Bab 19
Suasana di balai polis semakin tegang. Hawa malam yang masuk melalui pintu kaca terasa sejuk, namun ketegangan di antara mereka membakar udara sekeliling. Mata Sufi membulat, nafasnya mendesah kasar. Dia tidak peduli jika dia kelihatan tidak waras, yang dia tahu, nyawa Sofia sedang dipertaruhkan.
PAP!
Meja kayu bergetar sedikit akibat hentakan kuat dari tangannya. Semua mata di balai memandang ke arah mereka, namun Sufi langsung tidak peduli.
"Saya tak main-main! Encik boleh ambil telefon ni, korek segala data yang ada. Sofia memang tengah dalam bahaya sekarang, percayalah!"Sufi menghulurkan telefonnya, hampir menekannya ke dada polis itu. Suaranya bergetar antara marah dan cemas. Dia tidak tahu bagaimana lagi harus meyakinkan lelaki beruniform itu.
Di sisinya, Tuah masih berdiri tegak, memeluk tubuh dengan wajah tegang. Dia tidak banyak bersuara, hanya memerhati, tapi dari matanya yang tajam, jelas dia sedang menahan rasa geram yang sama seperti Sufi.
Polis di hadapan mereka, seorang lelaki berusia lewat 40-an dengan lencana bertulis 'ASP Rahman', mengeluh berat sambil bersandar di kerusinya. Matanya merenung tajam ke arah Sufi, seolah-olah cuba membaca niat sebenar wanita itu.
"Saya bukan tak nak percaya, Cik," katanya akhirnya sambil mengeluh.
"Tapi Cik kata mangsa tengah diburu oleh Unknown. Cik tahu tak, Unknown tu bukan sebarangan pembunuh? Dah banyak kali orang buat laporan palsu tentang mereka. Bila kami siasat, semuanya cuma ketakutan tak berasas. Ada yang sengaja nak viral pun ada. Jadi ingat mudah ke kami nak percaya kali ni?"
Sufi menggenggam erat telefon di tangannya. Jari-jarinya terasa sejuk, tetapi kemarahannya jauh lebih kuat daripada rasa takut yang mula merayap di dadanya.
"Tapi saya tengah serius, Encik! Saya bukan nak viral pun. Ini kes betul!" suaranya bergetar, hampir menjerit, namun dia cuba menahannya.
"Kita kena pergi tempat tu sekarang. Panggil semua polis yang ada untuk cari dia!"
ASP Rahman menggeleng perlahan. "Tak semudah itu, Cik Sufi. Kalau ini satu permainan, Cik dah bazirkan masa kami. Dan kalau tiada pembunuhan berlaku, Cik boleh disaman atau dikenakan hukuman kerana mengganggu tugas polis."
Sufi merasakan sesuatu meledak dalam dirinya. Jantungnya berdetak kuat, tangannya mengepal.
"Habis? Nak tunggu jumpa mayat dulu baru nak bertindak? Polis jenis apa korang ni?!"
ASP Rahman mengetap rahang, ekspresinya berubah lebih serius. Tangannya menekan meja dengan kuat sebelum dia bersuara, lebih dingin kali ini.
"Cik, jaga percakapan bila bercakap dekat sini. Ini balai polis. Jangan sampai saya..."Dia berdiri, jarinya menuding kasar ke arah Sufi, namun sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya, pergelangan tangannya ditangkap kuat.
Seketika, seluruh ruang terasa senyap.
Semua mata kini tertumpu pada lelaki sama.
Tuah, yang dari tadi berdiam diri kini bertindak. Tangannya menggenggam pergelangan polis itu dengan kuat, menariknya sedikit ke belakang, menjauh dari wajah Sufi. Pandangan matanya kinj kosong, namun tajam menikam.
"Jangan tunding jari dekat muka dia," suara Tuah rendah, namun cukup tajam untuk membuat beberapa pegawai yang memerhati terasa tidak selesa.
ASP Rahman terkaku seketika. Wajahnya berubah, jelas terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.
Namun Tuah tidak berganjak, tubuhnya kekal tegap. Matanya menikam ke arah ASP Rahman tanpa sebarang riak emosi, tapi setiap patah perkataannya membawa makna yang berat.
Suasana semakin tegang. Pegawai lain mula bertukar pandang sesama sendiri, ada yang sudah bersiap siaga, berjaga-jaga jika keadaan menjadi lebih panas.
"Kau ingat kami suka-suka nak terjah balai polis tengah-tengah malam macam ni ke huh?!" Soal Tuah, dingin.
ASP Rahman terkaku seketika. Tangannya langsung menepis dengan kasar, namun hangat cengkaman tangan Tuah masih terasa. Wajahnya berubah sejenak, ada sesuatu dalam matanya, sesuatu yang hampir menyerupai ketakutan. Namun, dia pantas menyembunyikannya di sebalik ekspresi keras dan sikap angkuh yang masih cuba dipertahankan.
"Kau ni siapa pula nak berlagak hero dekat sini? Kau ingat senang ke pihak polis nak percaya benda-benda macam ni!" jerkahnya, melangkah setapak ke hadapan, kini berdiri tegak berhadapan dengan Tuah.
Namun, Tuah langsung tidak berganjak. Nafasnya tetap, matanya masih tajam, dan tubuhnya tidak menunjukkan sebarang tanda gentar.
"Kau ingat dia tengah menipu ke sekarang?" Suaranya tenang, tetapi jelas membawa cabaran.
"Kalau betul ada pembunuhan berlaku malam ni, kau nak bertanggungjawab ke?" Soal Tuah seakan-akan mencabar.
ASP Rahman diam. Wajahnya menegang, bibirnya mengetap penuh amarah, tetapi dia tidak mempunyai jawapan yang pantas.
Tuah menggeleng perlahan, penuh sinis.
"Tak hairanlah kalau sebelum ni netizen cakap polis tak buat kerja. Salah satu punca sebab berhadapan dengan polis macam kau."
"Kurang ajar!"
ASP Rahman melangkah ke depan dengan lebih agresif, seolah-olah ingin menyerang, namun Tuah juga turut maju, mendekatkan wajahnya hanya beberapa inci dari lelaki itu seakan mencabar. Jika berani, polis itu boleh menumbuknya sekarang. Silakan.
"Apa tunggu lagi? Tumbuk lah! Kau ingat aku takut?"
Udara terasa semakin berat.
Sufi menahan nafas. Dia dapat merasakan bahang ketegangan di antara dua lelaki itu, seolah-olah hanya menunggu satu percikan untuk meletus menjadi sesuatu yang lebih buruk.
Tanpa berfikir panjang, dia segera melangkah ke tengah, memisahkan mereka.
"Tuah, sudahlah." Suara Sufi perlahan, namun penuh maksud.
"Kita pergi balai lain sahaja. Aku cuma nak buat report, bukan nak ajak bergaduh… kita kena cepat ni."Nada pasrah Sufi membuatkan Tuah mengerling ke arahnya. Rahangnya masih mengeras, tetapi dia tidak berkata apa-apa.
ASP Rahman pula masih berdiri tegak, matanya masih memandang tajam ke arah Tuah, seolah-olah tidak berpuas hati.
Balai itu kembali sunyi seketika. Tuah menghela nafas panjang, cuba untuk bersabar sebelum akhirnya mengangguk tanda setuju.
"Apa-apa ajelah. Jom." Nada suaranya datar, namun jelas ada ketegangan. Sempat dia menjeling tajam ke arah pegawai polis yang berdiri di kaunter sebelum berpaling dan melangkah keluar bersama Sufi.
Namun, sebaik sahaja pintu kaca itu ditarik, langkah Sufi terhenti mendadak. Matanya membulat saat bertembung dengan seseorang di hadapan pintu masuk.
Jaket lelaki itu basah, begitu juga dengan rambutnya yang sedikit serabai, namun masih kelihatan menarik di mata Sufi. Jelas dia baru sahaja meredah hujan yang lebat di luar. Pandangannya terkejut, seolah-olah tidak menyangka bertemu dengan Sufi di sini, pada waktu begini.
Kening Sufi sedikit terangkat. Wajah itu terlalu dikenalinya. Setiap inci wajah lelaki itu sudah terlalu lama terukir dalam ingatannya.
“Tuan?”
“Sufi?”
Serentak mereka saling menyebut nama masing-masing.
Suasana menjadi hening seketika, hanya terdengar desahan nafas masing-masing yang seakan-akan berusaha untuk memahami pertemuan yang tidak diduga ini. Sufi terdiam, fikirannya berputar ligat, cuba memahami apa yang sedang berlaku. Kenapa Haq ada di sini? Dalam keadaan yang begitu?
Haq pula menatapnya, mata mereka saling bertaut. Terdapat ketegangan di udara, seolah-olah ada banyak hal yang belum terungkap.
Sekilas, mata Haq beralih ke sisi Sufi, ke arah Tuah yang berdiri di sebelahnya. Dahinya berkerut, kelihatan jelas kekeliruan di wajahnya.
"Apa kau buat dekat sini... dengan dia?" soal Haq, suaranya tegang.
Sufi memandang Haq, jantungnya masih berdegup kencang. Dia perlu segera memberitahu Haq tentang panggilan Sofia, tentang bahaya yang sedang menghampiri. Wajah Haq yang basah dengan hujan itu sedikit menenangkan, namun tidak cukup untuk menenangkan kegelisahan di hatinya.
"Tuan, tadi saya ada hubungi Tuan tapi satu pun tak dijawab. Saya cuma nak bagitau yang tadi Sofia call saya. Dia kata dia sekarang kena buru dengan Unknown. Tuan boleh tak cari lokasi dia sekarang? Sa... saya tak tahu nak minta tolong siapa lagi..." ujarnya dengan resah, tangannya menggigil ketika menyerahkan telefon bimbit itu kepada Haq. Dia berharap lelaki itu dapat menggodam lokasi terakhir Sofia untuk segera mendapatkan bantuan.
Haq mengambil telefon itu, membelek sejenak skrin telefon yang masih hidup.
"Telefon siapa ni?" tanya Haq, matanya sedikit pelik.
"Telefon saya," jawab Sufi, suaranya bergetar.
Haq kembali memandangnya, wajahnya kelihatan bingung. "Kau cakap telefon kau hilang pagi tadi?"
Sufi gelengkan kepala, keliru dengan situasi yang berlaku, tetapi dia tahu sekarang bukan waktunya untuk menjelaskan segala-galanya.
"Ada sesuatu yang terjadi tadi. Terlalu panjang kalau nak jelaskan. Boleh tak Tuan cari lokasi Sofia dulu?" rayunya, seolah-olah tidak ada lagi pilihan selain bergantung pada Haq.
Haq terdiam beberapa ketika, seperti mencerna sesuatu di dalam kotak fikirannya. Dia menatap telefon itu dengan serius, kemudian mengangguk perlahan.
"Boleh. Tunggu sini, aku pergi cari maklumat," jawabnya tegas. Tanpa membuang masa, Haq menggenggam telefon itu dengan erat sebelum melangkah cepat menuju ke dalam balai polis.
Sufi hanya mampu berdiri di tempatnya, menunggu dengan harapan yang menggunung. Nafasnya dilepaskan perlahan, terasa sedikit kelegaan setelah mendengar jawapan Haq. Syukur, Haq akhirnya bersedia membantu. Namun, hatinya masih tidak tenang. Sofia dalam bahaya, dan waktu yang ada semakin suntuk. Dia hanya mampu berdoa agar semuanya masih belum terlambat.
Tuah di sisinya hanya menatap Sufi yang sedang meraut wajah. Diam, tidak berkata apa-apa.
"Syukurlah, nasib baik Tuan Haq boleh bantu kita, kan?" Sufi berkata dengan suara yang hampir pecah, sambil memandang Tuah. Rasa hendak menangis pun ada, terharu kerana akhirnya ada orang yang mempercayainya dan bersedia membantu dalam saat yang penuh kegelisahan ini.
Tuah hanya mengangguk perlahan, tidak berkata apa-apa. Mukanya serius, namun matanya tampak merenung jauh.
"Hmm..." gumam Tuah, cuma itu sahaja responnya.
Sufi menyedari perubahan dalam sikap Tuah, wajah lelaki itu jelas sedikit sebal, mungkin kerana dia telah mengacau waktu penting Tuah tika ini. Lantas, Sufi menundukkan kepala, merasa bersalah kerana membebankan lelaki itu dengan permintaannya.
"Aku tahu aku dah susahkan kau. Maaf sangat. Kalau kau nak balik rumah dulu, baliklah. Aku akan cari Sofia, dengan Tuan Haq." Kata-katanya keluar dengan nada perlahan, penuh penyesalan. Dia tidak mahu terus membebankan Tuah dengan keadaan ini, apatah lagi pada waktu malam yang begini.
"Haish, perempuan ni..."
Tuah menegakkan badan, berpaling ke sisi, menghela nafas panjang. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket hoodie, tubuhnya tampak sedikit kaku, seperti sedang memproses kata-kata Sufi. Setelah beberapa saat, dia kembali menatap wajah Sufi, dan kepalanya menggeleng perlahan, seolah-olah menolak tawaran itu tanpa ragu.
"Aku takkan biarkan kau pergi dengan dia, seorang diri," jawab Tuah dengan tegas, matanya menatap Sufi penuh dalam.
"Aku akan ikut. Kita cari Sofia sama-sama." Sambung Tuah, suaranya tenang namun penuh ketegasan.
Perlahan bibir Sufi mengukir senyuman. Senyuman itu bukan kerana kebahagiaan, tetapi kerana rasa lega dan terharu. Tanpa disangka, dia tidak hanya ada Haq, tetapi juga Tuah yang sudi berada di sisinya, menghadap segala yang menanti mereka. Senyuman itu, meskipun kecil, cukup untuk menunjukkan betapa dia menghargai segala yang diberikan oleh Tuah pada saat-saat seperti ini.
"Terima kasih sangat, Tuah. Kalau tak ada kau, aku tak tahu apa akan jadi."
Kereta polis yang menyala lampu biru akhirnya berhenti di bahu jalan, di kiri dan kanan laluan hanya hutan lebat yang gelap. Sunyi. Tiada sebarang kenderaan yang melalui jalan itu pada tengah malam yang sepi. Mereka keluar dari kereta, Sufi sempat melilaukan pandangan, memerhatikan jalan yang sedikit berlopak akibat hujan yang baru reda.
"Kalau mengikut lokasi terakhir panggilan Sofia, dia ada di sini," ujar Haq, matanya masih tertumpu pada skrin telefon sebelum dia mengangkat wajahnya, memandang Tuah dan Sufi yang masih memerhati sekeliling dengan perasaan janggal.
Dingin selepas hujan menyelubungi mereka, membuatkan bulu roma mereka meremang. Suasana sepi ini terasa menekan, dengan aura yang aneh menyelimuti segenap ruang di sepanjang jalan yang sunyi ini.
"Jadi, kita nak kena buat apa sekarang?" tanya Tuah, matanya tertumpu pada Haq, menunggu arahan seterusnya.
Haq merenung jauh ke dalam hutan tebal di sebelah mereka, telefon disimpan ke poket belakang seluarnya. Dalam diam, dia mengatur langkah ke arah kereta, lalu membuka pintunya. Dengan gerakan cepat, dia mengambil sesuatu dari dalam kereta dan kembali berdiri tegak. Di tangannya kini tergenggam tiga wisel.
"Kita cari Sofia dalam hutan ni," ujar Haq, suara tegas dan serius. "Ambil wisel ni, terus tiup kalau jumpa sesuatu. Kita mungkin akan berpecah."
Haq menghulurkan wisel itu kepada Sufi dan Tuah. Tanpa ragu, Tuah segera mengambil wisel tersebut dan memasang tali wisel itu ke lehernya, faham dengan arahan yang diberikan. Sementara itu, Sufi masih membelek-belek wisel di tangannya, fikirannya berputar ligat mencerna setiap kata Haq tadi. Berpecah? Hatinya terasa cemas, ada keraguan yang menggelisahkan. Bagaimana jika pembunuh itu masih ada di dalam hutan ini?
"Tapi, macam mana kalau Unknown masih ada dekat dalam?" Sufi bersuara, suaranya sedikit bergetar, jelas menunjukkan ketakutannya.
Haq memandang Sufi. "Kau ikut aku. Tuah akan pergi sorang."
Tuah yang mendengar kata-kata itu terus mendengus, tidak puas hati.
"Kenapa pula aku kena pergi seorang?" soal Tuah dengan muka yang nampak tak percaya.
Haq tersenyum sumbing, ada nada ejekan dalam suaranya. "Anak jantan, kan? Atau kau pun takut gelap?"
Tuah menjuih bibir, geram. "Siapa kata aku takut gelap?"
Haq hanya mengangguk perlahan, seakan puas dengan jawapan itu.
"Baguslah kalau tak takut. Jadi bolehlah masuk seorang diri."
Tuah berdecit kecil, matanya mengecil memandang Haq. Geram. Hendak ketawa pun ada mendengar kata-kata lelaki itu, tetapi rasa menyampah lebih mendominasi.
"Nah, touch light. Aku dengan Sufi pergi ke kiri, kau ke kanan," ujar Haq sambil menyerahkan lampu suluh kepada Tuah.
Tuah menjeling lampu suluh itu seketika sebelum menghela nafas, malas mahu membantah. Dengan sedikit kasar, dia merampasnya dari tangan Haq.
"Ingat, kalau jumpa apa-apa, tiup wisel," ulang Haq lagi, menegaskan perintahnya.
Tuah menjulingkan mata. "Aku tahulah! Berapa kali nak ulang? Cepatlah, Sofia tu kena buru dengan pembunuh, bukan dengan lembu! Makin lama kita buang masa dekat sini, entah-entah nyawa dia dah melayang," rungutnya. Tanpa menunggu lebih lama, dia terus melangkah masuk ke dalam hutan, lampu suluh dinyalakan dan cahaya terang menyuluh ke serata kawasan yang dipenuhi bayang hitam.
Haq hanya menggeleng kepala melihat gelagat lelaki itu. Sikap Tuah yang kasar bukan perkara baru, dan dia tiada masa untuk melayan perangai itu sekarang. Pandangannya beralih kepada Sufi di sisi.
"Mari, kita cari Sofia," ajaknya, menghulurkan satu lagi lampu suluh kepada Sufi.
Sufi menyambutnya dengan tangan sedikit menggigil, sama ada kerana kesejukan atau perasaan gementar yang makin menekan dada, dia sendiri tidak pasti.
Tanpa berlengah, mereka berdua melangkah masuk ke dalam hutan yang sunyi dan suram. Dedaunan yang basah akibat hujan tadi mengeluarkan bunyi renyai di bawah tapak kaki mereka. Angin dingin menyelinap ke kulit, membawa aura yang mencengkam jiwa.
"Sofia!" laung Sufi, suaranya bergema di antara batang-batang pokok. Dia diam seketika, menunggu jika ada sebarang balasan, tetapi yang kedengaran hanyalah desiran angin yang menyusup di celah pepohon. Anak matanya liar memerhati sekeliling, mencari kelibat wanita itu.
"Sofia! Kalau dengar suara kami, tolong sahut!" Haq pula menjerit, suaranya tegas, mengarah jika benar wanita itu masih berada di sekitar sini.
Namun, yang menyahut mereka hanyalah suara alam, angin yang berlalu, dedaunan yang bergeseran, dan keheningan yang kian menghimpit. Hutan ini menyimpan sesuatu. Dan mereka tahu, malam ini mereka bukan satu-satunya yang berada di sini.
"Sofia! Kau dekat mana?!"
Sufi menjerit lagi, suaranya lantang, bergema dalam kegelapan hutan. Tekaknya mula terasa perit, tetapi dia tidak peduli. Yang penting, Sofia harus ditemui.
Krak!
Langkahnya tiba-tiba terhenti. Bunyi sesuatu yang pecah di bawah tapak kakinya membuatkan jantungnya berdegup lebih laju. Dengan cepat, dia menunduk, lampu suluh digerakkan ke arah kakinya. Nafasnya tertahan seketika.
Sebuah telefon bimbit. Skrinnya sudah retak, pecah di beberapa bahagian.
Sufi segera mengangkat kakinya dan membongkok, tangannya perlahan-lahan mencapai telefon itu. Hatinya berdetak kencang, fikirannya ligat berputar. Ini bukan kebetulan. Ini pasti...
Telefon Sofia.
Hatinya kuat mengatakan bahawa ini telefon yang digunakan Sofia untuk menghubunginya tadi. Jika benar, bermakna Sofia masih ada di sekitar hutan ini. Jarak mereka tidak mungkin jauh.
Dia menelan liur, menggenggam erat telefon itu. Matanya melilau ke sekeliling, dada berombak menahan debaran yang kian mencengkam.
Namun, Haq yang berada beberapa langkah di hadapan langsung tidak menyedari langkah Sufi sudah terhenti. Lelaki itu terus bergerak, lampu suluhnya menari di antara batang-batang pokok, mencari sebarang petunjuk yang boleh membawa mereka kepada Sofia.
Hutan di sekeliling mereka tetap sunyi. Terlalu sunyi. Dan dalam kesunyian itu, Sufi mula merasakan sesuatu yang lain.
Seolah-olah... mereka sedang diperhatikan.
Pandangan Sufi tiba-tiba teralih ke arah semak tebal di sebelah kiri. Jantungnya berdegup kencang. Entah mengapa, dia merasakan seolah-olah ada suara halus yang memanggilnya ke situ, suara yang tidak benar-benar kedengaran, tetapi cukup kuat untuk menarik perhatiannya.
Dia menelan liur. Kedinginan hutan terasa semakin mencengkam kulit, tetapi langkahnya tetap maju. Dengan hati-hati, Sufi melangkah ke arah semak itu, lampu suluh digenggam erat. Haq masih meneruskan pencariannya di hadapan, tidak menyedari bahawa Sufi telah menyimpang dari laluan.
"Sofia? Kau ada dekat sini ke?"
Suara Sufi bergema dalam keheningan malam. Dia sedikit menjerit, cuba memastikan jika ada sebarang balasan. Namun, tiada jawapan. Hanya bunyi angin yang berbisik di antara daun dan ranting.
Cahaya lampu suluhnya melintasi batang-batang pokok yang tinggi dan akar-akar besar yang mencengkam tanah. Setiap langkah yang diambil terasa semakin berat, seolah-olah tanah berlumpur itu cuba menghalangnya dari terus mara.
Namun, dia tidak berhenti.
"Sofia jawablah... jangan diam macam ni..." Suara Sufi bergema dalam hening malam, diselubungi bayang-bayang hutan yang semakin mencengkam. Rasa bimbang mula menguasai hatinya. Sudah sekian lama dia mencari, namun bayang Sofia masih tidak kelihatan.
Langkahnya semakin perlahan, tenaga kian susut. Akhirnya, dia berhenti seketika, sebelah tangan menekan pinggang, cuba mengatur nafas yang terasa semakin sesak. Mata meliar ke sekeliling, mencari arah mana yang patut dituju.
Sekilas, dia menoleh ke belakang. Jauh. Terlalu jauh jaraknya sekarang. Baru tersedar, dia sudah terpisah dengan Haq dan Tuah.
"Alamak, aku dah jauh dari diaorang ke?" kini Sufi terasa semakin asing. Tidak ada tanda-tanda yang boleh membantunya mengenali laluan tadi. Jantungnya mula berdegup lebih kencang. Dia harus segera berpatah balik sebelum tersesat lebih dalam.
Namun, baru sahaja dia mengangkat kaki...
Tik!
Sufi tersentak.
Sesuatu menitis ke atas kepalanya yang bertudung.
Langkahnya terhenti serta-merta. Hawa dingin menyelinap ke tengkuknya, bulu romanya meremang. Seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena di sini.
Tik! Tik!
Titisan itu jatuh lagi, menitis perlahan ke atas tudungnya. Sufi masih berdiri kaku, tidak berani bergerak walau seinci. Dada berombak kencang, bukan kerana kepenatan tetapi kerana rasa tidak enak yang kini mencengkam hatinya.
Bau hanyir menusuk ke hidung, membuatkan tekaknya terasa mual.
Jari-jemarinya yang terketar-ketar perlahan-lahan diangkat, menyentuh tudungnya yang terasa lembap. Alis matanya berkerut. Aneh. Cecair itu terasa pekat dan melekit di hujung jarinya.
Dengan tangan kiri yang masih menggenggam lampu suluh, dia menghalakan cahaya ke telapak tangannya.
Darah.
Pekat. Masih hangat.
Sufi terkedu. Tubuhnya serta-merta menggigil ketakutan. Jantungnya berdegup kuat, seakan mahu merobek keluar dari dada. Dia menelan air liur yang terasa pahit. Ada sesuatu di atas sana.
"Hasbunallah wanikmal wakil..." Sufi mengucap perlahan.
Dengan sisa keberanian yang ada, dia perlahan-lahan mendongak, tangan terketar-ketar mengangkat lampu suluh, menyuluh ke arah pokok yang tinggi menjulang di hadapannya.
Cahaya lampu suluhnya menari-nari di antara dahan yang berselirat. Nafasnya semakin sesak, dada terasa dihimpit sesuatu yang tidak kelihatan. Dan saat cahayanya menangkap sesuatu yang tergantung di situ…
Dunia Sufi seakan terhenti.
Matanya terbeliak. Mulutnya ternganga, tetapi tiada suara yang mampu keluar. Jari jemarinya terasa kebas, hampir tidak berfungsi.
Wisel. Tiup wisel, Sufi.
Suara dalam kepalanya berbisik panik. Namun, tubuhnya terasa lumpuh. Tangannya perlahan-lahan meraba wisel yang tergantung di leher, mahu ditiup, mahu memanggil Haq dan Tuah secepat mungkin.
Tetapi dia tidak berdaya.
Wisel itu terlepas dari genggaman.
Jatuh ke tanah.
Jari-jemari Sufi tidak lagi mampu mencengkam, seolah-olah tenaganya telah disedut keluar. Pandangannya semakin kabur, kepala berpinar, dunia di sekelilingnya terasa berpusing-pusing. Tubuhnya terasa ringan, seolah-olah terapung di udara.
"Sufi!"
Suara Haq berkumandang, bergema di celah kegelapan hutan. Langkahnya kedengaran semakin hampir, derapan kaki yang deras memijak dedaunan kering menunjukkan dia sedang berlari ke arah Sufi.
Namun, belum sempat Sufi menoleh,
Dunianya menjadi gelap.
Tubuhnya rebah tanpa daya.
"Ya Tuhan, Sufi!" Dengan pantas, Haq melepaskan lampu suluhnya, tangannya terus menyambar tubuh Sufi sebelum sempat dia jatuh ke tanah. Dia memeluk tubuh itu erat, merasakan betapa dinginnya kulit wanita itu di bawah cahaya suram bulan.
"Sufi, bangun!"
Haq menampar lembut pipi Sufi, cuba menyedarkannya. Namun, tiada sebarang reaksi. Mata Sufi tertutup rapat, wajahnya pucat kebiruan. Nafasnya perlahan, hampir tidak kedengaran.
Jantung Haq berdegup laju. Panik mula merayap ke seluruh tubuhnya.
Tanpa berfikir panjang, dia mengangkat wisel yang tergantung di leher dan membawanya ke mulut.
Pritttt!
Bunyi wisel bergema nyaring, menembusi keheningan hutan. Sekali, dua kali, tiga kali. Dia meniupnya kuat, memberi isyarat kecemasan kepada Tuah yang berada jauh dari situ.
Tidak lama kemudian...
"Sufi?!"
Suara Tuah kedengaran, diiringi derapan kaki yang semakin menghampiri.
Sebaik sahaja dia tiba, matanya membulat melihat Sufi yang terkulai di dalam pegangan Haq.
Tanpa membuang masa, dia meluru ke arah mereka.
"Haq! Apa yang berlaku?! Kenapa dengan Sufi?!"
Nada suaranya jelas menunjukkan keresahan. Namun, Haq hanya mampu menggenggam erat tubuh Sufi, cuba mengawal gemuruh di dadanya.
"Aku tak tahu."*Haq menggeleng perlahan, suaranya bergetar. Pandangannya masih tertumpu pada wajah Sufi yang pucat membiru dalam pelukannya. Nafas wanita itu lemah, tetapi masih ada.
Namun, Tuah tidak memberi tumpuan kepada Sufi lagi. Ada sesuatu yang lebih menakutkan.
Matanya perlahan-lahan beralih ke tudung Sufi, ada cecair merah di situ. Pekat. Melekit. Bau anyir mula menusuk ke hidungnya.
Jari-jemarinya menggenggam erat lampu suluh, mengangkatnya sedikit demi sedikit. Entah mengapa, hatinya seolah-olah sudah tahu ke mana dia harus menyuluh.
Dan saat cahaya itu menangkap sesuatu yang tergantung di atas pokok...
Tubuhnya membeku.Jantung berdegup kencang, tetapi seakan-akan terhenti dalam masa yang sama. Anak matanya terbeliak, sukar mempercayai apa yang sedang dipandangnya sekarang.
"Haq…"suaranya lirih, hampir tidak kedengaran.
Haq mengangkat wajah. Riak Tuah yang tiba-tiba berubah membuatkan hatinya berdetak tidak keruan.
"Kenapa muka kau macam tu?"Haq bertanya, dahinya berkerut.
Namun, Tuah tidak menjawab. Dia hanya berdiri kaku, lampu suluh di tangannya tidak berganjak dari tempat yang sama. Wajahnya pucat, bibirnya seakan-akan sukar untuk bergerak.
Haq semakin resah. Dia menoleh ke arah yang sama, mengikuti cahaya lampu Tuah yang menyuluh ke atas…
Dan saat pandangannya menangkap sesuatu yang tergantung di celah dahan,
Matanya terbeliak luas. Nafasnya seakan tersekat di halkum.
"Sofia..." Tuah bersuara dengan nata bergetar. Sukar percaya.
Benar, apa yang mereka lihat sekarang adalah Sofia yang dicari-cari.
Atau lebih tepat lagi, kepala Sofia.
Tanpa badan.
Tergantung di celah dahan, rambutnya yang panjang menjurai, hujungnya masih menitis darah. Mata wanita itu terbuka, kosong, seakan-akan menatap mereka dalam diam. Bibirnya sedikit ternganga, seolah-olah mahu berkata sesuatu, tetapi suara itu sudah hilang bersama nyawanya.
Haq menelan liur. Rasa loya mula menyerang perutnya. Dia mahu berpaling, mahu mengalihkan pandangan tetapi tubuhnya terasa terkunci.
Mereka lewat.
Sofia sudah tiada.
Perlahan-lahan, tangan Haq merayap ke belakang seluar, mencari sesuatu. Sebaik sahaja jari-jarinya menyentuh alat yang dicari, dia menarik keluar walkie talkie dengan hati-hati. Tanpa membuang masa, dia mendekatkan alat komunikasi itu ke bibirnya. Suaranya yang tegas namun teratur memecah keheningan malam yang mencekam.
"MPV 21 kepada IPD, 10-25. Saya perlukan bantuan. Ada penemuan kepala mayat tanpa badan di sini. Over."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro