Bab 2
Jazmi terkebil-kebil apabila melihat Shah bangun dari duduk. Sahabatnya itu menghulurkan salam perkenalan yang jarang sekali diberikan kepada seorang gadis.
"I'm Shah. Nice to meet such a beautiful lady like you."
Sesaat...
Dua saat...
Tiga saat...
Tangan Shah masih belum bersambut!
"Hahaha!"
Gelak Reny menyebabkan Shah terkedu. Gadis itu kenal dia ke?
"Kenapa akak gelak?" tanya Jazmi ingin tahu.
"Kau dengan kawan kau, sama saja, Jazz. Buta apa cakap aku cantik?" soal Reny sambil menahan tawa. Suasana janggal mula menular di meja itu buat beberapa saat.
"Gaya aku sekarang ni macam perempuan yang terlepas lari dari hospital mental. Macam ni kawan kau cakap cantik? Tak patut, tak patut."
Reny terus melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi kosong. Membiarkan Jazmi menyalam tangan pemuda itu.
"Tak payah try akak aku. Dia ni bukan jenis Adele," bisik Jazmi ke telinga Shah.
Shah merenung Reny sekilas lalu sebelum menggigit bibir. Perempuan ni nak berlakon baik ke apa? Boleh pula Reny cakap dia buta? Geramnya hati! Tak nampak ke yang mata helangnya mampu menawan ribuan gadis? Setiap renungannya bisa menggetarkan naluri mereka. Argh, apa yang kau merepek ni, Shah?!
"So, you ni jenis girl yang tak bersalaman dengan lelaki? Or jenis pura-pura tak nak bersalaman dengan lelaki?"
Soalan mengejut dan penuh sarkastik Shah itu buat mata Jazmi terbeliak. Takkan Shah bengang sangat sebab Reny menolak untuk menyambut huluran salamnya?
"Hmmm. Pura-pura kut. Sedap sikit bunyinya," jawab Reny selamba.
Sedar yang pemuda bernama Shah itu menekankan perkataan pura-pura sebentar tadi. Kononnya, hendak memerlilah tu. Entah-entah nak cover bengang sebab Reny enggan bersalaman dengan dia!
"Dah agak dah."
Shah mengukir senyum senget sebelum melarikan pandangannya daripada terus memandang Reny. Menjangka Reny akan naik angin sebentar lagi.
"Apa tu, akak?" tanya Jazmi apabila melihat Reny mengeluarkan sebungkus plastik kecil dari poket sweater yang masih lembap.
"Hairpin nak bagi Madam Lee. Kotaknya dah basah. Aku buang tadi."
Reny mengabaikan perlian Shah. Dia membuka bungkusan itu dan mengeluarkan sebentuk pin rambut yang mirip sekali dengan pin rambut pemberian Shah kepada Madam Lee Hwa.
"Oh my, God. Samalah pin akak ni dengan pin rambut yang Shah bagi kepada Madam Lee."
Jazmi membelek pin rambut itu lama. Yakin yang Reny membeli objek itu melalui perkhidmatan atas talian. Dia bukan baru sehari mengenali Reny...
"Please la, Jazz. Shah mana pandai beli hadiah dari Chow Kit. Hairpin yang Shah bagi Madam Lee, made in London, okey? Mungkin luaran nampak sama, tapi I yakin material hairpin yang kawan you beli tu low quality," bentak Adele dengan nada meluat.
Paling menyampah bila ada gadis sibuk ingin menempel di sisi Shah mahupun Jazmi. Baginya gadis itu tak sama taraf dengan mereka untuk duduk semeja apatah lagi berbual mesra. Hanya gadis sepertinya yang layak mendampingi Shah dan Jazmi!
"Eh, you ni. Mana you tahu akak I beli hairpin ni dekat Chow Kit? Dia..." Bicara Jazmi tergantung bila Reny menepuk bahunya lembut.
Shah yang melihat adegan itu rasa matanya seperti dicucuh dengan besi panas. Apa hal pula nak tepuk-tepuk ni?!
"I mana mampu nak beli pin rambut dari London. Pin rambut ni sajalah yang I mampu beli." Reny membuat suara sedih sebelum menayangkan pin rambut tersebut ke wajah Adele.
"Tapi, papa I pernah pesan, bila nak beri hadiah pada orang, harga tak penting. Buat di negara mana pun tak penting. Yang paling penting adalah ini..." Reny menepuk dada sendiri berulang kali.
"Ikhlas. Tu yang paling penting," sambung Reny lagi.
"Tapi, you jangan marah pula. Itu apa yang papa I cakap dekat I. Mungkin papa you cakap lain."
Reny bangun dari duduk dan menuju ke meja Madam Lee Hwa bersama hadiahnya. Adele, Shah dan Jazmi menyaksikan tindak-tanduk gadis itu. Selamba sahaja Reny membuka pin yang dipakai Madam Lee Hwa dan memakaikan pin pemberiannya pada rambut wanita itu.
Madam Lee Hwa kelihatan sangat gembira dan mengucup kedua-dua belah pipi Reny. Sempat juga wanita itu memperkenalkan Reny kepada bekas anak didiknya yang tertanya-tanya akan gerangan gadis itu.
"Macam mana kawan you tu boleh baik sangat dengan Madam Lee?" tanya Adele tak puas hati.
"Dia bekas pelajar Madam Lee."
"Kita pun bekas pelajar Madam Lee. Tak ada baik macam tu pun? Mesti kaki bodek pensyarah."
"Dia bukan macam you!"
"Kawan you langsung tak hormat majlis, kan? Pakaian macam peminta sedekah! Ada hati nak pergi majlis orang!"
"Madam Lee tak ada tetapkan dress code. Lebih baik berpakaian macam peminta sedekah berbanding pakai baju serupa berbogel," sindir Jazmi pedas berapi.
"Eh, you ni kenapa asyik nak defend dia saja?!"
"Of course. She's my sister. Takkan aku nak defend kau pula?!"
Jazmi mula keluar perkataan kau dan aku kerana dah terlebih meluat dengan bicara Adele.
"Shah, tengok Jazz ni. Biadab betul dia dengan I!" adu Adele kepada Shah.
Shah tayang muka selamba. Dia masih ralit memerhatikan Reny. Malas ambil pusing akan pertengkaran Adele dan Jazmi. Selang beberapa minit, Reny kembali ke meja mereka.
"Shah, cuba teka berapa umur dia ni?"
Jazmi menyinggung lengan Reny dengan sikunya seraya memandang Shah. Jazmi sengaja menukar topik. Penat melayan mulut longkang Adele.
"You panggil dia kakak, kan? 40 tahunlah agaknya," jawab Adele tanpa dipinta.
"Kalau kakak I umur 40 tahun, you tu nenek kebayan bermekap tebal berumur 80 tahun!"
"How dare you!"
Adele mula hendak menyinga dengan perlian Jazmi yang bermati-matian menyebelahi Reny.
"Jazz, apa ni? Tak baiklah cakap macam tu." Reny menenangkan suasana.
"28 years old." Sebaris ayat itu keluar dari bibir Shah.
Adele melopong seketika, gadis itu tua lima tahun daripada umurnya? Tapi, Reny kelihatan jauh lebih muda berbanding Adele sendiri! Seperti remaja 19 tahun! Macam mana Shah boleh tahu umur sebenar gadis selekeh itu?! Tunangnya itu kenal ke dengan Reny sebelum ini?
"Hebat kau, bro! Boleh teka umur dia. Aku dulu ingatkan dia ni budak sekolah menengah." Jazmi tergelak kecil di hujung bicara. Teringat akan peristiwa lama.
"Dah tua tu mengaku sajalah tua. Tak payah nak berlakon macam orang muda." Shah menyedut jus epalnya setelah melemparkan kata-kata yang menyakitkan hati.
Jazmi berkerut dahi. Adele senyum kemenangan. Tiba-tiba saja Shah berjangkit penyakit biadab Adele. Sakit pula hati Jazmi saat itu!
"Jazz, kau dah makan ke?" tanya Reny lembut.
Buang masa saja jika dia bertegang urat dengan manusia seperti Shah. Reny yakin, sikap endah tak endah dirinya terhadap bicara Shah buat hati pemuda itu semakin terbakar.
"Dah kenyang. Akak nak makan apa? Jazz ambilkan?" Jazmi menawarkan diri.
"Emmm... Apa-apa pun boleh."
"Okay. Wait a minute."
Shah mengetap bibir geram. Jarang sekali sahabatnya itu merajinkan diri mengambil makanan bufet untuk perempuan. Selalunya perempuan yang menjadi hamba mereka berdua. Apa sebenarnya hubungan antara Jazmi dan Reny? Mesra semacam. Adik-beradik angkat konon! Kalau terangkat macam mana?!
Perasaan marah campur cemburu mula mengalir memenuhi diri...
"So, macam mana you kenal Jazz?"
Banyak soalan bermain dalam benak fikiran Adele tentang gadis itu. Dia mahukan jawapan.
"Dia junior I masa dekat college dulu," tipu Reny selamba.
"Oh, I see. You ambil jurusan apa?" soal Adele lagi. Rancak pula Adele menjalankan soal siasat.
"Bussiness management."
"Oh, sama course dengan Jazz. Sekarang, you buat apa? Uruskan business parents ke?"
Reny menahan gelak yang datang tiba-tiba. Erk, kau ingat aku ni heroin novel ke? Semua nak kaya bagai! Kalau aku kaya, takkan aku sampai basah kuyup untuk ke sini? bisik Reny dalam hati. Semberono saja dia menjawab soalan Adele. Bohong semata-mata. Siapa suruh percaya?!
"Tak adalah. I kerja dekat Aussie."
"Seriously?! Kerja apa?!"
Adele tersenyum lebar apabila mendengar perkataan Australia. Mungkin gadis di hadapannya itu ialah anak orang kaya yang sengaja berpakaian seperti gadis miskin. Yalah, kalau diikutkan logik akal. Adele tak rasa model terkenal seperti Jazmi mahu bersahabat dengan gadis kebanyakan. Terutamanya yang selekeh seperti Reny. Tapi, jika Reny itu anak orang berada, dia sendiri mahu berkawan dengan gadis itu.
"Malulah nak cakap dengan you I kerja apa." Reny tersipu-sipu.
"Nak malu apa pula? Cakaplah, you kerja apa?"
Adele rasa suspens untuk mengetahui karier gadis itu. Entah-entah anak jutawan? Mungkin ada syarikat sendiri?
"Kerja I ni berat sikit. Berhektar-hektar tanah I kena pantau..." sambung Reny dengan sorotan mata penuh misteri.
"Wah, tertarik I! You real-estate broker ke? Tak pun, architect?" soal Adele bertalu-talu. Nada teruja tak dapat disembunyikan lagi.
"Bukanlah..."
"Then?"
"I kerja petik buah epal dekat ladang."
"What?!" Adele terjerit besar.
Shah tersedak air yang diminumnya. Sedari tadi dia memasang telinga sambil berlagak macho. Tiba-tiba Reny buat lawak antarabangsa pula!
Sedaya upaya dia cuba menahan gelak yang hadir setelah mendengar jawapan gadis itu. Dia memalingkan wajah ke kiri dan berdeham kecil. Senyuman terukir di bibir.
Adele masih tercengang. Harapan untuk bersahabat dengan anak orang kaya pecah berderai. Reny sengaja hendak membodohkan dia! Perempuan selekeh ni memang nak kena!
"Makanan dah sampai."
Jazmi muncul sambil menatang makanan dan minuman yang diambilnya dari bufet. Dia meletakkan segelas jus terlebih dahulu ke atas meja. Baru saja dia hendak menghidangkan sepinggan spageti ikan masin, menu utama Flora Terrace, kakinya disadung kuat oleh Adele.
Pinggan yang dipegang terbang tinggi, melayang ke arah Reny. Habis kotor tudung gadis itu. Mujurlah tudungnya berwarna hitam.
"Ops, sorry."
Adele pura-pura tak sengaja walhal memang dia berniat mahu menganiaya Reny.
"You memang sengaja kan, Adele?!"
Jazmi berubah berang. Rasa seperti hendak ditampar saja pipi tunang sahabatnya saat itu.
"Eh, you ni... Kan I dah minta maaf? I tak sengajalah tersepak kaki you!"
"Kau?!"
"Dahlah Jazz, tak payah nak marah-marah. Memang dia tak sengaja tu." Reny selamba memungut spageti yang berserakan di tudungnya.
Shah yang melihat terkedu seribu bahasa. Mengapa gadis itu begitu tenang? Langsung tiada riak marah terpamer di wajahnya. Jika Shah berada dalam situasi Reny, mahu pinggan spageti itu terbang hinggap ke atas kepala Adele!
Entah mengapa Shah rasa dia mahu membalas kembali perbuatan biadab Adele. Shah marah dan bengang bila Adele memperlakukan Reny sedemikian rupa.
Shah memandu kereta mengekori sebuah skuter berwarna merah yang menyusuri jalan dalam pekat malam. Mujurlah Jazmi dan Adele ada membawa kenderaan sendiri. Tak perlulah dia menghantar mereka pulang ke rumah sekaligus menggagalkan misi mengejutnya pada malam itu.
Tiba di satu simpang, skuter yang ditunggang oleh seorang gadis membelok ke kiri dan berhenti di sebuah deretan bangunan kedai. Shah sama menghentikan kereta tak jauh dari kawasan itu. Dia memandang tingkah laku sang gadis dengan penuh tanda tanya.
Tadi, di Flora Terrace, Reny masih sempat menjamu selera walaupun pakaiannya dicemari makanan. Dia bertemu dengan Madam Lee Hwa buat seketika sebelum beredar dari premis berkenaan. Jazmi menawar diri untuk menghantar Reny pulang ke rumah, namun Reny menolak pelawaan Jazmi kerana dia ada membawa kenderaan sendiri.
Shah menyangka yang Reny memandu sebuah kereta mewah. Namun, sangkaannya meleset sama sekali. Gadis itu sekadar menunggang sebuah skuter murah yang keadaannya hidup segan mati tak mahu!
Reny tak pulang ke rumah. Dia singgah di 7-Eleven. Shah fikir, gadis itu ingin membeli barang dari kedai serbaneka tersebut. Apabila Reny menanggalkan sweater yang dipakai, jelas kelihatan gadis itu menyarung uniform 7-Eleven. Uniform yang masih lembap kerana ditimpa hujan sebelumnya...
"Apa dah jadi pada kau, Reny Fathia?!" Sebaris nama indah itu meniti di bibir Shah.
Beberapa ketika, Shah mengetuk stereng keretanya berulang kali. Dia berkira-kira untuk memasuki 7-Eleven.Namun, dia tak larat untuk tertanya-tanya lagi. Shah menggapai sepasang kaca mata hitam dari dalam dashboard sebelum keluar dari perut kereta.
"Selamat datang."
Reny menyapa setiap pelanggan yang mengunjungi kedai serbaneka itu. Dahinya berkerut apabila perasan akan kelibat Shah yang berkaca mata hitam mula mengelilingi rak-rak barangan.
"Eh, customer tu nak curi barang ke apa? Lain macam saja aku tengok?"
Jemah, rakan sekerja Reny yang sama bertugas malam itu berbisik seraya meninjau kedudukan Shah. Sudah lebih 20 minit dia melihat pemuda itu berlegar-legar di premis mereka tanpa membeli apa-apa barang. Bimbang jika pemuda itu berniat untuk mencuri. Bukan boleh dikira sangat manusia zaman sekarang. Lebih gemar menyamun daripada mencari rezeki yang halal.
"Tak kut. Daripada gaya dia, aku rasa dia anak orang berada," jawab Reny acuh tak acuh.
"Kau jangan mudah terpedaya dengan pakaian orang, Reny. Sekarang ni, gaya luaran saja nampak branded. Padahal barangan tiruan semua tu!" dakwa Jemah bersungguh.
"Kejap ya, aku pergi tanya dia nak beli apa."
"Eh, kau ni. Jangan berani sangat boleh tak? Buat tiba-tiba dia hunus pisau dekat leher kau, macam mana?"
"Kau ni berfikiran negatif sajalah, Jemah. Cuba positif sikit."
"Beringat-ingat sebelum terkena!"
"Tak ada apa-apalah. Kau jangan bimbang sangat."
Reny keluar dari kaunter juruwang dan mendekati Shah yang sedang membelek beberapa bungkusan mi segera.
"Shah, you lapar lagi ke? Tak cukup makan dekat Flora Terrace tadi? Sekarang nak makan Maggi pula?" tanya Reny ramah.
"Jangan panggil aku Shah!"
Bicara kasar pemuda itu buat Reny terkebil-kebil.
"Maaf, Encik Shah. Boleh saya tahu Encik Shah nak beli barang apa? Mungkin saya boleh bantu?" Reny menukar gaya percakapannya. Air mukanya masih statik.
"Aku ada mata, tangan dan kaki sendiri. Aku tak perlukan bantuan kau."
"Baiklah. Selamat mencari barang sampai pagi ya, Encik Shah."
Shah menoleh pandang ke arah Reny yang berlalu ke kaunter. Bertambah menggelegak darahnya kerana gagal membuat gadis itu naik angin. Boleh pula Reny blah begitu saja? Bukan ke gadis itu sepatutnya berlutut, memohon maaf daripadanya?! Reny patut menangis air mata darah di hadapannya! Atau Reny pura-pura lupa akan kesilapan silamnya?!
"Dia cakap nak beli apa?" tanya Jemah ingin tahu.
"Tak cakap pun. Memang hobi dia ronda-ronda dalam 7-Eleven ni aku rasa."
Reny mengunyah dua keping chewing gum yang baru dibeli. Cuba menyembunyikan gelojak perasaan saat itu.
"Dia datang, dia datang!"
Jemah cemas bila Shah mendekati kaunter bayaran tanpa membawa apa-apa barang untuk dibeli. Jemah menelan liur apabila melihat pemuda berkaca mata hitam itu memandang tepat wajah Reny.
Reny memang gadis yang kurang perasaan. Jarang sekali Jemah melihat sahabatnya itu terlalu ceria, sedih atau takut seperti gadis-gadis lain. Emotionless. Itu gelaran paling sesuai untuk menggambarkan peribadi Reny Fathia.
"Encik Shah, dah ada keputusan ke untuk beli barang apa?" soal Reny ringkas setelah melihat pemuda itu enggan membuka mulut.
"Do you know my name?" tanya Shah tiba-tiba.
"Encik Shah. Saya belum hilang ingatan lagi. Tadi, Jazz baru kenalkan encik dekat saya."
"Tolong jangan main-main dengan saya. Apa nama sebenar saya?"
Intonasi Shah sedikit meninggi.
"Encik Shah, manalah saya tahu nama sebenar encik apa."
"Damn it, Reny! Kau jangan pura-pura tak kenal aku!" jerkah Shah kuat.
Reny dan Jemah sama tergamam. Bergegar premis itu dengan suara lantang Shah. Bagai tercabut sebentar jantung kedua-dua gadis itu dari tempatnya!
"Reny, kau nak aku call police ke? Mental mamat ni..." Jemah memegang tangan Reny yang sejuk beku. Bersedia untuk lari jika pemuda itu cuba mengapa-apakan mereka.
Shah mendengus bengang sebelum menanggalkan kaca mata hitamnya. Sekali lagi bertatap mata dengan Reny. Geram betul bila gadis di hadapannya itu memandang dia seperti dia seorang penyangak.
"Tengok muka aku, kau tak kenal ke aku ni siapa?"
Lirih sekali soalan Shah ketika itu. Matanya merah dan kelihatan sedikit berair. Menahan pilu yang datang mencucuk sanubari. Setelah bertahun-tahun menunggu kemunculan gadis itu, begini tindak balas yang diperolehnya? Mengapa kau begitu kejam, Reny?
"Mestilah kenal. Awak Shah, kawan Jazz."
Reny memberi jawapan sama. Masih selamba mengunyah chewing gum.
"Okay, fine."
Itu saja yang terluah di bibir Shah. Luka lama terbuka kembali. Dia sangat kecewa dengan sikap Reny. Tak pasti sama ada gadis itu berpura-pura tidak mengenalinya atau memang gadis itu sudah lupa akan kewujudannya. Memikirkan perkara itu, hati Shah koyak rabak!
"Kalau encik tak nak beli apa-apa, encik balik rumahlah. Hari dah lewat malam ni." Jemah memberanikan diri membuka mulut.
"Siapa cakap I tak nak beli apa-apa?"
Mata Jemah membuntang apabila Shah menekan kedua-dua belah tangannya ke atas kaunter juruwang hingga tubuhnya terangkat sedikit dari lantai dan wajahnya hampir menyentuh hidung Reny!
"Chewing gum flavour apa you makan? Sedap betul baunya?" tanya Shah penuh menggoda.
Satu inci saja bibirnya terpisah dengan bibir Reny yang berdiri tegak macam kayu akibat terpegun dengan tindakan mengejut pemuda itu.
"Chewing gum ni! Chewing gum ni!"
Jemah bertindak pantas menarik tangan Reny menjauhi Shah dan dia menghulur dua bungkus kecil chewing gum yang terletak di sisi kaunter kepada pemuda itu. Tangan Jemah menggigil! Gila betul pemuda bernama Shah itu!
"Encik ambil free sajalah chewing gum tu. Selamat malam!"
Jemah cuba menghalau Shah yang tersenyum sinis. Tak kesahlah jika Jemah perlu membayar harga chewing gum itu dengan duitnya sendiri. Asalkan pemuda mental itu cepat beredar dari tempat mereka bekerja!
Shah berpuas hati kerana berjaya melihat wajah pucat Reny. Ingatkan berani sangat tadi! Dia berlalu keluar dari kedai itu dengan membawa chewing gum pemberian Jemah.
Ini baru permulaan, Reny Fathia... Aku akan balas semua rasa sakit yang kau berikan pada aku dulu! Satu demi satu! Kau takkan lepas dari genggaman aku!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro