
8
BARU sahaja tiba di hadapan bangunan korporat Viral TV, lekas Tuah menanggalkan helmet daripada kepalanya. Tak pedulikan gaya rambut yang kini serabai. Anak mata melingas pantas ke kawasan yang dikerumuni oleh polis yang masing-masing sibuk menjalankan tugas mereka. Lampu biru dari kereta peronda berkelip-kelip, mencipta bayang-bayang yang mengaburkan wajah-wajah tegang di sekitar.
Menyukarkan dia untuk mengecam wajah yang dicari-cari. Bahkan hatinya sudah dirasuk rasa gelisah. Namun sebaik anak mata memandang ke arah van ambulans yang berada di sana, anak mata Tuah terus membulat besar.
"Sufi!" Kelam-kabut Tuah turun dari motosikal, tubuhnya masih bergetar dari kepanikan yang menguasai. Langkahnya terhuyung-hayang, seolah-olah bumi di bawahnya tak lagi teguh. Matanya tertumpu pada Sufi yang duduk di belakang ambulans, wajahnya pucat, sesekali mulutnya terkatup rapat seperti menahan tangisan.
Trauma jelas terlihat di dalam pandangannya yang kosong, seakan-akan segala apa yang terjadi tadi belum sepenuhnya terserap dalam ingatannya.
"Maaf, Encik. Encik tak boleh masuk ke kawasan ni sekarang..." Halang polis yang berdiri di laluan bertali kuning, tubuh Tuah yang hampir melepasi tali itu ditahan daripada terlepas masuk.
Akan tetapi Tuah langsung menepis dengan kasar. Pandangan penuh amarah dilemparkan kepada susuk tubuh yang menghalang jalannya.
"Aku nak jumpa kawan akulah! Dia yang hubungi aku tadi!" Bentak Tuah, tanpa pedulikan larangan pegawai polis itu, dia terus berlari mendapatkan Sufi. Kalau ada yang menghalang, dia tidak kesah untuk buat hal di sini.
Dia ingin melihat keadaan Sufi sahaja sekarang.
"Sufi apa dah jadi ni huh?" Soal Tuah, suaranya jelas kerisauan. Dia terus tunduk, ingin menatap wajah wanita itu. Melihat tangan Sufi yang menggeletar, ingin sahaja diraih, tetapi rasa bersalah menghalang. Dia tahu Sufi tidak suka disentuh sesuka hati.
Namun Sufi cuma membisu sejak tadi. Air mata tak henti-henti mengalir. Makin resah jiwa Tuah dibuatnya.
"Sufi kenapa kau menangis ni? Cuba kau cerita dekat aku! Apa yang dah jadi?" Desak Tuah, serabut kepalanya memikirkan apa yang telah menimpa wanita itu. Bahkan Sufi tetap tidak membuka mulut.
Tuah mendengus geram. Rambutnya yang sudah serabai digaru-garu lebih serabut. Dan saat telinganya menangkap bunyi roda yang bergeser di jalan, langsung Tuah berpaling ke belakang. Dia terkaku saat terpandang katil putih yang ditolak keluar daripada pintu kecemasan.
Di atas katil itu, ada tubuh yang terlentang kaku, dengan darah pekat merah yang sudah mengotori cadar berwarna putih. Sempat anak mata Tuah jatuh ke arah seraut wajah pucat itu sebelum seluruh tubuhnya dibaluti kain. Jelas sekali itu adalah akibat dari kemalangan yang berlaku beberapa minit sebelumnya.
Dan mayat itu bukanlah orang yang asing baginya. Itu adalah...
Akim.
"Ak... Aku tak bunuh dia..."
Suara Sufi perlahan menyapa gegendangan telinganya. Automatik menarik perhatian Tuah memandang Sufi semula. Sekarang baru dia mengerti apa yang membuatkan Sufi trauma.
"Sumpah, Tuah... aku tak tahu apa yang jadi. Aku buka sahaja pintu tiba-tiba nampak dia dah terbaring depan aku. Aku tak bunuh dia, Sumpah... aku tak bunuh dia..." Esakan Sufi seakan-akan menyiaat kulitnya. Perih sekali.
Dia benci melihat wanita itu menangis, benci kerana setiap tetes air mata yang jatuh semakin menggugat ketenangannya. Hati yang sudah gelisah itu semakin parah, seperti ada sesuatu yang menekan jiwa. Dia tidak mahu Sufi terus terbelenggu dalam rasa bersalah sendiri.
Sedaya upaya, Tuah cuba meraih perhatian Sufi, menggenggam kedua-dua tangannya dengan lembut, namun kuat, seolah ingin menyampaikan bahawa dia masih ada.
"Cukup, Sufi. Aku ada dekat sini. Kau tak salah. Jangan takut..." kata Tuah dengan suara mendalam. Dia menghapus air mata wanita itu dengan ibu jari, walaupun dalam dirinya sendiri, dia merasa terperangkap dalam kebuntuan.
Sufi mengangkat pandangan, matanya merah merenung Tuah di hadapannya.
"Tapi aku sahaja yang ada dekat situ. Mesti orang ingat aku yang bunuh dia..." tersekat-sekat suara Sufi meluah.
Dengan pantas Tuah menggeleng kepala menafikan setiap kata Sufi yang merepek tika ini.
"Dorang takkan berani fikir macam itu. Aku ada dengan kau. Aku akan belasah mereka jika mereka tuduh kau pembunuh! Sudah, cukup Sufi. Jangan menangis lagi."
Sufi menggeleng. Biarpun dia cuba untuk menghentikan tangisan, namun setiap kali wajah Akim melintas di fikiran pasti air matanya akan jatuh.
"Sejuknya tangan kau..." gumam Tuah saat merasakan tangan Sufi yang semakin sejuk akibat terlalu gementar. Langsung Tuah berdiri tegak, terburu-buru menanggalkan jaket motor daripada tubuhnya.
Dengan tangan yang agak kasar, dia menyelimutkan Sufi dengan jaketnya, berusaha memberikan sedikit kehangatan di tengah-tengah suasana yang penuh ketegangan.
"Aku sentiasa ada dengan kau, kau jangan risau ya?" suaranya lembut memberitahu Sufi. Dia memastikan jaket itu membalut tubuh wanita itu rapat, berharap ia dapat memberi sedikit keselesaan, walaupun hanya untuk seketika.
Sufi menunduk, masih lagi menangis, tetapi tubuhnya mula sedikit tenang. Manakala Tuah hanya berdiri di sebelahnya, matanya penuh rasa bersalah, tak mampu berkata-kata lagi. Seakan-akan jaket yang sederhana itu adalah satu-satunya cara yang dapat dia berikan untuk menenangkan jiwa Sufi yang gelisah.
"Sufi Leila..." Tiba-tiba ada suara garau yang menyeru nama penuhnya. Kepala Sufi kembali melangut. Bahkan Tuah juga menoleh ke arah figura lelaki yang memakai jaket kulit hitam, menghampiri ke arah mereka berdua.
"Kau Sufi Leila?" Sekali lagi dia menegur.
Dengan teragak-agak Sufi mengangguk kepala.
"Sa... Saya." Jawab Sufi. Pandangannya penuh bingung tika ini. Siapa pula lelaki itu?
"Detektif Haq Jazrin. Dari unit siasatan jenayah. Boleh kita berbual sekejap?" Soal Haq, siap menayang tag yang tergantung dileher sebagai bukti. Kemudian pandangannya beralih ke arah Tuah yang masih tercegat di sisi.
"Cuma berdua." Sambung Haq. Menekan ayatnya seolah-olah meminta lelaki itu untuk beredar sebentar meninggalkan dia dan Sufi sahaja di ambulans ini.
Tuah berdecik sinis.
"Agak-agaklah nak soal siasat sekarang. Dia tengah trauma kut?" Suara Tuah jelas sekali tidak puas hati. Bahkan Sufi belum melupakan apa yang telah terjadi beberapa minit tadi dan tiba-tiba ada pula yang ingin membuka kertas siasatan sekarang.
"Jangan masuk campur urusan polis. Dan orang awam tak sepatutnya ada dekat sini."
Tuah terdiam sejenak.
"Pilih. Nak pergi atau kena gari?" Cabar Haq.
Bibir Tuah tampak mengetap menahan geram. Sekilas dia menjeling memandang Sufi, wanita itu juga seakan menyuruhnya untuk mengikut sahaja arahan. Tanpa berkata apa-apa, Tuah berlalu pergi meninggalkan mereka. Jauh sedikit daripada ambulans yang di duduki Sufi.
Setelah memastikan Tuah menjauh, Haq melepaskan nafas sederhana. Ruang kosong di sebelah kanan Sufi menjadi tempat dia melabuh punggung. Anak matanya melekat pada Sufi yang tertunduk, sedaya-upaya sedang mengawal emosinya dari terus menangis. Malah kulit bibir wanita itu tampak menggelupas akibat terlalu kering.
"Koperal!" Panggil Haq, memandang ke arah koperal yang berdiri berdekatan kereta polis.
"Ya, Tuan!"
"Ambilkan air mineral aku dekat situ." Arahnya. Segera koperal Hanif membawa air botol mineral kepadanya sebelum berlalu ke kereta semula.
Lantas penutup botol dibuka lalu disua ke arah Sufi yang diam di sisinya.
"Minum sikit."
Perhatian Sufi teralih ke arah botol air di hadapannya. Lambat-lambat dia mengambil sebelum diminum perlahan-lahan.
Haq sekadar memerhati. Tampak haus betul wanita itu. Separuh botol juga diminum. Tetapi tak mengapa, sekurang-kurangnya Sufi kelihatan lebih tenang.
"Kalau aku tanya, kau jawab dengan jujur bolehkan?" Soal Haq setelah Sufi meletakkan botol mineral itu ke tepi. Perlahan wanita itu mengangguk kepala tanda boleh.
"Siapa lagi yang ada di dalam office tu selain kau dan mangsa?"
"Saya tak tahu."
Haq diam sejenak.
"Apa yang mangsa buat kepada kau sampai dia dibunuh?"
Mata Sufi terpejam sesaat. Soalan itu buatkan emosinya kembali terganggu.
"Sa... Saya tak tahu." Ulang Sufi.
"Kalau kau tak bunuh dia, pasti ada orang lain yang bunuh dia kerana kau. Dan aku pasti, dia sentiasa ada dengan kau..."
"Saya tak tahu, tuan. Siapa pun dia, saya tak tahu! Yang saya tahu cuma tinggal saya dan dia sahaja dekat dalam office tu. Selepas itu saya dengar macam bunyi orang bergaduh. Dan bila saya buka pintu, dia dah tak bernyawa..." Luah Sufi dengan nada panik. Suaranya kedengaran bergetar. Tangan kembali menggigil tatkala teringatkan kejadian ngeri di hadapan mata.
"Tenang, Sufi. Jangan takut." Lengan Sufi yang berlapikkan lengan baju itu digenggam kuat tetapi lembut. Cuba menyedarkan Sufi bahawa sekelilingnya selamat. Tiada apa yang perlu ditakutkan.
Sufi tarik nafas dalam-dalam kemudian menghembusnya dengan perlahan. Ya, dia patut bertenang.
"Rumah kau dekat mana? Aku hantar kau balik. Kau patut berehat dulu." Ucap Haq senada yang lembut. Dia tidak mahu menekan-nekan fikiran Sufi buat masa sekarang.
Tangan Sufi yang terketar-ketar cuba menghapuskan sisa-sisa tangisan yang masih membasahi pipi. Matanya yang merah dan bengkak itu menatap lelaki itu sejenak, seolah-olah mencari kekuatan dalam pandangannya. Setelah beberapa saat, Sufi mengangguk setuju, walaupun bibirnya masih bergetar.
Dia mahu pulang.
"Saya tinggal dekat Pangsapuri Indah, blok A. Tak jauh sangat dari sini." Ujar Sufi dengan suara tenggelam-timbul.
Tatkala kening Haq terangkat sedikit apabila mendengarnya.
"Pangsapuri Indah?" Sengaja Haq mengulangi nama tempat itu. Sekadar untuk memastikan pendengarannya tidak salah. Kemudian, Sufi mengangguk.
"Ouh... lagi bagus." Kata Haq tanpa reaksi. Dia langsung bangun daripada tempatnya melabuh punggung. Terus berjalan mendekati sekumpulan polis yang sedang menjalankan kerja. Entah apa yang dia lakukan di situ, tetapi dari sudut mata Sufi yang melihatnya dari belakang ambulans seolah-olah lelaki itu sedang berbicara panjang tentangnya dengan ketua polis.
Adakala Sufi sempat menangkap jelingan mata Haq kepadanya. Dan kemudian ketua polis itu turut menoleh memandang ke dia sebelum kepala terangguk-angguk serupa faham akan sesuatu.
"Cik Sufi, mari naik kereta polis. Saya dengan Tuan Haq akan hantar cik balik. Kami mungkin akan berjaga di hadapan rumah Cik Sufi malam ni." Sampuk Hanif yang tiba-tiba berdiri di sebelah pintu ambulans.
Sufi cuma menurut pada arahan. Jaket yang hampir terlucut dari tubuhnya diperbetulkan dengan kemas sebelum bangun mengekor lelaki itu menuju ke arah kereta polis yang bernyala lampu biru.
"Sufi!" Panggil Tuah terpinga-pinga. Pelik apabila Sufi dibawa masuk ke dalam kereta peronda itu. Dia ingin mendekat, namun ada tangan lain yang menghalang laluannya daripada terus mendekati pintu penumpang. Kepala Tuah menoleh ke kiri. Pandangannya automatik berubah tatkala menyedari Haq yang berada di sisi.
"Jangan ganggu dia malam ni. Emosi dia masih belum stabil. Kau pergi balik sahaja." Kata Haq dalam nada tak berapa acuh. Tanpa mendengar balasan dari Tuah, dia langsung masuk ke dalam perut kereta di bahagian hadapan sebelah kiri.
Sementara kereta itu belum bergerak, Tuah cepat-cepat merapati mukanya ke cermin belakang.
Tuk! Tuk!
Cermin itu diketuk perlahan beberapa kali. Cukup untuk menarik perhatian Sufi ke arahnya yang berdiri di luar kereta. Pandangan Sufi kosong dengan mata yang masih merah.
"Aku sentiasa ada dengan kau. Faham?" Jerit Tuah, entah Sufi dengar atau tidak dari sebalik cermin kereta itu. Tiada sebarang respon kelihatan sebelum Sufi menyandarkan belakang tubuhnya ke kusyen dan merehatkan diri. Jaket motor yang jatuh, ditarik semula menyelimuti diri.
Dan saat merasakan pacuan empat roda itu mula bergerak pergi. Lekas Tuah menjauhkan diri sebelum kakinya menjadi mangsa digilis tayar. Dia hanya memerhati kereta peronda berkelip-kelip lampu biru itu sehingga menghilang dari pandangan mata kasarnya.
Satu nafas dihela panjang. Sejujurnya, hati ini masih merisaukan Sufi. Biar pun dia tahu keadaan Sufi kini lebih selamat apabila dikelilingi pihak polis. Tetapi entah mengapa, kalau boleh dia mahu berada di sisi wanita itu sekarang. Rasa menyesal sehingga masa ini kerana dia memilih untuk membiarkan Sufi bersendirian sebelumnya.
"Maaf sebab tak jawab panggilan kau, Sufi..."
TOK! TOK! TOK!
Tiba-tiba kedengaran pintu diketuk dengan keras, mengejutkan Nana yang sedang mengulang kaji subjek sejarah tingkatan lima di biliknya. Tanpa berlengah, dia pantas berlari membukanya. Setelah berjam lamanya dia menunggu kepulangan Sufi. Akhirnya, tiba juga wanita itu di rumah. Jarang sekali kakaknya pulang lewat begini.
Begitu pintu terbuka, Nana kaku sejenak tatkala melihat Sufi yang berdiri lemah di hadapan, dengan ditemani dua lelaki berwajah serius. Lebih mengejutkan, jiran sebelah yang bertembung dengannya petang tadi turut berada di situ.
"Abang Haq? Kak Sufi? Ap... apa dah jadi ni?" Suaranya bergetar sedikit, cuba menahan kegelisahan yang mulai menguasai dirinya. Sekilas anak matanya memandang Haq kemudian jatuh kepada Sufi pula.
"Bawa kakak awak ke bilik. Dia perlu tenangkan diri. Jangan tanya dia apa-apa lagi." Arah Haq.
Nana cuma mampu mengangguk kepala. Meskipun dia tidak berapa pasti apa yang telah terjadi, dia terus memapah Sufi sehingga masuk ke bilik tidur. Tidak sampai beberapa minit, Nana kembali ke pintu semula.
"Kenapa dengan kakak saya?" Soal Nana dengan nada kerisauan.
Namun mereka tidak menjawab. Sengaja buatkan dia dibelenggu dengan persoalan.
"Tuan, saya turun ke bawah sekejap." pamit Hanif sebelum meninggalkan mereka berdua di ambang pintu. Haq tidak mengeluarkan sebarang bicara. Cuma berdiri dengan gaya kedua belah tangan memeluk tubuh.
"Abang?"
"Boleh Abang masuk ke dalam?" Haq terlebih dahulu mencelah. Terdiam Nana buat beberapa seketika sebelum kepalanya terangguk-angguk perlahan.
"Bo... Boleh."
Tanpa menunggu lama, dia terus menanggalkan kasut lalu melangkah dengan kaki kanan terdahulu masuk ke dalam rumah. Manakala Nana pula berganjak ke tepi, memberi ruang kepada lelaki itu meneliti setiap sudut rumahnya.
Langkahnya terus masuk ke ruang tamu, mata coklat milik Haq meliar mencari tanda-tanda sesuatu yang tidak kena. Namun semuanya kelihatan teratur dan tiada benda yang mencurigakan.
"Mulai malam ni abang akan jaga kak Sufi, Nana. Abang nak minta tolong Nana untuk bersihkan ruangan tu esok untuk abang buat kerja di situ." Haq kembali bersuara setelah lama menyepi, tangannya menunding ke arah sudut berdekatan meja makan. Ada pinggan dan cawan kotor yang masih belum dibersihkan di atasnya.
Sedangkan kening Nana berkerut, pelik.
Sungguh, otaknya buntu sekarang. Kemudian kepala Nana menggeleng. Dia perlu memastikan sesuatu dahulu.
"Sekejap. Abang Haq kerja polis ke? Apa yang dah jadi dengan Kak Sufi sehingga abang kena ada dekat sini?"
"Nana tak perlu fikir apa-apa. Pergi sambung ulang kaji. Abang akan berjaga di luar." Soalan Nana langsung tidak dijawab, Haq terus melangkah ke pintu keluar.
Namun, kerutan di dahi Nana makin bertambah. "Macam mana abang tahu Nana tengah study?"
Semerta langkah Haq jeda di tengah-tengah ruang tamu. Senyap. Seolah-olah dunia di sekelilingnya tiba-tiba sahaja menjadi sunyi.
Nana menghampiri lebih dekat. Entah mengapa jantungnya berdegup laju tika ini. Perasaan curiga mula membelenggu kotak fikirannya.
"Pintu bilik tu terbuka. Abang boleh nampak buku bersepah dekat atas meja tu." Kata Haq sambil anak matanya menunjuk ke arah pintu bilik yang dibiarkan ternganga. Dari sini, dia boleh melihat sudut meja yang tersusun buku-buku teks tingkatan lima. Jadi mestilah Nana sedang mengulang kaji kerana ada kertas berselerakan di atas meja itu.
Tatkala Nana yang baru menyedari kesilapannya, terus menyengih sambil menggosok belakang kepala. Ya tak ya, mestilah Haq tahu dia sedang berusaha menghafal maklumat penting tentang sejarah.
"Oh, abang nampak ek? Maaflah bersepah sikit."
"Tak apa, bukan masalah abang pun. Oh lagi satu... tolong tengokkan kakak elok-elok. Kalau dia meracau terus panggil abang dekat luar."
Terkulat-kulat Nana mengangguk kepala tanda menerima arahan. Tegas kata-kata lelaki itu malam ini. Tidak ramah seperti pertembungan mereka petang tadi. Terasa janggal sedikit perbualan mereka.
"Baik, bang." Nana menurut.
"Abang keluar dulu." Pamit Haq, kemudian meneruskan langkah keluar daripada rumah itu. Siap menutup pintu dari luar, sekadar tidak mahu mengganggu privasi mereka.
Setelah figura Haq menghilang dari pandangan, Nana menghembuskan nafas lega. Fuh! Hampir luruh sekejap jantungnya tadi.
"Garang jugak jiran aku ni. Sedang dalam mood bekerja kut?" Nana menggumam sendirian. Sekilas dia menoleh ke belakang, memandang ke arah bilik Sufi yang tertutup rapat. Tiada sebarang bunyi kedengaran. Senyap. Mungkin kakaknya sudah melelapkan mata. Malahan wanita itu tampak benar-benar lemah tadi.
"Haih, apalah yang jadi dekat kau ni kak?" Soal Nana. Kemudian mengeluh lagi. Tidak mahu mengganggu masa rehat wanita itu, lantas Nana kembali masuk ke dalam biliknya semula. Sambung mengulang kaji subjek sejarah yang ditunda sebelumnya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro