Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

Mekah – 24 Februari 2011

Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah

Kaki diayun perlahan dengan perasaan yang berbaur. Selama dua minggu dia berada di situ untuk beribadah kepada Yang Esa, dan dengan berat hati dia terpaksa pulang semula ke tanah air tercinta. Syukur alhamdulillah, perjalanan dan ibadahnya dipermudahkan Allah. Kesihatannya yang agak merudum ketika dia meninggalkan bumi Malaysia, terus pulih sebaik kaki melangkah ke tanah suci Mekah. Alhamdulillah, sesungguhnya Dia sentiasa mendengar doa hamba-Nya yang tulus ikhlas ingin beribadah kepada-Nya. Hatinya berbisik penuh kesyukuran.

Pandangan dibuangkan ke sekeliling ruang Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz dengan rasa sayu dan sebak yang mencengkam. Allah, serasanya seperti tidak sanggup dia hendak meninggalkan tanah suci yang damai dan menenangkan itu. Kenapalah cepat sangat masa berlalu? Dia masih belum puas lagi sujud beribadah kepada-Nya.

"Kau okey tak ni?"

Terdengar suara Fazrin menegur, Aireen berpaling dan senyuman nipis dipamer.

"Rasa macam tak nak balik," ucapnya perlahan.

Fazrin turut tersenyum.

"Normal la tu. Sesiapa pun yang datang ke sini akan mengungkapkan kata-kata yang sama bila nak balik. Kita sama-sama doa pada Allah semoga tahun depan kita dijemput lagi ke sini, ya?" balasnya dan kaki masih terus diayun.

"Insya-Allah. Amin," ucap Aireen bersungguh dan wajahnya diraup. Ya, pasti dia akan datang ke tanah haram ini lagi. Tekadnya.

Langkah masih terus diatur untuk masuk ke balai berlepas. Jemaah lain yang berada di dalam satu kumpulan dengan mereka sudah jauh ke hadapan.

Mereka terlewat sedikit kerana ada masalah ketika berada di kaunter daftar penerbangan tadi. Nasib baik bukan masalah besar, kalau tidak tentu dia terpaksa bermalam satu malam lagi di situ.

"Jalan cepat sikit, orang lain dah jauh tinggalkan kita tu."

Fazrin mula melajukan langkahnya. Bimbang pula dia andai tertinggal penerbangan.

Aireen menurut dan turut melebarkan langkah. Sedang laju kaki diayun tiba-tiba dia terlanggar seseorang.

"Sorry..." ucapnya.

Pasport yang terlepas dari pegangan tangan dan terjatuh di atas lantai cepat-cepat dicapai.

Lelaki yang dilanggarnya tadi hanya tersenyum sahaja dan tanpa berkata apa-apa lelaki itu terus beredar dari situ dengan terburu-buru.

"Kelam-kabutnya mamat tu," bebel Fazrin sambil mendengus.

"Dia dah lambat agaknya tu, lagipun bukan salah dia. Aku yang terlanggar dia tadi."

Aireen buang senyum. Silap dia juga, mahu cepat sehinggakan tidak memandang kiri dan kanan.

"Kau terlanggar pun sebab dia yang kalut. Lagipun, orang dah minta maaf tu balaslah."

Muka dicemikkan, menyampah.

"Dah, tak payah nak membebel, Cik Faz. Kalau tidak, kita yang kena tinggal nanti," bedil Aireen dan kembali ayun langkah.

Baru selangkah dia berjalan tiba-tiba kakinya terlanggar sesuatu. Langkahnya terhenti kembali dan spontan itu kepala ditundukkan ke bawah. Terpandangkan kad pengenalan diri jemaah umrah berwarna biru di hujung kasutnya, lekas-lekas kad tersebut dicapai.

Tubuh terus ditegakkan dan pandangan dibuangkan ke hadapan semula untuk mencari kelibat lelaki tadi. Tetapi dalam keadaan pengunjung yang begitu ramai di situ, dia sendiri pun sudah tidak pasti yang mana satu lelaki itu tadi. Kad pengenalan diri tersebut dipandang dan maklumat yang tertera dibaca.

"Adam Firdaus bin Haji Badarudin."

Hurmmm... Orang Malaysia juga. Tidak mengapalah, sampai Malaysia nanti dia akan cuba menghubungi lelaki itu dan mengembalikan semula kad pengenalan diri tersebut.

Manalah tahu jika pemiliknya ingin dia menyimpan kad tersebut untuk dijadikan kenang-kenangan? bisik hatinya.


Bab 1

But you only need the light when it's burning low...

Only miss the sun when it starts to snow...

Only know you love her when you let her go...

Only know you've been high when you're feeling low...

Only hate the road when you're missing home...

Only know you love her when you let her go...

Terdengar nyaring telefon bimbitnya berbunyi, langkah diperlahankan dan telefon bimbit di dalam beg tangan dicari. Sebaik telefon bimbit dicapai, panggilan tersebut terus dijawab.

"Waalaikumussalam," jawabnya membalas salam yang menyapa telinga.

"Kau dekat mana?" Terdengar kalut suara Fazrin menyoal, bibir terus menguntum senyum.

"Aku baru keluar dari bank ni. Tukar kad bank baru sebab yang lama tiba-tiba tak boleh guna." Langkah terus diayun menuju ke arah keretanya diparkir. Disebabkan tempat parkir yang agak sesak di hadapan bank, mahu tidak mahu terpaksalah dia meletakkan keretanya jauh sedikit.

"Jadi tak, nak ikut petang ni?" Fazrin menyoal lagi.

Aireen terdiam dan jam di pergelangan tangannya dikerling. Melihat waktu yang sudah menginjak ke pukul tiga petang, dengusan kecil dilepaskan. Disebabkan terlalu ramai orang yang berurusan di dalam bank tadi sampai terlewat pula dia balik ke hospital semula.

"Aku ikut tapi kalau aku lambat, kau tunggulah sekejap," pesannya. Ayunan kaki masih seperti tadi. Tidak lambat dan tidak terlalu cepat tetapi teratur sahaja langkahnya. Sebaik terpandangkan kereta Honda Civic putih di hadapan, langkah kaki terus terhenti. Telefon bimbit di telinga dikepitkan dengan bahu. Sambil mendengar bicara Fazrin di telinga, kunci kereta di dalam beg tangannya dicari.

"Tapi jangan lambat sangat. Kalau boleh, pukul lima setengah kau dah sampai rumah aku." Fazrin mengingatkan.

"Okey Faz, aku cuba ya? Kalau aku lambat sikit kau jangan tinggalkan aku pula," pesannya lagi.

"Yalah."

"Okey, jumpa kau nanti," ucapnya. Baru sahaja talian ingin dimatikan, dia teringatkan sesuatu dan nama Fazrin dipanggil semula.

"Ada apa? Nasib aku tak letak phone lagi," bebel Fazrin.

Aireen tergelak kecil.

"Ala, cepat sangat kau ni. Aku nak tanya, kau nak aku beli apa-apa tak?" soalnya. Kunci yang baru dicapai di dalam beg dipegang dan pandangan dibuangkan ke arah padang di hadapan.

"Ikutlah. Kalau kau nak sedekah apa-apa, kau beli ajelah." Fazrin membalas.

"Kalau bagi duit aje pun boleh, kan?"

"Lagi bagus sebab kalau beri duit boleh juga dia orang belanjakan untuk perihal lain."

"Okey... Okey." Penggera kereta ditekan.

"Ermmm... Okeylah, Faz. Aku pun nak balik hospital ni. Jumpa kau petang nantilah," ucapnya.

"Okey, babe."

Salam dihulurkan dan talian diputuskan. Telefon bimbit diletakkan ke dalam beg semula dan penggera ditekan lagi. Senyap. Langsung tiada bunyi.

"Kenapa tak boleh ni?" Dahi dikerutkan. Alat penggera dipandang dan diketuk-ketuk di tapak tangan kemudian ditekan semula.

"Ya Allah, takkan dah habis bateri? Baru aje tukar."

Mulut mula membebel sendiri.

"Bateri tipu ke apa ni?"

Penggera diketuk dan ditekan sekali lagi. Masih tidak boleh berfungsi. Mulut berdecup. Perlahan. Malas hendak mencuba lagi, kunci terus diacukan ke dalam lubang kunci. Eh! Kenapa tak boleh masuk pula ni? Hati sudah mula berdebar. Salah kunci? Mana mungkin? Sudah tentulah itu memang kunci keretanya. Dicucuk lagi. Tiba-tiba penggera kereta tersebut berbunyi. Kuat.

Aireen tersentak dan mula kalut. Penggera di tangannya ditekan-tekan. Allah! desisnya. Kereta tersebut masih terus berbunyi. Hati mulai cemas. Pandangan dibuangkan ke sekeliling dan kelihatan beberapa pasang mata sedang memandang ke arahnya. Ya Allah, apa patut dia buat sekarang? Kalutnya. Telefon Nuar, pomen si putih miliknya itu. Nama Anuar tiba-tiba terlayar di dalam kepala. Tidak menunggu, telefon bimbit dicapai tetapi baru sahaja dia hendak mendail nombor telefon Anuar bunyi bising dari kereta tersebut terus berhenti. Aireen tergamam. Kunci kereta di tangan dipandang tidak berkelip. Rasanya dia tidak tekan penggera pun.

"Cik, ini kereta saya," tegur satu suara.

Tersentak, dia terus menoleh.

"Say it again?" Dahi dikerutkan. Kereta dia? Eh!

"Ini kereta saya," jawab lelaki itu dan penggera di tangannya ditekan sekali lagi.

Tuit!

Tuit!

Melihat lampu menyala dan penggera berbunyi, Aireen terdiam dan semakin tergamam. Tidak puas hati, dia terus berjalan menuju ke arah bonet kereta dan nombor plat kereta tersebut dipandang. CDA 84. Astaghfirullahalazim...Bibir mula beristighfar. Macam manalah dia boleh tersalah kereta? Ya Allah, malunya. Patutlah dari tadi ditekan-tekan langsung tidak berbunyi. Nasib baik dia tidak melakukan sesuatu yang lebih bodoh lagi tadi.

"Sorry..." ucapnya dengan wajah tersipu-sipu malu. Tidak menunggu dia terus beredar dari situ tanpa menoleh ke arah lelaki itu. Terpandangkan keretanya selang beberapa buah dari kereta lelaki itu, langkah semakin dilajukan. Macam manalah kau boleh lupa mana kau letak kereta sendiri, Una? Marahnya kepada diri sendiri. Kalut, penggera kereta ditekan dan dengan tergesa-gesa tubuh terus diloloskan ke dalam perut kereta kemudian keretanya terus dipandu pergi dari situ.

Lelaki yang masih berdiri di sisi keretanya itu hanya tersenyum sahaja memerhati dan perlahan-lahan kepalanya digeleng.

Mengekek-ngekek Fazrin ketawa mendengar cerita yang baru diceritakan sahabatnya itu. Wajah yang sedang berkerut-kerut itu dipandang geli hati. Aduhlah, tidak dapat dia membayangkan macam mana reaksi Aireen ketika itu. Sudahlah jenis pemalu, berdepan pula dengan situasi begitu tentu semakin kalut sahabatnya itu.

"Sakan gelak? Kau ingat perkara tu lawak?" Fazrin dijeling geram. Bukan main seronok lagi ketawakan orang. Marahnya.

"Memang gila lawak. Aku tak boleh bayangkan muka kau waktu tu. Nasib baik tak jahanam pintu kereta orang tu kau godek-godek." Gelak Fazrin bersambung lagi. Sampai merah-merah mukanya gelakkan sahabat sendiri.

"Fazzz!" Aireen tarik muka. Haih! Geram betul dia.

"Relakslah. Tak payah nak buat muka malu macam tu sebab kau bukannya akan jumpa dia lagi. Kuantan ni luas babe dan tak mungkin kau akan jumpa orang yang sama setiap masa."

Fazrin cuba menenangkan. Beg yang terdapat peralatan perubatan yang dibawanya diperiksa.

"Tapi aku masih rasa tebal muka lagi ni. Patutlah aku ketuk-ketuk alarm tu masih tak boleh." Aireen geleng kepala. Wajahnya diraup. Setiap kali teringat dia rasa seperti hendak menyorok sahaja.

Fazrin gelak lagi.

"Satu perkara aje aku nak tanya, mamat tu handsome tak?" usiknya.

"Faz!" Fazrin dijeling.

"Alaaa... Mana tahu kut itu jodoh kau."

"Ya Allah, kau ni, sampai ke situ pula yang kau fikirkan." Kepala digeleng.

"Rahsia Allah kita tak tahu, tak gitu Cik Aireen?" Fazrin buang sengih.

"Dah... Dah... Jom kita buat kerja kita. Asyik membebel sampai malam tak siap nanti." Aireen terus bangun dari duduknya. Beg peralatan perubatannya dibimbit.

Fazrin masih tersengih dan ikut bangun walau bibir masih tersungging dengan sisa tawa.

"Kau tak jawab soalan aku tadi, mamat tu handsome tak?"

Nafas dihela dan kepala digeleng.

"Aku tak ingat muka dia macam mana. Serius aku tak perasan." Jujur dia mengaku. Macam manalah dia nak ingat dalam keadaan sedang kalut begitu.

"Kau memang macam itulah. Selalu tak fokus."

"Helo! Sedapnya mengutuk aku macam tu. Dalam keadaan kalut macam tu, memanglah tak boleh fokus," bebelnya.

Fazrin senyum sahaja dan jongket kening.

"Okey... Okey. Kita tutup kes. Jom, kita buat kerja," ucap Fazrin akhirnya.

Aireen akur sambil membimbit beg peralatan perubatan di tangan.

"Kau selalu ke datang sini dan buat semua ni?" Aireen lemparkan pandangan ke rumah orang tua Titian Kasih tersebut dengan dahi berkerut-kerut.

Fazrin angguk.

"Biasanya aku datang hujung minggu tapi minggu ni aku ada program lain, itu yang datang hari ni. Kebetulan aku cuti. Lagipun partner in crime aku, Doktor Badri pergi kursus sekarang," ceritanya.

"Kenapa tak pernah ajak aku sekali sebelum ni?"

"Babe, kau baru aje pindah sini. Program ni kami dah buat sejak dua tahun yang lalu. Lagipun, buat kerja amal ni bukannya boleh ajak orang sembarangan. Kalau orang tak minat tentu buat pun tak ikhlas," terang Fazrin.

"Oh, maksudnya aku ni tak layaklah?" Aireen jongket kening.

Fazrin menggeleng.

"Bukan. Bukan macam tu maksud aku. Kerja amal ni kalau nak buat tak boleh dipaksa nanti tak berkat. Kena ikhlas... Ha, itu yang penting."

"Kau tak pernah tanya, macam mana kau nak tahu aku ikhlas ke tak?"

Fazrin lepaskan keluhan.

"Sorry okay, so from now on kalau kau nak get involve, Stadium Darul Makmur aku tadahkan," gelaknya.

Aireen tersenyum. Ermmm... Stadium Darul Makmur konon!

"Lain kali aku nak ikut," tegasnya.

"Noted, friend." Fazrin pamer sengih.

"So, kita nak mula dari mana?" Mata melilau memandang ruang santai tempat penghuni tua di sini berehat.

"Kita ke sini bukan hanya sebagai doktor tapi sebagai anak juga. Try to comfort and make them happy. Maklumlah, kebanyakan warga tua di sini adalah mereka yang ditinggalkan anak-anak."

"Maksud kau?"

"Mereka ni kebanyakannya masih ada anak-anak lagi tapi ditinggalkan di sini. Anak-anak sekarang beginilah cara mereka menunjukkan kasih sayang mereka kepada orang tua," ucap Fazrin dengan tawa kecil. Bukan tawa suka tetapi kecewa mengenangkan sikap manusia yang sudah hilang rasa tanggungjawab dan kasih sayang.

Aireen terdiam. Sayu pula hatinya mendengar kata-kata Fazrin tadi.

"Aku ni yang dah tak ada orang tua bukan main rindu lagi hendak bermanja dan berbual mesra dengan mereka tapi yang masih ada mak bapak dibiarkan hidup macam ni. Memang mereka tak hidup merempat tapi tentu mereka hidup dalam kerinduan. Rindu untuk bermesra dengan anak-anak dan cucu," luah Fazrin sebak.

"Faz..."

"Aku tak boleh terima Una, cara anak-anak sekarang melayan kedua-dua orang tua mereka. Lupa agaknya semua pengorbanan yang pernah orang tua curahkan sehingga mereka berjaya. Demi Tuhan, aku rasa kesian sangat dengan mereka yang tinggal di sini. Ada yang sakit dan ada yang dah tak larat nak berjalan pun. Di waktu-waktu mereka memerlukan kasih sayang, mereka dipinggirkan. Apa perasaan anak-anak mereka agaknya, ya?" sambungnya semakin sayu.

"Aku faham perasaan kau, Faz. Kalau kita tak mampu untuk membantu mereka membuang kesedihan tapi sekurang-kurangnya kita boleh memberi mereka sedikit kebahagiaan," pujuk Aireen cuba menenangkan sahabatnya itu. Bukan Fazrin sahaja yang sedih dan kecewa tetapi dia juga turut merasai perasaan yang sama. Ya Allah, semoga aku diberi kesihatan yang baik supaya dapat menjaga umi sehingga ke akhir hayatnya, doanya dalam hati.

Fazrin mengangguk.

"Sebab itulah aku selalu ke sini. Bertanya khabar dan mendengar cerita mereka. Walaupun belum cukup untuk membuat mereka bahagia tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu masih ada yang mengambil berat," ucapnya dan mata yang berkaca pantas diseka.

"Tahniah Faz untuk apa yang kau buat dan aku bangga dengan kau." Bahu Fazrin ditepuk.

"Sumbangan kecil aku untuk manusia bernama insan. Semoga dengan apa yang aku lakukan hari ini, anak-anak tak akan pinggirkan aku bila aku dah tua nanti," ucapnya.

"Insya-Allah. Perbuatan baik pasti dibalas dengan kebaikan. Itu janji Allah, Faz."

Fazrin mengangguk dan nafas panjang dihela.

"Okey, kita tutup cerita sedih tadi dan sekarang kita mulakan kerja kita, ya? Jom kita ke sana. Sekejap lagi, Cik Ainun akan kumpulkan mak cik, pak cik yang ada di sini dan nama mereka akan dipanggil seorang-seorang untuk pemeriksaan," terang Fazrin panjang lebar. Jari ditunjukkan ke arah sebuah meja sebesar meja makan empat orang di satu sudut bilik tersebut.

Aireen mengangguk mengerti.

"Jom," ajak Fazrin dan mula melangkah.

Aireen mengekor. Sebaik melintasi beberapa warga tua di situ, riuh suara Fazrin bertegur sapa dan beramah mesra dengan mereka.

Aireen tersenyum. Suka dengan suasana baru yang dialaminya itu. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro