
Bab 21
Jarum jam tepat menandakan pukul 3 pagi, suasana di bilik doktor itu sunyi dan tenang. Hanya bunyi ketukan papan kekunci yang pecah, ketika doktor itu masih tekun memeriksa data pesakit yang tercatat di dalam komputer. Bilik itu berbau ubat-ubatan dan disinari cahaya redup daripada lampu meja. Jelas sekali dia sedang menjalani shift malam di hospital, menyiapkan laporan sebelum waktunya tiba.
Tok! Tok!
Tiba-tiba, pintu diketuk perlahan. Suara ketukan itu memecah kesunyian malam.
"Masuk!" kata doktor itu, tidak memalingkan wajahnya dari skrin komputer. Pintu itu kemudian dibuka perlahan. Seorang lelaki mengenakan uniform biru, lengkap dengan pelitup muka dan sarung tangan, melangkah masuk. Di tangan lelaki itu terdapat secawan kopi yang panas.
"Kopi," ujarnya dengan suara perlahan, hampir tidak kedengaran, sambil meletakkan cawan kopi itu di atas meja doktor.
"Oh, terima kasih, nurse," jawab doktor itu tanpa berpaling, sibuk dengan dokumen yang sedang ditatapnya. Tetapi, sebelum sempat dia menoleh, lelaki itu sudah bergerak dan meninggalkan bilik kerjanya tanpa sepatah kata lagi.
Doktor itu tercengang seketika. Keningnya berkerut pelik, memandang kopi yang baru diletakkan di atas mejanya. "Jarang sekali jururawat di sini yang sudi buatkan kopi," bisiknya dalam hati. Itu pasti jururawat junior, masih cuba berjinak-jinak dengan tugasnya.
Mata doktor itu terasa semakin berat, tanda keletihan yang sudah hampir menguasai tubuhnya. Dia menghela nafas sejenak, lantas mengabaikan perasaan aneh yang tiba-tiba muncul. Dia mencapai cawan kopi itu dan membawa ke bibir.
"Sedap juga dia buat," katanya sambil meletakkan semula cawan itu di atas meja. Kehangatan kopi itu sedikit sebanyak menyegarkan matanya yang berat. Namun, tidak lama kemudian, pandangannya terasa kabur. Tanpa disedari, sebelah tangannya mengusap mata, cuba untuk menenangkan diri. Sesuatu tidak kena, entah kenapa matanya terasa semakin samar-samar.
"Kenapa dengan aku ni?" Soal doktor itu, matanya berkelip-kelip cuba menyedarkan diri dari rasa aneh yang semakin memuncak. Kepalanya terasa berat dan berpusing, seperti dunia di sekelilingnya berputar dengan laju. Sesekali, dia menggelengkan kepalanya, berharap agar rasa pening itu hilang, tetapi semakin dia cuba menenangkan diri, semakin teruk pula keadaan yang dirasainya.
Mungkin kerana terlalu mengantuk, fikirnya. Dengan langkah yang goyah, dia memutuskan untuk bangun dari meja, niatnya untuk menuju ke bilik air dan membasuh muka agar dapat menyegarkan dirinya. Namun, setiap langkah yang diambil terasa seperti sebuah cabaran. Kakinya terhuyung-hayang, seperti orang yang mabuk, kepala berdenyut-denyut hebat, membuatkan dia berhenti sebentar di tepi meja.
"Apa benda ni? Siapa yang buat air tadi?" Soalnya, memicit kepalanya yang semakin pening. Sesekali matanya terpejam, cuba untuk menenangkan diri. Namun, pandangannya semakin samar dan kabur, dunia seakan berbalam-balam di hadapannya.
Tiba-tiba, sebuah bayang-bayang lelaki muncul di hadapannya. Lelaki itu, yang sebelumnya dikenali sebagai jururawat, kini terlihat sedang menarik pelitup muka dari wajahnya. Sebuah senyuman jahat terukir di bibir lelaki itu.
"Tidurlah. Biar aku yang jaga dia," ujar lelaki itu dengan suara yang tenang, namun penuh dengan makna yang menakutkan.
Doktor itu mengecilkan matanya, cuba mengecam wajah lelaki itu dengan pandangan yang kabur, namun semakin sukar. Setiap garis wajah lelaki itu seakan menghilang dalam pandangannya yang semakin pudar.
"Kau... kau siapa? Apa yang kau dah letak... ergh..." Belum sempat dia menghabiskan pertanyaan itu, tubuhnya tiba-tiba jatuh ke lantai, terkulai lemah. Rasa berat di kepalanya memaksa tubuhnya terbaring, kesan dari ubat tidur yang dicampur bersama kopi tadi. Dunia gelap sepenuhnya menyelubunginya.
Lelaki misteri itu melepaskan nafas panjang, seperti menahan rasa puas yang memenuhi dada. Matanya yang tajam memerhatikan tubuh doktor yang terkulai lemah di lantai, tidak sedarkan diri akibat ubat tidur yang sudah mula menunjukkan kesan. Senyuman penuh kemenangan terukir di bibirnya.
"Mudah betul manusia normal diperbodohkan..." ujarnya, dengan nada sinis yang penuh dengan ejekan. Ada tawa kecil yang mengiringi kata-katanya, seolah-olah merasa bangga dengan keberhasilannya menipu seorang profesional.
"Sekarang, mari kita tukar baju."
Tanpa membuang masa, dia segera mengangkat tubuh doktor itu. Kaki-kaki yang terhuyung-huyung akibat tidak lagi mempunyai kawalan, diheret ke arah bilik air yang terletak tidak jauh dari meja kerja. Dia bergerak cekap, tidak ada satu gerakan pun yang lambat, seakan sudah terlatih melakukan perkara ini berulang kali.
Dengan pergerakan yang teliti dan penuh hati-hati, dia menanggalkan pakaian doktor itu secepat mungkin. Berganti uniform biru yang dipakainya.
"Tadaa!"
Kini, tubuh tegapnya sudah lengkap berpakaian dengan kot putih, seakan-akan dia memang seorang doktor. Dia tersenyum puas, mengetahui bahawa misi penyamarannya kali ini pasti tidak akan gagal. Setiap perinciannya sudah dirancang dengan rapi, dan pakaian ini hanya akan melengkapkan lakonannya.
"Oh?"
Dalam sekelip mata, matanya tertumpu pada pantulan dirinya di cermin. Dia berhenti sebentar, memperhatikan dirinya. Senyuman penuh kebanggaan terukir di bibirnya. Di matanya, dia melihat seorang lelaki yang siap untuk mengelabui semua orang.
"Hmm... sesuai juga aku dengan pakaian ni," gumamnya perlahan, seakan berbicara pada dirinya sendiri. Dia menikmati perasaan yakin yang datang dengan penampilannya yang baru. Pelitup muka yang sebelumnya terletak di bawah dagunya, kini ditarik ke atas, menutup mulutnya dengan sempurna.
"Perfect."
Dua koperal yang sedang bertugas menjaga bilik pesakit itu duduk di sebelah kiri dan kanan pintu, memandang dengan mata yang separuh tertutup. Kepenatan jelas terpancar di wajah mereka, terhuyung-hayang menahan mengantuk. Sesekali, mereka terjaga, cepat-cepat mengalihkan pandangan dan membuka mata seluas mungkin untuk memastikan tidak ada yang terlepas pandang.
"Lama lagi ke kita kena berjaga dekat sini? Mana shift kedua yang patut ambil alih?" Rungut koperal yang duduk di sebelah kiri. Dia sudah tidak tahan mengantuk, tubuhnya terasa lemah untuk terus berjaga, namun tugas masih belum selesai.
"Sabarlah. Lagi lima minit sampailah tu. Bertahan sikit. Kita tak boleh cuai. Takut Unknown datang sini," jawab koperal di sebelah kanan dengan suara sedikit kasar, cuba menahan rasa letih. Mereka berdua mengeluh serentak, seakan merasa beban tugas ini semakin berat.
Namun, tiba-tiba langkah kaki terdengar menghampiri pintu mereka. Seorang lelaki berpakaian kot putih lengkap, dengan fail di tangan, berjalan menghampiri pintu yang mereka jaga. Tanpa sebarang isyarat, lelaki itu menolak pintu dengan cepat, seakan ingin masuk tanpa mempedulikan mereka.
"Eh, kenapa nak masuk bilik ni?" Cepat-cepat koperal yang duduk di sebelah kiri melompat berdiri dan menghalang, tangannya pantas menarik pintu pesakit tertutup semula, menghalang lelaki itu masuk.
Seorang lagi koperal turut berdiri, matanya terarah pada nama tag yang tergantung di baju kot putih lelaki itu. Nama yang tertera jelas—Dr. Imran.
"Woi, dia doktorlah," ujar koperal yang berdiri di sebelah kanan, memandang rakan setugasnya dengan wajah tercengang.
"Doktor?" Koperal sebelah kiri terdiam seketika. Dia memandang lelaki itu dari atas hingga ke bawah, kini baru menyedari lelaki yang berdiri di hadapannya berpakaian seperti seorang doktor profesional. Hatinya rasa sedikit malu, mungkin kerana terlalu mengantuk tadi sehingga tidak perasan.
"Maaf. Nak check keadaan saksi ke?" soalnya dengan nada yang sedikit ragu, merasa serba-salah.
Doktor itu hanya mengangguk kepala, tidak bersuara. Wajahnya tenang, seolah-olah sudah biasa dengan situasi seperti ini.
"Oh, jadi silakan masuk. Maaf sebab halang tadi," kata koperal itu, serba-salah. Koperal itu berusaha untuk senyum, walaupun masih merasa agak canggung.
Namun, lelaki berpakaian kot putih itu langsung tidak memberi sebarang respons. Dia terus menolak pintu dengan tenang dan melangkah masuk ke dalam bilik, tanpa memberi ruang untuk percakapan lebih lanjut. Koperal-koperal itu hanya saling pandang, rasa kekok di antara mereka berdua.
"Apalah kau ni!"
"Diamlah!"
Mereka berbalah perlahan.
Sebaik sahaja melepasi pintu yang tertutup rapat, lelaki misteri itu melangkah dengan tenang menuju ke katil pesakit. Sufi masih terbaring kaku, tidak sedarkan diri, dan wajahnya yang pucat menunjukkan betapa lemahnya keadaan tubuhnya. Drip air terpasang di tangan Sufi, menyuntikkan cairan perlahan ke dalam tubuhnya. Suasana di bilik itu sepi.
Lelaki itu perlahan meletakkan fail yang dibawanya di atas meja sisi katil, sebelum tangannya bergerak ke arah langsir. Dengan sekali tarik, langsir ditutup rapat, menutupi keseluruhan katil dan menghalang pandangan dari luar. Langkah berjaga-jaga diambil untuk memastikan tiada siapa, terutamanya dua koperal yang sedang bertugas di luar, dapat melihat apa yang berlaku di dalam bilik itu.
Kini, bilik itu sunyi, terlindung daripada pandangan. Hanya ada dia dan Sufi di dalam.
"Tak sangka yang awak akan terkejut sampai macam ini, Sufi..." katanya perlahan, dia melabuh separuh punggung di atas katil itu, tubuhnya sedikit condong, seolah-olah ingin lebih dekat dengan wanita itu. Tatkala tangan kanannya menopang di sebelah bahu kiri Sufi, manakala sebelah tangan lagi liar menyentuh kulit wajah wanita itu. Menyelusuri pipi dan dahi dengan gerakan perlahan. Lembut sekali.
Dia suka.
Matanya tak lepas merenung, melilau ke serata wajah Sufi yang lelah, penuh dengan obsesi yang membara. Seolah-olah setiap inci wajah wanita itu amat berharga baginya, yang hanya dia sahaja layak untuk memiliki.
Disebalik pelitup muka itu, bibirnya tersenyum.
"Sengaja saya biarkan kepala Sofia disitu, saya memang nak awak jumpa pun. Biar awak tahu yang perempuan tak guna tu dah mati." Katanya dengan nada perlahan, seolah-olah berbicara dengan Sufi yang terbaring kaku di hadapannya, meskipun dia tahu wanita itu tidak mendengar. Kata-katanya keluar dengan tenang, tetapi penuh dengan kebencian yang terpendam. Caranya bercakap, begitu mendalam dan menakutkan, tak ubah seperti seorang psiko yang sedang bercerita tentang sesuatu yang dianggapnya biasa.
Tangannya kini bergerak perlahan menyentuh kening Sufi, membelai dengan lembut, dia sendiri tidak faham dengan perasaan ini. Tetapi, dia suka dengan perbuatannya yang sekarang.
"Saya tak ada niat nak kerat Sofia, tapi perempuan tu yang degil. Saya dah cakap, jangan hubungi awak. Jangan hubungi awak! Tapi... dia tetap nak ganggu awak lagi. Jadi saya terus potong tangan dia waktu itu juga. Dia menjerit. Kuat sangat. Sampai menangis. Tapi malang sekali, dia lupa yang saya tak ada perasaan." Katanya, suara yang tiada rasa penyesalan, seolah-olah ia hanya sebuah cerita biasa yang sedang diceritakan kepada Sufi.
Dia ketawa sendiri, ketawa yang kosong, tidak berperasaan, seolah-olah segala yang dilakukannya adalah keputusan yang paling wajar. Senyumannya yang kecil semakin melebar.
"Sufi Leila." Nama itu dipanggil lembut.
Dia berhenti seketika mengusap wajah Sufi yang pucat tidak sedarkan diri. Sejenak, dia merenung wajah itu penuh dalam, mata yang tajam dan penuh obsesi. Entah mengapa, dia rasa suka menatap wajah itu lama-lama, seolah-olah segala sesuatu tentang Sufi Leila adalah kebahagiaan buatnya.
Setiap garisan halus di wajah Sufi, setiap lengkung di bibirnya, menarik dirinya untuk terus melihat tanpa henti, seakan-akan tidak mahu melepaskan.
"Selepas ini... saya akan pastikan awak jadi wartawan semula. Sama macam dulu. Dan takkan ada sesiapa boleh halang keputusan saya. Dorang. Takkan ada pilihan lain. Saya janji."
Nada suaranya penuh ketegasan, seperti seorang yang sudah merancang segala-galanya. Tiada ruang untuk bantahan, tiada ruang untuk penolakan. Dalam dunia yang diciptakannya, hanya dia yang punya kuasa. Sufi, meskipun tidak sedarkan diri, seakan menjadi miliknya untuk diatur sesuka hati.
"Kalau ada pun yang jadi lalang, saya yang akan tebas mereka sampai hilang jejak."
Dia tersenyum lagi, senyuman yang seakan menyimpan seribu rahsia.
"Haahhh... malangnya, saya tak boleh lama-lama dekat sini. Saya kena pergi sebelum ada yang sedar." Katanya perlahan, nada suaranya sedikit kecewa. Dia sebenarnya mahu tinggal lebih lama, menikmati detik ini, tetapi dia tahu batasnya. Masanya semakin suntuk. Dia tidak boleh mengambil risiko dua koperal yang berjaga di luar sana mungkin akan mula merasa curiga.
Sekali lagi, pandangannya jatuh pada wajah Sufi yang masih tidak sedarkan diri. Dengan lembut, dia membetulkan selimut wanita itu yang sedikit senget, menyusunnya dengan penuh perhatian, seolah-olah itu perkara paling penting di dunia saat ini.
"Awak kena rehat secukupnya." Ujarnya perlahan.
Kemudian, dia mencondongkan tubuh, mendekatkan wajah ke telinga kanan Sufi, sebelum berbisik perlahan...
"Saya akan datang lagi esok."
Sebaris janji yang dilafazkan dengan penuh kepastian.
Dia berdiri tegak semula, membetulkan kot putihnya dengan tenang sebelum mencapai fail di atas meja. Sekilas, dia menatap Sufi untuk kali terakhir sebelum berbalik, mengatur langkah menuju ke pintu.
Saat daun pintu terkuak, dua koperal yang berdiri di kiri dan kanan segera menegakkan tubuh, sikap mereka profesional seperti biasa.
"Dah selesai?" Salah seorang daripada mereka bertanya, matanya meneliti wajah lelaki itu.
Tanpa banyak bicara, lelaki misteri itu hanya mengangguk. Ringkas, tanpa sebarang riak. Dia terus berjalan keluar, meninggalkan lorong itu tanpa menoleh lagi. Manakala kedua-dua koperal itu hanya memerhati kepergiannya, hingga kelibatnya hilang di hujung koridor.
"Agaknya dia check apa ek sampai nak dekat lima minit?" Salah seorang daripada mereka bersuara, memandang rakannya di sebelah.
Yang ditanya hanya menjongket bahu.
"Entah. Aku polis, bukannya doktor. Manalah aku tahu apa yang dia buat dalam tu." Balasnya.
Namun, tiba-tiba terdengar suara wanita menjerit dari kejauhan, memecah kesunyian lorong itu. Serentak, dua koperal yang berjaga segera mengalihkan perhatian ke arah seorang jururawat wanita yang berlari tergesa-gesa ke arah mereka. Wajahnya pucat ketakutan, nafasnya tercungap-cungap saat dia tiba di hadapan mereka.
"Kenapa ni? Apa yang dah berlaku?" Salah seorang koperal segera bertanya, ada nada resah di hujung suaranya.
Jururawat itu menelan liur, cuba mengatur nafas sebelum bersuara.
"Tolong... jururawat lelaki dan doktor kami baru sahaja diberi ubat tidur. Mereka baru sedar, dan mereka kata ada lelaki tak dikenali datang."
Mata kedua-dua koperal itu membulat.
"Ada apa-apa barang yang dicuri ke?"
Namun, jururawat itu menggeleng pantas, wajahnya masih cemas.
"Dia tak curi apa-apa... melainkan uniform hospital."
Seketika, dunia terasa seolah-olah terhenti. Kedua-dua koperal itu saling berpandangan, kejutan jelas tergambar di wajah mereka. Jantung mereka berdegup kencang, otak mereka memproses maklumat dengan pantas.
Lelaki yang baru sahaja mereka benarkan masuk tadi… adakah dia sebenarnya...
"UNKNOWN!" Mereka menyebutnya serentak, kesedaran itu menyambar mereka seperti petir.
Tak menunggu sesaat lagi, sepucuk pistol segera ditarik keluar dari sarung di belakang seluar. Tanpa perlu berbincang, mereka terus berlari, berpecah ke laluan yang berbeza dalam usaha mencari lelaki misteri itu.
Namun, sejauh mana mereka mencari, lelaki itu tetap tiada. Lorong demi lorong, ruang demi ruang, kosong. Tidak ada jejak, tidak ada bayang.
Dia sudah pergi.
Terlepas.
“Tak guna! Sepatutnya aku suruh dia tunjukkan tag pengesahan hospital dahulu!” Luahnya, penuh rasa geram terhadap kecuaian sendiri.
Tangannya mengepal erat, rahangnya mengeras menahan kemarahan yang membuak. Koperal itu mengetap gigi, rasa sebal menguasai diri. Bagaimana dia boleh begitu cuai? Bagaimana pembunuh itu boleh terlepas begitu mudah, tepat di hadapan matanya?
Dadanya turun naik, nafasnya memberat dengan kemarahan yang kian membakar. Dia sepatutnya lebih berhati-hati. Dia sepatutnya lebih peka. Tetapi kini, lelaki itu telah hilang—dan dia hanya mampu berdiri di situ, menanggung kesilapan yang tak mungkin dapat diundur kembali.
"Siallah unknown!" Makinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro