Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

"Jadi ke pergi UMP dengan Fatihah pagi ni?" Aireen yang sedang leka menikmati minum paginya dipandang. Cawan Milo panas yang masih dipegang diletakkan semula ke atas meja.

"Jadi, umi. Saja nak tengok-tengok dulu sebelum tarikh ceramah sebenar."

"Erm... Una tahu tak Adam pensyarah dekat sana?"

Aireen dikerling dengan ekor matanya. Sengaja ingin melihat reaksi anak gadisnya itu.

Aireen terdiam. Puan Azra dipandang tidak percaya.

Puan Azra tersenyum.

"Tengok, bakal suami kerja apa pun tak tahu," giatnya.

"Umi tak tipu Una, kan?"

"Ya Allah, buat apa umi nak tipu Una? Mak ngah cakap dia pensyarah Kejuruteraan Mekanikal dekat sana."

"Serius?"

Puan Azra anggukkan kepala.

Aireen buang senyum. Satu lagi tentang Adam yang baru dia tahu. Oh! Pensyarah rupa-rupanya, bisiknya teruja.

"Dah, cepat makan. Umi pun nak ke hospital sekejap lagi. Umi ada OT pagi ni."

Aireen mengangguk dan terus menyambung makannya.

"Oh ya, Una tak nak ke cuba nasib dekat KMC? Umi boleh cuba tanyakan."

Kepala digeleng.

"Biarlah Una kerja di hospital kerajaan dulu, umi. Papa pun pernah cakap, kalau niat kita nak membantu, jangan kesah tentang imbuhan yang bakal kita terima. Ikhlas itu yang lebih penting dari wang ringgit," tolaknya. Bukan sekali tetapi sudah beberapa kali uminya bertanya tentang hal tersebut. Memang gajinya lumayan tapi dia lebih senang bekerja di tempat yang lebih memerlukan khidmatnya.

Puan Azra mengangguk dan bingkas bangun.

"Kirim salam umi dengan mak ngah nanti."

Aireen mengangguk sahaja dan ikut bangun. Meja makan dikemas sebelum dia turut beredar. Keluar dari rumah, dia terus memandu keretanya menuju ke rumah Mak Cik Liza dan mengambil Fatihah untuk ke Universiti Malaysia Pahang kerana ada urusan di sana. Entah kenapa hati tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke universiti tersebut selepas apa yang diberitahu umi. Dan sejak dalam perjalanan lagi hati sering berdoa semoga ada jodohnya bertemu dengan Adam nanti. Boleh juga dia hilangkan rasa rindu. Arghhh! Sejak bila Aireen pandai merindu?

"Mari Doktor Aireen, saya kenalkan doktor dengan AJK program ni. Dia juga salah seorang pensyarah di sini."

Aireen mengangguk dan hanya mengekori langkah Encik Malik. Sambil melangkah, mata liar memerhati gelagat pelajar-pelajar di universiti tersebut. Arghhh! Tiba-tiba rindu pula waktu zaman belajar dahulu. Kalau boleh diundur masa, zaman itulah zaman yang terlalu ingin diulang semula.

"Doktor Aireen tunggu sekejap, ya? Saya panggilkan Encik Adam. Rasanya dia ada di dalam dewan sekarang."

Sekali lagi Aireen mengangguk dan menunggu di situ. Sebaik Encik Malik beredar, pandangan kembali dibuangkan ke sekeliling semula dengan penuh minat. Melihat aktiviti yang sedang rancak berlangsung di sekitar kawasan luar kampus universiti, ralit pula dia jadinya. Nasib baik di ke situ kerana ada urusan, kalau tidak tentu puas dia meronda booth yang dibuka di situ. Dapat juga dia cuci-cuci mata.

"Assalamualaikum..."

Senyap.

"Assalamualaikum..."

Terdengar suara seseorang menegur di belakangnya, Aireen terus menoleh.

"Waalai... kumussalam..." Dan bicaranya terus mati. Lelaki yang menegurnya itu dipandang tidak berkelip.

Adam Firdaus! Hati terus berbisik. Ya Allah, kenapa dia tidak terfikirkan Adam Firdaus saat Encik Malik menyebut nama Adam tadi? Allahuakbar... Nampaknya Dia benar-benar memakbulkan doanya sepanjang perjalanannya ke situ tadi.

"Doktor Aireen?" soal Adam serba salah. Malu pula dia dipandang begitu oleh seorang perempuan yang tidak pernah dikenali.

"Doktor Aireen, kan?" Adam bertanya lagi apabila gadis di hadapannya itu masih terdiam kaku di tempatnya.

Aireen berdeham dan kepala ditundukkan ke bawah seketika sebelum mendongak memandang Adam semula. Maklumlah, lelaki itu tingginya mungkin lebih sepuluh inci darinya.

"Hurm... Ya, saya Aireen," jawabnya cuba beriak tenang sedang hati bukan main bergelora hebat.

"Saya Adam. Adam Firdaus. AJK program untuk majlis konvokesyen kali ni."

"Oh! Okey." Aireen mengangguk. Tiba-tiba kelu pula lidahnya untuk berbicara dan beriak seperti biasa.

"So, doktor wakil dari HTAA yang akan buka booth kesihatan di sini?"

Aireen tersenyum kemudian menggeleng.

"Urusan tentang booth akan diuruskan oleh rakan sekerja saya tapi saya datang menggantikan Doktor Marzuki yang diundang untuk memberikan ceramah tentang cita-cita, kesihatan dan kerjaya. Rasanya Doktor Marzuki ada hantar e-mel memaklumkan tentang perkara ini, kan?" terangnya.

Adam terdiam seketika sebelum berdeham perlahan. Jadi inilah doktor yang diberitahu oleh Ernie semalam. Mesti bukan calang-calang, kalau tidak masakan muda-muda lagi sudah bergelar doktor pakar. Hurm... Muda dan cantik pula tu orangnya.

Amboiii! Adam. Lupa yang awak tu dah bertunang? Boleh pula memuji perempuan lain dalam diam? Betullah seperti kata orang, ketika bertunang memang banyak dugaan. Ketika inilah perempuan yang entah siapa-siapa pun nampak cantik di mata.

Tapi kenapa dia rasa wajah doktor di hadapannya itu seakan-akan pernah dilihatnya? Tapi di mana agaknya, ya? Hati mula tertanya-tanya.

"Maaf kalau saya datang tak maklumkan Encik Adam terlebih dahulu tapi biasanya saya lebih suka kalau dapat meninjau sendiri keadaan tempat ceramah sebelum sesi sebenar diadakan. Kebetulan hari ni saya agak lapang sebab itulah saya ke mari." Aireen menyambung bicara bila Adam hanya membisu di tempatnya. Dia lapang pun kerana menemankan adik sepupunya Fatihah, kalau tidak tentu dia juga tidak ke situ.

Perlahan-lahan Adam mengangguk.

"Boleh, doktor. Saya mengalu-alukan. Mari saya bawa doktor ke dewan. Tapi agak berserabut sikitlah sekarang sebab kami masih dalam proses mengemas dan menyusun atur kerusi."

"Eh! Tak apa. Saya cuma nak tengok-tengok saja." Lembut Aireen membalas bersama senyuman.

Melihat senyuman manis doktor di hadapannya itu, Adam berdeham. Haih! Entah kenapa berdebar pula dia rasa tatkala senyuman manis itu menyapa pandangannya. Allah...Behave, Adam. Mana tahu senyuman bakal isteri kau lebih cantik lagi dari ini, bisiknya memujuk diri sendiri.

"Marilah doktor, kita ke dewan," pelawanya.

Aireen mengangguk dan terus mengekor.

"Saya rasa macam pernah jumpa doktor sebelum ni tapi saya tak ingat dekat mana." Puas memikir akhirnya Adam memberanikan diri bertanya.

Aireen tersenyum.

"Kita jumpa di klinik Doktor Zarul. Masa tu Encik Adam demam," jawabnya mengingatkan. Dia tentulah tak lupa. Maklumlah, pertama kali mereka bertemu selepas sah bergelar tunangan.

Adam terdiam seketika. Lama dia begitu sebelum akhirnya kepala diangguk.

"Ya, baru saya ingat," ucapnya dengan tawa kecil di bibir.

"Kecil sahaja kan dunia ni. Pusing-pusing jumpa orang yang sama juga," sambungnya dengan tawa yang masih bersisa.

Tentu Encik Adam Firdaus akan lebih terkejut nanti bila tahu siapa saya. Aireen menyambung bicara Adam dalam hati.

"Kuantan pun bukannya luas mana, Encik Adam," balas Aireen mengeyakan.

Bersetuju dengan kata-kata doktor muda itu, Adam hanya mengangguk dengan senyuman.

"Okey, inilah dewannya," ucap Adam sebaik mereka masuk ke dalam dewan yang dimaksudkan.

Aireen mengangguk. Ruang dewan yang agak luas itu dipandang sekelilingnya.

"Berapa ramai studen yang akan terlibat dengan sesi ceramah itu nanti?" Adam dipandang semula.

"Saya anggarkan dalam 150 orang sebab tak semua yang boleh ikut serta dalam ceramah ni. Mereka adalah studen yang terlibat dalam konvokesyen kali ni." Beria-ia Adam menjelaskan.

Sekali lagi Aireen mengangguk.

"Jadi, ada apa-apa yang doktor perlukan masa sesi ceramah tu nanti? Erm... Maksud saya, mungkin projector, notebook atau apa-apa sajalah."

"Projector. Itu sahaja yang saya perlukan. Yang lain-lain saya akan bawa sendiri."

"Okey, untuk makluman doktor, sesi ceramah ini akan ada empat sesi. Kalau tak silap saya, sesi doktor adalah untuk sesi kedua. Mulai dari pukul sepuluh hingga dua belas tengah hari."

Aireen hanya mendengar sahaja apa yang diterangkan oleh Adam dengan penuh minat. Bukan setakat minat dengan penjelasannya tetapi minat dengan orangnya juga. Ermmm... Bila Aireen mula berfikiran nakal, begitulah dia.

Tak salah kan kalau meminati bakal suami sendiri? bisik hatinya memujuk diri sendiri. Ermmm... Kalau bukan sekarang, bila lagi?

"Terima kasih untuk masa Encik Adam. Rasanya dah tak ada apa-apa lagi yang saya nak tanya jadi saya minta diri dulu," ucapnya meminta diri untuk beredar sebaik perbincangan mereka selesai.

"Kalau doktor tak keberatan, mungkin kita boleh pergi minum dulu."

Aireen tercengang dan Adam dipandang tidak beriak. Adam mengajaknya minum bersama?

"Sebenarnya kami memang ada sediakan minuman dan makanan ringan untuk staf, jadi kalau doktor tak keberatan jemputlah ke kantin di sebelah dewan ni," terang Adam, bimbang doktor di hadapannya ini tersalah faham dengan ajakannya.

Termalu dengan tindakan refleksi diri, Aireen buang senyum dan kepalanya digeleng.

"Terima kasih, Encik Adam. Mungkin lain kali. Lagipun saya ada hal lain lagi lepas ni," tolaknya lembut. Hakikatnya dia malu untuk duduk berdua dengan Adam walau berada di dalam lingkungan ramai. Mungkin kerana ikatan mereka yang membuatkan dia rasa kurang selesa.

Adam hanya mengangguk sahaja.

"Jumpa doktor nanti."

"Insya-Allah. Saya minta diri dulu."

Tidak membalas kata-kata doktor muda itu, sekali lagi Adam mengangguk. Aireen diperhati sehingga gadis itu hilang dari pandangan.

Kenapa dia rasa selesa berada dengan doktor muda itu? Kenapa dia rasa seolah-olah ada sesuatu yang istimewa di antara mereka? Cara pandangan dan senyuman Aireen juga tampak berbeza. Hurmmm... Adam... Cubalah jangan mencari alasan kalau sebenarnya hati sudah berkenan! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro