Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

Adam kerutkan dahi. Rambutnya diraup perlahan. Hajah Rosnah yang sedang duduk di hadapannya itu dipandang tak berkelip.

"Yang kamu tercengang macam tu kenapa?" Nafas dihela. Rasanya sudah hampir lima belas minit dia memberitahu tentang lamaran yang datang tiba-tiba itu tetapi riak Adam masih juga sama. Sekejap diam... Sekejap mengeluh dan ada kala meraup rambut seakan-akan sedang meredakan perasaan sendiri.

"Adam masih terkejut lagi ni, mak. Macam tak percaya dengan apa yang Adam baru dengar." Kepala digeleng dan nafas dihela lagi. Mahu tak terkejut kalau tiba-tiba ada perempuan yang tidak dikenali datang melamar.

"Sudah kamu liat sangat nak kahwin sebab tu Allah gerakkan hati perempuan tu lamar kamu. Lagipun bukan Adam pernah cakap dengan mak yang Adam tunggu perempuan yang datang meminang Adam?" Hajah Rosnah sudah mula membebel. Umur dah semakin tua tapi suruh kahwin pun banyak sangat alasannya. Pilihan dia dan suaminya ditolak. Pilihan tok wannya juga Adam tidak berkenan. Sampai merajuk orang tua itu dibuatnya. Memikirkan ibu mentuanya itu, letih juga dia. Apa tidaknya, sejak penolakan Adam, wanita tua itu terus diam menyepi. Masih marah barangkali.

"Siapa dia tu, mak?" soal Adam akhirnya. Walau bingung, dia ingin tahu juga siapa yang melamarnya.

"Anak saudara Mak Cik Liza."

"Mak Cik Liza mana?" Adam kerutkan dahi semakin dalam. Emak ni pun satu, macamlah dia kenal semua kenalan emak.

"Ya Allah, budak ni. Mak Cik Liza pun tak kenal? Emaknya Si Mizilah," beria-ia Hajah Rosnah bercerita.

"Oh!" balasnya sepatah.

"Budak perempuan tu anak saudara Mak Cik Liza dan sepupu Mizi."

"Adam kenal dia ke?"

Hajah Rosnah terdiam kemudian menggeleng.

"Rasanya tak sebab mak pun tak pernah jumpa dia lagi. Tapi Mak Cik Liza kata masa kenduri Mizi hari tu dia ada."

Adam diam memikir. Memang Mizi ada menyebut tentang sepupunya itu tapi dia langsung tak ambil pusing. Jual mahal kononnya, gelaknya dalam hati.

"Entahlah. Adam tak perasanlah, mak."

"Dari cerita Mak Cik Liza, anak saudara dia tu belajar di luar negara. Balik ke Malaysia kerja di Kuala Lumpur dekat enam tahun sebelum balik kerja dekat Kuantan. Balik pun sebab ayah dia dah meninggal dan nak temankan emak dia dekat sini." Panjang lebar Hajah Rosnah bercerita.

Kepala diangguk.

"Siapa nama dia, mak?"

"Husna... Doktor Husna."

Oh! Doktor. Adam berbisik dalam hati.

"Ermmm... Berapa umur dia?" Adam mula menunjukkan minat. Apa tidaknya, sesuatu yang pelik kalau perempuan tiba-tiba melamar lelaki. Entah-entah, anak dara tua. Fikirnya.

"30 tahun. Muda lima tahun dari kamu."

Adam tersenyum. Hurmmm... Sudah diagak. Patutlah kalut sangat hendak berkahwin sampaikan terpaksa melamar lelaki? Sudah berumur rupa-rupanya. Entah-entah, tak lawa sebab tu tak laku, hati berbisik nakal. Ya Allah, Adam, cubalah jangan jahat sangat mulut tu! marahnya kepada diri sendiri.

"Mak Cik Liza cuma bertanya sebab anak saudara dia tu yang suruh tanyakan. Tapi kalau Adam tak suka, Adam berhak untuk tolak. Mereka tak paksa," terang Hajah Rosnah lagi.

"Adam pelik ni, macam mana dia boleh kenal Adam?" Tangan dipelukkan ke tubuh. Otak liar memikir. Rasanya dia tidak pernah kenal dengan mana-mana perempuan bernama Husna selama ini.

"Mak Cik Liza kata anak saudara dia tu kenal kamu di masjid."

Bulat mata Adam mendengar jawapan Hajah Rosnah. Bila masa pula dia berkenalan dengan perempuan di masjid? Ya Allah, bingung pula dia.

"Apa yang Mak Cik Liza beritahu, Husna dah beberapa kali terserempak dengan Adam di masjid. Dari situlah dia sukakan kamu." Bersungguh Hajah Rosnah bercerita apabila Adam sudah bereaksi semakin bingung.

Adam terdiam. Macam cerita dalam drama TV pula tapi bezanya ini kisah benar dan terkena pula batang hidung sendiri. Boleh suka hanya terserempak di masjid sahaja? Ermmm... Mudahnya jatuh suka.

"Jadi macam mana?" Adam dipandang penuh mengharap.

Senyap.

"Adam fikir dulu. Kalau nak jumpa dan berkenalan, Mak Cik Liza akan aturkan." Hajah Rosnah menyambung.

"Kalau nak tengok gambar, mak ada gambarnya."

Keluhan kecil dilepaskan. Sekali lagi rambutnya diraup.

"Kenal-kenallah, mana tahu kamu berkenan. Dari cerita Mak Cik Liza, anak saudara dia bukannya jenis perempuan yang bukan-bukan. Mak nak cakap lebih-lebih, mak pun tak pernah jumpa jadi pandai-pandailah kamu mula langkah," nasihat Hajah Rosnah pula.

"Tapi Adam belum fikir nak berumah tangga lagi, mak." Adam mula berdalih.

"Astaghfirullahalazim... Adam, kamu tu dah nak masuk 35 tahun bukan baru 25 tahun. Adik kamu Si Azrina tu dah nak masuk tiga anaknya tapi kamu, calon pun tak nampak bayang lagi. Kamu nak tunggu siapa? Anak raja atau bidadari dari kayangan? Hari tu kamu tolak pilihan tok wan sampai merajuk tok wan kamu tu," panjang lebar Hajah Rosnah membebel.

Senyap.

"Jangan nanti adik kamu Si Azhar tu pula yang kahwin dulu dari kamu."

Adam masih terdiam. Nafasnya dihela.

"Tak apalah mak, biar Adam fikir dulu," balasnya malas hendak mendengar Hajah Rosnah membebel lagi. Adam bukan nak tunggu bidadari mak tapi Adam sedang menunggu seseorang, bisiknya dalam hati. Hurmmm... Sudah hampir setahun, Adam... Sudah hampir setahun tetapi tiada tanda orang yang dinanti akan menunjukkan bayang, bisiknya kecewa.

"Jangan lama-lama, Dam. Ini harapan orang. Fikir baik-baik sebelum buat keputusan."

Kepala diangguk. Kenapa dia rasa seolah-olah kali ini dia sudah tak dapat melepaskan diri lagi?

"Mak tunjukkan gambar budak tu nak?" Hajah Rosnah cuba memancing lagi.

Laju Adam gelengkan kepala.

"Tak apalah, mak. Biar dulu," tolaknya.

"Adam akan fikirkan tentang hal ni. Mak beri Adam masa, ya."

Tidak mampu memujuk lagi akhirnya Hajah Rosnah mengangguk sahaja. Bimbang dia andai Adam menolak lagi.

Fazrin betulkan duduk. Aireen yang kelihatan resah di hadapannya itu dipandang bersama kerutan. Bukan baru hari itu tetapi sudah berhari-hari dilihatnya sikap Aireen begitu.

"Kau ni dah kenapa?" soalnya tidak betah meneka sendiri. Melihat Aireen begitu, dia pula yang tidak senang duduk dibuatnya.

Aireen menggeleng.

"Tak ada apa-apa," balasnya cuba berselindung sedang hakikat yang sebenarnya dia sedang risau. Risau memikirkan jawapan lewat lamarannya kepada Adam dua hari lepas.

"Kalau tak ada apa-apa, kenapa muka berkerut-kerut macam tu? Nak berahsialah tu, kan?" Fazrin masih cuba mengorek rahsia.

Perlahan-lahan nafas dihela dan wajahnya diraup.

"Kenapa ni?" Terus berubah air muka Fazrin melihat reaksi sahabatnya itu.

"Aku takut dan risau."

"Sebab?"

"Faz, kau ingat tak aku pernah tanya pandangan kau tentang perempuan meminang lelaki sebelum ni?" Aireen cuba mengingatkan.

Laju Fazrin mengangguk dan dada terus berdegup? Aireen meminang lelaki? Hati mula tertanya-tanya. Tapi tak mungkin kut?

"Okey, kenapa?"

"Kau jangan gelakkan aku, ya?"

Semakin berlapis-lapis dahi Fazrin mendengar kata-kata sahabatnya itu.

"Aku ada sukakan seorang lelaki dan aku suruh mak ngah aku pinangkan dia untuk aku," jujur dia bercerita.

Fazrin melongo. Bulat matanya memandang Aireen seakan-akan tidak percaya.

"Janganlah pandang aku macam tu. Kau buat aku malu dengan tindakan sendiri." Nafas dihela lagi.

"Tak... Ermmm... Sorry." Fazrin teragak-agak. Masih terkejut lagi dengan pengakuan Aireen.

"Aku tahu mungkin pada kau perbuatan aku ini melanggar adat dan memalukan. Ibarat perigi mencari timba. Tapi bagi aku, untuk memilih yang terbaik aku perlu bertindak. Kalau aku terus menunggu mungkin aku tak akan dapat lelaki seperti dia."

"Siapa dia?"

"Dia lelaki yang aku pernah cerita pada kau sebelum ni, Faz. Lelaki yang selalu aku jumpa di rumah Allah," beritahunya.

Fazrin mengangguk.

"Tapi macam mana kau kenal dia?"

"Kebetulan yang sangat indah Allah aturkan. Dia tu sebenarnya jiran mak ngah aku. Jiran setaman," ceritanya bersama senyuman.

"Siapa nama?"

"Adam Firdaus."

"Hurmmm... Sedap nama. Tentu orangnya pun sekacak dan seindah namanya," puji Fazrin bersungguh.

"Bukan kacak yang aku cari Faz tapi keteguhan imannya. Bagi aku, orang yang sanggup menjejakkan kaki ke rumah Allah untuk beribadat tentulah seorang yang menjaga solatnya dan amalannya. Mungkin pendapat aku tak betul tapi tak salah untuk bersangka baik, kan?" Senyum nipis dihulur.

"Sedangkan Saidatina Khadijah memilih Rasulullah kerana kemuliaan sikapnya, keindahan bahasanya dan kejujurannya walhal Rasulullah langsung tak punya apa-apa."

"Jangan samakan kehidupan kita sekarang dengan kehidupan di zaman Rasulullah, Una. Jangan kau cuba untuk undurkan masa semata-mata menegakkan apa yang kau impikan. Manusia zaman sekarang banyak yang tersasar. Kita juga kadang kala terlalai," bidas Fazrin tentang pegangan sahabatnya itu.

"Betul, zaman telah berubah tapi perasaan cinta, kasih antara lelaki dan perempuan tetap sama." Aireen tetap menegakkan pendiriannya.

Perlahan-lahan Fazrin anggukkan kepala. Bersetuju dengan pernyataan tersebut.

"Jika solat dan amalannya dijaga, sudah tentulah akhlaknya juga terpelihara. Betul tak?" soal Aireen pula.

"Kau memang seorang yang positif, Una. Kadang-kadang aku geram dengan cara pemikiran kau tapi ada kalanya aku cemburu dengan cara kau melihat setiap apa yang ada di sekeliling kau. Kau selalu bersangka baik seolah-olah tiada manusia jahat di dunia ini." Fazrin mula membebel.

"Kerana selama ini aku memang dikelilingi oleh insan-insan yang baik. Contohnya, kau dan Hafis." Fazrin dipandang dengan senyuman.

Fazrin mencemik.

"So, macam mana penerimaan dia terhadap lamaran kau?"

Aireen jongket bahu.

"Aku masih menunggu jawapan dari dia dan menunggu itu memang satu penyeksaan," jawabnya sambil ketawa.

"Jangan terlalu berharap dan simpan sikit kekuatan agar kau kuat bila dia menolak nanti," pesan Fazrin mengingatkan.

"Aku reda Faz kalau dia tolak aku. Aku hanya mencuba dan Allahlah yang menggerakkan hatinya. Andai dia setuju, alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin ada jodoh yang lebih baik dari dia untuk aku."

"Sikap yang positif. Bagus! Itu yang aku suka tentang kau," puji Fazrin.

Aireen senyum sahaja walau sebenarnya hati begitu gerun untuk menunggu jawapan daripada Adamnya. Semoga Allah bukakan hati awak untuk menerima saya, Adam. Izinkan saya menjadi Hawa bagi seorang lelaki yang bernama Adam. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro