Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

"Kena lagi?" tanya Elman prihatin.

Gadis yang berjalan beriringan dengannya itu sekadar mencebik dan mengusap-usap tapak tangan yang berasa kebas. Ketika itu, mereka sedang menuju ke arah pondok menunggu bas.

"Apa pula kesalahan kali ni?"

"Lepak belakang sekolah," jawab Reny acuh tak acuh.

"Seronok sangat ke lepak belakang sekolah tu?"

"Seronoklah. Lagipun, cikgu tak masuk kelas. Apa lagi, lepaklah!"

"Tsk... Tsk... Tsk... Macam manalah awak boleh terpilih jadi penolong ketua pengawas, ya? Perangai pun lebih kurang mawas."

"Amboi, amboi, amboi. Sedap betul mulut kau bercakap, kan? Mulut tu nak kena gunting ke? Tangan aku ni dahlah sakit, kau pula menambahkan sakit hati aku. Bukan nak pujuk!"

"Hehehe. Sorry..." Elman ketawa kecil sebelum segera memohon maaf. Bimbang gadis itu berkecil hati.

"Sakit sangat ke?" Elman bertanya lagi setelah Reny berdiam diri. Dia tak puas hatilah tu.

"Sakitlah! Tanya pula!" bentak Reny geram.

Dia baru hendak merajuk lebih lama dengan Elman, namun setelah melihat pemuda itu bersusah payah membeli aiskrim Malaysia di sebuah gerai kecil untuk mendemah tangannya, marahnya hilang begitu saja.

Reny sekadar tersenyum kecil melihat sahabat karibnya itu. Seperti tidak percaya, hampir lima tahun berlalu sejak dia berkenalan dengan Elman. Kini, Elman berada di tingkatan lima dan dia memasuki tingkatan enam atas. Elman masih kurus kering seperti pertama kali mereka bertemu dahulu. Cuma budak comot yang dulu hanya berketinggian paras bahu Reny, kini sama tinggi dengannya. Namun, penampilan Elman masih dalam kategori nerd...

Reny mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia, SPM. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke beberapa buah universiti di ibu negara, namun semua tawaran itu ditolak. Dia rasa berat hati untuk berjauhan dengan keluarga dan juga Elman. Jadi dia berkeputusan untuk menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di sekolah menengah itu sahaja. Mujurlah ibu bapanya memahami dan tidak menghalang niatnya itu.

"Elm!"

"Apa?"

"Tengok tu ada tahi anjing!"

"Mana?!"

Shah melompat kegelian dan segera berdiri di belakang Reny dengan wajah mual. Dia segera melihat tapak kasutnya. Takut-takut terpijak tahi anjing!

"Tipu! Hahaha."

"Main-main, main-main!" Elman menggigit bibir geram saat melihat Reny ketawa terbahak-bahak.

"Kau ni penggeli sangatlah, Elm. Labah-labah kau geli, tahi kau geli, muntah kau geli. Dengan apa yang kau tak geli?" soal Reny sambil menamatkan sisa tawanya.

"Dengan awak saya tak geli."

"Sengal. Aku ni bukan najis. Takkan kau nak geli dengan aku pula?!"

Reny menjegilkan matanya dan Elman sekadar tersenyum senget. Reny masak benar dengan sahabatnya yang begitu penggeli itu. Bila nampak benda kotor saja, mulalah buat muka seolah-olah hendak termuntah. Hendak kata Elman itu pembersih sangat, tak juga!

"Elm?"

"Yup?"

"Habis SPM nanti, apa plan Elm?"

Reny melabuhkan punggung di atas bangku konkrit sambil menjilat aiskrim yang dibeli Elman. Sejak rapat dengan Elman, dia tidak lagi menaiki van sekolah. Mereka sama-sama menaiki bas untuk pulang ke rumah.

"Entahlah, Reny. Elm tak pandai macam Reny. Entah ada ke tidak universiti nak terima Elm sebagai pelajar."

"Eh, apa yang kau merepek ni? Cubalah semangat tu tinggi sikit. Kalau rajin usaha, rajin doa minta pertolongan dengan Allah, tak ada yang mustahil, okey? Orang yang gagal saja suka beri alasan."

Reny sungguh tidak suka bila Elman selalu merendahkan diri sendiri. Reny tahu yang sahabatnya itu agak lemah dalam pelajaran. Dia juga tiada minat dalam sukan. Namun, itu bukan alasan untuk tidak berjaya.

"Emmm... Elm nak berjaya macam Papa Zam. Mula-mula jadi kontraktor, lepas tu jadi businessman," luah Elman sambil memandang langit nan biru. Papa Zam yang dimaksudkan Elman ialah bapa kepada Reny.

Elman kagum dengan kejayaan Nizam. Ayahnya pernah bercerita yang Nizam dahulu hanya anak orang kebanyakan. Setelah ibu bapanya meninggal dunia, Nizam yang merupakan anak tunggal mendapat peninggalan harta pusaka. Nizam menggunakan harta itu sebagai modal untuk mengambil lesen kontraktor dan memulakan kariernya itu. Hampir 10 tahun menjadi kontraktor, barulah Nizam berkecimpung dalam perniagaan hartanah.

"Baguslah kalau Elm fikir macam tu. Tapi, kalau Elm ada cita-cita lain pun, tak salah untuk mencuba."

"Emmm... Apa cita-cita awak?"

"Aku tak pastilah, Elm. Tapi, lepas dapat result STPM, mungkin aku akan sambung study di Kuala Lumpur. Masa ambil degree nanti, baru aku fikir nak kerja apa di masa depan."

"Mesti nanti kita akan berpisah, kan?" soal Elman dengan suara sedikit mendatar. Walaupun masanya belum tiba untuk berenggang dengan Reny, dia sudah berasa sedih.

"Emmm... Apa kata, lepas kau habis SPM, kita sama-sama study dekat Kuala Lumpur? Kita boleh belajar dekat universiti yang sama. Kau ambil diploma, aku ambil degree. Kalau kita tak dapat belajar tempat yang sama pun, asalkan kita tinggal satu negeri, kita boleh selalu jumpa. Nanti senanglah kita lepak sama-sama."

Girang sekali Reny mengutarakan rancangan yang telah lama difikirkannya itu. Wajah mendung Elman bertukar ceria dalam sekelip mata. Mungkin dia dan Reny tidak perlu berpisah atas sebab melanjutkan pelajaran.

"Baiklah, mulai hari ini Elm akan belajar sungguh-sungguh. Nanti kita boleh belajar dekat universiti yang sama." Elman memasang tekad.

"Bagus-bagus. Macam inilah adik aku." Reny mengangkat ibu jari.

"Reny, saya bukan adik awaklah..."

Sejak dulu lagi Elman tidak suka Reny menganggapnya seperti adik. Dia bukan adik gadis itu! Namun, Reny selalu mengabaikan kata-katanya.

"Kau nak tahu tak Elm?"

"Apa?"

"Tadi, masa aku lepak dengan Sad dan Mar, kami pun bersembang pasal karier pada masa hadapan. Kau tahu tak mereka berdua nak jadi apa?"

"Tak tahu."

"Mar nak jadi pramugari dan Sad nak jadi model."

"Ooo..."

Elman kenal benar dengan dua sahabat baik Reny itu. Kedua-duanya sama kepala dengan Reny. Hingga mereka sama-sama berkeputusan menjadi pelajar tingkatan enam.

"Kau rasa kan, kalau aku jadi model, sesuai tak?"

Reny menjongketkan kening. Menunggu respons Elman yang terdiam lama.

"Sesuai tu memanglah sesuai, sebab awak cantik," puji Elman ikhlas.

"Tapi tak perlulah awak jadi model. Berdosa kut... Tayang badan kepada orang ramai. Banyak lagi sumber rezeki yang halal awak boleh buat."

Nasihat Elman membuatkan Reny tergelak kecil. Walaupun Reny lebih tua berbanding Elman, fikiran Elman jauh lebih matang berbanding Reny. Sebab itu, Reny suka bersahabat dengan pemuda itu.

"Aku berlawak sajalah, Elm. Kalau aku cantik macam bidadari pun, aku tak akan jadi model. Kecuali, otak aku dah tak berapa betul."

"Baguslah kalau awak fikir macam tu."

Mereka berhenti berbual apabila bas yang ditunggu telah tiba. Ramai pula yang menaiki bas petang itu. Tempat duduk penuh dan hanya ada satu kerusi yang kosong. Elman mengarahkan Reny agar duduk di situ dan dia berdiri di sisi gadis itu.

Selang beberapa ketika, bas berhenti dengan mengejut. Elman hampir tersungkur di atas lantai bas kerana tidak mampu mengimbangkan tubuhnya. Mujurlah, Reny sempat menarik beg sandang pemuda itu. Menghalangnya dari jatuh. Reny terburu-buru bangun dari duduk.

"Kau duduk, biar aku berdiri. Melayang pula nanti." Reny bimbang sahabatnya itu akan jatuh tergolek.

"Awak perempuan, awaklah duduk."

"Jangan nak mengada-ada, kau duduk sekarang."

"Tapi..."

"Kalau kau degil, aku malas lepak rumah kau lagi," ugut Reny serius.

Akhirnya, Elman akur dan beralih posisi. Wajah Elman berkerut-kerut apabila pak cik yang duduk di sisinya menghisap rokok. Asap berkepul-kepul terbang di hadapan Elman. Dia menekup hidungnya sebelum menghadap Reny yang berdiri.

Reny tergelak kecil saat melihat wajah tidak puas hati Elman. Tahu yang sahabatnya itu sangat benci dengan bau asap rokok. Walaupun bas itu mempunyai papan tanda larangan merokok, masih ada individu yang tidak mahu mengikut peraturan. Hendak ditegur, takut digelar biadab. Mujurlah, bas kampung itu dibina dengan tingkap yang boleh dibuka luas. Tidaklah mereka sesak nafas!

Reny memandang wajah Elman lama. Reny anak tunggal dalam keluarga. Dia kurang tahu bagaimana perasaan sayang antara adik-beradik. Baginya, Elman itu adik lelakinya dan satu-satunya sahabat rapatnya dari golongan Adam.

Ada juga mulut-mulut yang gatal menggosipkan Elman dan Reny. Namun, Reny tidak ambil pusing akan hal itu. Dia tahu apa yang dirasainya... Walaupun Elman tidak menganggap Reny sebagai kakak, Reny sentiasa ingin melindungi Elman seperti pemuda itu adik lelakinya.

Bas berhenti dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi menurunkan penumpang. Tiba di sebuah kilang kayu, beberapa orang pekerja asing yang duduk di kerusi belakang mula bangun untuk keluar dari bas. Salah seorang dari mereka yang melintasi tubuh Reny sempat melalukan tangannya di punggung gadis itu dengan sengaja. Elman yang duduk bertentangan terkejut besar melihat kejadian itu.

"Kurang ajar!" Belum sempat Elman bertindak, Reny terlebih dulu menarik rambut lelaki bangsa asing itu.

Keadaan mulai kecoh apabila lelaki berkenaan menolak tubuh Reny kuat. Reny terdorong ke belakang dan hampir terjatuh, namun Elman sempat menahan tubuh langsing itu. Elman yang sama naik angin cuba untuk menumbuk muka lelaki itu. Malangnya, tumbukan lemah Elman tidak menakutkan lelaki itu. Bahkan, Elman pula yang tersembam di lantai bas setelah ditumbuk lelaki itu.

Reny yang terkejut segera menekup bibir Elman yang pecah dengan sapu tangannya. Dia berteriak nyaring dan memberitahu orang ramai dalam bas yang lelaki warga asing itu telah meraba punggungnya.

Penumpang-penumpang lain yang mendengar hal itu mula naik angin. Mereka tidak tunggu lama untuk mengerumuni lelaki berkenaan dan sama-sama membantai penyangak tersebut sebelum menelefon pihak polis!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro