Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

        DI sebuah bangunan korporat milik Viral Tv, tepat jarum jam bergerak ke angka 10:30 pagi, masing-masing melepaskan nafas lelah. Akhirnya, waktu rehat dah tiba. Ada pekerja yang turun ke kantin yang berada di tingkat 3, bahkan ada juga yang memilih untuk tidur sebentar di meja kerja sendiri.

Kalau ada yang terlebih rajin, mereka akan sambung buat kerja seperti biasa. Pelik juga manusia seperti itu. Bukannya gaji dia akan naik pun. Bos di sini sudahlah kedekut. Serupa dalam poketnya cuma ada lima sen sahaja setiap masa.

Dan Sufi pula, lebih memilih untuk berehat sahaja di meja kerjanya. Mula-mula ingatkan nak letak kepala atas meja sahaja, akan tetapi tiba-tiba sahaja kelopak mata terasa berat. Gamaknya kerana semalam dia tertidur lewat.

Semuanya gara-gara lelaki misteri semalam. Kalau dia tak kejar secara senyap-senyap, tak adalah Sufi fikir yang bukan-bukan.  Tengok! Sekarang dia juga yang dihantui dengan  perasaan serba-salah dan menanggung malu. Asyik tertanya-tanya bila lagi kesempatan yang dia ada untuk berjumpa dengan lelaki itu dan meminta maaf soal semalam.

Harapnya, dia ada peluang untuk berjumpa dengan lelaki tak dikenali itu sekali lagi.

"Sufi..." sayup-sayup kedengaran nama Sufi diseru lembut. Adakala tangannya menepuk-nepuk belakang bahu wanita itu dengan perlahan. Namun, perbuatan itu seolah-olah makin membuatkan Sufi jauh dibuai mimpi.

Bibirnya mencorek senyuman kecil. Sempat lagi anak mata hitamnya menatap seraut wajah Sufi yang jelas kelihatan penat. Mungkin disebabkan itu Sufi terlena di mejanya sendiri.

"Sufi Leila..." Bahu Sufi disentuh.

Akibat daripada sentuhan itu membuatkan bahu Sufi sedikit terhinjut kerana terkejut. Tubuh automatik menegak. Terkebil-kebil anak mata bulatnya melilau ke kiri dan ke kanan, tercari-cari empunya suara yang memanggil namanya tadi.

Dan ketika kepala Sufi menoleh ke belakang kerusinya, mata yang tadinya terasa berat terus menjadi ringan. Dibuka luas-luas sebelum Sufi bangkit daripada kerusi. Sekali lagi, Sufi terkejut.

"Akim?" Nama itu disebut Sufi.

Lelaki yang tercongok di hadapannya sekarang cuma menayang sengihan. Ya. Siapa lagi kalau bukan dia? Hakim Ezhar. Tetapi orang-orang disekelilingnya lebih selesa menggelarkan dirinya sebagai Akim. Mudah disebut dan senang untuk lekat dalam kepala otak. Macamlah Sufi tidak biasa dengan kehadirannya setiap kali tiba waktu rehat makan tengah hari.

"Maaf sebab ganggu awak. Lain macam nampak penat awak hari ni." Tegurnya.

Sufi tersengih kekok. Sesekali  tangan kanannya naik menyapu bibir. Takut-takut jika ada air liur basi yang tertumpah semasa dia tidak sengaja lelapkan mata tadi. Kalau ada, memang dia harus tanggung malu selama sebulan untuk bersemuka lelaki ini.

Tetapi...

Jelas sangat ke nampak yang dia tengah penat?

"Eh, mana ada saya penat. Pandai-pandai awak aje, Akim. Saya cuma bosan tak ada kerja sahaja. Sebab itu saya tidur. Selalunya waktu begini saya keluar dengan Tuah pergi temu ramah orang.  Tapi orang lain dah ambil job itu, kan? Apalagi yang saya boleh buat waktu sekarang." Ujar Sufi, ada senyuman kelat tubir di bibir Sufi. Sesekali dia menundukkan pandangan ke bawah.

Sejujurnya, Sufi masih lagi kecewa dengan sikap bosnya yang pilih kaseh. Langsung tak adil buatnya yang sudah lima tahun berkhidmat di Viral TV. Susah payah dia turun dan naik mahkamah, mengejar manusia-manusia yang tak lari daripada kontroversi dan sentiasa ada masalah dalam hidup. Tahu-tahu ini pengakhiran nasibnya.

Ingatkan gaji naik. Malahan pangkatnya dipindahkan ke bahagian penulisan artikel tanpa perbincangan terlebih dahulu. Job sebagai wartawannya telah dirampas oleh Sofia yang baru sahaja terlibat dengan stesen Viral TV tak sampai tiga bulan.

Sebab utamanya adalah kerana Sofia cantik. Ramai orang sukakan Sofia. Bahkan rating Viral TV pun semakin melonjak naik semenjak wanita itu mengambil alih tempatnya. Sebab itulah Sofia boleh jadi anak ikan emas bos. Apa sahaja yang dia minta semuanya dapat.

Sekonyong-konyong itu bibir Akim menyenget. Wajah Sufi dipandang sebelum dia kembali berbicara. 

"Sejujurnya... saya rindukan awak." Katanya secara tiba-tiba.

Kepala Sufi yang daripada tadi tertunduk langsung naik apabila mendengar kata-kata itu. Sufi tayang muka bingung. Tak tahu mengapa otaknya jadi blur sekejap atau diri sendiri yang lambat tangkap maksud?

"Huh?"

Akim yang baru tersedar ayatnya kedengaran pelik terus menggeleng kepala.

"Maksud saya, saya rindu nak tengok awak jadi wartawan. Bukannya rindu yang satu lagi." Ujarnya, membetulkan semula ayat yang tidak berapa jelas tadi.

"Oh, ya ke?" Sufi buat-buat ketawa. Sekadar mahu menyembunyikan perasaan malu yang semakin menebal. Baru ingat nak perasan sekejap kerana ada juga manusia yang mempunyai rasa 'rindu' kepadanya. Rupa-rupanya tiada juga.

Nasib baik tak nampak teruja sangat tadi. Kemudian, Sufi berdehem seketika membetulkan suara pada anak tekaknya yang tiba-tiba terasa kering.

"Saya pun. Rindu nak jadi wartawan. Tapi... mungkin rezeki untuk jadi wartawan itu sampai setakat sini sahaja.  Saya reda. Lagipun, bagus juga Sofia yang ambil alih. Stesen kita pun semakin banyak tontonan sekarang." Ujar Sufi.

Akim tidak membalas apa-apa.  Sebaliknya hanya merenung wajah wanita itu dengan pandangan kosong. Sedangkan Sufi pula merasakan tidak selesa apabila dipandang lama-lama. Sekejap sebelah tangan Sufi naik membetulkan selendang yang dipakai, manalah tahu jika selendangnya nampak senget dimata lelaki itu sehingga ditenung sebegitu rupa.

Namun, tetap saja mata Akim tidak bergerak daripada laman wajahnya.

Aduh, ada apa yang tak kena ni? Soal Sufi di dalam hati. Kekok bercampur rasa resah. Dan disaat Sufi ingin membuka mulut, tiba-tiba lelaki itu bersuara semula.

"Awak nak tahu satu benda tak, Sufi?" Tanya Akim.

Sufi tayang kerutan di dahi. Sebelah kening dijongket ke atas. Pelik. Seraya wajah Akim ditatap penuh tanda tanya.

"Apa dia?" 

Perlahan-lahan bibir Akim melakar senyuman kecil. 

"Walaupun ramai yang sukakan Sofia jadi wartawan Viral TV. Tapi saya yakin, ada peminat setia yang tetap nak tengok muka awak di kaca TV. Jadi awak tak boleh mengalah sekarang. Awak kena rampas job wartawan itu semula daripada Sofia." Kata Akim.

Hendak tergelak pun ada saat Sufi mendengarkannya. Ingatkan apalah tadi, buat jantungnya suspen sahaja.

"Apa gunanya saya rampas semata-mata demi seorang peminat sahaja? Lagipun..."

"Awak yakin cuma seorang?" Cantas Akim tanpa menunggu Sufi menghabiskan ayatnya terlebih dahulu. 

Sufi terdiam. Kaku. Bahkan matanya langsung tak berkelip memandang lelaki yang kelakuannya semakin aneh.  Persoalan Akim terlalu susah untuk ditebak. Malahan di fikiran Sufi selama ini tak pernah terlintas yang dia mempunyai peminat tersendiri seperti Sofia. Kalau ada pun mungkin tak ramai.

Apa sahaja yang menarik ada pada dirinya untuk diminati? Dia bukannya cantik macam Sofia pun.

"Sufi, tak semua orang utamakan kecantikan dalam dunia ni. Hati awak lebih baik daripada Sofia. Kalau tanya orang yang tidak dilahirkan bersama perasaan sekalipun, dia akan lebih pilih hati yang baik daripada rupa yang cantik. Saya yakin, masih ada lagi orang yang tunggu awak jadi wartawan semula. Awak tak boleh serahkan job tu buta-buta kepada Sofia sahaja. Awak tetap kena rampas tempat itu semula."Sambung Akim.

Sekadar memberi nasihat untuk Sufi terus kuat melawan orang atasan yang memijaknya. Jangan sesekali mudah tunjuk lemah di hadapan mereka, kerana itu orang yang berkuasa paling suka untuk pergunakan. Kalau boleh, dia mahu Sufi lawan demi usaha yang pernah ditaburkan sebelum ini. Sia-sialah kalau Sufi berserah terlalu awal.

Tatkala Sufi berdecik kecil. Rasanya Akim tidak faham.

"Siapa saya nak rampas kedudukan Sofia? Saya dah terima hakikatnya, Akim. Takdir saya sekarang di penulisan bukan lagi wartawan. Jadi tak perlulah cakap pasal wartawan lagi. Saya dah move on..." Ujar Sufi. Lemah. Cukuplah. Dia tidak mahu bercakap tentang topik wartawan lagi. Baginya, yang dah berlalu biarkan terus berlalu. Kalau terus diungkit hanya akan mengusutkan kotak fikirannya.

Malahan Akim menggeleng kepala menafikan bicara Sufi tadi. Jelas, tidak setuju.

"Takdir boleh diubah, Sufi. Cuma nak atau tak nak lakukan sahaja. Kalau Sofia tak wujud dalam dunia ni, awak pun akan dapat job awak semula." Kata Akim.

Kedua belah kening Sufi mula berkerut tidak faham. Kurang jelas menangkap maksud tersirat yang cuba disampaikan. Tidak tahu mengapa, ayat itu membuatkan tubuh Sufi meremang buat seketika.

"Apa... maksud awak?" Soal Sufi, wajah Akim dipandang dengan tanda tanya. Malahan lelaki itu cuma menggeleng kepala seperti tiada apa-apa.

Sekilas Akim melarikan anak matanya ke aram jam di dinding. Waktu makan tengah hari sudah hampir tamat. Kelihatan di pintu lift juga sudah ada beberapa pekerja yang baru pulang daripada kantin. Masing-masing kembali ke meja kerja, malah ada yang melepak di ruangan rehat sebentar untuk berborak dengan rakan setugas mereka.

Namun, masih ada masa baki selama 15 minit sebelum waktu bekerja kembali. Manakala Sufi pula langsung tak turun ke kantin. Bahkan di atas meja kerjanya yang sedikit bersepah itu juga tiada sebarang bekal makanan atau botol minuman kelihatan. Jelas, wanita itu belum makan lagi. 

"Waktu rehat tak panjang mana. Saya risau awak tak sempat sarapan pula. Tadi saya singgah CU mart. Beli ramen, kemudian dapat free susu pisang. Tapi saya tak minum susu, awak nak?" Kotak susu pisang yang daripada tadi dipegang dihulurkan kepada Sufi.

Sedangkan Sufi tidak terus mengambil pemberian lelaki itu. Bukannya dia malu-malu kucing atau sebagainya, akan tetapi perut sensitifnya mengalami alahan dengan susu. Tak kiralah apa jenis jenama sekalipun, mahal atau murah, setiap kali minum perutnya pasti akan berasa sakit. Nanti ada juga yang keluar masuk ke tandas berkali-kali. 

Bahkan, ini bukan kali pertama Akim memberinya susu pisang. Sebelum ini juga dia paksakan diri menerima pemberian lelaki itu kerana tidak sampai hati mahu menolak. Namun kali ini, hatinya berkeras untuk menolak demi kesihatan perut sendiri.

"Err... tak apalah, Akim. Awak beri kepada orang lain saja. Tiap-tiap hari awak beri saya susu pisang. Saya dah muak sebenarnya. Yang semalam pun saya tak minum, tapi saya beri dekat adik saya. Nana." Ujar Sufi. Rasa-rasa dia sudah menolak dengan cara paling baik supaya lelaki itu tidak tersinggung.

Namun entah mengapa, riak wajah Akim tampak berubah secara tiba-tiba.  Hendak kata marah, tidak. Suka pun tidak. Tetapi lebih kepada reaksi tak percaya. 

"Awak... beri dekat orang lain?" Sekali lagi Akim mengulangi ayat Sufi tadi.

Kemudian Sufi angguk kepala mengiyakannya. 

"Haah. Sebab saya tak ada selera semalam. Saya takut expired jadi saya beri dekat dia. Kenapa? Awak... terasa ke?" Soal Sufi, jiwanya mula dihurungi rasa gelisah. Tidak tahu pula jika tindakannya itu salah. Dia cuma tidak mahu membazir, kerana itulah susu pisang itu diberikan kepada Nana. Adik perempuan yang berusia 17 tahun.

Tidak sampai beberapa saat, Akim menggeleng kepala sebelum melemparkan senyuman lebar kepada Sufi. Namun entag mengapa senyuman itu kelihatan aneh di mata Sufi. Seakan menyembunyikan perasaan yang tak terluah di bibir.

Aduh, macam mana ni? Dia buat Akim rasa kecewa ke kerana buat dia yang minum? Sufi gigit bawah bibir dengan  sebal.

"Tak adalah. Itukan cuma free gift. Saya tak tahu nak beri kepada siapa lagi kalau bukan awak. Kalau awak tak nak pun, awak simpan ajelah. Lebih baik ada orang ambil daripada buang, kan?" Ujar Akim, susu pisang itu tetap dihulur kepada Sufi. Jauh ke dalam anak matanya seakan mengharapkan Sufi untuk mengambil pemberian itu.

Teragak-agak Sufi mahu mencapainya dan dalam masa yang sama, dia juga tidak mahu kecewakan Akim.

"Haah, betullah tu. Biar aku yang ambil." Sampuk lelaki yang entah sejak bila muncul di belakang Akim, kotak susu pisang di tangannya seraya dirampas dengan selamba.

Terkejut Sufi melihat tindakan selamba badak lelaki berkemeja hitam itu.

"Tuah!" Keras Sufi. Siap menjegilkan mata lagi. Memberi isyarat kepada lelaki bernama Tuah itu untuk pulangkan susu kotak yang diambilnya tadi.

Manakala Tuah boleh lagi tayang muka tak bersalah. Kedua belah keningnya terjongket ke atas.

"What? Betullah, kan? Dia tak nak buang takut membazir, biar aku ajelah yang ambil. Aku pun minum susu. Tak salahkan, Kim?" Tuah berpaling memandang Akim setelah berdiri rapat di sisi Sufi.

Akim diam.

Dan tiba-tiba sahaja Tuah meletuskan tawa. Bunyinya begitu mengejek. Dia tunduk memandang kotak susu pisang ditangan sebelum anak mata melirik tajam ke arah Akim yang masih tercongok di hadapan mereka.

"Kau memang tak reti nak faham bahasa ek?" Soal Tuah, nada suaranya kini berubah lebih serius. Bahkan riak wajahnya juga tampak tidak mesra setiap kali bertembung dengan lelaki acah-acah skema itu. Sudahlah rambut berminyak, dengan gaya rambut belah tengah pulak tu!

Walaupun gaya rambut itu tidak ada salahnya tetapi dia rasa menyampah setiap kali melihat. Kadang-kadang otak nakalnya terfikir nak botakkan kepala lelaki itu semasa Akim tidur.

Mujur sahaja tindakan gilanya itu dihalang oleh Sufi setiap kali dia terfikir untuk buat.

"Dah berbuih mulut aku cakap yang Sufi ada alahan dengan susu, tapi kenapa kau masih lagi berdegil nak beri dia susu? Kau sendiri tahu tentang itu, kan? Atau kau sengaja nak buat dia sakit perut? Ke kau ada masalah terpendam dengan Sufi huh?" Tuah mara beberapa tapak ke hadapan mendekati Akim. Tiada gentar terpapar pada riak wajahnya.

Sedangkan Akim pula yang tunduk menikus memandang lantai serupa pesalah.

"Kau ada dendam dengan Sufi ke?"

Akim geleng kepala perlahan.

"Dah tu? Yang tak habis-habis nak belikan susu ni untuk dia kenapa? Bukan ke dah jelas dekat situ kau nak cuba sabotaj dia?"  Soal Tuah agak tidak puas hati. Mahu sahaja dia tarik muka Akim dongak menghadap wajahnya. Namun belum sempat dia hendak mendekat, Sufi terlebih dahulu menghalang.

"Sudahlah tu, Tuah..." belakang kemeja Tuah ditarik Sufi. Bukannya dia tidak tahu perangai Tuah itu serupa bagaimana. Harap sahaja nama ada Tuah tetapi jika bergaduh dengan orang, manusia itu memang tiada tuah untuk menang. Teruk nasibnya nanti. Jadi sebelum perkara buruk itu terjadi, lebih baik Sufi hentikan dengan segera.

Namun, tangan Sufi pula yang ditepis dengan perlahan. Siap bersama jelingan amaran untuk Sufi tidak perlu masuk campur buat seketika sebelum pandangan Tuah beralih kepada Akim semula.

Jari telunjuk Tuah naik menunding tepat ke wajah Akim dengan cerlungan mata tajam.

"Dengar sini baik-baik kera sumbang, kalau kau ada masalah dengan Sufi. Kau perlu hadap kawan dia dahulu. Kalau nak bergaduh, biar lelaki lawan lelaki. Bukan lelaki lawan dengan perempuan. Itu pengecut namanya. Faham?" Gertak Tuah, memberi amaran.

Manakala Akim hanya diam membisu sejak tadi. Tiada satu patah perkataan yang keluar untuk membantah.

"Dan lagi satu, selepas ini tak payahlah kau bersusah payah belikan makanan atau minuman dekat Sufi. Sebab dia dah ada aku. Aku yang selalu belikan dia makanan. Jadi tak payah nak tunjuk yang kau ambil berat tentang dia. Ingat sikit, kau tu baru aje masuk kerja tak sampai dua bulan. Jangan sampai aku report dekat bos yang kau cuba-cuba nak racunkan Sufi sebab dengki dengan prestasi kerja dia." Sambung Tuah lagi, siap menyelit ugutan biar lelaki itu tahu bahawa langit itu tinggi ke rendah bila berhadapan dengannya.

Baru kali ini kepala Akim terangguk-angguk. Matanya masih lagi melekat di lantai.

"Baik, Encik Tuah." Akur Akim. Dia menunduk hormat kepada Tuah sebelum berlalu pergi tanpa menoleh ke belakang.

"Eh. Tunggu. Ambil balik susu pisang ni. Tiba-tiba tak terasa nak minum pula. Pergi bagi dekat mak cik cleaner depan sana. Dia mesti penat buat kerja daripada tadi." Ejek Tuah, air kotak susu pisang itu dihulur semula kepada Akim. Dia pun tak hingin nak minum air orang. Sengajalah nak gertak sedikit tadi.

Akim tidak berkata apa. Dia kembali mendekati Tuah, mengambil air kotak susu pisang itu semula sebelum menapak ke meja kerjanya yang berada di sebelah kanan sana.

"Akim!" Seru Sufi.

Langkah Akim automatik terpasung ditengah jalan. Tidak menoleh. Sebaliknya dia masih menanti bicara dari Sufi.

"Maaf ya?" Rayu Sufi. Tangannya saling tak duduk diam saat ini. Penuh dengan rasa serba salah di hati. Nak harapkan Tuah minta maaf atas perbuatan tadi memang tidaklah lelaki itu akan lakukan. Bukannya reti nak jaga perasaan orang!

Sedangkan Tuah pula menjeling menyampah. 

"Tak payah nak minta maaf sangatlah. Geli aku. Dah macam budak couple pula aku tengok." Ejek Tuah dengan selamba.

"Tuah!" Sufi jegilkan mata. Cukup buat Tuah tahu untuk kunci mulutnya buat beberapa minit. Kemudian, pandangan dilemparkan semula ke arah Akim yang masih tidak berkutik daripada tempatnya.

"Awak tiada salahnya, Sufi. Tak perlu minta maaf. Saya tak suka dengar awak minta maaf. Saya balik ke meja dulu." Ujar Akim tanpa berpaling memandangnya. Seraya dia meneruskan langkah ke meja.

Tatkala Sufi mengeluh perlahan. Timbul rasa kasihan saat melihat Akim berlalu pergi begitu sahaja. Daripada gaya bercakap pun sudah jelas menampakkan lelaki itu terasa dengan kata-kata Tuah. Ish, si mereng ni memang tak reti nak jaga bahasa langsung!

Lantas tangan Sufi yang terasa geram daripada tadi terus dihayun ke lengan Tuah.

Pap!

"Ouch! Apahal kau ni?!"  Sebelah tangan Tuah naik menyentuh bahagian lengan yang ditampar Sufi sekejap tadi. Tidaklah sakit mana. Namun dia tidak suka apabila Sufi tiba-tiba menamparnya tanpa sebab. Lagi-lagi jika disebabkan mamat skema tadi.

"Kau tu yang apahal? Kesian dia. Aku tahulah kau senior di sini. Nanti kalau dia simpan dendam macam mana? Kot iya pun nak beri teguran, cakaplah elok-elok." Herdik Sufi. Bibir diketap.

Malahan Tuah menjuih bibir dengan mimik muka mengejek. Tangannya yang menggosok lengan tadi dijatuhkan ke bawah semula. Dia pusing menghadap Sufi, kepala tertunduk sedikit memandang Sufi yang tinggi cuma sampai paras dadanya. Anak mata Sufi ditenung.

"Sebelum dia nak simpan dendam, aku dahulu simpan dendam dekat dia. Sudahlah baru masuk kerja. Selepas tu nak menggatal dengan kau pula. Tak padan dengan muka ulat buku. Dahlah rambut belah tengah. Benci aku!" Sindir Tuah. Siap melepaskan jelingan penuh meluat kepada Akim yang sudah pun duduk di meja.

"Kau pun satu hal, boleh tak jangan jadi baik sangat? Kau sendiri tahu perut kau tak boleh terima susu, yang kau baik hati sangat nak terima pemberian dia tu kenapa? Tolak ajelah!" Tanpa semena-mena Sufi pula yang dimarahi sekarang. Kedua belah tangan Tuah mencekak pinggang. Satu-satunya perangai yang paling dia tak suka pada Sufi ialah terlalu baik. Sebab itulah si Sofia senang-senang sahaja rampas jawatan.

Sesaat bibir Sufi melopong. Salahkah jika dia jadi baik sekalipun? Bak kata orang, lebih baik buat baik kepada semua orang daripada buat jahat.  Barulah dunia aman dan damai kerana ada manusia sepertinya.

"Dia belikan untuk aku, kau ingat aku sampai hati ke nak tolak? Kesian tahu tak? Dia cuma nak berkawan sahaja dengan aku." Balas Sufi.

Sekonyong-konyong bibir Tuah menyenget sinis.

"Sebelum dia nak berkawan dengan kau, dia kena berbaik dengan aku dahulu. Lelaki zaman sekarang tak boleh dipercayai kecuali aku seorang. Ingat tu!" Tekan Tuah, sedangkan Sufi sudah terasa mahu muntah hijau mendengarnya.

"Tak habis-habis isi bakul angkat sendiri." Ejek Sufi.

"Dah memang fakta nak buat macam mana?" Katanya, kemudian Tuah melangkah mendekati meja kerja milik Sufi. Beberapa fail yang bersepah di atas meja dikutip satu per satu lalu di taruh  ke penjuru meja sebelum bungkusan plastik berisi nasi lemak dan teh ais  diletakkan ke situ.

"Kau beli makanan apa untuk aku?" Tanya Sufi sambil melangkah ke arah Tuah yang sedang membuka bungkusan air teh ais.

"Nasi lemak aje. Itupun cuma tinggal satu. Makanlah."

"Habis kau?"

"Aku dah makan dekat kantin tadi." Jawabnya.

Kepala Sufi terangguk-angguk faham. Lantas kerusi ditarik sebelum dia melabuh punggung. Bungkusan nasi lemak dibuka. Bau sambal ikan bilisnya sahaja sudah buatkan selera Sufi naik semula. Macam sedap.

"Terima kasih tolong belikan. Selepas ni giliran aku pula turun bawah belikan makanan untuk kau." Ujar Sufi, Tuah tidak membalas apa-apa. Kemudian kedua belah tangan ditadah semasa membaca doa makan. Usai mengaminkan doa, langsung tangan kanan Sufi bergerak ingin menyentuh nasi lemak itu.

Tak sampai hujung jari menyentuh satu butir nasi, tiba-tiba lengan kanannya yang berlapikkan kain baju kurung itu digenggam dengan laju. Menghalang. Sufi tersentak. Terus kepalanya mendongak memandang Tuah di sebelah.

Kening lelaki itu tampak berkerut, serius. Matanya seakan fokus merenung sesuatu pada jari-jemarinya yang kosong tiada perhiasan.

"Tengok kuku kau." Terus tangan Sufi ditarik dekat dengan mukanya.

Mata Sufi membulat terkejut. Dengan pantas Sufi menarik tangannya semula.
Dah gila ke apa si mereng ni? Sempat anak mata Sufi menangkap beberapa pasang mata pekerja yang memandang pelik ke arah mereka.

"Kau ni memang tak jaga kebersihan dirikan? Kuku dah macam kuku ayam ada hati nak makan pakai tangan." Tegur Tuah, matanya masih melekat pada kuku jari Sufi yang sedikit menumbuh panjang.

Sekilas Sufi tunduk memandang jari-jemarinya.

"Mana ada panjang. Aku baru potong minggu lepas. Sikit aje ni." Rungut Sufi.

Namun Tuah menggeleng. Tanpa banyak bicara, terus Tuah menuju ke meja kerja miliknya. Tidak jauh pun. Belakang Sufi sahaja. Laci meja ditarik, mengeluarkan pengetip kuku sebelum dia kembali kepada Sufi semula.

"Potong dahulu baru makan." Arahnya, tegas. Pengetip kuku dihulurkan kepada Sufi.

Bahkan Sufi tidak terus mengambilnya.

"Gila ke apa? Buang kuku dekat luar ni bahaya tau. Kalau ada orang dengki, dia nak sihir aku. Macam mana?" Soal Sufi. Otaknya dengan overthinking berpisah tiada. Haruslah berhati-hati setiap masa.  Walaupun ia cuma sekadar kuku, tetapi siapa sahaja yang tahu jika ia boleh jadi perkara buruk kalau buang?

"Tak ada siapa nak sihir kau. Jin kalau tengok pun dia rasa simpati nak rasuk kau. Cepat potong!" Tegas Tuah, dingin.

Bawah bibir Sufi mencebik. Pengetip kuku itu dirampas secara kasar. Seraya Sufi mengheret kerusinya dekat dengan tong sampah kecil di sebelah kiri meja. Memotong kukunya di situ.

Setelah beberapa minit, Sufi kembali ke tempat asalnya. Kini semua kuku di jari-jemarinya kemas dipotong.

"Nah!" Pengetip kuku diserahkan semula dengan nada tidak puas hati. Masih lagi geram dengan ejekan Tuah. Kalau aku kena sihir nanti, memang Tuah orang pertama yang aku akan cari.

"Dah, makan nasi lemak kau sampai kenyang. Teh ais pun aku dah tolong bukakan. Aku nak ke tandas sekejap. Ingat, kalau si Akim tu datang ke meja kau halau sahaja dia. Kalau tidak, aku yang akan halau dia."

Sufi tarik nafas seketika lalu dihembus. Sabar sajalah dengan si Tuah ni...

"Ya, pergi ajelah..."

"Aku tak main-main, kalau aku nampak dia lagi dekat sini. Aku akan baling kasut ni ke muka dia." Gertak Tuah.

Sufi pejam mata sesaat. Boleh hilang sabarnya jika melayankan arahan si Tuah itu.

"Iya, aku takkan biar dia dekat dengan aku. Sudahlah, pergi ke tandas cepat. Aku nak makan pun tak senang!" Balas Sufi agak dingin.

Kepala Tuah mengangguk perlahan. Sempat anak matanya menjeling ke meja Akim, melihat lelaki itu sedang sambung membuat kerjanya semula. Bagus. Barulah hatinya tenang sikit nak tinggalkan Sufi sementara dia ke tandas.

"Makan elok-elok. Jangan gelojoh." Pesan Tuah sebelum kakinya melangkah pergi meninggalkan meja Sufi. Bahkan Sufi tidak membalas apa-apa, sebaliknya menjamah nasi lemak dengan tenang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro