
10
TUAH menghentikan Ducati Panigale merah sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan Viral TV, kaki menyentuh tanah dengan perlahan. Dia meletakkan kunci, lalu membuka penutup helmet yang melitupi wajahnya. Sesekali anak mata melirik ke arah cermin sisi motorsikal, melihat keadaan rambut yang agak serabai.
Lantas tangan kanannya melintasi dahi, merapikan sedikit rambut yang terjuntai ke wajah, sementara matanya melirik ke arah bangunan di hadapan. Pandangan Tuah terus berubah. Terkesima sejenak tatkala melihat sekumpulan wartawan sudah berkumpul di hadapan pintu masuk.
Setiap satu daripadanya teratur dengan tugas mereka, kamera siap sedia di tangan dan mikrofon juga kemas dalam genggaman tangan masing-masing. Suasana tegang, dengan bisikan suara halus yang tidak dapat dielakkan, tanda bahawa mereka sudah bersedia untuk menerima sebarang berita yang bakal muncul. Mata mereka tajam meneliti sekeliling, menunggu dengan penuh debar, seolah-olah kedatangan seseorang itu mampu mengubah arah cerita yang sedang mereka cari.
"Siapa pula yang panggil dorang datang ke sini?" Bibir Tuah terkacip, geram. Tanpa menunggu lama, dia turun daripada motorsikal, terus menyerbu ke arah wartawan yang sibuk berkumpul di hadapan pintu masuk.
"Hoi!" Jeritan Tuah memecah keheningan, membuatkan beberapa wartawan terkejut, tergamam di tempat mereka berdiri.
"Siapa yang arahkan korang berkumpul dekat sini? Ada dapat apa-apa keizinan ke? Kalau tak ada lebih baik pergi dari sini, sini tak ada apa-apa yang menarik pun untuk masuk dalam gosip bodoh korang tu!" Bentak Tuah, tiada sedikit pun gentar terpancar pada riak wajahnya menghadap sekumpulan wartawan yang lebih ramai. Bahkan sebelah tangan kanannya yang kemas menggenggam helmet turut terasa ringan secara tiba-tiba. Boleh sahaja dilayang ke arah kamera-kamera itu biar rosak, akan tetapi dia cuba untuk bertindak lebih profesional.
Namun wartawan-wartawan itu tidak bergerak, malah beberapa daripada mereka berani melangkah lebih dekat, kamera dan mikrofon terarah kepada Tuah. Salah seorang dari mereka, dengan penuh keberanian, cuba berbicara.
"Kami cuma jalankan tugas aje. Dimana ada kes meletop, ke situ kami akan datang. Bukan stesen TV kau sahaja yang nak popular dekat Malaysia ni." Suara mereka agak gentar, namun keteguhan dalam nada itu jelas kelihatan.
Tuah mendengus, wajahnya semakin serius.
"Kau merepek apa ni? Kawan aku bukan untuk jadi bahan gosip korang." katanya dengan nada yang semakin keras.
"Pergi daripada sini atau aku rosakkan satu demi satu kamera yang tengah terpasang sekarang!" Ugut Tuah. Kemudian dia melangkah lebih dekat, berdiri tegak di hadapan mereka.
"Nak tengok aku menggila macam mana cubalah." Cabar Tuah.
Namun, wartawan yang lain tetap bertahan, tidak mahu berundur. Beberapa daripada mereka malah menghamburkan tawa penuh mengejek. Kemudian salah satu darinya dengan berani melangkah dengan lebih dekat, lensa kamera diarahkan tepat ke muka Tuah yang merah padam.
"Cuba tunjuk sikit gila kau macam mana? Nak Viral ni." Lelaki itu mencabar dengan nada menyindir, tanpa sedar cabaran itu pada orang yang salah.
Tuah berdiri tegak, darahnya mendidih mendengar gelak tawa yang berbunyi mengejek. Setiap tawa itu menikam jiwanya, dan di saat itu, segala kesabaran yang dipupuk sekian lama hancur berkecai. Matanya terbakar dengan geram, dan tanpa amaran, helmet yang daripada tadi tergantung ditangan kirinya mulai terasa ringan.
Dengan satu gerakan pantas dan penuh kemarahan, helmet itu terus dihentakkan ke arah kamera yang masih merakam wajahnya. Bunyi dentuman yang keras menggema, dan kamera itu terus rebah, kaca depannya retak dan pecah berterbangan.
"Arghh!"
Sempat telinga Tuah menangkap jeritan kecil dari mereka yang terkejut dengan tindakannya. Sesetengah dari mereka yang sibuk merakam tanpa izin langsung menyorokkan kamera ke bawah, takut menjadi target seterusnya.
"Hoi, kau ni dah gila ke apa? kau nak kena saman ke huh?!" Bentak jurukamera itu, jelas bengang dengan tindakan Tuah yang semakin menggila.
Tidak cukup dengan menghentak helmet, kamera yang berkecai di atas tanah itu dipijak, sepak, sehingga lumat.
"Nak saman? Samanlah! Ada aku kesah huh? Siapa lagi yang nak aku pecahkan kamera, datang sini!" Cabar Tuah, tangannya yang memegang helmet sudah bersiap sedia ingin dilayang. Satu demi satu wajah diperhatikan dengan cerlungan tajam, menanti manusia seterusnya yang ingin mencabar amarahnya.
Wartawan-wartawan yang berada di sekitar, kini terkejut dan terpinga-pinga. Mereka memandang Tuah dengan pandangan penuh ketakutan, menyedari bahawa kemarahannya bukan lagi sesuatu yang bisa dipandang ringan.
Dengan tubuh yang menggigil, mereka semua segera berundur, melangkah pergi dengan cepat, wajah mereka pucat. Ada yang memegang kamera dengan gemetar, ada yang langsung melarikan diri tanpa sempat mengemas peralatan mereka. Suasana yang tadinya penuh dengan aktiviti kini berubah menjadi hening, hanya bunyi langkah tergesa-gesa yang memenuhi ruang. Tidak ada yang berani menyahut cabaran.
Bibir Tuah menyenget sinis.
"Tahu pun kau semua nak blah! Aku halau cara baik tak nak dengar, nak kena jadi gila dulu baru semua faham bahasa!"
Sofia yang mendengar jerkahan Tuah dari luar segera memunculkan diri. Jatuh rahangnya tatkala melihat kamera yang sudah berkecai di atas tanah sebelum anak matanya laju tercari-cari ke mana semua wartawan yang diarahkan berkumpul di hadapan pintu masuk sebelumnya. Namun mereka semua sudah pergi dengan mulut terkumat-kamit berbisik tentang Tuah yang bertindak gila. Jelas sekali muka masing-masing tampak tidak puas hati.
"OMG! Tuah, apa yang you dah buat? Hei, panggil mereka semua tu balik! You dah rugikan peluang TV kita tahu tak?!" Suara Sofia meninggi dengan perasaan geram. Sepatutnya syarikat mereka boleh mendapat reputasi popular tertinggi hari ini dek kerana malang yang menimpa Sufi, tetapi semuanya sudah musnah.
Pandangan Tuah kini beralih ke arah Sofia. Masih lagi dengan riak wajah yang sama. Tegang.
"Peluang apa huh? Siapa yang panggil semua wartawan tu datang ke sini? Sufi tu baru sahaja trauma dengan apa yang jadi semalam, manusia-manusia bodoh tu boleh pula nak serbu dia hari ni. Mana pergi otak kau huh Sofia? Muka cantik tapi otak kosong baik tak payahlah!" Bentah Tuah.
Sofia mengetap bibir. Kata-kata Tuah semakin lama semakin menyakitkan hatinya. Dia lakukan semua ini kerana hendak bangkitkan nama Viral TV, bukan kerana saja-saja. Siapa yang otak kosong sekarang?
"Yang you nak marah pagi-pagi ni dah kenapa? Normallah wartawan datang kalau ada insiden berlaku dekat sini! Kes bunuh pulak tu! Mestilah mereka nak tahu keadaan Sufi sekarang!"
"Hei, aku tak kesahlah wartawan tu nak terjah rumah artis ke, rumah penagih dadah sekalipun asalkan bukan Sufi. Korang bukannya pernah peduli pasal dia pun! Tiba-tiba bila dia kena macam ni, tahu pula korang nak menyibuk pasal dia. Sengaja nak tunggang populariti! Korang sedaplah dapat duit, habis Sufi? Dapat malu! Kena hina! Itu yang kau suka sangat, kan?"
Sebelah tangan Sofia sudah naik mengurut kepala. Bibirnya mendengus sebelum kembali bersuara.
"Tuah! Boleh tak sekali aje you jangan back up si Sufi tu lebih-lebih. Apa yang jadi dekat dia boleh buat Viral TV ni lagi hits! Takkan you tak terfikir semua tu? Demi kerja you jugak! Jarang tau wartawan terlibat dalam kes macam ni! Fikirlah sikit!"
Mendengar bicara Sofia yang berkata tanpa berfikir menggunakan akal buatkan Tuah rasa hendak ketawa. Namun tawanya kedengaran cukup sinis. Cuma sekejap sebelum riak wajah Tuah berubah kosong semula.
Kemudian Tuah buat-buat menyapu dagu, jari-jarinya menyentuh kulit yang licin. Bahkan kepala turut terikut mengangguk seakan-akan bersetuju dengan apa yang Sofia katakan.
"Ya tak ya kan, tapi tak ke lagi popular kalau berita jenayah tu pasal kematian kau? Pasti lagi Viral! Wartawan tercantik dari Viral TV mati ditangan Unknown, sedap juga bunyinya. Kau tak rasa macam tu ke?" Sindir Tuah, tepat merenung ke dalam bebola mata Sofia yang jelas terbakar dengan ejekannya.
Nafas Sofia mulai berantakan. Turun dan naik dadanya yang tiba-tiba terasa sesak dengan sabar yang cuba ditahan selama ini. Namun tidak untuk kali ini, sikap lelaki itu semakin lama semakin menyakitkan hatinya.
Lantas tangan kiri Sofia terus menolak bahu Tuah agak kasar. Akan tetapi tindakannya itu seolah-olah tidak memberi apa-apa kesan. Sedikit pun lelaki itu tidak bergerak. Jelas sekali tenaga wanitanya tidak cukup untuk melawan kekuatan Tuah.
"Hei, you ni kenapa huh? Dari first I masuk sini sampailah sekarang you tak pernah berbaik dengan I. Apa yang I buat semuanya salah! Semuanya tak betul! What's wrong with you, Tuah? I ada buat apa sampai you layan I macam ni?" Suaranya meninggi penuh geram, melontarkan soalan-soalan yang berbaur dengan rasa kecewa dan amarah yang mendalam.
Namun suara marah Sofia yang berdering di telinganya, tidak terkesan sedikit pun di hati. Sebaliknya, senyuman sinis terukir di bibir Tuah, seperti mempermainkan segala kemarahan yang ditumpahkan di hadapannya.
"Banyak sangat benda yang ada pada kau yang aku tak suka. Atau pendek kata, aku memang tak sukakan kau sejak kali pertama kau masuk sini lagi. Kalau bukan kerana Sufi masih nak kerja dekat sini, aku pun tak hingin nak terus bekerjasama dengan kau!"
Kemudian Tuah tertawa kecil, gelak yang penuh dengan ejekan.
"Kau fikir dengan kecantikan yang kau ada, semua orang ikut cakap kau? Mungkin ya. Tapi bukan dengan aku." tambahnya dengan nada yang lebih tajam.
Tuah sudah hampir melangkah pergi, kakinya meluncur perlahan menuju pintu, mahu mengakhiri pertemuan yang penuh ketegangan itu. Namun, tiba-tiba suara Sofia memecah keheningan, penuh dengan amarah yang tak terbendung.
"Jadi semua ni berpunca sebab Sufilah kan?!" suara Sofia bergema.
Langkah Tuah terhenti. Dia berpaling perlahan, bibirnya mengetap geram, menahan diri agar tidak melontarkan kata-kata kasar. Wajahnya tegang, matanya menyala dengan kemarahan yang tersembunyi, namun dia tetap berdiri, memandang wanita itu dengan rasa jelik yang semakin membuak.
"You ni memang tak boleh terima hakikat ek? Kawan you tu memang tak layak jadi wartawan sampai bila-bila! Selama si Sufi tu jadi wartawan, tiada siapa pun yang pandang syarikat Viral Tv. Tahu sebab apa? Sebab muka Sufi tu tak layak langsung muncul dekat kaca TV!"
"Aku dah cakap jangan kaitkan Sufi dalam hal ni, kan?!" matanya terbakar dengan amarah yang semakin membuncah. Nafasnya turun naik, dada berombak seperti menahan ledakan yang hampir tidak dapat ditahan. Dia mengangkat helmet itu tinggi, seolah-olah ingin melepaskan segala kemarahan yang terpendam, namun, sebaik sahaja melihat wanita di hadapannya yang ketakutan, tangannya menggigil dan helmet itu hanya terhenti di udara.
"You... sang... sanggup nak pukul I kerana dia?" Suara Sofia terketar-ketar, jelas tidak menyangka dengan tindakan lelaki itu.
Suasana sepi seketika, kedua-duanya saling berdiam diri, namun ketegangan itu begitu jelas terasa. Tuah memejamkan matanya sejenak, cuba menenangkan diri, walaupun perasaan bencinya begitu menguasai. Dia menarik nafas panjang, cuba untuk tetap sabar, walaupun jari-jarinya yang menggenggam helmet itu masih terasa keras.
Perlahan-lahan Tuah menjatuhkan helmet itu ke bawah semula. Kakinya melangkah dengan lebih dekat, berdiri betul-betul di hadapan Sofia dengan pandangan penuh tajam.
"Sufi tu layak dari dulu lagi. Kau tu yang lalang dalam hidup dia. Dan lalang macam kau tak sepatutnya kekal tumbuh sampai sekarang, patutnya kena tebas sampai tak tinggalkan saki baki pun atas muka bumi ni." Kata-kata Tuah bagai pisau yang menikam, membuatkan hati Sofia rasa terhimpit.
Sofia hanya mampu berdiri diam, bibirnya diketap rapat menahan emosi yang begitu bercampur baur. Cemburu yang menyalakan api dalam dirinya, bercampur dengan rasa geram yang tak terucap. Mengapa Tuah selalu menyokong Sufi, padahal mereka berdua cuma sekadar kawan?
Tanpa pedulikan reaksi Sofia, Tuah terus berlalu masuk ke pintu masuk. Meninggalkan Sofia yang masih tercegat tak berkutik di tempat itu.
"You memang dah gila, Tuah. Tapi I akan buat jugak sampai you sedar yang Sufi sebenarnya lalang dan bukan I." Bisik Sofia dengan gigi mengancing penuh dendam.
Tuah duduk termenung di meja kerjanya, jarinya sesekali memutarkan pen, namun matanya kosong, seperti sedang mencari sesuatu yang hilang dalam ruang fikirannya. Tiba-tiba, pandangannya beralih ke telefon bimbit yang terletak di atas meja.
Diam, otaknya sedang memproses sesuatu yang cuma dia sahaja yang tahu. Kemudian kepala Tuah menggeleng. Perlahan, Tuah bersandar ke belakang, membiarkan tubuhnya tenggelam dalam kerusi yang empuk. Gaya malasnya jelas terlihat, tetapi di dalam fikirannya, hanya memikirkan tentang keadaan Sufi. Tangisan dan riak wajah ketakutan Sufi masih terngiang-ngiang dalam ingatan.
"Agaknya si pendek tu datang tak hari ni?" Dia mengomel seorang diri.
Kemudian Tuah mengangkat pandangannya, matanya segera tertumpu pada Sufi yang baru melangkah masuk ke pejabat. Seakan-akan baru disedarkan dari lamunan, senyuman yang jarang terlihat kini mekar di wajahnya. Senyuman itu bukan hanya sekadar senyuman biasa, tetapi senyuman penuh kegembiraan, seolah-olah dia telah lama menantikan kedatangan wanita itu.
"Sufi!" Tuah menyapa penuh semangat dan tanpa ragu, dia bangkit dari kerusi, langkahnya pantas menuju ke meja di mana Sufi sedang meletakkan beg tangan dengan perlahan.
"Hampir aku ingat kau ambil cuti hari ni." Tegur Tuah.
Sufi mengangkat kepala, sedikit terkejut dengan reaksi Tuah, namun dia hanya tersenyum.
"Artikel aku banyak yang belum siap. Sebab tu aku datang jugak. Aku lambay pun sebab pergi balai dulu, buat report tentang semalam." Jawab Sufi, tenang.
Tuah terus mendekat sambil kepala terangguk-angguk tanda faham. Dia berhenti sejenak di sisi meja Sufi, dan dengan penuh perhatian, dia melihat beg yang baru diletakkan di atas meja.
"Kau betul-betul tak apa-apa ke ni datang kerja? Kejadian semalam tu bukan benda biasa. Kes bunuh pulak tu. Darah dia pun masih..."
"Tuah." Sufi memotong.
Semerta Tuah menghentikan ayatnya.
"Aku tak nak ingat. Aku trauma. Nanti aku terbayang kalau kau terus bercerita macam itu." Kata Sufi.
Seketika, Tuah menyedari bahawa dia telah terlepas cakap. Dengan wajah yang sedikit merah, dia tersengih kaku, tangan kanan menggosok belakang kepala seperti mahu menutup rasa kekok.
"Sorry. Aku tak sensitif pulak dengan apa dah jadi." katanya dengan nada canggung, cuba menebus kesilapannya.
Sufi hanya memandangnya dengan senyuman kelat, namun dia tidak berkata apa-apa. Tuah terus tersenyum kaku, berusaha untuk memperbaiki situasi, walaupun jelas dia sedang bergelut dengan perasaan yang sedikit bersalah.
"Ehem, by the way... kenapa kau tak jawab call aku semalam? Aku bukannya apa, aku cuma nak tahu keadaan kau aje. Sebab semalam kau nampak macam tertekan sangat-sangat." Cepat-cepat Tuah mengubah perbualan mereka, berharap dengan mengubah topik, perasaan canggung itu dapat dilupakan begitu saja. Dia melangkah sedikit lebih dekat, cuba untuk menarik perhatian Sufi agar tidak terus memikirkan kata-katanya tadi.
"Kau... call aku?" Ulang Sufi serupa tak percaya.
Tuah mengangguk.
"Yalah. Banyak kali aku cuba hubungi kau tapi satu pun tak jawab." Katanya.
Sufi merenungnya sejenak, kening berkerut sedikit seakan-akan pelik dengan perbualan kali ini. Seingatnya, tiada bunyi deringan telefon pun yang menandakan ada panggilan dari seseorang. Atau... dia yang tertidur sampai tak sedar?
"Ya ke? Kenapa aku tak sedar langsung bunyi ringtone?" Sufi mulai menyelongkar beg tangannya dengan cepat, cuba mencari telefon yang sepatutnya ada di situ. Ingin memeriksa sama ada benar atau tidak dia menerima panggilan semalam.
Namun, selepas beberapa saat mencari, Sufi kelihatan bingung, telefon itu langsung tidak dijumpainya. Wajahnya semakin cemas, dan dia mula memeriksa bahagian lain dalam beg itu. Tetapi, seketika kemudian, dia tersedar sesuatu yang mengejutkan.
"Oh, ya... aku baru teringat! Telefon aku jatuh semalam," keluh Sufi perlahan, sambil memandang ke bawah, seolah-olah menyesali kecuaiannya.
Manakala Tuah hanya mengerutkan kening, menunggu Sufi untuk menghabiskan ayat. Terjatuh kerana apa?
"Semalam aku panik sangat-sangat. Aku cuba untuk call kau guna telefon tu, selepas tu Akim..."
Sufi terhenti, menyedari kata-katanya semakin meleret. Tiba-tiba, dia sedar bahawa dia sudah bercakap lebih banyak dari yang sepatutnya.
Suasana sepi seketika, Sufi menundukkan kepala, merasa takut dengan penjelasannya yang hampir tercantik. Jika Tuah tahu semalam Akim membuat perkara tak elok kepadanya pasti dia akan marah.
Namun Tuah masih memandang, pandangan matanya saat ini berubah lebih serius, menunggu sambungan kata-kata dari Sufi.
"Apa yang jadi semalam?" Mata Tuah tidak lepas dari Sufi, menanti jawapan yang lebih jelas. Suaranya lebih tegas, seakan-akan dia benar-benar ingin tahu apa yang tersembunyi di balik kejadian semalam.
Sufi tergagap seketika, matanya berkelip mencari-cari jawapan, namun seakan-akan kata-katanya tersangkut di kerongkong. Dia cuba berfikir, sedaya upaya mencari alasan yang dapat mengalihkan topik itu, tetapi rasa bersalah dan ketegangan mula menguasai dirinya.
Dia membuka mulut, ingin berkata sesuatu, namun saat itu, terdengar namanya dipanggil dari belakang.
"Sufi Leila!" suara garau Haq jelas dan lantang, datang dari arah pintu masuk.
Semerta, topik mereka yang berat itu tenggelam begitu saja. Sufi menoleh ke belakang dengan cepat, rasa lega yang tak dapat disembunyikan di wajahnya. Tuah turut berpaling, matanya sedikit bingung namun tidak bertanya lebih lanjut. Tetapi dalam hati tetap tertanya-tanya mengapa detektif itu tetap ada di sini.
"Boleh bawa aku jumpa bos kau? Aku nak minta keizinan dia untuk pantau kau di sini sampai habis kerja" Pinta Haq terus tanpa membazir masa. Sekilas anak matanya sempat melirik ke arah beberapa mata yang baru sedar akan kehadirannya. Ada yang sedang berbisik-bisik sesuatu dengan rakan di sebelah meja, seolah-olah kedatangannya menimbulkan persoalan diantara mereka.
Siapa dia?
Mengapa dia berada bersama Sufi?
Begitulah beberapa soalan yang boleh dibaca melalui gerak bibir mereka tanpa suara.
"Boleh, tuan." cepat sahaja Sudi bersetuju , sambil tersenyum canggung.
"Sekejap ya Tuah, aku nak bawa Tuan Haq ke bilik bos." Pamit Sufi.
"Tuan, ikut saya." Ajak Sufi, lembut. Dengan penuh sopan cuba memimpin arah ke bilik Encik Hamid.
"Tunggu!" Suara Tuah tiba-tiba menghalang, penuh arahan, membuatkan langkah Sufi terhenti, begitu juga dengan langkah Haq yang sedang mengikutinya.
Sufi berpaling, melihat Tuah dengan pandangan yang agak pelik.
"Biar aku yang bawa dia berjumpa dengan bos," kata Tuah, senyumannya tipis tetapi membawa maksud tersirat.
Tatkala Sufi mengerutkan dahi, merasa agak janggal dengan perangai lelaki itu. Tak pernah-pernah si Tuah mempelawa diri sendiri untuk membantunya.
"Kenapa pula dengan kau ni? Tak pernah-pernah baik tiba-tiba jadi baik pulak." soal Sufi dengan nada sedikit pelik, tidak memahami alasan di sebalik perubahan mendadak itu.
Tuah hanya mengangkat bahu, menatapnya dengan tenang. "Tak ada apa-apa. Aku rasa lebih baik kalau aku yang bawa dia, tak nak mengganggu kerja kau. Dan aku memang sentiasa baik pun, kau aje yang selalu pandang jahat dekat aku."
Sufi geleng kepala. Ada-ada sahaja si Tuah ni...
"Baiklah, kalau kau nak tolong. Tolonglah. Jangan buat hal sudah. " Pesan Sufi, kemudian dia berpaling memandang Haq di belakang.
"Tuan Haq boleh ikut Tuah. Dia akan bawa Tuan ke bilik Encik Hamid." Kata Sufi begitu tenang.
Haq memandangnya sekilas, kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Tuah yang berdiri di sebelah. Bahkan Tuah turut melemparkan senyuman, namun senyuman itu jelas sekali tidak ikhlas. Ada sesuatu dalam senyuman itu, penuh dengan makna yang hanya Haq dapat rasa.
Dia tahu, ada sesuatu yang tidak kena, tapi dia memilih untuk tidak bertanya lebih lanjut. Matanya kembali menatap Sufi, dengan tenang Haq mengangguk perlahan.
"Okay. Sesiapa ajelah." kata Haq dalam nada acuh tak acuh.
Tuah melebarkan senyuman. Lantas dia menghampiri Haq yang sedang menunggu.
"Baiklah, Tuan Haq. Sini Tuan Haq. Saya bawa Tuan Haq ke bilik. Nak bentangkan Red carpet sekali ke untuk ke sana?" Suara Tuah jelas sekali mengejek, bahkan perkataan 'Tuan Haq' ditekan berkali-kali dengan sengaja.
Sufi yang sudah 'masak' dengan perangai lelaki itu langsung menegurnya.
"Tuah! Kau jangan main-main boleh tak?" Marah Sufi perlahan tetapi tegas. Namun Tuah cuma ketawa.
Tanpa semena-mena Sufi pula yang rasa malu. Sekilas anak matanya menatap wajah Haq yang jelas kurang mesra dengan layanan Tuah. Bibir Sufi tersengih kekok sebelum berkata...
"Maaf tuan, dia memang senget sikit. Otak dia biul sejak dari lahir." Kata Sufi, sempat lagi mengejek lelaki itu.
Namun Tuah hanya tersenyum senget, tak menafikan kata-kata Sufi itu ada benarnya. Dia memang spesis yang sukar untuk serius. Bosanlah asyik muka ketat sahaja seperti detektif sebelah ini.
Seketika menyedari Sufi memberikan jelingan tegas kepadanya, lantas Tuah buat-buat mengalah. Ada keluhan malas kedengaran sebelum dia menoleh memandang Haq di sisi.
"Yalah, yalah... aku serius kali ni. Mari Tuan Haq, saya iring sampai ke pintu masuk." Ajak Tuah, terus menyusun langkah ke arah bilik pejabat Encik Hamid sambil diekori Haq dari belakang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro