
Bab 30
Air pancuran terus mengalir, membelai tubuh tegap Haq dengan kehangatan yang menenangkan. Dingin yang mencengkam tubuhnya sejak tadi perlahan-lahan hilang, digantikan rasa lega yang meresap hingga ke tulang. Rambutnya yang basah melekap di dahi, lalu dia menyapu ke belakang, membiarkan air hangat mengalir perlahan menuruni wajahnya.
Wap memenuhi ruang, mencipta kabus tebal yang menyelubungi bilik mandi yang sempit itu. Cermin di sebelahnya sudah kabur, sarat dengan embun yang terbentuk akibat panas air. Nafasnya berat, seolah-olah memikul sesuatu yang lebih daripada sekadar keletihan.
Sejenak, dia hanya berdiri di situ, menikmati saat sunyi yang jarang-jarang dapat dirasai. Tiada bunyi selain titisan air yang jatuh satu persatu ke lantai marmar. Perlahan-lahan, Haq berpaling ke arah cermin. Tangannya yang masih basah diangkat, menyapu wap yang menutupi refleksinya. Sedikit demi sedikit, wajahnya muncul dari balik kabus tebal.
Sepasang mata itu… redup, namun menyimpan seribu satu makna.
"Tapi, Tuan… pihak atasan ada juga mengesyaki sesuatu. Mereka rasa Unknown mungkin orang dalam kita sendiri."
Suara Hanif semalam terngiang di kepalanya. Kata-kata itu bukan sekadar amaran, tetapi satu beban yang kini bertenggek di bahunya.
"Saya harap benda ni tak betul, Tuan. Kalau tak, makin buruk tanggapan netizen di luar sana tentang polis,"
Haq mengeraskan rahang. Tangannya mengepal di sisi cermin itu. Kata-kata Hanif itu bagai jerat yang makin menjerut, menghimpit dadanya dengan satu perasaan yang sukar dijelaskan.
Dia menatap refleksinya sekali lagi, kali ini dengan tekad yang berbara dalam dada.
"Tak. Aku takkan biarkan dorang fikir macam tu."
Bisikannya tenggelam dalam bunyi titisan air yang jatuh satu persatu ke lantai marmar. Wap masih memenuhi ruang sempit itu, menyelubungi tubuhnya dalam kehangatan yang menyesakkan. Matanya kekal terpaku pada refleksi di cermin,wajahnya kabur di balik embun, namun sorotannya tajam.
Haq menarik nafas perlahan, kemudian menghela dengan senyum tipis yang mula terukir di bibir.
"Nampak gaya aku kena gunakan plan lain," gumamnya, nada suaranya hampir tidak kedengaran, tetapi cukup untuk dirinya sendiri mengerti.
Bibirnya menyenget sinis. Matanya masih tidak berkelip, seolah-olah membaca sesuatu di balik pantulan itu. Dia sudah membuat keputusan.
"Aku kena jauhkan semua orang dari Sufi." ucapnya perlahan.
Ada sesuatu dalam senyumannya, sesuatu yang tersirat, sesuatu yang mungkin berbahaya. Haq sudah bersedia untuk bermain dalam permainan ini. Dan kali ini, dia akan pastikan dia yang mengawal segalanya.
Dia mencapai tuala, mengesat rambut yang masih basah sebelum melilit kain itu di pinggangnya. Langkahnya perlahan keluar dari bilik mandi, meninggalkan wap tebal yang masih berlegar di udara. Lampu kamar dinyalakan, mencipta bayang-bayang samar di dinding.
Telefon di atas meja bergetar, seakan menunggu untuk dijawab. Haq mengerling skrin, panggilan daripada Hanif. Dia membiarkan ia berdering seketika sebelum akhirnya mengangkat.
"Ada apa?" Suaranya kedengaran malas, tetapi matanya tetap tajam, merenung kosong ke arah cermin almari di hadapannya.
"Saya cuma nak beritahu tuan yang Sufi dah keluar hospital," suara Hanif bergema di hujung talian, tenang seperti biasa.
Haq diam sejenak, membiarkan kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia mengangguk kecil, sebelum menoleh sekilas ke arah jam dinding yang berdetik perlahan.
"Hmm, kejap lagi aku jemput dia. Suruh dia tunggu aku, jangan pergi mana." ujarnya ringkas.
"Eh, tak perlu tuan. Dia dah naik teksi dengan Tuah tadi. Katanya dia nak ke rumah lelaki itu sekejap."
Haq tersentak. Matanya terbeliak.
"Kau cakap apa?!"
Nada suaranya berubah serta-merta. Kejutan berbaur amarah menggelegak dalam dadanya. Jarinya mengetatkan genggaman pada telefon, sementara sebelah tangan naik memicit kepala yang tiba-tiba terasa panas.
"Korang boleh biarkan dia keluar dengan suspek?" suaranya dingin, setiap perkataan seperti bilah tajam yang menusuk.
"Tapi Tuan, Tuah tu..."
"Apa? Kau nak cakap dia belum terbukti ada kena mengena, huh?" Haq memintas dengan suara yang semakin meninggi.
"Habis kalau tak ada bukti sekalipun, dia boleh sesuka hati keluar dengan Sufi, begitu?! Kita tak tahu niat sebenar dia lagi! Kalau apa-apa jadi dekat Sufi nanti macam mana? Kau nak bertanggungjawab huh?!"
Jerkahan Haq bergema dalam ruang biliknya. Nafasnya naik turun, dadanya berombak menahan marah. Tindakan cuai orang bawahannya benar-benar membakar sabarnya. Hanif di hujung talian hanya diam, mungkin sudah sedar kesilapan mereka.
"Maaf, Tuan. Saya akan arahkan anggota kita cari Sufi sekarang," kata Hanif, suaranya rendah, penuh rasa bersalah.
"Tak payah!" Haq memotong keras.
"Aku sendiri akan cari dia. Apa-apa jadi dekat Sufi, tahulah aku nak denda korang macam mana!"
Tanpa menunggu balasan, talian terus dimatikan. Telefon genggamnya dilempar ke atas meja dengan kasar. Haq mencapai pakaiannya, menyarungnya dengan pantas sebelum melangkah keluar.
Matanya tajam. Langkahnya laju.
Dia tidak akan biarkan Sufi dekat dengan lelaki itu lagi.
Setibanya di kondominium itu, Sufi sempat melirik ke sekeliling. Bangunan tinggi yang tersusun rapi, pencahayaan elegan di lobi, dan permaidani tebal yang melapik lantai—semuanya memancarkan kemewahan.
Mereka terus menuju ke tingkat 15, di mana rumah Tuah terletak. Sepanjang perjalanan di dalam lif, Sufi tidak dapat mengelak perasaan pelik yang mula menjalar dalam hatinya.
Sebaik sahaja mereka tiba di hadapan pintu, Tuah segera memasukkan nombor pin. Sufi, yang masih berdiri di belakang lelaki itu, tidak dapat menahan dirinya daripada bersuara.
"Aku rasa gaji kita takdalah jauh beza sangat. Tapi macam mana kau boleh duduk dekat tempat mewah macam ni?" soalnya, kening terangkat sedikit.
Tadi Tuah beria-ia bercerita tentang berjimat, tetapi melihat keadaan sekeliling, jelas sekali lelaki itu bukannya orang yang kekurangan duit.
Tuah hanya tersenyum kecil, tidak langsung menoleh ke arahnya. "Mana ada mewah, biasa aje," balasnya sambil terus memulas tombol pintu setelah pin berjaya dimasukkan.
Klik.
Pintu terbuka perlahan, memperlihatkan ruang dalam rumah yang tampak luas dan moden. Cahaya malap daripada lampu gantung mencipta bayang-bayang samar di dinding, membuatkan suasana terasa lebih senyap daripada biasa.
"Masuklah," pelawa Tuah sebelum menanggalkan kasut dan melangkah ke dalam.
Sufi menelan liur. Entah kenapa, tiba-tiba dia terasa segan. Bukan kerana rumah itu terlalu mewah, tetapi kerana hanya dia dan Tuah yang berada di dalam ruang itu.
Dengan langkah perlahan, Sufi mengekor dari belakang, matanya melirik ke sekeliling. Rumah itu kemas, tersusun rapi seperti ruang pameran dalam katalog hiasan dalaman. Ruang tamu bersebelahan dengan cermin besar yang menampakkan panorama kota yang dipenuhi cahaya lampu. Dapur juga tidak jauh, hanya di sebelah ruang tamu, ringkas tetapi lengkap dengan perkakas moden.
Tiga pintu di hujung ruang menarik perhatiannya.
Satu mungkin bilik tidur.
Satu lagi mungkin bilik kerja.
Dan yang satu lagi…
Entah.
Mungkin stor kecil, atau mungkin sesuatu yang lain.
"Kemasnya rumah kau. Jarang aku tengok rumah lelaki bujang sekemas ini," puji Sufi sambil melangkah perlahan, matanya memerhati setiap sudut, mencari jika ada sebarang kekotoran atau tanda-tanda sesuatu yang mencurigakan. Namun, tiada. Segalanya bersih, tersusun dengan begitu teliti seolah-olah setiap barang di dalam rumah ini mempunyai tempatnya sendiri.
Di hadapannya, Tuah berjalan ke arah suis, menekan butang untuk menghidupkan lampu dan penghawa dingin. Ruang yang tadinya samar diterangi dengan cahaya putih yang lembut, menambahkan lagi aura tenang dalam rumah itu.
"Aku tak tahu nak buat apa bila bosan, jadi aku akan kemas rumah," balas Tuah, nadanya santai, seolah-olah tidak ada apa-apa yang pelik dengan keteraturannya.
Sufi mengangguk kecil, tanda memahami. Namun, di sebalik anggukannya, ada senyuman terbit di bibir saat fikirannya melayang kepada sesuatu.
"Mesti bertuah siapa yang jadi isteri kau nanti," ujarnya, sekadar bergurau, sambil berpusing ke belakang.
Pandangan matanya jatuh pada Tuah yang kini berada di ruang dapur kecilnya. Lelaki itu sibuk mengeluarkan bahan-bahan dari peti ais, satu persatu diletakkan di atas kabinet dengan tenang, seolah-olah sudah biasa melakukan rutin ini.
Dia sekadar mahu memudahkan kerja Sufi untuk memasak nanti.
Tuah, tanpa berpaling, hanya membalas dengan nada selamba. "Aku tahu. Sebab itu aku tak kahwin lagi sampai sekarang. Aku nak cari yang betul-betul sesuai dengan aku. Kau tahu apa?"
Sufi menjeling tajam, bibirnya dicebik sedikit.
Menyesal puji.
Lelaki ini memang suka sangat isi bakul angkat sendiri!
"Dah, ini sahaja yang ada. Telur, sayur, dengan dada ayam. Ikut kaulah nak masak apa. Aku makan aje," ujar Tuah sambil menutup pintu peti sejuk.
Sufi melangkah ke dapur, memerhati bahan-bahan yang sudah tersedia di atas kabinet. Jari-jarinya menyentuh dada ayam yang masih sejuk, matanya meneliti sayur yang segar. Kepalanya ligat mencari idea, menyusun kombinasi rasa dalam fikiran.
"Kalau macam itu, aku buat nasi goreng ayam," putusnya setelah beberapa saat.
Tuah mengangguk kecil. "Kau buatlah macam rumah sendiri. Aku nak masuk ke bilik sekejap, tukar baju."
Sufi hanya mengangguk tanpa banyak bicara, matanya masih tertumpu pada bahan-bahan di hadapannya. Bunyi pintu bilik Tuah ditutup tidak menarik perhatiannya, yang lebih penting sekarang ialah memastikan masakannya menjadi.
Dengan tenang, dia menyinsing lengan baju hingga ke pergelangan tangan, bersedia untuk mula memasak. Tangannya mencapai dada ayam terlebih dahulu, lalu membawa bahan-bahan segar itu ke singki untuk dibasuh. Air paip mengalir perlahan, mengisi ruang dapur dengan bunyi gemericik yang menenangkan.
Mata Sufi masih tajam, fokus kepada tugasnya. Dia mungkin berada di rumah orang, tapi dapur tetap tempat yang paling dia selesa.
Sufi mencapai pisau dari rak, mengesatnya dengan kain bersih sebelum mula memotong dada ayam kepada cebisan kecil. Setiap hirisan dilakukan dengan cermat, tangannya cekap seperti sudah terbiasa dengan kerja memasak.
Bunyi pisau beradu dengan papan pemotong mengisi kesunyian dapur. Setelah selesai dengan ayam, dia beralih kepada sayur, memotongnya dalam saiz yang sesuai sebelum menolaknya ke tepi.
"Kau nak aku tolong apa-apa ke?"
Suara Tuah kedengaran dari arah belakang, membuatkan Sufi menoleh sekilas. Lelaki itu baru keluar dari bilik dengan pakaian bersih, turtleneck coklat yang tersarung kemas di tubuhnya, dipadankan dengan seluar hitam. Bahagian lengannya sudah disenteng sedikit, memberi isyarat bahawa dia bersedia untuk membantu.
Sufi tersenyum nipis sebelum kembali menumpukan perhatian pada kerja memasaknya. "Tolong masak beras aje. Yang lain biar aku uruskan."
"Okay."
Tanpa banyak soal, Tuah melangkah ke sinki, menyukat beras dan membilasnya sebelum memasukkan ke dalam periuk nasi. Setelah suis dihidupkan, dia bersandar pada kabinet, memerhati Sufi yang masih sibuk di dapur.
Beberapa saat berlalu dalam keheningan sebelum suaranya kembali kedengaran.
"Sufi…" panggil Tuah perlahan.
"Hmm?" Respon Sufi.
"Kau dengan Detektif Haq tu ada apa-apa ke?"
Gerakan tangan Sufi terhenti sesaat. Dahinya berkerut kecil, sebelum dia menyambung kembali memotong sayur.
"Soalan apa kau tanya ni? Tentulah tak. Dia selalu ada dengan aku pun sebab dia jalankan tugas dia aje," jawabnya, nada sedikit pelik dengan soalan yang diajukan.
Tuah tidak segera membalas. Dia sekadar memerhati Sufi dengan pandangan sukar ditafsir.
"Kenapa kau tanya macam tu?" soal Sufi akhirnya, masih tidak berpaling.
Tuah menjungkit bahu, bibirnya mengukir senyum tipis. "Saja. Aku nampak macam dia suka dekat kau. Dan bukan itu aje, dia pun nampak macam bencikan aku."
Sufi mengangkat kening. "Bencikan kau?"
"Masa soal siasat semalam, dia macam tunggu masa nak aku mengaku yang sebenarnya aku Unknown." Suara Tuah sedikit mendatar, namun ada nada tidak puas hati di sebaliknya.
"Entah apa yang Gibran cakap sampai dia lebih percayakan mamat tu daripada aku."
Sufi diam, memikirkan kata-kata Tuah. Dalam diam, dia dapat merasakan ketegangan antara Tuah dan Haq bukan sekadar soal siasat semata-mata. Ada sesuatu yang lebih mendalam.
"Kau dengan bos memang tak rapat ke dari dulu?" tanyanya perlahan.
Tuah menghela nafas panjang, sebelum mengangguk. "Aku pernah bergaduh dengan dia dulu. Sampai sekarang, dia masih berdendam tentang hal tu. Dan dengan apa yang berlaku sekarang, mungkin dia boleh gunakan untuk jatuhkan aku balik."
Sufi tidak membalas. Ada banyak soalan yang ingin dia ajukan, ingin tahu kisah di sebalik pergaduhan mereka. Namun, dia sedar akan batasnya.
Ada rahsia yang mungkin lebih baik tidak diungkit.
Sesekali Tuah menghela nafas perlahan, matanya kembali tertumpu pada periuk nasi yang sedang memanas. Namun, fikirannya melayang jauh, terikat pada persoalan yang berlegar dalam benaknya.
"Sekarang, semua orang syak yang aku adalah Unknown... Kau pun rasa aku pembunuh ke?" soalnya, nada suara mendatar, tetapi ada sesuatu yang tersirat di sebalik pertanyaan itu. Matanya masih tidak beralih, seolah-olah sedang mencari jawapan dalam kepulan wap nasi yang semakin naik.
Sufi sekadar mengukir senyuman tipis. Dengan tenang, dia mengambil bahan-bahan yang telah siap dipotong dan memasukkannya ke dalam mangkuk.
"Tak," jawabnya, yakin.
"Aku tahu kau jenis suka buat hal, tapi untuk jadi Unknown... terlalu mustahil. Aku tahu kau tak sekejam itu."
Suasana sepi seketika. Sufi mencuri pandang ke arah Tuah sebelum beranjak ke singki, membersihkan tangan. Dia langsung tidak menyedari perubahan dalam riak wajah lelaki itu, mata Tuah yang tajam kini melirik ke arah pisau di atas papan pemotong.
Perlahan-lahan, dia menghulurkan tangan, jemarinya menyentuh hulu pisau sebelum menggenggamnya kemas. Dengan langkah tenang, dia bergerak ke belakang Sufi, mendekat tanpa disedari.
"Kau yakin ke kau takkan ubah fikiran?" soalnya, nadanya mendatar, tetapi ada sesuatu yang meresahkan di sebalik kata-katanya.
Sufi, yang masih membelakangkan lelaki itu, hanya tersenyum tipis. "Iya, aku yakin. Aku percayakan kaulah. Kita dah kenal lima tahun. Waktu yang cukup lama untuk kita mula percayakan sesama sendiri."
Langkah Tuah terhenti betul-betul di belakangnya. Wajahnya sedikit condong, bibirnya hampir menyentuh telinga Sufi yang terselindung di sebalik tudung.
"Walaupun dalam keadaan macam ni?"
Tubuh Sufi kaku. Jantungnya seolah-olah terhenti seketika saat dia merasakan sesuatu yang sejuk dan tajam menyentuh lehernya. Nafasnya tersekat. Bunyi air yang masih mengalir dari singki menjadi satu-satunya bunyi yang kedengaran, menggema dalam ruang dapur yang tiba-tiba terasa semakin sempit.
Perlahan-lahan, Sufi menoleh, matanya membulat saat bertemu dengan pandangan Tuah yang redup tetapi penuh tajam.
"Tuah..." suara Sufi lirih, hampir tersekat di kerongkong.
Namun, tiba-tiba, lelaki itu tersenyum sinis. Kemudian, tanpa amaran, dia ketawa kecil sebelum mencampakkan pisau itu ke dalam singki, sengaja mencipta bunyi berdentum yang mengejutkan.
Bahu Sufi sedikit terhinjut.
"Aku gurau aje," katanya selamba.
Sufi masih terkejut, tetapi kini kemarahan mula mengambil alih. Tanpa menunggu lagi, dia mengangkat tangan dan menumbuk dada Tuah dengan kuat.
"Aww!" Lelaki itu mengaduh, menggosok dada sambil ketawa kecil.
Sufi mendengus geram. "Kau ni dah kenapa nak bergurau macam tu? Kau fikir kelakar ke huh?!"
Tuah masih tersengih. "Alah, aku nak tengok je kalau kau betul-betul percayakan aku atau tidak."
"Uji sampai kau letak pisau dekat leher aku? Itu bukannya mainan, Tuah! Kau ingat aku tak takut ke dengan apa yang jadi dalam hidup aku sekarang?" suara Sufi bergetar dengan amarah dan ketakutan yang bercampur-baur. Nafasnya berat, dada berombak menahan emosi. Air mata mula berkaca di hujung matanya, tetapi dia cuba menahan supaya tidak mengalir.
Tuah terdiam. Matanya tertancap pada wajah Sufi yang penuh luka emosi, dan saat melihat kilauan air mata di bawah kelopak matanya, perasaan bersalah serta-merta menjalar ke seluruh hatinya. Dia tidak pernah berniat untuk membuat wanita itu takut, tidak pernah mahu menjadi sebahagian dari mimpi buruknya.
"Sufi..."
"Sampai sekarang aku tak tahu apa kena mengena aku dengan Unknown," suara Sufi semakin lirih, tetapi penuh rasa kecewa.
"Kenapa dia buat semua ni? Kenapa dia buat aku hidup dalam ketakutan? Aku tak nak fikir yang orang paling dekat dengan aku adalah Unknown, sebab aku tak nak kecewa suatu hari nanti!"
Matanya yang kini merah dan basah menatap Tuah dengan penuh harapan yang hampir musnah. Kepercayaan yang selama ini dia genggam kuat, kini semakin goyah akibat perbuatan lelaki itu sendiri.
"Lebih-lebih lagi kalau betul kau adalah dia..."
Air matanya akhirnya jatuh ke pipi. Tangannya menggenggam erat jari-jarinya sendiri, tubuhnya sedikit menggeletar.
"Aku tak nak kau masuk penjara..." rintih Sufi dalam suara yang hampir berbisik. Kepalanya menunduk, seolah-olah kehilangan segala keyakinan yang dia ada terhadap lelaki itu.
Tuah menghela nafas panjang, matanya meredup. Dia tidak mahu melihat Sufi dalam keadaan seperti ini. Dengan langkah perlahan, dia mendekati wanita itu. Tangannya mencapai sekeping tisu yang berada berdekatan, sebelum menghulurkannya untuk mengelap pipi Sufi yang basah dengan air mata.
Sufi sedikit tersentak, tetapi tidak mengelak. Sentuhan lembut itu membuatkan dia perlahan-lahan mengangkat wajahnya kembali, matanya kini bertemu dengan mata Tuah yang redup.
"Aku minta maaf," ujar Tuah akhirnya, suaranya sarat dengan keikhlasan.
"Kali ini memang salah aku."
Sejenak, dia merenung dalam ke mata Sufi, seolah-olah mencari sesuatu yang tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.
"Kau pun tahu, aku sentiasa ada dengan kau. Mustahil untuk aku buat kerja gila ni, sebab aku tahu aku takkan boleh berpisah dengan kau." Nada suaranya berubah, lebih mendalam, lebih jujur.
"Dalam dunia ni, aku ada kau sahaja, Sufi." Ucapnya.
Sufi hanya diam, mendengar.
"Aku cuma nak kau percayakan aku sahaja," sambung Tuah, masih merenungnya.
"Sebab tiada orang lain lagi yang akan percayakan aku selain kau seorang."
Sufi mengerjapkan mata. Dia mahu mempercayai lelaki itu. Dia memang percayakan Tuah. Tetapi... sampai bila kepercayaan itu boleh bertahan?
"Kau... percaya aku bukan Unknown, kan?" suara Tuah kedengaran sedikit mendatar, namun ada nada yang halus di sebaliknya.
Sufi mengangguk, jari-jarinya pantas mengesat sisa air mata dengan belakang tangan. Wajahnya masih basah, tetapi matanya memancarkan keyakinan.
"Mestilah. Tapi kau jangan buat macam itu lagi!" Tegasnya, nadanya masih tersisa geram.
Tuah mengangkat kedua-dua tangan, tersengih kecil. "Fine. Dah tak ada pisau dekat tangan."
Sufi mendengus. Menyampah. Mahu sahaja dia membalas dengan satu tumbukan ke bahu lelaki itu, tetapi mengenangkan Tuah sudah mengaku salah, niat itu dibatalkan. Namun, tetap saja rasa tidak puas hatinya masih ada.
"Kau suka buat aku macam ni!" Sufi mendengus kecil. "Sekarang, mana tandas? Aku nak basuh muka!"
Tuah tergelak kecil melihat wajah Sufi yang masih berkerut geram. "Gunalah bilik air dalam bilik aku tu dulu," katanya, menunding jari ke arah biliknya.
Sufi menjeling sekilas, tanpa membalas. Kakinya melangkah laju menuju ke bilik lelaki itu, menumpang bilik air di dalamnya. Dari jauh, Tuah dapat mendengar bunyi pintu dihempas dengan sedikit kuat.
Senyuman kecil yang terukir di bibir Tuah perlahan-lahan pudar. Seiring dengan hilangnya bayangan Sufi di sebalik pintu biliknya, ekspresinya berubah, tiada lagi usikan nakal, tiada lagi senyuman yang biasa terukir di wajahnya.
Jemarinya menggenggam erat tisu yang masih lembap dengan sisa air mata Sufi. Mata yang tadinya redup kini bertukar kosong, menatap jauh ke ruang yang tiada penghujung.
Suara nafasnya perlahan, hampir tidak kedengaran. Bibirnya bergerak sedikit, menggumam sesuatu, yang hanya dia sendiri tahu.
"Aku tahu kau akan percayakan aku."
Senyuman tipis terukir di bibirnya, tapi bukan senyuman kegembiraan. Ada sesuatu di sebaliknya. Sesuatu yang tersembunyi.
Tisu di tangannya diremas sebelum perlahan-lahan dilepaskan ke dalam tong sampah. Pandangannya beralih ke arah singki yang masih mengalirkan air. Dia langsung menutup.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro