lelaki.
Hajah Rosnah tersenyum. Bila soalan itu ditanyakan oleh ibu mentuanya, memang dia faham benar apa tujuannya.
"Hurm... Tahun ni dah masuk 35, mak," jawabnya antara mahu dengan tidak.
"Hurm... Dah 35 tahun tapi tak kahwin lagi. Orang kata dah bujang terlajak dah tu. Dah tu, tak kahwin lagi kenapa? Tunggu bidadari kayangan ke?" sinis Hajah Maimon menyindir.
"Bidadari kayangan apanya mak kalau orang kebanyakan pun tak melekat-lekat."
Hajah Rosnah tersenyum lagi.
"Nak tunggu bila lagi, Ros? Tengok Si Azrina tu dah nak masuk tiga anaknya. Adiknya Si Azhar, lepas raya dah nak bertunang. Jangan pula nanti adik yang bongsu, Si Azwin tu pun dah kahwin dia masih membujang."
Hajah Rosnah hela nafas dan terus duduk.
"Entahlah, mak. Ros pun tak tahu nak cakap macam mana lagi dah. Kami dah carikan calon tapi semuanya dia tak berkenan. Habis tu Ros nak buat apa lagi? Takkan nak dipaksa pula, mak," keluhnya.
Senyum di bibir Hajah Maimon terus melebar.
"Kalau calon kamu dia tak berkenan, mak ada calon. Ermmm... Lawa budaknya. Baru habis belajar. Rasanya sesuai sangat dengan Adam. Sama cantik sama pandai," ucapnya beria-ia.
Berkerut dahi Hajah Rosnah mendengar cadangan ibu mentuanya itu. Patutlah beria-ia datang ke rumahnya, ada hajat rupa-rupanya. Hurmmm!
"Budak mana tu, mak?" soalnya berbasa-basi.
"Alaaa... Budak kampung juga. Anak bongsu Mail Lundang."
"Mail Lundang?"
Hajah Rosnah kerutkan dahi. Mail Lundang mana pula ni? soalnya dalam hati.
"Ya Allah... Mail Lundang tu pun kamu tak kenal? Itulah, rajin lagi balik kampung sampai jiran kampung pun dah tak kenal. Mail Lundang yang ada kebun nanas dekat kampung, ingat?" bebelnya dan menantunya itu dijeling.
Hajah Rosnah senyum sahaja. Tahu silapnya tetapi untuk apa mereka balik ke kampung kalau ibu mentuanya itu jarang berada di sana kerana sentiasa ke rumah anak-anak. Bukan hanya sesekali tetapi hampir setiap bulan begitu.
"Anak dia yang mana?" soalnya walaupun hanya samar-samar dalam ingatannya tentang lelaki disebutkan ibu mentuanya itu.
"Si Liyana. Kenal?"
Bersama kerutan di dahi, Hajah Rosnah menggeleng.
"Liyana yang belajar jururawat dekat UiTM tu. Tak kenal?" Hajah Maimon semakin beria-ia.
Sekali lagi Hajah Rosnah menggeleng. Tanya dia memanglah dia tak kenal. Langsung tak terbayang muka gadis itu dalam ingatannya.
Hajah Maimon mendengus perlahan. Kepala digeleng. Cakap banyak pun tak guna kalau menantunya itu tidak tahu.
"Macam inilah. Nanti mak balik Raub, mak minta gambar Si Liyana dengan Mail. Bila-bila mak datang sini, mak bawa dan tunjuk pada Adam. Mana tahu, yang lain-lain dia tak berkenan tapi yang tok wan dia pilih, dia akan suka."
Serba salah hendak menolak, Hajah Rosnah mengangguk sahaja. Ibu mentuanya itu bukannya dia tidak tahu bagaimana sikapnya. Ditolak permintaannya, mahu panjang muncungnya nanti.
"Nanti biar mak bincangkan juga perkara ni dengan Bada. Takut nanti dia kata mak membelakangkan dia pula."
Sekali lagi Hajah Rosnah mengangguk. Melihat dari cara ibu mentuanya itu dia tahu wanita yang sudah hampir menginjak tujuh puluh lima tahun itu benar-benar serius.
Hurmmm... Nasiblah, Adam. Emak harap pilihan tok wan ni pilihan yang terbaik untuk Adam, hati berbisik sendiri.
"Berborak dengan siapa bukan main happy lagi umi tengok tu," tegur Puan Azra sebaik Aireen menghampiri. Anak gadisnya itu dipandang dengan senyuman penuh makna. Kalau sudah tersenyum-senyum dan bergelak ketawa begitu, tentulah berbual dengan buah hati. Jadi, adalah harapan untuk cepat-cepat dapat menantu.
"Hafis, umi."
Puan Azra hela nafas. Baru sahaja berasa teruja, terus hampa.
"Kenapa pula umi ni? Macam tak suka aje Una berbual dengan Hafis?" Aireen kerutkan dahi. Wajah uminya yang sudah berubah riak dipandang hairan. Tadi elok tersenyum-senyum tiba-tiba sahaja berubah keruh.
"Bukan tak suka tapi setiap kali umi tanya mesti jawapannya sama aje. Borak dengan Hafis. Una tak ada kawan lain lagi ke selain Hafis dan Faz?"
Aireen tergelak.
"Kalau tiba-tiba umi dah tegur macam tu mesti nak sebut pasal menantu, kan?"
"Hurmmm... Tahu pun. Dah tu bilanya nak bagi umi menantu?" soalnya tidak berselindung. Sebagai seorang ibu, risau dia melihat anak gadis tunggalnya itu.
"Ala umi, zaman sekarang ni ramai aje perempuan yang tak kahwin. Okey aje pun life dia orang. Lagipun nak cari lelaki yang berkualiti sekarang ni susah, umi. Una tak nak dapat suami nanti makin menyusahkan hidup Una. Dibuatnya lelaki tu jenis baran, tak ke terseksa Una kena pukul? Kalau jenis kaki perempuan, hari-hari menangis sebab makan hati," ujarnya panjang lebar. Lebih kepada melepaskan diri sebenarnya. Haih! Siapalah yang tak nak kahwin. Lebih-lebih ketika umur sudah menjengah ke angka tiga siri. Takut juga dia kalau sampai tua tak laku-laku.
"Ada pula cakap macam tu. Kata-kata kita tu satu doa. Una pun tahu, kan? Cubalah minta doa pada Allah supaya ditemukan dengan lelaki yang beriman, penyayang, baik dan bertanggungjawab. Lagipun anak umi ni kan baik orangnya, tentulah jodohnya juga dengan orang baik-baik." Lembut Puan Azra menegur.
"Bukan macam tu maksud Una, umi tapi banyak sangat kisah rumah tangga yang menakutkan sekarang. Baca dekat Page Kisah Rumah Tangga itu pun dah seram Una nak kahwin. Kalau bukan kisah suami curang, mesti tentang keluarga mentua yang kejam gila. Tidak pun mesti kisah suami yang kaki pukul atau malas nak kerja. Eiii... Takutlah, umi." Kepala digeleng.
Dia bukannya mengikuti sangat laman sesawang tersebut tetapi sering mendengar cerita-cerita daripada jururawat di hospital. Kalau tidak pun, dia mendengar sendiri pengakuan jujur daripada pesakit-pesakitnya tentang kehidupan rumah tangga mereka.
"Kisah hidup setiap manusia itu berbeza, Una. Bukan semua diuji dengan kisah yang sama. Jadi, untuk apa kita perlu takut? Allah uji sebab Dia sayang dan Dia tahu kita mampu. Kadang-kadang ujian itu diberi untuk menghapuskan dosa yang pernah dilakukan sebelumnya. Dia mahu kita semakin mengingati Dia dan beriman kepada-Nya. Lagipun, takkan anak umi tak mahu ada zuriat sendiri? Tak mahu ada keluarga?" Aireen dipandang dan keningnya dijongket.
Senyuman nipis diukir. Sungguh, kalah dia dengan bicara umi. Orang berpengalaman tentulah banyak ilmu dan petah tutur katanya. Tentulah dia ingin mempunyai zuriat sendiri umi cuma sehingga kini Allah belum temukan lagi dia dengan pemilik hatinya.
"Hurmmm... Diam tu maknanya dah tak ada idealah kan nak lawan kata-kata umi?" giat Puan Azra dengan senyum yang semakin lebar.
Tidak membalas usikan uminya, Aireen hanya sengih sahaja dan kepalanya yang tidak gatal digaru.
"Umi nak tanya Una sesuatu, boleh?"
Melihat anak gadisnya yang sudah diam tidak berkutik di hadapannya, Puan Azra cuba memancing cerita.
Aireen mengangguk.
"Ermmm... Una dengan Hafis?"
Mendengar nama Hafis disebut, Aireen tegakkan tubuh. Kenapa tiba-tiba tentang Hafis yang umi tanya?
"Kenapa dengan Hafis?" soalnya teragak-agak.
Melihat kerutan di wajah anak gadisnya itu, serba salah pula Puan Azra hendak bertanya.
"Umiii..." panggil Aireen sedikit cuak.
"Una dengan Hafis ada apa-apa ke?"
Tawa Aireen terus terhambur. Geli hati dia mendengar pertanyaan daripada uminya. Dia dan Hafis? Ermmm... Memang tidaklah!
"Umi serius, Una."
Puan Azra lepaskan nafas. Dia beria-ia boleh pula anak gadisnya ketawa?
"Sorry umi tapi honestly, Una dengan Hafis memang tak ada apa-apa. Kami memang baik dan rapat tapi hanya sebagai kawan. Tak lebih daripada itu," akuinya jujur.
"Umi tengok mesra semacam aje?"
"Sungguh, umi. Kami memang berkawan sahaja. Janganlah umi sampai terfikir nak suruh dia jadi suami Una. Haih, tak rela Una dengan lelaki macam tu. Lagipun, dia dah ada girlfriend dah, umi. Entah-entah dah plan nak kahwin pun agaknya," jawabnya cuba menyelamatkan diri.
Puan Azra terus terdiam. Kecewa lagi dia.
"Janganlah macam ni. Insya-Allah, sampai masa nanti Una akan kahwin juga. Sama ada cepat atau lambat aje. Doakan untuk Una, ya? Mana tahu dalam umi risau-risau, tahun ni juga Allah temukan Una dengan jodoh Una. Mana tahu juga, tahun ni juga Una menamatkan zaman solo?"
Kening dijongket dengan senyum tersungging di bibir.
"Setiap masa umi doakan. Umi harap anak umi akan bertemu dengan lelaki yang paling baik antara yang terbaik."
Aireen tersenyum.
"Amin... Amin... Amiiin," ucapnya dan wajahnya diraup. Kata orang, doa seorang ibu itu kan mustajab. Semoga apa yang didoakan uminya akan didengari oleh Allah dan dimakbulkan-Nya. Amin!
"Yang penting, dia mestilah lelaki yang rajin solat di masjid," tambahnya pula.
Puan Azra jongket kening.
Aireen mengangguk mengeyakan kata-kata sendiri.
"Dan kalau Una jumpa lelaki seperti itu, Una sendiri yang akan melamarnya."
Kali ini Puan Azra terus terkedu dan Aireen dipandang tidak berkelip.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro