Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 42

Pap!

Tisu poket dilempar ke atas paha Sufi.

Sufi tersentak kecil, kelopak matanya yang masih basah terangkat sedikit sebelum dia berpaling ke sebelah. Pandangannya jatuh pada Tuah yang sedang memandu.

Lelaki itu tidak menoleh, matanya tetap fokus ke jalan raya di hadapan. Namun, riak wajahnya jelas menegang.

"Lap air mata kau."

Nada suaranya datar, tetapi ada sesuatu dalam getarannya—sesuatu yang tidak dapat disembunyikan. Genggamannya pada stereng semakin diperkemaskan, seolah-olah menahan sesuatu di dalam dirinya.

Sufi menarik nafas perlahan, menarik hingus buat sekian kalinya sebelum tangannya mencapai sehelai tisu dari pek kecil itu.

Dia menekap tisu pada pipinya, mengelap air mata yang masih bersisa.
Suasana dalam kereta sunyi seketika, hanya bunyi enjin yang kedengaran.

"Apasal kau kena minta maaf dekat mak cik tu?"Suara Tuah dingin, menusuk ke telinga Sufi yang masih tenggelam dalam emosi sendiri.

Sufi menoleh sekilas, keningnya berkerut. "Kau tak dengar ke apa yang dia cerita? Sofia mati sebab dia nak simbah air panas dekat aku masa hari tu. Pastilah punca sebab aku, siapa lagi
penyebab kematian Sofia kalau bukan aku?"

"Memang bukan kau pun!"

Nada Tuah tiba-tiba meninggi, suaranya tajam menikam ruang kecil dalam kereta itu.

Sufi terkedu. Matanya membulat, tidak berkelip memandang Tuah yang kini sedang mendengus kasar, rahangnya mengeras.

Kenapa dia tiba-tiba naik angin?

Tuah menghela nafas panjang, cuba meredakan api dalam dadanya. Dia tidak berniat untuk melepaskan emosinya kepada Sufi. Lantas, sebelah tangannya naik memicit kepala yang terasa berdenyut, manakala sebelah lagi masih memegang stereng.

"Unknown yang bunuh dia, kenapa kau pula yang kena tanggung rasa serba salah? Bukan kau yang suruh Unknown bunuh perempuan tu."Kata-katanya tegas, tetapi ada nada yang lebih lembut dalam suaranya kali ini.

Sufi memejam mata sesaat, menahan perasaan yang semakin memberat dalam dada.

"Tapi dia bunuh sebab aku."

Suara itu lirih, hampir tenggelam di antara bunyi enjin yang menderu perlahan.

"Sebab Sofia dulu yang hampir bunuh kau." Balas Tuah, pantas.

"Tapi aku tak suruh pun dia bunuh untuk aku!"

Bidas Sufi, lebih kuat kali ini.

Tuah terdiam. Namun, bibirnya mengetap rapat.

Suasana kembali sunyi, hanya bunyi deruan angin di luar tingkap yang menemani mereka.

Sufi menghela nafas, cuba mengawal getaran dalam suaranya. "Mak cik tu menderita, kau tahu tak? Siapa lagi yang nak tanggung hidup dia kalau bukan Sofia? Aku tahu Sofia tu tak sukakan aku sejak dari dulu, tapi itu tak bermaksud aku akan benci dia sampai ke tahap nak dia mati."

Tuah mengetap gigi, tetapi kali ini dia tidak membalas.Dia hanya menggenggam stereng dengan lebih kuat, matanya menatap lurus ke jalan raya yang terasa semakin panjang.

Sufi menggenggam tisu di tangannya dengan erat, jemarinya sedikit menggeletar. Dadanya terasa sempit, seperti ada sesuatu yang menekan kuat di dalam.

Tuah pula masih diam, tetapi dari cara genggamannya pada stereng yang semakin kuat, Sufi tahu lelaki itu sedang cuba menahan sesuatu.

Akhirnya, Sufi bersuara lagi.

"Kalau kau jadi aku, kau takkan rasa benda yang sama ke, Tuah?"

Lelaki di sebelahnya masih diam. Rahangnya menegang, kedua-dua tangannya mencengkam stereng dengan kuat. Mata Tuah tidak lagi fokus sepenuhnya pada jalan raya. Dia ada di sini secara fizikal, tetapi fikirannya—terperangkap di tempat lain.

Di tebing sungai.

Di saat air deras menghayutkan jasad seseorang yang tidak lagi bernyawa.

"Ini mesti kerja kau, kan Tuah?! Apahal kau tolak dia?!"

"Apa yang kau cuba nak buat sebenarnya, huh?! Dia adik kita, kau sedar tak?!"

Tuduhan Gibran terus menghantui benaknya. Nafas Tuah menjadi lebih berat. Dadanya terasa sesak.

"Apasal kau diam?"

Suara Sufi memecah kesunyian, menarik Tuah keluar dari lamunan.

Lelaki itu berdehem perlahan. Tanpa menjawab, dia melirik ke cermin sisi, memastikan laluan selamat sebelum menukar lorong ke sebelah kanan.

"Tentu kau pun akan rasa sama macam aku, kan?" Tanya Sufi, membuatkan Tuah menjeling sekilas.

"Kau pun akan tertanya-tanya kenapa Unknown buat semua ni? Kenapa dia tiba-tiba ada kena mengena dalam hidup kau? Dan kenapa dalam banyak-banyak manusia dalam dunia ni, dia pilih kau?"

Tangannya menggenggam tisu yang sudah renyuk. Air matanya masih mengalir meskipun dia cuba menyeka dengan belakang tangan.

"Padahal hidup kau cuma biasa."

Suaranya semakin perlahan, seiring dengan dadanya yang semakin sesak.

"Tak ada yang menarik pun, sama macam yang Encik Hamid cakap semalam."

Tuah menghela nafas, menjeling Sufi dengan ekor mata. Wajahnya tetap kosong, tiada sebarang reaksi.

Sufi menarik nafas dalam, cuba menahan esakan yang semakin menghimpit dada.

Namun, sebelum dia sempat bersuara lagi—

"Kau jangan menangis boleh tak?"
Kata-kata Tuah memotong segalanya.

Sufi mengangkat wajah, memandang lelaki itu. Keningnya berkerut.

Nada suara Tuah bukan marah.

Bukan juga dingin.

Sebaliknya… berat.

Sufi mengetap bibir. Sepi seketika sebelum dia mengesat wajahnya dengan kasar, menahan sisa sebak yang berbaki.

"Kau tahu aku tak boleh pujuk kau, kan?"ujar Tuah, mendatar.

Sufi kembali memandangnya, cuba mencari sesuatu di wajah lelaki itu.

Tuah tidak menoleh. Namun, cara dia menggenggam stereng dengan erat, seakan-akan mahu meremukkannya—

Sufi tahu.

Tuah sebenarnya sedang menahan sesuatu.

Sufi menarik nafas dalam-dalam, cuba menahan esakan yang hampir pecah. Dia kenal, Tuah bukan jenis yang pandai memujuk, dan lelaki itu jelas tidak selesa melihatnya menangis.

Tapi dia tidak boleh kawal perasaan ini.

"Aku tak minta kau pujuk aku pun," balas Sufi perlahan, jari-jemarinya masih sibuk menyeka air mata yang degil mengalir.

Tuah mendengus kecil. Tangannya menggenggam stereng lebih erat. "Kalau kau tahu aku tak reti pujuk, kenapa kau nak menangis depan aku?"

Sufi menghela nafas, malas mahu melayan tetapi tetap membalas.

"Dah air mata nak keluar, nak buat macam mana? Bukan aku yang paksa." Rungutnya sambil bibir dicebik.

"Tak kesah lah, janji kau berhenti menangis. Menyampah aku tengok." Suara Tuah kedengaran acuh tak acuh, langsung tidak menoleh ke arah Sufi yang kini menayang muka masam.

Sufi mengetap bibir. Geram.

"Tak ada perasaan langsung kau ni! Memang padanlah kau tak ada girlfriend!" Sindir Sufi sebelum berpaling ke arah tingkap. Kedua belah tangannya dipeluk erat ke tubuh, malas hendak menatap wajah Tuah lagi.

Tuah menjeling sekilas, bibirnya mencebik sedikit. "Eleh, dia pun tak ada boyfriend, ada hati nak mengata aku..." desisnya perlahan, namun cukup jelas untuk Sufi dengar.

Sufi terus menoleh, matanya mengecil memandang Tuah di sebelah. Sabar sahajalah hati...








Suasana di dalam bilik pejabat itu sepi, hanya bunyi suara dari rakaman video temu ramah tadi yang sedang dimainkan di monitor di hadapan Gibran. Lelaki itu fokus menatap skrin, sebelah tangannya menongkat dagu, manakala sebelah lagi mengawal tetikus.

Sufi duduk diam di kerusi berhadapan, kepalanya menunduk. Jari-jemarinya saling bertaut, menanti reaksi bosnya. Entah Gibran akan suka atau tidak—video itu pendek, cuma berdurasi dua minit.

Klik.

Rakaman dihentikan. Gibran bersandar, lalu menoleh ke arah Sufi. Tepat pada waktu itu, air mata Sufi sudah mula mengalir dalam video.

"Maafkan saya, bos." Sufi bersuara dahulu sebelum Gibran sempat berkata apa-apa.

"Saya tak boleh kawal emosi tadi, sampai tak sempat nak rakam lebih panjang. Mungkin sebab saya dah lama tinggalkan dunia wartawan, jadi agak kekok untuk mula semula."

Nada suaranya rendah, hampir berbisik. Dia tidak berani menatap wajah Gibran, hanya memandang jemarinya yang sudah berpeluh.

Namun, sebaliknya—

"It's good, actually."

Sufi mengangkat kepala, matanya membulat. "Good?"

Gibran mengangguk perlahan, sekilas memandang kembali rakaman di skrin. Ada senyuman kecil di bibirnya.

"Yeah. Lagipun, netizen tak suka tengok video panjang-panjang. Dua minit dah cukup untuk buat orang faham apa yang berlaku."

Sufi masih terpinga. Tidak menyangka itu komen yang keluar dari mulut bosnya.

"Tapi arwah Sofia akan buat sampai—"

"Jangan bandingkan awak dengan Sofia depan saya."

Suara Gibran memintas, tegas tetapi tidak bernada marah. Sufi tersentak, bibirnya terkatup rapat.

Lelaki itu bersandar sedikit ke depan, kedua-dua tangannya diletakkan di atas meja dengan gaya penuh autoriti. Renungan matanya tajam, memerhatikan wajah Sufi yang masih polos.

"Cukup jadi diri awak sahaja."

Sufi menelan liur perlahan.

"Saya lebih suka."

Bibir Gibran melengkung sedikit, senyumannya samar tetapi jelas ikhlas.

Sufi tersengih kecil. Kekok dengan pujian sebegitu—jarang sekali dia dengar, apatah lagi dari mulut seorang bos. Namun, dia tetap mengangguk perlahan, tanda memahami maksud lelaki itu.

"Baik, bos." Sufi menurut.

Suasana kembali sepi buat seketika. Hujung jari telunjuk Gibran mengetuk meja perlahan, seakan memikirkan sesuatu.

"Boleh saya tanya awak sesuatu?"

Sufi mengangkat wajah. Renungan Gibran yang tajam sedikit sebanyak membuatkan dadanya berdebar.

"Bos... nak tanya apa?" soalnya perlahan.

"Sikap Tuah dengan awak selama ni okay?"

Sufi mengerutkan dahi. Soalan itu datang tiba-tiba, tersimpang jauh dari perbualan mereka sebelum ini. Namun, dia tetap menjawab.

"Okay sahaja. Cuma biasalah, perangai dia kadang-kadang macam budak kecil. Nakal."

"Itu aje?"

Nada suara Gibran seakan mengharapkan lebih daripada jawapan itu.

Sufi mengangguk. Tiada apa yang pelik pada Tuah—sekadar perangai menyakitkan hati yang sudah sebati dengan lelaki itu. Tetapi, wajah Gibran tampak berbeza. Ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

"Kenapa bos tiba-tiba tanya pasal Tuah? Dia ada buat masalah ke?"

Kini giliran Sufi pula bertanya, matanya tajam memerhati perubahan riak wajah Gibran. Namun, lelaki itu hanya menghela nafas perlahan, seakan mencari kata-kata yang sesuai sebelum menjawab.

"Bukan sekarang, tapi masalah yang dah lama berlalu. Antara saya dan dia."

Sufi tersenyum kecil. "Masalah apa?"

Gibran melepaskan nafas, jelas kelihatan keraguan di wajahnya. Dia memusingkan kerusi sebelum bangun, langkahnya perlahan mengelilingi ruang pejabat yang luas.

Sufi hanya memerhati. Dari riak wajah lelaki itu, dari gerak-gerinya, dia tahu—apa yang bakal dikatakan bukan sesuatu yang ringan.

"Saya tak tahu kalau dia dah berubah atau belum, tapi... Tuah tu bahaya sebenarnya."

Kata-kata itu membuatkan Sufi diam. Ada sesuatu yang aneh merayap di hatinya. Dia tidak pasti jika ini satu kebenaran atau hanya kisah lama yang sengaja diungkit.

"Saya bukan nak jauhkan awak dari dia," Gibran bersuara lagi, kali ini nadanya lebih perlahan. "Cuma dia memang perlu dijauhkan. Tuah mungkin takkan cerita benda ni dekat awak, sebab dia tahu... kalau awak tahu, dia akan kehilangan awak serta-merta."

Sufi mengerutkan dahi. "Apa maksud bos?"

Gibran akhirnya berhenti melangkah. Dia memandang Sufi tepat, seakan-akan ingin memastikan yang wanita itu benar-benar mendengar.

"Hazran Tuah yang awak kenal sekarang, pernah bunuh orang berbelas tahun yang lalu."

Jantung Sufi bagai terhenti seketika. Dia membulatkan mata, terkejut—tetapi otaknya pantas menolak untuk terus percaya.

Dia menelan liur. "Bu... Bunuh?"

Namun, Gibran tidak menyambung. Dia hanya membiarkan kata-kata itu menggantung di udara, cukup untuk membuatkan Sufi tertanya-tanya—dan takut.

Sufi merasakan tengkuknya meremang. Dada terasa sesak, seolah-olah ada beban berat menghimpit. Dia cuba menghadam kata-kata Gibran, tetapi otaknya seakan enggan menerima.

"Bos cakap apa ni?" Suara Sufi kedengaran tidak percaya.

"Tuah... bunuh orang?"

Gibran tidak terus menjawab. Dia menatap wajah Sufi, seakan menilai sama ada wanita itu benar-benar bersedia untuk mendengar kebenaran.

"Itu yang saya nak awak tahu," katanya perlahan.

"Dan saya nak awak lebih berhati-hati."

Sufi menggeleng, cuba memproses maklumat itu. "Tapi... kalau betul dia pernah buat, kenapa dia masih bebas? Kenapa dia masih boleh hidup macam biasa?"

Gibran mendengus kecil, tersenyum sinis. "Sebab kes itu ditutup. Tak ada bukti yang cukup untuk dakwa dia."

Sufi menelan liur. Semakin banyak dia dengar, semakin tidak masuk akal semuanya.

"Siapa yang dia bunuh?" Akhirnya, soalan itu terkeluar juga dari bibirnya.

Gibran diam sejenak, seakan-akan sedang memilih sama ada mahu memberitahu atau tidak. Namun akhirnya, dia bersuara—

"Adik saya."

Sufi tersentak. Matanya membesar, bibirnya sedikit terbuka tetapi tiada kata-kata yang keluar.

"Tuah adalah orang terakhir yang bersama adik saya sebelum dia mati. Dan saya pasti dia tahu apa yang berlaku. Sebab itulah saya dan dia tak pernah rapat walaupun kami asal daripada rumah anak yatim yang sama."

Sufi menggeleng perlahan. Hatinya enggan percaya. Tuah yang dia kenal—nakal, sedikit kasar, tetapi bukan seorang pembunuh.

Namun, melihat ekspresi Gibran, melihat bagaimana lelaki itu menahan perasaan—

Sufi mula merasakan bahawa dia mungkin sudah mengenali Tuah dalam cahaya yang salah selama ini.

"Tak, tak mungkin Tuah macam tu. Bos mungkin dah salah faham. Walaupun dia ada dekat situ, tak bermakna dia yang buat."

"Sufi..."

Sufi mengangkat wajah, bertentang mata dengan Gibran.

Lelaki itu melangkah mendekat, sebelah tangannya menekan meja, tubuhnya sedikit menunduk ke arahnya. Matanya tajam, penuh maksud yang sukar ditebak.

"Awak baru kenal dia lima tahun, Sufi. Tapi saya dah kenal dia lebih lama dari awak."

Gibran berhenti seketika, menatap wajah Sufi yang jelas berkerut dengan rasa tidak percaya. Kemudian, dengan suara yang lebih perlahan tetapi berat, dia menyambung—

"Dan saya tahu macam mana liciknya dia... untuk buat otak awak ni—"

Jari telunjuknya mengetuk perlahan dahi Sufi, menekankan kata-katanya.

"Fikir yang dia baik."

Dia menarik nafas, melepaskan keluhan kecil sebelum tubuhnya kembali menegak. Sebelah tangan diseluk ke dalam poket seluarnya, ekspresinya kekal tenang.

"Terpulanglah awak nak percaya atau tak. Saya cuma bagitahu apa yang awak perlu tahu tentang dia."

Gibran melangkah ke mejanya semula, menarik kerusi tanpa memandang reaksi Sufi yang dipenuhi keraguan. Namun, sebelum sempat dia duduk, suara Sufi memecah keheningan.

"Kenapa bos pilih untuk beritahu saya?"

Nada suara itu membuatkan Gibran berhenti. Dia berpaling, melemparkan senyuman kecil yang sukar ditafsirkan.

"Sebab saya dah mula ambil berat tentang awak."

Sufi terkedu. Kata-kata itu menyentak seluruh tubuhnya, membuatkan dia terpaku tanpa mampu bersuara.

Gibran menghela nafas lagi, kali ini lebih dalam.

"Kalau boleh, saya nak pantau semua yang bahaya cuba dekati awak. Tapi saya tahu saya tak mampu. Cukuplah saya suruh awak berhati-hati sahaja."

Sufi menelan liur. Hatinya semakin berbelah bagi. Antara kepercayaannya kepada Tuah, dan amaran yang baru diberikan oleh Gibran.

Lelaki itu melabuhkan punggung di kerusinya, jemarinya pantas menaip sesuatu di papan kekunci. Matanya terhala pada skrin monitor sebelum bersuara.

"Saya akan suruh Razif upload video ni nanti. Cuma awak tak kesahkan kalau saya tak potong bahagian yang awak nangis tu?"

Gibran menoleh, memandang Sufi yang masih duduk di hadapannya.

Riak wajah Sufi berubah sedikit pelik.

"Bukannya apa, orang akan lebih tertarik kalau nampak wartawan menangis sekali. Saya cuma nak tolong video awak viral."

Laju Gibran menambah, seolah-olah dapat meneka kebimbangan Sufi. Dia tidak mahu niatnya disalah anggap.

Sufi terdiam sejenak. Ada rasa malu yang menjalar dalam dirinya—membayangkan berjuta-juta manusia bakal menonton video itu, termasuk saat emosinya tidak terkawal. Namun, demi Viral TV, dia akhirnya mengangguk perlahan.

"Boleh, bos."

Gibran tersenyum, seakan berpuas hati dengan jawapan itu.

"Kalau begitu, saya minta diri dulu."

Sufi pantas bangun dari kerusinya, melangkah menuju ke pintu keluar. Walaupun masih ada sedikit debar dalam hatinya, dia cuba mengabaikannya.

Namun, sebelum sempat Sufi mencapai tombol pintu, suara Gibran kembali memanggilnya.

"Sufi Leila."

Langkahnya terhenti. Dia menoleh, memandang bosnya yang masih duduk di kerusi, namun kini bersandar dengan tangan bertaut di hadapan.

"Kalau ada apa-apa... awak boleh terus bagitahu saya."

Kening Sufi sedikit berkerut. "Maksud bos?"

Gibran menghela nafas kecil sebelum bersuara, kali ini nada suaranya lebih tenang.

"Tentang Tuah... atau apa saja yang buat awak rasa tak selamat. Saya ada untuk dengar semuanya."

Sufi tergamam. Dia dapat merasakan sesuatu dalam kata-kata Gibran, seolah-olah ada maksud yang lebih dalam.

Namun, dia tidak mahu meneka lebih jauh.

"Baik, bos. Terima kasih ambil berat tentang saya." Jawabnya akhirnya.

Gibran tersenyum tipis, kemudian kembali menumpukan perhatiannya ke skrin komputer.

Sufi membuka pintu dan melangkah keluar, tetapi hatinya masih dihimpit perasaan aneh. Seolah-olah ada sesuatu yang dia tidak tahu... sesuatu tentang Tuah yang masih tersembunyi.
















Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro