Bab 11
Ding Dong! Ding Dong! Senyap. "Assalamualaikum... Ndak!"
Masih senyap.
"Oh... Ndak!" Jeritan Mak Cik Liza semakin kuat. Ya Allah, mana pulalah perginya adik aku ni, bebelnya. Sekeliling rumah dua tingkat itu dipandang bersama kerutan. Loceng ditekan lagi. Berkali-kali. Lama menanti akhirnya kelibat adiknya kelihatan di muka pintu.
"Waalaikumussalam..." Terkocoh-kocoh Puan Azra keluar.
"Ngah!" Penggera pagar ditekan dan dia terus berjalan menghampiri kakaknya.
"Maaflah, ngah. Ndak baru sudah solat ni."
Mak Cik Liza terus masuk sebaik pintu pagar terbuka.
"Lewat sangat kau solat, ndak. Baru balik ke?" Puan Azra dipandang bersama kerutan.
"Baru aje sampai ni, ngah. Ada emergency tadi. Jom masuk, ngah," ajak Puan Azra dan terus melangkah masuk ke dalam. Mak Cik Liza mengekor.
"Una mana? Dah balik belum?" Sebaik masuk, ruang rumah dipandang keliling. Walaupun dia tahu kereta anak saudaranya itu tidak ada di luar tetap juga dia ingin bertanya.
"Una balik lambat malam ni, ngah. Dia ada jamuan dengan anak-anak yatim dekat Beserah. Ngah duduk dulu biar ndak buatkan air."
Mak Cik Liza mengangguk.
"Yalah," balasnya dan terus duduk.
"Air sejuk, ndak. Ngah panas ni."
"Ha... Ya."
Tubuh disandarkan ke sofa. Sambil menunggu adiknya muncul semula, alat kawalan jauh dicapai dan ditekan. Drama sinetron yang sedang bersiaran ketika itu dibuka.
"Amboi... Asyik tengok cerita tu, ngah. Best ke?" tegur Puan Azra sebaik kakaknya itu dihampiri. Sebaik dulang air diletakkan di atas meja, dia terus duduk.
"Aku tak pernah terlepas cerita ni, ndak. Kalau sebab ada hal penting nak jumpa kau ni, memang tidaklah aku keluar rumah."
Puan Azra tergelak. Dia tahu benar yang kakaknya itu memang suka menonton cerita-cerita begitu. Maklumlah orang dah bersara, apa lagi yang boleh dibuat selain menikmati kehidupan. Anak-anak pun dah punya kehidupan sendiri kecuali Fatihah yang masih belajar lagi.
"Minum dulu, ngah," pelawanya.
Mak Cik Liza angguk sahaja dan terus mencapai jus mangga di atas meja dan terus dihirup rakus. Habis air tersebut dihirup, gelasnya diletakkan semula.
"Ada hal apa yang ngah nak sampaikan? Berita baik atau berita tak baik?" Tidak sabar hendak menunggu kakaknya itu bercerita, Puan Azra terus bertanya. Dia tahu kedatangan kakaknya itu ada kaitan dengan lamaran anaknya.
Mak Cik Liza terus tegakkan tubuh.
"Pasal hal itulah aku datang ni."
"Habis tu macam mana?" tanya Puan Azra lagi memintas kata-kata Mak Cik Liza.
Senyum di bibir Mak Cik Liza terus terukir.
"Alhamdulillah ndak, Adam terima lamaran Una."
Puan Azra terkedu. Tidak lama sebelum bibirnya kembali mengukir senyum.
"Allahuakbar... Alhamdulillah." Wajahnya diraup dengan mata berkaca. Sudah beberapa malam dia tidak dapat tidur lena memikirkan hal tersebut. Yang paling dia takuti kalau lamaran anaknya itu ditolak kerana dia tidak mahu Aireen bersedih disebabkan hal tersebut.
"Habis tu ngah, urusan seterusnya macam mana? Kita kena pergi meminang pula ke?" Puan Azra kerutkan kening. Tentang perihal itupun dia bingung juga. Macam pelik sangat nampaknya.
"Tak payah."
"Huh! Tak payah?"
Mak Cik Liza mengangguk.
"Mak Si Adam jumpa ngah tengah hari tadi. Dia beritahu ngah, keluarga dia yang akan datang ke rumah kau ni ndak untuk meminang Una hujung minggu depan. Dia nak buat semuanya ikut adat. Biarpun Una yang merisik tapi mereka yang akan meminang."
Terus jatuh air mata yang sedari tadi bergenang di tubir mata Puan Azra. Ya Allah, baiknya keluarga bakal suami anaknya itu.
"Ya Allah, yang kau menangis ni kenapa, ndak? Dengar berita gembira pun menangis?" Kepala digeleng.
"Sedih hati ndak ni, ngah. Tak sangka keluarga Adam buat keputusan macam ni. Beberapa hari ni hati ndak bukan main risau lagi. Lebih-lebih bila mikir perihal hendak meminang anak bujang orang."
Nafas dihela.
"Yalah, ngah faham. Ngah kan dah kata keluarga Adam ni bagus dan baik-baik semuanya. Dia orang pun nak jaga air muka keluarga kita juga ndak sebab itulah dia orang buat keputusan macam ni. Mereka nak jaga maruah Una sebagai perempuan."
"Alhamdulillah... Lega hati ndak ni ngah bila tahu Una akan berkahwin dengan lelaki yang baik macam tu. Sudahlah dia satu-satunya anak ndak." Tangisan Puan Azra sudah mula berlagu.
Mak Cik Liza yang mendengar luahan adiknya turut berasa sayu. Matanya yang turut bergenang air jernih pantas diseka.
"Una budak yang baik ndak sebab itulah Allah temukan dia dengan orang yang baik-baik juga," pujuknya dan belakang tubuh adiknya itu diusap untuk ditenangkan.
"Arwah Abang Ghazali mesti gembira kalau dia masih hidup lagi. Bukan ngah tak tahu Una tu anak kesayangan dia." Mengingatkan arwah suaminya, tangisan Puan Azra semakin menjadi-jadi.
"Sudahlah tu, ndak. Janganlah macam ni. Aku ni tak boleh tau kalau tengok orang nangis-nangis macam ni." Air matanya yang semakin laju dikesat. Allah, datang untuk sampaikan berita gembira tapi menangis juga akhirnya. Kau memang suka buat aku sedihlah, ndak! bebelnya dalam hati.
"Aku tak nak ikut!" Hajah Rosnah dan Haji Badarudin berpandangan.
"Kamu uruskanlah sendiri sebab itu pilihan anak kamu, kan." Hajah Maimon tarik muka. Marah tentang penolakan Adam terhadap Liyana belum reda sudah ditambah dengan carita baru yang menambah amarahnya.
"Mak, janganlah macam ni. Adam itu kan cucu mak juga." Haji Badarudin cuba memujuk. Kerana hormatnya kepada orang tuanya itu sebaik Adam buat keputusan bersetuju berkahwin, dia terus mengajak isterinya bertemu ibunya. Tak sangka pula amarah ibunya masih belum reda.
"Kalau cucu aku tentu dia tak tolak permintaan aku." Hajah Maimon masih berdegil. Anak dan menantu dipandang dengan lirikan sinis.
"Ya Allah, mak. Bukan jodoh Adam dengan Liyana. Kalau berjodoh mereka tu, tentu Adam tak tolak." Hajah Rosnah cuba memujuk pula.
"Yalah, pilihan aku manalah layak untuk anak kamu, kan? Maklumlah bakal isterinya doktor!" sindir Hajah Maimon pula.
Sekali lagi Hajah Rosnah dan Haji Badarudin berpandangan.
"Adam harap sangat mak ada masa hari pertunangan dia nanti. Kami pun harap mak boleh datang."
"Dia suruh aku datang sebab nak menunjuk-nunjuk bakal isteri doktor dia itu, kan? Hurmmm... Kamu teruskan ajelah. Kalau aku tak ada, bukan pertunangan tu tak jadi pun," marahnya dengan bibir terjuih benci.
"Tak apalah mak, kami datang nak sampaikan perkara ni aje. Kami betul-betul harap mak boleh datang untuk sama-sama memeriahkan. Tapi kalau mak tak senang, kami pun tak boleh buat apa. Kami balik dulu ya, mak." Haji Badarudin terus berdiri. Hajah Rosnah turut berdiri.
"Ros balik dulu, mak." Tangan Hajah Maimon disalami dan mereka terus beredar.
"Tak sangka mak masih marah lagi." Hajah Rosnah bersuara bersama helaan nafas kecewa.
"Hati orang tua ni Ros, susah kita nak jangka. Pada kita perkara kecil aje tapi pada mereka ia sangat penting untuk dituruti." Haji Badarudin lepaskan keluhan. Kecewa dia dengan penerimaan emaknya.
"Masalahnya bang, Adam yang tak suka dengan pilihan mak. Kita tak paksa pun dia tolak."
"Ya sebab memang Liyana tu bukan jodoh untuk dia. Cuba awak tengok dengan budak Husna ni, kenapa dia terima padahal dia tak pernah kenal pun budak tu? Tentulah sebab Allah dah bukakan hati dia kerana Husna tu memang jodoh dia."
Hajah Rosnah mengangguk bersetuju.
"Sudahlah, kita tak payah pening-pening kepala fikirkan tentang hal mak. Yang penting, apa yang kita rancang berjalan dengan lancar. Adam setuju nak kahwin, hati abang ni dah lega sangat, Ros."
"Betullah tu, bang. Saya rasa gembira sangat mendengar keputusan Adam," balas Hajah Rosnah beria-ia.
"Adam setuju dengan lamaran Mak Cik Liza, mak. Tapi Adam nak pertunangan Adam dan Doktor Husna dilakukan mengikut adat."
"Maksud Adam?"
"Adam nak mak dan ayah pergi meminang dia bagi pihak Adam."
Hajah Rosnah melongo.
"Mak dan ayah buatlah apa yang sepatutnya. Adam ikut aje mana yang baik."
"Tapi... Bukankah..."
"Memang betul seperti apa yang Mak Cik Liza katakan, sedangkan Siti Khadijah pun meminang Nabi tapi yang sebenarnya, Siti Khadijah hanya merisik sedang yang meminang adalah Nabi sendiri. Jadi, tak salah rasanya kalau kita juga mengikut apa yang Nabi lakukan demi menjaga aib. Pada Adam kita pun kena jaga air muka dan maruah keluarga Husna. Mak tahulah kita sekarang ni dikelilingi oleh mereka-mereka yang kononnya hebat dalam agama sedangkan mulut tak henti mengata."
"Yalah. Kalau itu keputusan Adam, mak akan uruskan apa yang patut."
Teringatkan perbualan dengan ibunya semalam, wajahnya diraup. Ya Allah, semoga apa yang aku putuskan ini adalah yang terbaik bagiku. Semoga wanita yang aku pilih ini adalah pilihan yang selayaknya berada di sisiku. Kala suka dan duka. Kala susah dan senang. Amin...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro