Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

7 | Banding

"Yeay," Ahmad melonjak kegembiraan apabila Salman mengizinkannya untuk tidur di bilik utama itu. Kanak-kanak berkenaan lekas mengambil bantal kecil di biliknya.

Aisyah melihat sahaja wajah suaminya pada malam itu. Kekura tangan Salman disentuhnya lembut. Ahmad tidak merayu pada mereka untuk tidur bersama tetapi Salman tiba-tiba sahaja mengubah peraturan.

"Abang," panggil Aisyah. Kulit tapak tangan Salman terasa sejuk ditambah pula dengan sedikit getaran. Dia menyulamkan jemari dengan lelaki itu.

"Kenapa?" Salman memandang isterinya dengan tenang. Penangan panggilan tadi masih tersisa. Aliran haba di tangan itu membuatkan dia berasa selamat.

"Abang okay?" Wajah Salman dibeleknya. Dia meletakkan tangan pada ruas dahi lelaki itu. Ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuan Aisyah. Matanya melihat ke dalam lensa hitam milik Salman.

"Abang okay," Salman tersenyum nipis. Dia tak mahu perkara buruk terjadi semasa mereka sedang tidur. Maka lebih baik Ahmad tidur sebilik dengannya buat masa ini sehingga situasi beralih selamat.

"Kenapa tiba-tiba beri Ahmad tidur sebilik dengan kita? Abang kata nak ajar dia tidur asing." Aisyah mengusap tangan suaminya. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

"Abang nak dia tidur dengan kita sebab abang risau kalau apa-apa benda buruk terjadi," Salman membiarkan Aisyah melekapkan tapak tangan pada dadanya yang berlapik baju.

Memang Salman kelihatan lain pada malam itu. Anak matanya seperti sentiasa berjaga-jaga. Jantungnya pun berdegup lebih laju berbanding selalu. Aisyah dapat rasai detakan yang kebimbangan.

Ahmad hadir terkedek-kedek dengan mengheret bantalnya. Dia cepat-cepat naik ke atas katil kerana takut Salman ubah fikiran. "Adik tidur dulu," ujarnya.

Bantal kecil itu diletakkan ke sebelah ayahnya lalu dia berbaring. Tangan kecilnya diangkat menandakan dia sedang membacakan doa.

"Selamat malam ayah... Ibu... Baby-baby adik. Adik sayang semua." Salman tersenyum melihat anaknya. Dia mengusap rambut Ahmad dengan penuh kasih. Ahmad, anak sulung buat Salman.

"Selamat malam, adik," balas Salman.

Kelopak mata Ahmad terpejam. Hati kecil itu sedang kegembiraan dapat kebenaran untuk tidur di samping ayah dan bonda. Belaian Salman makin meletakkan dia ke dalam alam tidur. Dia menyelesakan pembaringan dan memeluk selimut berhampiran.

"Abang, baringlah," pujuk Aisyah. Dia dapat merasakan getaran pada tangan Salman lagi.

Salman mengangguk kecil dan merehatkan badan ke atas katil. Di kirinya terdapat tubuh Ahmad manakala Aisyah terbaring di sebelah kanan.

Aisyah mengambil selimut membaluti tubuh lelaki itu. Dia merapati tubuh Salman lalu dipeluk suaminya. Tanpa mengetahui asbab ketakutan Salman, dia cuba menenangkan lelaki itu. Belakang Salman diusap lembut sambil bibir menggulung senyuman.

"Abang takut," bisik Salman.

"Allah kan ada?" Wajah suaminya dielus. Jelas terpampang Salman sedang kegelisahan. Dia mendakap tubuh bidang itu lagi hingga degupan jantung Salman beransur normal. Selalunya Salmanlah yang memeluk dia tetapi kali ini sebaliknya berlaku. Pelukan Aisyah memujuk Salman untuk terus bertahan walau apa pun yang berlaku.

"Abang doa pada Allah supaya lindungi kita daripada perbuatan jahat manusia dan jin. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Mohon agar hati ini diberikan kekuatan walaupun nanti kita sudah hampir berputus harapan." Aisyah meletakkan tangannya pada dada Salman. Dia menepuk dada lelaki itu lembut sahaja. Senyumannya disertakan sekali bagi menyuntik sedikit semangat.

Salman memandang isterinya tika pelukan dileraikan. Gelodak risau dan bimbang menyurut pergi.

Aisyah masih tersenyum melihat wajah Salman. "Abang nak dengar satu berita?"

"Hm."

"Tapi Aisyah nak tanya dulu, kalau kita dapat anak perempuan lagi... Abang nak letak nama  apa pada dia?"

Salman sedikit berkerut. Reaksinya memang begitu setiap kali tidak dapat menangkap soalan. Dia akan berkerut hingga Aisyah menerangkan ketidakfahamannya.

"Aisyah mengandung," ujar Aisyah.

Mata hitam Salman membesar serta merta.

"Aisyah mengandung anak kita," ulang Aisyah sambil menggenggam tangan Salman.

Memang berita ini mengejutkan Salman. Dia seolah tidak percaya. "Betul ke ni?" sangsinya.

"Ya."

Jawapan itu membiarkan Salman mengukir senyuman di bibir. Dia mendakap tubuh Aisyah erat lalu dikucup dahi isterinya. "Dah berapa bulan?"

Keterujaan Salman membuatkan Aisyah tertawa halus. "Kalau ikut tarikh last datang haid, dah dua bulan."

Ya Allah, terlalu gembira.

Lelaki itu bingkas berdiri dan berlalu ke bilik air. Dia membasuh anggota wuduknya lalu kembali ke dalam kamar tidur. Sungguh rasa takutnya telah hilang mendengar khabar itu. Dia berpaling ke arah kiblat dan membuat sujud syukur.

Air mata gembiranya mengalir ketika bersujud. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.

Dua bulan, kandungan yang masih lemah dan boleh keguguran pada bila-bila masa jika tidak dijaga.

Aisyah tahu berita ini akan menggembirakan Salman. Namun, seharusnya dirahsiakan daripada pengetahuan Zack dan Najla yang sedang dilanda ujian. Dia bimbang andai mereka bersedih hati.

"Abang jangan beritahu Zack tau pasal ni. Biar kita je yang tahu," kata Aisyah.

Salman mengangguk faham. Dia masih tersenyum di sebelah Aisyah. Ujian ini menjadi makin berat. Memang pun kandungan itu harus dirahsiakan daripada sesiapa. Nak-nak lagi daripada pengetahuan si fulan yang sedang memerhatikan dia dari jauh. Jika nama penuh anak-anaknya pun diketahui dengan mudah, pasti khabar kandungan Aisyah akan sampai kepada dia.

Tangan Aisyah diraih lelaki itu. "Aisyah, dengar cakap abang. Jangan beritahu pasal kandungan Aisyah pada sesiapa termasuk along, mak, Kak Liza... Abang tak nak semua orang tahu buat masa ni."

"Okay," akur gadis itu.

Salman mengucup kekura tangan Aisyah. Dia harus kuat untuk melindungi anak di dalam rahim itu.

Ayah akan jaga anak-anak ayah.

***

Buat pertama kali Haikal memegang sebuah telefon pintar berharga ribuan ringgit. Dia terduduk di bangku taman sambil menatap kotak yang tertera kilauan logo epal.

Rasa seronok ingin membuka kotak makin menjadi-jadi. Dia membuka kotak berwarna putih bersih itu dengan senyuman di wajah. Gembira di hati tak terkata. Gaji yang baru diterima ditambah dengan duit curinya telah digunakan keseluruhan bagi membayar telefon pintar mahal itu. Harga yang berbaki akan dibayar secara ansurans setiap bulan.

"Cantik gila," bisik hati Haikal. Dia menelan liurnya lalu meneliti besi itu dari setiap sudut. Pantulan wajah sendiri pun dapat dilihat jelas pada satah skrin hitam itu.

Dia memeluk kotak itu.

Kamera telefon dibuka pula. Lensa kamera dihalakan ke atas. Sinaran matahari yang menembusi redupan pokok kelihatan cantik di dalam potret gambar. Terasa mahu menangkap gambar setiap yang dilihat.

Di dalam kotak itu, masih ada beberapa item seperti pengecas dan earpod.   Haikal beralih pula pada earpod itu. Dia hampir tidak percaya apa yang berada di tangannya sekarang ini.

Indahnya dunia.

Benda putih itu dimasukkan ke dalam lubang telinga. Betapa terujanya apabila lagu kedengaran padahal tiada wayar yang bersambungan pada telefon itu.

Haikal tertawa halus. Selama ini dia hanya mampu melihat kawan-kawan kolej memakai benda alah ini. Kini, diri sendiri sudah memiliki.

Tanpa membuang masa, remaja itu membuka akaun Instagram miliknya. Dia menangkap gambar sendiri lalu di muat naik pada IG story. Tak dinafikan, gambar yang dihasilkan mempunyai kualiti yang agak tinggi.

Sesuatu mula berlayar di fikiran Haikal. Dia masih belum puas. Ada lagi beberapa barang yang sudah lama diidamkan seperti Macbook Air, Ipad versi terkini dan kasut Sneakers.

"Kau suspek utama aku. Kalau kau tak sayang nyawa kau, cuba buat lagi."

Haikal menggeleng sendiri.

"Macam mana kalau abang Zack betul-betul boleh bunuh aku?" soal Haikal. Dia membelek telefon pintar di tangan. Pandangannya jatuh pada kasut cabuk yang sedang terpakai di kaki. Cantik juga kalau dapat beli kasut mahal.

"Minggu ni dia tengah sibuk ke hospital, sayang kalau aku tak guna peluang baik macam ni. Lagipun dia bukan ada bukti kalau nak sabitkan aku." Haikal menjongketkan bahu. Malas fikir panjang, dia sambung menjelajah telefon baharunya.

Dari jauh, ada yang memerhati tindakan remaja itu. Dia tersenyum memandang Haikal.

***

" Awak, buat apa ni? Saya boleh kemas sendiri." Najla mengambil bajunya yang dilipat Zack.

Sebuah beg pakaian berada tengah-tengah katil. Suaminya kelihatan sibuk mengemas barang-barang yang bakal dipakai ketika di hospital nanti.

"Saya kemas barang awaklah. Nanti kita pergi hospital esok, senang sikit dah siap awal-awal," balas Zack. Dia memasukkan beberapa helai persalinan ke dalam beg itu. Tuala yang baharu digulungkan lalu diselit kemas bersama peralatan mandi yang lain.

"Awak nak pakai banyak baju ke?" Zack mengangkat wajah.

"Tak payah banyak sangat. Saya bukannya lama dekat hospital nanti. Bila dah okay lepas operation, doktor akan bagi saya balik." Najla hanya tersenyum bagi menghilangkan kegusaran Zack.

"Amiin. Aisyah kata apa dekat awak?"

"Dia kata... Nanti lepas operation kena berpantang macam orang bersalin. Insya Allah, sepatutnya okay je," yakin Najla. Beg yang telah siap dikemas itu diambil dan dizip. Comel sahaja susunan Zack. Setiap baju tergulung kerana mahu menjimatkan ruang.

"Mak mana?"

"Mak tengah masak. Naufal pun ada sekali dekat dapur. Awak, okay ke kalau saya tinggalkan Naufal dekat mak nanti? Saya kesian dekat mak asyik melayan Naufal," keluh Najla.

"Okay je la. Mak selalu bawa Naufal pergi rumah Ahmad bila kita takde dekat rumah. Lagipun... Kita terpaksa. Saya rasa bersalah juga berlepas tangan dekat mak," Zack tersenyum nipis. Meskipun Puan Asma suka membebel padanya, dia tidak sampai hati untuk memenatkan wanita tua itu. Baru seorang anak, dah harapkan mak mertua jaga.

Derapan tapak kaki Naufal mencelah perbualan merela. Kanak-kanak itu berlari mendapatkan ayahnya di atas katil. Naufal sibuk ingin berlabuh di atas riba Zack. Dia tersenyum-senyum memandang wajah Zack dan Najla.

"Ummi nak pegi ana ni?" Naufal berkerut melihat beg pakaian itu.

"Esok, ummi nak pergi hospital," jawab Zack. Dia mendakap tubuh kecil itu.

"Ummi nak tinggal baby?" mulalah Naufal gelisah. Menjadi anak tunggal di dalam rumah itu, panggilan baby masih melekat padanya.

"Ummi pergi sekejap je. Naufal duduk dengan nenek dan abi ya?" Najla  mengusap wajah anaknya. Pucuk hidung Naufal dipicit lembut. Nampaknya ada orang takut kena tinggal.

"Nanti baby boleh main dengan Ahmad. Dapat mandi kolam lagi... Makan kuih sedap..." pujuk Zack. Badan Naufal masih di dalam pelukan.

"Baby cuka pegi rumah Amad," ujar Naufal kepada bondanya.

"Bukan Amad... Ahmad," tegur Najla. Sebutan yang berbeza akan membawa makna yang lain.

Zack memberikan Naufal kepada Najla apabila diminta. Naufal terbaring di atas riba Najla. Dia tersenyum riang tika dimanjakan ibunya.

Ketukan pintu bilik disedari Zack. Zack segera menguakkan daun pintu itu.

"Mak, masuklah," pelawa Zack. Atas penat lelah Puan Asma menjaga mereka sekeluarga, dia tidak berhak untuk menarik muka.

Zack kekal berdiri di birai setelah ibu mertuanya berlabuh berhampiran Najla.

"Mak masak apa dekat dapur?" tanya Zack.

"Mak masak tom yam je. Senang sikit dah ada sayur semua dalam tu untuk cucu nenek ni." Puan Asma mengambil beg yang berzip berhampirannya.

"Tu beg baju Najla, mak." Najla mengusap rambut anaknya.

"Cukup tak bawa baju ni?" Sifat keibuaan Puan Asma sentiasa ada. Dia membuka zip itu bagi membuat pemeriksaan. Nanti susah pula jika tertinggal banyak barang.

Saat zip itu dibuka, dia disajikan dengan susunan baju yang bergulung elok. Sekali pandang sudah seperti botol air yang disusun ke dalam beg. Matanya memandang Zack. "Zack ya yang susun macam ni?"

"Em, ya," angguk Zack.

"Kenapa susun macam ni? Macam nak pergi berhemah je." Puan Asma mengeluarkan kesemua isi beg itu sekelip mata.

Zack terkilan melihat hasil kerjanya tidak dihargai.

Wanita tua itu membuka gulungan Zack lalu melipat kembali kesemuanya dengan kemas. Dia turut mengira barang keperluan yang lain." Mana stokin?"

"Najla tak masukkan lagi," jawab Najla.

"Zack ni pun, tolonglah Najla kemas beg. Isteri awak kan tak larat." Ayat Puan Asma memang menikam hati menantunya. Zack masih cuba bersabar mengenangkan segala kebaikannya.

"Cuba tengok Firash layan isteri macam mana. Elok je Aisyah tu. Mesti dia tak biarkan Aisyah kemas barang sendiri masa nak pergi hospital bersalinkan si kembar tu. Anak Firash dah lah kembar, awak ni baru anak seorang pun dah minta mak jagakan. "

Nama Salman pula yang disabitkan. Zack mengetap gigi kegeraman.

"Mak bukan tahu pun macam mana rumah tangga Salman." Ringan saja mulut Zack menjawab. Dia harus mempertahankan diri sendiri.

"Apa yang mak nampak, semuanya baik. Ahmad pun elok budaknya. Lain kali jangan beri dia air teh semalam. Bancuh air yang baru. Malu mak bila jumpa dia," keluh wanita tua itu. Dia kesal dengan menantu sendiri.

"Mak, biar Najla kemas sendiri barang Najla. Mak rehat ya?" Najla risau Zack akan terasa dengan layanan ibunya.

"Mak, saya tak suka mak bandingkan saya dengan orang lain," jujur Zack.

"Kadang-kadang dengan membandingkan kita nampak kekurangan diri. Kalau Najla ada adik, dah lama mak kenalkan dengan Firash. Teringin nak ada menantu macam dia."

Makin panas hati Yahaya. Dia terpaksa menyimpulkan senyuman apabila Najla memandang. Nafas dalam ditarik lelaki itu. Dia mengambil tempat di birai katil bagi mengurangkan segala amarah yang bertapak di hati. Apa dirinya terlalu tidak sempurna sampaikan banyak perkara diungkit? Salman pun bukannya sempurna mana. Dia kenal lelaki itu selama lapan tahun. Lapan tahun tinggal sebilik dengan Salman, segala kekurangan lelaki itu Zack telah lali.

Salman baik? Zack berdecit tidak puas hati.

"Kan elok kemas macam ni." Puan Asma menarik zip sambil tersenyum senang.

***
vote x komen
***

fuhh komen sikit, triple update weh hari ni..

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro