Bab 3
"SAYA dah fikirkan masak-masak apa yang tuan haji katakan tempoh hari."
Firhad memulakan bicara. Sudah tiga hari dia sembahyang istikharah, memohon petunjuk. Walaupun bukanlah wajah Najla yang muncul dalam mimpinya, namun, dalam tiga hari ini, hatinya berasa lapang apabila teringatkan Najla. Entahlah, mungkin orang lain tidak akan faham, tetapi hatinya kuat mengatakan mungkin Najla merupakan pemilik tulang rusuk kirinya.
"Permintaan yang mana ni, Firhad?" Haji Lutfi mohon pencerahan. Setahunya, ada dua permintaan yang dibuatnya pada Firhad malam itu. Pertama, meminta Firhad menjadikan dia sebagai rakan kongsi dalam projek penternakan itik telur yang bakal dijalankan Firhad dan permintaan keduanya, melamar Firhad untuk menjadi menantunya.
"Dua-dua. Sebagai rakan kongsi dan juga sebagai menantu tuan haji," ucap Firhad tanpa teragak-agak. Yakin sahaja kedengaran suaranya.
"Alhamdulillah. Tidak sia-sia doa pak cik selama ni. Betul ke ni, Firhad? Kamu tak main-main?"
"Ya, tuan haji. Saya sungguh-sungguh. Insya-Allah, dalam seminggu dua lagi, saya akan minta emak saya datang menghantar rombongan peminangan secara rasmi ke rumah tuan haji."
"Allah... Terima kasih, Firhad. Terima kasih!" ucap Haji Lutfi berulang kali. Tubuh Firhad dipeluknya erat sambil tangannya menepuk-nepuk belakang anak muda itu. Gembiranya tidak terkata. Syukurnya tidak terhingga.
MATA Wani meliar memandang sekeliling ruang pejabat yang pada asalnya merupakan sebuah kontena dan kemudiannya diubah suai menjadi sebuah pejabat kecil. Cukuplah untuk menguruskan segala urusan berkaitan ladang penternakan ayam daging dan ayam telur itu. Lengkap dengan segala kemudahan dan keperluan seperti telefon, mesin faksimili, mesin fotostat dan dilengkapi dengan pendingin hawa.
"Mana semua orang pergi ni? Kat depan tak ada, kat dalam pejabat pun tak ada. Cuti umum ke hari ni?" Wani menggumam sendiri.
Tadinya selepas menghantar bekalan buat ayahnya di kebun pisang, sengaja dia singgah untuk menjenguk abang sepupunya yang sudah agak jarang ditemuinya. Rindu pula rasa dalam hati. Tambah-tambah sejak Firhad sudah membeli sebuah rumah teres di kawasan perumahan yang baru dibangunkan di Bangi, lagilah payah wajah Firhad mahu ditatapnya. Kawasan perumahan itu pula terletak kira-kira tiga puluh minit perjalanan dari kampung mereka di Hulu Langat ini.
Wani terbayang rumah teres yang masih kuat berbau cat itu. Rumah baharulah katakan. Sempat dia dan keluarganya bertandang ke rumah Firhad beberapa bulan sudah semasa Firhad mengadakan kenduri sempena memasuki rumah baharu.
Terngiang-ngiang di telinganya usikan yang dilemparkan kepada Firhad oleh saudara-mara dan juga sahabat handai yang dijemput pada hari tersebut. Firhad kelihatan tenang-tenang sahaja sewaktu diusik, rumahnya sudah ada, surinya bila pula?
Kata Firhad sebagai membalas usikan mereka, rumah itu sebagai persediaan sebelum dia berkahwin nanti. Wani yang mendengar sudah melonjak kesukaan. Berharap dialah bakal suri yang akan tinggal dalam rumah itu nanti.
"Hah, Wani! Awalnya dah ke sini. Kau tak pergi sekolah ke?"
Wani tersentak. Habis bertebaran semua angan-angannya tadi. Matanya bulat memandang Mamat yang kelihatan selamba sahaja. Pada celah ketiak Mamat terselit sebuah fail plastik yang berwarna hijau.
"Abang Mamat ni kalau tak terkejutkan orang tak boleh ke? Kalau Wani ada sakit jantung macam mana? Abang Mamat nak bertanggungjawab ke? Orang dah lama habis sekolahlah. Soalan tu dah tak relevan lagilah, Abang Mamat!" sergah Wani. Geram melihat Mamat yang tersengih-sengih menayang barisan giginya yang tidak teratur.
"Oh... Dah tak sekolah dah. Mana ada abang buat terkejutkan Wani. Puas abang panggil, Wani yang tak dengar. Itu tak ada lainlah tu, berangan tak habis-habis! Ha, pagi-pagi dah terpacul kat sini ada apa? Nak beli ayam?" tanya Mamat sambil meletakkan fail berwarna hijau itu di atas meja Faridah, kerani di situ.
"Bukanlah! Ayam banyak kat rumah tu. Tinggal tangkap aje. Ini Wani datang nak hantarkan sarapan untuk Abang Firhad. Mana dia? Wani tak nampak pun dia kat luar tadi. Nak kata ada kat reban, puas Wani panggil, tak pula orang menyahut. Kereta dia pun tak ada," beritahu Wani. Hampir tertanggal tekak dibuatnya. Puas dia melaung, tapi tiada seorang pun yang menyahut.
"Oh, bos belum sampai lagi. Tak tahu kenapa dia lewat hari ni. Sarapan apa yang Wani bawa tu? Mari Abang Mamat nak rasa sikit. Abang Mamat pun tengah lapar ni." Mamat cuba menjengah bekalan yang diisi dalam mangkuk tingkat yang dibimbit Wani.
"Jangan nak mengada-ada! Sarapan ni Wani sediakan khusus untuk Abang Firhad. Jangan ada sesiapa pun yang berani makan. Ini mana semua orang dalam pejabat ni? Kat ladang pun tak ada orang. Oh, bos tak ada semua pakat malas kerja, ya? Nantilah Wani beritahu Abang Firhad."
"Eh, Wani jangan nak pandai-pandai buat cerita, ya? Semua orang ada aje. Cuma mungkin malas nak menyahut bila Wani panggil tu. Tahu sangat dah, Wani kalau datang tak ada lain, cari bos. Menyahut pun buang masa aje. Baik kita orang buat kerja masing-masing yang tak habis-habis dengan ayam-ayam tu. Er... Baru abang perasan, mana Faridah, ya? Selalunya masa-masa macam ni dia dah ada dekat pejabat."
"Eh, manalah Wani tahu! Tanya Wani pula. Bercakap dengan Abang Mamat ni buat..."
"Mamat! Dah hantar semua tempahan tu?" Tiba-tiba terdengar suara Firhad dari belakang. Pintu pejabat terbuka dengan luas. Mata Firhad memandang wajah Wani dan Mamat silih berganti.
"Apa yang kau orang berdua buat kat dalam ni? Pintu pula tertutup rapat. Mamat, Wani?" Wani dan Mamat saling berpandangan. Berkerut-kerut dahi keduanya.
"Saya baru aje sampai, bos. Nak hantar fail ni pada Faridah. Masuk-masuk tengok cik kak ni dah ada kat dalam. Nak hantar sarapan pada bos katanya."
"Wani datang cari abang. Abang Mamat ni yang tiba-tiba masuk. Puas Wani panggil, kat luar, kat dalam pejabat ni, seorang pun tak menyahut. Abang datang lewat, semua pekerja abang pakat-pakat masuk kerja lewat juga," beritahu Wani pula. Tidak mahu nampak seolah-olah dia pula kelihatan seperti seorang pesalah. Tambah-tambah lagi sebagai pesalah di mata Firhad. Oh, tidak!
"Lain kali kalau tak ada orang kat dalam pejabat ni, Wani jangan pandai-pandai masuk. Bahaya! Balik aje. Ramai pekerja asing kat sini. Kau pun satu Mamat, kalau dah nampak budak ni ada kat dalam pejabat, kau tak payahlah masuk. Kalau kena tangkap basah atau kalau ada orang lain yang ternampak, lepas tu sampaikan pula pada orang kampung, tak fasal-fasal kau dengan Wani ni kena fitnah."
Wani dan Mamat terdiam. Marah nampaknya Firhad kali ini.
"Baik, bos! Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu, bos." Mamat meminta diri. Malas mahu berlama-lamaan. Bimbang kalau-kalau ceramah Firhad bakal berlarutan. Sudahlah kerjanya berlambak lagi yang perlu diselesaikan. Firhad itu tak apalah, dia kan bos, lainlah aku, kuli aje, getus hati Mamat.
"Tak payah! Duduk dulu. Kau nak tinggalkan aku pula berdua dengan Wani ni? Nak suruh aku pula kena tangkap basah nanti?" Mata Firhad terjegil memandang Mamat yang sudah ketawa.
"Abang ni bagi muka sangat. Sebab itulah semua pekerja naik atas kepala abang. Tengok, dari tadi Wani beritahu, abang buat tak kesah aje." Radang hati Wani melihat Mamat yang sudah ketawa itu. Tadi bukan main nampak menikus depan Firhad.
"Wani beritahu apa? Abang tak berapa dengar tadi." Malas sebenarnaya Firhad mahu melayan. Kerjanya sudahlah terlalu banyak. Wani pula setiap kali datang pastinya membawa bermacam-macam aduan.
"Abang tak nampak ke? Tengok, mana Faridah? Tinggalkan pejabat sunyi sepi. Tak berkunci pula tu. Kat ladang pun tadi sampai nak terkeluar anak tekak Wani ni memanggil tapi tak ada seorang pun yang menyahut. Abang kenalah tegas sikit dengan pekerja-pekerja abang ni. Kalau tak, melingkuplah perniagaan abang ni nanti. Tengoklah kalau tak percaya."
Mamat mengerling ke arah Firhad yang sedang berpeluk tubuh sambil bersandar pada meja di situ. Wajah Firhad kelihatan tenang sahaja.
"Faridah ada hal, Wani... Dia dah beritahu abang dari minggu lepas lagi. Pintu pejabat ni abang sengaja biarkan tidak berkunci sebab tahu Mamat dan Khalid nak masuk untuk ambil fail pelanggan nanti. Payah pula mereka nak masuk kalau abang kunci pintu ni. Lagipun pintu bilik abang tu sentiasa berkunci, insya-Allah, tak ada apa-apa."
Eh, kenapa pula aku nak kena terangkan semua ini pada Wani? Isy, tak fasal-fasal aje aku pula yang macam kerja dengan dia! bisik hati Firhad.
"Abang percaya sangat pada pekerja-pekerja abang ni. Manalah dia orang tak ambil kesempatan. Abang sepatutnya kenalah..." Kata-kata Wani terhenti sebaik sahaja suara Firhad sudah mencelah.
"Abang tahulah macam mana nak uruskan pekerja-pekerja abang ni, Wani. Terima kasihlah sebab beritahu abang. Nanti abang akan rotan mereka semua ni. Malas kerja semua ni, ya?"
Mamat sudah menekup mulut. Mahu ketawa mendengar kata-kata Firhad yang selamba. Wani kalau datang tidak mengadu, itu bukan Wani namanya. Mungkin itu hantu raya yang menyamar sebagai anak bongsu kepada Uda Leman itu.
"Abang ni, kalau Wani cakap suka main-main! Bencilah!" Wani menghentakkan kakinya ke lantai. Menyampah sungguh dengan perangai Firhad yang tidak pernah ambil serius dengan setiap apa yang dikatakannya. Diberitahu sayang pun, Firhad buat tak tahu juga. Dibilang cinta nanti, bimbang pula mahu sampai kesudah Firhad tidak mahu bercakap dengannya nanti.
"Wani bawa sarapan apa?" Firhad mengalih topik. Biarlah kalau Wani mahu merajuk pun. Tidak kuasa dia mahu memujuk.
"Hurm... Mi rebus. Wani nak makan sama-sama dengan abang."
Mahu termuntah Mamat mendengar suara Wani yang sengaja dibuat-buat manja.
"Mak uda atau Wani yang masak?" tanya Firhad berbasa-basi. Tahu sangat hasil air tangan siapa yang berada di dalam mangkuk tingkat itu.
"Maklah... Tapi Wani ada juga tolong sikit-sikit. Tak lama lagi mesti Wani pun pandai masak macam mak tu. Jomlah abang, kita makan sama-sama, ya?"
"Letak dulu mangkuk tingkat tu atas meja kat pantri sana tu, Wani. Abang dah kenyang. Dah sarapan kat kedai tadi. Kalau tak ada apa-apa, abang nak masuk bilik abang, nak buat kerja sikit. Wani pun baliklah. Dah nak masuk tengah hari ni. Mak uda mesti tengah sibuk memasak tu. Kasihan mak uda kena masak sorang-sorang. Kata Wani tadi nak pandai memasak macam mak Wani tu, kan..."
Wani mengetap bibir. Giginya kedengaran berlaga antara satu sama lain. Geram dengan jawapan yang diberikan Firhad.
"Abang ni selalu macam tu. Kalau Wani ajak tak pernahnya nak. Ada aje alasan abang!"
"Dah perut abang dah kenyang, nak buat macam mana? Mamat, fail Pasar Raya Sakura tu mana? Kau dah hantar semua tempahan pagi ni? Tengah hari nanti jangan lupa, ada tiga ratus ekor ayam nak kena hantar. Kau tengok-tengok sikit budak-budak tu. Aku tak nak ada aduan daripada pelanggan, bulu ayam cabut tak bersihlah, ayam tak segar ke, buruk nama kita nanti."
Walaupun masih belum ada aduan sebegitu yang diterimanya, namun Firhad lebih suka mengambil pendekatan berhati-hati. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati?
"Okey, bos. Beres!" Mamat membuat isyarat huruf O dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuknya.
"Isy, bencilah macam ni!" Wani menghentakkan kakinya sambil berjalan menuju ke pintu keluar.
Mamat dan Firhad saling berpandangan sambil mengangkat kening masing-masing.
"Bos, kasihan dia, bos... Macam-macam dia buat nak bagi bos suka kat dia. Tapi bos ni memang hati kaldu betullah."
Sebaik sahaja pasti yang pintu pejabat itu telah tertutup rapat, Mamat bersuara. Bimbang juga kalau-kalau Wani terdengar kata-katanya nanti. Mahu benjol dahinya ditinju Wani.
"Merepeklah kau, Mamat! Dia tu aku dah anggap macam adik aku aje. Sepupu kut. Hish, tak terfikir aku nak lebih-lebih dengan dia."
"Apa salahnya bos, dia tu cantik apa? Manja, caring, pendek kata kalau bos kahwin dengan dia, bos akan dapat layanan kelas satu punya," usik Mamat.
Bukan dia tidak tahu, sejak dari dulu Firhad menganggap Wani tidak lebih daripada sekadar seorang adik. Namun, Mamat tahu, dia dan pekerja-pekerja lain seharusnya bersyukur kalau Firhad tidak memilih Wani. Lihat sahajalah, baru bergelar sepupu pada Firhad, sudah bermacam-macam aduan disampaikan pada bosnya itu. Kalau sudah bergelar isteri, mahu terbalik ladang ternakan ayam ini dibuatnya.
"Mamat, kau makanlah mi rebus yang Wani bawa tadi. Takut basi pula nanti. Kau ajak Khalid sekali."
"Bos tak mahu makan ke?"
"Aku dah kenyang. Sarapan dengan bakal bapa mentua tadi."
"Hah?" Mulut Mamat ternganga. Biar betul Firhad ni? Tiba-tiba sahaja sudah buka cerita tentang bakal bapa mentua.
"Yang kau ternganga sampai macam tu sekali kenapa? Dahlah, aku nak masuk dalam dulu. Kau makanlah. Jangan lupa basuh sekali pinggan mangkuk yang kau guna tu nanti. Bising pula Faridah bila masuk pejabat nanti tengok pinggan mangkuk penuh singki. Dia telefon aku tadi beritahu petang nanti baru dia masuk pejabat. Bawa anaknya pergi klinik dulu pagi ni."
Tanpa menunggu balasan daripada Mamat, Firhad terus berlalu masuk ke dalam biliknya bersama senyuman panjang.
Mamat yang ditinggalkan perlahan menutup mulutnya. Bos sarapan dengan bakal bapa mentua pagi ni? Siapa, ya? Siapa bakal bapa mentua bos tu? Otak Mamat mula bekerja keras. Mula meneka dengan siapakah Firhad bersarapan pagi tadi?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro