Bab 14
Mereka berdua berlegar-legar di pusat membeli-belah yang terletak di tengah-tengah kawasan Bukit Bintang itu selama beberapa minit. Reny terkejut beruk bila Shah tiba-tiba menarik lengannya untuk memasuki sebuah butik ternama.
"Lepaskan tangan saya!" jerkah Reny di hadapan butik itu.
Sedari tadi Shah sewenang-wenangnya mengheret dia ke sana dan ke sini. Walaupun lengannya berlapik dengan kemeja putih, Reny rasa tidak selesa diperlakukan sedemikian rupa.
"Saya bukan tak ada kaki untuk jalan sendiri. Awak tak perlu pegang lengan saya!"
Wajah teduh Reny menyebabkan Shah sedikit tersentuh. Mungkin dia terlalu biadab dan membuatkan Reny tidak senang dengannya. Dia memandang seraut wajah putih yang menyimpan seribu rahsia itu dengan lama.
"Baiklah, sleeping beauty. Silakan masuk."
Shah menundukkan badan, gaya seorang butler yang mengalu-alukan kedatangan tuannya. Ternyata layanan baiknya itu membuatkan Reny tidak berbunyi lagi. Molek saja gadis itu melangkah masuk ke dalam butik tanpa perlu dipaksa.
"Pilihlah mana-mana pakaian yang kau suka. Aku belikan untuk kau," tutur Shah sambil berpeluk tubuh.
"Motif awak nak belikan saya pakaian?"
"Aku sakit mata tengok penampilan kau. Selekeh sangat. Macam mak cik-mak cik yang jual ayam goreng dekat pasar malam."
Shah menghamburkan saja apa yang terlintas dalam benak fikirannya. Bagi Shah, perempuan dan membeli-belah sangat sinonim. Dalam tujuh orang bekas tunangnya, tiada seorang pun yang menolak apabila dia ingin membelanja mereka shopping di deretan butik-butik mewah Pavilion itu. Bekas-bekas tunangnya itu boleh diklasifikasikan kepada dua jenis.
Jenis yang pertama adalah jenis tidak tahu malu dan kaki kikis. Mereka sendiri yang akan mengajak Shah bershopping dan menggoda Shah dengan bicara manja agar Shah membayar harga barangan yang mereka beli.
Jenis yang kedua pula, jenis pelakon murahan. Mereka akan berlakon seolah-olah marah kerana Shah suka membazir membelikan pakaian mahal-mahal untuk mereka. Namun, apabila Shah kata ingin memulangkan kembali pakaian yang telah dibeli, mereka segera bersetuju untuk menerimanya. Shah fikir Reny mungkin berada dalam kategori kedua.
"Selekeh-selekeh penjual ayam goreng tu pun, awak beli makanan yang mereka jual, kan? Kalau awak sakit mata, kenapa awak tak bawa saja semua mak cik yang jual ayam goreng di pasar malam tu untuk ubah penampilan?"
Shah mengusap dagunya dengan wajah tidak percaya. "Kau boleh berhenti membebel tak? Aku berbaik hati nak belikan kau pakaian, kau banyak songeh pula. Pilih sajalah!"
Naluri Shah kuat mengatakan yang Reny sama sahaja dengan kategori kedua bekas-bekas tunangnya. Mula-mula berlakon marah, lepas itu gembira bukan main sebab dapat pakaian mahal!
"Betul ni awak nak saya pilih?"
"Kau pekak ke? Pilih sajalah. Aku yang bayar."
"Baiklah. Saya nak semua dress yang tergantung dekat rak tu."
Reny mengajukan jari telunjuknya tepat ke satu arah. Namun, matanya masih tetap di wajah Shah.
"Saya nak beg tangan itu, itu dan itu." Jarinya mula menghala ke arah rak-rak lain.
"Dan saya nak kasut yang itu, itu dan itu!"
Pekerja-pekerja butik itu yang berdiri berhampiran naik pusing mata mengikut arah jari telunjuk Reny. Mereka mula berpandangan antara satu sama lain. Tiada lagi pembeli barangan butik itu memilih pakaian, kasut dan beg tangan yang harga setiap satunya mencecah ribuan ringgit tanpa meneliti barangan itu terlebih dahulu.
"Macam mana? Cukup duit tak untuk belikan saya semua barangan ni?"
"Huh, kalau kau nak butik ni sekalipun, aku mampu belilah!"
Shah mencemik dengan wajah masam mencuka.
Tidak menyangka yang Reny lebih buruk perangainya berbanding bekas-bekas tunangnya. Reny ialah perempuan kategori pertama bercampur dengan kategori kedua! Kaki kikis dan suka berlakon!
Reny bergoyang kaki sambil bermain handphone saat pekerja-pekerja butik itu mula membungkus satu demi satu barangan yang ditunjuknya sebentar tadi.
Shah pula berdiri di hadapan kaunter juruwang bersama kad kredit platinum kepunyaannya. Shah terdengar akan bisikan-bisikan halus pekerja-pekerja butik itu yang memuji ketampanan wajahnya dan juga betapa untungnya Reny mendapat teman lelaki sepertinya. Tanpa sedar, dia tersenyum kecil.
"Maaf, tiba-tiba saya rasa tak minat pula nak membeli semua barangan tu," celah Reny tiba-tiba.
"Kau ni dah gila ke apa? Sekejap nak, sekejap tak nak!"
Shah menahan sebal dengan sikap berbolak-balik Reny. Apa sebenarnya yang gadis itu mahu?
"Awaklah yang gila sanggup berhabis duit untuk beli semua pakaian, kasut dan beg tangan tu. Daripada awak susah-susah beli barang tu semua untuk saya, lebih baik awak pergi rumah anak yatim ke, rumah orang tua-tua ke dan sedekahkan pada mereka. Dan kalau awak degil juga belikan saya barang-barang dari butik ni, saya akan refund balik tanpa pengetahuan awak."
Shah dan pekerja-pekerja butik itu terkedu dengan bicara Reny. Gadis itu tersenyum nipis sebelum berlalu keluar dari butik. Shah tidak terkata. Sekali lagi terkejut dengan sikap Reny. Dia bukan gadis kategori pertama atau kedua, tapi dia ialah gadis kategori ketiga! Gadis yang tak suka guna duit lelaki!
Shah berbaik hati memberi tip atau duit upah kepada tiga orang pekerja butik yang telah bersusah payah membungkus barangan yang tidak jadi dibeli Reny. Shah tidak mahu mereka memaki hamun Reny dalam hati. Ternyata upahnya itu berjaya membuatkan pekerja-pekerja butik itu tersenyum manis. Yalah, siapa yang tak suka duit?
Shah mendapatkan Reny yang menunggu di luar butik sebelum mengajak gadis itu ke sebuah restoran untuk menjamu selera. Pilihannya adalah restoran masakan Thai bernama Chakri Palace.
Reny terpinga-pinga saat pelayan Chakri Palace datang membawa hidangan makanan ke meja yang didudukinya. Walhal, dia belum sempat melihat buku menu sekalipun! Pemuda yang duduk di hadapannya buat wajah selamba.
"Awak, mereka tersalah hantar makanan ke meja kita ni? Kita belum oder apa-apa pun lagi?"
Reny terpaksa membuka mulut apabila melihat terlalu banyak makanan disusun atas meja itu. Ada seekor ikan siakap goreng bersama sos serai, semangkuk ayam kari hijau juga sepinggan kailan ikan masin, sotong goreng bercili dan ayam pandan. Tidak cukup dengan itu, seorang lagi pelayan restoran menghantar semangkuk besar tomyam, dua pinggan nasi putih dan dua gelas teh ais lemon.
"Kau tak payah oder, aku yang oderkan," jawab Shah tanpa perasaan bersalah.
"Ya Allah. Banyak sangat ni kut. Siapa nak makan?" soal Reny dengan wajah sebal.
Shah ingat dia ni tong sampah ke? Semua benda boleh masuk!
"Kaulah makan. Ini semua makanan kegemaran kau."
"Masa bila pula saya suka makan semua ni?!"
"Kau kan ada darah Thailand. So, kau mesti suka semua ini."
Shah masih ingat akan cerita Mazni. Kata Mazni, arwah nenek Reny adalah seorang wanita berbangsa Siam. Sebab itulah, gadis di hadapannya memiliki sepasang anak mata berwarna coklat cair. Mewarisi kecantikan mamanya...
Sebenarnya, Shah sempat berbisik di telinga salah seorang pelayan restoran ketika melangkah masuk dalam premis itu tadinya. Dia memesan set bagi empat orang makan saat Reny menonong ke arah meja kosong. Itu bukan kali pertama Shah berkunjung ke Chakri Palace. Dia sudah biasa dengan semua menu di situ.
"Sepinggan nasi ni lebih kurang 300 kalori. Ikan ni 510 kalori. Ayam kari ni 370 kalori. Keseluruhan makanan ni pasti lebih daripada 2000 kalori dan kandungan karbohidratnya mencecah ratusan gram!" Reny terjerit kecil.
"Eh, kau ni! Apa hal mengada-ada sangat? Kau tu waitress dekat kafe. Bukannya trainer untuk orang kuruskan badan atau supermodel. Makan sajalah!" bebel Shah sebelum membaca doa makan dan memulakan suapan.
"Nanti saya gemuk..."
"Eh, perempuan ni... Papa kau pernah cakap jangan menolak rezeki. Jangan membuang rezeki dan jangan bergaduh di depan rezeki. Tak baik dan Allah benci manusia yang tak pandai bersyukur. Kau tak ingat ke?"
Reny terkedu mendengar bicara Shah. Wajahnya berubah mendung dan dia terdiam lama. Perlahan tangannya menggapai sudu dan garpu sebelum mula menjamah semua makanan itu. Deria rasanya seperti tidak berfungsi dan perutnya seperti tiada istilah kenyang. Dia mengunyah suapan demi suapan masuk ke dalam mulut. Terasa seperti dapat memenuhi jiwanya yang kosong...
"Dah, tak payah nak paksa diri tu makan. Nanti kalau sakit, aku juga yang susah."
Shah menahan sudu Reny dengan garpunya. Perasan yang gadis itu makan dengan luar biasa banyaknya.
"Makan macam budak kecillah kau ni. Comot sana sini."
Shah tersenyum kecil saat melihat ada butiran nasi di birai bibir gadis itu. Dia menggapai tisu di hadapannya dan mengelap bibir Reny yang tidak beriak. Mata bulat yang terkebil-kebil menatap wajah Shah saat itu bikin hati Shah bergetar kuat.
"Kau jangan tengok aku macam tu," getus Shah tiba-tiba.
"Macam apa?" Lambat-lambat Reny bertanya.
"Macam kucing Puss In Boots. Buat muka konon-konon comel. Muka minta simpati."
"Saya bukan konon-konon comel. Hakikatnya saya memang comel. Saya jauh lebih comel berbanding kucing Puss In Boots tu. Dan saya tahu awak tergoda dengan kecomelan saya."
"Eh, perasan betullah kau ni!"
Shah mencebik bibir dan mengundang gelak kecil gadis di hadapannya. Shah berasa lega, tidak suka melihat wajah jelita itu tanpa ekspresi.
Keluar dari restoran, Reny hampir tersungkur jatuh gara-gara tali sandal yang dipakainya terputus. Mujur Shah yang berada di belakangnya sempat menarik lengan baju Reny. Reny yang tergopah-gapah keluar dari rumah tadinya, lupa untuk memakai kasut bertutup. Dia menyarung saja apa yang terlihat di mata.
"Tsk... Tsk... Tsk... Kau makan banyak sangat ni, sebab tu sandal tu putus." Shah ketawa memerli.
Dia terkebil-kebil melihat Reny menanggalkan kedua-dua belah sandalnya. Gadis itu selamba berkaki ayam dan mahu berlalu pergi dari situ.
"Hei, kau nak pergi mana pula tu?!"
"Baliklah."
"Kau nak berkaki ayam dalam Pavilion ni? Kau dah gila ke?"
"Alahai, berkaki ayam saja pun. Bukan berkaki ular. Takut juga kalau kaki saya ni tiba-tiba mengeluarkan bisa." Reny menyeringai sambil memerhatikan jari-jemari kakinya yang kemerahan.
"Cukup, kau tak payah nak loyar buruk dengan aku. Jom, pergi beli kasut baru."
Shah ingin tergelak dengan penyataan Reny itu. Namun, dia perlu mempamerkan wajah garang. Jika tidak, Reny enggan mengikut kehendaknya.
"Tak payahlah. Membazir saja. Dekat rumah saya banyak lagi kasut lain."
"Aku tak peduli. Aku malu nak berjalan di sisi orang yang berkaki ayam!"
"Kaki saya kaki manusia sajalah. Bukan kaki ayam. Tengok ni, ada sepuluh jari saja. Tak ada taji pun?" Reny menguit-nguitkan jari-jemari kakinya. Saja bikin Shah naik darah.
"Main-main, main-main! Kau ni kalau tak dipaksa memang susah nak dengar cakap orang, kan?" Sekali lagi Shah mengheret lengan Reny menuju ke sebuah kedai kasut berhampiran.
"Duduk!" arah Shah sambil mengajukan jarinya ke arah sebuah kerusi empuk yang terdapat di dalam kedai kasut itu. Kali ini, Reny mendengar kata.
"Cuba pakai ni. Tengok muat ke tak dengan kaki kau."
Shah menggapai sepasang kasut tumit tinggi yang terlihat di matanya.
"Tak naklah. Saya tak suka pakai high heels. Nanti kaki melecet dan mudah terjatuh," komen pertama keluar dari mulut Reny. Dia sekadar terkebil-kebil melihat kasut berwarna merah yang tergeletak di atas lantai di hujung kakinya.
"Cuba ini."
Shah melempar sepasang boots coklat berbulu pula.
"Orang tak pakai boots berbulu pada musim panas."
"Cuba yang ini pula."
Kasut bertutup dengan tapak flat terbang menindih kaki Reny.
"Panaslah pakai kasut bertutup. Too formal. Saya bukan nak ke pejabat pun. Tak sesuai."
"Eh, perempuan ni. Kalau semua tak sesuai, kau nak kasut apa?!"
Shah bercekak pinggang dan mula hendak membebel seperti mak nenek. Jika kedai itu ada menjual kasut Phua Chu Kang memang dia akan beli dan suruh Reny pakai. Banyak sangat songehnya!
"Excuse me, boleh tak bagi saya try sandal paling murah dalam kedai ni?" tanya Reny kepada salah seorang staf kedai itu.
"No way, bagi dia sandal yang paling mahal dalam kedai ni."
Shah mencelah dan staf kedai itu segera angguk-angguk kepala.
"Kenapa awak suka sangat membazir? Mahal ke murah, ia tetap duduk di kaki. Lebih baik beli yang murah saja."
"Aku suka barang berkualiti dari hujung rambut hingga hujung kaki. Aku yang bayar, yang kau bising kenapa?"
Shah mengambil sandal yang diserahkan staf kedai itu kepadanya. Dia membongkok di kaki Reny.
"Saya boleh pakai sendiri." Reny rasa tidak selesa bila Shah terlalu prihatin dengannya.
"Susah betul nak beli barang untuk kau ni."
Shah tidak mempedulikan bicara Reny dan dia menyarungkan sandal itu ke kaki Reny. Gaya seorang putera yang melayan Cinderellanya.
"Terima kasih." Reny tersenyum ikhlas.
Dalam deretan sifat biadab Elman Shah, sahabatnya itu masih menyembunyikan kemurnian hatinya. Elman Shah masih baik seperti dahulu. Hanya dia yang berubah...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro