Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Nafas dihela berat. Sesekali pandangan dibuangkan ke arah jalan di hadapan rumahnya. Entah kenapa tiba-tiba hatinya rasa berdebar pula. Sudah tiga jam setengah sejak ahli rombongan meminang pergi tetapi sehingga sekarang masih belum kembali lagi. Apa yang dibincangkan agaknya sehingga mengambil masa begitu lama? Setahunya rumah bakal tunangnya itu hanya di Bukit Pelindung sahaja dan perjalanan ke sana hanya mengambil masa setengah jam sahaja dari rumah keluarganya.

Dari duduk dia terus berdiri. Ya Allah, kenapa degupan hatinya langsung tidak mahu berhenti walau sudah puas dipujuk sejak tadi? Peminangannya ditolak? Arghhh...Mana mungkin sedangkan gadis itu sendiri yang melamarnya? Perbincangan tidak berjalan dengan lancar atau keluarga bakal isterinya itu tidak setuju tempoh bertunang dalam waktu yang singkat? Ya, memang dia yang meminta tempoh pertunangan selama dua bulan sahaja sebab dia sudah persiapkan segalanya. Wang ringgit dan dirinya juga.

Haih! Nafas berat dihela lagi dan rambut diraup. Sudah puas berdiri, dia duduk kembali. Cuba meredakan perasaan yang sedang kacau ketika itu, tv dibuka. Siaran sukan kegemaranya ditekan tetapi kenapa dia rasa apa yang dipandangnya ketika itu hambar sahaja? Alat kawalan jauh ditekan lagi, lagi dan lagi. Arghhh... Kenapa tiada satu pun siaran tv yang menarik perhatiannya?

Sabar, Adam. Mungkin mereka dalam perjalanan balik sekarang, bisiknya memujuk hati sendiri. Jam di dinding dikerling sekali lagi. Melihat waktu yang sudah menghampiri pukul lima setengah petang, dia beristighfar. Leka memikirkan tentang urusan peminangan sampai dia terlupa dia belum solat asar lagi. Tidak menunggu, langkah dibuka tetapi baru sahaja selangkah kakinya memijak mata tangga, dia terdengar bunyi kereta masuk ke pekarangan rumah. Langkahnya terus mati dan tubuh dipusingkan. Pandangan terus dijengahkan keluar. Sebaik terpandangkan kereta Honda Civic putih miliknya elok terparkir di porch, laju langkahnya diayun menuju ke pintu.

"Amboi abang, tak sabar-sabar nampak gayanya?" Azrina yang baru muncul di muka pintu menegur. Wajah kalut Adam dipandang dengan tawa kecil di bibir.

"Apa yang tak sabarnya? Abang tolong buka pintu, kan?" dalih Adam sengaja menyembunyikan perasaan risaunya.

"Hurmmm... Yalah tu, kan?" usik Azrina lagi dan terus masuk bersama barang hantaran di tangan.

Adam ikut masuk. Tidak lama, Hajah Rosnah dan Haji Badarudin ikut masuk setelah jiran-jiran taman yang mengikuti rombongan tersebut meminta diri untuk balik.

"Jauh sangat ke rumahnya mak sampai dekat lima jam pergi bincang." Adam terus bersuara sebaik Hajah Rosnah duduk di hadapannya.

Hajah Rosnah tergelak kecil.

"Kenapa? Takut kena tolak ke?" usiknya.

"Mana ada," balas Adam tersipu-sipu.

"Bakal mak mentua abang tu baiklah. Kan, mak?" puji Azrina sebaik suaminya duduk bersama anak-anak mereka.

Hajah Rosnah mengangguk.

"Baik dan ramah. Tak sangka pula orang berjawatan bagus macam tu merendah diri aje sikapnya," balasnya mengeyakan. Bukan setakat bakal besannya sahaja yang baik tetapi bakal menantunya juga nampak lemah lembut orangnya. Sudahlah cantik. Haih, memang cukup pakejlah untuk Adam.

"Untunglah abang dapat mak mentua macam tu. Umur dah lima puluhan tapi masih cantik lagi. Kan, bang," puji Azrina lagi dan suaminya dipandang.

Mizan hanya mengangguk sahaja dengan senyuman. Kalau tanya dia memang itulah riak dia. Malas nak cakap lebih-lebih nanti kena cubit pula. Bukan dia tidak tahu isterinya itu cemburunya macam mana.

"Ermmm... Macam mana mak perbincangan tadi?" Puas mendengar Azrina menceceh, Adam terus bertanya. Dia sudahlah tidak sabar hendak tahu keputusannya boleh pula Azrina bercerita tentang hal yang entah apa-apa.

Hajah Rosnah tersenyum.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Cincin tunang pun dah selamat mak sarungkan," balasnya teruja. Mahu tak teruja, sudah lama dia menunggu Adam berumah tangga.

Adam hela nafas. Takkan itu sahaja yang dibincangkan berjam-jam di sana? Dia hendak bertanya lagi bimbang digiat pula.

"Keluarga tunang kamu setuju dengan tempoh yang kamu minta. Jadi dalam tempoh dua bulan ni kita kenalah buat persiapan untuk majlis perkahwinan kamu." Mengerti riak yang dipamerkan anak terunanya, Haji Badarudin terus bersuara.

"Hantaran yang bakal isteri kamu minta cuma senaskhah al-Quran. Itu sahaja." Hajah Rosnah menyampuk.

Adam terdiam. Hajah Rosnah dipandang tidak percaya.

"Senaskhah al-Quran aje, mak?" soalnya bersama kerutan.

"Itulah yang dia minta," balas Hajah Rosnah mengeyakan kata-katanya tadi.

"Dia juga minta majlis perkahwinan yang sederhana. Kalau boleh hanya satu majlis sahaja. Maknanya dibuat sekali majlis dari keluarga lelaki dan perempuan," sambungnya.

Terkebil-kebil mata Adam mendengar apa yang disampaikan emaknya. Pelik kerana masih ada perempuan yang begitu pada zaman materialistik begini. Lelaki lain pening memikirkan tentang duit hantaran yang tinggi tetapi dia hanya diminta memberikan senaskhah al-Quran sahaja?

"Kami dah setuju dengan permintaan keluarga bakal isteri kamu tapi pada pandangan ayah, sebagai seorang lelaki, Adam patut juga beri duit hantaran tu. Adam berilah seberapa yang Adam ikhlas nak beri." Haji Badarudin menyambung bicara.

"Betul cakap ayah kamu tu, Dam. Memang dia tak minta tapi tak salah kalau kamu beri. Bukan orang lain, bakal isteri kamu juga," celah Hajah Rosnah bersetuju dengan kata-kata suaminya.

"Adam tak kesah pun mak nak beri sebab Adam memang dah ada duit yang cukup untuk kahwin," balasnya.

"Jadi, perbelanjaan untuk majlis perkahwinan tu nanti macam mana, ayah?" tanyanya pula.

"Macam yang dibincangkan tadi, keluarga belah perempuan tak kesah nak tanggung keseluruhan majlis tapi ayah tak setuju. Mana boleh kita bebankan semua atas keluarga dia walaupun dia yang merisik kamu. Jadi, ayah minta kos kenduri tu nanti kita kongsi bersama. Lagipun kita akan jemput saudara-mara kita juga nanti."

Adam mengangguk.

"Adam setuju aje, ayah. Berapa duitnya nanti ayah beritahu aje, Adam akan bagi."

Haji Badarudin mengangguk.

"Adam serahkan semuanya tentang majlis tu nanti pada ayah dan mak. Apa yang terbaik buat mak dan ayah, Adam ikut aje. Kosnya nanti biar Adam yang tanggung."

Hajah Rosnah dan Haji Badarudin berpandangan kemudian mengangguk bersetuju.

Teringat yang dia masih belum solat lagi, Adam bingkas bangun.

"Adam naik dulu mak, ayah. Adam tak solat asar lagi ni."

"Abang, tak nak tengok gambar tunang abang dulu ke?" Azrina terus mencelah.

Adam tersenyum kemudian menggeleng.

"Tak apa, abang akan tengok dia masa kami nikah nanti."

"Menyesal nanti tak tengok," usik Azrina lagi.

"Lepas nikah boleh tengok, kan?" balasnya bersahaja dan terus buka langkah.

Mendengar jawapan Adam, Azrina tercengang. Boleh gitu?

"Rugilah abang tak tengok bakal bini dia." Azrina menggeleng dan buang tawa.

"Biarlah, dah itu keputusan abang. Tentu abang nak surprise agaknya." Mizan turut tergelak membalas kata-kata isterinya.

"Puas hati dah?" usik Mak Cik Liza apabila melihat wajah ceria anak saudaranya. Dia yang melihat senyuman manis itu juga ikut sama gembira.

Aireen tersenyum dan tanpa segan silu kepalanya diangguk.

"Terima kasih, mak ngah. You are the best auntie ever." Tubuh Mak Cik Liza dirangkul erat.

"Bukan main memuji, ya? Tapi mak ngah pun nak tumpang gembira buat Una. Semoga Allah permudahkan urusan kamu sehinggalah diijab kabul nanti." Bahu Aireen diusap bersama helaan nafas kelegaan.

"Amin... Amin... Amin," ucap Aireen dengan senyum yang tak lekang di bibir.

"Ndak tak sangka keluarga Adam tu jenis bertimbang rasa orangnya. Mak Adam pun ramah dan baik orangnya," luah Puan Azra lega.

"Kan aku dah kata ndak, keluarga Adam tu memang bagus. Adam tu pun baik sangat budaknya. Ngah jamin ndak tak akan menyesal kahwinkan Una dengan Adam," puji Mak Cik Liza beria-ia.

"Alhamdulillah ngah, ndak pun lega bila tengok keluarga Adam. Maklumlah Una ni satu-satunya anak yang ndak ada." Suara Puan Azra sudah mula berubah sayu. Aireen yang masih di sisi kakaknya itu dipandang dengan mata bergenang.

"Alaaa... Umi ni. Mulalah tu nak buat drama air mata." Aireen berseloroh tetapi dengan nada memujuk. Uminya didekati.

"Terima kasih sebab support apa yang Una buat. Kalau umi tak setuju hari tu tentu tangan Una masih belum melekat cincin lagi sampai hari ni." Tawa kecil dihambur.

Puan Azra mendengus dan anak gadisnya itu dikerling bersama senyuman.

"Awak tu satu-satunya anak umi tentulah umi akan sokong. Lagipun umi yakin Una tahu apa yang Una buat," tuturnya yakin.

"Love you, umi... Love you loads!" ucapnya dan tubuh Puan Azra terus dipeluk seeratnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan dan mengabulkan doa-doanya. Syukur! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro