Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

Adam dipandang dengan senyuman dan perlahan-lahan kepala digeleng. Sungguh tak percaya dia dengan apa yang baru didengarinya. Dalam diam sahabatnya itu sudah bertunang rupa-rupanya.

"Kenapa?" Zarul dipandang bersama kerutan. Wajah yang dibasahi peluh dilap. Air mineral di sebelahnya dicapai dan terus dihirup rakus.

"Tak sangka dah bertunang dah sahabat aku ni. Senyap-senyap pula tu sampai aku pun tak tahu." Sambil membetulkan nafas, Zarul bersuara. Peluh di dahinya turut dikesat.

Adam buang senyum. Tubuh disandarkan ke dinding dan nafasnya dihela untuk meredakan lelah.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba, Rul. Aku sendiri pun masih tak sangka lagi dengan pertunangan ni. Sebab itulah tak bising-bising. Bila dah confirm majlisnya nanti barulah aku cadang nak jemput semua kawan-kawan kita," balasnya dengan senyum yang masih bersisa.

"Siapa orangnya?"

"Gadis biasa tapi aku rasa sangat istimewa."

"Hurm... Menarik. Budak mana?"

"Budak Kuantan juga. Anak saudara kenalan mak aku," jujurnya mengaku.

"Arrange marriage la ni?" duga Zarul.

Laju kepala digeleng.

"Tak. Lebih kepada ikatan untuk memperkukuh lagi ikatan persaudaraan," balasnya berselindung dari perkara yang sebenar.

Zarul buang senyum.

"Siapa nama dia?"

"Husna," balasnya sepatah dengan senyum yang masih tak lekang dari bibir. Entah kenapa setiap kali nama itu menyapa di bibir, hati pasti dihentak dengan satu rasa. Rasa yang dia sendiri tidak mengerti apa maksudnya.

"Ermmm... Mesti orangnya selembut namanya." puji Zarul bersama senyuman.

"Insya-Allah, mudah-mudahan. Aku sendiri pun tak kenal dia lagi. Tapi dari cerita orang tua aku, dia baik orangnya dan dari keturunan yang baik-baik."

"Tak kenal?" Bulat mata Zarul memandang sahabat sendiri. Adam ingat ini cerita drama tv? Acah-acah reda tapi bila sampai masanya menyesal tak sudah.

"Tak."

Tawa kecil Zarul meletus.

"Tak faham aku dengan kau ni. Tunang sendiri pun tak kenal. Ingat zaman sekarang macam zaman tok nenek kita? Zaman sekarang kau kena kenal dulu baru kau tahu dia tu macam mana sebab perempuan zaman sekarang ramai yang berselindung di sebalik indahnya nama, ayunya wajah dan labuh tudungnya," bidasnya.

"Kata orang, bercinta selepas nikah itu lebih indah. Jadi, aku nak merasainya sendiri. Macam mana pun dia, aku terima seadanya." Tawa kecil Adam turut terhambur lepas.

Zarul menggeleng.

"Acah-acah romantiklah tu?" kutuknya selamba.

Adam tersengih.

"Romantik tu taklah tapi sweet tu adalah," selorohnya.

Dengan muka menyampah Zarul mencemik.

"Mula-mula memanglah suamiku paling sweet tapi bila dah beranak pinak nanti baru kau tahu sweet ke tidak. Masa tu nak peluk bini pun tak dapat sebab bini kau dah sibuk nak peluk anak-anak aje. Kadang-kadang sampai terpaksa tidur luar sebab anak-anak berebut nak tidur dengan mama dia," luahnya.

Tawa Adam berbunyi lagi.

"Anak ramai tu rezeki, Rul. Amanah yang Allah berikan kepada kau suami isteri. Jadi, janganlah mengeluh macam tu. Kalau rasa nak berdua-duaan, pergi bercuti berdua dan luangkan masa bersama," nasihatnya.

"Bukan mengeluh Dam, tapi kenyataan. Kisah berebut bini dengan anak-anak memang selalu."

Tawa kecil Zarul meletus lagi.

"Tapi betullah macam kau kata tu, anak-anak adalah rezeki yang tidak ternilai. Itulah harta dunia akhirat yang aku ada."

Kepala diangguk bersetuju.

"Semoga Allah juga mengurniakan kau dengan harta yang tak ternilai ini nanti." Bahu Adam ditepuk pula.

"Insya-Allah. Amin," balasnya teruja. Sebelum ini mungkin perkara itu tidak pernah bermain dalam benaknya tetapi sejak dia bertunang dan bakal berkahwin, itulah yang sering dia doakan siang dan malam. Mempunyai zuriat yang ramai, soleh dan solehah.

"Sebelum aku lupa, malam Jumaat nanti jemput datang rumah aku. Aku ada buat kenduri doa selamat sikit sempena pembukaan klinik baru isteri aku."

"Dah nak buka ke klinik isteri kau?" Adam jongketkan kening.

"Insya-Allah, awal bulan depan klinik tu akan mula beroperasi."

"Sampaikan ucapan tahniah aku pada isteri kau."

Zarul hanya mengangguk sahaja dengan senyum yang tak lekang dari bibir.

"HurmmM... Baru balik?" Adam yang sedang menghirup minuman tersedak dan spontan itu kepala ditolehkan ke pintu.

"Mak," sapanya sambil terbatuk kecil.

"Lewat sangat balik?"

"Lepas main badminton tadi pergi minum dan borak-borak dengan Zarul. Sedar-sedar dah nak pukul dua belas malam," balasnya sambil tersengih.

"Kalau keluar tu, ingat-ingat sikit. Nanti terbawa-bawa perangai tu sampai dah kahwin. Mak tak suka kalau dah ada bini tapi buat perangai macam masih bujang," pesan Hajah Rosnah dan terus melabuhkan punggung ke atas kerusi.

"Insya-Allah, Adam akan ingat tu, mak."

"Ermmm... Duduk sini kejap, mak nak bincang sikit tentang majlis kenduri tu nanti," suruhnya.

Adam akur. Muk yang masih di tangan dibawa sekali bersama.

"Ada apa, mak?"

"Tadi Mak Cik Liza ada call, dia minta kamu ke butik pengantin untuk ukur baju nikah. Tunang kamu dah pergi siang tadi. Kalau boleh, pergi cepat sikit takut tak sempat siap baju tu nanti."

Muk di tangan dipandang. Oh! Husna dah pergi tapi kenapa tak ajak dia sekali? Sengajalah tu tak nak jumpa tunang sendiri. Ehem... Kecil hati dengan Husna konon padahal dia sendiri pun tak pernah hendak menghubungi tunangnya itu.

"Dengar tak mak cakap apa?" Anak lelaki yang hanya membisu di tempatnya dipandang.

"Insya-Allah, esok Adam pergi."

"Kenapa muka macam tu? Jangan pula tiba-tiba kamu cakap dengan mak kamu belum bersedia nak menikah lagi." Hajah Rosnah mulai cuak.

Laju Adam angkat kepala.

"Ada ke situ pula mak ni," balasnya dengan tawa kecil.

"Manalah tahu, tiba-tiba tak jadi pula."

"Insya-Allah tak. Lagipun kita kan dah janji."

"Tahu fikir macam tu baguslah."

Adam buang senyum sahaja. Air di tangan dihirup lagi.

Melihat anak terunanya itu, terlepas keluhan di bibir Hajah Rosnah secara tidak sengaja.

Laju kepala didongak.

"Kenapa, mak?" soalnya hairan.

Sekali lagi keluhan dilepaskan.

"Tok wan kamu."

"Kenapa? Tok wan masih marah lagi ke?" Adam kerutkan dahi.

Kepala diangguk.

"Ayah dah call tok wan beritahu tentang majlis tu tapi tok wan kata dia tetap tak mahu datang. Nampaknya dia betul-betul kecil hati dengan kamu ni, Dam."

Adam terdiam dan turut melepaskan keluhan.

"Adam bukan tak suka dengan pilihan tok wan tu mak tapi kami memang tak sesuai," tekannya.

"Mak tahu tapi hati orang tua bukannya kita tahu. Ayah ingat nak balik kampung hujung minggu ni nak pujuk tok wan. Harap-harap dia datanglah masa kenduri kamu nanti. Kalau tidak, apa pula kata saudara-mara dan jiran tetangga."

"Adam ikut sekali, mak."

"Sanggup berdepan dengan tok wan?" Adam dipandang tidak berkelip.

"Adam cucu tok wan, mak. Kalau nak marah pun sampai bila?"

"Tapi Adam pun tahu tok wan macam mana, kan?"

Adam mengangguk. Dia lebih daripada faham.

"Tak apa. Kalau tok wan nak marah pun marahlah. Sekurang-kurangnya sebagai yang muda, Adam dah mengalah dan tunjukkan muka."

Hajah Rosnah mengangguk dan bingkas bangun.

"Dah, pergi mandi. Dah lewat malam ni. Mak pun nak masuk tidur."

"Baiklah, mak."

Hajah Rosnah mula buka langkah tetapi baru beberapa langkah dia berjalan, dia berpusing semula.

"Adam ada call Husna?" tanyanya dan Adam dipandang semula.

Adam senyum dan menggeleng.

"Kesian dia, Dam. Mesti dia ingat Adam tak betul-betul ikhlas terima dia. Kalau tak nak bercakap pun, cubalah hantar mesej tanya khabar."

"Yalah, mak," balas Adam pendek. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang hendak dibualkan sebab itulah sehingga kini dia masih lagi mendiamkan diri walau hari-hari nombor telefon tunangnya itu direnung sehingga dia sudah hafal nombornya.

Telefon bimbit di atas meja dipandang tanpa perasaan. Sejak bertunang dengan Adam begitulah dia. Menanti dan terus menanti panggilan daripada bakal suaminya itu tetapi hasilnya hampa. Sudah hampir sebulan bertunang tetapi tidak pernah sekali pun Adam menghubunginya. Tidak ikhlaskah Adam menerimanya? Atau Adam meminangnya lebih kepada rasa simpati dan kasihan dengannya? Hati terus ditebak dengan pelbagai andaian.

Kenapa tidak kau saja yang menghubungi Adam, Aireen? Kalau kau tak malu merendahkan maruah kau demi memiliki lelaki sebaik Adam kenapa tidak kau lakukan perkara yang sama untuk memikat hatinya?

Aku takut, bisiknya. Nafas dihela dan matanya dipejamkan.

"Tengah buat apa tu?"

Senyap.

Puan Azra kerutkan dahi dan anak gadisnya itu dihampiri.

"Una..." Bahu Aireen disentuh.

Tersentak, tubuh yang sedang bersandar di pintu gelangsar kaca ditegakkan dan mata dibuka.

"Tengah buat apa? Berangan?" usik Puan Azra bersama senyuman.

"Berangan apanya, umi. Una tengah tenangkan diri selepas baca buku ni." Buku Braunwald's Heart Disease: A Textbook of Cardiovascular Medicine ditunjukkan.

Pandangan dikalihkan ke arah tajuk buku yang ditunjukkan Aireen.

"Hurm... Pegang buku tu, dah nekad nak sambung kepakaran dalam bidang tu?"

Aireen mengangguk.

"Una rasa minat Una lebih pada bidang ni," balasnya sambil tersengih.

"Dah kahwin nanti sempat ke nak belajar?" usiknya.

"Insya-Allah. Lagipun itu kan impian dan cita-cita Una."

"Nak buat apa pun kena dapatkan keredaan suami dulu. Jika suami izinkan, bolehlah Una teruskan."

"Una tahu umi, tapi Una rasa Adam tentu memahami," balasnya sambil tersengih.

"Insya-Allah, kalau niat kita baik pasti Allah permudahkan jalannya." Puan Azra meyakinkan.

"Aminnn!" ucapnya sepatah dan wajahnya diraup.

"Oh ya, umi kenapa tak tidur lagi? Dah lewat sangat ni." Pintu gelangsar kaca ditutup dan dia terus berjalan ke arah katil.

"Umi baru lepas berborak dengan pak long."

"Pak long balik Malaysia masa Una kahwin nanti?" soalnya.

"Insya-Allah, pak long akan balik nanti. Mungkin sebulan dekat sini sebelum balik ke Melbourne semula."

"Lama dah Una tak jumpa dengan pak long," luahnya.

"Setiap kali Una pandang pak long, Una mesti teringatkan papa. Muka pak long dengan papa seiras sangat kan, umi?" ucapnya sayu.

Bersama helaan nafas, Puan Azra mengangguk. Setiap kali perihal suami disentuh pasti hatinya sendiri akan dipagut rasa sayu.

"Una kalau rindukan papa mesti call pak long. Dengar suara pak long sama macam Una berbual dengan papa." Air mata yang bergenang di tubir mata pantas diseka.

Tidak dapat menahan sayu, air mata Puan Azra turut bergenang. Anak gadisnya dihampiri dan dia terus duduk. Betul-betul di sisi Aireen.

"Kalau papa masih hidup, umi rasa papa akan biarkan tak Una buat kerja gila ni?" Puan Azra dipandang.

Tidak terus menjawab pertanyaan anaknya, Puan Azra hela nafas dan jari-jemari Aireen diraih.

"Una pun tahu kan papa sangat sayangkan Una."

Aireen mengangguk.

"Papa selalu melebihkan Una dalam segala hal. Sepanjang Una belajar di Dublin, bibir papa tak pernah lekang menyebut nama Una setiap malam. Masa Una bekerja di Kuala Lumpur, papa selalu suruh umi panggil Una balik dan kerja di Kuantan. Sebab papa nak Una sentiasa ada di sisi dia. Tapi bila Una buat keputusan untuk sambung master dan terus menetap di Kuala Lumpur sebab nak jadi doktor pakar, papa terpaksa terima. Papa tahu Una bercita-cita tinggi." Aireen dipandang dan rambut anak gadisnya itu diusap.

"Kalau papa masih hidup, umi yakin papa tak akan menghalang tindakan Una sebab papa tahu Una bijak dalam membuat keputusan."

Bibir Aireen terus merekah dengan senyuman walau mata masih bergenang dengan air jernih.

"Una rindu sangat dengan papa, umi. Kalaulah papa masih hidup lagi." Tangisan Aireen terus berlagu.

"Una..." pujuk Puan Azra dan tubuh Aireen terus dibawa ke dalam pelukan.

"Umi pun rindukan papa tapi Allah lebih sayangkan dia. Doakan semoga papa tenang di alam sana ya, sayang." Belakang tubuh Aireen diusap-usap untuk ditenangkan.

Aireen mengangguk walau tangisannya masih lagi belum mahu reda. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro