bab 15
Hari semakin gelap, langit yang tadinya cerah kini bertukar kelabu, dihiasi sinar suram lampu jalan. Suasana di perkarangan bangunan Viral TV semakin lengang. Deretan kereta yang tadinya memenuhi tempat parkir sudah semakin berkurang, tanda sebahagian besar pekerja sudah pulang. Namun, Sufi masih berdiri di situ, menanti dengan sabar.
"Aku kena datang sekarang ke? Kalau macam itu, lagi lima belas minit aku akan sampai dekat sana," ujar Haq, nada suaranya tegas tetapi sedikit tergesa.
Sufi yang berdiri di hadapan bangunan Viral TV berpaling, dan matanya segera menangkap sosok Haq yang sedang menghampiri. Lelaki itu menamatkan panggilan telefonnya, lalu berhenti di sisinya, wajahnya kelihatan sedikit serius.
"Kenapa, Tuan?" tanya Sufi, nada suaranya tenang tetapi penuh rasa ingin tahu.
Haq berdiri tegak di sisi Sufi, matanya tetap tajam memandang ke depan seolah-olah sedang merencanakan langkah seterusnya. Suasana malam yang semakin suram itu semakin terasa berat, dibawa bersama kata-katanya.
"Aku kena pergi balai," jawab Haq, suaranya serius.
"Forensik baru jumpa sesuatu dalam badan mangsa. Jadi, aku kena ke sana sekarang."
Sufi mengangguk perlahan, tanda memahami maksud lelaki itu. "Kalau begitu, saya balik naik baslah hari ni. Tuan pergilah balai."
Haq terkejut seketika.
"Tak apa ke?" tanya Haq, sedikit bimbang akan keselamatan Sufi yang masih berada di situ sendirian.
Sufi tersenyum kecil, menenangkan Haq. "Saya dah biasa naik bas. Tuan pergilah selesaikan urusan tuan dahulu."
Haq masih sedikit ragu, namun mengangguk tanda setuju. Namun, sebelum beredar, tangannya dengan lembut menarik pergelangan tangan Sufi, seolah-olah ingin memastikan ada sesuatu yang lebih penting yang perlu disampaikan. Dengan gerakan perlahan, dia meletakkan telefon bimbitnya di atas tapak tangan wanita itu.
Sufi terkedu, sedikit terkejut dengan tindakan Haq, matanya memandang telefon tersebut dengan penuh kekeliruan. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, Haq sudah mula berbicara.
"Hubungi aku kalau ada apa-apa yang tak kena. Nombor satu lagi dah ada dalam tu. Tulis sahaja, Haq," kata Haq, sambil menyematkan telefon itu di tangan Sufi.
Sufi mengangguk perlahan, senyuman tipis terukir di bibirnya.
"Baik, Tuan."
"Jaga diri kau, aku pergi dulu." Haq memberi salam singkat, dan langkahnya mula membawa dia menjauhi Sufi. Dia menuju ke kereta yang terparkir tidak jauh dari situ, tanpa menoleh sedikit pun.
Sufi berdiri terpaku, matanya mengikuti langkah Haq yang semakin menjauh. Hatinya dipenuhi perasaan yang sukar diterjemahkan. Apa yang forensik baru jumpa agaknya?
Namun secara tiba-tiba, langit yang kelam itu mulai menurunkan hujan. Rintik hujan pertama kali jatuh, perlahan-lahan membasahi kulit wajah Sufi yang sedang terperangkap dalam lamunan. Dia tersentak, segera mendongak, memandang langit yang semakin gelap, seakan menandakan perubahan cuaca yang lebih buruk. Hujan semakin lebat, membawa kesunyian malam itu lebih mendalam, seiring dengan bunyi rintikan air yang menari di atas tanah.
"Aish, hujan pulak!" Sufi mengeluh perlahan, menyedari bahawa dia tidak membawa payung. Beg tangannya yang berada di bahu segera digenggam erat, lalu diangkat untuk menutup kepalanya. Hatinya sedikit cemas, namun tidak mahu berlama-lama dalam keadaan basah kuyup.
Tanpa berlengah, dia segera berlari menuju ke arah pondok bas yang tidak jauh dari situ, berharap dapat berlindung daripada hujan yang semakin lebat. Langkah kaki Sufi terasa lebih cepat, dipacu oleh angin dingin dan hujan yang menghempas, menambah rasa sejuk dalam setiap pergerakannya. Setiap langkahnya yang terkejar-kejar seakan membawa seribu harapan agar dia sampai ke tempat yang lebih selamat sebelum basah seluruhnya.
"Aduh, habis basah baju aku," keluh Sufi sambil menunduk memerhatikan baju kurungnya yang sudah mula basah di bahagian hujung akibat rintik hujan yang tidak sempat dielakkan. Hembusan angin malam yang dingin menambahkan lagi rasa tidak selesa pada tubuhnya.
Sufi menghela nafas perlahan, seakan cuba menerima nasib malam itu. Dia meletakkan beg tangannya di atas kerusi panjang yang terdapat di pondok bas, berhati-hati agar beg itu tidak terkena air. Kemudian, dia mula mengibas-ngibas hujung bajunya, seolah-olah perbuatan itu dapat membantu mengeringkan kain yang sudah lembap.
Tindakannya kelihatan sia-sia, tetapi Sufi tetap melakukannya, mungkin untuk mengalihkan perasaan jengkel yang semakin menebal.
"Kalau aku tahu hujan, tadi balik awal sikit," gumamnya sendiri, sambil sesekali memandang jalan raya yang sunyi, berharap bas akan tiba tidak lama lagi.
Vroom!
Sufi tersentak. Bahunya terhinjut kecil tatkala bunyi ngauman enjin motor memecah keheningan malam. Dia segera berpaling ke tepi, matanya terhenti pada sebuah Ducati Panigale berwarna merah yang kini terparkir dengan tongkat. Lelaki di atasnya perlahan-lahan mematikan enjin, tubuhnya tegap dalam jaket kulit hitam yang tampak serasi dengan motor itu.
Helmet full face menutup sepenuhnya wajah lelaki itu, menjadikan siapa dirinya sebuah misteri buat Sufi. Namun, sebelum Sufi sempat meneka, lelaki itu turun daripada motosikalnya, langkahnya kemas menuju ke arah Sufi yang masih berdiri di pondok bas, matanya tidak beralih daripada memerhati.
Tangan lelaki itu perlahan-lahan menolak visor berwarna perak pada helmetnya ke atas. Seketika itu juga, mata coklat yang tajam dan memikat terserlah, memandang Sufi dengan penuh maksud. Sufi terpaku. Mata itu kelihatan seperti dia pernah mengenalinya, tetapi memori itu kabur, seakan masih belum bersatu sepenuhnya.
Sufi menyengetkan sedikit kepalanya, cuba mengecam wajah lelaki itu di sebalik helmet. Keningnya terjongket, tanda kehairanan yang nyata.
"Tuah?" soalnya akhirnya, nada suaranya antara yakin dan tidak.
Lelaki itu tersenyum kecil, senyuman yang cukup dikenali oleh Sufi. Hati Sufi mula bergetar, seakan ada sesuatu yang menunggu untuk diungkapkan.
"Kau buat apa dekat sini?" soal Sufi pelik, keningnya sedikit terangkat melihat kehadiran Tuah yang tak disangka.
Tuah, tanpa mempedulikan pandangan Sufi, mula menanggalkan helmet dari kepalanya. Rambutnya yang sedikit serabai terlepas, namun dia langsung tidak menghiraukannya.
"Tak nampak ke hujan? Bahaya bawa motor waktu tengah hujan lebat macam ni. Aku nak berteduh lah, apa lagi?" jawab Tuah selamba, sambil berjalan ke bangku pondok bas, melabuhkan punggungnya di situ tanpa ragu.
Sufi mengecilkan mata, jelas tidak percaya dengan alasan Tuah. "Ya ke? Bukan kau jenis main redah je ke, tak kira hujan ke ribut?" sindirnya sambil memeluk tubuh.
Tuah memalingkan wajah ke arah Sufi, ekspresinya mendatar. "Bus stop ni ada tulis nama kau ke?" soalnya tiba-tiba, nadanya sedikit sinis.
Kening Sufi berkerut mendengar soalan itu. "Tak ada," jawabnya perlahan, agak terpinga-pinga.
"Jadi suka hati akulah nak berhenti atau redah," balas Tuah acuh tak acuh sambil menjeling ke arahnya, kemudian memalingkan muka ke arah lain, seolah-olah tidak berminat untuk meneruskan perbualan.
Sufi mencebik bibir, hatinya sedikit terguris dengan jawapan lelaki itu.
"Tanya pun nak marah," gumamnya perlahan, tetapi cukup untuk dirinya sendiri dengar. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia turut melabuhkan punggung di ruang kosong di sebelah Tuah.
Dingin malam dan sisa hujan yang melekat di pakaiannya membuatkan Sufi memeluk tubuh, cuba mencari sedikit kehangatan sambil menggosok-gosok lengannya. Dia menjeling sekilas ke arah Tuah, namun lelaki itu kelihatan tidak terusik, hanya menatap hujan yang masih turun renyai di luar pondok. Keadaan menjadi senyap seketika, namun kehadiran masing-masing cukup untuk mengisi ruang sunyi itu tanpa perlu banyak kata.
"Sejuknya..." desis Sufi perlahan, suaranya hampir tenggelam di antara bunyi rintik hujan yang masih turun.
Tuah yang duduk di sebelahnya mendengar dengan jelas. Tanpa berkata sepatah pun, dia terus menanggalkan jaket motor yang membalut tubuhnya, lalu dengan gerakan spontan, dia menyelimutkan jaket itu di bahu Sufi.
Sufi terpempan. Tangannya terhenti di lengannya sendiri, matanya membulat memandang Tuah. Mulutnya terbuka sedikit, seakan ingin berkata sesuatu, tetapi tiada kata yang keluar. Dia hanya merenung Tuah dengan wajah bingung, cuba memahami tindakan lelaki itu yang tiba-tiba.
"Kalau sejuk cakap, bukan mengeluh sorang-sorang," kata Tuah perlahan, nadanya datar tetapi sarat dengan maksud. Setelah memastikan jaket itu terletak kemas di bahu Sufi, dia kembali memandang ke depan, matanya menghala ke arah jalan yang basah akibat hujan.
Sufi masih terdiam, menyentuh perlahan jaket yang membalut dirinya. Haba dari jaket itu memberikan sedikit kehangatan, tetapi hatinya berasa lebih aneh daripada tubuhnya yang tadi kedinginan. Sesuatu di dalam dirinya bergelora, namun dia hanya mampu menatap Tuah dari sisi, lelaki itu kelihatan tenang seolah-olah apa yang dilakukannya hanyalah hal biasa.
"Lamanya kau keluar pergi beli kopi tadi. Kau dengan Haq ada singgah mana-mana ke?" Tuah akhirnya bersuara setelah lama mendiamkan diri. Nada suaranya datar, matanya masih memandang ke arah hujan yang masih renyai di luar.
Sufi menggeleng perlahan. "Tak ada. Jalan jammed. Sebab itu lambat," jawabnya, namun nadanya sedikit janggal, seolah-olah terasa ada sesuatu di sebalik soalan itu.
"Baguslah..." desis Tuah perlahan, hampir tidak kedengaran, tetapi cukup untuk menarik perhatian Sufi.
"Apa yang bagus?" soal Sufi pantas, keningnya sedikit terangkat, jelas pelik dengan respons Tuah.
"Tak ada apa," cantas Tuah cepat, menolak topik itu tanpa memberi peluang untuk Sufi bertanya lebih lanjut. Dia segera memalingkan wajah ke arah lain, cuba menyembunyikan ekspresinya.
Tuah tiba-tiba menggeliatkan tubuhnya, seakan-akan melepaskan rasa lenguh yang tidak wujud. "Ah, tiba-tiba badan aku rasa lenguhlah. Tepi sikit, aku nak baring," katanya sambil menunjuk ke arah bangku panjang di pondok bas itu.
Tanpa menunggu jawapan, Tuah terus berbaring di bangku itu, sebelah tangannya menjadi bantal di bawah kepalanya, sementara kakinya dilunjurkan dengan selamba. Sufi, yang duduk di sebelahnya, terpaksa berganjak sedikit untuk memberi ruang.
"Kau ni dari dulu memang jenis selamba aje kan? Langsung tak pandang kiri kanan," kata Sufi, tergeleng-geleng melihat sikap Tuah yang langsung tak peduli dengan keadaan sekeliling.
"Suka hati akulah. Hidup aku," balas Tuah ringkas, matanya memandang ke arah bumbung pondok bas seakan tidak terkesan dengan teguran Sufi.
Sufi hanya mampu menghela nafas sambil menggeleng kepala. "Dulu aje kau perangai elok. Sekarang..."
"Sekarang apa?" Cantas Tuah, pantas memotong kata-kata Sufi. Matanya naik, merenung Sufi dengan tajam, penuh dengan nada mencabar.
Sufi terdiam sejenak, kaku melihat renungan itu. Dia mengeluh kecil, kemudian membalas malas, "Tak ada apalah." Tidak ingin meneruskan ayatnya, dia tahu perdebatan itu hanya akan membuatkan dia sendiri berasa jengkel.
Melihat Sufi menyerah, Tuah tersenyum nipis, senyuman yang penuh kemenangan. "Tahu pun takut," katanya dengan nada yang sedikit mengusik.
Sufi menjeling tajam, tetapi memilih untuk tidak melayan. Jika terus dilayan perangai Tuah yang seperti itu, dia sendiri yang akan kalah dalam setiap perdebatan.
"Bas kau sampai pukul berapa?" soal Tuah tiba-tiba, mengubah topik perbualan dengan nada santai.
Sufi tunduk sebentar, memeriksa jam di pergelangan tangannya. "Lagi lima minit sampailah ni," jawabnya ringkas. Tuah tidak memberikan sebarang respons, hanya diam sambil memandang ke depan.
Namun, entah bagaimana, sesuatu terlintas di fikiran Sufi. Keningnya berkerut, dan dia segera memandang ke arah Tuah. Dengan pantas, jari telunjuknya menuding ke arah lelaki itu.
"Sekejap. Jangan kata yang kau sengaja datang sini sebab nak teman aku?" tebak Sufi, nadanya separuh serius, separuh ingin mengusik.
Tuah terkejut. Matanya terkebil-kebil mencari jawapan, seakan tidak menyangka Sufi akan menyoal sedemikian rupa. Dalam keadaan serba salah, dia segera mengubah posisi dari baring kepada duduk.
"Ceh, kenapa aku nak buat benda sia-sia macam tu?" balas Tuah dengan nada sedikit tinggi, seperti ingin menangkis tuduhan itu.
"Kau ingat aku ada banyak masa ke nak teman kau?" katanya lagi, jelas cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik sikap kasarnya.
Sufi memandang Tuah dengan pandangan curiga, bibirnya sedikit tersenyum seolah-olah tidak mempercayai kata-kata lelaki itu.
"Iya ke?" tanyanya perlahan, penuh nada memerhati.
Tuah mendengus kecil, berpaling ke arah lain. "Aku tahulah kau single sampai tak ada yang nak ambil tahu pasal kau. Jadi jangan nak berangan." katanya, tetapi kali ini nada suaranya lebih perlahan, tidak lagi defensif seperti tadi.
Sufi menggeleng kepala sambil tersenyum kecil, melihat lelaki itu yang jelas sedang berusaha keras untuk menyembunyikan niat sebenarnya.
"Kalau itu bukan niat kau, baguslah. Tapi kalau betul..." Sufi perlahan mengukir senyuman kecil, matanya sedikit redup memandang ke depan.
"Terima kasih."
Kata-kata itu membuatkan Tuah menoleh ke arahnya. Pandangannya terpaku pada senyuman Sufi, yang secara tak langsung membuatkan jantungnya berdetak lebih pantas. Namun, dia segera menenangkan dirinya, berdehem beberapa kali untuk membetulkan suara. Tuah memalingkan wajah ke arah jalan, cuba menyembunyikan reaksi gugupnya. Tubuhnya yang mula merasa dingin akibat hujan dipeluk erat, menambah keheningan yang menyelubungi suasana mereka.
Beberapa minit berlalu dalam kesunyian, hanya bunyi rintik hujan menemani mereka.
"Sufi," panggil Tuah akhirnya, memecahkan keheningan itu.
"Hmm?" Sufi menoleh, memandang Tuah dengan wajah penuh tanda tanya.
"Kau masih ingat lagi tak janji kita?" soal Tuah, perlahan menoleh memandang wajah Sufi. Suaranya tenang, tetapi ada nada yang sukar diungkapkan.
Sufi mengerutkan kening, cuba mengingat kembali. Namun fikirannya terasa kabur, sukar memproses soalan itu.
"Janji yang mana satu?" soalnya, kurang pasti.
"Tentang kahwin," jawab Tuah pendek, tetapi penuh makna.
Sufi terkedu. Matanya sedikit membulat, memandang Tuah dengan ekspresi terkejut. Ingatannya tiba-tiba kembali ke masa beberapa tahun yang lalu, di mana janji itu pernah dibuat.
"Kau cakap, kalau kita berdua sama-sama belum berkahwin bila umur kau dah masuk 30..." Tuah berhenti, memberikan ruang untuk Sufi menyelesaikan ayat itu sendiri.
Namun Sufi diam, mulutnya terkatup. Dia tahu sambungan ayat itu, tetapi bibirnya enggan mengucapkannya.
"Kau akan kahwin dengan aku," sambung Tuah perlahan tetapi penuh keyakinan.
Sufi terpaku. Matanya membesar, pipinya mula merona merah apabila teringatkan janji lama yang terasa seperti jenaka ketika itu.
"Ke... kenapa tiba-tiba ingatkan balik janji tu?" soal Sufi, cuba menyembunyikan rasa gugupnya.
Tuah mengukir senyuman kecil, menyengetkan bibirnya. Dia kembali memandang ke depan, seolah-olah mahu mengelak dari bertembung pandangan dengan Sufi.
"Lagi 23 hari umur kau akan masuk 30 tahun ni. Kau nak aku tuntut atau tak?"
Sufi tergamam, tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Tangannya sesekali menggaru kepalanya yang tidak gatal, mencari alasan untuk mengubah topik perbualan.
"Ak... aku ingat kau main-main sahaja waktu tu. Tak sangka pula kau..." Sufi tidak sempat menyelesaikan ayatnya apabila bunyi brek bas memecah kesunyian. Bas yang ditunggu akhirnya tiba, pintu automatik terbuka dengan bunyi mekanikal.
Sufi cepat-cepat bangun dari tempat duduknya, menggalas beg ke bahu. Kemudian dia menoleh ke arah Tuah sekilas.
"Aku pergi dulu. Jumpa esok," katanya ringkas, sebelum melangkah menaiki bas. Namun, baru sahaja dia memijak anak tangga pertama, suara Tuah tiba-tiba menghentikan langkahnya.
"Sufi Leila."
Langkah Sufi terhenti serta-merta. Dia menoleh ke belakang, memandang Tuah yang kini berdiri di tepi pintu bas. Pandangan lelaki itu tajam, membuatkan Sufi terkaku di tempatnya.
Gulp!
Sufi menelan air liur. Hatinya berdebar-debar, tidak pasti apa yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
"Y... ya?" soalnya, sedikit tergagap.
Tuah menarik nafas panjang, seperti ingin mengungkap sesuatu yang berat. Namun, setelah beberapa saat, dia hanya berkata dengan nada datar,
"Jaket aku." Dan ketika anak mata Tuah jatuh ke arah bahu Sufi. Barulah Sufi sedar, dia masih memakai jaket motor lelaki itu.
"Ah! So... sorry. Aku lupa!" kelam-kabut Sufi menanggalkan jaket itu, wajahnya sudah merah padam kerana malu. Lantas menghulurkan jaket itu kembali kepada Tuah.
"Nah."
Tuah mengambilnya dengan gerakan sedikit kasar, tetapi tidak berkata apa-apa lagi. Dia terus memusingkan tubuhnya, berjalan kembali ke arah motornya tanpa berpaling.
Pintu bas tertutup secara automatik, dan Sufi akhirnya melangkah ke dalam. Dia mencari tempat duduk di kerusi baris ketiga, betul-betul di tepi tingkap. Ketika bas mula bergerak, Sufi mengetuk kepalanya perlahan dengan tangan.
"Perasan betul aku tadi. Aishh, malunya..." gumam Sufi perlahan sambil menunduk, wajahnya masih terasa panas, terkenang kembali detik tadi. Dia mengeluh, cuba menenangkan jantungnya yang masih belum berhenti berdegup kencang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro