♠ ULAR BERGADING ♠
Pernahkah anda didendangkan dengan kisah manusia yang menuntut ilmu larangan?
Grote, merupakan seorang manusia yang ditindas kerana kekurangannya. Bagi membuktikan dirinya berkuasa, Grote telah menyeru seekor makhluk kegelapan.
Ular bergading.
Grote mengaku dirinya sebagai pewaris makhluk seruan itu.
Malangnya, makhluk itu bertindak buas dan di luar kawalan. Ia dambakan santapan daging manusia. Bukan sembarang manusia, akan tetapi manusia yang-
♦
"Ambik ni."
Dengan angkuhnya Melanie melemparkan pakaian kotornya pada Cassidy. Bakul baju dicampak pula pada adik angkatnya sehingga terhentak pada dahi.
Sedikit darah kelihatan mengalir.
Cassidy hanya berdiri tertunduk menahan pedih pada dahi dan juga hatinya. Sedar dirinya hanya duduk menumpang. Nak lawan balik? Jangan haraplah. Cassidy baru sahaja berusia 11 tahun. Melanie pula sudah menginjak ke alam remaja. Berusia 17 tahun.
"Apa terpacak lagi?! Berambuslah!"
Melanie mengherdik! Jarinya ditunding pada pintu menuju ke bilik bawah tanah di mana aktiviti mendobi dilaksanakan.
Kelam-kabut Cassidy mengutip pakaian-pakaian kotor Melanie dan terus dimasukkan ke dalam bakul baju.
Melanie menghembuskan nafas dengan kasar seusai Cassidy melangkah turun ke bilik bawah tanah. Punggungnya kemudian dihempaskan pada kerusi sofa.
"Besar betul pangkat. Orang lain basuhkan baju kau. Kau betul-betul buat dia macam hamba."
Ujar Janet sambil mengunyah biskut. Sejak dari tadi si gadis itu hanya duduk menonton adegan membuli Melanie.
"Ayah aku bodoh. Entah anak sundal mana dia kutip bawak balik."
Melanie meluahkan rasa meluatnya kepada sahabatnya yang datang melepak di rumah.
"Kau buli dia, ayah kau tak marah?"
"Ayah aku tak ada,aku hentamlah dia. Bodoh! Tak nak mengadu siapa suruh?"
Ujar Melanie dengan penuh jelik seraya memutarkan bola matanya. Meluat.
Janet tertawa mendengar bait kata Melanie.
"Untunglah, kau ada orang nak buat hamba. Aku ni tak ada."
"Cassidy tu ada. Kau suruh lah dia buat apa-apa."
"Nak dia urutkan kaki akulah. Boleh?"
Janet tertawa.
"Aku memang gunakan dia untuk buat servis mengurutpun. Zaman sekarang ni kena pandai berniaga."
Melanie tersenyum sinis.
"Kau bergurau?"
Biji mata Janet terbuntang luas.
"Cuba fikir. Mana aku dapat duit? Ayah aku miskin."
Melanie menjongketkan keningnya dengan raut wajah angkuh.
"Hebatlah kau!"
Si sahabat bersorak riang!
"Nanti aku belanja kau. Jangan risau."
"Yay!"
Sedang mereka asyik ketawa tiba-tiba jeritan seorang gadis kedengaran dari bilik bawah tanah.
Mereka tersentak dan berpandangan sesama sendiri. Terasa meremang bulu roma.
"Suara Cassidy?"
Wajah Melanie memucat.
"Pergilah tengok. Apa-apa jadi nanti, nak jawab apa dekat ayah kau?"
Janet menolak bahu sahabatnya.
Melanie akur. Terus mereka melangkah turun ke bilik bawah tanah. Lampu pelita dicapai.
"Cassidy?"
Melanie meneguk air liur saat melangkah turun memijak anak tangga. Tiada cahaya kelihatan di ruang kamar dobi tersebut. Janet hanya sekadar mengekor Melanie dari belakang. Suasana tiba-tiba berubah menjadi sepi. Yang kedengaran cumalah bunyi titisan air dari pili yang tidak ditutup habis.
Sejenak kemudian dua orang sahabat tiba-tiba tersentak! Jantung terus berdegup kencang. Di sebalik samaran cahaya lampu pelita terlihat pakaian yang bersepah di atas lantai kayu.
kelibat Cassidy langsung tidak kelihatan.
Tiba-tiba, bunyi ular berdesis perlahan-lahan kedengaran. Dua orang sahabat mula memandang sekeliling. Semakin lama bunyi ngeri tersebut semakin kuat.
Wajah janet terus memucat. Makhluk itu betul-betul berdiri di belakang sahabatnya.
"Mel..mell.."
Janet gugup.
Melanie membatu tidak berani untuk menoleh.
Kelihatan seekor ular gergasi yang memiliki taring sebesar gading gajah di belakang tubuh Melanie.
"Melanie!!!"
Sekelip mata ular bergading itu membaham tubuh Melanie!
Darah dan serpihan daging tersembur dan hinggap pada wajah Janet!
Dalam ketakutan yang melampau Janet berlari keluar!
Terus meninggalkan kediaman tersebut.
Ruang dobi bawah kekal sepi dan suram.
Seketika kemudian, makhluk ular bergading dan juga segala percikkan darah dan daging lenyap di sebalik kabus hitam. Segala bukti kekejaman lenyap.
♦
"Ayah dah balik."
Edwin bersuara di muka pintu.
"Selamat pulang ayah!"
Cassidy terus mendakap tubuh ayahnya erat.
"Mana Melanie?"
Si ayah tersenyum.
"Melanie kata dia ada hal. Mungkin balik lambat."
Cassidy bersuara riang. Tersenyum manis di dalam dakapan ayahnya. Tiada lagi penderitaan.
Ya, Melanie mungkin akan pulang lambat dan mungkin tidak akan lagi kembali.
♦
Ular bergading dambakan santapan daging manusia. Bukan sembarang manusia. Namun, manusia yang menindas tuan pewarisnya.
♠ TAMAT ♠
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro