Bab 9
"Wah!"
Mata mereka berdua terbeliak dan mulut mereka melopong. Saat itu, Reny dan Elman berdiri di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat yang terletak di pinggir bandar Johor Bharu. Dua sahabat baik itu melingas ke kiri dan ke kanan sambil mengagumi seni bina banglo berkenaan.
Banglo tersebut tersergam indah dengan warna putih gading. Banglo indah itu berkonsepkan bangunan klasik Inggeris. Sebuah gerbang yang berukir cantik berdiri megah. Terdapat kolam renang di sisi kanan, air pancut bersama kolam ikan koi di sisi kiri. Sebuah taman kecil yang menghijau menghiasi sisi belakang. Sebuah gazebo berwarna coklat terletak teguh di tengah taman mini itu.
"Macam mana sayang, suka tak?" tanya Mazni lembut seraya memaut bahu anak gadisnya yang jelas kagum dengan rumah baru mereka itu. Puterinya itu segera angguk-angguk kepala.
"Shah, apa pendapat kamu tentang rumah mama ni?"
Mazni menoleh pandang ke arah anak angkatnya pula. Seperti suaminya, Mazni turut melayan keluarga Ridzwan seperti darah daging sendiri. Mazni dan Azizah juga telah lama bersahabat baik.
"Cantik sangat, mama. Apa nama banglo ni, mama?" tanya Elman sama teruja melihat rumah itu.
Dahulu dia kekok membahasakan Mazni dengan nama mama dan Nizam sebagai papa. Namun, setelah jelak dipaksa Reny, dia mula membiasakan diri dengan panggilan itu.
"Emmm... Mama tak fikir lagi."
"Apa kau ni, Elm? Rumah pun perlukan nama ke?" soal Reny dengan dahi yang berkerut.
"Saya tanya saja. Selalunya rumah besar-besar ni, orang berikan nama."
"Ooo, kalau macam tu, aku namakan rumah ni, rumah. Sebab ia memang sebuah rumah!"
"Main-main, main-main!"
Reny dan Elman sempat berbahas akan hal nama rumah itu sebelum mereka sama-sama meninjau keadaan dalam banglo. Nizam berkeputusan untuk bermalam di banglo itu bersama Mazni, Reny dan keluarga Ridzwan untuk sehari sebelum kembali ke Kampung Sayang.
Malam itu, usai menunaikan solat isyak berjemaah, mereka berkumpul di meja makan untuk menjamu selera. Mazni dan Azizah yang bertungkus lumus memasak petang tadi mula menghidangkan nasi beriani bersama lauk ayam masak merah, dalca kambing dan acar timur dan nanas. Kordial oren turut dibancuh bagi melegakan tekak.
"Mama, kenapa masak nasi beriani? Reny nak makan tomyam," soal Reny yang duduk di sisi Elman. Dia mula merengek manja.
"Kamu selalu sangat makan tomyam pedas, Reny. Tak baik untuk perut kamu, nanti kena gastrik," jawab Mazni lembut sebelum duduk di sisi Nizam. Geli hati melihat anaknya menarik muncung sedepa.
Reny berfikir-fikir sejenak. Dia terlupa akan satu hal. Bagus juga ibunya tak memasak tomyam. Jika tidak, pasti Elman akan makan sama. Sudahlah sahabatnya itu selalu diserang gastrik. Nanti, dia pula susah hati.
"Shah, baca doa makan," arah Ridzwan kepada anak bujangnya. Shah angguk-angguk kepala dan memulakan bacaan doa yang penuh tertib.
Sedang mereka makan, Reny sengaja menambah seketul ayam ke atas pinggan Elman. Dia menguis semua lada benggala di dalam dalca yang tidak disukainya. Kemudian dia memasukkan sayur itu ke atas pinggan Elman. Selang seminit, ada saja lauk yang ditambah ke dalam pinggan pemuda itu.
"Reny, kenapa kamu nakal sangat ni? Kamu tak nak makan, janganlah paksa Shah makan. Dia bukan kuat makan macam kamu," ujar Mazni sambil geleng-geleng kepala.
"Saja," jawab Reny pendek.
Mamanya tak tahu yang dia dalam misi untuk menaikkan berat badan Elman. Ada saja helahnya untuk menambah selera makan Elman Shah. Selang beberapa bulan, bukan Elman yang naik berat badan, tapi dia yang bertambah debab!
Masakan tidak, Elman akan makan bila Reny makan. Namun, metabolisma Reny tidak seperti metabolisme Elman. Reny cepat saja bertambah berat badan!
Ridzwan dan Azizah sekadar tersenyum kecil. Geli hati melihat telatah dua remaja itu. Walaupun Reny tua dua tahun berbanding Elman, tindak-tanduknya masih keanak-anakan. Dan Elman pula lebih matang berbanding umurnya. Jarang sekali Elman bertekak atau membalas kembali usikan Reny yang kadang-kadang agak melampau. Putera mereka itu lebih gemar memendam perasaan dan mengabaikan perkara remeh-temeh.
"Reny, jangan kacau Shah makan. Kamu letak makanan dekat pinggan dia banyak-banyak. Dia bukan mampu habiskan pun." Giliran Nizam menegur telatah puterinya.
"Reny nak dia makan banyak-banyak. Biar semua otot dia naik macam otot Reny."
Reny menyeringai sambil mengangkat lengannya.
"Otot naik? Awak tu perempuan, mana ada ototnya?" celah Elman yang rasa perutnya hampir pecah gara-gara sikap nakal Reny.
"Eh, kau ni. Semua manusia, tak kira jantina, mempunyai otot, okey?"
"Yalah, tapi..."
"Dahlah tu Shah, Reny. Tak baik bergaduh di depan rezeki. Rezeki ni tak boleh ditolak atau dibuang. Allah benci manusia yang suka membazir dan tak pandai bersyukur. Nak bergaduh, tunggu habis makan." Nasihat Nizam itu berjaya mengunci mulut kedua-dua sahabat itu.
Selesai makan, mereka bergerak ke belakang rumah dan berehat di bawah gazebo sambil berborak santai. Elman dan Reny leka membaca komik Naruto di sebuah bangku panjang. Elman menatang semangkuk besar buah-buahan pelbagai jenis yang telah dipotong ibunya. Sesekali Elman menyuap mulut Reny dengan buah-buahan itu dan sesekali dia memenuhkan mulutnya sendiri.
Bukan pertama kali mereka makan dari bekas yang sama. Kadang-kadang sepinggan nasi goreng pun mereka mampu berkongsi sama. Berkongsi minuman adalah perkara biasa.
Reny yang bosan membaca komik, mula merampas bahan bacaan yang berada di tangan sahabatnya. Berjaya membuat Elman menjelingnya geram. Reny yakin Elman tak berani menghambatnya kerana berada di hadapan keluarga mereka.
"Untunglah awak Maz, cantik betul banglo ni," puji Azizah ikhlas.
"Alhamdulillah, Azi. Ada rezeki lebih, kami bina rumah ni. Bukan apa, rumah ini untuk masa depan Reny juga," jawab Mazni tenang.
Lebih sepuluh tahun dia dan Nizam membanting tulang untuk menjamin masa depan anaknya. Dan hari itu salah satu impian Mazni dan Nizam termakbul. Rumah idaman mereka berdua berjaya disiapkan dan dinamakan atas nama Reny. Keseluruhan binaan, rekaan luaran dan dalaman adalah daripada idea Nizam sendiri.
"Kenapa pula untuk Reny?" sampuk Reny dengan wajah blur.
"Memanglah untuk awak. Dah awak tu anak mama. Takkan nak bagi banglo ni untuk anak kodok yang bila dia menyanyi, hujan boleh turun?"
Perlian Elman itu mengundang gelak semua yang berada di situ. Reny mencebik bibir geram.
"Banglo ni memang mama dan papa bina untuk kamu, sayang. Misalnya, umur mama dan papa tak panjang, kamu boleh menetap di sini."
Nizam memandang wajah anak tunggalnya itu dengan penuh kasih sayang. Suasana hening seketika dan Reny berasa sebak.
"Apa ni, papa? Tak mahulah cakap macam tu. Kalau Reny tinggal di sini, Reny nak tinggal dengan mama dan papa."
Reny bertenggek di kerusi Nizam. Wajahnya gelisah dan fikirannya mula dibayangi perkara-perkara buruk.
"Sayang, boleh kamu janji satu perkara?" Mazni memandang Reny lama.
"Janji apa, mama?"
"Apa pun yang berlaku pada masa hadapan, kamu perlu jaga banglo ni baik-baik dan kamu takkan jual banglo ni pada sesiapa. Banglo ini ialah banglo warisan keluarga kita yang dibina atas titik peluh mama dan papa. Boleh kamu janji?"
"Reny janji." Reny dengan mudah menabur janji.
"Banglo ini adalah hadiah mama dan papa untuk kamu. Mama harap, jika mama mati sekalipun, mama boleh mati di sini," tutur Mazni lembut.
"Reny tak sukalah mama dan papa cakap macam ni. Reny nak masuk tidur!"
Reny menghentak kaki sebelum berlalu pergi meninggalkan gazebo itu dengan riak keruh. Dia enggan berpisah dengan kedua-dua orang tuanya!
Azizah menghela nafas panjang sambil memandang sehelai gaun pengantin yang baru siap dijahit. Dia teringat akan peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Buat pertama kali, Azizah menampar wajah anaknya sendiri...
Keputusan ujian bulanan sekolah telah keluar beberapa hari lepas dan Azizah seperti hendak menangis saat melihat keputusan Elman yang sangat teruk. Beberapa subjek gagal dan tiada satu A pun dalam senarai keputusan itu. Sudahlah hujung tahun nanti, Elman bakal menduduki SPM. Terbayang-bayang masa depan anaknya yang gelap-gelita.
Tak cukup dengan itu, sewaktu mengemas bilik anak bujangnya, Azizah terbaca akan diari Elman. Terdapat sepucuk surat terselit di dalam diari itu. Semuanya berkisarkan luahan rasa cinta Elman kepada Reny.
Azizah seperti disambar petir. Selama ini, anaknya itu tak pernah menganggap Reny seperti kakak kandungnya!
"Apa semua ni, Shah?! Exam tak lulus dan kamu berani nak bermain cinta tanpa pengetahuan ibu?!"
Suara Azizah melantun tinggi di dalam bilik Elman.
Mujurlah suaminya tiada di rumah saat itu. Ridzwan pasti sedih jika mengetahui sikap sebenar anaknya itu.
"Kenapa ibu baca diari Shah? Surat Shah?!" soal Elman sedikit menjerit.
Elman yang malu rahsianya terdedah turut sama meninggikan suara. Lupa yang dia sedang berhadapan dengan ibunya. Dengan wanita yang melahirkannya...
"Kalau ibu tak baca diari kamu, sampai sekarang ibu tak tahu yang kamu suka dekat Reny!"
"Shah bukan suka dekat dia. Tapi, Shah cintakan dia!"
"Cinta? Kamu jangan nak berlawak dengan ibu, Shah. Kamu tu baru 17 tahun. Apa yang kamu tahu pasal cinta?!"
"Shah cintakan Reny sejak tingkatan satu lagi, ibu. Dan Shah yakin, Reny pun cintakan Shah!" bentak Elman dalam keadaan marah.
"Astaghfirullahalazim... Kamu ni gila ke apa, Shah? Reny anggap kamu macam adik saja!"
Benarlah pepatah yang mengatakan bila lelaki dan perempuan bersahabat, pasti salah seorang akan menanam rasa cinta. Sekarang perkara itu menimpa anak bujang Azizah dan Ridzwan.
"Tak! Shah tak percaya. Reny cintakan Shah!"
"Sedar diri sikit, Shah. Keluarga kita susah. Kamu tu sudahlah paras rupa kurang, belajar pun entah ke mana. Kamu sewenang-wenangnya ingat Reny boleh jatuh cinta pada kamu?!"
"Ah, ibu saja nak burukkan Shah! Shah tak peduli, Shah nak cakap dengan Papa Nizam sekarang juga yang Shah nak kahwin dengan Reny!"
Pang!
Terteleng kepala Elman apabila tangan Azizah hinggap kuat di pipinya.
"Kalau kamu masih sayangkan ibu dan ayah, jangan sesekali kamu berani buat kerja gila macam tu! Persahabatan keluarga kita dan keluarga Reny baik hingga kini. Ibu tak mahu, kerana mulut lancang kamu, keluarga kita bermusuh!" Azizah betul-betul meradang saat itu.
"Ibu tak faham Shah. Ibu tak faham!"
Elman Shah lari keluar dari bilik dan meninggalkan ibunya sendirian. Membawa hati muda yang dirajai cinta tanpa makna.
Azizah duduk di atas sofa sambil meraup wajah beberapa kali. Dia melihat tapak tangan yang masih kemerahan akibat menampar Elman. Pipi lain yang sakit akibat tamparannya, namun hati Azizah lebih rabak bila mengenangkan anak lelakinya itu. Betulkah tindakannya itu? Atau dia perlu membiarkan saja anaknya meluahkan perasaan kepada Reny?
Tidak, tidak sama sekali! Azizah tak mahu Mazni menganggap keluarganya saja ingin mengambil kesempatan atas hubungan baik mereka.
Jika Elman sudah tamat belajar dan mempunyai pekerjaan yang bagus, Azizah tak keberatan untuk melamar Reny menjadi menantunya. Namun, buat masa sekarang dia masih sedar diri. Enggang terbang dengan enggang, pipit terbang dengan pipit. Selagi keluarga mereka hidup susah, mereka tak layak menjadi besan keluarga Nizam!
Sedang Azizah mengelamun, satu kepala terjengul dari pintu rumahnya.
"Ibu, termenung apa tu? Reny bagi salam, tak jawab pun?" sapa Reny yang manis bertudung sarung warna merah.
"Oh, Reny. Masuklah... Maaf, ibu tak dengar salam kamu tadi."
Azizah cuba mempamerkan senyuman ke arah gadis itu.
"Wah, cantiknya ibu!"
Reny terjerit girang saat perasan sehelai gaun putih panjang meleret yang penuh dengan taburan labuci tergantung molek di satu sudut. Dia segera membelek pakaian itu.
"Pandai betul ibu menjahit. Dah macam pereka fesyen terkenal yang buat ni. Kalau Reny kahwin nanti, Reny nak ibu yang jahitkan baju pengantin." Leka sekali Reny membelek baju pengantin itu. Kagum dengan kemahiran Azizah.
"Ibu tahu tak, dengan hasil tangan ibu ni, ibu boleh jadi pereka fesyen terkenal? Ibu boleh buka butik pengantin dan bina jenama sendiri!" tambah Reny lagi.
"Jauhnya kamu berfikir, sayang."
Azizah mencubit lembut pipi gebu itu. Sayangnya kepada Reny semakin bertambah setiap hari. Dia tidak menyalahkan Elman kerana terjatuh hati pada gadis itu. Reny seorang yang sangat ramah dan baik hati. Hati mana yang tak terpaut?
"Ibu, Elman mana?"
"Dia pergi kedai sekejap. Ibu suruh beli barang dapur sikit," tipu Azizah dengan riak tenang.
"Ooo..."
"Reny, ibu nak tanya sesuatu boleh?"
"Tanyalah ibu."
"Reny sayang Shah tak?"
"Sayang. Kenapa ibu?"
"Kamu sayangkan dia, atau cintakan dia?" soal Azizah seraya menatap sepasang mata coklat cair itu. Wajah ceria Reny berubah dalam sekelip mata. Terpamer riak keliru di raut jelita itu.
"Cinta? Taklah, ibu. Reny anggap Shah sebagai adik Reny. Reny sayangkan dia sebagai seorang adik." Pantas sekali Reny memberikan jawapan.
"Baguslah kalau macam tu..."
"Kenapa ibu tanya?"
"Reny, boleh tolong ibu tak?"
"Apa saja, ibu. Ibu cakaplah, nak Reny tolong apa?"
Soalan Reny itu berakhir dengan permintaan yang tidak mampu Reny lupakan hingga bila-bila. Permintaan yang meranapkan segalanya...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro