9
KENING Sufi berkerut-kerut, seperti terikat oleh rasa cemas yang menyesakkan. Di dalam mimpinya, bayang-bayang kelam bergerak-gerak, menghantui dengan setiap detik yang berlalu. Wajahnya yang tenang ketika tidur kini dipenuhi oleh kecemasan, mulutnya terkatup rapat, tetapi dari celah bibir yang terkunci, desah nafasnya terdengar lebih cepat, seolah-olah dia berlari di dalam dunia yang tidak dia pilih.
Di setiap kerutan pada dahinya, ada rasa takut yang mendalam, seolah-olah dia sedang bertarung melawan sesuatu yang tidak terlihat, sesuatu yang akan merenggutnya jika dia gagal melarikan diri. Sementara itu, dunia luar tetap sunyi, tetapi di dalam mimpinya, waktu terasa melambat, dan kegelapan itu semakin menjerat.
"Semua yang jadi, semua kerana kau. Aku bunuh dia juga sebab kau Sufi..."
"Kau cuma milik aku..."
Bisikan suara garau itu bergema berulang kali. Buatkan Sufi merasa semakin sesak. Cadar katil digenggam begitu kuat.
Siapa kau sebenarnya?
Sufi ingin menyoal di dalam mimpi itu. Akan tetapi mulut terasa seakan terkunci. Bahkan bisikan itu semakin lama semakin birisik di telinga. Sufi rasa tak tenang. Jika boleh segera dia mahu keluar dari mimpi buruk ini.
"Sampai hati awak bunuh saya, Sufi... terlalu sakit tikaman ni, awak tikam saya berkali-kali..."
Bayangan Akim muncul pula dalam keadaan mengerikan. Seluruh tubuhnya dibasahi air darah yang pekat dan membusuk. Sufi geleng kepala berkali-kali.
"Bukan aku... aku tak bunuh kau... aku tak bunuh kau!" Raung Sufi, kuat. Kelopak matanya masih terpejam rapat. Namun tubuhnya meronta-ronta serupa dirasuk. Tangan bergerak-gerak serupa menolak sesuatu menjauhi diri darinya.
Nana yang terdengar raungan suara dari dalam bilik tidurnya lekas berlari mendapatkan Sufi dalam berpakaian baju kurung sekolah. Terbuntang matanya tatkala melibat Sufi yang sedang meracau sendirian. Mulut tak henti menjerit yang bukan-bukan.
"Kakak! Kau tengah mimpi ni! Sedar, kak!" Nana cuba untuk menenangkan keadaan, kedua belah bahu Sufi dipegang dari memberontak. Namun tetap sahaja Sufi bergerak serupa ingin melepaskan diri.
"Aku tak bunuh kau!"
"Bunuh apa ni, kak? Bangunlah! Aduh..."belakang tudung yang tidak terasa gatal digaru-garu. Buntu sudah fikirannya saat ini. Dan tatkala teringatkan Haq yang berjaga semalaman di luar, langsung Nana bergerak pantas ke pintu utama.
Buka sahaja pintu, anak mata terus mencari figura Haq yang berdiri di tepi pagar rumah. Anak matanya tumpu pada satu dokumen di tangan. Dengan muka berkerut penuh serius saat membaca setiap bait cetakan yang tertulis.
"Abang!"
Haq sedikit tersentak. Laju kepalanya berpaling ke belakang. Melihat riak muka Nana yang berubah pucat, dia juga menjadi cemas.
"Kenapa ni?"
"Kakak... dia..." Belum sempat Nana menghabiskan kata-kata, Haq terus menyerahkan dokumen yang di pegang kepada Hanif di sisi. Dia terus berlari masuk ke dalam rumah, langkahnya cepat dan bertenaga, seolah-olah tidak mahu membuang walau sesaat pun.
Sedangkan Nana terpaku di ambang pintu, terkejut dengan tindakan tergesa-gesa lelaki itu.
Haq langsung bergerak pantas menuju ke bilik tidur yang dibiarkan ternganga luas. Di situ, dia lihat Sufi terbaring di atas katil. Dengan bibir yang meracau tentang hal yang bukan-bukan. Sesaat kakinya terhenti, teragak-agak untuk masuk ke dalam apabila menyedari Sufi yang tidak bertudung. Sungguh, dia tiada niat untuk melihat aurat wanita itu.
Akan tetapi, dia tidak diberi pilihan lain selain terus masuk menjenguk keadaan Sufi. Haq menghampiri katil. Terus duduk di ruang kosong bersebelahan Sufi.
"Jangan takut, Sufi. Itu cuma mimpi. Buka mata kau..." kata Haq dengan suara tenang, meskipun ada kegelisahan yang tak dapat disembunyikan di balik kata-katanya. Tangan Sufi yang meronta-ronta itu digenggam kedua-duanya lalu ditekan lembut tetapi kuat. Kepalanya menunduk menatap wajah Sufi yang berpeluh-peluh. Terasa dingin kulit wanita itu, jelas sekali dia dalam ketakutan.
"Aku ada di sini, Sufi. Takkan ada yang berani mendekat dengan kau lagi..." Bisik Haq begitu lembut sambil sebelah tangannya mengesat setiap titisan peluh di dahi Sufi. Manakala sebelah tangan lagi masih utuh mengawal tangan Sufi yang cuba untuk menepis.
"Buka mata kau, tengok aku." Haq mengarah dengan tenang.
Sufi masih lagi dalam keadaan takut-takut. Bebola matanya tampak bergerak-gerak dalam mata yang terpejam. Seakan-akan sedang mencuba untuk mengikut setiap arahan yang menyapa ke telinganya.
"Kau akan selamat dengan aku, aku janji..." kata Haq lagi, tangannya terus mengusap lembut rambut wanita itu, dan perlahan, dengan kekuatan yang tak terlihat, mata Sufi akhirnya terbuka. Walaupun pandangannya kabur, ada kelihatan kelegaan yang terbaca dalam matanya.
Haq tersenyum, meskipun dalam hatinya masih ada gumpalan kerisauan yang belum dapat dipadamkan. Namun setidak-tidaknya, dia tahu, dalam situasi ini, dia masih ada untuk menenangkan Sufi.
"Mimpi ngeri tu dah pergi, kan?" Soal Haq, matanya merenung tepat ke dalam bola mata Sufi yang masih curiga.
Tatkala Sufi cuma diam. Otaknya cuba memproses kembali apa yang sedang berlaku. Sekejap anak matanya melilau ke segenap bilik yang tidak terasa asing baginya. Semua kelihatan teratur dan tersusun kemas. Gambar-gambarnya yang berada di atas meja itu jelas menandakan dia sedang berada di dalam bilik sendiri.
Dan apabila data-data di dalam otaknya mula bersambung, Sufi baru tersedar bahawa di dalam biliknya cuma mereka berdua.
"Kau siapa?!" Terus tangan Sufi menolak tubuh Haq yang terlalu dekat dengannya. Dia terus bangun dari posisi baring, turut bergerak menjauhkan diri daripada lelaki itu. Seketika sebelah tangannya merayap ke kepala yang terasa kosong tak berlapikkan apa-apa.
Lantas Sufi menarik selimut, menyelubungi rambut panjang paras dadanya yang terdedah. Sedikit pun tidak menoleh memandang Haq yang masih duduk di katilnya.
"Haq. Aku yang ditugaskan untuk perhatikan kau 24 jam. Tadi kau meracau boleh tahan teruk juga." Begitu tenang sekali cara Haq menjawab.
"Siapa yang benarkan tuan masuk bilik saya? Adik saya mana?" Soal Sufi lagi. Masih ragu-ragu.
"Ada. Tengah bersiap nak ke sekolah. Dia kena pergi peperiksaan, tak boleh ponteng. Jadi aku dah arahkan Hanif untuk jaga dia di sekolah nanti."
Sufi tidak berkata apa-apa. Dalam hatinya ada sedikit rasa geram dengan Nana. Sesuka hati budak itu sahaja biarkan lelaki asing ini masuk ke bilik. Tidak kesahlah berpangkat polis sekalipun, itu tak bermakna dia ada keizinan untuk masuk ke tempat privasi.
Haq menghembuskan nafas seketika sebelum bangkit dari katil. Kedua belah tangannya menyeluk ke dalam poket.
"Okaylah, aku keluar dulu. Aku tahu kau tak selesa." Pamitnya. Lantas kaki diatur menuju ke pintu keluar. Namun tidak sampai beberapa langkah, dia berhenti di tengah jalan. Tidak menoleh ke belakang, cuma mulut sahaja yang tetap berbicara.
"Oh, by the way... aku tunggu kau bersiap. Ada banyak soalan aku nak tanya kau. Jadi cepat sikit. Faham?"
Perlahan kepala Sufi mengangguk.
"Faham, Tuan..." Balas Sufi antara dengar atau tidak.
Namun Haq tidak memberi sebarang respon. Terus menyambung langkah yang tergendala tadi, bahkan tolong menutup pintu bilik Sufi sehingga rapat.
Panjang Sufi mengeluh sambil melurut selimut yang menutupi kepalanya ke bawah. Sesekali mukanya yang sedikit berpeluh diraup. 'Ya Tuhan, bagaimana aku boleh sampai meracau? Tak pernah seumur hidup aku meracau di dalam mimpi.' Keluh Sufi di dalam hati. Terasa malu juga apabila detektif itu sendiri yang menenangkan dia tadi.
HAQ duduk di meja, jari-jemarinya bergerak pantas menaip di laptop, matanya tertumpu pada skrin yang berkelip-kelip. Sesekali anak matanya beralih ke arah jam yang tergantung di dinding, sudah setengah jam berlalu. Kelibat Sufi masih belum muncul dari bilik. Dia masih sabar menunggu, lalu sambung menyemak maklumat tentang kes pembunuhan yang berlaku semalam.
Kes kali ini agak pelik juga. Cuma ada satu saksi, seorang dibunuh dan tiada motif diketahui. Sampai sekarang, dia masih cuba mengorek segala hal yang tersirat disebalik kejadian ini. Kemudian, tetikus digerak-gerakkan sehingga dia menjumpai hasil tangkapan gambar forensik semalam.
Klik!
Satu gambar terpampang besar pada skrin. Tulisan berdarah yang melakar nama Sufi pada dinding ditenung lama.
Pasti pembunuh itu ada sebab tersendiri mengapa dia melakar nama Sufi di situ.
"Tuan."
Perhatian Haq terus beralih ke arah Sufi yang baru muncul di hadapan matanya. Dia terpaku buat sejenak. Sempat anak matanya melirik Sufi dari atas hingga ke bawah. M Berbaju kurung moden yang dikenakan sekali selendang sama warna iaitu coklat. Ditangannya erat menggenggam beg. Seolah-olah bersedia ingin ke sesuatu tempat.
Haq mengeluh sebelum tubuhnya bersandar ke belakang dengan gaya bersahaja.
"Dengan berbaju kurung ni nak ke mana? Ada kenduri ke?" Tegur Haq, mendatar sekali nadanya.
Kening Sufi berkerut tidak berapa faham. Namun tetap sahaja kepala digeleng.
"Tak ada."
"Dah tu? Kau bersiap untuk aku?"
Lagilah Sufi menggeleng.
"Mana ada. Saya nak pergi kerjalah. Banyak yang saya tangguh semalam. Sepatutnya saya kena post artikel tu hari ni." Ujar Sufi, kalau nak diikutkan keadaannya sekarang, trauma semalam masih belum habis. Namun apabila teringatkan kerja yang berbaki lagi separuh tetap juga buat dia rasa tak tenang untuk terus berada di sini.
"Tak payah pergi kerja hari ni. Kau dalam pantauan pihak polis sekarang."
"Tapi saya kena pergi." Bidas Sufi laju.
Haq diam. Namun renungan garangnya sudah cukup untuk Sufi tahu yang dia tidak suka dibantah. Akan tetapi Sufi tidak peduli, masih tetap dengan keputusannya.
"Lagipun saya tak nak duduk berdua dengan Tuan dalam rumah ni."
"Rumah aku dekat sebelah kau aje. Aku boleh pergi ke sana kalau kau tak selesa. Tapi kau tiada pilihan lain selain duduk dengan aku. Dan kalau ya pun ada pilihan, aku boleh pasang cctv. Nak ke?"
Pantas Sufi geleng kepala. Gila! Memang tidaklah dia mahu setuju untuk pasang cctv di dalam rumah. Segala tindak-tanduknya akan diperhati 24 jam selepas ini. Tentu sahaja dia akan merasa tidak selesa kerana ada mata yang sedang mengekor dari jauh.
"Tak nak, Tuan."
"Ada lagi alasan?" Soal Haq.
Sufi terdiam sesaat. Kepalanya menunduk, cuba memikirkan idea lain.
"Macam mana kalau Tuan ikut saya sekali ke Viral TV? Maaflah sebab saya banyak bantah arahan tapi saya betul-betul nak kena pergi kerja. Saya anak sulung, saya yang kena jaga adik saya. Kalau saya tak pergi nanti gaji saya kena potong."
Sebelah tangan Haq naik memicit kepala. Perempuan itu memang takkan sudah memikirkan jalan untuk ke tempat kerja. Tidak mahu tidak, dia harus setuju juga. Kemudian, tangan dijatuhkan ke bawah semula. Kepala diangguk perlahan.
"Yalah. Tapi aku kena tanya kau soalan dulu. Duduk sini." Kerusi yang berada di sebelah kanan berdekatannya ditarik, menyuruh Sufi duduk di situ.
Lantas Sufi melabuh punggung di sebelah lelaki itu tanpa berkata apa-apa. Hanya keheningan yang memenuhi ruang antara mereka buat beberapa saat sementara Haq sedang membuka pita rakaman pada telefonnya.
Telefon canggih itu diletak di tengah-tengah meja antara mereka. Kemudian, butang merah ditekan. Kiraan detik pun bermula menghitung saat.
"Baiklah, Cik Sufi. Segala perbualan kita akan dirakam untuk membantu penyiasatan kami nanti. Jadi harap Cik Sufi tak kesahlah ya?" Kata Haq, sambil dia menyusun beberapa helaian kertas A4 yang berselerakan di atas meja. Malahan panggilan kepada Sufi juga automatik berubah lembut tatkala rakaman bermula. Mungkin itu cara profesional dia bekerja.
Sufi cuma angguk kepala tanda tidak kesah. Kalau boleh dia juga mahu membantu penyiasatan ini selesai dengan cepat.
"Bagus. Jadi soalan yang pertama dari saya, apa yang Cik Sufi buat dekat Viral TV tu tengah-tengah malam sedangkan pekerja lain dah pulang?" Haq memulakan soalan. Kedua belah tangannya diletak di atas meja. Matanya cuma merenung kosong ke arah Sufi yang cuba memproses ingatan semalam.
"Saya tengah siapkan artikel."
"Artikel apa?" Laju sahaja Haq bertanya. Matanya kembali beralih ke laptop. Jari-jemarinya bersiap sedia ingin menaip jawapan yang didengar.
"Tentang kes pembunuhan baru-baru ni. Pasal Unknown." Jawab Sufi. Namun entah mengapa, jawapan itu seakan mengunci pergerakan Haq. Tangannya langsung tak bergerak di atas papan kekunci. Bahkan matanya juga tak berkelip melihat skrin.
"Unknown... apa yang Cik Sufi tulis tentang dia?" Haq meneruskan soalan.
"Saya cuma tulis maklumat yang Sofia hantar hasil temu ramah dia petang semalam. Pukul berapa mayat disedari oleh orang awam, motif pembunuhan dan tentang surat misteri yang ditemui pihak polis. Tapi pasal surat tu..."
"Cik Sufi tahu apa isi yang ditulis?"
Kali ini Sufi jongket bahu sambil menggeleng kepala. "Entah. Saya tak tahu."
"Takkan Sofia tak beritahu?"
"Bukan tak beritahu tapi saya yang tak sempat dengar rakaman temu ramah tu sampai habis..."
"Kenapa?" Belum sempat Sufi menghabiskan bicaranya lagi, Haq sudah memotong.
Sufi terdiam sejenak. Dahinya berkerut dengan setiap persoalan yang diajukan. Kebanyakannya lebih kepada Unknown dan bukan tentang kejadian yang menimpanya semalam. Takkanlah pembunuhan yang berlaku baru-baru ini ada berkait rapat dengan Unknown.
Ish, tak mungkin.
Siapa Unknown hendak terjebak dalam kehidupannya?
"Kenapa Cik Sufi tak dengar rakaman tu sampai habis? Mana tahu jika isi surat tu paling penting untuk dimasukkan dalam artikel? Lagipun satu Malaysia nak tahu sangat apa yang ditulis oleh Unknown. Syarikat Cik Sufi beruntung sebab dah jadi stesen berita pertama yang dah tahu isi surat tu." Ujar Haq.
Sedangkan Sufi tersenyum kelat. Kata-kata lelaki itu tiada yang salah, tetapi entah mengapa, jauh disudut hati Sufi merasakan sedikit sedih. Tak sangka, begitu hebat sekali Sofia berbanding dia semasa menjadi wartawan. Maklumat sulit pun wanita itu senang dapatkan. Mungkin kerana itulah Sofia lebih layak berada di tempat sekarang.
"Yeah, untung sebab Sofia tu pandai bodek semua orang. Diakan cantik. Jadi tak mustahil dia boleh dapatkan isi surat tu." Dalam pujian terselit juga rasa cemburu. Sufi menundukkan pandangan, tidak mahu menunjukkan emosinya tika ini.
Bahkan Haq juga tidak membuka mulut. Matanya yang dari tadi cuma melekat pada skrin laptop perlahan beralih ke arah Sufi. Tangannya menjauh dari papan kekunci. Kini berpeluk tubuh dengan gaya tenang sebelum kembali bersuara.
"Tapi saya lebih rindu suara awak bercakap tentang saya." Katanya secara tiba-tiba.
"Huh?" Sufi terus mengangkat muka dengan terpinga-pinga, antata dengar dan tidak dengar, matanya sedikit terbeliak, cuba menangkap maksud di sebalik kata-kata yang meluncur dari bibir lelaki itu.
Manakala riak wajah Haq tetap kosong. Matanya merenung tepat ke dalam bebola mata Sufi yang penuh tanda tanya, seolah-olah cuba menembus ke dalam jiwanya. Tidak ada rasa, tiada emosi yang terpancar, hanya kedalaman yang seakan mengunci segala perasaan.
"Saya rindu nak tengok muka awak, saya rindu sangat cara awak bercakap seolah-olah ada depan saya. Semua yang saya buat cuma untuk awak seorang. Bukan untuk wartawan lain." Sambung Haq lagi. Wajahnya kelihatan tenang, tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan cara bibirnya tersenyum.
Sufi masih diam, menelan air liur sendiri, seakan-akan kata-kata lelaki itu menjerat tekaknya, membuatnya sukar bernafas. Perasaan cemas mula merayap, tetapi dia cuba menahan dirinya, tidak mahu terlihat lemah. Setiap detik yang berlalu semakin memerangkapnya dalam keheningan yang kian tebal.
"Kalau awak tak muncul dikaca TV sekalipun, saya yang akan muncul di depan mata awak nanti." Kata Haq lagi, melihat reaksi Sufi yang terdiam kaku. Bibirnya terus menyenget sinis. Jelas terpancar persoalan pada seraut wajah manis milik Sufi itu.
Namun Haq cuma buat tak endah. Pandangannya teralih semula ke arah laptop.
"Itu semua ayat yang ditulis Unknown. Tak perlu bodek pun untuk dapatkan isi surat tu. Malahan Sofia cuma dapat tahu yang surat tu ditulis untuk seseorang sahaja. Tapi dia tak tahu isi sebenar. Awak yang jadi orang pertama tahu pasal isi surat tu tanpa perlu bodek sesiapa." Ujar Haq, nada suaranya berubah lebih mendatar tika ini.
Wajah Sufi yang penuh tanda tanya tak dipandang, akan tetapi dia sedar ada kerutan di dahi wanita itu.
"Tapi kenapa Tuan beritahu saya?" Soal Sufi, pelik. Bulu romanya sudah mencanak naik mendengar kata-kata lelaki itu sebentar tadi. Hampir sahaja dia fikir yang bukan-bukan. Namun setelah mendengar sampai habis, baru dia sedar bahawa Haq cuma membacakan semula isi yang ditulis pada kertas misteri Unknown.
"Sebab saya tak nak Cik Sufi ingat yang semua polis sama dalam dunia ni. Saya tak makan hasil bodek perempuan. That's it. Saya akan Soal lagi selepas ni."
Mudah sekali Haq menjawab. Laptop terus ditutup. Bahkan rakaman yang sedang berjalan juga dihentikan sebelum semua perlahan di atas meja disumbat masuk ke dalam beg galasnya.
Sedangkan Sufi masih lagi terkulat-kulat disitu. Hanya memerhati Haq yang sibuk menyurun barang.
"Nak pergi kerjakan? Tunggu apa lagi? Jomlah." Tegur Haq tatkala melihat Sufi yang membatu di tempat duduk.
Sufi yang baru tersedar dari lamunan, lekas bangun dari kerusi. Kepala terangguk-angguk mengiyakan kata lelaki itu. Beg sandang yang hampir terlucut dari bahunya diperbetulkan sebelum mengekor langkah Haq ke pintu utama.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro