Bab 6
"KAHWIN? Seronoknya!"
Najla menjegilkan matanya kepada Yana, rakan sekelas merangkap sahabat baiknya. Memang dia tidak terkejut dengan reaksi yang ditunjukkan Yana yang sememangnya asal ditanya cikgu apakah cita-citanya bila mereka sudah dewasa nanti? Maka jawapan klise yang selalunya akan diberikan Yana 'mahu menjadi isteri solehah, suri rumah tangga dan ibu yang baik kepada anak-anak'. Geleng kepala cikgu yang mendengarnya.
"Bagi aku, baik kahwin dari sambung belajar. Belajar tinggi-tinggi pun, kalau dah kahwin suami suruh berhenti kerja, kenalah berhenti juga, kan? Baik jadi suri rumah tangga, layan suami dan didik anak-anak aje." Yana mengutarakan pendapatnya.
"Nak jadi ibu pun kau ingat tak perlu ada ilmu?" bidas Najla.
"Mak aku, mak kau, tak masuk universiti pun tapi elok aje didik anak-anak? Kalau aku jadi kau, mahu melompat kesukaan sampai tembus bumbung sekolah agaknya. Orang suruh kahwin, kahwin ajelah. Bukannya orang suruh pergi sembelih lembu pun. Kalau yang itu memang aku pun tak sanggup."
"Ops! Pembetulan. Nenek aku yang jaga aku... Mak aku baru lima enam tahun ni aje ambil alih peranan tu. Kau tu memang! Zaman dulu dengan sekarang mana sama. Sekarang budak-budak semua dah terlebih pandai. Nak jadi mak bapak budak-budak sekarang, kita kena lagi pandai dari dia orang." Najla mencebik. Geram dengan alasan mudah yang difikirkan oleh sahabat baiknya itu.
"Wah, kau bercakap macam dah ada anak lima enam orang! Mesti seronok kalau ada anak, kan?" Yana tersengih-sengih. Sudah terbayang-bayang betapa meriahnya majlis perkahwinannya nanti. Segalanya sudah ada di dalam kepala. Temanya, busana pengantinnya, malah nama bakal anak-anaknya sudah siap-siap disediakannya. Manalah tahu, kalau-kalau jodohnya datang awal nanti.
"Yang kau tersengih-sengih ni kenapa?"
"Mesti seronok, kan?"
"Apa yang seronok?" Dahi Najla sudah berkerut. Yana tak nampak ke muka dia yang tengah susah hati? Apa yang seronoknya?
"Kahwinlah."
"Gatal!"
Yana sudah terkekeh-kekeh ketawa. Katalah apa yang Najla mahu, tapi memang cita-citanya hanyalah mahu menjadi seorang isteri dan ibu yang baik. Minatnya sudah tiada untuk belajar lagi. Dia tidak mahu memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang dia tidak suka. Lagipun dia tidaklah sebijak Najla, dalam pada main-main pun, keputusan Najla walaupun tidak secemerlang pelajar terbaik sekolah, tapi masih lagi tergolong dalam sepuluh orang pelajar terbaik di sekolah mereka.
"Senyap aje rumah kau ni? Mana semua orang dah pergi?" Hairan juga Najla, biasanya Mak Cik Ruby, ibu Yana manalah pernah senyap mulutnya. Ada sahaja celoteh dan bebelannya. Bak kata Yana, emaknya itu radio aktif. Bersiaran dua puluh empat jam sehari.
"Mak ayah aku pergi rumah mak lang aku. Ada majlis cukur jambul. Sepupu aku yang kahwin tahun lepas tu dah bersalin minggu sudah. Adik-adik aku pun ikut sekali."
"Dah tu kenapa kau tak ikut?"
Pelik pula Najla. Biasanya Yana memang suka pergi ke majlis kenduri-kendara. Pantang diajak!
"Malaslah aku. Nanti sah aku yang kena basuh pinggan. Kalau tak buat nanti, orang cup anak dara pemalas, datang tahu makan aje. Baik aku duduk diam-diam kat rumah," beritahu Yana.
"Bukan ke kau paling suka pergi majlis kenduri? Macam kata kau dulu, manalah tahu kalau-kalau jodoh kau ada terselit dalam ramai-ramai tetamu yang datang masa kenduri tu, kan? Rugilah kalau kau tak pergi, kut-kut jodoh kau ada kat rumah mak lang kau hari ni," sindir Najla.
"Itulah yang kau tak tahu. Majlis cukur jambul mana ada anak teruna nak datang. Mak-mak dan nenek-nenek orang aje yang ramainya. Kalau ada yang datang pun, bapa si teruna, bukan anak teruna tu pun," balas Yana selamba.
"Tahu aje kau, kan..."
"Eh, mestilah! Bertahun dah aku buat kajian. Jadi tak payah risaulah. Berdasarkan hasil kajian aku, calon-calon suami tak sampai satu peratus pun yang datang majlis cukur jambul ni. Tapi kalau kenduri kahwin, memang wajib aku pergi. Peratus nak jumpa bakal suami tinggi kalau kat majlis kahwin ni. Ambil berkat, lagipun..."
"Kajian konon! Eksperimen kat dalam makmal tak pula kau bersungguh buat macam ni, kan? Kalau tak, agaknya dah lama kajian kau tu dijadikan jurnal, tak pun bahan rujukan untuk budak-budak sekolah, betul tak?"
"Eksperimen dalam makmal tu aku tak minat. Buat pening kepala aku aje. Apalah susah-susah sangat nak bukti bagai. Dah saintis kata oksigen tu perlu untuk menghasilkan api. Percaya ajelah. Dia orang pun mestilah dah uji banyak kali sebelum keluarkan teori tu, kan? Susah-susah suruh kita yang budak sekolah ni buktikan buat apa? Aku bukannya nak jadi saintis pun. Kau lainlah, kau budak pandai."
Najla mengeluh. Orang kalau sudah tidak minat mahu belajar, katalah apa sahaja, semuanya ditolak bulat-bulat.
"Tak kiralah siapa yang pandai. Ni, kau ada idea tak macam mana nak gagalkan rancangan ayah aku tu? Otak kau kan bergeliga kalau bab-bab macam ni."
"Aku? Manalah aku tahu. Kalau kau tanya aku, memang aku suruh kau kahwin aje." Yana sudah berdekah-dekah ketawa. Najla spontan menepuk paha Yana yang duduk bersila di atas pangkin di bawah pokok mangga epal yang baru mengeluarkan putik itu.
"Aduh, sakitlah! Kau ni pun, agak-agaklah kalau nak minta pendapat pun. Aku tak berani nak bagi idea kat kau. Nanti dengan aku-aku sekali kena tibai dengan ayah kau tu. Tak sanggup aku! Ayah kau tu siapa tak kenal? Kalau kau letak singa duduk sebelah ayah kau, lepas tu suruh orang kampung ni teka, aku yakin sembilan daripada sepuluh orang tak tahu mana satu singa, mana satu ayah kau. Ayah kau tu lagi garang dari singa tau!" Yana sambung ketawa. Najla dalam pada geram pun turut ketawa sama.
Memang pun, Haji Lutfi, siapa yang tidak kenal. Dia sebagai anak, mahu bercakap pun kena menyusun ayat berminggu lamanya. Paling mudah, minta emaknya sahaja yang menjadi orang tengah jika ada apa-apa yang dia mahukan daripada ayahnya.
Tapi yang peliknya, dengan anak-anak yang lain boleh pula ayahnya berbual-bual dan bergurau senda. Mungkin sebab aku ni anak yang tidak dijaganya sejak dari kecil. Nak memandang muka aku ni pun nak tak nak aje agaknya. Ini pun sebab mak dengan bapak dah meninggal. Kalau tak, agaknya sampai sekarang mak dengan ayah tak adanya nak balik kampung dan ambil alih tugas menjaga aku, bisik hati kecil Najla.
"Tapi ayah kau tu, ada masa-masanya boleh pula jadi peramah tak ingat dunia. Pernah dia tegur aku masa aku baru balik dari kedai. Habis terpelanting ikan dalam plastik dibuatnya. Terkejut badak aku! Yalah, mahunya tidak Haji Lutfi beramah mesra dengan aku. Mahu tak pitam aku dibuatnya." Yana yang masih belum menyedari perubahan air muka Najla terus rancak bercerita.
"Dia kalau dengan orang lain, okey aje. Dengan aku ni aje yang dia macam ada badi. Sebab tu dia tak berapa suka nak bercakap dengan aku. Nak tengok dia senyum masa pandang muka aku pun payah."
"Hish, kau ni, cubalah jangan fikir bukan-bukan. Kan mereka dah beritahu yang mereka tak dapat nak bawa kau bersama ke Sabah waktu tu atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Lagipun kau masih terlalu kecil masa tu. Sebab tu kau terpaksa ditinggalkan bersama datuk dan nenek kau kat kampung ni. Tapi bagus juga mereka tak bawa kau. Kalau tak, tak adalah aku dengan kau jadi kawan sampai sekarang." Yana cuba memujuk hati Najla.
Dia tahu Najla sudah lama menyimpan luka dan kecil hati kerana ditinggalkan oleh kedua-dua ibu bapanya di kampung ketika ayahnya ditugaskan ke Sabah dulu.
"Tak kesahlah. Yang penting sekarang ni, macam manalah aku nak lepaskan diri, ya? Pandai-pandai aje ayah dan mak aku tu buat keputusan bagi pihak aku. Langsung tak bertanya pendapat aku," adu Najla.
"Ayah dengan mak kau dah fikir habislah tu. Mesti mereka dah timbang buruk baiknya. Tapi apa kata, kau cuba berbincang dengan ayah kau tu. Kut-kutlah dia nak dengar."
"Huh, dari bincang dengan Haji Lutfi tu, baik aku berbincang dengan ayam serama mak kau tu. Ayam tu lagi mesra dengan aku kalau nak dibandingkan dengan Haji Lutfi tu," keluh Najla.
Yana yang mendengar ketawa geli hati. Ayam serama emaknya pula yang dibandingkan dengan Haji Lutfi.
Haji Lutfi itu sebenarnya tidaklah dua puluh empat jam garang dan serius orangnya. Ada masanya Najla perasan ayahnya itu berbual mesra dan bergelak ketawa dengan Mila dan Khalis. Cuma, bila berhadapan dengannya, Haji Lutfi seolah-olah bertukar perwatakan. Mungkin Haji Lutfi terasa kekok dan janggal mahu berbual dan bergurau dengannya. Atau, ayahnya itu ada masalah konflik personaliti.
Macam Billy Milligan, manusia yang terkenal kerana mempunyai masalah berbilang personaliti. Najla sudah ketawa besar dengan fikiran nakalnya. Kalaulah Haji Lutfi tahu, masak aku digulainya, desis hati Najla.
"Kau tahu tak siapa yang nak dijodohkan dengan kau tu?" Yana bertanya setelah ketawa mereka reda. Najla termangu seketika. Semalam kata emak, calonnya sudah ada. Tapi siapa?
"Eh, termenung pula dia! Kau dengar tak apa yang aku tanya tadi?"
"Dengar. Mak aku ada cakap semalam calonnya dah ada. Tapi tak pula aku tanya siapa orangnya. Kalau aku tanya karang, mak aku kata aku gedik nak kahwin."
"Kau tak tanya? Kau rela aje walau siapa pun yang mak ayah kau pilih? Walaupun bukan taste kau?"
"Kalau dah namanya mak ayah yang pilih, kau ingat dia orang fikir ke ciri-ciri suami idaman aku? Tanya pun tak pernah. Tapi betul juga, kalau tak tanya, entah siapa-siapa jugalah ayah aku pilih untuk jadi menantu dia nanti."
"Jangan-jangan Zul Ariffin tak?" Najla menjeling. Bengang dengan lawak Yana yang tidak kena tempatnya.
"Okey. Kalau bukan Zul Ariffin, Fattah Amin pun tak mungkin, Anuar Zain jauh sekali... Hah, mungkin Sudin!" Cerah mata Najla merenung Yana yang kelihatan teruja.
"Sudin mana pula kau ni?"
"Sudin mana lagi? Sudin tuan punya warung roti canai dekat depan balai raya tu la. Kan ayah kau tiap-tiap pagi bersarapan kat situ. Kut-kutlah sambil bersarapan tu dia berkenan nak buat Sudin tu jadi menantu dia."
"Hish, kau ni! Cakap biar elok-elok sikit boleh tak?" marah Najla. Bengang dengan ayat dikeluarkan Yana sebentar tadi.
"Laaa... Aku cuma fikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Kau tak fikir ke sambil-sambil minum teh tarik, makan roti canai banjir kat warung Sudin tu, sambil-sambil tu ayah kau berkenan nak buat Sudin tu sebagai menantu? Itu tak mustahil, kan?"
Perut Najla sudah semacam. Bukan lagi terasa seperti ada rama-rama yang sedang menari-nari di dalamnya, malah seperti sudah ada seekor kumbang gajah yang sedang menggigit-gigit urat perutnya sehingga ngilunya begitu terasa. Serentak dengan itu juga Najla terbayangkan wajah Sudin si pemilik warung yang disebut Yana tadi. Serta-merta saluran pernafasannya seolah-olah tersekat. Najla terasa lemas tiba-tiba.
"Sudin tu pun okey apa? Nampak aje tak bergaya, tapi duit banyak tu. Aku pernah tengok dia keluarkan duit berkepuk-kepuk dari dalam dompet. Waktu tu surau kampung kita ni buat kutipan derma sempena majlis tadarus al-Quran masa bulan puasa tempoh hari. Umur bukan halanganlah, Najla. Ala... Dia pun bukan tua sangat, baru nak masuk empat puluhan aje tu..."
Kata-kata Yana yang seterusnya sudah hilang entah ke mana. Najla sudah larut dalam perasaan tidak keruan. Jika benar Sudin itu jodoh yang dipilih oleh ayahnya, oh, matilah aku! Najla sudah melompat terjun dari pangkin. Terkocoh-kocoh dia memakai selipar jepun. Sudah tidak peduli, yang mana kanan, yang mana kiri. Yang penting dia mahu balik berjumpa dengan emaknya. Ada perhitungan yang perlu dibuat.
Yana sudah ternganga melihat Najla yang semakin jauh kelibatnya. Entah apa sahajalah yang sudah merasuk dalam badan kawannya itu. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tahu-tahu Najla sudah terjun ke tanah dan sekarang sedang berlari pecut tidak tahu ke mana.
Yana menadah tangan. Memohon agar janganlah kawannya itu disampuk hantu pokok mangga epal. Manalah tahu, kalau-kalau pangkin tempat mereka melepak saban petang itu keras kawasannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro