Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

PROLOG

⚠️HANYA PROLOG SAHAJA⚠️
Selebihnya akan di publish selepas Mr Pirate tamat.








          GELISAH. Hanya itu perkataan yang sesuai untuk situasi sekarang. Tangan basahnya menggigil, telefon canggih digenggam kuat-kuat daripada terjatuh ke tanah. Jantung pula berdegup dengan pantas. Memikirkan sama ada benar atau tidak tindakan yang dia lakukan saat ini?

Sufi angkat kepala yang tadinya asyik menunduk ke bawah. Menebarkan anak mata ke segenap kawasan taman yang gelap. Dia pula duduk di salah satu kerusi batu yang tersedia di tepi pokok. Seorang diri. Tidaklah gelap mana kerana cahaya lampu jalan berwarna kekuningan  menerangi di sepanjang laluan khas joging. 

Perasaan takut kurang sedikit apabila menyedari ada manusia lain di sini. Mereka sedang buat hal masing-masing.  Ada yang sedang berlari anak mengikut laluan khas dibina, ada yang melakukan senaman panas di sebelah kanan sana, malahan ada yang datang untuk melepak sahaja di tepi pancuran air bersama rakan-rakan mereka.

Tapi tetap saja Sufi rasa tak sedap hati. Terasa seolah-olah ada mata yang memerhatikan dirinya sejak awal dia sampai ke sini. Namun, bila dicari tidak pula kelihatan ada manusia yang berperangai aneh seakan sedang menoropong dirinya dari jarak jauh.

"Mana dia ni..." gumam Sufi, masih lagi resah. Butang ditepi telefon ditekan. Automatik skrin bercahaya. Tertera jam memaparkan kini pukul 10:30 malam. Bermakna sudah setengah jam Sufi di sini menunggu kehadiran seseorang yang tak dikenali. Unknown.

Kemudian, jari menyentuh paparan aplikasi mesej. Membaca semula mesej terakhir yang dihantar oleh manusia tak dikenali itu pada pukul 8:45.

"Awak nak tahu siapa saya? Sudah tentu tiada cara lain selain kita berjumpa. Itu pun... kalau awak tak takut?"- UNKNOWN.

"Aku belum bodoh lagi untuk berjumpa dengan orang yang tak kenal! Beritahu saja siapa diri kau! Kenapa kau selalu stalk aku?!"
-SUFI

"Kalau nak tahu marilah kita jumpa. Saya janji akan kenalkan diri baik-baik dengan awak. Jangan risau, saya takkan bunuh orang yang paling hargai kerja saya. You're special to me, Sufi."

Gila!

Siapalah lelaki ini sebenarnya? Tiba-tiba gelar diri aku special. Kenal pun tidak! Sufi tayang muka geli saat membacanya.  Jari menolak-nolak skrin ke atas, meneruskan bacaan mesej yang seterusnya. Unknown menghantar satu peta lokasi. Dan apabila disentuh, lokasi itu menunjukkan arah taman tasik ini.

"Tak kiralah awak akan datang atau tidak. Saya tetap akan tunggu di sini dan datang terus kepada awak, Sufi."
Unknown.

Itulah mesej terakhir yang dihantar. Dan disinilah Sufi berada sekarang seperti yang ditunjukkan pada aplikasi tadi. Tapi Sufi berasa seperti tertipu.  Lelaki tak dikenali itu kata akan terus datang ke sini bersemuka dengannya. Bahkan sudah setengah jam berlalu, jangan katakan batang hidung malah bayang pun tidak kelihatan.

Sufi mengeluh panjang. Buang masa saja dia tunggu!

Baru hendak angkat punggung bangun daripada bangku, tiba-tiba telefon yang berada di dalam genggaman terasa bergetar. Sufi tunduk memandang skrin. Kembali terduduk apabila perkataan Unknown terpapar sedang menghubunginya. Tak tunggu lama, terus butang hijau itu dileretkan ke tepi.

Panggilan di angkat.

"Mana kau?!" Tak ada salam, tak ada khabar, Sufi terus menyoal dengan nada tidak puas hati. Geram. Setengah jam menunggu, baru sekarang lelaki ini mahu menghubunginya? Itupun entah dia berada di mana.

Anak mata sufi melingas serupa burung hantu pada waktu malam mencari mangsa. Tercari-cari manusia mana yang sedang dalam gaya menelefon seseorang. Namun, tiada.

Di mana dia bersembunyi?

"Kenapa pucat sangat muka tu, sayang. Inikan first date kita. Awak tak sepatutnya tunjuk muka macam itu. Kan saya dah cakap... saya takkan apa-apakan awak..."

"Hei, aku datang sini bukan nak bermain-main dengan kau! Kau sendiri yang cakap akan datang sini jumpa aku, tapi mana kau?"

Lelaki itu ketawa. Seram sekali bunyinya.

"Nampaknya awak betul-betul tak sabar nak jumpa saya. Dan saya juga sama. Tapi ingat satu benda Sufi..."

Sufi telan air liur. Kesat.

"Saya takkan benarkan awak menjauh daripada saya selepas tahu siapa saya. Kalau awak buat macam itu..."

"Awak akan menyesal, Sufi."

"Cakap ajelah kau dekat mana! Jangan nak berdalih!"

"Saya dah lama ada dekat dengan awak, Sufi. Awak sahaja yang tak perasan. Daripada tadi saya seronok tengok muka awak yang tertunggu-tunggukan saya. Saya ada di belakang pokok, cuba cari betul-betul guna mata cantik awak itu."

Pokok?

Berapa banyak pokok besar di taman tasik ini, bagaimana Sufi nak cari? Haish, jantan ni memang sengaja hendak permainkan dirinya!

Ting!

Tiba-tiba bunyi notifikasi masuk. Sufi langsung tunduk memandang skrin telefonnya. Ada foto yang dihantar. Tak tunggu lama, gambar itu ditekan. Tatkala melihat figura diri sendiri yang sedang duduk di bangku, di ambil daripada sudut sebelah kirinya terpapar jelas di situ, Sufi tergamam.

Benarlah lelaki itu berada berdekatannya!

Cepat-cepat Sufi angkat wajah berpaling ke kiri. Dan saat anak matanya melingas  penuh curiga, tertancap satu susuk tubuh lelaki tinggi lampai berdiri di sebalik dahan pokok besar. Mukanya tak kelihatan dengan jelas kerana ditutupi hoodie. Seluruh pakaiannya hitam. Duduk pula di kawasan yang agak gelap, memang sukar untuk terlihat dengan mata kasar.

Dan kini jiwa Sufi kuat mengatakan itulah Unknown yang dicari-cari. Tiba-tiba jantungnya berdegup dengan laju serupa hendak pecah. Sejujurnya dia agak takut, tetapi dalam masa yang sama Sufi tidak mahu terlihat lemah di mata lelaki itu.

Lagipun, lelaki itu sudah berjanji. Dia... takkan diapa-apakan. Namun, bolehkah dipercayai?

Kemudian, Sufi lihat lelaki memakai hoodie itu mengangkat tangan kanannya. Jari terlunjuk bergerak-gerak ke depan dan ke belakang seolah-olah memanggil Sufi untuk datang kepadanya, sebelum dia memusing ke belakang dan mula mengatur langkah pergi.

Ah sudah, ke mana pula lelaki itu mahu pergi?

Sufi terus bangkit daripada bangku. Terpinga-pinga dia mengejar lelaki itu yang semakin menjauh. Tak tahulah langkahnya yang terlalu perlahan atau lelaki itu yang terlalu laju bergerak.

Sufi tak fikir apa sudah masa ini. Entah sama ada ini adalah satu perangkap memaksa Sufi mengekornya ke suatu tempat atau sebaliknya. Yang Sufi tahu, dia mahukan jawapan!

Dengan sekelumit perasaan berani di dada, Sufi terus-menerus mengikut lelaki itu. Tidak sesekali pun dia biarkan lelaki misteri itu hilang daripada pandangannya. Sesiapa yang menjadi penghalang jalannya terus ditolak ke tepi. Ada suara yang menjerit tidak puas hati, namun Sufi buat tak endah.

Maaf, dia tak boleh biarkan lelaki itu hilang sekali lagi!

"Tunggu!" Semakin resah Sufi apabila lelaki itu semakin menjauh. Ambil pula laluan yang ramai manusia sedang melalukan aktiviti senaman, sampaikan mata Sufi tak tahu hendak tumpu kepada siapa. Ada beberapa orang yang berpakaian sama. Matanya semakin keliru.

Mana lelaki itu?

Terjenguk-jenguk kepalanya ke atas mencari figura misteri tadi. Sufi toleh ke kanan, tiada. Toleh ke kiri juga tiada. Belakang dan depan. Sama.

Penat melangkah. Sufi berhenti di bawah cahaya lampu jalan dengan nafas Termengah-mengah.  Sebelah tangan naik memicit kepala. Macam mana ni? Dia dah terlepas pandang lelaki itu!

"Mana pula dia pergi? Dia kata nak jumpa aku secara berdepan tapi dia pula yang lari! Dasar pengecut! Buang masa sahaja aku di sini!" Bebel Sufi tidak puas hati. Penat-penat dia tunggu selama setengah jam, tetapi lelaki itu boleh pula menghilang seperti pelesit.

Sufi mendengus geram. Malas dia hendak percaya lagi!

"Baik aku balik ajelah. Malas nak layan!" Baru sahaja Sufi pusing ke belakang, tanpa sengaja bahunya terlanggar bahu seseorang yang sedang berjoging. Kuat juga. Sehingga ada bunyi berlaga yang terhasil. Bahkan Earbuds yang dipakai lelaki itu juga tertanggal daripada telinganya jatuh ke tanah. Terundur lelaki itu ke tepi. Hampir nak jatuh, tetapi dia sempat mengimbangkan diri.

Sufi tersentak. Hati terhurung rasa serba-salah.  Bawah bibir digigit. Ya Tuhan, apahal aku berdiri ditengah laluan orang nak berjoging? Kan tak pasal-pasal dah langgar orang!

"Maaf, encik! Saya tak sengaja! Maaf sangat-sangat!" Rayu Sufi. Wajah lelaki yang dilanggar itu tak dipandang terus.  Sibuk mencari earbud yang terjatuh di tanah tadi. Melilau anak mata Sufi ke segenap tempatnya berdiri. Tatkala menangkap objek kecil berwarna hitam di rumput, Sufi terus tunduk mengutipnya.

Jumpa pun!

Sufi pusing ke belakang. Menghadap lelaki memakai hoodie dan seluar tracksuit hitam yang masih berdiri menunggunya sambil mencekak pinggang. Nafasnya juga kedengaran termengah-mengah kerana berjoging. Penat sangat agaknya.

"Ini dia encik punya ear..." Kata-kqta Sufi mati setakat disitu saat dia mula memanggung kepala memandang seraut wajah tampan yang berkerut keletihan. Ada cecair dari tepi muka. Rambut hitam hadapannya juga jatuh melekap di dahi.

Sufi terpempan sejenak. Agak terkejut. Bahkan, reaksi lelaki itu juga sama saat terpandang wajahnya.

"Sufi?"

"Bos?"

Mereka saling meneka nama. Kemudian, sama-sama terdiam. Tak sangka pula boleh terserempak di sini.

"Apa bos buat malam-malam dekat sini?" Soalan bengap apa pula yang baru Sufi tanyakan ini? Dah jelas-jelas hoodie lelaki itu basah, nafasnya juga mengah. Sudah tentulah bersenam! Tapi itu sahaja soalan pertama yang muncul di benak fikiran saat terpandang wajah bos.

"You ask me why? I should ask you first, Sufi! What are you doing here? Alone!" Nada suara bos kedengaran agak dingin. Namun, entah mengapa ada terselit kerisauan pada ayatnya. Atau...  telinga dia yang ada masalah pendengaran. 

Terkulat-kulat Sufi hendak jawab. Eh, dah kenapa pula dia tiba-tiba takut nak bersuara? Bukannya bos tu nak makan kau pun!

"Sa... Saya sebenarnya..." Sekilas anak mata Sufi mencerun ke bawah. Memerhati pemakaian lelaki itu.  Kenapa hampir sama dengan Unknown yang bersembunyi di belakang pokok tadi ya?

Hati Sufi dijentik rasa curiga. Tiba-tiba teringatkan semula mesej Unknown tadi. 'Saya tetap akan tunggu di sini dan datang terus kepada awak, Sufi.'

Bermakna... boleh jadi juga lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang adalah...

Muka Sufi mula berubah pucat membiru. Debaran di dada semakin kuat. Takut.

"Sufi?" Tegur bos.

Bahu Sufi sedikit terhinjut akibat terkejut. Wajah kembali diangkat. Menatap muka bos yang berkerut memandangnya.

"Kenapa muka kau pucat sampai begitu sekali? Are you okay?" Soalnya. Setapak dia mendekat, gaya ingin melihat keadaan Sufi. Namun cepat-cepat Sufi berundur ke belakang. Menjauh.

Langkah bos automatik terpasung di situ.

"Kenapa tiba-tiba jauhkan diri?" Soalnya lagi, kali ini nada suaranya berubah lebih keras dan serius.

Makin tak tenang Sufi dibuatnya. Dia tak boleh terus berada di sini. Kepala digeleng laju.

"Tak... Tak ada apa. Sa... Saya nak balik. Saya minta diri dulu!" Tanpa menunggu balasan daripada bibir bos, Sufi terus pusing ke belakang. Cadangnya ingin terus pecut melarikan diri. Namun, sekali lagi langkah Sufi terkunci apabila ada satu lagi figura tiba-tiba muncul di belakang.

Sufi terkejut.

Mata membulat.

"Tu... Tuan?" Gagap Sufi menyebut panggilan itu. Mana tidaknya, tadi terserempak dengan bos. Sekarang terserempak dengan jiran polis pula. Bagaimana dua orang lelaki ini boleh tiba-tiba ada di sini? Bertembung dengan dia pulak tu! Semua ini secara tak sengaja atau bagaimana?

Muka lelaki memakai jaket kulit hitam itu kelihatan garang. Nafasnya juga turun naik. Bukan kerana penat berlari, tetapi seperti menahan amarah.

"Aku cari kau di rumah tadi tiada, rupa-rupanya di sini. Buat apa? Dating dengan bos kau huh?" Soalnya tidak puas hati. Barangkali berang kerana Sufi dah pandai keluar senyap-senyap dari rumah tanpa pengetahuannya yang ditugaskan untuk menjaga 24 jam.

"Macam mana Tuan tahu saya ada dekat sini?" Soalan berbalas soalan. Lagi mencurigakan Sufi. Makin keliru otak jadinya. Malah, sangkaannya pada bos yang berkemungkinan adalah Unknown sudah berpindah kepada Tuan Haq pula.

Mereka berdua datang kepadanya. Jadi mana satu Unknow?

Bahkan, riak wajah Tuan Haq juga berubah saat soalan itu diacukan kepadanya. Kenapa? Ada yang tak kena ke dengan soalan tadi?

"Tak kisahlah macam mana aku tahu. Aku polis, dekat mana pun kau pergi. Aku boleh detect. Tapi aku ingatkan, aku akan jumpa dengan kau seorang aje. Tak tahu pula ada orang lain juga di sini..." Kata Tuan Haq sebelum anak matanya melirik tajam ke arah lelaki memakai hoodie yang berdiri di belakang Sufi.

Sufi geleng kepala tidak faham.

"Tuan..."

"Sufi!"

Ah, sudah!

Satu lagi suara menyebut namanya.

Sufi palingkan wajah ke sebelah kanan pula. Kelihatan lelaki berpakaian T shirt hitam berlari mendapatkannya. Berhenti sebaik sahaja sampai kepada Sufi. Tubuh membongkok seketika mengambil nafas kepenatan, setelah rasa penat hilang barulah dia menegakkan tubuh semula.

Kali ini Sufi tidak terkejut. Baru teringat, dia datang ke sini menumpang kereta lelaki ini.  Tuah namanya. Kawan sekerja. Tadi dia pergi cari parking, baru sekarang munculkan diri.

Tetapi kenapa sampai nak dekat setengah jam? Jauh mana pergi parking kereta?

"Apahal kau tak duduk dekat tempat tadi? Puas aku cari kau tahu tak! Kau tu sudahlah perempuan. Aku risau kalau ada lelaki ganggu kau tadi!" Bentaknya. Geram. Sama juga. Ada terselit kerisauan di wajahnya.

Malahan Sufi cuma diam. Sedikit pun tidak bersuara. Dia dapat menghidu aura lelaki tak dikenali itu. Terasa jaraknya terlalu dekat. Dan dia pasti, Unknown sudah pun tunaikan janjinya. Iaitu datang kepada dia dan menghadap Sufi secara bersemuka. Cuma sekarang dia buntu kerana ada tiga lelaki yang muncul secara tiba-tiba. 

Akan tetapi Sufi pasti, antara mereka bertiga pasti tersenyum identiti Unknown. Cuma...

Sekejap Sufi menoleh memandang bos Maleeq. Kemudian berpaling memandang Tuan Haq pula. Dan seterusnya Tuah. Antara bos, polis dan kawan...

Mana satu Mr Unknow yang sebenar?

















Akan publish bab seterusnya pada hujung tahun. Kenapa hujung tahun? Sebab selepas tamat Mr Pirate. Saya akan akan berehat seketika daripada wattpad. Selamat menunggu. Boleh buka kertas siasatan dahulu untuk buat perbincangan.







Jumpa korang hujung tahun😎

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro