BAB 12
HAJAH KARIMAH menyambut tuala yang dihulurkan Haji Lutfi lalu disidainya pada penyidai yang terdapat dalam bilik yang sederhana besar itu. Haji Lutfi baharu sahaja selesai membersihkan badan setelah pulang dari kolam udang air tawar yang diusahakannya sejak lima tahun lalu.
Rumah yang diduduki mereka sekarang ini dibina oleh Haji Lutfi setahun sebelum dia bersara. Bersara lebih awal daripada yang sepatutnya disebabkan oleh keadaan kesihatan Haji Lutfi yang tidak mengizinkan. Pulang sahaja mereka ke kampung itu, rumah itu pun siap.
Kebetulan pula ketika itu arwah ibu Hajah Karimah iaitu Hajah Munah baru sahaja meninggal dunia, lalu Najla dibawanya tinggal bersama di rumah ini walaupun pada awalnya Najla berkeras mahu tinggal di rumah pusaka yang ditinggalkan oleh datuk dan neneknya. Masakan dia dan Haji Lutfi akan membenarkannya, Najla pula hanyalah berusia dua belas tahun ketika itu.
Puas mereka memujuk, baharulah Najla bersetuju. Itu pun hampir setahun Najla seolah-olah berada dalam dunianya sendiri. Jarang berbual-bual, menyendiri dan hampir setiap hari Najla akan ke kubur Hajah Munah dan Haji Idris. Menangis di situ. Setelah dinasihati Imam Bakar dan isterinya, baharulah nampak ada perubahan dalam diri Najla.
Haji Lutfi mencapai sikat yang berada di atas meja solek lalu menyikat rambut yang sudah tidak lagi selebat dan sehitam dulu. Direnung wajahnya yang sudah ketara dimamah usia itu. Matanya sempat mengerling kepada Hajah Karimah yang masih berdiri di belakangnya. Segera dia menoleh.
"Ada apa-apa ke yang awak nak cakap dengan saya?" Sekilas ikan di air sudah diketahui jantan betinanya, inikan pula isteri yang sudah dikahwininya lebih tiga puluh tahun yang lalu.
Hajah Karimah melabuhkan punggungnya di hujung katil. Masih juga tidak bersuara. Berat hatinya mahu bercakap tentang perkara itu. Tetapi jika tidak diluahkan, hatinya juga yang tidak senang nanti. Semakin dihimpit rasa bersalah setiap kali dia memandang wajah Najla.
"Laaa... Diam pula dia. Ada apa-apa ke yang awak nak bincang dengan abang ni, Mah? Janganlah diam aje. Kalau awak tak cakap, masakan abang tahu apa yang ada dalam hati dan fikiran awak tu?"
"Betul ke tindakan kita ni, abang?"
Haji Lutfi mengerutkan keningnya. Tidak faham dengan soalan yang baru diutarakan oleh isterinya. Tindakan? Tindakan yang mana satu pula ni?
"Tindakan yang mana ni, Mah? Cuba awak cakap tu jelas sikit. Abang ni dah tua, lambat sikit nak menangkap maksud kalau berkias-kias ni."
"Mana ada saya berkias pun. Awak tu memang dari dulu lagi macam ni. Mudah sangat lupa."
Hajah Karimah menjeling. Haji Lutfi ketawa kecil. Comel pula dilihatnya Hajah Karimah bila menjeling dia begitu.
"Awak jangan jeling-jeling abang macam tu. Nanti tak pasal-pasal, dapat adik pula Si Khalis tu tahun ni. Beratur orang kampung ni nanti nak dapatkan petua daripada saya."
Hajah Karimah melempar bantal kecil yang berada di atas katil kepada Haji Lutfi. Tangkas sahaja disambut Haji Lutfi yang galak ketawa mengusik.
"Merepek pula abang ni. Tua-tua macam ni jangan nak buat hal. Buat malu aje umur-umur macam ni nak beranak kecil lagi. Isy, minta dijauhkan!"
"Awak ni... Itu kan rezeki. Kalau ada, kita kenalah bersyukur. Boleh juga buat peneman awak kat rumah ni."
Orang tua ni, makin dilayan, makin menjadi, bisik Hajah Karimah dalam hati. Tidak dapat dibayangkan jika apa yang dikatakan Haji Lutfi itu menjadi kenyataan. Mahunya bertahun menjadi isu hangat dalam kampung yang tidak seluas mana tu. Harapnya janganlah masin mulut Haji Lutfi tu.
"Dahlah. Malas saya nak melayan awak ni. Abang, sebenarnya saya risau ni." Hajah Karimah kembali kepada pokok asal perkara yang mahu dibincangkannya dengan Haji Lutfi.
"Apa yang awak risaukan?"
"Betul ke tindakan kita ni, bang? Kita paksa Najla tu ikut kehendak kita, sedangkan anak kita tu tak bersedia pun nak berumah tangga."
Haji Lutfi menarik nafas panjang. Bukan dia tidak pernah terfikirkan tentang perkara itu, tetapi semuanya dia lakukan demi kasih sayangnya dan tanggungjawabnya sebagai seorang ayah.
"Saya dah fikir perkara ni masak-masak sebelum buat keputusan, Mah. Semua ni saya buat sebab sayangkan dia."
"Saya faham tu, bang. Tapi Najla tu, dapat ke dia faham? Saya risau apa yang kita buat ni akan menjauhkan lagi dia dengan kita. Pagi tadi, dia beritahu pada saya, kalaulah dia tu Mila, dia yakin abang dengan saya tak akan buat keputusan macam ni. Cara dia bercakap tu seolah-olah kita ni tak sayangkan dia. Kita ni pilih kasih!"
"Biarlah, Mah. Mungkin sekarang dia akan salahkan kita tapi percayalah, satu hari nanti dia akan berterima kasih pada kita sebab buat keputusan ni untuk dia."
"Kalau orang lain saya tak risau, tapi ini Najla. Abang pun tahu kan, dia tu banyak memendam perasaan. Lagipun, kita dah terlalu banyak berhutang dengan dia, bang..."
"Sebab itulah saya buat keputusan ni. Kita pun tahu Najla tu bagaimana orangnya. Sehingga hari ini, semua yang dia buat semata-mata sengaja nak membangkitkan kemarahan kita. Anak kita tu sedang memberontak, Mah. Nak meluahkan rasa tidak puas hati dan marah dia pada kita. Abang tahu semua tu dan itulah yang buatkan abang ambil tindakan ni. Makin kita larang, makin dia buat. Apa yang kita tak suka, itulah yang dia akan pilih. Awak nak perkara macam tu berterusan? Abang risau nanti, kalau dia jauh dari mata kita, macam-macam hal dia buat nak bagi kita ni malu. Silap-silap sengaja dipilihnya suami yang entah apa-apa sebab nak kita marah. Abang tak nak dia rosakkan masa depan dia hanya kerana dendam dia pada kita."
Mata Hajah Karimah sudah terasa berpasir. Memang sudah sedia diketahuinya, semua masalah yang ditimbulkan Najla adalah semata-mata demi melampiaskan rasa tidak puas hatinya kepada mereka. Dan sesungguhnya semua rasa marah dan tidak puas hati Najla itu berpunca daripada mereka suami isteri juga.
"Habis tu, tidakkah tindakan kita ni menambahkan rasa marah budak tu pada kita, bang? Saya bimbang kalau-kalau Najla tu semakin menjadi-jadi perangai memberontaknya nanti."
"Insya-Allah, pandailah Firhad mendidik Najla tu nanti. Najla tu walaupun kita nampak keras tapi hatinya lembut. Pernah ke dia melawan cakap kita sebagai ibu bapanya? Pernah ke dia meninggi suara bila bercakap dengan kita? Tak pernah, kan? Langsung dia tidak pernah membantah kata-kata kita. Cuma itulah, darahnya masih muda, saya bimbang kalau-kalau dia tersilap langkah nanti dek mengikut rasa mahu memberontak dan menunjuk protes pada kita."
"Tapi dengan mengahwinkan dia seawal ini?"
"Mah, saya bimbang kalau-kalau saya dah tak ada nanti, Najla akan buat kesilapan dalam memilih. Najla tu suka ikut kata hati. Awak pun tahu, dengan penyakit yang abang ada ni, umur abang ni entah berapa lama sahaja lagi dipinjamkan Allah. Najla perlukan seseorang yang matang, yang sabar dalam menghadapi perangainya. Saya bimbang kalau Najla silap memilih, dia akan dipersiakan dan hatinya akan bertambah luka. Sudahlah dia terluka dengan kita sebagai ibu bapanya, bertambah parah lagi bila dia juga kecewa dalam soal cinta nanti. Lagipun, memang menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa mencarikan pasangan buat anak-anak perempuan kita. Jadi, biarlah abang lunaskan tanggungjawab abang kepada Najla sebelum abang menutup mata. Kalau tidak, hati abang tak akan rasa tenang, Mah."
Hajah Karimah mengesat air mata yang semakin laju mengalir. Terngiang-ngiang pada telinganya kata-kata yang keluar dari mulut Doktor Radzi beberapa bulan yang lalu. Sejak dari hari itulah, suaminya kelihatan bersungguh-sungguh benar mahu mencarikan jodoh buat Najla.
"Saya harap Najla akan faham mengapa kita buat semua ni, bang..." Sayu kedengaran suara Hajah Karimah. Haji Lutfi mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Insya-Allah, Mah... Berdoalah moga hati Najla tu akan lembut juga suatu hari nanti."
Perlahan bahu Hajah Karimah yang terenjut-enjut menahan tangis itu diusapnya perlahan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro