Bab 6
13 tahun lalu...
SMK Tan Sri Jaafar Albar.
"Reny, jom tawaf sekolah? Cikgu Mawar tak datang hari ni."
Sadyana dan Marziana berdiri di sisi meja Reny dengan senyuman girang. Ketika itu kelas 3 Usahawan hingar-bingar dengan suara para pelajar. Guru yang mengajar subjek Sains hari itu mengambil cuti kecemasan kerana anaknya sakit.
"Jom." Pantas saja Reny bersetuju.
Dia yang duduk di kerusi paling belakang mula berdiri dan meregangkan badan. Tiga sekawan itu berdiri di muka pintu, meninjau ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada kelibat guru lain sebelum mereka meninggalkan kelas.
Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Syed Jaafar Albar yang terletak di Tanjung Sedili, Johor adalah sebuah sekolah biasa yang menempatkan lebih kurang 400 orang pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima. Terdapat juga pelajar tingkatan enam bawah dan enam atas.
Sekolah itu terdiri dari lima buah blok bangunan. Blok A, Blok B, Blok E setinggi dua tingkat. Blok C setinggi empat tingkat dan Blok D sekadar satu tingkat. Setiap blok berhubung antara satu sama lain.
Reny, Sadyana dan Marziana mengelilingi Blok A terlebih dahulu. Kemudian menghala ke Blok B. Setiap kali bertembung dengan guru-guru lain, mereka segera mengambil arah yang berlawanan. Jika terserempak dengan guru disiplin, habislah tangan mereka kena rotan!
Puas berpusing ke sana dan ke sini, akhirnya Sadyana atau lebih dikenali dengan nama Sad mengajak dua sahabatnya melabuhkan punggung ke dalam sebuah kelas kosong di tingkat tiga Blok C.
Mereka berborak-borak buat seketika sebelum mata Marziana atau nama singkatannya, Mar terhala ke arah luar tingkap. Mar berdiri di sisi jendela sambil memerhatikan Blok E yang bertentangan dengan tempat mereka melepak. Tidak semena-mena senyuman nakal menghiasi bibir gadis itu.
"Reny, Sad, tengok tu!"
"Apa?" soal Sad sambil mendekati Marziana. Reny ikut sama berdiri di antara dua rakannya itu.
"Faiz tu. Handsome betul!" puji Marziana dengan mata agak bercahaya.
"Handsome, handsome, handsome!"
Sad bersetuju dengan penyataan rakannya. Sementara Reny diam sahaja. Mata mereka bertiga tertumpu ke arah seorang pelajar lelaki yang kelihatan sedang fokus pada guru di hadapan kelasnya. Sesekali dia mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan.
Insan yang menjadi perhatian mereka bertiga itu bernama Faiz Ali. Pelajar tingkatan lima yang sentiasa menjadi buah mulut para pelajar lain. Rupa parasnya menarik, pelajar pintar sekolah dan aktif dalam sukan. Tiga ciri itu mengelaskan Faiz sebagai pelajar paling hot di sekolah. Dia juga pelajar harapan guru-guru.
Sadyana dan Marziana masih sibuk membahaskan hal Faiz ketika telinga Reny dapat menangkap sayup-sayup bunyi seseorang melengking. Dia meninggalkan kedua-dua sahabatnya itu dan keluar dari kawasan mereka melepak.
Pantas saja kakinya menapak mencari punca bunyi yang menjamah halwa telinga. Dari tingkat tiga dia mendaki ke tingkat empat dan langkahnya terhenti apabila terlihat seorang budak lelaki terbaring di kaki lima dengan kertas yang bertaburan di sekelilingnya. Tiga orang pelajar lelaki senior mengelilingi murid malang itu.
"Kau ni memang bodoh, kan? Kenapa kau report dekat Ustaz Amir yang kita orang merokok?!" jerkah salah seorang daripada mereka.
"Nak berlagak baiklah tu!" sampuk pelajar kedua pula.
"Kita tibai saja budak lembik ni. Baru dia tahu kita ni siapa!" cadang pelajar yang ketiga.
"Amboi, amboi, amboi!"
Suara Reny meledak apabila salah seorang daripada pelajar itu mengangkat buku lima untuk menumbuk pelajar yang masih berada di atas lantai.
"Mak bapak kau orang hantar kau orang pergi sekolah untuk belajar. Kau orang datang sini nak jadi samseng pula, ya? Tsk... Tsk... Tsk..." Reny mendesis sambil bercekak pinggang memandang satu demi satu wajah tiga orang pelajar senior itu.
Tiga orang pelajar tingkatan empat itu terkedu memandang Reny. Mereka kenal akan gadis pintar yang kerap menjadi sebutan guru-guru itu. Tak semena-mena, mereka kecut perut. Belum sempat Reny menambah kata, ketiga-tiga budak lelaki itu pecut melarikan diri.
"Tak guna betul. Ingatkan berani sangat tadi. Lari pula!"
Reny mendengus dan geleng-geleng kepala. Takkanlah gengster takut dengan pengawas sekolah?
"Hei, kau okey ke?" tanya Reny sambil mencangkung, melihat wajah pelajar yang kena buli itu.
Tubuh pelajar itu kurus kering dan agak bantut. Rambutnya tersisir rapi belah tepi. Baju sekolah yang putih bersih bertompok kotoran lantai. Ekspresi wajah yang seperti ingin menangis itu buat Reny jatuh kasihan. Hidung budak lelaki itu kemerahan dan terdapat hingus yang berlelehan.
"Saya okey," ujar budak lelaki itu sebak.
"Haish, budak lelaki mana boleh nangis. Tak macho!"
Reny mengeluarkan sehelai sapu tangan dari poket baju kurungnya sebelum menghulur kain itu kepada budak lelaki berkenaan. Sepasang mata yang cantik terbentuk itu terkebil-kebil memandang Reny. Terpesona dengan wajah gadis di hadapannya.
"Diam pula. Kesat hingus tu!" Reny menenyeh sapu tangannya ke hidung budak lelaki itu. Sapu tangan bertukar tuan.
Reny berbaik hati memungut semua kertas yang bertaburan di atas lantai. Reny fikir mungkin budak lelaki comot itu bertembung dengan pelajar-pelajar yang merokok di belakang sekolah. Pasti budak lelaki itu mengadukan hal berkenaan pada guru disiplin. Justeru, mereka naik angin dan mahu memukul tukang buat laporan!
"Lain kali, kalau ada orang nak pukul kau, lawan habis-habisan. Jangan kau tadah saja untuk dipukul."
Reny memberi nasihat tidak berasas. Dengan badan kerangka budak comot itu, bagaimana dia hendak melawan?
"Tapi, mereka ramai..."
"Ceh, kau ni mesti tak tengok filem Tamil, kan? Hero filem Tamil, dia boleh kalahkan 20 orang penjahat dalam sekelip mata saja!"
Dia menyerahkan kertas latihan kepada budak comot yang berketinggian paras bahunya. Alahai, kenapa bantut sangat?!
"Itu tipu saja. Berlakon... Takkan awak percaya?"
Eh, budak ni... Pandai melawan pula! desis Reny dalam hati. Baru dia berkira-kira untuk meneruskan perbualan, kedengaran bunyi derap langkah laju menghampiri mereka. Dari kejauhan, kelihatan Sad dan Mar sedang memecut ke arah Reny.
"Reny, lari weh! Lari! Ustaz Amir dekat belakang!" Sad menjerit lantang.
Mendengar nama Ustaz Amir, Reny seperti disambar kilat. Matanya membuntang sebelum dia lintang-pukang melarikan diri. Mengikut langkah teman-temannya. Budak comot terpaku di situ seperti melihat hantu.
"Haish, budak-budak ni. Kalau aku dapat, siaplah!"
Kedengaran suara garau Ustaz Amir tak jauh dari tempat budak comot itu berdiri.
"Ha, kamu. Buat apa dekat luar kelas ni?! Kamu ponteng kelas, ya?!" soal Ustaz Amir tiba-tiba. Tercabut sebentar jantung budak comot itu apabila ditengking Ustaz Amir.
"Errr... Taklah, ustaz. Saya pergi ambil kertas latihan dekat bilik guru." Budak comot itu mengajukan kertas latihan di tangannya sebagai bukti.
"Emmm... Pergi masuk kelas sekarang. Jangan berlegar-legar di kaki lima."
Ustaz Amir memberi arahan tegas sebelum berlalu. Memburu tiga sekawan yang tak serik-serik makan sebatan rotannya!
Reny melambai-lambai tangan ke arah Sad dan Mar sebelum mereka pulang ke rumah masing-masing. Reny menghela nafas panjang sambil mengusap telapak tangannya yang merah dan berasa kebas.
Teringat peristiwa tadi, mereka bertiga fikir sudah selamat daripada cengkaman Ustaz Amir setelah berjaya kembali ke kelas. Malangnya, Ustaz Amir sudah cam akan wajah mereka. Hampir 15 minit juga mereka berkejar di sekeliling sekolah, melarikan diri dari guru disiplin itu.
Namun, sebaik saja mereka memasuki kelas, Ustaz Amir sudah sedia menunggu. Satu sebatan hinggap di tangan mereka bertiga bersama denda mengemas Blok A selepas pulang dari sekolah. Tak cukup dengan itu, telinga Reny naik nanar mendengar bebelan Ustaz Amir yang terkenal dengan sikap garangnya. Yalah... Kalau tak garang, mana layak jadi guru disiplin!
Disebabkan denda itu, Reny pulang lewat dari kebiasaan. Van sekolah yang selalu dinaikinya sudah lama berlalu pergi. Terpaksalah dia menapak ke pondok menunggu bas bagi pulang ke rumah. Jam menunjukkan pukul 4.00 petang dan cuaca agak redup ketika itu.
Reny tersenyum lebar apabila terlihat bayang budak comot sedang duduk di atas bangku pondok menunggu bas. Langkahnya dilajukan mendekati budak lelaki itu.
"Hai, budak comot!" sergah Reny ceria.
Budak lelaki itu terpinga-pinga sebelum wajahnya sedikit kemerahan apabila terpandangkan Reny.
"Hai... Saya bukan budak comotlah."
Dia sedikit tergagap-gagap dan menundukkan kepala. Budak lelaki itu sedang memegang sebatang aiskrim Malaysia. Beberapa batang lagi berbungkus ada di dalam plastik merah, di sisinya.
"Kenapa lambat balik?" tanya Reny ramah sebelum melabuhkan punggung di sisi budak lelaki itu.
"Errr... Saya pergi perpustakaan. Baca buku."
"Oh..."
"Awak, terima kasih sebab tadi tolong saya," tutur budak lelaki itu laju.
"Sama-sama. Tapi, jangan panggil aku, awak," ujar Reny tiba-tiba.
"Kenapa pula tak boleh?"
"Kita tak sebaya, okey. Kau tingkatan satu dan aku tingkatan tiga. Jadi kau kena panggil aku kakak. Kalau kau geli nak panggil aku kakak, kau boleh gunakan gelaran kau dan aku." Mudah sekali Reny membuat keputusan.
Budak lelaki itu terdiam lama, menyedari kebodohan sendiri. Tertipu dengan wajah keanak-anakan Reny. Masakan ada pelajar tingkatan satu yang sudah menjadi pengawas? Tambahan lagi, gadis itu lebih tinggi berbandingnya.
"Nama aku Reny Fathia. Orang panggil Reny. Nama kau apa?"
Reny menghulurkan salam perkenalan.
"Maaf. Ayah saya kata, lelaki tak boleh bersalaman dengan perempuan bukan mahram."
"Ops, sorry." Reny termalu sendiri. Dia menjatuhkan tangan.
"Nama saya Elman Shah bin Ridzwan. Orang panggil saya Shah."
"Ooo... Sedap nama kau. Mulai hari ni, akak panggil kau Elman atau Elm!" Reny menyeringai gembira.
"Tapi, orang lain panggil saya Shah?"
"Dalam hidup kau, cuma akak seorang saja yang boleh panggil kau, Elman atau Elm. Faham?"
Budak comot itu angguk-angguk kepala. Bersetuju sahaja dengan permintaan penyelamatnya itu.
"Sebelum ni saya tak pernah nampak pun awak naik bas?" tanya Elman dengan nada hampir berbisik.
"Eh, kau ni. Kan aku dah cakap, panggil aku akak. Kau tu lebih muda daripada aku, mana layak panggil aku guna saya dan awak?"
"Tapi... Awak bukan kakak saya."
Reny mendengus geram. Sebal pula bercakap dengan budak comot ni. Patutlah ada yang geram sampai hendak membuli budak itu.
"Emmm... Apa kata kau jadi adik angkat aku? Jadi bolehlah kau panggil aku kakak dan aku panggil kau adik, kan?"
"Ayah saya kata, tak ada istilah hubungan angkat antara lelaki dan perempuan."
"Okey, fine. Takkan ayah kau tak ada cakap yang orang muda mesti menghormati orang tua? Kau ada sepupu perempuan yang lebih tua daripada kau?" tanya Reny ramah.
"Ada."
"Kau panggil dia apa?"
"Kakak."
"Kenapa kau panggil dia kakak? Dia sepupu kau, kan?"
"Sebab dia lebih tua daripada saya."
"Ha, tahu pun. So, kau pun kena panggil aku kakak. Sebab aku lebih tua daripada kau." Petah sekali Reny berbicara hingga Elman tak bisa membantah lagi.
"Banyak kau beli aiskrim? Akak minta satu boleh?" Reny terlihat bungkusan aiskrim Elman.
Elman angguk-angguk kepala sebelum menyerahkan sebatang aiskrim kepada Reny. Reny tidak memakan aiskrim itu, tetapi dia menekapkan aiskrim itu atas telapak tangannya yang masih kebas.
"Masih sakit ke awak?" tanya Elman prihatin. Dia tahu yang Reny kena sebat kerana tangan gadis itu kelihatan kemerahan.
Reny mengecilkan biji matanya. Budak comot ni memang tak makan saman. Susah sangat ke nak panggil dia akak?
"Sakit. Sakit hati."
"Huh?"
Elman terlepaskan aiskrim di tangannya. Dia mahu mengambil kembali aiskrim yang bergolek di atas tanah itu, namun Reny pantas menegah.
"Kotorlah, Elm. Jangan ambil."
"Awak tengok ni."
Elman tak jadi mengambil aiskrim itu. Namun, dia menjumpai sebutir guli di atas tanah.
"Guli?"
"Emmm... Cantik, macam warna mata awak. Warna matahari terbenam."
Elman tersenyum manis sambil mengamati guli yang berwarna coklat cair itu. Tidak perasan yang Reny sedang tersipu-sipu malu dengan penyataannya.
Pertemuan di sekolah itu adalah titik perkenalan dalam hubungan Reny dan Elman. Sejak hari itu, mereka berteman baik. Reny tidak menyangka yang Elman ialah anak kepada pemandu kereta ayahnya, Ridzwan.
Dahulu, Elman menetap di Johor Bharu. Setelah ayah Reny berbaik hati mengizinkan keluarga Ridzwan duduk di salah sebuah rumah sewa miliknya, Elman berpindah ke Kampung Sayang. Jarak rumah mereka sekadar berselang beberapa buah rumah.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Oh, Reny. Masuklah, sayang."
Azizah, ibu kepada Elman menjengah ke luar pintu. Dia tersenyum manis saat terlihat wajah cantik anak perempuan majikan suaminya itu.
Dalam masa empat bulan berkenalan dengan Elman, Reny sudah rapat dengan keluarga sahabatnya itu. Begitu juga dengan Elman. Ridzwan dan Azizah telah menganggap Reny seperti anak mereka sendiri. Tambahan pula, Ridzwan banyak terhutang budi dengan bapa Reny, Nizam.
Nizam membenarkan Ridzwan menginap di rumah sewa miliknya tanpa sebarang bayaran. Nizam adalah seorang kontraktor juga usahawan hartanah yang berjaya. Dia dan isterinya menetap di Kampung Sayang bersama Reny dan pembantu rumahnya, Sara.
"Ibu, mana Elman?"
Reny menyalami tangan wanita berusia 30-an itu sebelum meninjau ke segenap arah. Sudah terbiasa memanggil wanita itu ibu kerana Reny menganggap Azizah sebagai ibu angkatnya.
"Dia kalau hari cuti ni, duduk mana lagi. Dalam biliklah tu. Buat tahi mata."
"Haish, apalah Elm ni!"
"Assalamualaikum, Reny."
Satu suara lain muncul dari dapur dan menyapa Reny. Reny terkebil-kebil seketika.
"Waalaikumussalam. Eh, Faiz? Kau buat apa dekat sini?" Reny sedikit terkejut melihat Faiz ada di rumah Elman.
"Faiz ni datang untuk tempah baju Melayu dia," jawab Azizah lembut.
Azizah menggunakan bakatnya dalam bidang jahitan untuk menjadi tukang jahit di kampung itu. Jahitan yang berkualiti bersama harga yang berpatutan menyebabkan ramai orang menempah baju dengannya. Keramahan Azizah membuatkan dia disenangi orang kampung.
"Ooo... Ibu, saya nak pergi gerak Elman."
"Pergilah, Reny."
Reny menapak pantas menuju ke arah bilik Elman. Belum sempat dia membuka pintu, Faiz berdeham dari arah belakang.
"Kenapa?"
"Kau nak masuk bilik Shah?"
"Yalah."
"Perempuan mana boleh masuk bilik lelaki."
"Kenapa pula?"
"Manalah tahu kut-kut dia baru lepas mandi ke, dia tidur tak berpakaian ke atau..."
"Maaf menyampuk. Dia Elman aku. Ini bukan pertama kali aku masuk bilik dia. Kau tak payah nak memandai-mandai."
Dahi Reny berkerut dek tak puas hati dengan tutur Faiz. Nak tempah baju, buatlah cara nak tempah baju. Sibuk pula masuk campur hal orang!
Sementara Faiz agak terkejut dengan penyataan Reny. Elman aku? Apa hubungan gadis jelita itu dengan budak comot lagi nerd seperti Elman?
Faiz sudah lama cuba mengurat Reny. Namun, gadis itu enggan melayan. Faiz hanya bisa menegur gadis itu dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum atau aktiviti yang melibatkan pengawas kerana Faiz ialah ketua pengawas. Panas betul hatinya bila melihat Reny begitu rapat dengan budak hingusan tingkatan satu itu.
"Biar aku masuk dulu. Kalau dia berpakaian lengkap, baru aku izinkan kau masuk."
Faiz selamba membuka pintu bilik Elman yang tak berkunci dan menutupnya di hadapan Reny. Reny melopong! Apa hal pula Si Faiz ni?
"Ibu!"
Selang beberapa saat, telinga Reny menangkap jeritan kuat Elman. Dia tak tunggu lama untuk membuka pintu. Faiz sedang mengekek ketawa di satu sudut sambil memegang perut sendiri. Elman teresak-esak di atas katil sambil menepis-nepis rambutnya.
"Hei, Elm... Kenapa ni?!"
Reny berdiri di sisi katil Elman sambil bertanya cemas. Dia melihat rambut lelaki itu yang kusut-masai.
"Ada... Ada labah-labah!" Elman tersedu-sedan.
"Labah-labah?"
Reny pantas mengirai selimut Elman. Dan molek sahaja satu objek terpelanting dan jatuh atas seluar Elman.
"Ibu!"
Bergema sebentar rumah batu sederhana besar itu dengan teriakan Elman. Dia melompat dari katil dan bersembunyi di belakang tubuh Reny. Sementara Faiz masih tak henti ketawa.
"Elm, jangan menjerit boleh tak?!"
Reny melihat objek hitam yang molek tergolek di atas tilam Elman. Tangannya menggapai objek itu.
"Reny, jangan dekat! Saya takut!"
"Elm, ini labah-labah plastik sajalah. Yang kau takut sangat kenapa?" soal Reny dengan nada sedikit marah. Mendengar penjelasan Reny, barulah Elman menghentikan tangisannya.
"Budak cengeng. Penakut. Baru nampak labah-labah plastik dah menangis serupa pondan!" ejek Faiz puas hati.
Tadi, dia memang sengaja membaling labah-labah plastik untuk menakutkan budak kurus kering itu. Elman yang sedang membaca buku di atas katil, terkejut besar apabila ada sesuatu mendarat di atas kepalanya.
"Pondan kau kata? Tak guna!"
Tangan Reny pantas menggapai sebuah kamus kepunyaan Elman yang terletak di atas meja belajar sebelum melemparkannya ke arah Faiz. Tepat mengenai dahi pemuda itu!
"Aduh!"
Faiz mengaduh kuat sambil memegang dahi sendiri. Terasa bergegar kepalanya seketika.
"Shah, kenapa terjerit-jerit ni?" tanya Azizah seraya menjengah bilik anak bujangnya.
"Oh, tak ada apa-apalah, mak cik. Kami bergurau saja. Faiz balik dululah."
Laju sekali Faiz menjawab. Bimbang Reny mengadu perbuatannya kepada Azizah. Dia segera beredar dari bilik itu dengan perasaan bengang. Azizah menghantar anak muda itu hingga ke muka pintu.
"Kau ni, kan aku dah pesan, jangan mudah sangat menangis. Kau tu lelaki!"
Reny berdiri menghadap Elman yang sedang duduk di birai katil. Dia memandang wajah comel yang sedang mengelap air mata di hadapannya. Ah, nak marah lebih-lebih, tak sampai hati pula!
"Saya takut dengan labah-labah."
"Kau tu lelaki, mana boleh takut dengan labah-labah. Dengan apa-apa pun tak boleh takut. Lelaki mesti berani!" Reny memberikan ceramah motivasi.
"Jadi lelaki ni suara kena lantang, muka kena berlagak sikit! Walaupun kau takut, kau berlakonlah yang kau tak takut! Barulah orang yang nak buli kau tak jadi nak buli kau!"
Bila bercakap, Reny memang over! Inilah akibat terlalu banyak tengok drama-drama dan lambakan filem pelbagai genre. Reny pun terikut-ikut sama.
"Reny, awak pergi duduk luar. Ayah saya kata tak elok awak masuk dalam bilik lelaki."
Reny menderam kecil. Orang cakap lain, dia cakap lain. Pandai betul nak mengelak!
"Yalah, yalah. Jom ke rumah aku. Mama ada buat makanan kegemaran kau. Nasi lemak dengan sambal udang campur petai yang super duper pedas. Nanti kau boleh bawa balik sini, bagi ibu dan ayah rasa pula," ujar Reny girang. Elman mengukir senyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro