Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

Sudah dua hari Shah tidak berkunjung ke Jazz Cafe. Dia sedang merawat hati yang bengkak dengan sikap Reny. Dia terfikir apa yang akan dilakukannya terhadap gadis itu jika syaitan menguasai minda.

"Kenapa kau tak datang kafe aku?" tanya Jazmi sambil menghentam sebuah bola merah dengan kayu snuker.

Tadinya, Jazmi menelefon Shah dan mengajak sahabatnya itu lepak di sebuah pusat bermain snuker. Bola kecil itu bergolek dan menghentam bola yang lain. Dia dan Shah berpusing di sekeliling meja yang berbentuk segi empat itu.

"Tak ada mood. Jazz, kau boleh tolong aku tak?"

"Apa?"

"Boleh tak kau jangan rapat sangat dengan Reny. Aku tak suka."

Pak!

Bola berwarna hijau dengan angka 3, tepat memasuki jaringnya.

"Maksud kau kakak?"

"Dia bukan kakak kau!" Shah mencerlung sahabat baiknya yang kelihatan sedikit terkejut itu.

"Okey, kau tak payah nak meroyan. Dia memang bukan kakak kandung aku, tapi aku dah anggap dia macam kakak aku sendiri. Masalahnya sekarang, kenapa kau tiba-tiba berubah?"

"Berubah? Maksud kau?"

"Come on, Shah. Sebelum ni, kau tak pernah kesah pun aku rapat dengan mana-mana perempuan, kan? Skandal kau boleh jadi skandal aku. Ada antara tunang tak rasmi kau sudi jadi skandal aku. Bahkan, aku nak mengurat kakak kandung kau, Si Aina tu pun kau buat tak tahu saja. Tapi, sekarang, bila melibatkan Reny, kau melenting. Kau tak ada apa-apa perkara nak explain dekat aku? Sebab serius, aku tak faham dengan situasi kau orang berdua."

Sejak pertemuan pertama Shah dan Reny di Flora Terrace dahulu, Jazmi dapat menghidu sesuatu yang kurang enak antara dua insan itu. Tambahan lagi, dengan Shah yang kerap bertandang ke kafenya. Jazmi bukan buta hingga tak perasan yang sahabat baiknya itu selalu curi-curi pandang ke arah Reny.

Namun, apa yang membuntukan fikiran Jazmi adalah tindak balas Reny. Sekali pun Reny tak pernah menunjukkan reaksi yang dia kenal akan Shah atau berminat dengan sahabat baiknya itu. Jazmi yang menyaksikan dari jauh peristiwa Shah naik angin di hadapan Jazz Cafe kali lepas, mula terfikirkan sesuatu. Adakah Shah dan Reny telah mengenali antara satu sama lain sebelum mereka bertemu di Flora Terrace?

"Kau tak perlu faham situasi kami, Jazz. Cuma satu perkara saja aku boleh cakap. Bagi aku, dia sangat penting dalam hidup aku."

Penyataan Shah itu buat Jazmi terdiam lama. Sah, Reny dan Shah ada sejarah yang tak diketahuinya!

"Baiklah, aku tak memaksa kau untuk bercerita. Tapi, aku pun nak kau tahu yang Reny juga penting dalam hidup aku."

Jazmi memandang Shah serius. Tak mahu sahabatnya itu fikir dia bergurau.

"Ikhlas aku cakap, aku tak mahu tackle dia untuk jadikan dia skandal aku atau jalinkan hubungan yang entah apa-apa tu. Dengan perempuan lain aku boleh buat, tapi dengan akak, aku tak nak. Aku hormat dia dan aku selesa dengan persahabatan kami sekarang," sambung Jazmi lagi.

"Aku kurang jelas, Jazz. Apa yang kau cuba sampaikan?"

"Aku tak kesah kalau kau nak mengurat kakak. Silakan, aku lagi seronok untuk menonton drama kalian. Tapi, tolonglah... Apa pun kesalahan akak dengan kau, jangan kau kasari dia. Jangan kau maki hamun dia tak tentu pasal. Kita ni lelaki, Shah. Dayus kalau kita buat perempuan macam tu walaupun kita ni bad boy."

Tutur Jazmi yang ikhlas hadir dari lubuk hati itu buat Shah terpempan. Dia bersandar di meja snuker. Shah meraup wajah beberapa kali sebelum menghela nafas panjang. Tersedar akan kesilapan diri.

"Kebelakangan ini aku nampak bad boy traits kau macam dah hilang. Apa kau dah lupa ke cara untuk mengurat perempuan bila berhadapan dengan kakak? Kau kalah dengan sikap dia ke?" soal Jazmi sambil tersengih. Cuba mengembalikan mood rakannya itu.

"Aku tak pernah kalah, okey. Kau tengok sajalah nanti, kakak kau tu akan merayu dan menagih cinta aku."

Bongkak sekali Shah berkata-kata.

"That's my friend!"

Jazmi menumbuk lembut bahu Shah. Gembira rakannya tak monyok seperti tadi.

"By the way, kau betul ke tak nak jadi part time model under House of Martin? Peluang keemasan ni, Shah?" tanya Jazmi sambil berpeluk tubuh.

Beberapa hari lepas, salah seorang agen mencari model House of Martin ada menghubungi Jazmi. Mereka sedang mencari seorang model lelaki untuk bekerja sambilan bagi fashion show yang bakal berlangsung tak lama lagi di Kuala Lumpur. Dengan rupa paras dan ketinggian Shah, Jazmi yakin sahabatnya itu akan diterima untuk menjadi model.

"Kau tahu kan yang aku memang tak suka bab-bab model ni?"

"Tapi, kau suka berskandal dengan model-model perempuan, kan? Kalau kau jadi model House of Martin, aku rasa kau boleh tambah sepuluh orang lagi tunang tak rasmi."

Jazmi tergelak dengan bicaranya sendiri. Masih ingat akan beberapa orang skandal Shah yang bergelar model terkenal. Skandal lain, tunang lain...

"Never. Aku dah serik dah. Mereka tu semua spesies kaki kikis."

"Eh, tak semua macam tu. Manalah tahu, kau boleh bertemu dengan model yang tak kaki kikis dan kau boleh jadikan isteri?"

Jazmi masih cuba memancing. Ada sesuatu yang cuba disembunyikannya.

"Model jadi isteri aku? Big no, okay."

"Betul ni kau tak nak? Kau jangan menyesal pula nanti?"

"Tak. Aku takkan menyesal. Aku tahu kau boring jadi model seorang diri. Tak ada geng yang baik macam aku. Kau jangan bimbang, masa fashion show kau nanti aku sanggup datang untuk bagi sorakan," putus Shah mudah.

Keputusan Shah itu buat Jazmi tersenyum lebar. Tak sabar menunggu apa yang bakal berlaku kelak...

Reny menekup mulut yang menguap luas. Dia memisat-misat mata yang rasa hendak terkatup. Perasaan mengantuk menguasai diri. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 7.00 pagi. Dia dan Jemah baru bertukar syif dengan pekerja lain. Mereka berdua melangkah keluar dari 7-Eleven dengan mata serupa panda.

"Jom, aku hantar balik."

Satu suara macho menyapa pendengaran Reny dan Jemah. Mata mereka yang tadi agak sepet kini terbuntang luas.

Tak jauh dari tempat mereka berdiri, kelihatan seorang pemuda kacak sedang bersandar di sebuah kereta BMW 5 Series berwarna biru metalik. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan dalam poket seluar, menampakkan dia lebih bergaya. Pemuda itu santai dengan seluar pendek hijau lumut melepasi lutut dan bert-shirt kelabu tanpa kolar.

Jemah rasa matanya seperti dicucur dengan air saat melihat keindahan makhluk ciptaan Tuhan itu. Dia berpaling ke arah Reny dan nyata sahabatnya itu langsung tak hairan!

"Saya ada ni."

Reny memusing-musingkan kunci skuter yang dikeluarkan dari beg galasnya di hujung jari telunjuk. Skuternya telah berjaya dibaiki semalam.

Zappp!

"Now, you don't have it."

Shah merampas kunci skuter Reny saat gadis itu leka. Dia menyimpan kunci skuter itu ke dalam poket seluar pendeknya. Reny tayang wajah bengang.

"Kalau berani, kau ambillah. Lepas tu, aku akan heret kau ke balai polis atas tuduhan kau raba aku." Shah berpeluk tubuh dan tersenyum sinis apabila terdengar Reny mendengus geram.

Jemah menahan gelak yang bertandang dalam hati. Jelas sangat yang Shah sedang mengurat Reny saat itu. Mengurat dengan cara mencari gaduh!

"Saya tak hadaplah nak raba awak. Okey, awak hantar saya balik. Saya memang suka naik kereta mahal-mahal ni. Tapi, kunci skuter saya bagi pada Jemah. Saya tak nak skuter saya tinggal dekat sini."

Reny mengalah dengan paksaan Shah. Tiada daya untuk bertengkar saat itu. Selamba saja dia menonong ke arah BMW Shah dan memboloskan diri dalam kenderaan itu.

Shah kurang percaya dengan apa yang baru dilihatnya. Dia fikir perang dunia kedua bakal berlangsung sekali lagi kerana dia berdegil untuk menghantar Reny pulang ke rumah. Namun, kali ini... Reny enggan melawan. Shah menyerahkan kunci skuter Reny kepada Jemah.

"Nur Attiqah, I minta maaf sebab terpaksa biarkan you drive skuter Reny. I ingatkan skuter dia belum dibaiki lagi. Sebenarnya I nak hantar you berdua pulang ke rumah bersama."

Shah kurang selesa kerana tidak dapat mempelawa Jemah pulang menaiki keretanya.

"Eh, tak apalah Encik Shah. I tak kesah pun." Jemah tersengih-sengih.

Tak tentu pasal, dia pun ber-I dan ber-you. Berbunga-bunga hatinya bila mendengar Shah memanggil nama penuhnya. Pasti pemuda itu terlihat tag nama pekerja yang tersemat di dadanya. Pesona Shah buat Jemah lupa yang dia pernah menganggap lelaki itu sebagai mamat psycho!

"Tak perlu guna perkataan encik untuk panggil nama I. Panggil saja I, Shah. Kawan Reny, kawan I juga. So, you kawan I."

"Baiklah, Shah."

"Dan satu hal lagi, Reny tak masuk kerja hari ni sebab I nak bawa dia ke satu tempat."

"Tapi..."

Jemah berasa tak sedap hati. Bagaimana jika pemuda itu mengapa-apakan Reny?

"You jangan bimbang, I dah cakap dengan Jazz tentang hal ini. Dan jika I buat sesuatu yang buruk dekat Reny, you cam muka dan kereta I, kan? You boleh buat laporan polis dan I sedia digari."

Shah seperti dapat meneka apa yang berlegar-legar dalam fikiran Jemah saat itu.

"Kalau macam tu, baguslah. Jaga Reny elok-elok, ya? I balik rumah dulu." Jemah sempat meninggalkan pesan sebelum berlalu dengan skuter Reny.

Shah menarik nafas panjang dan menuju ke arah kereta. Dia merancang apa yang perlu diungkapkan saat berdua-duaan dengan Reny. Matanya membulat sebaik saja membuka pintu kereta. Gadis itu sudah lena dibuai mimpi dan kepalanya terlentok atas bahu sendiri. Shah ketandusan bicara.

Seperlahan mungkin dia menurunkan kerusi tempat duduk Reny agar lebih rendah. Tak mahu gadis itu sakit leher akibat posisi tidur sedemikian rupa. Dia menggapai jaket kulit yang tersadai di kerusi penumpang belakang. Dia menyelubung tubuh yang beruniform merah itu dengan jaketnya.

Shah beristighfar dalam hati. Baru berniat untuk mencetuskan perang dengan gadis itu. Lain pula yang terjadi...

Melihat wajah polos itu tidur bersama dengkuran halusnya, hati Shah diruntun perasaan simpati. Mengapa Reny perlu bekerja begini teruk untuk mencari rezeki? Di manakah papa dan mamanya, tempat dia bergantung sejak kecil lagi? Adakah dia dibuang keluarga? Pelbagai persoalan menerjah fikiran Shah. Malangnya, dia tiada jawapan untuk semua soalan itu...

Reny rasa kakinya lebih sejuk berbanding kebiasaan. Rasa seperti tidur di bawah pendingin hawa! Tapi, sejak bila pula biliknya ada pendingin hawa?! Dia seperti baru tersedar dari lena yang panjang lagi menyamankan. Dan apabila kelopak matanya terbuka, dia terlihat seorang pemuda sedang khusyuk bermain game Clash Royale dalam handphone. Reny seperti disambar petir, dia bingkas bangun dan menegakkan badan.

"Good afternoon, sleeping beauty," sapa Shah yang tidak menoleh ke arah Reny. Dia menahan gelak apabila perasan Reny menggelabah memeriksa tubuh badannya sendiri.

"Jangan bimbang, aku tak ada selera nak cabul kau," tutur Shah dengan senyuman nakal.

Reny mengetap bibir geram. Bukan boleh percaya sangat Shah ni!

"Lap sikit air liur basi kau tu. Dah meleleh aku tengok."

Pipi Reny kemerahan menahan malu dan dia cemas mengelap mulut sendiri. Walhal, tiada air liur basi pun di situ. Reny perasan yang dia dipermainkan Shah setelah pemuda itu ketawa mengekek. Sakit pula hatinya saat itu.

"Jangan bimbang, kalau air liur basi kau banjir dalam kereta aku pun, di mata aku, kau tetap sleeping beauty," giat Shah lagi.

Gembira kerana berjaya membuatkan pipi gebu itu bertukar rona. Selalunya, wajah macam ais batu saja. Beku semedang!

"Ya Allah, dah pukul 12.00 tengah hari! Kenapa awak tak gerak saya bangun?!"

Reny yang melihat jam tangan terjerit besar dalam kereta itu. Dia telah terlewat dua jam untuk bekerja di Jazz Cafe.

"Aku tawarkan diri untuk hantar kau pulang ke rumah saja. Aku taklah rajin sangat nak kejutkan kau bangun tidur. Aku bukan jam loceng." Shah memberikan jawapan lelucon.

Reny mendengus kuat sebelum berlalu keluar dari kereta. Dia menghempas pintu BMW itu tanda sakit hati. Molek saja Shah memarkirkan kereta betul-betul di hadapan rumah semi-D dua tingkat yang dihuni Reny, Jemah dan Syafa itu. Namun, lelaki itu seperti sengaja tak mahu Reny sedar daripada tidur dan membuatkan dia terlewat ke tempat kerja!

Reny tergopoh-gapah memasuki biliknya. Dia mandi untuk beberapa minit dan bertukar uniform Jazz Cafe pula. Bila dia keluar dari rumah, baru dia teringat yang Jemah telah membawa skuternya ke kafe.

Tiba-tiba Reny rasa marah dengan Jemah. Mengapa sahabatnya itu tak menelefon saat tahu yang Shah menghantarnya pulang ke rumah, tetapi membiarkan dia tidur dalam kereta?! Hendak menunggu teksi atau bas tengah hari buta ni, memang sesaklah ceritanya!

Honk!

Bunyi hon kuat dari pekarangan rumah itu mengejutkan Reny.

"Jom, aku hantar kau ke kafe." Shah menurunkan cemin kereta dan memandang Reny dengan senyuman lebar.

Walaupun darah Reny menggelegak saat itu, dia terpaksa menerima pelawaan Shah. Dia perlu mengejar masa! Buat kali yang kedua dia menaiki kereta mewah milik lelaki itu.

"Hebat betul kau ni. Selama ini, aku kenal ramai perempuan. Selalunya kalau mereka bersiap untuk keluar rumah memakan masa lebih kurang dua jam. Tapi, kau cuma mengambil masa selama sebelas minit." Shah mengetuk-ngetuk permukaan jam tangannya.

"Awak boleh tak jangan membebel? Saya dah lambat ni!"

"Eh, aku bukan membebel. Aku cuba nak pastikan dekat sebelah aku ni manusia atau kambing? Kau mandi tak tadi? Selalunya manusia ni dia suka mandi, tapi kalau kambing dia takut air."

Reny rasa macam hendak lempang saja muka Shah saat itu. Boleh pula dia hendak membuat lawak bodoh saat dia kesuntukan masa. Segala jenis maki hamun terungkap dalam hatinya saat itu.

Apabila perasan yang Reny mahu membuka pintu BMW itu, Shah segera menekan minyak. BMW meluncur laju atas jalan raya. Jarak antara Jazz Cafe dan rumah Reny sekadar mengambil masa 20 minit jika memandu kereta atau motosikal.

Bagaimana Shah boleh tahu lokasi rumah Reny? Sudah tentu kerana dia kerap menjadi stalker!

"Eh, awak nak ke mana ni?! Simpang ke Jazz Cafe dah terlepas!"

Reny terjerit sambil menalakan jarinya ke arah belakang. Shah ini terlepas pandang atau memang sengaja cari pasal?

"Oh, aku terlupa nak cakap. Tadi Jazz call. Dia kata kau cuti sajalah hari ni. Pelanggan pun tak ramai."

Informasi mengejut itu buat rahang Reny hampir terjatuh. Dia yang kurang percaya dengan bicara Shah mula mendail nombor Jazmi dan ternyata Jazmi mengesahkan perkara itu. Mengapa dia perlu tergopoh-gapah bersiap dan kembali menaiki kereta Shah jika hari itu dia cuti daripada kerja?!

"Awak hantar saya balik rumah sekarang! Dah tahu saya cuti, buat apa awak cakap nak hantar saya ke kafe?!"

"Aku tak cakap pun nak hantar kau ke Jazz Cafe. Aku cakap nak hantar kau ke kafe. Beratus buah kut kafe ada dekat KL ni..."

"Grrr..." Reny menderam dengan pandangan ingin membunuh.

"Kalau awak tak nak hantar saya balik rumah, awak hentikan kereta sekarang! Saya boleh balik sendiri!" bentak Reny bengang.

"Aku tak suka henti-henti kereta ni. Kalau kau nak keluar dari kereta aku, kau lompatlah keluar dari tingkap. Ataupun, berguling keluar dari pintu kereta tu."

Reny betul-betul teringin untuk berubah menjadi harimau dan merabik-rabik mulut longkang pemuda di sisinya itu! Namun, dia cuba untuk bersabar. Dia beristighfar perlahan.

Masih ingat akan pesanan Jazmi saat menghantar dia pulang ke rumah kali lepas. Jazmi minta Reny menjaga bahasa ketika berbicara dengan Shah. Kerana Jazmi bimbang yang Shah bakal naik angin dan menyakiti Reny.

Beberapa ketika, kereta itu diselubungi kesunyian yang nyata. Reny mengunci mulut dan sibuk menaip mesej untuk seseorang.

Shah yang bengang Reny tidak melayan provokasinya mula menekan pedal minyak. Melalui pengalamannya bersama ramai perempuan sebelum ini, apabila dia membawa kereta dengan laju, perempuan-perempuan itu akan terjerit gedik dan memegang lengannya kerana ketakutan. Shah membayangkan Reny juga akan bereaksi sedemikian rupa.

Shah memulakan rencana, dia memecut laju kereta BMW itu merentasi jalan yang kurang sesak. Bila bertembung dengan kereta lain, dia memotong dan menyelit di sana sini.

Reny masih diam. Dia lebih gembira memandang skrin handphone daripada terpaksa melayan kerenah gila Shah. Shah melanggar lampu isyarat merah hingga dihon kuat oleh sebuah lori treler. Mujurlah tak berlanggar!

"Kalau nak mati cepat, matilah seorang diri. Saya amal tak banyak lagi, bimbang tercampak ke neraka. Tapi, kalau awak rasa amal awak dah banyak, pergi berdiri depan treler sana. Jangan ajak saya sekali."

Dush!

Shah terasa seperti ditumbuk Reny saat itu. Dia menelan liur memikirkan kebenaran bicara gadis itu. Kata-kata sarkastik Reny berjaya membuatkan Shah memandu dengan penuh hemah. Selang setengah jam, Shah memarkirkan kereta di hadapan Pavilion.

"Terima kasih sudi hantar saya ke lokasi yang lebih jauh dari rumah saya ni. Awak pergilah masuk Pavilion. Saya nak balik rumah naik teksi."

Setelah lama membisu, akhirnya Reny membuka mulut.

"Kau jangan nak mengada-ada sangat. Ikut aku." Shah turun dari kereta terlebih dahulu sebelum membuka pintu Reny.

Reny yang cuba protes, enggan keluar dari kenderaan itu. Shah lebih tangkas menarik kasar lengan gadis itu hingga Reny terpaksa keluar. Tangan kiri Shah melekap di atas kepala Reny buat seketika. Bimbang gadis itu akan terhantuk bumbung keretanya kerana keluar dengan terburu-buru.

"Saya nak balik!"

"Aku beri kau tiga pilihan. Pertama, kau ikut aku dengan rela hati. Kedua kalau kau bantah, aku heret tangan kau dan ketiga kalau kau degil juga aku dukung kau masuk dalam Pavilion!" ujar Shah serius.

Melihat wajah Shah yang tidak bergurau itu, Reny yakin pemuda itu bukan sekadar omong kosong. Malu tujuh keturunan jika Shah bertindak gila mendukungnya masuk ke dalam pusat membeli-belah itu!

"Pilihan pertama," jawab Reny pendek.

"Bagus. Aku ingatkan kau teringin sangat nak kena dukung dengan aku."

Shah tersenyum sinis. Dia membiarkan Reny mengikut langkahnya dari arah belakang. Perasan yang gadis itu menggumam-gumam sesuatu. Pasti sedang menyumpahnya!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro