Bab 8
"Reny, ibu nak cakap sikit dengan kamu, boleh?"
Azizah mendekati Reny yang berada di dapur, sedang membuka beberapa pek makanan ringan yang dibawanya dari rumah. Makanan ringan dan makanan pedas adalah kegemaran Reny dan Elman.
"Ada apa, ibu?"
"Emmm... Lain kali, boleh tak Reny jangan bawa apa-apa makanan ringan atau makanan pedas lagi ke rumah ini?"
"Eh, kenapa pula ibu? Tak sedap ke nasi lemak sambal udang yang mama Reny buat?" Reny sedikit terkejut dengan permintaan ibu angkatnya itu.
"Eh, bukan tak sedap. Tapi sebab sedap sangatlah yang ibu tak bagi Reny bawa ke sini."
"Reny tak faham."
"Kamu tahu kan yang Shah tu ada gastrik dan tubuh dia agak lemah berbanding budak lelaki lain. Dulu, berat dia 60 kilogram, sekarang dah menyusut pada 50 kilogram. Kalau berat dia semakin menurun, ibu bimbang dia sakit nanti, Reny, " jujur Azizah memberitahu.
Kadang-kadang ada suara-suara sumbang mengatakan yang dia tidak mampu memberi anak sendiri makan hingga Elman Shah sekurus itu.
"Reny sayangkan Shah, kan?" soal Azizah lagi.
Reny terdiam lama sebelum angguk-angguk kepala. Ada benarnya kata-kata Azizah itu.
"Boleh tak kalau Reny tolong nasihatkan Shah? Suruh dia banyak makan makanan berkhasiat. Jangan makan makanan ringan, jangan makan makanan pedas dan banyakkan senaman? Dia selalu main game saja dekat rumah, macam mana badan tu nak cergas?" tutur Azizah penuh kebimbangan.
"Baiklah, ibu. Ibu jangan bimbang. Ini kali terakhir Reny bawakan makanan ringan dan makanan pedas untuk Elman. Reny janji yang Reny akan paksa Elman naikkan berat badan dengan makan makanan berkhasiat. Dia kan adik Reny, Reny wajib jaga kesihatan dia."
"Terima kasih, sayang."
Azizah tersenyum gembira sambil mengusap pipi gebu gadis itu. Beruntung sungguh anak bujangnya kerana dapat bersahabat baik dengan gadis itu.
Reny mengotakan janjinya kepada Azizah. Dia berhenti daripada membawa sebarang makanan pedas atau makanan ringan untuk Elman. Sebaliknya, dia sering membawa buah-buahan dan bijiran berkhasiat untuk sahabatnya itu. Elman yang tidak tahu niat sebenar Reny selalu merungut akan perubahan sikap gadis itu.
Tidak cukup dengan itu, Reny memujuk papanya agar membeli dua buah basikal. Dia memaksa Elman menunggang basikal bersamanya ke sekolah. Nizam yang tahu akan kejadian malang menimpa puterinya sewaktu menaiki bas kali lepas, bersetuju sahaja dengan permintaan anaknya itu. Dia rasa Reny lebih selamat dengan Elman.
Pada mulanya, puas Elman menolak permintaan Reny, namun gadis itu tetap degil. Setelah Reny mengugut yang dia tidak mahu ke sekolah lagi, Elman terpaksa mengikut arahan gadis itu. Maka setiap hari mereka akan pecah peluh, berkayuh basikal selama 20 minit untuk menuju ke sekolah yang terletak agak berjauhan dengan rumah.
Setiap petang pula, Reny akan mengajak Elman berjoging. Selagi Elman tidak meninggalkan rumahnya, selagi itulah Reny akan berlari-lari anak di hadapan pemuda itu. Sekali lagi Elman akur dengan kehendak gadis itu.
Selang beberapa bulan, Reny buat kepala gila dengan berlakon seolah-olah dia terseliuh. Elman yang bersimpati bersetuju untuk membonceng gadis itu ke sekolah. Dia tidak sedar yang itu semua rancangan Reny untuk menguatkan ketahanan tubuhnya.
"Elm?"
"Emmm?"
"Kenapa diam saja? Ceritalah sikit."
Reny senang hati membonceng di tempat duduk belakang basikal yang dikayuh Elman.
"Saya penat. Tak ada tenaga nak cerita!"
"Amboi, marah pula? Baru seminggu awak bonceng saya. Takkan dah penat?"
Soalan Reny tidak berjawab. Dia menahan gelak. Yakin yang Elman sedang bengang dengannya. Sudah lama mengenali Elman, Reny masak dengan perangai pemuda itu. Jika dia marah, dia akan diam. Jauh berbeza dengan perangainya yang suka menghamburkan kemarahan menggunakan mulut.
Mereka melintasi beberapa buah rumah kampung yang cantik terbina. Elman mengayuh basikal perlahan saat melalui sebatang jambatan yang merentasi sungai nan hijau. Menikmati pemandangan indah itu buat seketika.
Hati Reny dijentik perasaan tenang. Berlegar dalam benak fikirannya, bolehkah kedamaian hari ini bertahan hingga bila-bila? Dia memandang Elman yang gigih mengayuh basikal. Kelihatan peluh berjejeran jatuh dari dahi pemuda itu. Reny meminta maaf dalam hati. Dia bukan sengaja. Semua yang dilakukan untuk kebaikan Elman juga...
"Berdendang mari berdendang, berdendang di seluruh alam. Bergema suara bergema, nazam lebaran..." Reny menyanyi kuat sambil menggoyang-goyangkan kepalanya lembut.
"Dah-dahlah tu. Raya lambat lagi," tegur Elman selamba.
"Biarlah, aku nak nyanyi. Sibuk saja!"
"Masalahnya, suara awak tu tak sedap. Saya takut jika saya terus dengar suara awak, basikal ni tiba-tiba melompat masuk dalam sungai. Lemas kita nanti," komen Elman jujur.
Dia tidak menipu, Reny memang memiliki rupa paras yang cantik. Namun, suara gadis itu apabila menyanyi tidak ubah seperti kodok memanggil hujan. Sakit betul telinganya yang mendengar.
"Bertingkah rentak bertingkah, bertingkah paluan rebana! Berkisah alunan berkisah! Nazam lebaran!"
Reny menjerit lirik lagu Siti Nurhaliza itu kuat di telinga Elman. Hampir saja terbabas basikal ke tepi jalan. Mujur Elman sempat mengawal. Reny buat muka tidak bersalah dan Elman sekadar geleng-geleng kepala. Dia tersenyum kecil. Jenis Reny, makin ditegah makin dia buat!
PADA suatu pagi yang hening, Nizam mengajak Ridzwan bersarapan di sebuah warung yang terdapat di pekan Tanjung Sedili. Lama dia tidak berbual-bual kosong dengan sahabat baiknya merangkap pemandu peribadinya itu. Sentiasa sibuk dengan kerja yang tidak pernah habis.
"Kau ni kenapa Ridz, aku tengok monyok saja dua tiga hari ni?" tanya Nizam seraya mencicip kopi panas yang dipesannya.
Mazni, isterinya sibuk menguruskan perniagaan baru mereka di Kuala Lumpur. Sementara Reny yang selalu ditinggalkan oleh ibu bapanya dan bersendirian dengan orang gaji, kerap bertandang ke rumah Elman. Sekarang ini dia sibuk bermain play station yang baru dibeli papanya bersama Elman.
"Tak ada apa-apalah, Zam."
"Aku ni bukan setahun dua kenal kau. Dah lebih sepuluh tahun kita bersahabat. Kalau kau ada masalah, cerita sajalah. Mana tahu aku boleh bantu?"
Ridzwan menghela nafas panjang dan meneguk tehnya yang terasa pahit. Dia mengambil masa untuk bercerita perihal masalahnya kepada Nizam.
"Kau kenal kan anak perempuan aku?"
"Setahu aku, kau ada dua orang anak saja, kan? Shah dengan Aina. Kalau anak perempuan kau, Aina tu... Sudah tentulah aku kenal. Kenapa dengan dia? Dia bermasalah ke?"
Ermida Aina ialah anak sulung Ridzwan dan Azizah. Puterinya itu berusia 21 tahun dan sedang menuntut pelajaran di Australia dalam bidang rekaan grafik. Ermida Aina jarang pulang ke Malaysia kerana tiket penerbangan mahal dan ibu bapanya kurang berkemampuan.
"Dia tak bermasalah. Aku yang bermasalah. Aku rasa tak mampu lagi nak tanggung yuran pengajian dia di sana, Zam. Mahal sangat. Tapi, aku tak sampai hati nak suruh dia berhenti belajar..."
Ridzwan bingung memikirkan jalan penyelesaian kepada masalahnya itu.
"Eh, kau ni. Ada pula nak suruh Aina berhenti belajar. Kecewalah dia nanti."
"Masalahnya aku betul-betul tak ada duit untuk tampung yuran pengajian dia, Zam."
"Ya, aku faham. Kenapa kau tak cakap dengan aku akan hal ini dari dulu lagi? Aku boleh tanggung keseluruhan yuran Aina hingga dia tamat belajar. Kau tak payahlah bimbang sangat."
"Kau jangan buat kerja gila, Zam. Aku tahu kau banyak duit. Tapi, Aina tu anak aku, tanggungjawab aku untuk membiayai pengajian dia."
Ridzwan sudah mengagak akan jawapan Nizam. Sebab itulah dia berat mulut untuk bercerita.
"Anak kau, anak aku. Anak aku, anak kau. Bukan ke kita selalu cakap macam tu?"
Ridzwan mengangguk-angguk lemah, tidak menyangkal hal itu.
"Aku dah anggap kau macam darah daging aku sendiri, Ridz. Takkan bila kau ada masalah, aku nak pejam mata saja?"
"Tapi..."
"Tak ada tapi-tapi. Ha, dan satu hal lagi. Aku tengok perniagaan produk kosmetik dan jamu kau di pasar malam tu agak menguntungkan. Betul tak?" tanya Nizam dengan wajah ceria.
Nizam tahu yang setiap malam Jumaat dan Sabtu, Ridzwan akan berniaga di pasar malam bagi menambah pendapatan bulanannya. Sahabatnya itu sangat rajin bekerja. Satu sikap yang sangat dikagumi Nizam.
"Alhamdulillah, cukuplah untuk tambah rezeki."
"Beginilah, Ridz. Aku fikir-fikir ada baiknya kalau aku melabur dalam perniagaan kau. Mungkin jika kau ada modal yang lebih besar, kau boleh majukan lagi perniagaan kau."
"Nizam, pihak bank pun tak mahu luluskan pinjaman kewangan untuk business aku. Kenapa pula kau nak melabur dalam perniagaan kecil aku tu?"
"Bank tu, bank punya pasallah. Aku nampak potensi business kau tu. Kau jangan bimbang. Berjaya atau tidak, aku tolak tepi. Apa yang penting, aku nak bantu kau, sebab kau sahabat aku. Dan aku harap kau tak menolak sebab aku tak suka akan penolakan."
Nizam tersengih di hujung bicaranya dan Ridzwan sekadar mampu angguk-angguk kepala. Sahabatnya itu memang tegas dan agak suka mendesak. Reny saling tidak tumpah mengikuti perangai ayahnya itu. Bapa borek, anak rintik.
"Ha, esok kita akan ke Johor. Bawa isteri kau dan Shah sekali, biar dia teman Reny," tokok Nizam tenang.
"Kau ni, Zam. Manjakan sangat anak bujang aku tu. Macam-macam kau beli untuk dia. Basikallah, komiklah, play station lagi. Memang senang hati betullah budak tu."
"Shah tu aku dah anggap macam anak lelaki aku, Ridz. Aku suka dia. Berbudi bahasa, rajin dan hormat orang tua. Yang paling aku suka, dia tu jujur. Sama macam kau."
"Macam mana kau tahu yang anak aku tu jujur?"
"Kau tahu kan yang aku upah dia untuk semak dan betulkan typing error dalam setiap dokumen komputer yang aku buat?"
Ridzwan angguk-angguk kepala. Elman Shah ada bercerita perihal itu kepadanya. Anaknya tidak meminta upah untuk pertolongan kecil itu. Namun, Nizam bermurah hati untuk memberi puteranya ganjaran.
"Aku tanyalah dengan dia, Shah nak buat apa dengan duit upah yang papa bagi tu? Kau tahu dia jawab apa?" Teruja sekali Nizam bercerita.
"Apa?"
"Dia cakap dia nak gunakan duit tu untuk belikan hadiah hari jadi Reny. "
"Ya Allah, macam-macamlah anak bujang aku tu. Bukannya dia tak boleh minta duit dengan aku untuk beli hadiah Reny." Ridzwan geleng-geleng kepala mendengar cerita Nizam.
"Itulah, aku pun cakap benda yang sama. Akhirnya, Shah jawab... Dia nak beli hadiah untuk Reny dengan duit titik peluhnya sendiri walaupun nilainya kecil. Aku sebagai papa Reny, ikhlas terharu dan senang hati anak aku ada sahabat baik macam Shah."
Ridzwan berasa lega setelah mendengar bicara sahabatnya itu. Jika Nizam terharu, dia sebagai ayah, turut bangga dengan fikiran matang anak lelakinya itu.
"Aku terfikir, jika Shah dah habis belajar dan dah kerja nanti, aku kahwinkan saja Reny dengan dia. Kau setuju tak berbesan dengan aku?" tanya Nizam tiba-tiba.
Pertanyaan mengejut Nizam itu buat Ridzwan tersedak air yang diminumnya.
"Amboi, jauh betul kau berfikir, Zam. Anak aku tu manalah sepadan nak digandingkan dengan anak kau. Reny tu serba-serbi sempurna. Ramai lelaki yang akan berebut-rebut nak jadikan kau bapa mentua pada masa depan nanti."
"Kau tak suka jadi besan aku?"
"Bukan aku tak suka. Tapi, ikhlas aku cakap Zam, hal jodoh anak-anak ni, aku serahkan di tangan mereka sendiri. Aku sebagai bapa hanya berdoa kepada Allah agar mereka dijodohkan dengan pasangan yang baik-baik. Biar mereka pilih pasangan mereka sendiri. Aku tak nak paksa-paksa bila melibatkan hati dan perasaan."
Ridzwan menyusun kata, tidak mahu menggores perasaan sahabat baiknya itu.
"Aku faham. Aku bagi cadangan saja, Ridz. Aku pun berfikiran sama macam kau. Reny tu satu-satunya anak aku. Siapa pun suami dia kelak, aku harap dia bahagia hingga akhir hayat."
Nizam dan Ridzwan sama-sama tersenyum lebar bila mengenangkan masa hadapan anak masing-masing. Sama ada mereka ditakdirkan untuk berbesan atau tidak, biarlah Allah yang menentukan...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro