Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

7

SATU bilik air, dua bilik tidur, ada ruang dapur kecil dan ruang tamu yang tidak terlalu luas. Sesuai sangat untuk orang bujang sepertinya menetap. Saat kakinya menginjak lantai, tapak kakinya yang putih langsung bertukar hitam. Jelas sekali tempat ini sudah lama tidak dibersihkan. Bahkan langsir putih yang dibiarkan terlerai itu juga tampak kelabu akibat habuk.

Haq masih memeriksa keseluruhan bilik, sekadar ingin memuaskan hati sendiri dengan harga yang ditawarkan pemilik rumah tersebut. Rm584 ringgit sebulan, dengan kawasan pangsapuri yang baginya cukup tenang. Kejiranan disini tampak seperti buat hal masing-masing.

Malah rumahnya berada ditingkat 14, tak ramai sangat penghuni di tingkat ini. Banyak lagi rumah kosong. Penghuni rumah paling dekat pun, jiran disebelah kanannya.

"Jadi macam mana dik? Berminat ke dengan rumah ni?" Soal lelaki tua itu, pandangannya beralih ke arah Haq yang kini berdiri di tepi tingkap. Kain langsir diselak sedikit, kepalanya seakan menjenguk ke bawah. Melihat manusia yang tampak kecil dari atas sini.

Tidak ramai manusia menginap di sini. Bibir Haq menyenget sedikit sebelum kain langsir ditutup semula.

"Tak ramai orang. Tenang. Memang tempat ni yang saya cari." Komen Haq setelah lama dia membisu. Tubuh dipusing menghadap orang tua yang masih utuh berdiri di belakangnya.

Bukan main tersengih lagi tuan rumah itu apabila mendengar komen dari Haq. Setelah sekian lama rumah sewa ini tidak berpenghuni akhirnya ada juga yang sudi menyewa.

Suatu ketika dahulu pernah terjadinya kes pembunuhan di tingkat 14. Dengar khabar rumah hujung sebelah kanan sana dirompak oleh sekumpulan lelaki bersenjata. Pemilik rumahnya telah mati akibat tertikam pisau. Sejak daripada insiden itu, ramai yang penghuni berpindah ke Block yang lain secara mendadak.

Termasuknya dia sekali, namun sayanglah jika rumah ini ditinggalkan kosong sahaja. Jadi dia membuat keputusan untuk menyewa rumah ini kepada pekerja buruh yang mahukan tempat tinggal buat sementara. Lagi pula pangsapuri ini adalah kawan strategik. Dekat dengan kawasan pekerjaan.

"Okay, kalau macam tu dikira setujulah kan? Kejap lagi pak cik bawakan surat untuk adik tanda tangan dekat situ. Kalau jadi apa-apa dekat rumah ni, senang sikit saya nak claim apa-apa." Katanya.

Haq cuma mengangguk dengan riak kosong. Tiada masalah soal itu. Asalkan dia dapat tempat tinggal yang sangat sesuai dengan bayangannya.

"Boleh. Saya setuju sahaja apa pun syaratnya. Cuma... pintu tu memang kena pakai finger print ke kalau nak buka?" Haq menunjuk ke arah tombol pintu yang dilengkapi pengimbas cap jari dan butang nombor dibawahnya. Semasa hendak masuk ke dalam rumah tadi, dia sempat melihat orang tua itu melekapkan ibu jari ke situ sebelum ia terbuka secara automatik.

Sekilas orang tua itu berpaling ke arah yang ditunjuk. Kemudian kepalanya mengangguk mengiyakan. Benar.

"Haah. Almaklumlah, dulu dekat sini ada kes pencuri pecah masuk. Jadi kebanyakan penduduk dekat sini tukar tombol pintu kepada yang lebih selamat. Kalau adik rasa nak tukar password, nanti pak cik ajarkan caranya." Ujar tuan rumah itu.

Haq tidak berkata apa-apa. Malahan kakinya berjalan ke arah meja makan yang terletak di sebelah ruang tamu sambil kedua belah tangan menyeluk ke dalam poket seluar jeans. Gaya bersahaja.

Sesekali meja kaca itu dicelek sedikit dengan hujung jari telunjuknya. Hitam. Nampak gaya banyak kerja pembersihan yang perlu dilakukan selepas ini.

"Err... sebelum tu, Adik nak duduk sini berapa lama ya? Pak cik bukannya apa, kalau boleh pak cik nak ambil yang duduk lebih dari 3 bulan sahaja." Sampuk orang tua itu. Nada suaranya kedengaran sedikit gusar.

Namun Haq tidak menoleh. Cuma mulutnya sahaja yang terbuka berbicara. Pasu bunga antik yang terletak ditengah meja dicapai dan dibelek-belek. Entah apa yang menarik. Bunga mawar pun sudah luruh kelopaknya.

"Pak cik jangan risau. Saya nak duduk sini lama." Balasnya senada. Puas menilik pasu bunga itu, dia meletak semula ke tempat asal.

"Lama tu berapa lama?" Soal orang tua itu lagi. Masih tidak puas hati dengan jawapan yang lelaki muda itu berikan. Dia cuma mahukan kepastian.

"Sampai saya dapat apa yang saya nak." Jawab Haq sebelum dia memusing tubuh menghadap tuan rumah itu. Senyuman terukir di wajahnya, lembut dan tenang, namun ada sesuatu yang tidak dapat dijelaskan di dalamnya.

Diam. Entah mengapa tiba-tiba mulut orang tua itu terasa seperti dikunci. Hendak mahu tanya soalan lebih-lebih, takut dikatakan jaga tepi kain orang pula.

"Ada soalan lagi?" Soal Haq, keningnya jongket sebelah. Seakan mengejek pun ada juga.

Terkulat-kulat orang tua itu menggeleng kepala dengan tersengih kekok.

"Tak... Takda. Kalau macam itu, pak cik ambilkan kamu surat perjanjian ya?" Pamitnya sebentar. Baru sahaja kakinya ingin melangkah mencapai beberapa kertas A4 yang berada di atas meja, suara Haq terlebih dahulu mencelah.

"Boleh tak kalau saya nak masukkan barang saya dalam rumah ni sekarang?" Pinta Haq.

Tuan rumah itu menoleh ke belakang.

"Tak ada masalah. Banyak ke? Kalau banyak, pak cik boleh tolong angkatkan sekali." Pelawanya, namun Haq menolak dengan gelengan.

"Tak mengapa, sikit aje barangnya. Saya turun sekejap ya?" Pamit Haq usai mendapat keizinan, dia langsung menapak keluar daripada rumah. Menyarungkan kasut ke kedua belah kakinya sebelum berlalu menuju ke arah lift yang berada di sebelah kiri.

Telefon canggih dikeluarkan dari kocek seluarnya. Melihat beberapa pesanan yang baru masuk. Salah satunya peringatan mesyuarat esok pagi di ibu pejabat polis. Sudah pastinya kes baru tentang Unknown.

Sesaat Haq mengangkat kepala, matanya membeliak agak luas.
Tanpa sebarang amaran, bahunya bersentuhan dengan bahu seseorang yang sedang berjalan di berlawanan arah. Tiba-tiba, waktu seperti terhenti.

Haq terkesima. Telefonnya masih erat dalam genggamannya. Akan tetapi mangsa yang dilanggar tadi agak teruk, tudung putih yang berlancana sekolah itu habis comot dek kerana tumpahan sos keropok lekor yang dibawa sekali.

Gadis itu ternganga luas serupa terkejut. Ada riak pucat terpapar jelas diwajahnya. Seakan-akan sudah terbayang nasib malang yang bakal menimpanya sekejap lagi.

"Matilah aku! Sudahlah ini tudung baru. Habislah kena membebel dengan kakak lagi, aduh..." gadis itu mengomel sendirian. Adakala kesan sos cili yang melekat pada tudung itu digosok-gosok, kononnya akan memudarkan sedikit warna merah pekat itu. Malangnya, ia semakin comot.

Parah!

"Sorry. Abang tak nampak adik lalu tadi. Tunggu abang ambil duit dekat bawah sekejap ganti harga tudung tu, boleh?"

Gadis itu mengetap bibir. Ewah, ewah... mudah sungguh bicara lelaki itu? Kalau ganti dengan duit sekalipun, kakaknya bukan sejenis mahu dengarkan alasan. Wanita itu tetap sahaja akan membebel terlebih dahulu akibatnya.

Rasa marah meluap-luap ingin keluar. Andai lelaki itu berjalan dengan sepasang mata melihat ke depan, pasti pelanggaran ini tidak akan berlaku. Langsung gadis itu melangutkan kepala menatap lelaki berjaket kulit coklat itu.

Pandangan penuh tajam dilemparkan. Namun cuma sesaat sebelum pandangan itu berubah secara drastik. Rupa paras yang kacak itu seolah-olah menyejukkan api amarah yang membakar hatinya tadi.

Alamak, mamat mana handsome sangat ni? Tak pernah lihat pula sebelum ini.

"Eh, sikit aje ni. Gosok dengan sabun hilanglah. Tak payah ganti pun tak apa." Ujarnya, siap melemparkan sengihan. Tak peduli riak wajah Haq yang seakan terkejut mendengar jawapannya.

"Serius ni?"

Dengan laju gadis remaja itu mengangguk kepala mengiyakannya.
Sekilas anak mata gadis itu melirik ke arah rumah sewa yang berada di sebelah kanan. Selama menetap disini, baru hari ini dia lihat pintu itu terbuka.
Pasti sudah ada penyewanya.

Kemudian anak matanya kembali memandang lelaki yang baginya asing dari kawasan ini. Tidak lain tidak bukan, pasti dia penyewa baru.

"Abang tinggal di rumah tu ke?" Terpacul soalan itu dibibirnya.

Haq menoleh sekilas ke belakang sebelum mengangguk kepala.

"Haah. Baru sewa beberapa minit tadi."Jawabnya.

Automatik gadis itu tersenyum menyeringai. Sudah agak! Akhirnya, setelah sekian lama ada juga jiran di sebelah rumah. Kebetulan pula, rumahnya cuma di sebelah kiri milik lelaki itu. Nampak gaya mereka ada peluang untuk bertembung setiap hari selepas ini.

"Bagus sangatlah! Kebetulan kita berjiran. Rumah saya sebelah abang aje. Yang tu!" Ujarnya biar pun lelaki itu tidak bertanya apa-apa. Siap menunding jari menunjuk ke arah rumah yang berada di sebelah kiri itu.

Haq buat-buat muka tak sangka.

"Oh, ya ke?" Klise sekali responnya. Entah apa yang perlu dikatakan. Dia bukanlah seorang yang peramah sangat. Lebih kepada introvert. Suka bersendirian dan tidak bercakap.

Kemudian laju kepala gadis itu mengangguk.

"Haah, apa-apa pun... nama saya Nana! Tapi sebenarnya Nadirah cuma saya lebih suka orang panggil saya Nana. Lagi comel bunyinya." Kata gadis itu sekali lagi, cuma kali ini disertakan dengan pengenalan diri.

"Nana..." Ulang Haq sambil kepalanya mengangguk dengan muka kekok. Rasanya tak tanya pun nama siapa. Tetapi tak mengapalah, sudah nama pun jiran. Haruslah saling bertegur sapa.

"Nama abang pula?" Soal Nana, setelah melihat lelaki itu cuma diam. Tampak seperti dia seorang sahaja yang beria ingin berkenalan.

Sesaat bibir Haq menyengih. Lupa pula gilirannya untuk perkenalkan diri.

"Haq. Tapi Nana boleh panggil abang, abang aje." Katanya begitu bersahaja.

"Baik, bang. Err... kenapa abang tiba-tiba pindah ke sini? Ada urusan kerja ke? Sebelum ni abang duduk dekat mana?" Makin lama makin banyak pula soalan yang keluar. Entah daripada mana muncul semua soalan itu. Tetapi jauh di dalam sudut hatinya benar-benar ingin tahu latar belakang jiran baru ini. Almaklumlah, sebelum ini tak pernah dapat jiran.

Package dapat jiran kacak pulak tu! Lagilah Nana terlebih ramah.

Tanpa dia sedari, soalannya cuma membuatkan lelaki itu merasakan tidak selesa. Malah anak mata Haq tampak melilau memandang sekeliling. Seakan-akan tidak senang duduk dengan setiap ajukan soalan dari gadis itu.

Sesekali anak mata Haq jatuh ke jam tangan yang mengelilingi pergelangan kirinya. Konon-konon sedang mengejar waktu.

"Sebenarnya abang nak kena turun ke bawah ambil barang. Mungkin kita boleh bersembang lain kali?" Ujar Haq, semerta mengubah topik. Pergerakannya seolah-olah kelam-kabut hendak turun ke tingkat bawah. Harapnya Nana faham yang dia perlu pergi dengan segera.

"Oh ya ke? Maaf ganggu abang. Harap-harap boleh bersembang dengan abang lagi." Ucap Nana, terpapar rasa bersalah pada riak wajahnya. Tidak sedar pula bahawa dia telah mencuri waktu lelaki itu.

Haq cuma melemparkan senyuman kecil.

"Next time kita berbual lagi ya? Abang minta diri dulu." Pamit Haq, tanpa menunggu bicara daripada gadis itu, dia langsung menyambung langkah yang tergendala menuju ke lift. Sempat Haq mengangkat sebelah tangan kanan tanda sapaan daripadanya sebelum pintu itu tertutup secara automatik.

Tatkala Nana juga membuat tindakan yang sama. Cuma lambat sesaat sebelum pintu itu tertutup rapat. Entah lelaki itu sempat lihat atau tidak.

"Haishh, dah boleh masuk top crush aku ni..."












HAMPIR semula pejabat sudah gelap, hanya dihiasi cahaya samar dari skrin komputer yang masih menyala, memancarkan cahaya biru yang suram. Jam di dinding menunjukkan lewat malam, namun Sufi masih duduk di meja, mata yang letih menatap skrin bercahaya yang sedang memaparkan artikel yang ditulis.

Dengan tajuk besarnya 'ADAKAH UNKNOWN KEMBALI SEMULA?'. Segala maklumat yang dirakam hasil temu ramah Sofia petang tadi ditulis semula. Tangannya bergerak perlahan, menaip pada papan kekunci. Sekejap kepala Sufi tunduk melihat helaian kertas yang terconteng tulisannya kemudian kembali menghadap komputer.

Suasana yang sunyi seolah-olah membungkusnya dalam kesunyian yang mendalam, hanya kedengaran bunyi ketukan papan kekunci yang hampir hilang di dalam kegelapan. Semua lampu telah dimatikan, namun dia tetap bertahan, terperangkap dalam tanggungjawab yang menuntutnya untuk terus bekerja, walaupun malam semakin menjerut.

"Banyak kerja ke sayang..."Suara itu datang dari belakang, cukup dekat dengan cuping telinga untuk membuat Sufi terkejut. Jantungnya berdegup kencang, dan tubuhnya melompat sedikit dari tempat duduk. Sufi berpaling, wajahnya tersentak, hanya untuk melihat Tuah yang berdiri di sisi dengan senyuman kecil. Dalam kegelapan itu, suara itu seperti halilintar yang merobek kesunyian, membawa rasa terkejut yang sukar ditafsirkan.

Sufi ketap bibir. Geram pula apabila melihat muka Tuah yang tidak rasa bersalah langsung.

"Ish, kau ni kan!"

PAP!

"Auchhh!" Tanpa semena-mena lengan kanan Tuah ditampar kuat. Terhinjut bahunya buat sesaat sebelum tangan kirinya naik menggosok-gosok rasa panas di lengan akibat tamparan itu.

Rasakan! Suka sangat buat dia terkejut.

"Kau ni sekali tak buat aku terkejut tak boleh ke? Nasib baik aku baru umur 29 tahun tahu? Kalau dah 50 rasanya dah mati sebab sakit jantung dengan kau!" Bebel Sufi, geram.

Namun Tuah tayang muka selamba. Tangannya berhenti menggosok lengan.

"Eleh, aku bukan sengaja nak kejutkan kau pun. Kau tu aje yang fokus sangat buat kerja sampai tak sedar ada orang lagi dekat sini."

Sufi menjeling. Dah kalau tiba-tiba dalam gelap ada suara lain menyapa mana tidaknya dia tak terkejut? Garau pulak tu! Ingatkan semua orang dah balik. Tak sangka si senget ni masih belum pulang. Padahal kerja dia dah habis awal rasanya.

"Yang kau ada dekat sini lagi buat apa? Kerja kau bukan dah siap ke?" Soal Sufi, nada suaranya masih sama. Geram betul dengan si Tuah itu.

"Aku nak teman kaulah, bongok. Dahlah sorang-sorang dekat sini. Bukannya nak ucap terima kasih ke apa."

"Aku tak minta kau teman aku pun. Aku bukannya penakut sangat. Pergilah balik. Kerja aku pun dah nak siap."

"Oh, ya ek? Kau nak balik naik apa? Bukan ke haritu kau cakap kereta kau masuk bengkel ke?" Tegur Tuah.

Sufi mengeluh sesaat. Buat-buat bengap pula si Tuah ni. Macamlah lelaki itu tidak tahu yang dia balik menggunakan bas sejak beberapa hari ini.

"Naik baslah. Takkan nak tumpang kau pula?" Balas Sufi acuh tak acuh, kerusi ditarik mendekat kembali kemudian melabuh punggung di situ.

Bibir Tuah menyenget sinis. "Kenapa? Kau teringin nak naik motor dengan aku ke?"

Sufi buat-buat muka geli. "Gila ke apa? Kau tu dahlah naik Ducati, memang tidaklah aku nak tumpang. Seat bukan main tinggi. Nak kena sandar dekat kau, ergh... geli!"

Tuah ketawa.

"Kalau kau dah geli. Aku lagi geli. Jangan harap aku nak ajak kau tumpang." Ejeknya.

Sufi ketap bibir. Mamat senget ni memang sengaja hendak mengacau dia buat kerja. Terus jelingan tajam dilemparkan ke arah Tuah yang masih tersenyum mengejek.

"Kau pergi balik boleh tak? Jangan ganggu aku." Tekan Sufi, serius. Dia mahu fokus. Kalau Tuah terus berada di sini, automatik hilang fokusnya.

Bibir Tuah mencebik dengan muka kosong.

"Yalah, pendek. Aku balik dulu." Katanya sebelum mencapai helmet AGV Full Face berwarna hitam yang berada di atas meja. Namun sebelum kakinya melangkah pergi, sempat lagi dia tunduk berbisik ke telinga Sufi.

"Jaga-jaga, takut ada yang teman kau dekat sebelah..."

"Kau ni karang..." Terus Sufi capai pasu bunga kaktus yang berada tidak jauh darinya ingin di hempuk ke kepala lelaki itu. Akan tetapi, belum sempat Sufi memusingkan badan, si Tuah terlebih dahulu memecut keluar daripada ruang pejabat dengan gelak tawa besar.

"Ish, nasib baik kau dah lari tau! Kalau tak melekat duri kaktus ni dekat kepala kau! Dasar senget!" Ejek Sufi, geram. Pasu kaktus itu dihentak kuat ke atas meja dengan amarah.

Sufi pejam mata buat sesaat. Sabar. Dia perlu sabar. Tarik nafas lalu dihembus dengan perlahan. Diulang-ulang tindakan yang sama sehingga dirinya merasa tenang kembali.

Kemudian barulah Sufi duduk ke kerusinya. Menolak dirinya dekat ke meja dan sambung menaip semula. Dia cuba untuk fokus kepada skrin komputer. Namun entah mengapa, terasa seperti ada mata yang sedang menjadi CCTV daripada jauh. Buatkan Sufi rasa sedikit gelisah.

Haish!

Ini semua salah Tuah. Pergi cakap yang bukan-bukan. Habis buat kepalanya terngiang-ngiang benda yang tidak sepatutnya.

Sufi geleng kepala.

Semua itu cuma mainan perasaan. Abaikan.

Ring! Ring!

"Huh?!" Sufi terkejut besar. Terus melarikan anak matanya ke arah tulisan unknown yang terpampang di skrin. Deringan itu seakan-akan memanggil, menimbulkan rasa resah yang menjalar perlahan di dalam hati.

Siapa pula yang hubunginya malam-malam begini?

Dengan hati yang berdebar, Sufi mencapai telefon itu. Getaran masih terasa. Lama juga Sufi memikirkan sama ada patut dijawab atau abaikan sahaja, namun kerana bimbang itu adalah panggilan penting. Akhirnya Sufi mengangkat telefon itu.

"Hello? Siapa ni?" Suara Sufi sedikit teragak-agak, menunggu jawapan. Di hujung talian, hanya terdengar desah nafas perlahan. Sufi menunggu, namun tiada suara. Hanya senyap yang mengisi ruang udara.

Tiba-tiba seluruh bulu romanya mencanak naik.

"Excuse me?" Sufi cuba menyapa lagi. Tetap sahaja sama. Cuma kesunyian yang menyambut.

Sekejap Sufi tunduk melihat skrin telefon. Kiraan detik nombor masih bergerak, menandakan panggilan terus bersambung. Akan tetapi pelik juga mengapa tiada suara yang kedengaran.

"Kalau tak nak bercakap saya tutup panggilan..." hampir sahaja jari terlunjuk Sufi mahu menekan butang merah, namun secara tiba-tiba...

"Sufi."

Sufi tersentak. Suara dari corong telefon itu seakan-akan menggunakan alih suara yang dalam dan garau. Serupa suara hacker yang membuatkan si pemanggil tertanya-tanya siapakah yang bersuara di sana. Sungguh, jantung Sufi berdegup dengan laju saat ini.

Bahkan hati turut tertanya-tanya siapakah orangnya. Dengan nombor yang tidak dipaparkan dan cuma tulisan Unknown, buatkan Sufi rasa takut.

"Siapa ni? Macam mana tahu nama saya?" Soal Sufi dalam resah.

"Saya peminat awak, Sufi. Semua tentang awak saya tahu. Bahkan apa yang awak sedang buat sekarang pun saya tahu. Ejaan awak Unknow pada perenggan ke dua, barisan ke tiga tu salah. Sepatutnya UNKNOWN."

Sebaik sahaja suara itu menegur, dengan pantas anak mata Sufi memandang ke skrin. Perenggan ke dua, barisan nombor tiga. Kelopak mata Sufi yang kecil akibat letih semerta meluas besar. Memang benar. Ada sedikit kesalahan ejaan pada perkataan Unknown.

Apa semua ni?

Bagaimana dia tahu?

"Gila!" Terus Sufi mematikan panggilan sebelum telefon itu dicampak menjauh darinya. Dada Sufi berombak turun dan naik tika ini. Sungguh, dia terkejut.

Malah, seluruh ruang pejabat ini terasa seperti tidak selamat untuk dia terus kekal di sini. Lebih baik dia pulang sekarang. Lantas, Sufi bangkit dari kerusi. Skrin komputer dimatikan. Kemudian telefon yang dibaling tadi turut dicapai semula lalu disumbat masuk je dalam beg sandang miliknya.

Setelah selesai, Sufi menutup suis lampu di mejanya. Baru sahaja pusing ke belakang, tiba-tiba muncul figura lelaki yang buatkan Sufi terjerit kecil.

"Astaghfirullah hal azim!" Bibir Sufi terus beristighfar tatkala menyedari Akim yang tercegat di belakangnya dengan pandangan kosong. Laju tangan kanan Sufi naik ke dada. Merasakan debaran yang belum cukup baik, kini bertambah lagi kerana kewujudan Akim secara tiba-tiba.

"Akim! Awak buat saya terkejut! Kenapa awak masih ada dekat sini?!" Soal Sufi, nada suaranya agak sedikit keras.

Malah Akim masih lagi boleh tersenyum sambil menolak kaca matanya sedikit ke atas.

"Maaf sebab buat awak terkejut, Sufi. Saya cuma nak ajak awak balik sama-sama dengan saya. Hari ni saya naik kereta."

Sufi mengeluh sebentar. Cuba untuk menenangkan diri sebelum kembali bersuara.

"Tak apa, Akim. Buat susah awak aje. Saya nak balik naik bas. Lagipun saya tak selesa naik berdua-duan dengan lelaki." Ujar Sufi, menolak pelawaan lelaki itu dengan lembut. Namun, ada riak kecewa terpapar pada laman wajah Akim. Bersalah Sufi rasakan sekarang.

Tapi apa yang boleh dia lakukan? Sememangnya dia tidak selesa untuk naik kereta berdua dengan Akim. Waktu malam pulak tu!

"Sorry ya Akim. Saya balik dulu." Pamit Sufi.

"Sekejap, Sufi." Laju tangan Akim menyambar lengan kiri Sufi. Semerta menghentikan langkah Sufi daripada pergi.

Sufi tersentak.

"Apa ni, Kim? Lepaslah. Saya nak balik!"

"Tuah dah tak ada. Takkan awak masih nak mengelak dari saya?" Soal Akim.

Kening Sufi berkerut. Apa yang lelaki ini sedang merepek?

Jiwa Sufi bertambah resah. Sesekali tangannya cuba menepis. Akan tetapi genggaman lelaki itu semakin lama semakin kuat mencengkam kulitnya serupa tidak mahu lepas. Sakit.

"Awak merepek apa ni? Saya memang nak balik sorang-sorang, tak ada kena mengena dengan Tuah lah! Lepas!"

"Awak tipu. Awak memang ada hati dengan Tuah. Awak nak jaga perasaan dia sebab itu awak tolak permintaan saya, kan? Tolonglah, kali ini sahaja Sufi. Bagi saya peluang untuk dekat dengan awak..."

"Saya tak naklah! Awak ni tak faham bahasa ke?! Lepaskan lengan saya!"

"Sufi..."

"Lepaslah!" Sufi cuba melawan.

"Kali ni sahaja, Sufi. Tolonglah..."

"Lepaslah, bongok!"

PAP!

Tanpa sedar, tangan kanannya bergerak pantas, menampar muka lelaki itu dengan bunyi yang nyaring. Kejutan itu datang begitu tiba-tiba, seolah-olah emosi yang terkumpul sebelum ini meluap begitu sahaja. Sufi terpaku, matanya terbeliak, seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dilakukannya.

Bahkan Akim juga terkedu, wajahnya tetap sama. Kosong. Entah marah atau sebaliknya, tetapi hanya diam. Hening seketika, udara di sekeliling seolah-olah berhenti bergerak.

"Ma... Maafkan saya," akhirnya Sufi bersuara, suaranya bergetar, wajahnya merah padam, namun ada rasa kesal yang mendalam di dalam hati. Tanpa menunggu lama, Sufi terus berlari ke arah pintu kecemasan. Sekali pun tidak menoleh ke belakang.

Namun hatinya kuat merasakan ada susuk tubuh yang mengekor dari belakang. Laju sekali. Seolah-olah sedang mengejar langkahnya yang kelam-kabut menginjak tangga menuju ke tingkat bawah.

Ya Allah, kenapa malam ini terlalu seram baginya?

Kelam-kabut Sufi menuruni setiap tangga dengan perasaan takut. Baru sekarang timbul rasa menyesal kerana menghalau Tuah balik dahulu sebentar tadi. Sepatutnya dia terima sahaja pelawaan Tuah untuk menemaninya di sini.

Namun sekarang Sufi benar-benar rasa tidak selamat. Jauh lagi untuk dia sampai ke tingkat bawah. Mungkin sementara itu dia patut menghubungi Tuah untuk datang ke sini.

Dengan kelam-kabut Sufi mengeluarkan telefon daripada beg sandangnya. Nombor Tuah yang berada paling atas ditekan. Tak fikir banyak langsung ditekan.

"Jawablah, Tuah! Tolonglah!" Rasa hendak nangis pun ada apabila menunggu panggilan yang tak terangkat. Ada kemungkinan lelaki itu masih berada di atas motor. Sukar untuk mengangkat panggilannya tika ini.

Akan tetapi Sufi tidak putus asa. Dia cuba menghubungi sekali lagi.

"Tuah... HUH?!" Sufi terkejut. Telefon yang dipegang terus terpelanting entah ke mana saat tubuhnya terasa ditolak rapat ke dinding dengan kuat. Terhantuk kepalanya ke belakang. Berdenyut buat seketika.

"Kenapa Sufi? Kenapa awak nak jual mahal sangat dengan saya?! Saya cuma nak rapat dengan awak sahaja, kenapa awak ni sombong huh?!" Tengking Akim, kedua belah tangan Sufi ditekan rapat ke dinding. Sakit yang melampau. Berjurai air mata Sufi dek kerana terlalu takut.

"Kau ni dah gila ke apa? Aku tak nak kenal dengan kaulah! Lepas!"

"Oh, awak masih lagi nak sombong dengan saya? Awak lupa ke yang awak cuma ada saya sahaja dekat sini? Saya boleh buat lebih teruk dari ini kalau awak nak kenal saya betul-betul..."

Sufi ketap bibir. Tercabar amarahnya apabila lelaki itu sudah berani bermain dengan maruah wanita.

"Siallah jantan macam kau ni, ergh!" Tanpa berfikir panjang, terus Sufi menghayunkan lututnya ke celah kangkang lelaki itu dengan sepenuh kudratnya. Semerta cengkaman dilepaskan, tertunduk lelaki itu menahan senak.

"Awak dah melampau Sufi..." Suara Akim kedengaran terkacip-kacip menahan geram.

Gerun Sufi dibuatnya. Tidak pedulikan telefon yang terpelanting tadi, terus Sufi berlari sepantas yang mungkin. Namun semakin lama perutnya terasa semakin mencucuk kerana lariannya yang terlalu laju. Dia sudah tidak larat.

Barangkali sakit lelaki itu mungkin sudah berkurangan. Boleh jadi Akim kembali mengejarnya. Lantas Sufi memutuskan untuk berlari ke arah bilik stor yang berada tidak jauh darinya. Nasibnya baik kerana ia tidak dikunci. Masuk sahaja ke dalam bilik itu, Sufi langsung tutup dan mengunci pintu dari dalam.

Biliknya gelap dan terlalu sempit dengan dihimpit kotak-kotak kosong. Panasnya usah cakaplah. Baru beberapa saat Sufi berada di dalam sudah berpeluh serupa berada di sauna.

"Ya Allah, tolonglah aku..."

GEDEGANG!

Pantas tangan Sufi naik menekup mulut saat pintu bilik stor itu tiba-tiba sahaja dihentak sesuatu yang agak kuat. Bergegar. Sufi berundur beberapa langkah ke belakang. Cuba untuk tidak menjerit. Matanya membeliak luas. Bunyi apa itu? Tidak rasa seperti pintunya ditendang.

GANG!

Sekali lagi pintu itu seperti dilanggar sesuatu. Diturut serta dengan bunyi yang agak aneh di luar sana. Seakan-akan ada suara yang hendak dilontarkan tetapi tidak mampu. Hanya mampu menggumam dengan resah.

Shhk!

Shhk!

Shhk!

Bunyi pergerakan yang begitu laju dan seakan tajam menembusi sesuatu objek berkali-kali. Tak terkira jari Sufi mendengar daripada dalam. Mahu sahaja Sufi keluar dan menjenguk apa yang terjadi. Akan tetapi dia terlalu takut.

Namun, secara tiba-tiba suasana diluar sana bertukar senyap. Bunyi aneh itu hilang sekelip mata.

Kerutan di dahi Sufi menandakan seribu persoalan. Hati dan kepalanya tidak seiringan. Satu mengarahkan dia untuk keluar manakala satu lagi menyuruh dia untuk kekal menyorok di dalam demi keselamatan.

Namun hati ini tetap curiga dengan apa yang sedang berlaku. Bahkan otaknya tidak mampu memproses apa-apa. Tiada bunyi desahan nafas, tiada pergerakan kaki, semuanya seakan sunyi dan cuma dia sahaja yang ada di sini.

Pelik.

Terketar-ketar tangan Sufi menyentuh tombol pintu sebelum dipulas perlahan-lahan. Pintu ditarik dengan penuh debaran di dada. Dan ketika pintunya terbuka luas, anak mata Sufi jatuh ke arah sesuatu objek yang berada di lantai.

"A...Allahuakbar..." Tak terkeluar suara pada kerongkong Sufi tika ini. Bahkan kedua-dua belah lututnya terasa lemah untuk berdiri. Kepalanya rasa berpinar tatkala melihat cecair pekat merah yang terpercik ke merata-rata tempat. Mual. Rasa hendak memuntahkan segala isi perut yang ada.

Langsung tubuh Sufi jatuh terduduk ke lantai. Anak matanya masih melekat pada sekujur tubuh yang kaku tak bergerak bersandar di dinding, dengan mata yang terbeliak seakan terkejut. Baju berlubang-lubang akibat tikaman tajam beberapa kali. Dan yang membuatkan Sufi kehilangan suara, tatkala anak matanya naik melihat ke dinding yang diconteng dengan tulisan merah.

Cuma empat huruf yang dilakar dengan besar. Iaitu S-U-F-I. SUFI. Dan dia tahu itu bukanlah pewarna cat, akan tetapi darah...

"A... Akim..."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro