Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

6

                    "PANAS betullah hari ni, ergh! Rimas!" Dengus Sofia dengan nada geram sambil tangan tak berhenti mengipas leher sendiri yang berpeluh akibat cuaca panas di luar tadi. Dengan langkah tidak puas hati dia menuju ke sudut dapur kecil yang tersedia di sebelah kanan. Tiba-tiba pula tekak terasa dahaga.

Hendak harapkan si Tuah berhenti sekejap singgah ke Cafe jangan haraplah. Lelaki itu cuma buat pekak sahaja sepanjang perjalanan tadi. Ish, geram betul!

Sesaat langkah Sofia terhenti di tengah ruang dapur, agak terkejut apabila menyedari ada orang lain juga di situ. Nampak gaya bukan dia seorang sahaja yang sedang dahaga sekarang, Akim pun sama.

Sofia menayang senyuman kecil sebelum menapak mendekati Akim yang sedang mengacau air.

"Hai, Akim. Boleh tolong bancuhkan untuk I sekali tak? I hauslah..." Pinta Sofia dengan nama manjanya. Malas betul nak bancuh sendiri. Alang-alang si Akim sedang membuat air, buatlah untuk dia sekali.

Perlahan kepala Akim mengangguk. Cermin mata petaknya yang hampir melurut ke bawah ditolak naik ke atas semula sebelum tangan kananya mencapai sepaket kopi di dalam balang.

"Boleh." Jawabnya, perlahan sahaja. Namun cukup sampai ke telinga Sofia.

Makin melebar senyuman dibibir Sofia saat lelaki itu sudi membancuh air untuknya. Seketika nafas ditarik dalam-dalam sebelum dihembus, Sofia pusing ke belakang lalu menyandarkan pinggangnya ke kabinet sambil kedua belah tangannya kemas memeluk tubuh.

"Thank you, Akim. You ajelah yang paling baik dekat sini. Tak macam si Tuah tu. Poyo! I hampir-hampir aje nak dapatkan maklumat paling penting dekat polis tadi tapi mamat tu pula buat hal. Bateri habislah, itulah inilah! Serabut I tahu tak?!" Luah Sofia. Otaknya rasa nak pecah apabila dia cuba tahan perasaan daripada tadi.

Entahlah kepada siapa lagi dia mahu meluah. Akim sahaja yang ada paling dekat sekarang. Staff yang lain pula sedang fokus buat kerja. Jangan mimpilah mereka mahu melayan gosipnya sekarang.

Bibir Akim cuma menyenget sedikit.

"Biasalah tu. Diakan kejar masa." Komen Akim. Air panas di dalam cawan itu dikacau perlahan-lahan supaya larutan kopinya sebati.

Hendak terbelahak Sofia mendengar pendapat lelaki itu. Siap menjuih bibir lagi dengan mimik muka mengejek.

"Kejar masa?" Sofia geleng kepala.

"Dia tu bukannya kejar masa. Tapi dia kejar Sufi! I tak fahamlah dengan dia tu. Sehari kalau tak fikir pasal Sufi tak boleh ke? Asyik Sufi, Sufi, Sufi je yang ada dalam kepala otak dia! Padahal diaorang kawan aje bukannya ada status lain. Muka dah elok handsome, tetapi perangai pula... ergh! Macam manalah Sufi boleh berkawan dengan dia tu?!" Bebel Sofia geram.

Rasa nak hempuk sahaja muka lelaki itu jika benar-benar berada di hadapannya sekarang. Geram semasa di tempat kejadian tadi masih belum surut. Namun, perhatian Sofia teralih saat mendengar tawa kecil yang keluar dari bibir Akim.

"Kenapa you gelak?" Soal Sofia agak tidak puas hati. Fikir dia sedang main-mainkah sekarang? Lagipun tiada apa yang lucu pun pada ceritanya tadi.

"Takdalah... nampak jelas sangat yang awak tak puas hati dengan Sufi tu. Sebab tu saya ketawa." Balas Akim.

Sedangkan Sofia berdecik kecil sambil anak mata dijulingkan ke atas.

"I bukannya tak puas hati dengan dia. I cuma geram dengan Tuah yang tak habis-habis nak berkepit dengan Sufi." Ujar Sofia, cuba menafikan kata-kata Akim sebentar tadi.

Malahan bibir Akim menyenget sinis.

"Kalau saya jadi Tuah pun, kalau boleh saya nak ada dengan dia setiap saat." Kata Akim.

Terlopong mulut Sofia mendengarkan jawapan lelaki itu. Tubuhnya yang tadi elok bersandar pada kabinet terus menegak kembali. Kemudian bahu kanan Akim ditolak agak kasar, cukup membuatkan tubuh lelaki itu terpusing sedikit menghadap dia di sisi.

"You cakap apa?" Soal Sofia tidak puas hati. Tiba-tiba telinga rasa berdesing tika ini.

Akan tetapi boleh pula Akim tersenyum kosong.  Langsung tidak takut untuk bersuara. Bahkan anak matanya juga naik membalas renungan mata Sofia yang jelas menampakkan kebencian.

"Saya cuma cakap apa yang saya rasa. Sufi tu baik. Dia mungkin tak ada rupa, tapi siapa aje yang kenal hati budi dia mesti akan jatuh cinta." Ujar Akim.

Terjuih bibir Sofia mendengar. Matanya mengecil dengan tajam.

"Hei, tak payah nak jadi pakar cinta sangatlah. You tu budak skema je lebih! Sufi pun belum tentu pandang you!" Ejek Sofia, kononnya dia bakal menang kali ini. Akan tetapi Akim tidak memilih untuk terus diam. Malah berkata...

"Kenapa? Awak iri hati ke bila dapat tahu ada juga yang minat dekat Sufi? Yalah, sebab yang minat dia semuanya ikhlas.  Bukan minat kerana nafsu seperti mana lelaki-lelaki gatal dekat luar sana mengurat awak. Kan?"

Bibir Sofia mengetap geram. Makin panas hatinya melayan bicara lelaki itu. Dada mula berombak turun dan naik. Memang kurang ajar betul mulut si skema ni!

"Eh, you pergi dari sini! Sama semak aje macam Tuah!" Halau Sofia.

Akim cuma tersenyum sinis. Air kopi yang telah siap dibancuh dihulur kepada Sofia.

"Tadi awak minta air."

"Tak ingin aku nak minum air kau!" Cawan kopi itu terus dirampas secara kasar. Tanpa berfikir panjang, terus air kopi itu dicampak ke dalam singki dengan cawannya sekali. Geram sekali.

Kepala Akim sekadar terangguk-angguk.  Sedikit pun tidak terkesan dengan tindakan Sofia. Biarlah. Asalkan bukan dia yang membazir. Tanpa sebarang kata, Akim terus berlalu pergi daripada dapur. Meninggalkan Sofia yang masih dalam perasaan amarah.

Pap!

Sofia menghentak kabinet penuh tidak puas hati. Kenapa? Kenapa mereka berdua itu buta sangat sehingga boleh sukakan Sufi? Padahal dia lagi cantik, lagi menawan, lagi popular! Sedangkan Sufi itu langsung tidak layak untuk ada peminat apatah lagi crush.

"Sofia."

"APA?!" Tanpa semena-mena suara yang menegur itu dijerkah. Dengan pandangan penuh tajam dia mengerling ke arah wanita yang berdiri tercegat di belakang dengan memegang sejambak bunga mawar hitam. Berkelip-kelip mata wanita itu seakan terkesima.

Datang bulan ke apa minah tu?

Wanita itu geleng kepala buat sesaat. Abaikan sajalah. Dia datang ke sini pun kerana ingin berikan sesuatu.

"Tadi ada orang hantar bunga." Katanya sambil menghulur bouqet mawar hitam itu kepada Sofia.

Malahan Sofia tidak terus mengambilnya. Akan tetapi jelingan penuh meluat ditayang.  Asyik bunga, bunga dan bunga sahaja yang dia dapat setiap hari. Berilah duit ke, barangan mahal ke? Ada jugalah kegunaan untuknya. Jika tidak, destinasi bunga itu akan ke tong sampah juga. 

Malas hendak jaga. Harus siram air, tukar air dan macam-macam lagi. Terlalu remeh bagi Sofia.

"Bunga? Again? Mamat gatal mana pula yang hantar kali ni?" Soal Sofia, geram.

Sedangkan wanita itu menjongket kedua belah bahunya seolah-olah tidak tahu.

"Entah. Dia cuma letak depan pintu masuk. Tapi isi surat ni tulis nama you." Katanya.

Semerta riak wajah Sofia berubah pelik. Eh, tak pernah lagi peminatnya letak bunga di hadapan pintu sahaja. Kebiasaannya mereka akan serahkan bunga itu kepada staff disini untuk pastikan bunga itu sampai ke tangan yang tepat. Takkanlah hari ni dia ada peminat baru?

Peminat yang terlebih pemalu sehingga letakkan bunga di depan pintu sahaja. Langsung tak berani hendak bersemuka.

"Seriuslah? Dia letak macam itu aje?"

Wanita itu angguk kepala mengiyakannya.  Benar.

Sofia mengeluh malas. Lantas bunga yang dihulur itu terus dirampas. Anak matanya bergerak-gerak, seakan memberi isyarat menghalau wanita itu pergi.

Setelah memastikan cuma dia seorang sahaja berada di dapur kecil itu, kad yang terselit diantara bunga itu dikeluarkan. Manakala bunga mawar hitam itu ditaruh sebentar di atas kabinet. Perlahan bibir Sofia membaca ayat yang tertulis cantik pada atas kad itu.

"Aku tak nak tengok muka kau. Kembalikan job Sufi semula atau aku sendiri yang akan buat."

-Untuk Wartawan Sofia

Hendak terbelahak Sofia membaca. Mulutnya ternganga serupa tak percaya. Gila ke apa si penghantar bunga ini? Main ugut-ugut pula. Bukannya dia yang rampas tempat Sufi, tetapi Sufi sendiri yang tidak layak muncul di kaca TV.

Penghantar bunga ini mesti pendek akal. Fikir dia akan takutkah dengan ayat poyo seperti ini?

"Pergi matilah dengan Sufi kau!"  Maki Sofia.  Kad itu terus dikoyak dengan amarah. Bahkan bunga mawar yang berada di atas kabinet itu juga diambil, lalu dirobek semua kelopaknya biar hancur.

Puas hati!

Padan muka dah jadi buruk!

Lantas Sofia berjalan mendekati tong sampah, langsung mencampakkan bunga itu ke dalam sisa makanan kotor. Biar sama-sama membusuk!

"Heh! Buang masa aku je!" Baru sahaja pusing ke belakang, bahu Sofia sedikit terhinjut akibat terkejut. Mana tidaknya apabila nama yang baru disebut tadi muncul secara tiba-tiba di belakangnya.

Sufi. Haih, mengapalah seharian ini asyik nama Sufi sahaja singgah ke telinganya. Hendak bernanah sudah. Sepertinya waktu pulang nanti dia harus singgah ke klinik telinga untuk periksa kondisinya masih elok atau tidak. Heh, menyampah.

Sofia menjeling. Siap melepaskan nafas mencemuh sebelum kedua belah tangannya naik memeluk tubuh.

"I tak fahamlah. Kenapa dalam banyak-banyak manusia dalam tempat ni, you juga yang I kena hadap?" Soal Sofia dengan nada mengejek.

Tatkala bibir Sufi tersenyum sumbing. Atas dan bawah mata Sufi bergerak melihat wanita itu.  Perasan betul minah seorang ni!

"Aku dagaha. Nak buat air. Bukannya sengaja nak terserempak dengan kau. Aku pun bosan juga nak lihat muka kau hari-hari." Balas Sufi dengan nada bersahaja. Maaflah, bukan diri dialah jika tunjuk lemah di hadapan manusia. Lebih-lebih lagi kepada minah senget perasan bagus ini.

Tanpa pedulikan reaksi Sofia yang jelas terkesima dengan kata-katanya, Sufi teruskan langkah yang tergendala tadi menuju ke kabinet. Satu gelas yang tersusun elok di sebelah kanan itu dicapai, lalu dituangkan air panas ke dalamnya.

"Tak sangka muka nerd macam you ni mulut tak ada insurans juga ya?" Tegur Sofia, hatinya masih lagi terbakar dengan sindiran Sufi tadi.

"Kenapa? Kena muka macam kau dulu ke baru boleh kurang ajar?" Ejek Sufi. Langsung tiada gentar.

Berdecik tawa dari Sofia mendengarnya.  Kepala tergeleng-geleng serupa tidak menyangka.  Boleh tahan pedas juga mulut si Sufi ni. Muka sahaja macam ayu.

"Bukan macam itu, cuma I ingat perempuan macam you ni baik sangat. Tapi nampak gaya rupa dengan perangai lebih kurang. Cuma yang pastinya, depan lelaki mestilah perangai you berubah 180 darjah kan? Kalau tidak, tak adalah si Tuah tu melekat dengan you. Kan?"

"Wahai Cik Sofia, aku ni dah lama kerja dekat sini. Sebelum Tuah masuk ke sini lagi tau? Jadi semua orang dekat sini tahu perangai aku macam mana. Kau tu aje yang tak sampai berapa bulan kerja dekat sini tiba-tiba naik pangkat. Itu pun dah riak."

"Hei, I tak riak okay. Bos yang sedar kemampuan I, bukan I yang syok sendiri!"

"Yalah, bermodalkan baju singkat macam tu siapa aje yang tak termakan rasuah seksi kau tu?"

"Hei, mulut you ni kan..." ringan sahaja rasa tangan Sofia hendak melayang ke bibir celupar Sufi itu. Tatkala menyedari figura Tuah masuk ke dapur, terus niatnya terbatal. Andai diteruskan, silap-silap tangan kekar Tuah pula yang singgah ke mukanya.

Almaklumlah, lelaki itu asyik membela Sufi sahaja. Tidak kira betul atau salah. Asyik Sufi sahaja yang benar dimatanya. Ish, menyampah betul!

Panas sahaja hati Sofia apabila niatnya terpaksa dibekukan. Melihat Tuah yang berdiri disampingnya dengan renungan kosong. Diam tak berkata apa. Entah kenapa buatkan dia makin bengang.

"Ish, dua-dua sama aje!" Dengus Sofia. Lengan Tuah yang menghalang jalannya dirempuh begitu sahaja. Malah tubuh lelaki itu sedikit pun tidak terkesan, berganjak pun tidak. Bahkan Sofia pula yang rasa hendak jatuh. Ah, memalukan!

Tuah menahan bibir daripada meletuskan tawa. Sempat anak matanya melingas ke arah Sofia yang terkedek-kedek berjalan ke meja kerjanya sebelum berpaling memandang Sufi.

"Apahal dengan minah tu?" Tegur Tuah, dia menghampiri Sufi. Menyandarkan pinggangnya ke kabinet bersebelahan dengan Sufi yang sedang mengacau air.

Manakala Sufi cuma menjongket bahu.

"Entah. Period kut?" Balas Sufi acuh tak acuh. Malas hendak peduli. Setelah siap mengacau air teh, lantas Sufi mencicip air teh yang masih panas itu secara perlahan-lahan.

Kepala Tuah sekadar terangguk-angguk perlahan.  Anak matanya cuma melekat pada Sufi.

"Kau pergi mana tadi? Aku balik ke sini tengok kau dah tak ada dekat meja." Soal Tuah, beralih topik kepada lain. Tertanya-tanya juga ke mana Sufi menghilang semasa dia baru pulang tadi. Selalunya Sufi duduk sahaja di dalam office ini. Kerana kerjanya cuma duduk dan tulis artikel. Tiada kerja lain.

"Bos minta aku jemput seseorang tadi dekat Airport."

"Kenapa kau pula? Sejak bila kau ambil job jadi driver ni?" Soal Tuah lagi.

"Sebab aku aje yang ada tadi. Kau dengan Sofia dah turun pergi ke lokasi temu ramah. Jadi aku ajelah yang ada pun." Ujarnya.

Tuah diam sejenak. Jari terlunjuk sebelah kananya mengetuk meja beberapa kali seakan memikirkan sesuatu.

"Lelaki ke perempuan?" Tanya Tuah setelah beberapa minit tidak bersuara.

Semerta kening Sufi berkerut. Hendak tergelak pun ada dengan soalan yang baru keluar daripada bibir lelaki itu.

"Apa punya soalan kau ni? Dah macam boyfriend aku pula tanya soalan macam itu." Kata Sufi.

Terus Tuah tayang muka geli.

"Eh, jangan nak merepek sampai ke situ boleh tak? Gelilah. Aku tanya aje. Jawablah." Nada suara Tuah berubah sedikit geram. Rasa nak ketuk sahaja kepala perempuan itu.

Tatkala Sufi cebik bibir dengan muka bersahaja.

"Manalah tau kau tiba-tiba jealous ke apa, kan?" Sengaja Sufi mahu menyakat.  Dan-dan juga si Tuah buat-buat rasa hendak muntah hijau. Singki pun ada di sebelah. Boleh sahaja keluarkan betul-betul di hadapan Sufi jika mahu.

"Eeiii... singki dekat aje tau. Tapi kalau boleh aku nak muntah dekat muka kau. Biar sedar diri." Balasnya.

Gelak besar Sufi mendengar reaksi lelaki itu. Muka Tuah lebih lucu tika ini. Serupa takut pun ada jika Sufi menganggapnya jatuh cinta. Ceh!

Fikir dia tu kacak sangatkah? Biarpun semua pekerja wanita di sini menyimpan perasaan suka terhadap Tuah kerana rupa parasnya yang kacak dan tubuhnya yang tinggi serupa hantu galah. Namun bagi Sufi, lelaki itu tetap seperti kera di hutan sana.

"Aku sakat sikit aje. Janganlah marah. Tadi aku jemput lelaki. Bak kata Encik Hamid, bakal bos baru kita. Sepatutnya dia masuk kerja hari ni, tapi tadi tiba-tiba dia kata nak rehat kejap. Jadi aku hantar dia sampai ke rumah. Itu yang lama sedikit aku keluar." Ujar Sufi, siap jawapan panjang lagi diberikan.

Kening Tuah terangkat sedikit. Bos baru?

"Ouhh... dia tua ke muda?" Soalnya lagi, tubuhnya pusing sedikit menghadap Sufi. Mahu dengar lebih jelas.

"Tak nampak macam tua pun. Tapi mungkin sama umur dengan kau, 32 tahun macam itu?" Kata Sufi, sekadar menganggar sahaja mengikut apa yang dia lihat tadi. Entah betul atau tidak. 

Sekonyong-konyong bibir Tuah tersenyum nakal.

"Oh, aku nampak muda ek bagi kau?" Tegur Tuah.

Riak wajah Sufi automatik berubah. Ish, rasa nak tampar mulut sendiri. Si mereng ni bukannya boleh dengar pujian sebegitu. Nanti mulalah dia mengungkit selama 3 bulan berturut-turut.

Kemudian Sufi buat-buat tepuk dahi.

"Alamak, aku tersilap pula bandingkan kau dengan dia. Padahal muka kau macam pak cik jual surat khabar lama tu." Ejek Sufi.

"Tak payah nak mengejek sangatlah. Satu office ni dah mengesahkan yang aku paling kacak dekat sini. Kau aje yang rabun. Mengaku ajelah yang aku ni sebenarnya handsome, apa susah sangat? Ke... kau sebenarnya dalam diam suka dekat aku? Yalah Kau kan..."

Tengok! Mulalah tu isi bakul angkat bakul sendiri. Setiap kali dengar lelaki itu menyanjung diri sendiri, terasa perutnya berkeroncong serupa mahu keluarkan isi nasi lemak pagi tadi. Sufi geleng kepala.

Ah, tak tahan aku nak dengar dia puji diri sendiri!

Cepat-cepat gelas kotor itu dibersihkan lalu disimpan ke tempat asalnya. Kemudian, kedua-dua belah tangan Sufi naik menekup telinga sebelum melarikan diri jauh daripada bebelan lelaki itu. Cakaplah sorang-sorang, malas dia mahu menyeksa telinga sendiri.

"Hoi! Aku tak habis cakap lagi! Pendek, sinilah!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro