
Bab 22
Setibanya di lokasi kejadian, Haq memberhentikan Audi hitamnya di pinggir jalan, enjin berdengung perlahan sebelum dimatikan. Pintu terbuka dengan satu tolak yang santai, dan dia melangkah keluar dengan penuh gaya. Bomber jaket hijau tua membaluti tubuhnya, serasi dengan T-shirt hitam dan jeans lusuh yang membalut kakinya. Cermin mata hitam bertenggek di wajah, bukan sekadar aksesori, tetapi perisai dari cahaya mentari yang tajam menikam pandangan.
Dia mengatur langkah menuju ke tali kuning yang melingkari sebahagian hutan, kawasan yang kini menjadi tumpuan utama. Deretan ahli forensik sibuk meneliti setiap inci tanah, manakala beberapa ekor anjing K9 menggali udara dengan hidung mereka, memburu petunjuk yang tersembunyi. Kamera wartawan berkelip-kelip, mikrofon diacungkan ke sana sini, melaporkan berita panas tentang kepala tanpa badan yang baru ditemui, masih segar, masih membisikkan misteri.
"Ada jumpa apa-apa bukti lagi?" suara Haq memecah kesibukan, nada tenangnya terarah kepada Koperal Hanif yang bersandar di kereta polis, memerhati situasi dengan wajah serius.
Hanif, yang terleka seketika, segera menyedari kehadiran pegawai atasannya. Dia menegakkan tubuh serta-merta, jari rapat ke dahi memberi tabik hormat.
"Selamat pagi, Tuan!" sapanya tegas.
Haq hanya mengangguk kecil sebelum menyertai Hanif, turut bersandar pada kereta dengan tangan bersilang di dada. Pandangannya jatuh pada anjing-anjing K9 yang tekun menghidu tanah yang masih basah akibat hujan malam tadi, seolah-olah cuba merungkai rahsia yang terkubur di bawahnya.
"Belum ada apa-apa lagi, Tuan. Anjing-anjing kita susah nak kesan bau. Hujan malam tadi mungkin dah menghapuskan banyak bukti," ujar Koperal Hanif, nada suaranya sarat dengan kekecewaan.
Haq tersenyum sinis, bibirnya terangkat sedikit di satu sisi.
"Pandai juga si pembunuh ni," gumamnya perlahan. Dia tidak terkejut. Penjenayah yang licik sentiasa tahu bila masa terbaik untuk bertindak. Dan hujan? Itu adalah musuh utama penyiasatan forensik. Setiap titis yang jatuh membasuh jejak, menghilangkan sisa-sisa keberadaan si pelaku.
Hanif menghela nafas, tangannya meraup tengkuk seketika.
"Saya rasa dia memang dah faham cara kita bekerja, Tuan. Sebab tu dia tahu apa yang perlu disorok dan apa yang boleh ditinggalkan. Macam telefon yang saksi jumpa semalam, nampak macam bukti penting, tapi bila diperiksa, simkad pun tak ada. Baik tak payah tinggal..."
Kata-kata Hanif membuatkan dahi Haq berkerut. Seketika dia berpaling, renungan tajamnya tertancap pada lelaki di sebelah.
"Simkad hilang?" soalnya, suara sedikit mendatar namun penuh makna.
Hanif mengangguk perlahan.
"Iya, Tuan. Kami dah periksa telefon yang Cik Sufi jumpa tu. Tapi simkadnya langsung tak ada. Seolah-olah si unknown sengaja tinggalkan telefon itu di situ untuk kita jumpa. Dan satu lagi..."
Seketika, Hanif menelan liur, dahinya berkerut.
"Kenapa dia perlu letakkan kepala mangsa di atas pokok? Kalau dia mahu hapuskan bukti, bukan ke lebih bagus kalau dia lenyapkan semuanya sekaligus? Bukannya dia tak boleh buat semua tu. Tubuh mangsa sampai sekarang tak jumpa!"
Haq sekadar mengangkat bahu kecil.
"Mungkin dia sengaja nak kita jumpa." balas Haq.
"Betul!" Hanif menyahut cepat, seperti mendapat sokongan.
"Dia memang nak kepala tu dijumpai. Nak orang tahu yang mangsa dah mati. Dan bukan calang-calang mangsa tuan, tapi Cik Sofia! Wartawan terkenal! Sekarang satu negara heboh bercakap tentang dia. Tak ada siapa sangka yang next target unknown ialah Cik Sofia. Gila betul kerja si pembunuh ni."
Kata-kata Hanif tidak mendapat reaksi yang diharapkan. Haq masih dengan wajah tenangnya, langsung tidak terusik.
"Kalau dia bukan wartawan, mungkin dia masih hidup sampai sekarang," ujar Haq perlahan.
Hanif mendengus kecil, jelas tidak puas hati.
"Tapi itu memang kerja dia, Tuan. Dah memang dia layak jadi wartawan. Kenapa perlu ada yang tak boleh terima? Apa penting sangat siapa yang sampaikan berita tentang jenayah dia? Dan satu lagi, Cik Sufi tu... apa kena-mengena dia dengan unknown?"
"Mungkin peminat." Haq menjawab sepatah.
"Kau sendiri tahu, peminat fanatik sanggup buat apa saja demi orang yang mereka obses." Sambungnya lagi.
Namun Hanif menjuihkan bibir, mendengar teori yang baginya langsung tidak masuk akal.
"Tak logiklah. Saya tengok Cik Sufi tu... biasa-biasa je. Nak kata cantik sangat, tak juga. Comel? Mungkin sikitlah. Kalau kata unknown ni tertarik sebab kerja dia pun pelik. Cik Sufi tu bukannya selebriti, bukannya pensyarah, bukannya sesiapa yang patut menarik perhatian macam ni. Dia cuma penulis artikel jenayah. Haihh... tak ada taste betul pembunuh ni."
Dia ketawa kecil, namun tawa itu mati perlahan-lahan.
Wajah Haq masih serius. Tiada senyuman, tiada reaksi, seolah-olah kata-kata Hanif tadi terlalu hambar untuk dilayan.
Hanif tersentak. Jantungnya berdetak sedikit laju. Dia menelan liur dan berdehem perlahan, sebelum cepat-cepat mengalihkan pandangan ke arah lain.
Kenapa tiba-tiba rasa seram?
"Dah berapa lama kau jadi koperal?"
Suara Haq memecah kesunyian, tiba-tiba dan tanpa amaran. Hanif mengerutkan dahi, sedikit terpinga. Apa kaitan soalan itu dengan perbualan mereka tadi?
Namun, dia tetap menjawab.
"Baru nak masuk dua tahun, Tuan." Hanif tersengih kecil, cuba menyembunyikan rasa kekok yang tiba-tiba menjalar.
Haq tidak memberi sebarang reaksi selain cebikan halus di bibir. Kepalanya terangguk-angguk perlahan, seolah-olah sedang menimbang sesuatu dalam fikiran. Namun, tiada kata-kata yang keluar.
Hanif menunggu, namun apabila Haq terus membisu, dia akhirnya bersuara, tidak mampu menahan rasa ingin tahu yang kian menghimpit.
"Kenapa Tuan tanya?"
Haq masih diam. Hanya senyuman kecil yang terbit di wajahnya, senyuman yang entah kenapa terasa aneh di mata Hanif. Tidak menyenangkan. Tidak meyakinkan. Malah, cukup untuk membuatkan jantungnya tiba-tiba berdegup lebih pantas, satu perasaan resah mula menjalar perlahan.
Kemudian, akhirnya Haq bersuara, nadanya tenang, tetapi menikam tajam.
"Sebab aku risau kalau kau tak sempat naik pangkat... dengan mulut kau yang lancang tu."
Hanif terkedu. Senyumannya mati serta-merta. Kata-kata itu jatuh tepat ke dadanya, menusuk tanpa belas.
Pap!
Tepukan kuat hinggap di bahu kiri Hanif, membuatkan tubuhnya sedikit tersentak. Jantungnya berdegup kencang saat dia berpaling. Haq, dengan gerakan perlahan, menanggalkan kaca mata hitamnya, merenung wajah Hanif yang jelas mulai pucat.
"Unknown dah bunuh dua mangsa tahun ni," suara Haq mendatar, tetapi sarat dengan maksud tersirat.
"Dan aku tak nak, kepala kau pula yang aku jumpa atas pokok tu nanti."
Bulu roma Hanif meremang. Entah itu satu amaran atau ugutan, dia sendiri tidak pasti.
Haq tersenyum, tetapi bukan senyuman yang menenangkan. Ada sesuatu yang sinis di sebaliknya. Dia menepuk bahu Hanif beberapa kali, sebelum kembali menyarung kaca mata hitamnya dan beralih menuju ke kereta.
Hanif terpinga-pinga. Rasa seram yang merayap di tengkuknya belum hilang, namun melihat Haq melangkah pergi, dia cepat-cepat berpaling.
"Tuan nak pergi mana? Kerja kita belum selesai lagi dekat sini." tegurnya, cuba menghentikan langkah lelaki itu.
Haq tidak menoleh. Namun langkahnya berhenti di situ. "Aku nak melawat saksi di hospital. Lagipun, semalam aku dengar unknown ada datang ke sana. Jadi aku kena buat soal siasat. Mungkin dekat situ ada jawapan yang lebih kukuh daripada di sini."
Hanif terdiam, tidak tahu mahu membalas apa.
"Apa-apa yang penting jangan lupa update dekat aku." Tegas Haq.
Tanpa menunggu lagi, Haq meneruskan langkahnya, membuka pintu Audi hitamnya sebelum melangkah masuk. Enjin dihidupkan, dan dalam sekelip mata, dia sudah berlalu pergi, meninggalkan Hanif yang masih berdiri di situ, cuba menghadam kata-kata yang baru sahaja didengarinya.
Kelopak mata Sufi terbuka perlahan, matanya terasa berat dan sedikit silau akibat cahaya lampu yang terang di atasnya. Tanpa sedar, dia mengangkat tangan, cuba menghalang cahaya itu daripada menyentuh matanya. Namun, jarum drip yang terpasang di belakang tangan kiri menyedarkannya bahawa dia berada di hospital.
"Apa yang berlaku?" Gumam Sufi dengan suara lemah, masih kabur dengan keadaan sekeliling.
Kepalanya terasa kosong, tiada ingatan jelas tentang apa yang terjadi semalam. Mungkin kerana tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya, membuatkan fikirannya jadi kelam.
"Sufi? Kau dah sedar?"
Suara itu datang dengan resah, Perlahan-lahan, Sufi berpaling ke kanan. Tuah kelihatan duduk di sofa berhampiran, namun segera bangun dan mendekati katil apabila dia menyedari Sufi sudah sedarkan diri.
"Tuah?" Sufi memandang lelaki itu dengan kening berkerut. Apa yang Tuah buat di sini?
Tuah yang mendengar suara Sufi yang serak hanya tersenyum, seolah-olah sudah menjangka. "Kau nak air?" Soalnya, kemudian tanpa menunggu jawapan, dia segera mencapai gelas di atas meja dan menuang air putih ke dalamnya.
Sufi memandang Tuah sebentar, matanya masih kabur. "Kenapa aku ada dekat hospital? Apa yang dah jadi semalam?" Soalnya lemah, namun dia berusaha untuk bangkit, cuba mengubah posisi dari baring kepada duduk.
"Eh, kau ni... kenapa nak bergerak?"
Tuah yang menyedari Sufi cuba bangun, segera meletakkan gelas itu kembali ke meja. Tanpa berfikir panjang, dia mengalihkan tangannya, memegang kedua belah bahu Sufi dengan lembut, membantunya untuk duduk dengan berhati-hati.
Setelah memastikan Sufi duduk dengan selesa, Tuah kembali mencapai gelas berisi air kosong itu. Dia melabuhkan separuh punggungnya di atas katil pesakit tersebut.
"Sofia..." Sufi bersuara perlahan. Barulah dia teringat akan peristiwa menakutkan semalam yang membuatkan semangatnya pudar dan akhirnya pengsan. Wajahnya serta-merta berubah panik. Sufi segera memalingkan kepala memandang Tuah, yakin lelaki itu pasti tahu apa yang berlaku semalam.
"Tuah, Sofia macam mana? Ak... Aku cuma bermimpi, kan?" Soal Sufi, kelam kabut. Lengan Tuah ditarik, mendesak lelaki itu agar memberi penjelasan.
Namun, Tuah hanya mendiamkan diri, seakan sengaja mengelak menjawab soalan Sufi.
"Minum dulu." Tuah bersuara lembut, sambil meletakkan gelas di bibir Sufi, memaksanya meneguk air terlebih dahulu sebelum mereka berbicara lebih lanjut.
Setelah meneguk separuh gelas air, Sufi segera menolaknya jauh dari bibirnya. Fikirannya masih terperangkap dengan Sofia. Hatinya resah, tidak tenteram selagi dia belum mengetahui apa yang sebenar terjadi pada wanita itu.
"Sofia macam mana? Apa yang aku nampak semalam tu tak mungkin benar, kan? Itu cuma mimpi aku sebab aku pengsan, betul tak? Dia tak mati, kan? Tuah?" Soalan demi soalan keluar dari mulut Sufi, jelas kelihatan ketakutannya untuk menerima kenyataan yang mungkin lebih buruk. Tanpa disedari, air matanya mula mengalir perlahan, membasahi pipinya. Dia berharap benar wanita itu masih selamat.
Namun, Tuah masih berdiam diri, tidak memberi sebarang jawapan. Dengan tenang, dia meletakkan gelas itu di atas meja. Tindakan Tuah yang begitu bersahaja membuatkan Sufi merasa sedikit tidak puas hati, seperti ada sesuatu yang sengaja disembunyikan darinya.
"Tuah... tolonglah cakap. Jangan biar aku tertanya-tanya macam ni!" Sufi mendesak, menggoncang lengan kanan Tuah dengan penuh emosi.
Tuah memejamkan mata sejenak, melepaskan nafas kecil sebelum berpaling dan memandang Sufi.
"Okay, okay, relax. Aku akan cerita," kata Tuah dengan suara tenang. Kedua-dua tangannya memegang bahu Sufi, yang dibalut dengan pakaian pesakit hospital, mengusapnya perlahan, seolah-olah cuba menenangkan hati wanita itu.
Anak mata Sufi yang masih berkaca itu ditenung dengan penuh dalam. Bibir Tuah terbuka sedikit serupa ingin menyampaikan sesuatu, namun terlalu berat.
"Dia tak mati, kan? Aku yang silap pandang semalam, betul tak?" ulang Sufi dengan suara yang semakin bergetar. Air matanya semakin laju mengalir.
Tuah menggelengkan kepalanya perlahan.
"Hei, jangan menangis. Aku tak suka tengok kau menangis macam ni. Apa pun yang berlaku semalam, bukan salah kau." Suara Tuah lembut, tangannya mencapai sehelai tisu dari meja dan menyeka air mata yang membasahi pipi Sufi dengan penuh kelembutan.
"Kau dah cuba, okay? Bukannya tak cuba untuk selamatkan dia..." Tuah berkata perlahan, suaranya penuh lemah.
"Apa maksud kau ni?" Sufi semakin gelisah, hatinya dipenuhi dengan ketakutan untuk menghadapi kenyataan yang semakin hampir. Setiap perkataan Tuah seperti merobek hatinya, dan apabila sambungan kalimat Tuah sampai ke telinganya, jantungnya seakan-akan berhenti berdegup.
"Sofia... Dah tak ada."
Sufi terdiam, dunia seakan berhenti berputar di sekelilingnya. Perjuangannya untuk menyelamatkan wanita itu akhirnya berakhir dengan kegagalan yang pahit. Bibirnya mengetap erat, dan tangannya menggenggam kuat cadar katil, seakan-akan cuba menahan segala rasa sakit yang sedang menguasai diri.
"Dia... dah tak ada?" Sufi mengulang dengan suara perlahan, hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Tuah hanya mampu mengangguk perlahan, menandakan kebenaran yang menghancurkan hati itu.
Hati Sufi terasa remuk, seolah-olah setiap inci kekuatannya direntap pergi. Air mata yang selama ini ditahan akhirnya tumpah, mengalir tanpa henti, membasahi pipinya. Dia merasa seolah-olah tidak berdaya, gagal untuk menyelamatkan seseorang yang baru sahaja mengharapkan pertolongannya.
"Semua ni salah aku..." Sufi memulai dengan menunduk, merasakan bahawa semua kesalahan ada pada dirinya sendiri.
"Tak, Sufi..." Tuah cuba menepis tuduhan itu, menggeleng kepalanya dengan perlahan.
"Kenapa? Kenapa kau datang lambat? Kenapa tak terus bawa aku ke balai?" Sufi bertanya, suaranya penuh dengan kekesalan. Dia menumbuk dada Tuah, mempersalahkan lelaki itu kerana tidak tiba lebih awal. Mungkin jika Tuah sampai lebih cepat, dia sempat menyelamatkan Sofia.
Namun, Tuah tidak menghalang. Dia membiarkan tangan kecil itu memukul dadanya, membiarkan Sufi melepaskan kesal dan amarah yang terpendam.
"Kalau kau sampai lebih awal, mungkin Sofia tak jadi macam ni! Apa pentingnya sampah yang kau buang tu berbanding nyawa orang lain? Kenapa kau tak utamakan aku dulu?" rintih Sufi, terus menumbuk dada Tuah berulang kali, seolah-olah dengan setiap pukulan itu, dia berharap boleh mengubah masa lalu.
"Ya, aku salah. Maafkan aku." Tuah bersuara perlahan, menatap wajah Sufi yang masih dipenuhi air mata. Dia menggenggam tangan Sufi dengan lembut, menghentikan perbuatan itu yang tidak akan mengubah apa yang telah terjadi.
"Sufi, dengar aku dulu..." Suara Tuah perlahan, cuba mendapatkan perhatian wanita itu.
"Pandang aku." Tuah mengarah, tangannya dengan lembut menarik dagu Sufi supaya mereka saling bertatapan.
"Walaupun Sofia dah tak ada, itu bukan salah kau. Tak perlu rasa bersalah, Sufi. Ini mungkin takdir dia, sesuatu yang kita semua harus terima, walau sekeras mana pun kita dah cuba berusaha," jelas Tuah, berusaha memberikan ketenangan kepada Sufi.
"Polis pun tak mampu untuk selamatkan semua orang, apatah lagi kau seorang," Tuah menyambung, dengan harapan Sufi akan mengerti.
"Tapi dia minta tolong aku..." Suara Sufi bergetar, masih dilanda kekecewaan.
"Dia cakap hanya aku yang boleh hentikan semuanya. Siapa sebenarnya unknown tu? Kenapa aku terlibat dalam hidup dia? Apa yang aku buat sampai orang lain menjadi mangsa? Kenapa dia buat semua ni untuk aku? Aku tak rasa yang aku kenal dia..." Sufi meluahkan segala persoalan yang berselubung di fikirannya.
Manakala Tuah hanya mendengar dengan penuh perhatian. Dia tidak memberi sebarang reaksi, hanya menatap wajah Sufi yang penuh kekeliruan dan kesedihan.
"Kau akan tahu nanti," akhirnya Tuah bersuara setelah beberapa saat membiarkan kesunyian memerintah.
Sufi masih menangis, namun pandangannya jelas tertanya-tanya. Perlahan-lahan, dia mengangkat wajahnya, menatap Tuah dengan penuh harapan.
Namun, Tuah hanya merenungnya, penuh dengan makna yang mendalam. Sesuatu yang sukar untuk Sufi menebak.
"Suatu hari nanti, aku pasti unknown akan beritahu kau, kenapa dia buat semua ni." Kata Tuah, suaranya tegas dan penuh misteri.
Sufi masih tercengang, cuba untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Tuah. Suasana dibilik itu kembali sepi. Baru sahaja bibir Sufi ingin berkata sesuatu, suara pintu yang terbuka menarik perhatiannya.
Dia menoleh ke pintu, melihat seorang lelaki berpakaian kemeja putih berdiri di situ, membawa beg kertas di tangan kanannya. Bahkan lelaki itu kelihatan sedikit terkejut melihat ada orang lain di dalam bilik ini selain Sufi.
Kening Sufi berkerut, tak percaya dengan kemunculan lelaki itu.
"Bos?" Sufi menyoal, terkejut dengan kehadirannya.
Tuah yang sedang memandang Sufi, segera berpaling ke belakang, terkejut apabila melihat Tuan Gibran berdiri di pintu bilik. Lelaki itu hanya memandang mereka berdua dengan wajah yang tenang, namun kehadirannya jelas mengejutkan Tuah.
Hati Tuah berbisik dalam kebingungan, Apa yang dia buat di sini? Ada keraguan yang melintas di fikirannya, bertanya-tanya bagaimana Tuan Gibran tiba-tiba muncul di hospital ini. Dengan beg kertas di tangan kanan, lelaki itu seakan-akan sudah merancang untuk ke sini, tetapi pandangan Tuah sudah cukup untuk menggambarkan ketegangan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro