Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

TERSENYUM simpul Hadi sewaktu cawan biru berisi latte memenuhi kornea mata. Hadi mendongak, memandang seorang wanita yang sedang berdiri di sisi meja.

"Untuk saya?" tanyanya walau Hadi arif benar apa jawapan yang bakal diterima.

Angguk.

"Awak yang buat atau orang lain?"

Apabila jari telunjuk wanita itu mengunjuk pada diri sendiri, senyuman Hadi melebar. Mata masih setia pada si dia yang sudah pun mengambil tempat di atas kerusi sebelah. Dia tarik keluar sebatang pen dan pad nota yang selalu dibawa bersama sepanjang masa. Ditulis sesuatu sebelum disua kepada Hadi.

"Saya dah makan," jawab Hadi.

Wanita itu menulis lagi. Penuh sabar Hadi menanti. Selepas membaca mesej itu, Hadi membalas lagi secara lisan.

"Awak tak pernah bagi saya makan masakan awak. Pagi tadi awak sedap-sedap makan nasi goreng, saya pula sarapan roti bakar aje. Sampai hati awak, Isya."

Batrisya ketawa. Tiada suara keluar dari mulut comel itu tapi mata bundarnya mengecil setiap kali dia lepaskan tawa.

Sungguh, pada Hadi itu ialah satu pemandangan indah. Hadi terus merenung wajah Batrisya. Raut wajahnya manis dan lembut, menyejukkan hati yang memandang. Hanya dengan memakai tudung, blaus dan seluar jean, kecantikannya sangat memukau. Senyuman manis Batrisya mampu memikat hati sesiapa sahaja.

Namun malangnya, ada sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan itu. Batrisya bisu. Hadi tidak tahu sejak bila atau bagaimana tetapi sejak dia mengenali Batrisya setahun lalu, wanita itu tak pernah keluarkan suara hatta sekali. Hanya coretan nota menjadi perantara komunikasi mereka.

Bahu Hadi dicuit, serta-merta melenyapkan lamunannya. Pandang Batrisya, wanita itu sedang menggerakkan tangan dan mulut bertanya 'kenapa?' kepada Hadi.

"Isya... Awak ingat lagi tak macam mana kita berjumpa?" Sambil bertanya, Hadi mengimbau semula momen pertemuan mereka.

Setahun lalu, Hadi ke kafe Brew and Sip ini untuk bertemu dengan seorang temannya. Sementara menunggu, tiba-tiba Hadi dengar bunyi bising. Seorang pelanggan lelaki sedang marah-marah seorang pelayan kafe.

Mula-mula Hadi biarkan saja, malas mahu masuk campur. Berdasarkan apa yang dia dengar, pelayan kafe itu tertumpahkan air. Memang wajarlah kalau dia dimarahi dan ditegur.

Tetapi lama-lama, Hadi mulai tak selesa. Pelanggan itu bukan saja marahkan kecuaian si pelayan bahkan dia mula menghina selepas pengurus kafe meminta maaf dan menjelaskan bagi pihak si pelayan.

"Patutlah diam aje dari tadi. Bisu rupa-rupanya. Hei kalau bisu aje, tak apa. Ini bisu. Bodoh pula! Menyusahkan orang! Sekarang siapa nak cuci baju aku? Atau kau nak ganti? Ah, kau takkan mampu bayar pun."

Hadi tak mampu bersabar lagi. Kalau si pelayan dan pengurus kafe terpempan hingga kehilangan kata-kata untuk membela diri, tak mengapa. Biar Hadi saja yang memainkan peranan si pembela!

"Maaf, encik. Dia memang bersalah sebab cuai tapi saya rasa, encik tak berhak hina dia. Lebih baik bisu daripada gunakan suara untuk menghina dan mencerca orang. Encik ambillah dua ribu ringgit ni. Nak beli beratus kemeja berjenama tiruan macam yang encik pakai sekarang pun, boleh juga." Laju saja ayat-ayat itu meluncur keluar dari mulut Hadi. Dua puluh helai not RM100 dikeluarkan dari wallet dan diletakkan di atas meja.

"Berlagak betul lelaki tu. Buat panas hati aje," omel Hadi selepas pita memori dijeda di situ.

Di tempatnya, Batrisya kulum senyum. Manis. Khas untuk Hadi seorang. Mulut bergerak menyebut terima kasih kepada Hadi namun lelaki itu membalas dengan gelengan.

"Tak ada sebab pun awak nak berterima kasih. Kalau tak disebabkan lelaki berlagak tu, kita tak dapat jumpa semula," ujar Hadi lembut. Dikenangkan semula, memang tak sangka itu bukanlah kali pertama dia dan Batrisya bertemu.

"Kaki saya cramp tiba-tiba dalam pool resort. Tak dapat berenang langsung. Nasib baik awak ada. Awaklah yang tolong saya. Lebih cepat dari lifeguard!"

Setiap kali mengingatkan itu, Hadi akan mengucapkan syukur yang teramat kepada-Nya. Tika itu Hadi fikir dia akan mati lemas di dalam kolam renang. Tubuhnya semakin melorot jatuh ke dalam air. Pandangan juga semakin malap. Kala mata terpejam rapat, ternyata Allah menghantar Batrisya untuk menyelamatkan dia.

Batrisya mengeyakan dengan anggukan. Pertemuan pertama, dia menjadi penyelamat Hadi. Pertemuan kedua, Hadi pula melindungi dia. Dan di pertemuan-pertemuan seterusnya, mereka mulai rapat dan mencipta satu hubungan. Hadi dan Batrisya tak pernah luahkan perasaan masing-masing atau memeterai sebarang janji tapi mereka sama-sama tahu, apa yang ada dalam hati.

Sedar Batrisya sudah mengambil terlalu banyak masa untuk duduk di sini, akhirnya Batrisya meminta diri. Dia menulis sesuatu di atas pad nota sebelum dia tunjukkan pada Hadi.

Saya buat kerja dulu. Awak nak pergi mana lepas ni?

Usai membaca, Hadi menggeleng.

"Hari ni saya tak pergi mana-mana. Saya tunggu awak ajelah. Boleh, kan?"

Batrisya menjawab dengan anggukan. Pad nota dan pen disimpan semula di dalam poket apron lalu Batrisya mulai menapak pergi. Sempat pula Hadi berkata sesuatu dalam nada berbisik.

"Saya tunggu awak, Ariel."

Batrisya yang kini sedang membelakangi Hadi tersenyum lagi. Ariel. Ada masanya Hadi gemar memanggil Batrisya dengan gelaran Ariel, ikan duyung dalam dongeng The Little Mermaid. Apabila ditanya mengapa, Hadi mengingatkan Batrisya tentang pertemuan pertama mereka di Lexis Hibiscus Port Dickson.

Batrisya yang menyelamatkannya daripada mati lemas, tak ubah seperti Ariel yang menjadi penyelamat Putera Eric.

Lantaran itulah Hadi memanggilnya Ariel. Gelaran yang hanya digunakan Hadi, untuk dia seorang.

Batrisya senyum lagi.

"HADI ke mana tadi?"

Satu suara menarik perhatian Hadi. Toleh saja ke belakang, kelihatan Ismail sedang duduk santai di atas sofa sambil membaca buku. Hadi berjalan menghampiri Ismail yang baru lepas mengerling jam dinding.

"Balik lewat lagi hari ni. Pergi Brew and Sip?" tebak Ismail. Nyata tepat mengena bilamana anak terunanya itu mengangguk diiringi segarit senyum.

"Batrisya?" Sebaris nama itu berjaya mengundang senyuman lebar Hadi, sekali gus buatkan Ismail tersenyum sama. Buku diletak ke tepi, kaca mata ditanggalkan. Ismail tetapkan seluruh fokus pada Hadi.

Sejak Hadi mengenali erti sayang dan cinta, hanya satu nama yang bertakhta dalam hati Hadi. Aina Natasha. Hanya nama itu.

Namun selepas Aina, anak tiri kepada abang Ismail iaitu Tengku Iskandar, menikahi Tengku Arhan Yuzlan, Hadi berusaha untuk melupakannya dan memadam nama Aina dalam hati. Baru-baru ini, Ismail dapat rasakan ada satu nama lain pula yang mulai mengetuk pintu hati Hadi. Menurut si anak, insan itu ialah Batrisya.

"Hadi betul-betul sukakan Batrisya?" tanya Ismail lagi.

Angguk.

"Hadi yakin Hadi sayangkan dia? Bukannya sebab Hadi rasa terhutang budi atau sebab Hadi kesiankan dia?"

Mulalah Hadi rasa kurang senang. Segala tentang dia dan Batrisya sudah diceritakan kepada Ismail. Bahkan Hadi pernah suarakan kehendak untuk membawa Batrisya pulang ke rumah. Sebelum ini Ismail tak bertanya atau pertikaikan isi hatinya pun. Kenapa baru sekarang Ismail mahu bersoal siasat seperti ini?

"Papa nak cakap apa sebenarnya?" Hadi terus bertanya. Terlintas dalam fikiran Hadi, apakah Ismail malu seandainya Hadi berkahwin dengan Batrisya? Malu kerana Batrisya seorang wanita bisu? Malu kerana Batrisya hanya seorang wanita biasa dan tidak mempunyai latar belakang yang gah?

"Papa tak kesah Batrisya bisu," kata Ismail yang dapat membaca fikiran Hadi.

"Cuma papa takut, ini bukan pilihan terbaik untuk Hadi."

"Maksud papa?" Pantas saja Hadi membalas. Punggung sudah mulai panas. Sama seperti panasnya dalam hati.

Ismail diam dahulu. Dia renung seraut wajah Hadi. Atau lebih tepat lagi, dia renung sepasang mata Hadi dalam-dalam. Dengan cara itu dia seakan-akan menelanjangi fikiran dan hati satu-satunya anak lelakinya.

"Papa rasa Hadi tak sayangkan Batrisya, sama macam Hadi sayangkan Aina."

Perlahan dan lembut Ismail menyusun kata di hadapan Hadi. Bimbang salah pilih diksi, Hadi akan silap tafsir dan seterusnya mencetuskan perbalahan di antara mereka. Memanglah Hadi tak pernah bersikap biadab dengan Ismail tapi manalah tahu, Hadi boleh berubah kerana wanita dan cinta.

Jelas di mata Ismail, Hadi kini sedang mengetap bibir. Ketara sangat Hadi tersentak dengan bicara Ismail. Kesempatan itu diambil Ismail untuk luahkan apa yang berlegar dalam fikirannya.

"Papa tengok muka dan cara Hadi... Jauh berbeza. Mulut Hadi boleh kata Hadi suka dan sayangkan Batrisya tapi papa tak nampak di mata Hadi. Tapi dengan Aina pula, Hadi tak perlu kata apa-apa. Papa boleh nampak sendiri yang Hadi memang betul-betul cintakan dia..."

"Pa, Aina dah kahwin dengan Hans. Cukup-cukuplah sebut nama dia." Hadi menegur, kurang senang nama Aina terus-terusan dipetik. Sebenarnya Hadi kurang senang Ismail jadi pak nujum seperti ini. Membaca fikiran dan isi hatinya tanpa meminta izin Hadi terlebih dahulu.

"Papa tahu. Papa pun bukannya sengaja petik nama Aina sebab nak Hadi rebut Aina daripada Hans. Cuma papa nak Hadi sedar, perasaan Hadi pada Batrisya tak sedalam mana. Mungkin Hadi selesa dengan Batrisya, suka dengan perwatakan dia. Mungkin juga Hadi rasa terhutang budi dan kesiankan dia. Papa tak nak semata-mata sebab tu, Hadi pilih untuk kahwini Batrisya," kata Ismail. Dia diam sejenak, memberi masa untuk kata-katanya dihadam Hadi.

"Hadi fikirlah dulu. Tapi kalau Hadi yakin dengan perasaan Hadi dan nakkan Batrisya juga, beritahu papa. Papa akan masuk meminang dia. Papa akan terima dia sebagai menantu papa."

Sudahnya, Ismail akhiri perbincangan mereka. Tak ada guna biarkan ia berlanjutan tanpa penamat yang pasti. Tanpa kata pamit diri, Ismail mulai berdiri. Dia capai buku, kaca mata dan telefon pintarnya. Baru menapak selangkah, suara Hadi kedengaran.

"Papa rasa perasaan Hadi pada Isya tak sedalam mana?"

Sebaik Ismail menoleh, dia mengangguk.

"Papa nak Hadi kahwin dengan siapa?"

Ismail jongket bahu pula. Dia bukan ejen pencari jodoh, jauh sekali Tuhan yang menentukan jodoh seseorang. Tetapi andai Ismail diberi peluang untuk menetapkan pasangan hidup Hadi...

"Seorang wanita yang boleh buatkan Hadi sayang dia, lebih banyak daripada sayang Hadi pada Aina dulu. Yang Hadi tak perlu katakan apa-apa tapi papa boleh tahu, Hadi cintakan dia sepenuh hati. Seorang wanita yang sayang dan cintakan Hadi, lebih daripada nyawa dia sendiri."

Dengar saja itu, Hadi jumud. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro