Bab 3
"SUFI!"
Kepala Sufi automatik terangkat daripada menatap skrin komputer di hadapannya tatkala mendengar namanya dipanggil oleh seorang wanita. Terus anak matanya beralih ke arah sebelah kanan, memandang wanita yang baru sahaja keluar daripada bilik Encik Hamid selaku bos di sini.
Dia menghampiri ke meja bersama pelukan fail di dada.
"Ya?" Sufi menyoal.
"Encik Hamid nak jumpa kau." Katanya, ringkas. Kemudian langsung menapak pergi.
Sufi anggukkan kepala. File dokumen tentang penceraian artis yang ditaipnya tadi disimpan terlebih dahulu sebelum skrin dimatikan. Bimbang File itu hilang secara tiba-tiba, merana hidup jadinya. Makan tak senang, tidur tak lena. Sia-sia sahaja lelah tangannya menaip selama satu jam setengah.
Setelah memastikan semua data dan dokumen penting disemat dengan selamat, barulah Sufi bangkit daripada kerusi menuju ke bilik Encik Hamid. Pintunya terbuka sedikit, namun Sufi tidak terus masuk. Diketuk dahulu beberapa kali tanda kehadiran dirinya.
"Bos nak jumpa saya ke?" Tanya Sufi, kepala dijenguk separuh ke dalam bilik kerja bos. Lelaki tua yang duduk di kusyen itu menganggukkan kepala mengiyakannya.
"Iya, Sufi. Silakan masuk." Pelawa Encik Hamid.
Kemudian Sufi menapak masuk ke dalam bilik. Kerusi yang berada di hadapan bosnya ditarik lalu dia melabuh punggung di situ tanpa sebarang arahan. Tiada satu kata yang keluar. Sebaliknya dia hanya menanti bicara dari Encik Hamid yang seakan ingin menyampaikan sesuatu kepadanya.
Jantung Sufi terasa sedikit berdebar. Kali terakhir perasaan ini dirasakan sewaktu pangkatnya ditukarkan ke bahagian penulisan. Harapnya kali ini tidak begitu. Sufi hembus nafas dengan perlahan, cuba untuk menenangkan hati sendiri.
"Sebenarnya hari ni kita ada tetamu penting. Tuan Gibran, anak kepada arwah Dato Naufal yang tubuhkan company ini dah balik ke Malaysia. Jadi dia akan ambil alih syarikat ni tak lama lagi. Dan perkara ni cuma awak dan saya sahaja yang tahu terlebih dahulu. Pekerja yang lain masih belum tahu termasuk Sofia." Ujar Encik Hamid.
Tidak terkejut. Tidak juga teruja. Bahkan Sufi masih terkulat-kulat tidak faham apa yang Encik Hamid cuba sampaikan. Kenapa dalam banyak-banyak pekerja, dia juga yang terpilih untuk tahu tentang bos baru itu? Dan, kalau iya pun akan ada bos baru masuk ke sini. Apa kena mengena dengan kerjanya?
Sufi tayang kerutan di dahi. Wajah Encik Hamid dipandang dengan muka penuh bingung.
"Jadi? Apa kena mengena dengan saya?" Soal Sufi, kurang jelas menangkap maksud Encik Hamid.
"Saya nak minta tolong awak untuk jemput dia di hotel. Sekarang." Arahnya senada. Kemudian kunci kereta diletakkan ke atas meja sebelum ditolak ke arah Sufi.
Kening Sufi berkerut lagi. Ditenung kunci kereta itu sekejap kemudian kembali memandang wajah Encik Hamid. Mengapa harus dia?
"Kenapa tak suruh Sofia sahaja yang jemput? Diakan sudi ikut semua cakap bos? Saya ada banyak kerja nak kena siapkan. Artikel tentang artis bercerai itu pun belum habis disemak lagi." Ujar Sufi. Almaklumlah, perempuan itukan jenis ikut sahaja semua arahan bos. Kalau diminta untuk jemput Tuan Gibran pun mestilah si Sofia tiada masalah, kan?
Lagipun Sufi sibuk. Ada banyak File penting yang belum disemak sebelum dipos ke media sosial.
"Ah, abaikan sahaja artikel sampah tu. Tak perlu buat. Saya dah arahkan Sofia dengan Tuah untuk turun ke kawasan pembunuhan terbaru dekat kawasan pangsapuri yang terjadi malam semalam. Sebab itu saya minta tolong dengan awak. Dan selepas Sofia pulang nanti, awak kena tulis tentang maklumat yang dia dapat! Tak perlu nak korek rahsia artis lagi." Kata Encik Hamid begitu selamba. Bukannya hendak fikir penat lelah Sufi mencari idea terbaru untuk dipos pada halaman Viral TV mereka.
Tatkala riak wajah Sufi sedikit berubah seketika mendengarkan khabar mengejut itu. Matanya membulat. Bahkan kening turut terjongket ke atas.
"Pembunuhan tentang siapa?" Soal Sufi dengan jiwa yang berdebar-debar.
"Unknown."
Cukup satu patah perkataan. Sudah membuatkan Sufi kehilangan kata. Mata langsung tak berkelip seakan tak percaya. Setelah bertahun lamanya dia tidak mendengar gelaran itu disebut-sebut oleh orang disekelilingnya, dan kini gelaran itu kembali menjadi topik hangat dengan jenayah yang dilakukannya.
Setahu Sufi, kes jenayah berkaitan Unknown hampir sahaja ditutup dek kerana tiada bukti mahupun saksi dikesan. Orangnya terlalu licik. Ada beberapa pihak yang berpendapat pembunuh misteri itu adalah orang luar negara kerana cap jarinya susah dikesan. Bahkan ada juga yang membuat spekulasi sendiri bahawa pembunuh itu adalah seseorang yang ternama. Kerana itulah pembunuh itu susah untuk ditangkap.
Mana satu yang sahih pun entahlah.
Yang hairannya, pembunuh itu tiba-tiba sahaja lenyapkan diri selama lima tahun. Langsung tak diketahui punca sebenar yang berlaku. Masih hidup atau sudah mati, tidak tahu. Atau mungkin pembunuh itu masih lagi berkeliaran bebas di sekitar kawasan ini tanpa disedari oleh orang awam. Jawapannya tetap sama.
Tak diketahui.
Oleh sebab itu, dia digelar Unknown sehingga kini.Tiada Satu pun maklumat tentang pembunuh itu diketahui oleh sesiapa. Bayangkan betapa teliti dan hebatnya dia menyembunyikan identiti diri.
"Tapi bukan ke pembunuh tu dah lama menghilangkan diri?" Soal Sufi, pelik.
Kemudian Encik Hamid tepuk meja. Akibat daripadanya Sufi sedikit tersentak. Terhinjut bahunya saat mendengar tepukan yang agak kuat itu. Kus semangat!
"Itulah yang menarik! Dia tiba-tiba hilang kemudian muncul semula macam drama thriller. Sebab itulah kita kena korek maklumat tentang Unknown itu banyak-banyak dari pihak polis supaya kita boleh viral sama macam dia. Bayangkan kalau stesen Viral TV dapat kemukakan motif pembunuhan tu paling awal, pasti kita akan terkenal!"
Ujar Encik Hamid, fikirannya hanya dibutakan dengan glamor semata-mata.
Dahulu Viral TV pernah mendapat tontonan sebanyak dua juta hanya kerana kemukakan kes jenayah Unknown, dan kalau boleh kali ini Encik Hamid mahu lebih daripada itu. 10 juta tontonan targetnya.
"Tapi bos yakin ke itu dia? Entah-entah kerja orang lain?" Sufi mencelah. Otaknya masih belum dapat menerima kebenaran.
Sedangkan Encik Hamid berdecik kecil. Apa Sufi ingat dia akan hentam kromo sahaja ke menuduh pembunuh itu adalah Unknown? Dia selaku bos yang memaparkan berita terkini haruslah mencari maklumat yang sahih. Tak mainlah palsu.
"Tentulah. Taktik pembunuhannya masih sama. Cekik, seksa, dan selepas itu sumbat kertas berisi nota ke dalam mulut atau perut mangsa selepas mati. Dan kes yang terjadi di pangsapuri semalam, pihak polis ada temui nota baru. Harap-harap Sofia dapatlah bodek hati encik polis tu untuk tahu isi nota pembunuh." Kata Encik Hamid.
Tatkala kepala Sufi sudah tergeleng-geleng mendengar. Sampai ke tahap itu sekali bosnya mahu kejar populariti. Tidakkah bahaya jika berlebih-lebihan bertindak berbanding pihak polis?
"Tapi bos tak risau ke jika arahan bos akan membahayakan nyawa Sofia? Bagaimana kalau dia terfikir nak target wartawan yang bercerita tentang dia? Bukannya bos tak tahu mangsa terakhir dia sebelum ini siapa? Alif Syazwan, wartawan daripada stesen Berita Gempar. Dibunuh hanya kerana bocorkan nota yang ditulis." Ujar Sufi, mengingatkan Encik Hamid tentang kejadian paling ngeri yang pernah menggemparkan satu dunia suatu ketika dahulu. Impaknya sehingga ramai wartawan yang mengendalikan berita tentang Unknown mengundurkan diri secara tiba-tiba kerana diselubungi ketakutan.
Malahan cerita Sufi langsung tidak membuatkan lelaki tua dihadapannya itu berasa takut. Siap tayang mimik muka menceber seperti tidak ambil peduli.
"Padanlah dengan muka dia. Si Alif tu dulu kuat mengecam company kita. Dia kutuk kamu bodoh semasa wawancarakan kes Unknown. Dan akhirnya dia pula yang dibunuh kerana tindakan bodohnya sendiri." Sinis Encik Hamid tanpa rasa bersalah.
Sufi pejam mata sesaat sambil nafas ditarik penuh sabar.
"Bos, bukan itu maksud yang saya cuba sampaikan. Tapi kalau Sofia..."
"Awak bukan lagi wartawan, Sufi." Potong Encik Hamid seraya buatkan bibir Sufi terkunci.
"Urusan tentang kes Unknown biar Sofia sahaja yang kendalikan. Tahulah dia nak jaga diri sendiri. Awak tak perlu nak berdramatik lebih. Tugas awak cuma menulis semula maklumat yang Sofia dapatkan. Itu sahaja."
Sufi diam.
Manakala Encik Hamid melepaskan keluhan buat sejenak. Sesekali dia meraup muka sendiri pabila menyedari riak wajah Sufi berubah masam mencuka. Dia tiada niat mahu menyakiti hati wanita itu tetapi Sufi sendiri yang membangkitkan isu ini.
"Sekarang ni saya nak awak pergi jemput Tuan Gibran di hotel. Alamatnya saya dah beri di WhatsApp. Tolong jaga kelakuan awak semasa berjumpa dengan dia. Boleh?" Pinta Encik Hamid, nada suaranya lebih mendatar sekadar mahu menjaga hati Sufi. Karang kalau wanita itu merajuk, siapa yang mahu menjemput Tuan Gibran?
"Boleh. Bos." gumam Sufi. Tanpa berkata apa-apa lagi, langsung kunci kereta itu dicapai sebelum Sufi bangkit daripada kerusi. Wajah Encik Hamid tidak dipandang, sebaliknya Sufi terus beredar keluar daripada situ dengan berbakul perasaan sakit hati di dada. Bahkan Sufi juga tidak sedari, kedua belah tangannya saling mengepal-ngepal menahan geram.
BAHAGIAN Block B pangsapuri Indah berdekatan laluan masuk ke pintu lift kini dikerumuni penduduk sekitar situ serta beberapa wartawan jenayah dan jurukamera mereka. Masing-masing sibuk hendak mengintai keadaan mangsa yang katanya dijumpai tergantung di siling dalam keadaan mengerikan.
Namun malang sekali, pergerakan mereka terbatas dengan tali kuning yang telah di tanda pada kawasan kejadian. Bahkan ada beberapa polis bertugas yang berjaga di luar kawasan bertanda kuning, menghalang sesiapa sahaja yang tidak berkenaan daripada terlepas masuk ke kawasan larangan.
Dalam kerumunan orang ramai, lelaki yang mengenakan jaket kulit berwarna hitam memaksa diri menyelit dalam kesempitan. Ditolak-tolak bahu manusia yang menyekat laluannya untuk ke hadapan sana. Boleh pecah suara garaunya saat terjerit-jerit meminta laluan, namun tiada seorang pun yang memberi kerjasama. Masing-masing sibuk mahu menjadi lalang.
Sebaik sahaja dia berjaya keluar daripada kesesakan itu, nafas dihembus dengan kuat. Sesak nafasnya sebentar tadi. Kemudian jaket kulit diperkemaskan. Cermin mata hitam yang jatuh sedikit ditolak naik ke atas semula. Selesai.
Dia kemudian mara ke tali kuning.
"Maaf Encik, ini kawasan larangan sekarang. Kalau nak guna lift, guna lift yang lain." Halang pegawai polis yang berdiri diluar petak kawasan bertanda tali kuning. Sebelah tangannya mendepa, menghentikan pergerakan lelaki tak dikenali itu daripada terus mendekat.
Manakala lelaki berkaca mata hitam itu tayang muka sebal. Ada keluhan kedengaran sebelum tag yang tergantung pada lehernya diangkat tinggi lalu ditayang kepada pegawai polis itu.
"Detektif Haq Jazrin daripada unit siasatan jenayah." Katanya, memperkenalkan diri.
Riak wajah pegawai polis itu terus berubah terkejut selepas melihat kad pengesahan jawatan yang ditunjukkan. Hampir sahaja dia fikir lelaki itu cuma orang awam yang sibuk ingin masuk ke dalam kerana berpakaian biasa. Tidak beruniform seperti anggota polis yang lain. Seraya dia menundukkan kepala tanda maaf sebelum tali kuning dibuka.
Tanpa menunggu lama, Haq langsung menapak masuk ke kawasan siasatan. Melihat beberapa ahli forensik sedang menjalankan tugas di bahagian lift, seraya dia meluru ke situ.
"Tuan!" Tegur pegawai Hanif saat sedar kehadiran lelaki itu. Dia langsung bangkit daripada duduk bertinggung di sebelah mayat yang sudah ditutup dengan plastik hitam, menabik tangan ke dahi dengan penuh rasa hormat.
"Mana mangsa?" Soal Haq tanpa selok-belok, serius. Lelaki yang sedang menabik kepadanya itu terus menjatuhkan tangannya ke bawah.
"Ini, Tuan." Katanya sambil ibu jari menunjuk ke arah mayat yang ditutupi dengan plastik hitam.
"Buka." Sepatah Haq mengarah.
Lelaki itu mengangguk kepala tanda menerima arahan. Dia kembali duduk, kemudian menarik plastik hitam pada bahagian kepala mangsa hingga ke paras bahunya. Manakala Haq turut bertinggung di sisi mayat, wajahnya cuma kosong. Tiada sebarang reaksi takut mahupun geli saat menatap keadaan mangsa yang agak ngeri.
Ada kesan garisan panjang berdarah pada leher, seakan-akan kesan daripada dawai halus yang tajam menjerut leher mangsa hingga kulitnya terkoyak. Bahkan rupanya juga tidak lagi serupa manusia. Hidung patah. Bibir pecah. Dengan mata putih berubah merah menyala hampir terjojol keluar.
Sekilas anak mata Haq mengerling ke arah lift, melihat tali tebal yang tergantung di tengah-tengah pintu. Hairan sekali bagaimana pembunuh boleh mencipta tali gantung di situ.
Bila agaknya pembunuh membuat semua kerja jahat ini? Bagaimana dia mengatur rancangan sehingga tidak ada satu pun penduduk yang sedar ada kejadian pembunuhan berlaku? Atau... mangsa sudah lama mati dijerut sebelum digantung? Dalam kotak fikiran Haq kini cuma dipenuhi persoalan demi persoalan.
Dan yang pasti, pembunuh itu bukan sebarangan orang. Dia bijak. Dia licik. Malah pantas dalam melakukan kerjanya.
"Orang disini kata, mereka nampak mangsa tergantung tak berbaju dan cuma berseluar pendek. Tak pasti bila mayat diletakkan di situ, tapi tengok keadaan mangsa macam dah lama. Seolah-olah dia telah dibunuh 10 jam yang lalu sebelum dibawa ke sini. Cuma malangnya... kami belum jumpa apa-apa bahan bukti atau cap jari lagi, Tuan Haq." Ujar Hanif setakat maklumat yang mereka baru dapat tika ini.
Haq tiada sebarang respon. Hanya kepala yang terangguk-angguk serupa faham. Kemudian dia kembali tunduk memandang mayat yang terbaring di hadapannya. Meneliti setiap kesan luka dan lebam yang ada disekitar muka mangsa. Ada bau tak menyenangkan saat nafas ditarik. Jelas sekali, mangsa sudah lama dibunuh.
"Ada CCTV ke dekat sini?" Soal Haq lagi.
Tatkala Hanif mengeluh berat. "Itulah masalahnya sekarang. Cctv ada, tapi dah lama rosak dan berkarat. Bila saya tanya penduduk Block B ni, diaorang kata pihak atasan yang tak betulkan biarpun mereka dah hantar banyak kali report."Keluhnya.
"Bagaimana pula dengan latar belakang mangsa?"
"Menurut jirannya, mangsa cuma pekerja buruh biasa. Tiada terlibat dengan along mahupun kes berat sebelum ni. Cumanya, orang di sini cakap arwah jenis tak jaga mulut. Suka maki hamun jiran kalau ada masalah. Tapi Tuan... saya tak rasa pembunuhan ni terjadi disebabkan itu." Katanya.
Kening Haq berkerut sebelum pandangan beralih ke sisi memandang Hanif.
"Kenapa kau rasa macam itu?"
"Sebab, saya rasa... ini ada kaitan dengan pembunuhan bersiri Unknown lima tahun lepas. Cara mangsa dibunuh pun masih lagi sama. Malah, dia ada sumbat kertas dalam mulut mangsa dan ada nota yang ditulis." Ujar Hanif.
Riak wajah Haq berubah pelik. Pembunuh apa yang tinggalkan nota dalam mulut mangsa?
"Mana nota tu?" Tanya Haq.
Sekejap Hanif meminta diri untuk mendapatkan nota yang dijumpai tadi. Tidak sampai beberapa minit, dia kembali bersama sarung tangan dan bahan bukti yang telah dimasukkan ke dalam beg plastik lutsinar ditangan.
Lantas sarung tangan berwarna putih itu diberi kepada Haq untuk memakainya sebelum memegang bahan bukti itu.
"Cubalah Tuan baca. Ayatnya pelik."
Tidak tunggu lama, Haq mengeluarkan kertas yang agak keroyok itu daripada plastik lutsinar. Dek kerana terkena air liur mangsa semasa kertas itu disumbat ke dalam mulut, warna pen hitam yang digunakan oleh pembunuh telah mengembang. Setiap bait tulisan tidak berapa jelas. Terpaksa Haq mendekatkan kertas itu ke muka, cuba fokus membaca satu demi satu perkataan yang ditulis dengan cantik.
"Maaf kerana jadikan dia mangsa untuk kali ni. Aku cuma nak tengok Sufi bercerita lagi. Rindu semangatnya setelah lima tahun tak didengar."
Makin berlapis dahi Haq saat ini. Otaknya sehabis baik cuba untuk menghadam maksud pembunuh itu. Adakah insiden yang berlaku sekarang disebabkan pembunuh sedang berasa obses dengan seseorang yang bercerita tentang jenayah yang dilakukan.
"Tuan rasa siapa Sufi?" Terpacul persoalan itu dibibir Hanif.
Lama Haq diam sebelum wajah diangkat daripada kertas itu. Mukanya masih kosong tak beriak. Kemudian bahan bukti itu disimpan semula ke dalam plastik lutsinar sebelum diserahkan kepada Hanif semula.
"Mungkin wartawan." Ringkas Haq meneka sambil menanggalkan sarung tangan putih.
Kening Hanif berkerut.
"Wartawan? Tak pernah dengar pula wartawan bernama Sufi sebelum ini. Mungkin dia tak terkenal sangat. Yang saya tahu sekarang Sofia adalah. Wartawan daripada Viral TV. Cantik orangnya. Bersemangat lelaki-lelaki dekat Malaysia ni nak tengok berita terkini kerana Cik Sofia tu." Ujar Hanif siap tersenyum menyeringai tatkala terbayang wajah wanita cantik itu.
Namun, tiada sebarang respon daripada Haq. Seakan tidak tertarik dengan topik 'Cik Sofia' yang dibawakan. Dalam kepala otaknya sekarang cuma ada satu nama sahaja yang berlegar-legar daripada tadi. Iaitu SUFI. Siapa perempuan itu dan mengapa perlu dia?
"Tuan tengok tak Viral TV? Mesti Tuan pun minat dia, kan?"
Malas hendak mendengar kisah Cik Sofia yang keluar daripada mulut Hanif lalu Haq terus bangkit, menapak keluar daripada kawasan bertanda kuning. Meninggalkan Hanif dalam keadaan terpinga-pinga. Orang lain sedang sibuk menyiasat, boleh pula si Hanif itu berangan ke lain. Tidak fokus langsung semasa menjalankan tugas.
"Eh, Tuan. Tunggu sekejap!" Lekas Hanif berlari anak mengejar Haq yang pergi begitu sahaja. Dipaksakan diri merempuh kesesakan orang ramai yang menghalang jalannya untuk keluar daripada tempat kejadian itu.
Sebaik sahaja dapat keluar daripada kerumunan orang ramai, Hanif menghembus nafas lega. Melilau anak matanya tercari-cari figura Haq yang laju sahaja menghilang daripada pandangan matanya.
Dan saat kepala menoleh ke sebelah kiri, kelihatan lelaki berjaket kulit hitam tadi sedang bersandar di hadapan bonet kereta dalam gaya berpeluk tubuh. Matanya cuma fokus ke satu arah. Iaitu memerhati wartawan wanita muda yang sedang bercakap-cakap di hadapan kamera yang merakam dirinya.
Timbul senyuman penuh makna pada bibir Hanif sebelum dia mendekati Haq. Matanya turut beralih ke arah mereka.
Kemudian Hanif menghelakan nafasnya saat menatap wajah cantik wartawan itu. Walaupun jarak mereka jauh akan tetapi suara lembut Sofia boleh didengar sampai ke sini saat menyampai maklumat tentang kejadian yang berlaku.
"Itu sahaja maklumat yang kami dapat buat masa ini, saya wartawan Sofia daripada Viral TV mengakhiri berita. Ingat! Dimana ada Viral, di situ ada Sofia. Tata!"
Tergelak kecil Hanif melihat aksi comel wanita itu di hadapan kamera. Bagaimana netizen tak terpikat jika begitu caranya menyampaikan berita semasa. Penuh semangat dan sentiasa ceria. Bahkan, lain daripada wartawan yang asyik serius sepanjang menyampai maklumat. Bosan. Tambah tidak menarik perhatian untuk tengok.
"Itu ke Sofia?" Setelah lama Haq diamkan diri, akhirnya dia bersuara. Matanya masih lagi melekat pada figura Sofia yang sedang merapikan rambutnya seusai jurukamera mematikan rakaman.
Hanif angguk kepala mengiyakannya.
Lama Haq merenung wanita itu. Pandangannya bertukar lebih serius. Seakan-akan cuba mencari dimana menariknya tentang Sofia sehingga netizen menyukainya. Selain gaya kegedikan dan solekan, dia tidak rasa ada lagi yang istimewa. Dia cuma wanita biasa yang menarik perhatian lelaki gatal di luar sana.
Namun, jika benar watak Sofia menarik ramai perhatian penontonnya. Mengapa Unknown tidak? Mengapa Sufi juga yang dicari-cari?
"Tuan nak saya siasat Sofia ke?" Soal Hanif apabila melihat Haq cuma diam tak bersuara. Lihat daripada cara pandangan lelaki itu seakan mencurigai Sofia.
Malahan Haq geleng kepala. Dia langsung berdiri tegak dari bersandar pada bonet kereta.
"Biar aku berkenalan dengan dia dahulu. Selepas itu baru kau siasat." Balas Haq, acuh tak acuh. Bahu Hanif ditepuk sekali sebelum dia mula mengatur langkah menuju ke arah mereka di sana.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro