Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 17

“Terima kasih ya pak cik.” Ucap Sufi, sebaik sahaja pintu bas itu terbuka. Langkahnya cepat, mencabar derasnya hujan yang turun mencurah. Tanpa menoleh lagi, dia berlari, meredah lembapnya jalan yang dipenuhi lopak air, dan akhirnya tiba di bawah bangunan pangsapuri Block A. Nafasnya tercungap-cungap, Sufi berhenti seketika mengumpul tenaga semula.

Setelah penatnya hilang, dia berjalan laju ke arah lif, tangan cepat menekan butang yang terletak di tepi pintu. Dalam kelam, hanya cahaya samar dari lampu di atasnya yang menyinari wajah Sufi yang sudah sedikit pucat kerana kesejukan.

Bibirnya sedikit menggigil, tubuh dipeluk rapat, lengan sesekali digosok dengan harapan dapat menambah sedikit kehangatan. Dia berdiri tegak, matanya tidak lepas dari paparan nombor yang semakin menurun pada paparan digital di sebelah pintu lif. Hatinya berdebar, tak sabar menanti lantai yang semakin hampir.

“Cepatlah sikit, dah sejuk ni,” desis Sufi, suara halus namun penuh sabar, seolah-olah bercakap dengan lif itu sendiri, berharap sedikit lagi masa menunggu akan segera berakhir.

Ting!

Pintu lif automatik itu terbuka dengan bunyi lembut. Tanpa ragu, Sufi melangkah masuk dan segera menekan butang untuk tingkat 14. Dalam keheningan, pintu lif itu mula bergerak menutup perlahan. Namun, sebelum sempat menutup sepenuhnya, sebuah tangan muncul dengan cepat, mencelah di antara celah pintu yang semakin rapat.

"Huh?"

Pintu lif itu berhenti bergerak dan tiba-tiba terbuka semula. Sufi tersentak sedikit, matanya pantas memandang ke arah pintu yang terbuka kembali. Di luar, berdiri satu figura tinggi yang mengenakan kot hujan hitam. Wajahnya terlindung sepenuhnya oleh kain tebal itu, seolah-olah dia sengaja menghalang pandangan.

Kot hujan lelaki itu basah kuyup, air menitik perlahan dari kain yang menyelimuti tubuhnya, jelas sekali baru sahaja meredah hujan lebat sama seperti dirinya. Hujan yang sama, namun perasaan yang berbeza. Sufi merenung figura itu seketika, tak pasti apa yang membuatkan dia rasa sedikit asing, walaupun lelaki itu hanya berdiri di luar, di ambang pintu lif.

"Maaf," ucap suara garau itu, perlahan dan dalam. Namun suaranya terdengar jelas di ruang sempit lif. Dia langsung melangkah masuk, berdiri di penjuru sebelah kiri. Sufi hanya mengangguk tanpa berkata apa, merasa sedikit kekok dengan suasana yang tiba-tiba menjadi canggung.

“Ehem!” Sufi berdehem perlahan, cuba memecahkan keheningan yang kian menyesakkan. Jari telunjuknya kembali menekan butang bertanda 14, memastikan tingkat yang ditujunya tetap dipilih. Pintu lif mula tertutup, mengurung mereka berdua dalam ruang sempit itu.

Secara spontan, Sufi memalingkan kepala sedikit ke belakang. Dia melihat lelaki bertubuh tinggi itu hanya berdiri tegak di sudut lif. Kot hitamnya masih menitis air, mencipta genangan kecil di lantai logam. Anehnya, lelaki itu tidak menekan sebarang butang untuk memilih tingkat.

'Mungkin dia pun hendak ke tingkat yang sama,' bisik hati kecil Sufi, cuba menenangkan perasaan yang mula tak keruan. Namun, fikirannya tetap berputar. Ada sesuatu yang ganjil tentang lelaki itu, tapi Sufi menahan diri daripada memandang terlalu lama. Dia menarik nafas perlahan, cuba mengusir sebarang bayangan negatif yang bermain di mindanya.

Sufi mendongak, matanya tertumpu pada paparan nombor di atas pintu lif yang perlahan berubah. 

Enam. 

Tujuh. 

Lapan. 

Setiap nombor yang bertukar terasa seperti mengambil masa yang lebih lama daripada sepatutnya. Jantungnya mula berdegup lebih kencang, rentaknya tidak seiring dengan pergerakan lif yang mendaki.

Dia menarik nafas perlahan, cuba menenangkan diri, tetapi perasaan itu tetap hadir—rasa seperti dirinya sedang diperhatikan. Dengan hujung matanya, Sufi cuba mengintai ke belakang, namun pandangan lelaki berkot hitam itu sukar ditebak, wajahnya masih terlindung di sebalik bayang-bayang kain hujan yang tebal.

Sufi menelan liur. Ada sesuatu yang ganjil, tetapi dia tidak pasti sama ada itu cuma mainan perasaannya sendiri atau... sesuatu yang lebih buruk.

“Cepatlah, cepatlah... kenapa lambat sangat ni?” gumam Sufi perlahan, suara kecilnya hanya untuk telinganya sendiri. Tubuhnya semakin tegang, hati mula resah. Pandangannya terpaku pada paparan nombor yang bergerak perlahan, tetapi perasaannya seperti tidak bergerak sama sekali. 

Lalu, dia merasakan sesuatu. Lantai lif bergetar halus. Nafasnya tersekat apabila dia menyedari lelaki itu seperti sedang bergerak, melangkah setapak demi setapak ke arahnya. Bunyi titisan air hujan yang menitis dari kot lelaki itu menambah deruan dalam kepalanya. Sufi tidak berani untuk menoleh. Jari-jarinya menggenggam tali beg sandangnya erat, seolah-olah mencari kekuatan untuk menahan ketakutan yang mula mencengkam. 

"Ya Allah, cepatlah buka pintu..."

Dia hanya mampu berdoa dalam diam. Berharap, dengan segala harapan, pintu lif itu akan terbuka segera dan membebaskannya dari situasi ini. 

Dan akhirnya… 

Ting!

Bunyi itu memecahkan ketegangan. Pintu lif terbuka perlahan. 

"Syukur," desis Sufi perlahan, suaranya hampir tak kedengaran. Tanpa berlengah, dia terus melangkah laju keluar dari lif itu, hampir separa berlari. 

Dia tidak menoleh ke belakang, tidak peduli untuk melihat sama ada lelaki itu turut keluar atau tidak. Langkahnya pantas menuju ke rumahnya yang berada tidak jauh dari situ, setiap langkah dirasakan seperti melarikan diri dari bayang-bayang yang masih terasa mengekori. 

Tok! Tok! Tok!

Sufi mengetuk pintu dengan tergesa-gesa, tangannya tidak berhenti menekan permukaan kayu yang terasa dingin di jemarinya. Sesekali dia cuba memulas tombol pintu, namun tetap terkunci dari dalam. 

“Nana! Kakak dah balik ni!” jerit Sufi, suaranya sedikit menggema di koridor sempit pangsapuri itu. Tangannya semakin cemas mengetuk, hati berdebar kuat. 

“Nana!” panggilnya lagi apabila tiada sebarang balasan dari dalam. Panik mula menguasai diri. Pandangannya sempat meleret ke arah tepi, dan dia melihat lelaki berkot hujan hitam itu masih berdiri di hadapan lif, kaku. Posisi tubuhnya membuatkan Sufi yakin lelaki itu sedang memandang tepat ke arahnya, meskipun wajahnya masih terselindung di sebalik bayang. 

“Nana, cepatlah!” Sufi menjerit lagi, nada suaranya hampir bergetar. 

Akhirnya, pintu itu terbuka. Nana muncul dengan wajah yang jelas terganggu, memandang kakaknya yang kelihatan pucat lesi. Belum sempat Nana bertanya apa-apa, Sufi dengan pantas menerjah masuk ke dalam rumah, menolak adiknya ke tepi. 

Pintu itu segera ditutup rapat dan dikunci, selak pintu dipasang. Sufi bersandar di pintu yang kini menjadi penghalang antara dirinya dan dunia luar. Nafasnya tercungap, dia cuba mengaturkan pernafasannya yang tidak teratur. 

“Kenapa dengan akak ni? Orang tengah solat pun jadi tak khusyuk tau!” suara dingin Nana memecahkan keheningan. Nana berdiri di ruang tamu, memandang kakaknya dengan wajah separuh bingung, separuh marah. 

Namun, Sufi tidak menjawab. Dia hanya memejamkan mata seketika, menarik nafas panjang, cuba menenangkan debaran di dada yang masih belum reda. 

"Akak ni buat orang panik aje tau. Sabarlah sekejap. Macamlah rumah ni nak lari kalau Nana tak sempat buka dalam masa lima saat," bebel Nana sambil melipat telekung yang baru ditanggalkan. 

Sufi menggeleng perlahan, wajahnya masih tegang. “Ada orang ikut akak. Sebab itu akak suruh Nana buka cepat sikit. Kalau lambat, mungkin dia dah kejar akak,” ujar Sufi dengan nada serius. 

Riak wajah Nana terus berubah. Matanya membulat, rasa tidak percaya bercampur panik mula menjalar. 

"Biar betul? Siapa yang ikut akak?" soal Nana penuh curiga. 

Sufi menggeleng lagi, kali ini lebih perlahan. "Akak tak nampak muka dia," balasnya pendek, namun nada suaranya cukup untuk memberi tahu betapa serius keadaan itu. 

Nana mengeluh perlahan, menyandarkan tubuh pada sofa. “Mana abang Haq? Kenapa dia tak teman akak hari ni?” 

“Dia ada kerja nak kena selesaikan,” jawab Sufi sambil menarik nafas panjang. Dia memandang Nana tajam.

“Nana jangan sesekali keluar dari rumah malam ni. Duduk diam-diam. Kalau lapar, pesan saja grab.” 

Nana memandang kakaknya lama sebelum akhirnya mengangguk perlahan.

“Yalah...” jawabnya pendek, masih mencerna situasi. 

Sufi tidak berkata apa-apa lagi. Dia mengatur langkah ke bilik, tubuhnya kelihatan letih, tetapi mindanya masih berkecamuk. Di pintu bilik, Sufi berhenti sejenak, sempat menoleh ke arah Nana yang kini duduk termenung di ruang tamu. 

“Nana, jangan buka pintu untuk sesiapa pun, faham?” pesan Sufi sebelum menghilang ke dalam biliknya. 

Nana mengangguk sekali lagi, kali ini lebih perlahan, sambil hatinya memikirkan apa yang sebenarnya berlaku.








Hujan terus mencurah deras, menghentam atap kereta dan jalan berturap seperti irama yang menambah keresahan Sofia. Dengan payung kecil yang dipegang erat, dia berdiri di tepi jalan yang sunyi, memandang bonet keretanya yang terbuka. Asap putih berkepul keluar, bercampur bau hangit yang tajam menusuk hidung. Dia menutup mulut dengan tangan, cuba menghalang rasa loya.

"Uhuk! Uhuk! Bau apa ni? Busuknya..." gumam Sofia perlahan. Dia mengibas asap itu daripada terkena mukanya.

“Aduh, kenapa dengan kereta ni? Rasanya I baru aje hantar bengkel minggu lepas. Takkan problem lagi...” Sofia mengeluh sendiri. Matanya melirik ke arah jalan raya yang kosong. Kiri dan kanan hanya hutan gelap, dihiasi pokok-pokok tinggi yang bergoyang dalam bayangan samar. Sesekali kilat menyambar, memberi sedikit cahaya sebelum malam kembali pekat.

“Aishh... satu biji kereta pun tak ada untuk tumpang. Nak tak nak, kena call bengkel jugak. Leceh betul...” Sofia merungut sendirian, mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangan. Jari-jemarinya laju menatal nombor mekanik yang biasa dihubunginya.

Panggilan dijawab setelah beberapa minit menunggu. “Hello? Kereta I tiba-tiba rosaklah dekat tepi jalan ni. Boleh datang tak?” suara Sofia terkeluar pantas, nadanya jelas penuh desakan.

“Cik dekat mana?” suara di hujung talian bertanya, tenang tetapi tetap profesional.

Sofia memandang sekeliling dengan cepat, mencari papan tanda jalan yang boleh memberikan petunjuk lokasi. Namun, hanya deretan pokok dan jalan raya kosong yang kelihatan. 

“Err… I tak pasti pula. I hantar lokasi ajelah ya?” Sofia menjawab sambil membuka aplikasi peta di telefon.

Namun, sebelum sempat menekan butang hantar, skrin telefonnya tiba-tiba gelap. Sofia terkejut. 

“No, no, no! Jangan mati sekarang!” dia menekan butang kuasa berulang kali, berharap telefon itu akan kembali menyala. Namun, hanya kekosongan yang muncul. Tiada respons. 

Nafas Sofia mula terasa sesak. Tangannya menggenggam telefon dengan geram, wajahnya mempamerkan rasa cemas yang semakin memburuk.

“What the... errhh!” Sofia mengetap bibir, meluahkan rasa geramnya.

"Bateri pula nak habis. Semua benda nak buat hal malam ni, dah kenapa?!" Bentak Sofia seorang diri.  Dia menghela nafas berat, pandangannya beralih ke jalan sunyi di hadapannya. Angin malam berhembus dingin, membuatkan tubuhnya sedikit menggigil. Keadaan sekelilingnya tiba-tiba terasa lebih sunyi dan asing. Hatinya mula terasa tidak enak.

Dia memandang bonet kereta yang masih berasap, fikiran cuba mencari jalan penyelesaian. Tetapi tiada apa yang dapat difikirkannya. Ketika itu, derap langkah seseorang menghampiri, membuatkan Sofia menoleh. Bunyi langkah kaki itu jelas dan berat, satu demi satu.

Tap! Tap! Pap!

Setiap langkah itu seolah-olah membuatkan hati Sofia semakin berdebar, takut.

Sofia segera berpaling ke kanan. Dalam kabut hujan yang turun semakin lebat, kelihatan seorang lelaki berdiri tidak jauh darinya, mengenakan kot hujan hitam. Tudung kot itu menutupi hampir seluruh wajahnya, hanya siluet tubuhnya yang kelihatan jelas. Lelaki itu tidak bergerak, hanya berdiri, memandang tepat ke arahnya. Hati Sofia berdegup lebih laju, rasa lega dan curiga bercampur-baur, membuatkan kakinya terasa seolah-olah terpasung.

Dengan penuh hati-hati, Sofia menundukkan sedikit kepalanya, cuba mengintai wajah lelaki itu. Namun, riak wajahnya terus berubah terkejut. Mata Sofia terbeliak.

“You? Syukur you pun lalu dekat sini!” Suara Sofia keluar dengan nada terkejut, cuba tersenyum walaupun perasaan yang bercampur di dada membuatkan senyuman itu sedikit dipaksa. Dia tidak menyangka lelaki itu yang muncul di tengah hujan lebat ini.

“I ingat kawasan ni takkan ada sesiapa pun lalu. Nasib baik you lalu sini. Apa-apa pun, boleh tolong I tak? Kereta I tiba-tiba rosak..." Adu Sofia dengan nada lembut, berharap lelaki yang kebetulan melintas itu dapat membantunya.

Namun, senyuman di wajahnya tiba-tiba pudar apabila matanya tertancap pada sesuatu yang mencurigakan di tangan lelaki itu, sebuah pisau tajam yang berkilau di bawah pantulan kilat yang menyambar langit. Nafas Sofia terhenti, hatinya berdegup laju. 

"Wait," bisiknya dalam hati. Jantungnya terasa semakin laju berdegup, sementara matanya terus tertumpu pada pisau itu, kemudian beralih ke wajah lelaki tersebut, yang tetap diam tanpa menunjukkan sebarang reaksi. 

"Kenapa… you pegang pisau?" Suaranya bergetar, hampir tidak kedengaran, seolah-olah takut untuk mengungkapkan soalan itu. 

Lelaki itu masih tidak berganjak, matanya tetap terpaku pada Sofia, namun wajahnya tidak menampakkan sebarang emosi. Sofia menelan liur, merasakan udara semakin sesak di sekelilingnya. 

Langkahnya perlahan-lahan mundur ke belakang, setiap gerakan terasa berat. Ketakutan merayap perlahan dalam dirinya, seolah-olah dunia di sekelilingnya menjadi semakin sempit.

"Y... you bukan nak buat ben... benda tu kan?" Sofia bersuara lagi, kali ini lebih kuat, cuba menyembunyikan rasa takut yang membuak dalam dirinya. Lelaki itu masih membisu, namun perlahan-lahan melangkah ke arahnya. Suasana sunyi kecuali bunyi hujan, namun hati Sofia tahu, malam itu membawa bahaya yang dia tak pernah sangka.

Tiba-tiba, payung yang dipegang Sofia terlepas dari genggamannya. Payung itu jatuh ke tanah dengan bunyi yang ringan, tetapi dalam keadaan cemas seperti itu, bunyi itu seolah-olah memecah kesunyian yang semakin menekan. Sofia hampir tidak menyedari perbuatannya, matanya tidak lepas dari lelaki yang semakin mendekat.

"Apahal dengan you ni? You dah gila ke?!" Sofia menjerit, suaranya penuh dengan ketakutan, perasaan bercampur baur antara panik, bingung, dan tidak pasti. 

Lelaki itu hanya merenungnya dengan pandangan tajam, matanya berkilat penuh dendam.

"Aku dah bagi kau amaran tapi kau yang buat tak endah," katanya dengan suara garau, gigi terketap erat, menekan setiap perkataan yang keluar dari mulutnya. 

"Amaran? Amaran apa ni? I tak faham!" Soal Sofia, suara semakin bergetar. Dia tidak mampu mengawal ketakutan yang semakin mencengkam dirinya. 

Lelaki itu bergerak lebih dekat, tangannya menggenggam pisau dengan erat, dan pisau itu dihala ke arah Sofia. Genggamannya kukuh, seolah-olah tidak sabar untuk melayangkan senjata tajam itu ke tubuhnya. 

"Kau rampas tempat Sufi aku..." Suaranya penuh amarah, setiap kata itu seperti serpihan kebencian yang tajam. 

Sofia menggelengkan kepalanya berulang kali, cuba menafikan kata-kata lelaki itu walaupun dia tahu ada sedikit kebenaran di dalamnya. Air mata bercampur dengan hujan yang membasahi tubuhnya, membasahi wajahnya, menambah rasa tidak berdaya yang dia rasakan. 

"Tak... I tak buat macam itu..." Sofia merayu, suaranya hampir tenggelam dalam tangisan. 

Lelaki itu menyeringai, wajahnya kini dipenuhi dengan kemarahan yang memuncak.

"Kau tahu betapa susah payah aku buat semua ni untuk dia? Aku nak tolong dia dapat naik pangkat. Tapi kau... kau muncul dalam hidup dia! Kau hina dia! Dan..." Matanya menembusi Sofia dengan pandangan yang semakin garang.

"Kau curah air panas pada dia depan mata aku!" 

Sofia menggelengkan kepala dengan cepat, takut dan panik. Setiap perkataan lelaki itu seperti menyumbat udara dari paru-parunya, membuatnya sukar bernafas. 

"Jadi tak salah, kalau aku nak siat kulit kau sama macam rasa terkena air panas." 

Mata Sofia terbeliak besar, nafasnya sesak. Ketakutan yang mendalam meresap ke dalam setiap serat tubuhnya. Lelaki itu semakin hampir, dengan pisau yang masih terhunus, siap untuk melukakan. Tanpa berfikir panjang, Sofia berpusing dan melarikan diri ke dalam hutan, lari sekuat hati, berharap untuk mencari perlindungan, tetapi sukar untuk melarikan diri dari bayangan kelam yang mengejarnya. 

"Tolong!!!"

Dia menjerit, memanggil pertolongan, namun dia tahu, suara itu hanya sia-sia. Tiada siapa yang akan mendengar. Setiap langkahnya terasa semakin berat, kakinya hampir terhimpit dalam ketakutan. Sesekali dia menoleh ke belakang, melihat bayangan hitam yang semakin dekat, lelaki itu terus mengejarnya dengan kelajuan yang menakutkan, pisau di tangan, seolah-olah akan memakan dirinya tidak lama lagi.

"Arghhh!" Sofia menjerit kesakitan, rambutnya dicengkam dengan kasar dari belakang. Kejutan dan ketakutan menyelubungi dirinya, namun tubuhnya seakan tidak dapat bergerak, terperangkap dalam genggaman lelaki itu.

"Akim pun tak boleh lari dari aku. Kau fikir kau boleh?" Soalnya penuh mengejek.

"Jangan bunuh I tolonglah, I akan serahkan job tu kepada Sufi semula. I Jan..." rayunya, suara tersekat-sekat dalam panik.

Suk!

Tiba-tiba, tanpa memberi peluang untuknya menyelesaikan rayuannya, belakang tubuh Sofia terasa ditikam dengan laju. Nafasnya terhenti sesaat, tubuhnya terhuyung, dan mulutnya memuntahkan darah segar. Matanya terbeliak luas, kepalanya semakin pening, namun tubuhnya masih berdiri tegak di bawah genggaman lelaki itu.

"Errgh!" Kemudian, rambutnya yang masih dicengkam itu ditarik ke belakang dengan kekuatan luar biasa. Kepalanya terdongak ke atas, terasa seakan lehernya hampir terlepas dari tubuhnya. Deruan nafas hangat lelaki itu mula terasa di kulit telinganya.

"Jan apa? Janji huh?" Suara garau lelaki itu menyoal, gelakannya bergema di telinga Sofia, penuh dengan sinis dan kebencian.

Suk!

Pisau itu menekan lebih dalam lagi, dan tubuh Sofia bergetar menahan sakit yang tak terkata. Matanya makin meluas, tidak mampu menahan derita. Mulutnya ternganga, mencari udara, namun tubuhnya terasa semakin lemah, darah semakin banyak mengalir keluar.

"Aku tak percayakan sesiapa kecuali Sufi seorang," bisiknya dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Mata Sofia masih terbuka, namun tubuhnya semakin kehilangan kekuatan.

Suk!

Untuk kali ketiga, pisau itu menikam tubuh wanita itu. Darahnya mengalir lebih banyak, tubuhnya semakin terhuyung-huyung. Lelaki itu semakin mendekatkan bibirnya ke telinga lalu berbisik dengan suara dingin...

"Kau tak layak sebut pasal Unknown."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro