Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Suasana agak gamat di Jazz Cafe dengan kunjungan lebih daripada 12 orang mahasiswi dari universiti berhampiran. Sudah dua bulan mereka cuti semester dan tidak berpeluang mengunjungi kafe itu.

"Wah, peminat-peminat kau dah muncul kembali, Jazz!"

Reny yang baru masuk kerja tersengih melihat pelanggan-pelanggan tetap kafe itu. Pasti mereka rindu untuk melihat wajah pemilik kafe. Siapa lagi jika bukan Jazmi?!

Selang seminit, pasti gadis-gadis itu akan curi-curi melihat wajah Jazmi. Jazmi segak dengan kemeja hitam lengan panjang yang disingsing paras siku bersama jean kelabu.

"Kakak, I miss you!"

Jazmi menyeringai sebaik melihat tampang jelita itu. Sudah lima hari Jazmi tiada di kafe kerana sibuk dengan penggambaran di Jepun. Pagi itu, dia baru berkesempatan untuk bertugas seperti biasa.

"Tak payah nak miss sangatlah. Ada aku kena kejar dengan secret admirer kau nanti!"

"Akak, nah ni oleh-oleh."

Jazmi menyerahkan sebuah beg kertas kepada Reny yang sedang menyarung vest hitam di atas kemeja putihnya. Beg kertas bertukar tangan.

"Tak payahlah baik hati sangat belikan oleh-oleh untuk aku. Aku tak minta pun."

"Eh, untuk akak, walaupun tak minta, Jazz mesti sediakan."

"Kenapa pula?"

"Sebab akak kan tanggungjawab Jazz."

"Tanggungjawab tengkorak kaulah." Reny sudah masak dengan ayat-ayat manis pemuda itu.

"Orang dah bagi hadiah tu, cakap sajalah terima kasih." Syafa tiba-tiba mencelah.

Gadis itu baru keluar dari dapur Jazz Cafe sambil menatang sedulang pastri yang telah siap dibakar. Dia menyusun pastri-pastri panas itu ke dalam bekas bertutup.

Syafa Nadrah ialah graduan jurusan seni kulinari MSU. Dia amat berbakat dalam pembuatan pastri. Apabila tahu yang Jazmi memerlukan seorang cef pastri bagi kafenya, Syafa segera merebut peluang itu.

Jazz Cafe telah beroperasi hampir tiga tahun. Kafe itu berkonsepkan kontemporari dan mempunyai sentuhan desa. Dekorasi dalamannya dipenuhi dengan warna hijau dan putih. Jazz Cafe menawarkan pelbagai jenis pastri yang menyelerakan. Terdapat juga beberapa menu menarik seperti pasta, steak dan chicken chop. Tarikan utama kafe itu adalah kelazatan kopinya dan jus buah-buahan segar pelbagai perisa.

"Thanks, Jazz."

"No, thanks. Jazz ikhlas nak bagi akak. Akak bukalah." Jazmi pula yang teruja untuk melihat reaksi Reny terhadap hadiah pemberiannya.

Reny mengeluarkan sebuah kotak sederhana besar dari beg kertas itu. Kotak terbuka dan matanya dapat menangkap sehelai pakaian yang diperbuat daripada sutera licin berwarna merah darah.

"Nak buat lawak ke ni?"

"Why? Jazz teringin nak tengok akak pakai."

"Pakai kimono?" Reny menayang riak jengkel apabila Jazmi angguk-angguk kepala.

"Apa occasion aku nak pakai kimono?"

"Saja-saja?"

"Saja-saja memang taklah aku nak pakai!"

Reny menyimpan kembali kimono atau pakaian tradisional negara Jepun itu kembali ke dalam kotak.

"Mungkin nanti Jazz akan arahkan semua staf kafe ni pakai kimono. Kita tukar gaya Jepun pula. Mesti akak seksi kan bila pakai kimono?" usik Jazmi lagi.

"Kalau Reny yang pakai memanglah seksi. Tapi kalau aku yang pakai, seksa! Kau buatlah peraturan pakaian tu dekat kafe lain ya, Jazz."

Jemah yang baru muncul setelah selesai menyusun atur buah-buahan di dapur berdiri di sisi Reny. Jemah yang berbadan agak gempal merasakan dia sangat tidak sesuai untuk bekerja sambil memakai kimono. Jazmi ni bukan boleh dikira sangat. Dia sibuk nak tengok Reny pakai kimono, ada juga semua staf kafe itu terlibat sama dengan kegilaannya!

"Alahai, kau ni Jemah. Chubby pun nampak sweet bila pakai Kimono. Macam CJ-7."

"Banyaklah kau punya sweet. Jangan nak mengada-ada. Ada pula kau samakan aku dengan CJ-7? Bagi aku, binatang tu tak comel, okey!"

Reny dan Jazmi tergelak besar saat melihat wajah cemberut Jemah.

CJ-7 adalah satu watak alien berwarna hijau dalam filem komedi arahan Stephen Chow, pengarah terkenal China. Kebanyakan daripada penonton filem itu beranggapan yang CJ-7 adalah alien yang comel. Namun, tidak bagi Jemah. Dia melihat watak CJ-7 itu sebagai satu makhluk yang menggelikan. Disebabkan itulah, Jazmi suka menyamakan Jemah dengan CJ-7. Bab menyakat orang, Jazmi nombor satu!

Jazz Cafe mempunyai enam orang pekerja tetap dan lima orang pekerja sambilan. Jazmi selaku pemilik dan pengurus kafe itu. Tiga orang pekerja lain termasuk Syafa, bertugas di bahagian dapur. Sementara Reny dan Jemah menguruskan bahagian hadapan kafe. Mereka pelayan tetamu, mereka pembancuh kopi dan mereka juga juruwang.

Kafe itu beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam. Reny dan Jemah bertugas dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Shif malam diambil alih oleh pekerja sambilan.

Reny dan Jemah bersahabat baik. Perangai mereka agak berbeza. Namun, mereka memiliki satu ciri yang sama. Mereka gila kerja untuk meningkatkan taraf hidup masing-masing. Mereka berdua kerja di kafe dari pagi hingga petang. Dan tengah malam mereka bekerja sambilan di 7-Eleven pula.

"Jazz, kenapa kau hadiahkan Reny kimono? Kau bagi aku, t-shirt biasa saja?" soal Syafa dengan nada tersinggung.

Syafa yang baru selesai menyusun pastri menghampiri tiga rakan baik itu. Bukan Syafa tak tahu yang Jazmi lebih rapat dengan Reny dan Jemah berbanding dirinya. Walhal, dulu Jazmi dan dia selalu melakukan aktiviti kelab dan persatuan bersama sewaktu menuntut di MSU.

"Eh, kira untung aku nak bagi kau t-shirt. Kalau tak, aku bagi kau fridge magnet saja." Selamba Jazmi menutur kata. Orang dah bagi oleh-oleh kira syukurlah, banyak songeh pula!

"Kalau kau bagi aku fridge magnet, aku buang dalam tong sampah," jawab Syafa angkuh.

Reny dan Jemah berpandangan sama sendiri. Biadabnya!

Mereka bertiga menyewa sebuah rumah bersama. Namun, sejak awal lagi Syafa seolah-olah mencipta jurang antara mereka. Mereka tidak bermusuh dan tidak juga terlalu rapat. Syafa lebih suka menyendiri dan hidup dalam dunianya yang dirasakan lebih baik berbanding Reny dan Jemah.

"Oh, kalau kau dah berniat nak buang, baguslah. Lain kali kalau aku travel mana-mana, aku tak akan belikan kau apa-apa souvenir. Buat membazir duit aku saja," ujar Jazmi dengan perasaan meluat.

"Janganlah, Jazz. Gurau aje. Aku suka t-shirt putih yang ada gambar dan tulisan 'I Love Japan' tu. Aku akan pakai t-shirt tu setiap hari," balas Syafa bersama ketawa yang dibuat-buat.

"Terima kasih banyak Jazz untuk coklat dari Jepun yang kau hadiahkan aku tu. Sedap sungguh," sampuk Jemah tiba-tiba. Saja ingin menyakitkan hati Syafa.

"Emmm... Aku memang ingat nak hadiahkan Syafa coklat juga. Tapi sebab dia jaga badan dan asyik diet, jadi aku tukarkan coklat itu kepada t-shirt."

Jazmi memberi jawapan selamat. Enggan digelar majikan yang double standard. Namun, itulah hakikatnya, bila melibatkan Reny dan Jemah, layanan yang diberikan pasti berbeza dengan staf-staf lain.

"Huh!" Syafa hanya mampu mendengus kecil.

"Morning..."

Loceng angin yang bergantung di hadapan pintu Jazz Cafe berdenting lembut. Suara gemeresik lagi macho itu menyebabkan semua mata terhala ke arah muka pintu. Seperti ada cahaya terang yang baru menerobos masuk ke dalam kafe itu hingga membuatkan semua orang terkesima. Reny dan Jemah terkebil-kebil sebelum menelan liur.

"Eh, Reny... Itu bukan mamat psycho yang nak kiss kau minggu lepas tu ke?" bisik Jemah perlahan.

"Kau agak-agaklah... Masa bila pula dia nak kiss aku?"

"Habis tu apa? Dia nak ambil dan makan chewing gum dari mulut kau ke?"

Jemah menginterpretasikan peristiwa mengejut yang berlaku minggu lepas dengan mata kasarnya sendiri. Apa hal pula mamat itu datang ke Jazz Cafe? Hendak mengganggu Reny lagi ke?

"What's up, bro? Aku baru nak call kau!" Jazmi segera mendekati sahabat baiknya itu dan berjabat tangan.

Shah sempat menjeling ke arah Reny yang comel bertudung bawal satin hitam dan memakai vest yang juga berwarna hitam. Rindu sungguh untuk menatap wajah itu walaupun baru seminggu tak bersua muka. Shah sekadar mampu melihat gadis itu dari jauh sejak pertemuan minggu lepas. Bimbang jika dia tersalah langkah, Reny semakin menjauh.

"Aku tahulah Shah ni handsome. Tak payahlah nak tenung dia sampai terkeluar biji mata." Jazmi memperli Jemah yang ralit melihat Shah dari atas hingga ke bawah.

Sahabatnya itu segak dengan kemeja biru cair yang cukup padan dengan tubuh tegapnya. Seluar slack hitam membalut kaki panjangnya dan dia membimbit sebuah briefcase. Syafa tak berkelip mata melihat Shah. Sementara Reny sekadar memandang skrin komputer kaunter pembayaran. Jemah memberi bahasa isyarat agar Jazmi menghampirinya.

"Apa?"

"Sinilah kejap."

Jazmi mendekati Jemah. Gadis itu berbisik di telinganya seraya memandang Shah.

"Kau kenal ke mamat tu?"

"Kenallah. Dia best friend aku."

"What?! Tak pernah nampak pun sebelum ini?"

"Dia jarang datang sini. Kenapa kau tanya? Berkenan ke?" Jazmi sama berbisik.

"Ceh, tak nak aku. Handsome pun kalau psycho nak buat apa?"

"Dia tak ada penyakit mental, okey? Kau kawan aku, tapi dia kawan sejati aku. Jadi, jangan buruk-burukkan dia. Nanti aku naik angin."

"Ceh, kau gay ke apa? Nak defend bagai?" Jemah menjuih bibir tanda meluat dengan kenyataan Jazmi.

"Jealous ke?"

"Huh!"

Jemah mendengus geram. Malas hendak melayan kerenah Jazmi yang mula tersenyum lebar. Dia mengatur langkah menuju ke dapur. Jika pemuda bernama Shah itu ialah kawan sejati Jazmi, Jemah taklah bimbang sangat dengan keselamatan Reny.

"Hai Shah, dah lama tak jumpa. You apa khabar?"

Dunia Syafa seperti dihiasi pelangi indah saat melihat wajah kacak itu. Hari yang dinanti-nantikan muncul secara tidak dijangka. Shah memandangnya sekilas sebelum kembali berbual dengan Jazmi. Syafa bengang dengan reaksi Shah!

"Mesti best kan Jazz, you travel ke Jepun. Ada salji tak kat sana? Mesti sejuk, kan?" Syafa membuka topik itu tiba-tiba.

Jazmi memandang lama gadis yang lengkap beruniform cef berwarna hitam dan putih itu. Daripada ramai-ramai gadis yang belajar sama tempat dengannya dahulu, mengapa gadis ini paling agresif hendak mendapatkan perhatian lelaki sepertinya dan Shah?

Selalunya, gadis-gadis bertudung seperti Syafa jarang sekali cuba mendekati lelaki secara berhadapan. Lainlah jika Jazmi atau Shah yang memulakan perkenalan terlebih dahulu. Berbeza dengan Syafa. Sejak dahulu lagi, dia yang sering mendekatkan diri walaupun tahu Jazmi dan Shah kurang melayan.

Hendak kata Syafa itu tak laku, ramai saja mahasiswa-mahasiswa MSU dahulu yang tergila-gilakannya. Syafa boleh dikategorikan dalam kumpulan gadis-gadis yang ayu. Wajahnya iras-iras Mira Filzah, pelakon baru yang sedang meningkat naik dalam dunia hiburan masa kini. Orangnya lemah lembut bak gadis Melayu terakhir. Mengapa gadis itu masih sibuk hendak mengurat dirinya atau Shah yang sah-sah bad boy?

"Tak membaca ke? Pengetahuan am saja kut. Aku yang tak belajar tinggi pun tahu. Sekarang ni bulan Mei. Salji tak ada. Sekarang dekat Jepun, musim bunga," sampuk Jemah yang muncul dari dapur seraya menatang dua biji tembikai.

Senyuman lebar Syafa mati begitu saja. Jazmi yang melihat perubahan seraut wajah itu segera memberi isyarat mata kepada Jemah. Tak mahu staf-staf bermasam muka sesama sendiri.

"Tapi... Musim bunga dekat sana tak secantik musim sekarang ni."

Mata Jemah membulat apabila melihat Shah selamba mengambil setangkai bunga mawar segar yang terdapat di dalam sebuah pasu di atas kaunter juruwang itu.

Shah menghirup haruman segar bunga merah itu seraya memandang Syafa dengan tunak. Sengaja berdiri di hadapan kaunter pembayaran agar Reny dapat melihat segalanya dengan jelas!

Matanya ke lain, hatinya ke lain dan fikirannya ke lain. Semua jadi tidak tentu arah bila Shah berhampiran dengan Reny Fathia!

"Apa maksud you musim bunga dekat sana tak cantik?" soal Syafa dalam nada gedik. Dia fokus pada Shah.

"Bunga-bunga dekat sana langsung tak setanding dengan kecantikan you," tutur Shah dengan nada menggoda sebelum melalukan bunga mawar itu atas pipi Syafa.

Syafa kaku sebelum senyuman mekar mula terukir dan pipinya kemerahan. Syafa pantas berpaling ke arah lain. Jantungnya seperti ingin meletup dek kata-kata dan reaksi spontan Shah itu.

"Emmm... Pergi masuk dapur, Syafa. Kau banyak kerja lagi perlu dibuat," arah Jazmi tegas. Jazmi kurang senang melihat gelagat gadis itu.

Syafa mencebik bibir dan menghentak sebelah kakinya tanda tidak puas hati dengan arahan Jazmi. Dia terpaksa pergi. Baru hendak mengurat Shah!

"Perempuan perasan. Sekuntum bunga sakura dekat Jepun tu pun jauh lebih cantik berbanding dia." Shah menderam kecil.

Jazmi tergelak. Bermuka-muka betul sahabat baiknya itu. "Tak baiklah kau buat dia macam tu, Shah."

"Habis tu, kau nak suruh aku buat macam mana? Aku cakap sarkastik kau marah, aku tak layan dia, dia maki aku dalam diam. Kalau aku maki dia, nanti kau cakap aku biadab dengan kaum Hawa pula?" bebel Shah agak panjang.

"Kau layan dia macam biasa sajalah."

"Aku layan biasalah tu. Kau ada nampak aku layan istimewa ke?"

"Nope. Haish, entah bilalah kau nak serius dalam perhubungan Shah?"

"Tak lama lagi..."

Shah bersuara perlahan sebelum matanya melirik ke arah Reny yang pura-pura sibuk mengira duit di kaunter.

"Sayang..."

Meremang bulu roma Reny bila Shah memanggilnya dengan gelaran itu. Dia mengangkat wajah dan hidungnya hampir menyentuh bunga mawar yang tiba-tiba dihulurkan kepadanya.

"For you."

Shah mengenyit mata nakal, cuba menduga hati Reny. Senyuman lebar terlakar di bibir bila Reny mengambil bunga mawar itu dari tangannya.

"Thanks."

Reny menjatuhkan bunga mawar itu tepat ke dalam tong sampah yang terletak bersebelahan kakinya. Perasan yang senyuman Shah lenyap begitu sahaja dan pemuda itu mencerlung marah! Jangan ingat Reny Fathia mudah tergoda seperti Syafa Nadrah. Shah silap orang!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro