
Bab 9
"URSULA?" Berkerunyut dahi Hadi saat mulutnya secara spontan mengulang sebut nama itu. Kepala automatik berpaling ke arah Muslim, terus mengabaikan si wanita. Mata Hadi terbuka, tidak berkelip sama sekali.
"Kau tahu ke Ursula tu apa?"
Polos Hadi mengangguk sebelum dia memberi jawapan, itupun ditemani muka keliru.
"Antagonis dalam cerita The Little Mermaid, kan?" jawab Hadi. Alih-alih Muslim ternganga, pamer muka kagum.
"Hah, betullah! Macam mana kau boleh tahu?"
"El suka tengok movie The Little Mermaid dulu," jawab Hadi lagi, acuh tak acuh.
Pandangan kembali ditebar ke hadapan, cuba mencari wanita yang digelar Ursula itu. Niat Hadi, ingin meneruskan sesi tentangan mata dengannya tetapi malangnya, Ursula sudah tidak memandangnya lagi.
Mungkin jua minat Ursula tak lagi tertumpu kepada Hadi dan sudah beralih pada lelaki kacak yang ada di sisinya sejak tadi. Hadi enggan mengeyakan apa yang dia rasa tapi hati tak mampu menipu akal kerana...
Dia cemburu! Dia cemburukan Ursula dan lelaki kacak itu!
Ya Allah, apa masalah kau, Tengku Hadi Tengku Ismail? Akal menempelak Hadi.
"Kau sebut nama El, tiba-tiba aku rasa geram pula. Kenapalah majlis yang syarikat dia anjurkan, serentak dengan majlis reunion kita? Aku sebenarnya rindulah juga kat dia. Kan best kalau dapat jumpa," kata Muslim sendiri, kononnya kecewa bilamana dia tidak ditakdirkan untuk bersua muka dengan insan yang pernah dia minati pada zaman persekolahan dahulu.
Bebelan Muslim menarik sepasang mata Hadi kepadanya semula. Sementara akal tak henti-henti mengutuk Hadi, hati pula sebenarnya tak rela membiarkan matanya terus menyaksikan pasangan itu. Entahlah, Hadi sendiri tidak mengerti apa yang sedang terjadi kepadanya saat ini.
"Kenapa nama dia Ursula? Itu memang nama betul dia?"
Muslim menggeleng dahulu, menafikan.
"Kalau ada orang suruh kau lukis mana-mana watak daripada cerita dongeng, nama watak apa yang akan kau fikirkan dulu?"
"Ariel? Cinderella? Errr, Elsa?" Nama terakhir itu disebut Hadi teragak-agak, tidak pasti adakah watak utama animasi Frozen itu juga tergolong dalam kumpulan cerita dongeng?
Jari telunjuk Muslim tegak berdiri di depan mata Hadi lalu dia gerak-gerakkan ke kanan dan ke kiri. Kepalanya juga tergerak sama.
"Klise. Sebenarnya aku pun tahu cerita ni, sebab budak kelas sebelah yang bagi tahu. Dulu, Cikgu Mustapha, cikgu Pendidikan Seni tu, relief kelas dia orang. Dia bagi sorang satu kertas dan suruh dia orang lukis apa yang dia orang nak. Tak kiralah Naruto ke, Doraemon ke, fairytale ke... Ramai yang ignore Cikgu Mustapha tapi ada juga yang buat. Lepas tu, Cikgu Mustapha tertarik dengan satu lukisan."
Apa yang pernah Muslim dengar beberapa tahun dahulu, masih segar dalam ingatannya. Mana mungkin dia lupa pada kisah yang agak unik itu. Bagaikan ada frasa 'tak sabar' tertampal pada dahi Hadi, lalu Muslim sambung bercerita.
"Ursula."
"Hah?" Jelas-jelas Hadi kebingungan. Kala Muslim muncungkan bibir ke arah wanita tersebut, Hadi sekadar melihat sekali lalu sebelum dia pandang Muslim semula. Berkobar-kobar, teruja mahu tahu lanjutan kisahnya.
"Dialah. Dia lukis Ursula. Cikgu Mustapha suka gila dengan lukisan dia, tak henti-henti puji dia. Tapi lepas tu Cikgu Mustapha pelik. Kenapa dia lukis Ursula, watak antagonis dalam The Little Mermaid? Kenapa bukan Ariel?"
"Dia jawab apa?"
"Hmmm yang ini, aku pun pelik juga sebenarnya. Bila fikir balik, dia memang pelik sikit pun. Tak bergaul sangat dengan orang lain kat sekolah. Tapi tup-tup, dengar cerita dia pernah ada kes dengan tiga lelaki. Aku pun tak sangka dia macam tu. Dahlah di..." Terbejat bicara Muslim untuk meneruskan gosip cinta monyet Ursula bilamana Hadi menyampuk keras.
"Dia jawab apa? Kenapa dia lukis Ursula?"
Muslim tidak terus menjawab. Perlahan-lahan dia talakan perhatian pada insan yang sedari tadi menjadi topik perbualan dia dan Hadi. Tika itu, wanita tersebut sedang meneguk air koktel buah sambil memandang temannya.
Apabila gelas berkakinya kosong, cepat-cepat temannya ambil gelas tersebut dari tangannya. Ada perkara yang mereka borakkan sambil bibir masing-masing tersenyum simpul. Tetapi Muslim yang menjadi pemerhati... Tersenyum kelat.
"Dia kesiankan Ursula." Mendatar sahaja Muslim memberitahu Hadi.
Di tempatnya, Hadi membungkam. Dia kesiankan Ursula? Tapi kenapa? Sama seperti Muslim, Hadi juga memerhatikan wanita tersebut. Bila nama Ursula asyik disebut-sebut, sekarang barulah Hadi perasan.
Gaun yang dipakai wanita itu sama seperti karakter Ursula, sea witch separa sotong gurita di dalam The Little Mermaid. Bukankah badan Ursula berwarna hitam sementara telapak sesungutnya berwarna ungu? Sama seperti gaun wanita tersebut!
"Siapa nama sebenar dia?" tanya Hadi dan dijawab Muslim sesaat kemudian.
"Asyfa. Asyfa Hannani."
"Asyfa... Hannani..." Perlahan, Hadi ulang sebut nama wanita yang menerima jolokan Ursula itu. Cantik gabungan namanya. Tetapi dia digelar Ursula oleh rakan sekolah hanya kerana dia melukis karakter itu.
Persoalan besar yang menghuni fikiran Hadi tika ini ialah... Kenapa Asyfa kasihankan Ursula?
Muslim yang dipanggil seseorang sudah berlalu pergi, meninggalkan Hadi sendirian di tempatnya. Di kesempatan itu, Hadi renung Asyfa semahunya. Mulut terkunci rapat namun akal sudah mengaju jutaan soalan mengenai wanita misteri yang dia sudah tahu identitinya kini.
Adakah disebabkan dia pernah bertemu Asyfa dahulu, jadi dia rasa bagaikan ada tarikan pada Asyfa? Disebabkan itulah dia asyik terkenang-kenangkan Asyfa? Asyfa pula bagaimana? Adakah Asyfa turut mengenalinya? Disebabkan itu, Asyfa asyik berbalas renungan dengannya?
Apa yang Asyfa buat di kawasan perumahan Batrisya? Di kafe Brew and Sip? Kebetulan atau Asyfa memang mengekori Hadi dan Batrisya? Jika kebetulan... Wujudkah kebetulan seperti itu? Jika tidak, makna kata Asyfa memang mengekori mereka. Tetapi kenapa?
Pecah buih-buih soalan dek deringan telefon pintarnya. Kalut Hadi menarik keluar iPhone dari poket. Kening menaik automatik kala nama Batrisya terpampang pada skrin.
"Kenapa Isya call aku? Bukannya kita orang boleh berbual pun," gumam Hadi sendirian namun dia tetap menjawab. Sebaik telefon pintar melekap di telinga, Hadi berniat memanggil Batrisya tetapi...
"Hadi! Ini Hadi ke?" Satu suara asing menerjah pendengaran Hadi.
"Errr, ya."
"Tolong... Tolong kita orang. Kita orang... Accident."
Dunia Hadi serasa berantakan waktu itu. Tanpa berlengah, Hadi berdesup keluar dari dewan. Tak terlintas langsung niat dalam hati untuk pamit diri. Hadi berlari selaju-lajunya menuju ke kereta.
"Mana kau orang sekarang?" Payah Hadi tuturkan soalan itu seraya memakai tali pinggang keselamatan. Telinga mendengar dengan teliti sambil akal ligat memikirkan jalan terpantas untuk dia tiba ke sana.
"Tunggu aku." Sehabis ayat itu, Hadi lempar iPhone ke tepi. Tangan mula memegang stereng, ingin mulakan pemanduan tetapi tubuh Hadi kejur tiba-tiba. Mata pejam celik dengan sendirinya saat akal mengutuk Hadi.
"Ini balasan aku agaknya. Ada Isya tapi sibuk fikirkan Asyfa. Ya Allah Ya Tuhanku, tolonglah aku. Jangan biarkan Isya tinggalkan aku dalam keadaan macam ni. Sekurang-kurangnya bagi aku peluang untuk mintak maaf. Tolonglah..." Hadi merayu seikhlas hatinya.
Khilaf dirinya selaku seorang lelaki yang tega membiarkan seorang wanita lain mendominasi kepala dan hatinya, tak henti-henti membuatkan Hadi dihimpit rasa bersalah dan kesal terhadap Batrisya.
Sekarang... Andai apa-apa terjadi kepada Batrisya, Hadi tak tahu apa yang akan berlaku kepadanya!
"DIA nak ke mana?" soal Asyfa kehairanan. Dari apa yang dia perhatikan, Hadi berubah riak selepas menerima satu panggilan.
Dean turut sama memandang ke arah Hadi, yang kini sedang berjalan laju menuju ke pintu utama. Tak dapat tidak, dia juga tertanya-tanya.
"Siapa yang call dia? What happened?" soal Dean.
Tiada jawapan daripada Asyfa namun mata mereka masih tertancap pada Hadi sehinggalah susuk tubuh itu lesap dari penglihatan. Kaki Asyfa segera menapak untuk mengejar. Dean juga.
Elok-elok saja mereka keluar, kelihatan Hadi sedang memandu keretanya. Walau hanya dari kejauhan dan sipi-sipi, Asyfa dapat lihat muka keruh Hadi. Terbit satu nama di dalam kepala lalu...
"Shit!" Tak sempat Asyfa kawal mulutnya, carutan itu sudah terlepas. Amarah dan ketakutan menerjah diri Asyfa. Kenapalah baru sekarang dia terfikir kemungkinan itu?!
Tanpa kata, Asyfa singkap gaun di bahagian kaki, hingga ke betis. Ada pisau belati yang berkarung kulit coklat diikat di situ lalu Asyfa capai. Tak pedulikan Dean, pengawal di pintu dan mata-mata lain, Asyfa gunakan pisau tersebut untuk memotong gaun labuhnya. Asalnya panjang hingga melepasi buku lali, sekarang ia sudah menjadi dres pendek paras lutut.
"Kau buat apa?!" Terjerit Dean dengan perbuatan tiba-tiba Asyfa itu. Bukan jawapan yang dia terima sebaliknya Asyfa menyeluk poket seluar Dean dan menarik keluar sesuatu.
"Aku tak jamin kereta kau akan selamat tapi bagi aku pinjam," kata Asyfa pendek, sebelum dia bergegas menghampiri kereta merah Dean.
Sejujurnya Asyfa tidak tahu secara khusus apa model kereta tersebut tetapi setahunya itu salah satu kereta berkuasa tinggi keluaran Ferrari. Dan semestinya buat masa ini, ia sangat-sangat berguna untuk Asyfa.
Rambut palsu grace wave Asyfa tanggalkan lalu dia lempar bersama lebihan gaun yang telah dia potong tadi ke tempat duduk penumpang. Baru saja Asyfa masukkan sebelah kaki ke dalam kereta, lengannya dicengkam Dean.
"Bagi tahu aku dulu. Kau nak ke mana?" tanya Dean. Tak, dia tak risaukan keadaan keretanya sama sekali walaupun daripada ayat Asyfa tadi, dia tahu besar kemungkinan kereta itu akan ditimpa kecelakaan atau mengalami kerosakan. Di dalam kepala Dean, dia hanya risaukan Asyfa. Itu sahaja.
"Dia."
SELAJU mana Hadi memecut, dia juga. Hadi ke lorong kanan, Asyfa ikut. Hadi ke lorong kiri, Asyfa masih setia mengekori. Berkali-kali Hadi melanggar lampu trafik dan nak tak nak, Asyfa terpaksa melakukan perkara yang sama. Jika tidak, dia akan kehilangan Hadi dan itu akan menyukarkan Asyfa!
"Nak masuk highway?" Asyfa bertanya bodoh namun dia tetap teruskan pemanduan. Sungguhlah, dia tak dapat nak tebak langsung ke mana destinasi Hadi. Sudahlah cara pemanduannya amat membahayakan. Padahal seingat Asyfa, Hadi tak pernah memandu seperti ini.
Di depan, ada tol Plus. Asyfa sudah bersedia untuk memperlahankan kereta. Sengaja dia masuk ke lorong Smart Tag. Hadi masih lagi di depannya maka Asyfa fikir, Hadi juga menggunakan Smart Tag tetapi...
Bammm!
Hadi merempuh palang!
Bulat mata Asyfa menyaksikan itu tetapi dia tidak berhenti. Asyfa masih lagi terus mengejar Hadi. Sesekali mata mencuri jeling cermin pandang belakang. Staf tol Plus sudah mula mengerumuni lorong Smart Tag tersebut. Ada yang menyentuh palang yang sudah tercabut, ada juga yang mengunjuk-unjuk pada kereta Hadi yang kian jauh. Pasti mereka sedang memaki hamun Hadi yang dirasakan tidak bertanggungjawab atau pemandu biadab.
"Kau buat apa, Hadi?" soal Asyfa sendiri. Saat ini, dia sedar sesuatu. Pasti ada sesuatu mengganggu fikiran Hadi. Jika tidak, masakan Hadi memandu segila ini dan membuat kerosakan sebegitu teruk.
Asyfa turutkan kata hatinya. Dia tidak boleh mengekori Hadi semata. Dia perlu lakukan sesuatu untuk menghalang Hadi. Asyfa lihat lebuh raya lengang, barangkali disebabkan hari sudah larut malam. Maka Asyfa menyusup masuk ke lorong kiri sementara Hadi masih di lorong kanan.
Sengaja Asyfa pandu keretanya agar bersebelahan dan sejajar dengan Hadi. Detik itulah, Asyfa lihat wajah Hadi pucat. Sangat-sangat pucat, bagaikan tiada darah di dalam badan lelaki itu sama sekali!
"Kenapa..." Asyfa kebingungan namun saat ekor mata menangkap biasan lampu, Asyfa segera memandang ke depan.
"Ah!" Terjerit Asyfa sebaik dia sedar ada sebuah kereta di depannya. Mujur kaki sempat menekan pedal brek maka terselamatlah kereta Proton Persona itu daripada disodoknya. Asyfa masuk ke lorong kanan dan sekali lagi dia mengejar Hadi. Akal pula, tak henti-henti mengajukan soalan.
Kenapa kau drive macam orang gila, Hadi? Kenapa kau rempuh palang tol? Kenapa...
"Shit!" Lagi, Asyfa mencarut. Dia sudah dapat jawapannya sekarang!
Ya Tuhan, kenapalah kau tak terfikir daripada tadi, Asyfa? Kau tak perasan ke, dia tak ada tekan brek langsung? Kau tak perasan ke, dia asyik mencilok sana sini, cuba mengelak daripada berdentum dengan kereta lain?
Kau tak perasan ke, berkali-kali dia tekan hon, bagi isyarat pada kereta lain untuk ke tepi? Kenapa kau tak terfikir langsung dari tadi?! Bingit kepala Asyfa tatkala akal tak henti-henti menjerit kepadanya.
Sekali lagi keretanya dapat menyaingi kereta Hadi. Lantaran kedua-dua kereta tidak bercermin gelap, Hadi menyedari kewujudan Asyfa di lorong sebelah. Mula-mula mata Hadi membulat bilamana pandangan mereka bertaut tetapi beberapa detik kemudian, Hadi menggeleng laju. Mulut pula bergerak, menyebut 'pergi'.
Semakin Asyfa yakin dengan telahannya. Sah! Ada orang telah menganiaya kereta Hadi!
Sementara Hadi di dalam kereta pula, berganda-ganda ketakutan dan rasa tak keruannya. Sekejap-sekejap dia pandang Asyfa, sekejap-sekejap dia pandang depan.
Tolonglah! Sejak tadi dia memandu bagai orang gila, cuba untuk mengelakkan sebarang rempuhan atau kemalangan. Sebaik Hadi sedar breknya tidak berfungsi, Hadi memilih untuk masuk ke lebuh raya kerana pada hematnya, lebuh raya akan lapang pada waktu sebegini.
Nanti bila berkesempatan dan jalan benar-benar lapang, Hadi akan melencongkan kereta dan dia akan melompat keluar. Biarkan saja keretanya merempuh bahu jalan raya atau mengalami kerosakan yang teramat. Biarkan saja andai dirinya terluka dengan rancangan spontan dan gilanya itu. Asal saja tiada nyawa lain yang terkorban.
Tetapi saat ini...
Asyfa ada di sini! Di dalam kereta sebelah, memandu sama laju untuk menyaingi Hadi!
"Pergi!!!" Hadi turunkan tingkap kereta lalu dia menjerit sekuat hati. Jika tadi matanya kering, sekarang ia mulai basah. Walau Hadi tidak mahu membayangkan perkara buruk, akal tetap jua membayangkan Asyfa ditimpa kecelakaan kerana dia. Sumpah, Hadi tidak mahu itu terjadi!
Asyfa pula, menggigit bibirnya kuat-kuat. Empangan matanya juga sedang mengalami krisis. Melihatkan wajah takut Hadi tetapi dalam masa yang sama Hadi beria-ia menghalau dia pergi, sedikit sebanyak meremukkan hati wanita Asyfa.
Lalu Asyfa membuang pandang ke hadapan. Telinga ditulikan, buat-buat tak dengar pada jeritan Hadi yang kedengaran begitu terdesak mengharapkan Asyfa tidak menjebakkan diri dalam situasi berbahaya ini.
Nafas ditarik Asyfa sedalam-dalamnya. Kini, akal sudah menjana satu jalan penyelesaian. Dan Asyfa akur dengannya, tak kiralah seberapa teruk impaknya kelak.
"Kau boleh, Asyfa Hannani. Cuma kau aje, tak ada orang lain." Asyfa berdesis, menitipkan ayat itu untuk mendorong dirinya.
Tangan menggenggam stereng sekuat hati. Saat fikirannya benar-benar sudah bulat, renungan Asyfa bertukar. Jadi lebih tajam dan garang. Sepasang mata itu seakan-akan memberitahu, dia tak takutkan apa-apa hatta kematian.
Gear ditukar dan pedal pemecut ditekan Asyfa sehingga habis. Sebaik kereta Asyfa melepasi Hadi dan jauh beberapa meter daripadanya, sontak dia pulas stereng ke kanan lalu...
Dooommm!
Kuat bunyi terhasil bilamana bumper kereta Hadi berdentum dengan sisi kereta Asyfa.
Sreeettt!
Bunyi decitan pula menyusul, membingitkan keadaan. Kereta Hadi masih bergerak ke hadapan, mengheret sama kereta Asyfa.
Dalam keadaan genting seperti itu, Hadi dan Asyfa saling bertatapan. Mata si lelaki bagaikan nyaris terkeluar dari soket sementara mata si wanita pula layu sahaja. Detik ini, masa dirasakan berjalan dengan lebih lambat daripada biasa, terus-terusan menyeksa sanubari kedua-duanya.
Entah untuk berapa lama situasi ini berlanjutan, Hadi tidak tahu. Tetapi ekor mata dapat menangkap sebuah kereta memecut laju di lorong kiri bersama ngauman enjin yang kuat sebelum...
Dooom!!!
Satu lagi bunyi rempuhan kedengaran.
Hadi lihat, tubuh Asyfa terhuyung-hayang di dalam kereta. Tubuh Hadi sendiri terhentak ke depan belakang secara tiba-tiba. Terlepas erangan dek sakit mencucuk seluruh tubuh.
Anehnya, sekarang Hadi rasakan keretanya tak lagi bergerak. Hadi mengangkat muka, ingin melihat Asyfa semula tetapi sesaat kemudian, penglihatan Hadi berubah kabur.
Cuba dipaksa agar terus fokus pada Asyfa kerana hatinya tak henti-henti berteriak memanggil nama wanita itu namun Hadi gagal. Pada setiap saat yang berlalu, kelopak matanya semakin memberat ke bawah. Semakin jatuh dan jatuh hingga akhirnya...
Tak ada lagi bayangan dirinya yang cuak memandu selepas menyedari brek tidak berfungsi.
Tak ada lagi imaginasi Asyfa bertindak gila seperti tadi.
Tak ada lagi Asyfa di depan mata.
Dunia Hadi jadi gelap-gelita, kosong dan sunyi sepi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro