Bab 1
"Hai, Shah!"
Seorang gadis yang mengenakan sepasang jubah berwarna turquoise dengan ratusan labuci bertaburan di sekitar lengan bajunya menghampiri dua orang pemuda. Sesekali selendang kelabu gadis itu ditiup bayu malam. Bertebaran di udara.
Perbualan kedua-dua pemuda yang sedang bersandar pada kereta itu terbantut akibat teguran mengejut si gadis. Shah memandang gadis itu dari atas hingga ke bawah sepintas lalu sebelum memalingkan kepala. Dia tak berminat...
"Oh, Syafa. Ada apa-apa yang kami boleh bantu?"
Jazmi yang sedari tadi berdiam diri, mula membuka mulut. Soalannya straight to the point.
"Errr... Tak ada apa-apa hal. Saja nak cakap hai."
Tersipu-sipu Syafa saat membalas pertanyaan itu.
"Okay then. Hai."
Tangan dimasukkan ke dalam poket seluar tanda janggal. Jazmi menjeling Shah. Sahabatnya itu masih tayang muka selamba. Seolah-olah Syafa itu halimunan!
"You masuklah dulu."
Cakap sajalah yang kau nak say hi dekat Shah. Aku ni bos kau kut. Tak pandai nak hormat langsung! bebel Jazmi dalam hati. Cuba bermulut manis dengan gadis berkenaan.
"Kita masuk sekali nak?"
Jazmi menjulingkan mata. Tak faham bahasa ke apa perempuan ni? Tak nampak ke yang Shah langsung tak minat nak layan kau?! Blah sajalah!
"You masuk dulu. Shah tunggu Adele. Dia tak akan masuk kalau buah hati dia tak ada." Jazmi bagi jawapan yang bisa membuatkan gadis itu berubah ekspresi.
"Oh, ya ke? Fine, I masuk dulu."
Syafa menapak pergi dengan riak kelat. Menyumpah Adele dalam hati. Macamlah bagus sangat Adele tu!
"Kau kenal ke perempuan tu?" tanya Shah ringkas.
Mata Jazmi membuntang dan mulutnya sedikit ternganga. Dia memandang Shah lama. Tiba-tiba Jazmi rasa simpati dengan gadis berselendang itu. Nasiblah kau perempuan, siapa suruh tertarik dengan bad boy?
"Kau ni Shah, agak-agaklah. Itu kan Syafa Nadrah. Perempuan yang selalu pergi camping dengan kita dulu? Sekarang dia kerja dekat kafe aku sebagai cef pastri. Takkan tak kenal?"
"Perlu ke aku kenal?" Shah bersilang tangan sambil pamer muka tak beriak.
"Memanglah tak perlu. Tapi kenal dengan bekas ahli satu kelab sukan tu boleh diklasifikasikan sebagai basic knowledge, kan?"
"Aku tak perlu pengetahuan asas macam tu."
"Kau bukan kera sumbang, kan?"
"Aku manusia, bukan kera."
"Nak loyar buruk pula dia ni!"
Shah buat endah tak endah akan bebelan rakannya. Sesekali dia memandang ke kanan dan sesekali berpaling ke kiri. Tiada apa yang menarik minatnya malam itu...
Beberapa orang gadis yang mengenakan busana makan malam pelbagai warna melangkah masuk ke dalam sebuah restoran. Lemah lembut sekali mereka melangkah, gaya gadis-gadis feminin metropolitan. Saat itu, Flora Terrace mula dipenuhi ramai pelanggan.
Flora Terrace adalah sebuah restoran terkenal yang beroperasi di Hampshire Place, Kuala Lumpur. Ramai selebriti tanah air pernah mengunjungi restoran itu bagi menjamu selera atau meraikan sesebuah parti. Namun, malam itu tiada selebriti yang muncul. Hanya puluhan mantan mahasiswa dan mahasiswi dari Management Science University atau lebih dikenali dengan nama MSU memenuhi restoran itu.
Flora Terrace kelihatan eksklusif dengan ratusan bunga bergantungan di bahagian siling dan meja. Konsep flora jelas terungkap dalam minda sesiapa sahaja yang berkunjung. Hiasan dalamannya kelihatan sangat cantik, teliti dan kemas. Kualiti makanannya juga selalu menjadi buah mulut. Padanlah restoran itu sentiasa dipenuhi manusia.
Di satu sudut, kelihatan seorang wanita berbangsa Cina berusia dalam lingkungan 50-an sedang dikerumuni beberapa orang belia. Wanita itu anggun dengan gaun berwarna coklat terang. Rambut paras bahu disisir rapi. Bibir sentiasa mengukir senyuman saat berhadapan dengan insan-insan yang dikenali. Sesekali dia berjabat tangan, sesekali dia berlaga pipi dan sesekali juga ada bungkusan hadiah yang dihulurkan kepadanya.
"Girls, look! Shah and Jazz are coming!"
Sekumpulan gadis yang duduk di sebuah meja panjang menyeringai apabila mata mereka dapat menangkap kelibat dua jejaka tampan memasuki restoran. Walaupun mereka telah lama meninggalkan zaman universiti, kehadiran dua pemuda itu mampu membangkitkan memori lama.
Kedua-dua pemuda itu bergaya rugged dan kelihatan persis model antarabangsa. Shah mengenakan seluar jean Dolce & Gabbana, berserta t-shirt kelabu yang dipadankan dengan jaket kulit berwarna hitam. Sementara Jazmi mengenakan jean kelabu, t-shirt berwarna putih dan jaket kulit berwarna biru gelap. Pesona kedua-dua pemuda itu bisa menarik perhatian semua gadis yang terdapat di Flora Terrace.
Kedua-dua pemuda itu melangkah penuh angkuh ke arah gerangan insan yang diraikan hari itu, Madam Lee Hwa. Langsung tak menghiraukan panggilan gadis-gadis yang ingin duduk semeja dengan mereka.
"Hai, madam. You look gorgeous tonight."
Shah merenung seraut wajah tua itu sebelum menundukkan badan menggapai tangan wanita itu yang bersarung kemudian mengucupnya.
"Thanks so much, dear."
Madam Lee Hwa tersenyum lebar. Masak sangat dengan perangai bekas pelajar di hadapannya itu. Dua orang pemuda yang terkenal dengan gelaran bad boy! Dari dulu hingga sekarang.
"This is for you." Shah mengeluarkan sebuah kotak kecil dari poket jaketnya.
Kotak bertukar tangan dan Madam Lee Hwa membuka hadiah itu pantas. Kelihatan sebentuk pin rambut yang bertatahkan permata hitam.
"I ingat you nak hadiahkan I cincin. I nervous buka kotak ni, Shah."
Madam Lee Hwa berseloroh membuatkan mereka yang berada berhampiran tergelak kecil.
"Wanita menawan macam Madam Lee lebih sesuai dengan hairpin rama-rama bertatahkan permata ni berbanding cincin biasa," bisik Shah dengan senyuman menggoda.
Bila sang bad boy berkata-kata. Cair hati insan yang mendengarnya. Madam Lee Hwa kelihatan malu-malu kucing apabila dipuji sedemikian rupa.
Shah melangkah ke belakang memberi ruang untuk Jazmi menyapa pensyarah mereka yang bakal bersara dari dunia pendidikan hujung bulan itu. Jazmi turut memberikan hadiah yang sama seperti Shah. Cuma dalam bentuk yang berbeza.
Siapa yang tak kenal akan Madam Lee Hwa yang gemar memakai pin rambut pelbagai bentuk? Setiap hari dia mengenakan pin rambut yang berbeza sewaktu bertugas. Oleh itu, sebahagian besar daripada mantan para pelajarnya memberikan hadiah pin rambut sempena hari persaraannya.
Beliau akan berhijrah ke Australia dan mungkin meninggalkan Malaysia untuk selamanya kerana ingin kembali kepada ahli keluarga tercinta. Justeru, majlis malam itu diadakan. Beliau ingin bersua muka dengan bekas-bekas anak didiknya yang disayangi. Tanpa mengira tahun atau lokasi universiti mereka menjadi graduan, Madam Lee Hwa menjemput sesiapa sahaja yang masih ingat akan dirinya sebagai pensyarah untuk hadir dalam majlis malam itu.
"Shah, duduk sini. Duduk sini!"
Restoran agak riuh-rendah apabila masing-masing sibuk mengajak Shah untuk duduk bersama. Ramai yang rindu untuk menatap wajah tampan itu. Dahulu, sewaktu menuntut di MSU, selalu saja gadis-gadis berkenaan menjadi peminat setia pemuda itu. Kini, zaman belajar telah tamat, mereka memasuki alam pekerjaan dan membawa haluan hidup masing-masing.
Syafa memandang Shah dari sebuah meja. Meninjau kelibat Adele. Tiada pula gadis gedik itu di situ. Bukan ke Shah kata dia mahu memasuki restoran bersama Adele tadi?
Dia berharap agar Shah duduk semeja dengannya, di sisinya... Namun, harapannya punah apabila Shah berkeputusan untuk duduk di sebuah meja kosong lain.
Selang beberapa minit, Jazmi duduk di hadapan rakannya itu. Dua orang gadis yang berani dan tak kenal erti malu selamba meninggalkan meja mereka untuk duduk di sisi Shah dan Jazmi.
Jazmi tergelak kecil apabila mendengar dengusan Shah. Jangan haraplah mereka berdua dapat mengelak daripada dihurungi makhluk yang bernama perempuan!
"Excuse me, siapa yang izinkan kau orang duduk sini?!"
Sergahan itu menyebabkan dua orang gadis yang hendak meliuk-liuk ke arah Shah dan Jazmi terkedu.
"Kau orang bangun sekarang! Tak malu! Ada hati nak duduk sebelah tunang aku!"
Jerkahan Adele buat dua orang gadis itu segera beralih tempat. Adele baru tiba memakai dress tanpa lengan berwarna merah jambu terang. Kainnya pula terbelah hingga paras lutut.
Dia merengus geram sebelum melabuhkan punggung di sisi Shah. Jelas kelihatan wajah masam mencuka dan mekapnya yang tebal berinci. Tas tangan berwarna merah darah dilempar ke atas meja sebelum dia berpeluk tubuh memandang Shah.
"You kata you nak jemput I dekat rumah? Kenapa you pergi dengan Jazz pula?!" soal Adele nyaring.
Angin betul Adele bila Shah tak menjawab panggilan atau membalas mesejnya. Hampir satu jam dia menunggu kemunculan pemuda itu di rumah. Bayang pun tak nampak! Sakit betul hati! Akhirnya, dia membuat keputusan untuk memandu kereta sendiri ke Flora Terrace.
"I saja nak buat you marah."
"What?!"
"I suka tengok you marah. Sebab tu I sengaja tak jemput you."
Shah menjongketkan bibir sambil matanya melirik tajam ke arah Adele. Panahan matanya buat Adele menelan liur.
"Apa yang you cakap ni, Shah?"
"Bila you marah, you look sexy and exquisite."
"You ni, ada-ada sajalah..." Adele tersipu-sipu apabila dipuji pemuda itu.
"Salah ke kalau I nak tengok tunang I yang dah sedia cantik ni nampak lebih hot dalam keadaan dia marah?"
Shah melalukan hujung kunci keretanya ke atas pipi gebu itu. Tak ingin dia menyentuh perempuan itu dengan tangannya! Mendatangkan bakteria saja!
Terus pipi Adele bertukar rona. Dia tergoda dengan suara gemeresik pemuda itu. Adele menatap lama sepasang anak mata Shah. Ingin mencari kejujuran dalam bicaranya. Namun, dia gagal. Pandanglah selama mana pun mata si bad boy itu. Apa yang kelihatan hanyalah keindahan pemberian Tuhan. Misteri di sebaliknya masih belum dirungkai...
"Taklah salah. I cuma penat menunggu."
Adele cuba merajuk lebih lama. Dia terkejut kecil apabila Shah mendekatkan wajah ke arah telinganya secara tiba-tiba.
"Kenapa?"
Gugup dan berdebar sekali hati Adele saat itu. Dia mencengkam bajunya sendiri. Haruman tubuh Shah memenuhi rongga hidung.
"Bau awak macam lavender," bisik Shah sambil tersenyum sinis.
Adele tergamam dalam kegembiraan. Desah nafas pemuda itu yang menampar kulitnya buat jiwa Adele cair. Tubuhnya berbahang.
"I pakai perfume yang I baru beli dari Dubai." Adele tersengih-sengih apabila Shah menjauhi telinganya.
Jazmi yang sedari tadi jadi pemerhati, menahan gelak yang berguni-guni. Punyalah 'bijak' kau, Adele. Kena tipu hidup-hidup dengan Shah. Baru kena puji sikit dengan Shah dah tak jadi nak marah? Perempuan... Perempuan...
Adele atau nama sebenarnya, Adila Natasha Dato Aziz ialah bekas pelajar fakulti kejuruteraan yang merupakan tunang ketujuh Elman Shah. Hampir semua yang berada di situ, tahu akan hal berkenaan...
"Ada guest yang tak datang lagi ke?" tanya Jazmi seraya menyudu nasi hujan panas masuk ke dalam mulut.
Dia cuba menyelamatkan keadaan saat sedar Adele kembali tayang muncung itik apabila Shah sibuk dengan iPhone 6 kepunyaannya. Dalam masa beberapa minit saja, rakannya itu berubah mood.
"Kenapa you tanya macam tu?"
Adele menoleh ke arah Jazmi. Gadis berambut perang karat itu membuang pandang ke sekeliling restoran.
"Madam Lee tu macam tengah tunggu seseorang saja?"
Jazmi atau nama glamornya Jazz adalah pemerhati yang sangat teliti. Sedari tadi dia melihat pandangan Madam Lee Hwa terhala ke arah pintu masuk Flora Terrace. Jazmi yakin yang bekas pensyarah mereka itu sedang menunggu seseorang.
"Tunggu husband dia kut?"
"Suami dia kan dah meninggal..."
"Boyfriend or scandal?"
"You ni pun, agak-agaklah..."
Susah juga bertanya dengan perempuan terlebih bijak pandai ni. Harap saja muka cantik!
"Hujan..."
Shah menggumam kecil apabila melihat titisan-titisan hujan turun membasahi bumi. Air yang mencurah-curah jatuh dari langit mengalir cantik ke dinding kaca lut sinar Flora Terrace.
"Bro, aku nak pergi toilet kejap. Kau layanlah tunang kau ni berbual."
Jazmi bangun dari duduk dan menepuk lembut bahu Shah yang kelihatan sedang berkhayal memandang hujan. Sengaja menekankan perkataan tunang untuk menyedarkan Shah yang Adele masih wujud dan duduk semeja dengan mereka.
Shah menjeling Jazmi yang berlalu ke tandas dengan senyuman memerli. Macamlah dia kesah sangat dengan kewujudan gadis bernama Adele itu...
"Shah..." panggil Adele dengan intonasi menggoda.
Niat untuk menggedik terbantut begitu sahaja apabila ada suara-suara sumbang mengganggu pendengarannya.
"Siapa pula tu? Serabai saja? Tersalah masuk restoran ke?" Salah seorang bekas mahasiswi membuka mulut.
"Ke orang minta sedekah? Or promoter?" Suara lain kedengaran.
"Promoter pun tak selekeh macam perempuan ni." Adele turut memberi komen.
Tak sedar yang mata tunangnya tertarik untuk memerhatikan seorang gadis yang muncul tiba-tiba melalui pintu utama Flora Terrace. Puluhan mata tertumpu ke arah gadis yang pakaiannya lencun dibasahi hujan.
Dia mengibas-ngibaskan kedua-dua belah tangannya yang basah hingga terpercik sisa air hujan di muka beberapa orang gadis. Kedengaran mulut mereka menyumpah kecil memarahi kelakuan gadis asing itu.
Syafa Nadrah yang terlihat kelibat gadis itu sekadar terkebil-kebil. Dia kenal akan gadis itu. Mengapa dia boleh berada di sini?
"Eh, gila ke apa perempuan ni? Panggil waiter. Suruh halau keluar. Merosakkan suasana saja!" saran salah seorang gadis yang jelak dengan kehadiran gadis itu.
Gadis itu masih berdiri di pintu Flora Terrace. Tak menghiraukan kata-kata yang berlalu bak semilir lalu. Kali ini, dia menanggalkan kaca mata besarnya sebelum mengelap objek itu dengan sehelai sapu tangan yang basah. Dia membetulkan awning tudung yang terkelepet menutupi dahi sebelum matanya meliar memandang sekeliling restoran itu.
"Oh my God, Reny! Here you are!"
Madam Lee Hwa yang sedari tadi memerhati segera bangun dari kerusi apabila dapat melihat dengan jelas seraut wajah putih gebu itu. Nyaris-nyaris dia tak cam akan gerangan gadis itu.
Pelayan restoran yang baru saja hendak menghalau Reny keluar dari premis itu membatalkan niat mereka. Madam Lee Hwa kelihatan ceria menyambut kehadiran gadis yang penampilannya agak menyakitkan mata itu. Suasana sunyi seketika di Flora Terrace kerana masing-masing tertanya-tanya akan gerangan gadis berkenaan.
"Sayang, kenapa basah-basah ni?" tanya Madam Lee Hwa lembut.
"Hujan, Madam Lee."
Suara gemeresik itu menampar pendengaran Shah yang berada berhampiran. Sedari tadi dia pegun bagaikan tugu saat melihat kewujudan gadis serabai itu. Terasa bagai disambar petir dan dihentam sang halilintar. Jantungnya berdegup laju dan tubuhnya terasa seram sejuk.
Adakah dia sedang bermimpi? Atau dia tersilap pandang?!
Shah yakin gadis itu ialah dia... Dia yang telah memporak-perandakan hidup Shah! Siang malam dia berdoa agar dipertemukan semula dengan gadis itu dan akhirnya Allah memakbulkan doanya... Bertahun-tahun dia menunggu, akhirnya detik itu muncul jua! Mengapa gadis itu muncul sekarang?
"Kenapa tak mesej I saja tadi? I boleh tumpangkan you ke sini, kan?" soal Madam Lee Hwa prihatin. Bimbang akan kesihatan gadis di hadapannya itu.
"Saya tak nak susahkan Madam Lee."
"Susah apanya? Tak apalah, sayang. Thanks a lot sudi datang. I ingatkan you tak dapat datang malam ni."
Sedari tadi Madam Lee Hwa menunggu kehadiran bekas pelajar kesayangannya itu. Pelajar yang sangat bijaksana dan suka berahsia.
"Welcome. Mana boleh saya tak datang hari penting dalam hidup Madam Lee." Reny tersengih, mempamerkan barisan giginya yang putih.
"Mesti kedatangan saya merosakkan suasana majlis Madam Lee ni, kan? Maaf, ya," tambahnya lagi.
"Mana adalah, Reny. If you tak datang, I rasa majlis ni tak bermakna."
Madam Lee Hwa tersenyum seribu makna di hujung bicaranya. Gadis itu sekadar angguk-angguk kepala tanda setuju.
"Duduklah, sayang. Makan banyak sikit. I tengok you semakin kurus."
Madam Lee Hwa menjemput Reny untuk menjamu selera. Tahu yang gadis itu sibuk dengan kehidupan hariannya.
"Kakak?"
Belum sempat Reny melabuhkan punggung di atas kerusi kosong, satu suara yang dikenali menyapanya dari arah belakang. Reny berpaling dan melihat seorang jejaka tampan sedang memandangnya dari atas hingga ke bawah berulang kali.
Mata Jazmi membulat sambil meneliti penampilan gadis itu. Reny hanya mengenakan seluar slack hitam bersama sweater bertulis Play No More dengan warna yang sama dengan saiz yang besar gedabak! Tudung sarung yang tersarung di kepala gadis itu kelihatan kusam dan tak mengikut fesyen terkini! Dipadankan pula dengan kaca mata Harry Potter saiz gergasi. Gadis itu memang layak digelar salah satu daripada versi Ugly Betty!
"Hahaha!"
Tawa Jazmi terburai di tengah restoran itu sebelum dia menekup mulut sendiri. Rasa seperti digeletek!
"Jazz, please behave. Dia tetamu I."
Madam Lee Hwa menegur apabila merasakan Jazmi menghina penampilan Reny.
"Kau rasa kau handsome sangat ke? Sebab tu kau gelakkan aku?" Bicara Reny buat tawa Jazmi mati begitu saja.
Giliran Reny untuk menilai penampilan pemuda itu. Dia berpeluk tubuh dan memandang Jazmi dari hujung kaki hingga ke hujung rambut dengan pandangan jengkel.
"Cole Haan ankle boot. Gucci jeans. Adidas t-shirt and Ralph Lauren jacket? You sure spent a lot from head to toe," komen Reny perlahan. Pemuda di hadapannya itu tersenyum lebar.
"That's my sister!"
Jazmi mendepangkan kedua-dua belah tangan dan cuba memeluk gadis itu. Namun, Reny cepat mengelak. Jazmi menyeringai. Sekadar bergurau. Tahu Reny akan pelangkung kepalanya jika dia sesuka hati menyentuh gadis itu.
"Haish, dia ni. Jangan nak buat gilalah!" Reny membebel.
"Both of you dah kenal ke?" tanya Madam Lee Hwa pelik. Rapat benar gaya mereka berdua itu.
"Dia junior merangkap bos saya, Madam Lee. Of course la saya kenal," ujar Reny seraya melirik ke arah Jazmi yang berdiri di sisinya.
"Junior and boss?" Dahi Madam Lee Hwa berkerut.
Setahunya Reny lebih tua berbanding Jazmi. Telah lama gadis itu menamatkan pelajaran. Bagaimana Jazmi boleh jadi junior Reny pula? Dan sejak bila Reny kerja di bawah Jazmi? Setelah otaknya ligat berfikir, satu mentol menyala dalam mindanya.
"Oh, I got it! Pasal junior tu I faham. Tapi, sejak bila you kerja under Jazz?"
"Madam ingat tak saya ada cerita yang saya kerja dekat sebuah kafe?"
Madam Lee Hwa angguk-angguk kepala. Kadang-kadang dia berbual dengan Reny menggunakan aplikasi Facebook.
"Emmm... Kafe tu Jazz yang punya."
"Really? Tahniah, Jazz. I'm proud of you. Muda-muda dah ada business sendiri."
"Baru nak bertatih-tatih, Madam Lee." Jazmi merendah diri.
"Apa-apa pun, baguslah kalau kamu berdua dah kenal. Jazz, ajak Reny makan, ya?" Madam Lee Hwa kembali ke kerusinya. Memberi ruang untuk dua insan itu berbual lebih lanjut.
"Kenapalah tak cakap yang akak akan datang sini juga? Kalau Jazz tahu, Jazz boleh ambil akak dekat rumah tadi."
"Manalah aku tahu yang kau ikut serta dalam majlis malam ni."
"But, wait a minute. Akak bukan graduan MSU. Macam mana akak kenal Madam Lee?"
"Kau ingat Madam Lee tu pernah mengajar dekat MSU saja ke? Sebelum dia transfer ke MSU, dia pensyarah di CIT. Aku belajar dengan dia dekat sanalah."
"Ooo..." Jazmi baru tahu akan hal itu.
Reny adalah mantan pelajar Canberra Institute of Technology atau nama pendeknya CIT yang terletak di Australia. Patutlah Jazmi tak kenal sebahagian kecil daripada tetamu dalam majlis itu. Rupa-rupanya ada mantan pelajar dari universiti-universiti lain.
Sesiapa yang pernah menjadi anak didik Madam Lee Hwa dan rapat dengan pensyarah itu turut dijemput bagi meraikan majlis tersebut.
"Apalah dia ni. Dengan baju basahnya," tegur Jazmi lembut. Dia menanggalkan jaket kulitnya lalu membalut tubuh Reny yang kesejukan.
"Pakai macam ni akak nampak seksi sangat," tambah Jazmi sambil mengenyitkan mata nakal.
"Aku kan memang seksi. Dan kau tetap nampak hot walaupun tak pakai jaket. Rasa-rasanya baju aku yang basah ni boleh kering bila tengok kau," puji Reny ikhlas.
Tanpa jaket kulit, jelas kelihatan lengan sasa Jazmi yang berbaju lengan pendek. Santai dan segak!
"Stop flattering me!" Jazmi terjerit kecil.
"Aku ikhlaslah."
"Akak tak bodek pun, saya tetap bagi akak pinjam jaket saya tu."
"Pinjam saja? Beri terus tak boleh?" giat Reny nakal.
"Saya takkan bagi akak jaket second hand, okey? Kalau akak nak, saya beli yang baru."
"Huh, ayat bad boy."
"Eh, Jazz ikhlaslah, kak. Tak ada kait-mengait dengan isu bad boy pun."
"I would prefer to have this jacket than the new one. It has your manly scent."
"Dah, cukup. Akak ni lagi sweet talker berbanding saya."
Jazmi tergelak besar seraya mengangkat kedua-dua belah tangannya tanda menyerah kalah. Bimbang jika diteruskan perbualan itu, jantungnya akan melompat keluar. Jika perempuan lain bergaya selekeh seperti Reny, mahu dia muntah hijau melihatnya. Namun, lain sekali bila Reny yang bersuara. Selekeh macam mana pun, gadis itu tetap Reny! Seseorang yang sangat istimewa dalam hidupnya...
"Siapa suruh mulakan?"
"Okey. Okey... Salah saya. Jomlah makan."
Jazmi menarik lengan sweater Reny. Mendorong gadis itu agar menuju ke meja makan. Seronok betul berbual dengan gadis itu walaupun hampir setiap hari mereka bersua muka!
Shah yang sedari tadi jadi penonton wayang tak berbayar itu menggelabah apabila melihat Reny menghampiri. Apa yang perlu dia buat? Perlukah dia lari saja?! Kenapa pula dia perlu lari? Dia tak ada buat salah pun! Gadis itu yang salah! Ya, Reny yang salah! Bagaimana Jazmi boleh kenal Reny? Mesra betul hubungan mereka. Shah diselubungi seribu satu tanda tanya.
Dia menggenggam tangan yang menggeletar dan berpeluh tiba-tiba. Pertama kali dalam hidupnya, dia rasa begitu takut untuk berhadapan dengan seorang gadis. Tapi, dia enggan jadi pengecut! Dia bad boy! Bad boy tak pernah takut dengan perempuan!
"Siapa ni, Jazz?" soal Adele pantas tanpa sempat Jazmi membuka mulut terlebih dahulu.
Adele ada mendengar Jazmi memanggil gadis itu kakak. Daripada pandangan mata kasarnya, gadis itu mungkin sebaya mereka sahaja. Atau jauh lebih muda.
"Kakak angkat I. Akak, kenalkan... Ini Adele."
"Oh, hai. I'm Reny," ujar Reny sambil menghulurkan tangan ke arah Adele.
Jazmi gigit bibir menahan perasaan geram bila huluran salam Reny tidak bersambut. Jelas kelihatan Adele geli untuk menyentuh tangan gadis itu.
"Dan ini Shah. My best friend."
Masa seolah-olah terhenti. Dua pasang mata bertatap lama. Mencoret rasa hati yang diselubungi rindu dan dendam. Mata Shah tajam menikam wajah putih kemerahan itu dan hujung bibir kanannya terjongket ke atas. Senyuman sinis yang membiaskan gelojak jiwa. Hari yang ditunggu-tunggu, akhirnya menjelmakan diri!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro