Bab 10
AIR kopi yang masih panas itu berkepul-kepul naik wapnya apabila penutup teko diangkat. Najla mengeluh. Hajah Karimah yang sibuk menggoreng nasi lebihan semalam menoleh ke belakang. Mengeluh, mengeluh, mengeluh... Itu sahajalah yang dibuat Najla sejak dua tiga hari kebelakangan ini.
"Pagi-pagi menghadap rezeki dah mengeluh. Bukannya nak ucap alhamdulillah ke, bersyukur hari ni masih ada lagi rezeki untuk aku. Patutnya hantar aje kamu ni ke negara-negara yang kebuluran tu, baru kamu tahu bersyukur dengan nikmat yang kita ada sekarang ni."
Pagi-pagi hari lagi Hajah Karimah sudah berleter. Pantang sungguh baginya melihat anak-anaknya mengeluh di hadapan rezeki.
Najla memandang wajah emaknya sekilas. Tunduk kembali memandang meja yang masih kosong. Mengeluh lagi.
"Mak, Firhad tu kerja apa?" Walaupun semalam dia sudah mendapat jawapannya daripada Mila, namun hari ini dia mahu memastikannya sekali lagi. Adakah Firhad yang Mila maksudkan semalam merupakan Firhad yang sama yang telah dipilih oleh ayahnya? Harap-harapnya biarlah ada Firhad yang lain.
"Semalam kenapa tak tanya ayah kamu? Masa ayah kamu bercakap semalam, diam tak berkutik. Pagi ni baru terhegeh-hegeh nak bertanya?" tempelak Hajah Karimah.
"Daripada tanya ayah, baik Najla tanya mak." Bucu alas meja yang berkerawang itu dipintal-pintalnya dengan tangan.
"Ada-ada ajelah kamu tu. Sama aje tanya mak atau ayah."
Bekas berisi sayur kubis yang sudah dicuci tadi dicapai Hajah Karimah lalu dimasukkannya ke dalam kuali yang berisi nasi. Digaul-gaulnya agar sebati dengan bahan-bahan yang lain.
"Mana ada sama. Mak tak garang, ayah macam singa."
"Kalau ayah kamu tu singa, tak adanya kamu tu hidup sihat wal afiat sampai sekarang. Dah lama kamu tu dimakannya."
"Memanglah ayah tak makan Najla, Najla ni yang makan hati dengan ayah."
"Ewah! Semalam apa kamu kata? Najla ikut aje apa yang baik pada ayah dan mak? Mak rasa telinga mak ni belum pekak lagi. Sepatah perkataan pun mak tak lupa apa yang kamu cakap semalam."
"Hurm... Yang semalam tu memanglah Najla cakap macam tu walaupun hati Najla ni sebenarnya langsung tak rela. Mak, beritahulah Firhad tu kerja apa?"
"Jual ayam." Ringkas jawapan Hajah Karimah. Malas mahu berteka teki dengan Najla. Lambat-laun Najla akan tahu juga. Bukankah Firhad itu akan menjadi suami Najla juga nanti?
"Mak! Tak ada ke calon lain yang elok sikit? Sampai hati mak dengan ayah buat Najla macam ni." Sedikit menjerit suara Najla.
"Apa yang tak eloknya? Firhad tu baik budaknya. Ada rupa, kerja pun elok."
"Kerja elok? Tapi dia kerja jual ayam aje, mak..."
"Apa masalahnya kalau dia jual ayam pun? Bukannya dia jual orang!"
"Mak ni tak fahamlah apa yang Najla maksudkan!" bentak Najla. Dia mahukan seorang suami yang boleh dia banggakan pekerjaannya. Malulah dia jika kawan-kawannya tahu bakal suaminya itu seorang penjual ayam.
"Kamu tu yang susah difahami orang. Kerja jual ayam tu salah ke di sisi undang-undang? Firhad itu pun, dalam jual-jual ayam tu, dia ada ijazah tau! Rajin pula ke masjid, ke surau. Kamu tu, SPM pun baru lepas. Belum tentu lagi permohonan kamu nak masuk universiti tu berjaya. Firhad tu sekurang-kurangnya berjaya jadi ahli perniagaan, ada pelajaran tinggi. Jangan cepat sangat nak menilai orang, Najla. Jangan asyik nak pandang tinggi pada orang yang kerjanya dengar-dengar gah."
Hajah Karimah mengaup nasi goreng yang sudah siap dimasak lalu dimasukkannya ke dalam mangkuk yang sederhana saiznya. Cukuplah untuk sarapan mereka tiga beranak pagi ini. Masak banyak-banyak pun, tiada siapa yang mahu menghabiskannya. Mila dan Khalis sudah pun ke sekolah.
Sekejap lagi pasti Haji Lutfi pulang untuk bersarapan. Biasanya begitulah rutin harian suaminya. Sebelum azan subuh berkumandang, suaminya itu sudah turun untuk ke surau.
Selepas solat subuh di surau, suaminya akan singgah minum dan berbual-bual dengan rakan-rakannya di warung Sudin. Kemudian, pulang semula ke rumah untuk bersarapan sebelum ke kolam ikan yang terletak di kira-kira dua kilometer dari rumah mereka.
"Mak memang tak faham apa yang Najla rasa."
"Okey. Sekarang Najla beritahu mak apa yang mak tak faham tu?"
Mangkuk yang berisi nasi goreng Hajah Karimah letakkan di hadapan Najla. Mahu membiarkan nasi itu sejuk sedikit sebelum dimasukkan di bawah tudung saji. Najla bukannya mahu bersarapan pagi-pagi. Tunggulah pukul sepuluh nanti, barulah menggagau Najla masuk ke dapur mencari sarapan.
"Najla nak suami yang ada kerjaya, mak. Kerjaya yang Najla boleh banggakan. Bukannya setakat jual ayam kat pasar. Nanti malulah Najla dengan kawan-kawan. Bila orang tanya, Najla suami kau kerja apa? Jual ayam. Eee... Malunya nak sebut. Lainlah kalau suami Najla tu pilot ke, engineer ke, arkitek ke. Nak sebut pun kembang semacam aje dada kita ni. Mak pun mesti bangga dapat menantu yang kerjanya hebat-hebat."
Hajah Karimah menjeling. Anak ini nampak sangat tidak matangnya. Padanlah, umurnya kan baru masuk lapan belas tahun. Apa sahajalah yang tahu difikirkan oleh anak gadis yang berusia semuda ini selain mahukan suami yang berwajah tampan dan kerja yang hebat didengar. Perkara-perkara lain langsung tidak diambil kira.
"Masalahnya tak ada pula pilot ke, engineer ke, arkitek ke, yang datang meminang kamu. Lagipun tak payahlah nak demand macam-macam. Kamu tu pun belum tentu lepas nak masuk U nanti."
"Mak ni, janganlah doakan yang bukan-bukan. Asyik-asyik itu yang mak duk ulang. Tak sayang Najla pun tak payahlah cakap macam tu!" protes Najla.
Bengang juga dibuatnya. Hajah Karimah seolah-olah memperlekehkan keputusan peperiksaannya sahaja. Tunggulah, dapat masuk universiti jauh-jauh, aku langsung tak akan balik lagi ke sini. Najla sudah memasang niat.
"Bila pula mak doakan kamu yang bukan-bukan? Mak cuma mengingatkan kamu, bila dah pandai berdiri tu, jangan lupa tengok rumput yang kamu pijak. Cakap macam bagus aje. Nak suami macam tu, suami macam ni. Awak tu tak tahu lagi keputusan permohonan masuk universiti tu apa kisahnya. Kerja jual ayam, apa yang nak dimalukan? Lagilah dia tu berniaga sendiri, bukannya makan gaji. Kamu tahu tak orang yang berniaga sendiri ni lagi banyak pendapatannya daripada orang makan gaji tu?"
"Tapi kerja tu tak glamorlah, mak."
"Habis tu, kalau kamu nak kerja yang glamor kenapa kamu tak cari artis aje yang jadi suami kamu? Ha, alang-alang kamu nak yang glamor, nak yang popular, apa kata kamu pikat pelakon Remy Ishak tu, mak minat dengan lakonan dia. Boleh juga mak tumpang populariti menantu mak, lepas tu bolehlah mak pun join berlakon dalam drama Menantu Aku Artis Popular," sindir Hajah Karimah.
Najla terdiam. Emaknya memang cukup handal berbahas, kenapalah emak tidak masuk bertanding dalam pilihan raya? Kalaulah emak masuk bertanding, sah emak menang. Aku juga yang glamor jadi anak Yang Berhormat. Najla tersenyum-senyum sendiri.
"Hah, senyum-senyum! Dah sampai mana? Dah masuk bab berbulan madu dengan Remy Ishaklah tu!" sergah Hajah Karimah. Orang tengah perli dia, dia boleh pula tersengih-sengih macam kerang atas darat.
"Mana ada!" nafi Najla.
"Sengih-sengih macam kerang busuk mustahil tak ada apa-apa. Dah, tak payah nak berangan jauh-jauh. Tak ada jadinya kamu dengan Remy Ishak tu."
"Orang bukan senyum pasal itulah, mak." Bengang Najla dibuatnya. Hajah Karimah suka betul membuat spekulasi yang bukan-bukan.
"Tak kesahlah betul atau tak, sebelum mak lupa, baik mak beritahu kamu sekarang. Minggu depan kamu dah mula kursus nikah. Ayah kamu dah minta tolong kawan dia yang kerja di pejabat agama tu masukkan nama kamu untuk kursus minggu depan. Majlis tunang kamu kita buat ringkas-ringkas aje dua minggu lagi. Dua bulan lepas bertunang, terus nikah."
Najla mencongak menggunakan jari. Sekarang baru bulan April. Maknanya, dia bakal bergelar isteri orang bulan Jun nanti? Oh, my! Mata Najla mula terasa berpinar-pinar. Jari-jemarinya laju memicit-micit dahi yang tiba-tiba terasa sakit.
"Dah, tak payah nak picit-picit kepala tu. Sekejap lagi, lepas sarapan, kamu turun ke dapur, tolong mak masak. Nanti bila dah kahwin, taklah kamu terkial-kial. Ini mana satu daun kesom, mana satu daun selasih pun tak kenal."
"Kena belajar masak juga ke?" Najla termangu-mangu. Memasak? Leceh betullah!
"Habis tu kamu nak bagi suami kamu makan mi segera hari-hari?"
"Mi segera pun sedap apa, mak. Mak aje yang tak pernah nak cuba. Pecahkan telur, perah limau nipis sikit, pergh! Dua bungkus pun Najla boleh habiskan sorang-sorang." Terpejam-pejam mata Najla membayangkan keenakan mi segera perisa kari yang sedap dimakan panas-panas.
Tangan Hajah Karimah laju mengetuk tangan anak daranya yang diletakkan di atas meja. Ada sahaja jawapan daripada Najla yang boleh menaikkan darahnya. Semuanya diambil mudah. Di mana mahu dia letakkan mukanya jika anak daranya langsung tidak tahu membuat kerja-kerja di dapur? Berlapis-lapislah malunya kepada Mak Ngah Siah itu nanti.
"Tak payah beri banyak alasan. Mulai sekarang, mak akan jadi cikgu memasak kamu. Nak atau tak nak, kamu kena belajar. Dengar tak apa yang mak cakap ni?"
"Yalah, mak. Kalau Najla merayu sampai berguling-guling pun bukannya mak nak dengar. Asyik-asyik Najla aje yang kena dengar cakap orang..."
"Dah... Tak payah nak buat ayat sedih pagi-pagi ni. Baik kamu makan aje sarapan tu."
Najla merenung mangkuk berisi nasi goreng yang berada di hadapannya. Ada sesuatu yang sedang bermain dalam minda dan mengganggu fikirannya.
"Mak, kalau Najla nak tanya sikit boleh?"
"Nak tanya apa?"
"Kalaulah Najla ni Mila atau Kak Shidah, adakah mak dan ayah akan buat macam ni juga? Pilihkan bakal suami untuk mereka?"
"Kak Shidah kamu kan dah kahwin..."
"Kalau Mila? Mak tergamak ke kahwinkan Mila seawal ini dengan orang yang kerjanya jual ayam aje?"
"Najla, mak dengan ayah sayang semua anak-anak sama aje. Baik Najla, Mila mahupun Kak Shidah, semuanya mak sayang." Suara Hajah Karimah sudah bertukar serak. Hatinya sedikit sebak kerana daripada pertanyaan Najla itu, tahulah dia yang Najla masih meragui kasih sayangnya sebagai seorang ibu.
"Tak apalah, mak. Itu aje yang Najla nak tanya. Kalau dah itu kata mak, Najla terima walaupun hati Najla ni kuat mengatakan kalaulah Najla ni Mila, mak dan ayah takkan tergamak buat keputusan macam ni."
Najla menolak kerusi ke belakang sebelum menaiki tangga untuk kembali ke bilik. Hajah Karimah memandang belakang Najla yang sudah berlalu dengan mata yang basah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro