Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"NAJLA!"

Baru Najla mahu melangkah masuk ke bilik, suara Haji Lutfi garau memanggilnya. Najla berdiri tegak di depan pintu bilik. Langsung tidak berkutik.

"Mari sini."

Perlahan-lahan langkah Najla atur. Berhati-hati dan sungguh bersopan santun.

"Duduk."

Cepat-cepat Najla melabuhkan punggungnya di atas kerusi bersebelahan dengan Hajah Karimah yang sedang asyik menjahit seluar sukan Khalis yang terkoyak sewaktu latihan takraw semalam.

"Awak dah beritahu Najla?" Haji Lutfi memandang wajah isterinya yang kelihatan tenang-tenang sahaja.

"Dah. Dah beritahu dua tiga hari lepas lagi." Hajah Karimah menyenggol bahu Najla yang sejak dari tadi asyik tertunduk sahaja kepalanya. Sudah macam kepala ayam sedang mematuk jagung sahaja rupanya.

"Ehem!" Haji Lutfi berdehem. Memperbetulkan suara sebelum meneruskan percakapan. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya sendiri, dia perlu berhati-hati ketika bercakap dengan Najla. Bimbang kalau-kalau Najla tidak dapat menerimanya dan salah faham antara mereka akan menjadi semakin buruk.

"Najla, ayah nak kamu dengar baik-baik apa yang ayah nak cakap ni. Ayah buat semua ni bukan sebab ayah tak sayang kamu, atau tak suka kamu tinggal dengan kami. Ayah buat ni sebab ayah nak ada orang jaga kamu kalau-kalau ada apa-apa yang terjadi pada ayah atau mak nanti. Ayah nak ada orang yang tolong tengok-tengokkan kamu, mak kamu, adik-adik kamu kalau ayah dah tak ada nanti. Ayah nak kamu dapat suami yang baik-baik, yang bertanggungjawab, bukan sahaja pada keluarga, tapi paling penting pada Allah. Najla faham tak apa yang ayah cakap ni?"

Najla mengangguk. Masih lagi tidak berani mengangkat kepala.

Air mata Hajah Karimah sudah bergenang mendengar kata-kata suaminya. Biarlah rahsia itu hanya dia, Haji Lutfi dan bakal suami Najla sahaja yang tahu.

"Ayah tahu Najla anak yang baik, tapi ayah juga risau kalau-kalau Najla tergelincir daripada landasan bila jauh dari kami nanti. Sebab itulah ayah carikan jodoh buat Najla, supaya ada orang yang boleh bimbing Najla dan ingatkan anak ayah ni bila lalai. Ayah tak tahu berapa lama lagi masa yang Allah pinjamkan untuk ayah atas dunia ni. Jadi, ayah nak tunaikan tanggungjawab ayah pada Najla sebelum masa ayah tu tiba."

Najla naik pening mendengar kata-kata Haji Lutfi malam ini. Haji Lutfi bukanlah orang yang pandai bermadah pujangga, berpantun seloka pun jauh sekali. Haji Lutfi itu straight to the point orangnya. Namun mengapa malam ini Najla merasakan bahasa ayahnya itu mengalahkan Usman Awang? Aduh, migrain aku kalau macam ni! Najla mengeluh.

"Dengar tak apa yang ayah cakap ni?"

"Dengar, dengar." Menggelabah Najla menjawab.

"Dah cukup rasanya masa yang emak dan ayah beri untuk kamu fikirkan. Jadi, yang mana satu kamu pilih? Kahwin dan sambung belajar atau duduk saja di rumah, tunggu jodoh kamu turun dari langit?"

Hajah Karimah menjeling. Tadi bukan main syahdu ayatnya, tiba-tiba sahaja sudah bertukar sinis pula. Hai, angin orang tua ni memang tak dapat nak diagak, desis hati Hajah Karimah.

"Erm... Najla ikut aje apa yang baik pada ayah."

Tak apa, lepas kahwin nanti, tahulah aku apa nak buat. Biar semua orang pening. Nak sangat kahwinkan aku, kan? Najla sudah mula memasang strategi. Sebenarnya mahu sahaja Najla katakan, kedua-dua pilihan yang diberikan, satu pun dia tidak sudi.

Cubalah beri tawaran yang lebih menarik sikit. Pakej bercuti ke Maldives selama seminggu semuanya ditanggung beres ke, ini tak habis-habis dengan tawaran kahwin. Tak suka tau!

"Kalau dah itu keputusan kamu, ayah ucapkan terima kasih. Alhamdulillah. Selesai satu bab, Cik Mah."

Haji Lutfi menjeling Hajah Karimah yang sejak dari tadi langsung tidak bersuara. Nampak tekun sungguh menjahit. Padahal bukan Haji Lutfi tidak tahu, isterinya itu memasang telinga sejak dari tadi lagi.

Buktinya, sejak dari awal perbualannya dengan Najla, jahitan isterinya masih di tempat yang sama, langsung tidak bergerak-gerak. Mahu menegur, bimbang lebam lengannya dicubit Hajah Karimah. Jadi, dia biarkan saja Hajah Karimah dengan lakonannya.

"Kamu tak mahu tahu siapa jodoh kamu?"

Haji Lutfi memandang wajah anak gadisnya yang berkulit putih kemerah-merahan itu. Entah baka siapalah yang diikutnya. Memanglah Hajah Karimah itu cantik orangnya ketika zaman mudanya dahulu, tetapi kulitnya tidaklah secantik kulit Najla.

Malah wajah Najla juga agak berlainan jika dibandingkan dengan Shidah dan juga Mila. Najla lebih manis dan lembut wajahnya. Tetapi mahu membesarkan anak yang seorang ini, banyak sungguh cabarannya.

"Nak." Laju Najla menjawab. Gila nak kata tak nak. Memang itu pun yang dia mahu sangat tahu sejak dari siang tadi.

"Firhad," beritahu Haji Lutfi sepatah.

Firhad? Siapa, ya? Orang kampung ini juga ke? Najla bertanya sendiri. Mahu bertanya pada Haji Lutfi, sungguh dia tidak berani. Esok akan dikoreknya misteri pemilik nama Firhad itu daripada Hajah Karimah, sumber yang pasti boleh dipercayai.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro