bab 13
Sufi mengeluarkan beg dompet dari beg galasnya, langkahnya kemudian beralih ke meja Tuah yang terletak di sudut pejabat. Dari jauh, dia dapat melihat Tuah yang kelihatan begitu tenang, kepala terangguk-angguk mengikut rentak muzik yang mengalir dari earbuds di telinganya. Fokus lelaki itu tidak terganggu, matanya lekat pada skrin monitor, tekun memeriksa foto-foto yang diambil beberapa hari lalu.
"Tuah," panggil Sufi perlahan, namun lelaki itu tidak menunjukkan sebarang reaksi.
"Tuah, kau nak aku belikan apa-apa tak?" kali ini suaranya lebih kuat, tetapi seperti sebelumnya, Tuah masih leka, tenggelam dalam dunianya sendiri.
Sufi menghela nafas panjang, geram bercampur bosan. Dengan langkah tegas, dia menghampiri dan terus mencabut earbuds dari telinga kiri lelaki itu tanpa sebarang amaran.
Tuah tersentak. Dia berpaling dengan wajah terkejut sebelum menyedari kehadiran Sufi di sisinya. "Eh, kau rupanya. Kenapa ni?" soalnya dengan sengihan kecil, cuba meredakan situasi. Tangan lekas mematikan muzik di telefonnya.
"Kau dengar tak aku panggil tadi?" Sufi mencekak pinggang, menahan rasa geram.
"Aku tak perasan," balas Tuah jujur sambil menggaru belakang kepala.
"Kau cakap apa tadi?"
"Aku tanya, kau nak aku belikan apa-apa tak? Aku nak turun bawah beli makanan," jawab Sufi, jelas sekali sudah hilang sabar.
Tuah memandang jam di pergelangan tangannya. "Eh, dah waktu lunch ke?" Nada suaranya seperti terkejut dengan masa yang berlalu begitu pantas.
"Aku nak pergi kafe, nak beli kopi. Kalau kau nak sekali, aku boleh belikan," sambung Sufi sambil mengangkat beg dompetnya sebagai tanda dia sudah bersedia untuk pergi.
Tuah mengangkat kening, memandang Sufi dengan pandangan pelik.
"Sejak bila kau minum kopi?"
"Bukan aku. Bos yang nak," jawab Sufi pendek.
"Bos? Encik Hamid ke?" duga Tuah.
"Bukan. Bos baru kita. Encik Gibran," balas Sufi tanpa ragu.
Nama itu membuatkan riak wajah Tuah berubah sejenak. Hatinya seperti disentuh sesuatu, meski dia sendiri tidak tahu apa. Namun, dia pantas menyembunyikannya dengan senyuman biasa.
"Kau nak tak? Dari tadi tak jawab-jawab soalan aku," tekan Sufi, cuba menahan rasa tidak sabar.
"Tak payahlah. Aku tak rasa nak apa-apa. Banyak kerja nak kena buat ni," jawab Tuah sambil berpura-pura sibuk menyusun fail di atas meja.
"Betul ni?" Sufi mengangkat kening, matanya memerhati tajam.
"Betul, Sufi." Tuah tersenyum, cuba kelihatan meyakinkan.
"Okay, kalau macam tu aku pergi dulu. Jangan kata aku tak tanya kau ek nanti," balas Sufi, dia meletakkan semula earbuds lelaki itu ke atas meja sebelum berpaling, melangkah keluar dengan langkah yang sedikit pantas.
Namun langkahnya terhenti apabila satu suara menyapa dari belakang.
"Eh, Sufi. Nak ke mana?" suara Haq tiba-tiba muncul, memecah keheningan pejabat. Lelaki itu kelihatan baru keluar dari tandas, dengan rambut yang sedikit basah, seolah-olah baru sahaja selesai membasuh muka. Pandangannya jatuh tepat ke arah Sufi yang kini terkulat-kulat berdiri di muka pintu.
Tuah, yang sedang menatap skrin monitor di meja kerjanya, mengangkat kepala. Suara Haq menangkap perhatiannya, dan matanya segera menghala ke arah kedua-dua mereka.
"Err... saya nak keluar sekejap. Nak beli air," jawab Sufi perlahan, senyumannya hambar sambil tangannya sibuk membetulkan tudung yang tidak kemas.
"Kenapa tak beritahu aku dulu?" soal Haq lagi, nadanya tenang tetapi cukup untuk membuatkan Sufi sedikit gelisah. Dia kemudian berjalan ke meja, mengambil kunci kereta yang terletak di situ tanpa menunggu jawapan Sufi.
"Sudah, biar aku teman kau," katanya, nada acuh tak acuh tetapi cukup tegas. Dia terus melangkah ke arah pintu tanpa memandang Sufi, meninggalkan Sufi terpinga-pinga di belakang.
"Eh, tak apalah, Tuan. Saya boleh pergi sendiri. Lagipun dekat..."
"Aku tak minta izin daripada kau pun. Cepat," balas Haq tegas, memotong kata-kata Sufi tanpa sedikit pun berpaling. Sufi yang serba salah akhirnya mengikut langkah Haq dari belakang, separuh berlari mengejar lelaki itu.
Di meja kerjanya, Tuah duduk diam, tetapi matanya tidak lepas dari memerhati adegan di pintu keluar. Wajahnya tampak kosong, tanpa sebarang emosi jelas tergambar. Namun, pandangan matanya cukup untuk menceritakan apa yang tersirat di hati-sesuatu yang tidak diucapkan tetapi jelas bergolak di dalam.
Tanpa dia sedari, pen di tangannya menjadi mangsa ketidaktenangan itu. Ditekan, buka dan tutup, bunyi klik yang berulang kali memenuhi ruang di sekelilingnya. Jarinya bergerak secara automatik tanpa henti.
"Jealous ke tu?" bisik suara Razif, rakan sekerja di sebelahnya, sambil menyenggol bahu Tuah dengan senyuman penuh usikan. Matanya bersinar nakal, seolah-olah sengaja ingin memancing reaksi.
Tuah yang tersentak kecil segera menghentikan perbuatan menekan pen di tangannya. Dia memandang Razif dengan wajah separa keliru, cuba menyembunyikan riak yang mungkin terlepas.
"Mana ada. Merepeklah kau ni," balasnya, diiringi tawa kecil yang jelas sekali dibuat-buat. Tangannya segera meletakkan pen di meja, cuba menutup tingkah yang tadi tanpa sedar.
Namun Razif hanya tersenyum lebar, jelas tidak terpedaya dengan helah itu.
"Yalah tu, aku lelaki aku tahulah muka macam tu tandanya apa..." katanya sambil memandang Tuah dengan muka sinis, sebelum kembali fokus pada kerjanya.
Tuah menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Dia mencapai earbuds di meja, memasangnya ke telinga, dan menghidupkan muzik tanpa banyak bicara. Dalam hati, dia berharap bunyi lagu yang kuat mampu menghalang fikirannya daripada terus melayang kepada sesuatu yang cuba dia nafikan.
Ting!
Loceng kecil yang tergantung di tengah pintu kaca kafe itu berbunyi saat Haq menolak pintu, membukanya lebar. Dia menahan pintu dengan sebelah tangan, memberi laluan untuk Sufi melangkah masuk. Setelah Sufi melepasi ambang pintu, barulah Haq menutup kembali pintu itu. Aroma wangi kopi segar segera menyapa deria mereka, menambah kehangatan suasana kafe yang santai.
"Hmm, nak beli kopi apa ya?" gumam Sufi sambil berdiri di hadapan kaunter. Pandangannya terarah ke menu yang tergantung kemas di dinding kafe. Keningnya berkerut sedikit, sedang dia mempertimbangkan pilihan.
Namun, ketika dia asyik membaca, tanpa disedari seorang pelanggan yang sibuk dengan telefon berjalan laju ke arahnya. Hampir sahaja tubuh mereka bertembung, tetapi tangan Haq lebih cekap menarik lengan Sufi, menyebabkan dia terundur ke belakang.
"Hey, mata kau dekat mana huh?" tegur Haq tegas kepada lelaki yang hampir melanggar Sufi tadi. Nada suaranya jelas dingin, dan matanya tajam memandang lelaki itu. Dia memang pantang melihat orang yang terlalu leka dengan telefon sehingga mengabaikan keselamatan sekeliling.
"Sorry, bang. Sorry..." Lelaki itu tertunduk-tunduk meminta maaf, wajahnya tampak serba salah. Tanpa menunggu reaksi lanjut, dia terus berlalu keluar dari kafe dalam keadaan tergesa-gesa, seolah-olah mengejar sesuatu.
Haq melepaskan nafas panjang, cuba mengawal emosinya yang hampir meluap. Dia kemudian berpaling ke arah Sufi, yang kini memandangnya dengan mata terkebil-kebil, wajahnya sedikit terkejut dengan tindakan spontan Haq tadi.
"Kau tak apa-apa?" soal Haq, suaranya kembali mendatar, menutup kekesalan yang masih tersisa.
Sufi menggeleng kepala perlahan.
"Saya… okay je. Okay sangat-sangat," balasnya dengan nada sedikit canggung. Namun, dia menarik lengannya perlahan-lahan, cuba melepaskan diri dari genggaman Haq yang masih belum dilepaskan. Jelas sekali dia tidak selesa dengan keadaan itu.
Haq tersentak, seolah-olah baru tersedar dirinya masih memegang lengan Sufi. Dengan pantas, dia melepaskannya, dan pada masa yang sama, perubahan kecil jelas terlihat pada wajahnya, gabungan rasa janggal dan sedikit kekok.
"Ehem!"
Dia berdehem perlahan, cuba menguasai keadaan. Kedua-dua tangannya segera diseluk ke dalam poket seluar jeansnya, langkah pertahanan terakhir untuk menyembunyikan rasa canggung yang mula menyelubungi dirinya. Wajahnya diangkat sedikit, cuba berlagak biasa seperti tiada apa-apa yang berlaku.
"Sorry," ucap Haq perlahan, suaranya begitu rendah, hampir tenggelam dalam bunyi hiruk-pikuk lembut kafe itu.
Sufi hanya memandang, tidak berkata apa-apa, namun senyuman nipis terukir di wajahnya. Sesuatu yang kecil, tetapi cukup untuk menjadikan situasi itu terasa lebih aneh bagi Haq.
"Ya, Cik? Ada nak pesan kopi ke?" tegur staf kafe di kaunter itu.
"Oh ya, haah," balas Sufi cepat-cepat, sedikit terkejut.
Dia mengalihkan perhatiannya kepada pekerja wanita itu, lalu melangkah mendekati kaunter semula. Anak matanya kembali meneliti menu yang terpampang, cuba membuat pilihan. Tidak jauh daripadanya, Haq berjalan perlahan sebelum berhenti berdiri di sisi Sufi. Dia turut mendongak, memandang menu yang sama.
"Aduh, tak sangka pula ada macam-macam jenis kopi. Ingat satu aje. Jenis mana yang kena dengan tekak dia ya?" gumam Sufi perlahan, seperti berbicara dengan dirinya sendiri. Dia jelas bingung. Sejujurnya, dia bukan peminat kopi. Dia juga tidak tahu mana satu yang sedap atau sesuai untuk dibeli buat bosnya. Kalau tersilap pilih, takut lelaki itu tidak suka pula.
Sufi menggaru kepala yang berlapik tudung, menambah lagi isyarat kekeliruannya.
"Err... kopi apa yang paling laris ya?" Akhirnya dia bertanya kepada staf kafe itu.
"Cik suka yang pahit atau yang berkrim sedikit?" soal staf itu kembali, cuba membantu.
Sufi terdiam. Dia tidak tahu. Langsung tiada idea tentang cita rasa lelaki yang dimaksudkannya itu. Jarinya mengetuk-ngetuk meja secara tidak sedar, sambil kepalanya memikirkan sesuatu. Kemudian, perlahan-lahan dia menoleh ke arah Haq di sebelah, seperti mencari jawapan daripada lelaki itu.
"Err... Tuan," panggil Sufi.
Haq yang sedang berdiri tegak, tunduk sedikit memandangnya.
"Ya?"
"Tuan minum kopi tak?" soalnya, ringkas.
Haq mengangguk kepala. Baginya, kopi itu sudah seperti teman rapat, terutama ketika dia perlu berjaga hingga larut malam untuk menyelesaikan kes yang rumit.
"Tuan rasa kopi apa yang saya patut beli untuk lelaki yang banyak kerja?" sambung Sufi, kali ini meminta cadangan.
Haq diam sejenak, memandang Sufi dengan sedikit pelik. Namun dia tidak bertanya lebih lanjut. Anak matanya beralih semula ke menu di dinding, sebelum jarinya naik menuding ke satu nama.
"Americano," jawab Haq ringkas.
Kepala Sufi terangguk-angguk tanda setuju. Pilihan Haq nampaknya masuk akal, mungkin bosnya juga akan menyukainya.
"Kalau macam itu, bagi Americano dua," ujar Sufi kepada staf kafe yang sedang mencatat pesanan di skrin.
"Cold or hot?" tanya staf itu lagi.
"Cold," jawab Sufi tanpa ragu.
Staf itu mengangguk, kemudian mencapai bekas cawan kosong sambil memegang pen marker.
"Nama yang nak ditulis?" soal staf tersebut.
"Satu bos, satu lagi Haq," balas Sufi selamba.
Haq yang mendengar jawapan itu sedikit terkejut. Keningnya terangkat, menoleh ke arah Sufi dengan wajah keliru. Nama dia? Untuk apa? Dia memandang Sufi yang sedang membayar dengan senyuman kecil di bibir.
Setelah menerima resit, Sufi berjalan ke arah meja kosong berhampiran kaunter dan melabuhkan punggung. Haq turut mengikut, duduk berdepan dengannya.
"Kenapa order untuk aku sekali?" soal Haq, matanya memandang tepat ke arah Sufi yang tersenyum simpul.
"Saja. Sebab Tuan dah tolong saya bagi cadangan tadi. Lagipun, saya tengok masa dekat tempat kerja tadi, muka Tuan serius. Jadi, mungkin kopi boleh legakan Tuan sedikit?" jawab Sufi, ikhlas.
"Habis kau? Tak beli apa-apa untuk diri sendiri?" tanya Haq, menyedari pesanan tadi hanya untuk dia dan lelaki di tempat kerja mereka. Tiada satu pun untuk Sufi.
Sufi hanya tersengih sambil menggeleng. Hakikatnya, duit dalam dompetnya cuma cukup untuk membeli dua minuman itu sahaja. Dia bercadang untuk makan selepas balik rumah nanti.
"Tak, saya kenyang lagi," katanya.
Haq yang memerhati raut wajah Sufi dapat meneka gadis itu sedang menyembunyikan sesuatu. Dia bangun perlahan, membetulkan jaketnya.
"Kau silap kalau nak cuba menipu depan detektif. Cakap saja apa yang kau nak, aku belikan," kata Haq sebelum terus melangkah ke sudut bakery tanpa menunggu jawapan Sufi.
Sufi yang terpinga-pinga segera bangun, mengejar Haq yang sudah berdiri di hadapan rak kaca berisi pelbagai jenis roti.
"Betul, Tuan. Saya dah kenyang. Tuan tak payahlah belikan apa-apa untuk saya," ujar Sufi, nada suaranya sedikit mendesak. Segan bila ada yang mahu membelanjanya.
Namun Haq tidak mempedulikan bantahan itu. Pandangannya masih fokus memilih roti. Akhirnya dia mengangkat tangan, memanggil perhatian staf di situ.
"Mrs, bagi roti sosej dan coklat satu. Air lemon tea sekali," pesannya tegas.
Staf itu segera membungkus pesanan tersebut. Haq melangkah ke kaunter untuk membuat bayaran. Setelah selesai, dia menghulurkan beg berisi makanan dan air itu kepada Sufi.
"Nah, ambil," katanya.
Sufi masih ragu-ragu untuk menerimanya.
"Sa... saya akan ganti balik nanti dengan apa-apa yang tuan nak." ucapnya perlahan sambil tangannya menyambut beg tersebut dengan rasa serba salah.
"Two Americano, one for boss and one for Haq!" jerit staf kafe, menolak dua cawan minuman yang siap ke kaunter.
Haq mencapai cawan dengan nama 'Haq' yang tertulis di tepinya, matanya sekilas menoleh ke arah Sufi yang masih berdiri terpinga-pinga di sisi. Senyuman nipis menghiasi wajahnya, tenang tetapi penuh makna.
“Kau dah lama ganti apa yang aku nak,” katanya, suara itu mendatar namun sarat dengan maksud yang sukar ditafsir.
Sambil berkata begitu, Haq sedikit mengangkat cawan kopi di tangannya sebagai isyarat sebelum berpaling dan melangkah keluar dari kafe. Langkahnya yakin, seolah tidak perlu menunggu apa-apa.
Sufi, yang masih terkejut dengan ucapan lelaki itu, tergamam untuk seketika. Dia memandang beg makanan yang dipegang, kemudian mengerutkan dahi sedikit, cuba mencerna maksud kata-kata Haq tadi.
“Eh, Tuan. Tunggu saya!” panggil Sufi akhirnya, suaranya sedikit kuat untuk mengejar perhatian Haq. Dia segera mengambil langkah panjang ke arah kaunter, mencapai kopi yang dipesan untuk bos dengan tergesa-gesa sebelum berlari anak mengekor lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro