Bab 11
Sekarang...
Usai menunaikan solat isyak, Shah merebahkan tubuh ke atas tilam yang empuk. Matanya tertancap ke arah siling serba putih. Peristiwa yang berlaku di parkir Sunway Pyramid petang tadi menghantui fikirannya. Dia begitu marah dengan Reny hingga sengaja meninggalkan gadis itu pulang menaiki teksi.
Bila dia tiba di rumah, jiwanya keresahan memikirkan gadis itu. Reny selamat atau tidak pulang ke rumah? Pemandu teksi tidak akan mengapa-apakan dia ke? Sewaktu dia naik teksi, pemandu teksi mengurat dia ke? Dan berpuluh lagi persoalan lain menjengah akal fikiran.
Shah menghela nafas panjang. Sembilan tahun telah berlalu sejak peristiwa hitam itu. Tapi, mengapa masih sukar untuk dia melupakan segalanya? Mengapa dendamnya terhadap Reny masih tinggi menggunung? Hati kecilnya meronta-ronta untuk mendekati gadis itu dan rapat dengannya seperti dahulu. Namun, ego dan maruahnya mengarahkan dia agar menyakiti hati Reny habis-habisan! Selagi dendamnya tidak terbalas. Dia enggan membiarkan Reny bahagia!
Shah bangun dari katil dan bergerak ke satu sudut bilik tidurnya. Dia membuka sebuah almari perhiasan bertingkat-tingkat yang bercat kuning keemasan. Almari itu diisi dengan balang-balang kaca lut sinar sebesar balang kuih raya. Setiap satu dari balang itu dipenuhi dengan puluhan guli berwarna coklat.
Shah mengambil salah satu dari balang itu dan membuka penutupnya. Menggunakan dua jari, dia menggapai sebutir objek berwarna coklat berkilauan itu sebelum merenungnya lama.
"Penantian aku dah berakhir. Aku akan pastikan tak ada guli baru lagi selepas ini..."
Shah berbicara sendirian sebelum tersenyum jahat. Dia melambung guli itu seperti duit syiling.
"Ehem! Ehem!"
Seseorang berdeham kuat dari arah pintu bilik Shah. Shah terkejut kecil sebelum berpaling ke belakang dan dia mendapati wanita yang paling disayanginya berdiri di situ. Wanita yang tidak pernah menyakitkan hatinya seperti yang dilakukan Reny Fathia!
"Gembira betul anak ibu hari ni? Ada apa-apa ke?" tanya Azizah seraya melangkah ke arah anak bujangnya.
Nampaknya, guli-guli itu sentiasa mendapat perhatian Elman Shah. Azizah yakin ada memori penting yang tersemat dalam ratusan butir guli berwarna coklat kepunyaan puteranya itu. Dan dia percaya, guli-guli itu mengingatkan Elman Shah kepada Reny Fathia...
"Tak ada apa-apalah, ibu."
"Mana boleh tak ada apa-apa. Gembira sangat ke berskandal sana sini? Atau dah dapat tunang tak rasmi yang kelapan?"
Berdas-das Azizah memerli anak lelakinya itu. Dia melabuhkan punggung di birai katil.
"Tak adalah, ibu. Masih belum ada calon yang sesuai," jawab Shah selamba.
"Huh, ibu dah penat nak nasihat kamu, Shah. Kamu dah besar panjang dan tahu beza mana yang baik dan mana yang buruk."
"Tadi ayah kata, ibu ada berita baik yang nak disampaikan? Berita apa, ibu?"
Shah segera menukar topik, memintas mukadimah ceramah tidak berbayar ibunya itu. Tidak mahu Azizah membebel lebih lama. Dia sekadar berdiri menghadap ibunya dan berpeluk tubuh dengan wajah tenang.
"Oh, ya. Terlupa pula ibu. Ibu dapat tawaran untuk jadi part time designer dekat House of Martin!"
Azizah sedikit terjerit di hujung bicaranya. Nyata dia teruja untuk memberitahu hal itu kepada Shah.
"Tahniah, ibu. Ibu memang hebat."
Shah tahu, House of Martin adalah salah satu label fesyen baru yang terkenal di persada antarabangsa. Dan setahunya juga, pemilik label itu berasal dari Malaysia. Tapi, Shah tidaklah arif sangat dalam bab-bab fesyen. Dia boleh tahu akan hal itu pun kerana Jazmi adalah salah seorang model sambilan di House of Martin.
"Terima kasih, Shah."
"Tapi ibu, kenapa part time designer saja? Bukan permanent designer?"
"Emmm... Dalam surat tu kata, mereka bagi tempoh percubaan dulu untuk ibu. Jika ibu layak untuk terus berada di situ, ibu akan jadi designer tetaplah di sana."
"Ooo, tapi ibu kan ada butik sendiri? Label sendiri? Kenapa nak kerja di bawah label orang lain?"
Shah sudah lama ingin bertanyakan hal itu. Selalunya dia malas masuk campur dalam hal karier ibunya itu.
"Memanglah ibu ada butik dan label sendiri. Tapi, tidaklah segah label House of Martin. Ibu teringin nak tengok cara pereka fesyen elit bekerja. Bagaimana mereka boleh hasilkan pakaian yang labelnya digembar-gemburkan di mata dunia. Dan ibu nak bersua muka dengan peneraju House of Martin. Ibu nak tahu kisah kejayaannya," ujar Azizah penuh semangat.
Walaupun sudah berusia 40-an, jiwa dan kredibiliti kerja wanita itu mengalahkan golongan belia. Dia sentiasa ingin maju dalam perusahaan fesyennya.
"Peneraju House of Martin tu, lelaki ke perempuan?" tanya Shah sambil menjongketkan keningnya. Bibirnya berhias senyuman nakal.
"Lelaki."
"Eh, ayah tak jealous ke ibu nak kerja bawah seliaan lelaki? Nanti ayah merajuk," usik Shah senang hati.
"Haish, merepek kamu ni. Setahu ibu, bakal bos ibu tu nanti baya-baya kamu saja. Nak jealous apanya?"
"Shah gurau sajalah, ibu. Tapi kan ibu, ibu tak fikir ke yang wanita seusia ibu agak kurang sesuai untuk kerja di bawah arahan orang muda macam Shah?"
"Hidup ni tak payah nak ego sangat. Kalau nak ego pun bertempat. Belajar dari golongan tua atau golongan muda itu bukan masalah. Ilmu itu yang penting. Kenyataannya, walaupun muda, dia ada banyak ilmu fesyen berbanding ibu. Tak salah kan ibu nak berkongsi ilmunya jika dia sudi mengajar?"
Bicara panjang lebar Azizah dibalas dengan anggukan setuju puteranya itu.
"Ibu!"
Seorang gadis menerpa masuk ke dalam bilik Shah dengan nafas termengah-mengah.
"Eh, kamu ni, Aina. Mengejutkan ibu sajalah. Kenapa kamu berlari macam dikejar hantu ni?"
Azizah mengurut dadanya seketika. Dia pelik melihat puteri sulungnya itu pulang awal ke rumah. Selalunya, selagi jam belum menginjak angka 12.00 tengah malam, Ermida Aina masih bekerja. Puterinya itu bertugas di sebuah syarikat ternama di ibu negara sebagai seorang pereka grafik.
"Ibu, betul ke ibu bakal jadi designer di House of Martin?"
Aina yang dapat tahu berita itu dari ayahnya gembira tak terkata. Dia jauh lebih teruja berbanding ibunya sendiri!
"Ya."
"Ya Allah ibu, tahniah!" Aina merangkul tubuh ibunya yang terpinga-pinga.
Shah sendiri pelik dengan telatah kakaknya itu. Kenapa over sangat? Selalunya dia bukan ambil kesah pun perihal kerjaya ibunya. Tahu fikir hal sendiri saja!
Keesokan paginya, Shah bersarapan di rumah bersama Ridzwan, Azizah dan Aina. Kakaknya telah bersiap dengan pakaian formal pejabat. Ibunya bakal ke butik sebentar lagi dan ayahnya hendak berjumpa sahabat lama di luar. Shah masih berfikir-fikir sama ada hendak ke Jazz Cafe atau tidak hari itu. Dia perlu membina pertahanan emosi setiap kali ingin bersua muka dengan Reny.
"Shah, kamu ni cuti sampai tiga minggu, ada apa-apa occasion ke?" tanya Ridzwan sambil menyapu jem strawberi ke atas roti bakarnya.
"Errr... Tak ada, ayah. Shah saja-saja cuti."
"Saja-saja cuti konon... Entah-entah pergi menjerat anak-anak dara orang. Nak menambah koleksi tunang lagilah tu," perli Aina sambil mengherotkan bibirnya.
"Ayah tak kesah kalau kamu nak bercuti untuk tenangkan minda. Alang-alang cuti ni, kamu pergilah melancong ke luar negara. Ini yang kamu terperuk di rumah dan melepak di Jazz Cafe dari pagi sampai petang, kenapa pula?"
Shah tersedak kopi yang diminumnya. Sah, ini mesti Jazmi yang memberitahu ayahnya. Tak guna punya kawan!
"Shah tak rasa nak pergi melancong ke luar negara pun, ayah. Walaupun Shah cuti, Shah masih berurusan dengan client. Shah masih pergi site visit. Shah cuma tak masuk office saja. Mana Shah ada masa nak melancong jauh-jauh."
Elman Shah ialah seorang kontraktor yang mempunyai syarikat pembinaan sendiri. Setelah bertemu kembali dengan Reny, Shah terfikir untuk mengambil cuti yang agak panjang. Semua urusan syarikat diserahkan kepada dua orang subkontraktor pejabat yang dipercayainya.
"Ha, yang kamu ni Aina, dah dekat sebelas orang kawan-kawan ibu berhasrat untuk meminang kamu bagi anak mereka. Tapi, semua kamu tak nak. Kamu tak teringin nak mendirikan rumah tangga ke?" sergah Azizah ke arah Aina yang leka memakan roti.
"Tak teringin pun, ibu."
"Kamu tu dah 30 tahun, Aina. Dah lanjut sangat umur. Kamu tak kesah ke orang gelar kamu anak dara tua?"
"Tak kesah." Aina jawab selamba. Sudah terbiasa dengan isu yang ditimbulkan ibunya itu.
Azizah mendengus geram. Kedua-dua beradik perangai sama saja. Bila cakap hal kahwin, semua tak ambil endah! Entah bila dia dan Ridzwan boleh menimang cucu.
"Shah, kamu tu dah 26 tahun. Bukan budak-budak lagi. Tak boleh ke kamu serius dalam hidup kamu? Ibu tak sukalah kamu asyik permainkan hati perempuan. Nanti kalau Allah permainkan hati kamu, baru kamu sedar langit tinggi ke rendah." Azizah meleteri puteranya pula.
"Shah dah tak ada hati untuk dipermainkan, ibu," tutur Shah tenang.
Meja makan itu sunyi seketika.
"Habis tu, sampai bila kamu nak jadi bad boy? Goda gadis sana sini, jadikan mereka tunang tak rasmi kamu, berpasangan beberapa bulan, lepas tu kamu buang mereka?" celah Ridzwan dengan nada kecewa.
"Sampai Shah puas hati. Mereka memang layak pun disakiti, sebab mereka hanya gilakan rupa dan harta Shah!"
"Sebab Reny kamu jadi macam ni... Belajar memaafkan kesilapan orang, Shah."
"Tak akan, ayah! Tak akan! Sampai mati pun Shah tak akan maafkan dia!" Shah membentak geram sebelum meninggalkan meja makan itu.
Ridzwan dan Azizah beristighfar beberapa kali dan menghela nafas panjang. Aina sekadar membatukan diri. Tahu yang adiknya akan naik angin setiap kali nama gadis itu disebut.
Dalam masa sembilan tahun, banyak yang berubah dalam kehidupan mereka. Perniagaan Ridzwan berkembang maju, Azizah dapat membuka butik sendiri, Aina dan Shah memperoleh kerja yang bagus dan rezeki melimpah ruah masuk ke dalam keluarga mereka.
Namun bagi Azizah, dia telah kehilangan anak lelakinya. Anak lelaki yang dahulunya berbudi bahasa, baik hati dan tidak suka menyakiti perasaan orang lain. Elman Shah yang dahulu... Telah lenyap seiring dengan pemergian Reny Fathia.
Azizah tidak menyalahkan Shah. Semua yang berlaku adalah atas kesilapannya. Dan dia masih tidak berani untuk mengungkap kebenaran itu...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro