Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

Azizah berdiri di hadapan sebuah bangunan dua tingkat yang bercat hitam dan putih. Kelihatan deretan gaun-gaun mewah di balik kaca lut sinar tingkat bawah premis itu. Papan tanda hitam keemasan yang berukir perkataan House of Martin tergantung gah di tengah-tengah bangunan. Azizah tersenyum penuh semangat sebelum melangkah masuk ke tempat kerja barunya itu.

"Good morning and welcome to House of Martin."

Seorang gadis berbangsa Cina menyambut kedatangan Azizah.

"Good morning. Saya datang nak jumpa Mr. Ben."

"Oh, ini Madam Azizah, ya?" tanya gadis itu dengan senyuman manis.

"Ya. Saya Madam Azizah."

"Tunggu sebentar, ya? Saya panggilkan Mr. Ben." Sopan santun sekali gadis itu berbicara. Dia bergegas ke satu arah untuk menelefon majikannya.

Selang beberapa minit, seorang gadis berusia dalam lingkungan 30-an turun dari tangga tingkat dua dan mendapatkan Azizah.

"Maaf, Puan Azizah. Terlambat sedikit. Bos kami belum datang."

Bicara gadis yang ringkas berseluar jean koyak paras lutut dengan kemeja lengan pendek itu mengejutkan Azizah. Rupa-rupanya House of Martin ada mengupah pekerja bangsa Melayu!

"Eh, tak apalah. Aunty yang datang awal. Kamu boleh panggil aunty, Aunty Azi saja. Tak perlulah nak berpuan-puan," pinta Azizah lembut. Janggal bila ada yang memanggilnya dengan panggilan puan.

"Baiklah, aunty. Nama saya Syahira. Orang sini panggil saya Syak. Bos dah arahkan saya eskot aunty di sekitar bangunan ni. Nanti bila bos dah datang, saya bawa aunty ke pejabat dia."

"Baiklah, Syak."

Azizah yang berseluar slack hitam, berkemeja kuning cair dan bertudung bawal coklat mengikuti langkah Syak. Mereka beriringan menaiki tangga yang terletak di satu sudut untuk ke tingkat dua. Tempat para pereka fesyen House of Martin menjalankan tugasan mereka. Sambil berjalan, Syak menerangkan dengan ringkas tentang sejarah House of Martin.

Menurutnya, pengasas House of Martin bernama Benjamin Martin. Beliau seorang pemuda yang dilahirkan di Sarawak, namun dibesarkan di Kuala Lumpur. Ayahnya orang Belanda dan ibunya berbangsa Iban. Benjamin pernah menuntut pelajaran di New York dan Australia dalam bidang rekaan fesyen. Dari Malaysia, dia sanggup bermigran ke Melbourne bersama keluarganya untuk mendalami skop fesyen terkini.

Idea-idea baru, segar dan kreatif milik Benjamin menyebabkan rekaan fesyennya disukai ramai. Justeru, dia mampu membuka label House of Martin dengan bantuan kewangan dari kedua-dua orang tuanya. Selang beberapa tahun, label House of Martin gah di persada antarabangsa. Benjamin memenangi beberapa anugerah yang menobatkan dia sebagai pereka fesyen muda yang berjaya.

Benjamin seorang yang berkredibiliti dan berpandangan luas. Dia berkeputusan untuk mengasah bakat-bakat baru dalam dunia rekaan fesyen. Ingin berkongsi ilmu yang dipelajarinya. Mereka yang bertuah dan cukup berpotensi akan direkrut menjadi pereka fesyen tetap di bawah jenama House of Martin.

Justeru, bangunan dua tingkat itu disewa dan dijadikan studio bagi memberi peluang kepada sepuluh orang pereka fesyen muda dari Malaysia menunjukkan bakat masing-masing. Tingkat bawah pula adalah salah satu butik bagi jenama gergasi itu.

Syak memperkenalkan Azizah kepada semua pereka fesyen yang berada di situ. Selain Syak, terdapat dua orang lagi pereka fesyen berbangsa Melayu. Selebihnya adalah berbangsa Cina, Iban dan India. Mereka ramah menyambut kedatangan Azizah sebelum menyambung tugasan masing-masing.

Ada yang sedang menggunting kain, ada yang sedang menjahit dan ada yang sibuk melakar rekaan baru di atas kertas. Menurut Syak, pereka fesyen yang berada di situ bukan tertumpu pada rekaan pakaian sahaja. Ada juga yang mencipta rekaan kasut, aksesori seperti beg tangan, topi, tali pinggang dan juga kostum tertentu. Tugasan mereka dinilai oleh pereka seni kreatif merangkap majikan mereka iaitu Benjamin Martin.

"Good morning, everyone."

Satu suara gemeresik menyapa telinga Azizah. Kelihatan susuk tegap seorang lelaki sedang berjalan kemas menuju ke arahnya. Orangnya tinggi lampai seperti model dan berkulit cerah.

"Good morning, boss." Pereka-pereka fesyen yang berada di situ menjawab serentak.

"Good morning, aunty. Welcome to House of Martin studio."

Benjamin menanggalkan kaca mata hitamnya dan tersenyum manis ke arah wanita itu.

"Ben?!"

Azizah melopong dengan wajah yang tidak percaya. Pemuda kacak itu sekadar tergelak kecil!

Azizah mengenali Ben kerana pemuda itu kerap bertandang ke butiknya dan selalu membeli pakaian-pakaian wanita sejak beberapa bulan lalu. Sangkanya, Ben seorang model kerana wajahnya hampir sempurna terbentuk. Rupa-rupanya, pemuda itu adalah seorang genius fashion designer yang berjaya membawa nama House of Martin di mata dunia!

"Maaf aunty, saya terlambat datang. Stuck dalam jammed."

Ben membawa Azizah ke dalam pejabatnya. Mereka duduk di atas sofa yang terdapat di ruang sederhana besar itu.

"Eh, tak mengapalah, Ben. Sebenarnya, aunty masih terkejut bila tahu yang kamu adalah head of designer di sini."

"Maaf sebab tak beritahu aunty awal-awal. Saya takut orang anggap saya berlagak dengan menjaja nama House of Martin."

"Tak mengapalah, Ben. Aunty tak ambil hati."

Azizah tersenyum kecil sambil mencicip kopi yang dihidangkan pemuda itu. Bangga dengan Ben yang lembut tutur katanya dan fasih berbahasa Melayu. Menurut Ben, dia dibesarkan di Malaysia dan berpindah ke Australia pada umur 15 tahun. Sebab itulah, bahasa Melayu tidak asing lagi dengannya.

"Ben, aunty nak tanya satu soalan boleh?" soal Azizah tiba-tiba.

"Tanyalah, aunty."

"Kenapa Ben pilih aunty untuk jadi perantis di sini? Walhal, aunty dah berumur dan banyak lagi bakat muda di luar sana?"

"Saya bagi jawapan jujur ya, aunty? Saya harap aunty tak marah saya."

"Tak, aunty tak akan marah."

"Actually, my sweetheart loves all your designs. Dia selalu pakai baju-baju yang saya beli dari butik aunty. Baju yang saya reka sendiri pun kadang-kadang dia tak nak pakai. So, saya fikir, kenapa tidak saya bawa aunty ke sini dan dengan idea aunty, saya boleh buat design untuk dia dan juga untuk House of Martin," jawab Ben dengan senyuman gembira.

Azizah tidak terkata, mungkin dia bertuah kerana buah hati Ben itu berkenan untuk menyarung busana-busana ringkas yang direkanya. Beruntung sungguh kekasih pemuda itu. Sanggup Ben menjemput pereka fesyen kecil sepertinya untuk sama-sama mereka baju buat gadis kesayangannya dan House of Martin.

"Terima kasih sebab sudi jawab soalan aunty. Aunty janji akan berusaha gigih untuk menghasilkan pakaian-pakaian terbaik untuk teman wanita Ben, juga untuk House of Martin."

"Sama-sama, aunty. Tak lama lagi akan ada fashion show untuk tema terbaru House of Martin."

"Really? Apa temanya?" Azizah tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja.

"Wedding theme."

"Agak berat temanya tu, Ben. Sempat ke kalau aunty nak siapkan new design dalam masa yang terdekat ni?"

Azizah yang berpengalaman dalam bidang rekaan gaun pengantin agak resah memikirkan hal itu. Jika designnya sudah ada, dia hanya perlu membeli kain dan mula menjahit gaun itu. Namun, jika dia sendiri yang mencipta rekaan itu, masa yang lebih lama diperlukan. Tambahan lagi, House of Martin pasti menggunakan kain-kain bermutu tinggi yang hanya boleh didapati di luar negara. Untuk mencari kain yang sesuai sahaja sudah memakan masa lebih kurang seminggu.

"Eh, aunty jangan bimbang. Untuk wedding fashion show ni, saya dah ada designnya. Cuma saya nak aunty lihat design sketch dan perbaiki lagi. Semua jenis kain yang diperlukan sudah berada di sini."

Penjelasan Ben melegakan hati Azizah. Tapi dia pelik... Mengapa pula dia perlu membetulkan rekaan designer terkenal seperti Ben? Jika Ben yang hendak mencantikkan lagi rekaannya, barulah munasabah!

"Ben rasa aunty layak ke perbaiki design Ben?"

"Of course. Kalau tak, takkan saya jemput aunty datang sini."

Ben masih tersenyum sebelum menghulurkan sehelai kertas yang mengandungi lakaran sehelai gaun pengantin kepada Azizah.

"Nice design," puji Azizah ikhlas. Lakaran itu memaparkan sehelai gaun kembang berlengan pendek dengan jalinan sulaman di bahagian dadanya.

"Kalau boleh aunty buat bagi nampak kreatif sikit dan tak terlalu terdedah."

"Tak terdedah?"

"Yes, my sweetheart yang akan pakai nanti. Dia tak suka gaun yang seksi."

Azizah sekadar angguk-angguk kepala tanda faham. Dia berjaya memperoleh tugasan pertamanya. Namun, dia tertanya-tanya adakah buah hati Ben seorang model? Jika benar dia seorang model, takkan dia tidak suka berpakaian seksi?

Persoalan itu sekadar berlegar-legar dalam minda Azizah. Dia tidak berani bertanyakan soalan yang berada di luar skop kerja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro