Bab 14
Langkah Tuah bergema satu persatu di tangga kecemasan, perlahan tapi penuh santai. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam poket hoodie hitamnya, sementara tangan yang satu lagi memegang kotak jus epal yang sesekali disedut perlahan.
Entah mengapa waktu rehat hari ini terasa terlalu panjang. Duduk di meja kerja hanya membuatkan dia semakin bosan, jadi dia memilih untuk berjalan-jalan. Akhirnya, langkah kakinya membawa dia ke sini, tangga kecemasan yang kini menjadi lokasi siasatan polis.
Dia berhenti secara tiba-tiba, matanya terarah ke hadapan. Penanda kuning bertulis 'Dilarang Masuk' merentang di anak tangga berikutnya, menjadi pemisah antara dia dan kawasan yang diragut tragedi semalam. Jejak darah masih kelihatan di lantai, kesan pekat dan kehitaman yang belum sepenuhnya dibersihkan.
"Teruk juga apa yang jadi semalam." Komen Tuah. Dia sambung menyedut minumannya lagi.
Dinding di sebelahnya jelas menunjukkan usaha sia-sia untuk membersihkannya. Warna cat itu pudar, terguris kasar akibat sentalan yang tidak sempurna. Namun, lebih menonjol daripada itu, adalah kesan darah yang melakar nama 'SUFI', tercoret dengan suram di dinding semalam.
Tuah terdiam, hanya straw kotak jus di mulutnya yang perlahan-lahan dilepaskan. Udara di tangga itu seolah-olah lebih berat, baunya samar-samar membawa sisa besi dari darah yang tertinggal.
"Semalam aku panik sangat-sangat. Aku cuba untuk call kau guna telefon tu, selepas tu Akim..."
Kalimat itu terhenti begitu sahaja, seakan ada sesuatu yang Sufi cuba sembunyikan. Tuah cuba meneka, apa yang terjadi selepas Akim datang? Mengapa Sufi tak mahu menghabiskan ayatnya? Soalan itu berputar-putar, tidak punya jawapan yang pasti.
"Apa yang Akim buat dekat kau agaknya ek?" Soalan itu terlepas dari bibir Tuah, seakan berbicara dengan dirinya sendiri. Dia tidak bergerak, hanya memandang kesan darah yang masih jelas di dinding, di bawah lakaran nama Sufi.
Lama dia merenung, matanya terfokus pada bekas-bekas itu, cuba memahami apa yang tersembunyi di sebaliknya.
"Mungkin aku akan tahu kalau aku datang awal sedikit," desis Tuah perlahan, suara itu seperti bisikan dalam kesunyian.
Straw kotak jus epal kembali didekatkan ke bibir, Tuah menyedut perlahan. Setiap isapan itu terasa kosong, sama dengan renungannya yang sedang memerhati tempat itu.
"INI dia air yang bos nak," ujar Sufi sambil meletakkan cawan iced Americano itu perlahan-lahan di atas meja kerja Gibran. Tangannya sedikit berhati-hati, tidak mahu membuat sebarang bunyi yang mengganggu lelaki itu yang kelihatan sibuk menyemak dokumen tebal.
Gibran, yang ralit meneliti dokumen, mengalihkan pandangannya ke arah cawan yang baru diletakkan. Dia menutup fail hitam di hadapannya dengan satu gerakan kemas sebelum mencapai cawan tersebut. Tubuhnya bersandar santai ke kerusi empuk, tangan kanan memegang cawan itu sambil matanya meneliti air yang dibeli.
"Americano?" soalnya, nada suara tenang tetapi dengan kening sedikit terangkat. Matanya kini memandang Sufi dengan pandangan yang sukar dibaca.
"Maaf, saya tak tahu apa yang bos suka. Tapi... saya rasa Americano mungkin sesuai untuk orang yang banyak kerja macam bos," ujar Sufi dengan senyuman kekok. Tangannya secara spontan menggosok belakang leher, cuba menyembunyikan rasa gugupnya.
Gibran tidak memberi sebarang reaksi segera. Namun, matanya tertumpu pada sesuatu di cawan itu. Sebelah keningnya terangkat sedikit, dan senyuman senget muncul di bibirnya.
"Siap ada love lagi," katanya, sambil mengangkat cawan itu dan menunjukkannya kepada Sufi, jari telunjuknya mengetuk perlahan lukisan bentuk hati kecil di sebelah tulisan namanya.
Mata Sufi serta-merta membesar. Dia terpinga-pinga, segera menggeleng kuat, cuba menafikan apa yang mungkin difikirkan oleh lelaki di hadapannya.
"It... itu staff yang lukis sendiri! Saya tak minta dorang buat pun. Bos jangan salah faham," katanya tergagap, nada suaranya jelas cemas.
Namun, Gibran hanya memandangnya sambil mencebik bibir seolah-olah tidak mempercayai kata-kata Sufi, tetapi memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut. Dia hanya mengangkat cawan itu sedikit, bibirnya menyentuh straw sebelum menghirup perlahan. Selepas beberapa saat, dia meletakkan semula cawan itu ke atas meja.
"Not bad," ujar Gibran ringkas.
Sufi menarik nafas lega. Walaupun nada itu tidaklah sepenuhnya positif, setidaknya lelaki itu tidak membantah.
"Jadi semuanya dah selesaikan?" tanya Sufi dengan berhati-hati, suaranya sedikit teragak-agak.
"Belum bagi saya." balas Gibran dengan nada serius.
Kening Sufi berkerut kecil, jelas tidak faham maksud lelaki itu.
"Apa lagi yang belum selesai?" soalnya. Namun, tanpa sedar, jantungnya mula berdebar, seperti sedang menjangka sesuatu yang berat.
Gibran melepaskan nafas perlahan sebelum bangkit dari kerusi empuknya. Kemeja yang sedikit berkedut itu dirapikan sekilas, sebelum dia berjalan ke depan meja dan duduk separuh di atasnya. Tubuh tingginya kini sedikit condong ke hadapan, tangannya memusingkan monitor ke arah Sufi. Skrin itu kini memaparkan satu artikel yang kelihatan baru saja dibuka dari e-mel.
"Tentang ini," ujar Gibran, jarinya mengetuk perlahan permukaan monitor, menghasilkan bunyi yang hampir tenggelam dalam keheningan ruang pejabat.
Sufi melangkah mendekat, tubuhnya condong sedikit ke arah skrin. Pada paparan itu, tertera artikel hasil tulisannya sendiri, tentang seorang pembunuh bersiri yang keberadaannya hanya dikenali dengan nama yang tidak asing lagi, Unknown.
"Maksud bos... tentang Unknown?" tanya Sufi perlahan, keraguan terjalin dalam intonasi suaranya.
Gibran tidak segera menjawab. Sebaliknya, dia mengangguk perlahan, pandangannya tajam dan berat, seperti menelusuri bukan sahaja wajah Sufi, tetapi juga setiap pemikirannya yang berselirat.
"Ada apa-apa yang tak kena dengan artikel tu ke? Atau saya ada tersalah tulis?" soal Sufi, nada suaranya sedikit bergetar, bayangan kegusaran mula singgah.
Gibran menggeleng kecil, bibirnya melukis senyuman hambar.
"Tak ada. Semuanya baik. Tak ada typo, tak ada cacat, perfect." balasnya ringkas, memusingkan monitor kembali ke arah asal, seolah-olah membiarkan perbincangan itu berakhir di situ.
Namun, langkahnya perlahan menuruni meja. Kini, dia berdiri, bergerak mengelilingi Sufi seperti pemangsa mengamati mangsa. Tubuhnya tegak, kedua-dua belah tangannya erat bersilang di dada.
"Cuma..." katanya, berhenti sejenak sebelum meneruskan, "saya nak tanya satu benda pada awak."
Sufi, yang kini berdiri kaku di tengah bilik, terasa seperti diperhati dari setiap sudut.
"Ta... Tanya pasal apa?"
Gibran memiringkan kepala, sorotan matanya menujah masuk ke dalam pandangan Sufi.
"Apa pendapat awak tentang Unknown, sampai manusia dekat luar sana sibuk nak tahu cerita tentang dia?"
Sufi termenung sebentar. Pelik. Tak tahu mengapa soalan itu harus dituju kepadanya, tetapi Sufi tetap memikirkan jawapan untuk menjawab.
"Mungkin sebab dia... pembunuh yang terlalu misteri?" jawabnya perlahan, memilih bait-baitnya dengan teliti.
"Nama Unknown itu sendiri, dah macam teka-teki yang belum terjawab. Bahkan motif pembunuhannya pun masih jadi persoalan, walaupun kes ni bukan untuk kali pertama. Tetap polis atau nitizen tak jumpa jawapan. Dan yang buat orang tertarik sangat dengan kes dia... mungkin sebab nota yang dia tinggalkan."
"Nota misteri tu?" Gibran menyahut, keningnya sedikit terangkat, seakan mencabar jawapan Sufi.
Sufi mengangguk. "Ya. Nota yang dia selitkan dalam mulut mangsa setiap kali selesai membunuh. Tiap-tiap perkataan itu, orang nak tahu apa yang dia tulis. Mungkin dalam surat tu, ada jawapan kenapa dia buat semua ni. Dan sepanjang saya tulis tentang dia, saya tahu... dia bukan pembunuh biasa."
Kata-kata Sufi tadi membuatkan bibir Gibran melengkung sedikit ke arah senyuman sinis. "Habis, dia pembunuh yang macam mana?"
Sufi memandang Gibran, mata lelaki itu menyala dengan keingintahuan yang mencurigakan. "Dia mungkin boleh jadi normal macam manusia lain. Sebab tu, sampai sekarang orang tak tahu siapa dia. Lagilah buat orang tertarik."
Gibran mengangguk perlahan, lalu menambah,
"Atau boleh jadi, dia sentiasa ada dekat dengan sekeliling kita. Tapi kita yang tak sedar, kan?" Ucapannya bersahaja, tetapi nadanya sarat dengan teka-teki. Dia melangkah ke hadapan, berhenti betul-betul di hadapan Sufi, merenung dalam wajah wanita itu.
Sufi bungkam, tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya. Mungkin apa yang dikatakan Gibran ada benarnya, namun ada sesuatu dalam perbualan itu yang membuatkan dadanya terasa aneh.
Melihat tiada reaksi, Gibran melepaskan nafas perlahan, tubuhnya dilonggarkan daripada pelukan tangan sebelum melangkah semula ke meja kerja. Dia menarik kerusinya dan melabuhkan punggung di atasnya dengan santai, meski pandangan matanya masih tajam.
"Tak sia-sia saya uji awak dengan soalan tadi." kata Gibran dengan nada tenang tetapi menyimpan maksud tersirat.
"Dari apa yang saya baca, mesti awak dah terbiasa dengan kes dia, kan?"
Sufi mengangguk kecil sambil tersenyum nipis, cuba membuang kekok yang berbekas.
"Haah, dulu saya salah seorang wartawan yang naik turun kejar cerita tentang Unknown. Cara dia bunuh mangsa, apa yang dia akan tinggalkan, semua saya dah tengok. Jadi sebab tu, saya tahu banyak pasal dia."
Gibran hanya mengangguk, seperti sedang menilai sesuatu.
"Jadi kenapa sekarang cuma menulis?" soal Gibran, matanya masih memerhati setiap gerak-geri Sufi.
Soalan itu membuatkan Sufi terkedu seketika. Dia memalingkan pandangan, seperti mencari jawapan di dinding pejabat itu.
"Err... Mungkin sebab saya tak layak," katanya akhirnya, senyuman pahit terukir di bibirnya.
Gibran terdiam, pandangannya tajam dan seakan-akan cuba menembusi topeng yang dipakai oleh Sufi. Dia seperti ingin melihat lebih jauh daripada sekadar penjelasan itu. Suasana di dalam bilik itu menjadi semakin kaku, seolah-olah udara sekeliling juga mula terasa berat, memberi ruang kepada ketegangan yang membungkus mereka berdua.
"Err... kalau dah tak ada apa-apa lagi, boleh saya pergi?" Sufi akhirnya membuka mulut, memecah kejanggalan.
Gibran mengangguk perlahan. Dia pun tidak mahu menahan Sufi lama-lama.
"Yeah, sure. Awak boleh pergi." balas Gibran dengan ringkas, matanya masih tajam menyoroti gerak langkah wanita itu.
"Terima kasih, bos." Ucap Sufi ringkas. Sempat tersenyum kecil, kemudian memberikan tunduk hormat sebelum meninggalkan bilik tersebut. Suara derap langkahnya di luar pintu adalah satu-satunya bunyi yang bergema, meninggalkan Gibran sendirian dalam kesunyian yang kembali menyelimuti ruang pejabat itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro