Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Prolog

Padamu hai si jantung hati,

Dalam tidur kutermimpi-mimpi,

Selagi kita berjauhan,

Hati rindu tiada tertahan...

Kalau pergi Kuala Kubu,

Tulis nama atas batu,

Saban hari kumenanti waktu,

Datanglah segera kepadaku...

HAJAH MUNAH ketawa terkekeh-kekeh melihat aksi si cilik yang sedang menari di halaman rumah mengikut rentak lagu yang dimainkan juruhebah di radio. Suka benar nampaknya sebaik sahaja lagu penyanyi kegemarannya ke udara. Melihat wajah gembira dan riang cucunya itu membuatkan hati tuanya terasa begitu bahagia sekali. Itulah satu-satunya cucu yang boleh dijadikan sebagai peneman hari-hari tuanya bersama Haji Idris. Cucu yang dibelanya sejak berumur empat puluh lima hari dan kini sudah menjangkau tujuh tahun usianya.

Hajah Munah mengeluh. Begitu cepatnya masa berlalu. Entah berapa lama lagikah masa yang dipinjamkan kepadanya untuk terus bernafas di dunia ini? Tiba-tiba Hajah Munah terasa sayu mengingatkan apabila tiba saat yang telah dijanjikan oleh-Nya, dia bakal meninggalkan dunia ini dan meninggalkan cucu yang sangat dikasihinya itu.

"Mak! Pandai tak adik menari?" Suara kecil itu memecahkan suasana sayu yang baharu saja mahu singgah dalam hati tua itu.

"Pandai... Adik belajar dengan siapa menari macam tu?"

"Adik belajar sendirilah, adik kan pandai. Bukan menari aje yang adik pandai, menyanyi lagu ni pun adik dah terror tau, mak." Petah suara si kecil bercerita.

Hajah Munah tersenyum lebar. Kepala cucunya diusap-usap lembut. Mahu disalurkan rasa sayang yang tidak berbelah bahagi buat cucu nan seorang. Bukanlah dia tiada cucu-cucu yang lain, malah ramai sebenarnya cucu yang dia ada. Namun yang ramai itu tidak akan dapat menyamai cucu yang seorang ini dan dibelanya sendiri. Kasihnya pada cucu ini sudah terlalu tebal.

Biarpun ada terdengar cakap-cakap anak menantu dan cucu-cucu lain di belakangnya yang tidak berpuas hati dengan kasih sayang yang diberikan pada si kecil ini, namun, Hajah Munah hanya buat-buat pekakkan telinga sahaja. Jika bukan dia dan Haji Idris, pada siapa lagi si kecil itu mahu menumpang sayang?

"Ya? Cuba adik nyanyi, mak nak dengar."

"Ala... Kalau tak ada muzik adik tak pandailah, mak. Lagipun, kalau suara Sudirman menyanyi sekali dengan adik, baharulah adik pandai."

Ada-ada sahaja jawapan yang diberikan. Hajah Munah hanya sekadar mampu menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kenapa kalau pergi Kuala Kubu kita kena tulis nama atas batu, mak? Tulis nama pada buku tak boleh ke?"

Hajah Munah ketawa kecil. Lucu mendengar pertanyaan cucunya itu.

"Itu kan lagu aje, sayang... Dulu-dulu orang menulis atas batu sebab masa tu buku belum ada. Mereka lukis dan tulis benda-benda yang mereka nampak, benda-benda yang mereka suka. Orang zaman sekarang ni pula ada yang tulis nama orang yang mereka sayang pada batu. Batu kan keras, tahan lasak. Macam itu jugalah sayang mereka pada orang yang ditulis namanya pada batu tu. Sayang yang sangat dalam, tahan diuji."

"Oh... Tapi masa datuk Kinah meninggal hari tu, adik kan ikut bapak pergi ke kubur. Adik tengok batu-batu dekat situ pun penuh dengan tulisan. Bapak kata pada batu tu tertulis nama dan tarikh orang yang dah meninggal tu. Kubur tu dah jadi rumah baru pada orang yang dah meninggal macam datuk Kinah tu, kata bapak. Sebab sayang juga ke kita tulis nama pada batu yang ada dekat kubur orang yang dah meninggal tu, mak?"

Mata anak kecil itu terkelip-kelip menantikan jawapan. Hajah Munah mahu ketawa, namun ditahannya, bimbang kalau-kalau merajuk pula si kecil itu nanti.

"Itu lain, sayang... Itu batu nisan. Kita tulis nama, tarikh lahir dan tarikh arwah tu meninggal. Nanti tidaklah kita tercari-cari bila pergi ke kubur. Manalah tahu, kalau-kalau kita tidak terjumpa kubur ahli keluarga kita, batu nisan kat kubur itu kan hampir sama sahaja semuanya, itulah sebabnya kita kena tulis nama pada batu nisan tu," terang Hajah Munah.

"Oh... Macam tu. Nanti bila adik dah besar, adik nak tulis nama orang yang adik sayang jugalah pada batu. Tapi bukan batu nisan! Adik tak mahu mak dengan bapak mati. Adik nak mak dengan bapak hidup sampai bila-bila," ucap si kecil tulus.

"Adik doalah banyak-banyak pada Allah moga mak dengan bapak panjang umur. Erm... Adik nak tulis nama siapa atas batu tu?" risik Hajah Munah.

"Nama siapa lagi? Nama mak dengan bapaklah. Mak dengan bapaklah orang yang paling adik sayang dalam dunia ni," beritahu si kecil sambil berlari mendapatkan Hajah Munah. Dipeluknya tubuh tua itu dengan erat. Mata Hajah Munah sudah terasa berpasir. Pelukan anak kecil itu dibalasnya dengan penuh rasa kasih.

"HEI, budak! Aku dah beritahu kau banyak kali, kan? Dia tu nenek kitalah! Asyik panggil mak, mak. Kau panggillah mak kau tu dengan panggilan mak! Nenek dengan emak sendiri pun kau tak dapat nak bezakan ke? Ha, yang kau panggil bapak tu, itu datuk kitalah! Orang lain semua panggil nenek dan tok aki, kau aje yang panggil mereka tu mak dengan bapak! Orang cakap tak mahu dengar. Berlagak macamlah pandai!"

Mata anak kecil itu terkebil-kebil merenung wajah budak perempuan yang tidak pernah bermanis muka kala mereka berjumpa. Hatinya memang berasa tidak seronok setiap kali budak perempuan yang berkulit putih kuning dan panjang rambutnya itu datang ke rumah mak dan bapak.

Kalau boleh, terserempak pun dia tidak mahu. Tapi apakan daya, jarak antara rumah mereka hanyalah dalam lingkungan lima puluh meter sahaja. Peratus untuk berjumpa ataupun terserempak antara satu sama lain memanglah sangat tinggi.

Menurut emak, budak perempuan yang sebaya umur dengannya itu merupakan sepupunya. Tapi dia hairan, jika mereka mempunyai pertalian persaudaraan sebagai sepupu, mengapa budak perempuan itu menganggapnya sebagai musuh?

"Biarlah... Kan nenek yang jaga dia sejak dari kecil lagi," tegur mak udanya, ibu kepada budak perempuan itu.

Mak uda baik, tidak seperti anaknya itu. Mak uda yang selalu membelikan aiskrim buatnya, menyikat rambutnya dan adakalanya membelikan pakaian baharu untuknya.

"Bencilah macam ni! Semua orang bela dia. Sayang dia. Mak pun sama!" bentak budak perempuan itu sebelum berlalu sambil menghentakkan kakinya ke tanah.

Dan dia, masih diam kaku di situ dengan air mata yang mula bertakung. Kepalanya tunduk memandang hujung kaki yang memakai selipar jepun berwarna biru. Tadinya dia mahu ke rumah Yana, kawan baiknya sejak di tadika lagi. Namun nasibnya kurang baik, terserempak pula dengan si cantik yang sedang bermain di halaman rumah.

"Dahlah... Tak mahulah menangis lagi. Tak cantik kalau asyik menangis aje. Nak tengok kucing yang abang baru jumpa semalam tak? Comel tau! Mak abang suruh beri pada orang sebab dah banyak kucing dekat rumah abang tu. Tapi abang rasa sayang pula. Abang beri nama pada kucing tu Stoking sebab warna kakinya separuh hitam dan separuh putih. Macam warna stoking sekolah! Adik nak bela tak? Abang beri pada adik buat kawan bermain. Mahu?"

Wajah yang kucam itu segera kembali ceria. Dipandangnya budak lelaki yang berwajah manis itu dengan hati yang menggebu riang. Tadinya budak lelaki yang berwajah manis itu turut sama bermain dengan sepupunya itu.

Budak lelaki itu tersenyum lebar memandang wajah si kecil yang sudah bertukar riak. Comel! desis hatinya. Kasihan dia melihat kanak-kanak kecil itu yang sentiasa sahaja menjadi mangsa amarah sepupu-sepupunya yang lain. Entah mengapa mereka semua seolah-olah membuatnya seperti seorang musuh.

Matanya masih terkelip-kelip memandang budak lelaki yang seolah-olah menjadi penyelamat buat dirinya hari ini. Akan cuba disimpannya wajah itu dalam lipatan ingatannya sampai bila-bila.


Bab 1

LUAR biasa pula panasnya cuaca malam ini dirasakan Firhad. Mahu tidur pun serba tidak kena dibuatnya. Berkalih ke kiri sudah, berkalih ke kanan juga sudah. Terlentang sudah, meniarap juga sudah.

Sudahnya, Firhad bangun lalu duduk menyandarkan badannya pada kepala katil. Lengannya diletakkan di atas dahi. Matanya mengerling melihat jam di dinding. Sudah pukul tiga setengah pagi! Dia mengeluh. Entah untuk kali yang keberapa. Yang pasti, hatinya berasa tidak tenang sejak perbualannya malam tadi dengan Haji Lutfi.

Firhad terkenang kembali kata-kata Haji Lutfi sewaktu mereka berbual-bual di beranda surau selepas mengerjakan solat isyak.

"Pucat aje saya lihat muka haji akhir-akhir ni. Haji tak sihat ke?"

Haji Lutfi melemparkan sejuring senyuman sebelum mengesotkan badannya untuk memberikan ruang buat Firhad melabuhkan punggungnya.

"Biasalah dah tua-tua ni, Firhad. Macam-macam penyakit datang."

Firhad mengangguk. Mengeyakan kata-kata Haji Lutfi. Lihat sahajalah emaknya sendiri, makan perlu berpantang, perlu selalu dipantau. Salah sahaja makan, darah tinggi dan kencing manis mulalah naik mencanak-canak.

"Ramai juga jemaah malam ni. Selalunya dua baris saf aje yang penuh. Malam ni sampai ke belakang jemaahnya," beritahu Firhad tanpa diminta.

Mata Haji Lutfi liar memandang sekeliling kawasan surau yang sudah berusia lebih lima puluh tahun itu. Sudah beberapa kali dibaik pulih hasil daripada kerjasama dan gotong-royong penduduk kampung. Hasilnya, surau yang berusia lebih setengah abad ini masih cantik terjaga.

Cuma hatinya agak terkilan dek sambutan anak-anak muda yang masih kurang. Ah, masing-masing sibuk mencari rezeki, masakan ada masa untuk berjemaah. Tapi, takkanlah sepanjang masa mahu dikejar harta dunia? Akhiratnya bagaimana pula? Haji Lutfi menghela nafas panjang.

"Yang tua-tua yang ramainya. Nak tengok budak-budak muda sebaya kamu datang ke surau ni, payah. Ada tak ada pun, kamu, Mamat, Khalid dan beberapa orang lagi yang rajin menunjukkan muka. Yang lain-lain tu pula, ha, tunggulah hari Jumaat, baharulah nak nampak muka masing-masing. Malam ini pun ramai sebab Haji Din ada buat tahlil dan doa selamat sempena dia sekeluarga nak mengerjakan umrah dua minggu lagi."

"Hari-hari biasa masing-masing sibuk bekerja, haji. Balik rumah pun dah lewat. Belum masuk yang buat kerja lebih masa, yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lagi. Penat balik kerja belum pun hilang, nak uruskan hal anak-anak di rumah lagi. Itu yang payah sikit dia orang nak datang berjemaah kalau hari-hari biasa ni haji..." terang Firhad. Tidak mahu Haji Lutfi salah faham. Masing-masing ada kekangannya. Setiap orang masalahnya tidak sama.

"Kamu pun bekerja, boleh aje kamu datang berjemaah kat surau ni."

"Saya ni lain, haji... Kerja sendiri. Kerja saya pun tak glamor. Waktu kerja pun ikut suka hati saya aje. Rasa nak balik awal, saya balik. Kalau rasa nak pergi kerja lambat pun, terpulanglah pada saya. Tak ada siapa yang nak marah, nak larang. Orang yang makan gaji ni lain sikit, tuan haji. Kadang-kadang bos suruh stay kat pejabatlah, ada mesyuarat tergemparlah, macam-macamlah, tuan haji." Firhad cuba memperbetulkan salah tanggapan Haji Lutfi.

"Hurm... Yalah. Betullah kata kamu tu." Haji Lutfi beralah.

"Haji nak minum? Kalau haji nak, saya tolong ambilkan. Ada lagi rasanya baki air kopi yang dibancuh Siak Dollah dalam cerek tu tadi."

"Boleh juga, Firhad. Duduk-duduk berbual macam ni, kering juga rasa tekak pak cik ni. Nak ke warung Si Sudin tu, malaslah pula dah malam-malam macam ni." Firhad tersenyum kecil sebelum bangun untuk mengambil air kopi buatnya dan Haji Lutfi. Seketika kemudian, dia kembali dengan dua cawan kopi O yang masih berasap di tangan.

"Macam mana dengan rancangan yang kamu beritahu pak cik tempoh hari?" Haji Lutfi bertanya setelah mengucapkan terima kasih sebaik sahaja cawan berisi air kopi itu bertukar tangan.

Firhad mengerutkan kening. Kurang faham dengan soalan Haji Lutfi tadi.

"Rancangan apa, haji?"

"Alah... Rancangan kamu nak memulakan projek penternakan itik telur itulah. Kata kamu nak buka ladang itik atas tanah milik arwah ayah kamu kat hujung baruh sana tu. Jadi ke?"

"Oh, yang itu. Insya-Allah jadi kalau tak ada sebarang halangan. Sekarang ni saya sedang dapatkan khidmat nasihat daripada MARDI. Nak memulakan sesuatu kenalah ada ilmunya dulu. Betul tak, haji?"

Haji Lutfi tersenyum sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Kamu dah cukup ke modalnya?"

"Kenapa haji tanya? Haji nak jadi antara pelaburnya ke?" Firhad ketawa kecil. Sengaja mahu mengusik. Mahu bergurau sebenarnya dengan orang lama di kampung itu. Bukan calang-calang orang dapat bergurau dengan Haji Lutfi yang terkenal dengan sikap garang dan tegasnya itu.

"Apa salahnya kalau kamu sudi. Mahu ke kamu kalau pak cik nak melabur dalam projek itik telur kamu tu?"

"Uiks, biar betul haji ni?"

"Apa pula yang tak betulnya... Kamu ingat aku ni cakap main-main ke? Ada nampak rupa orang tua ni nak main-main ke, Firhad?" soal Haji Lutfi.

Firhad terkedu.

"Tidaklah. Tapi ini projek kecil-kecilan aje, haji. Tak adalah untung juta-juta."

"Tak kesahlah tu, Firhad. Yang penting aku ni suka tengok kesungguhan kamu bekerja. Tidaklah seperti orang lain yang tahunya makan gaji sahaja. Lihat sahajalah ladang ternakan ayam kamu tu. Dari projek kecil-kecilan sampailah kamu dah jadi antara pembekal ayam segar terkenal kat bandar ni. Bukan di bandar ni sahaja yang aku dengar, ada juga orang dari luar yang berebut nak dapatkan bekalan ayam dari kamu tu."

Firhad ketawa kecil. Menutup rasa malu apabila dipuji Haji Lutfi. Kurang selesa sebenarnya apabila dirinya menjadi topik perbualan mereka malam itu.

"Kata-kata orang tu banyak yang ditokok tambah dan diperbesarkan ceritanya, haji... Berniaga kecil-kecilan aje saya ni. Hish, tak adalah sampai berebut orang mahu beli ayam daripada saya. Cuma permintaan untuk ayam siap proses tu memang banyak. Sampai tak menang tangan kami dibuatnya. Telur-telur ayam pun tak sempat ayam bertelur dah ditempah orang." Firhad ketawa kecil.

"Kamu ni memang suka merendah diri betullah! Ha, boleh tak kalau pak cik nak melabur dalam projek kamu tu?"

"Betul ke ni, haji?"

"La... Betullah. Kamu ni, cubalah belajar percayakan orang."

Firhad tersengih. Bukanlah dia tidak percayakan Haji Lutfi, cuma mahukan kepastian yang kata-kata Hajii Lutfi bukanlah sekadar gurauan semata-mata.

"Kalau macam tu, kecil tapak tangan, Stadium Shah Alam saya tadahkan. Tapi projek tu belum mula apa-apa pun, haji. Baru dalam peringkat nak bersihkan tanah tu dulu."

Haji Lutfi ketawa besar mendengar kata-kata Firhad.

"Tak kesahlah. Yang penting aku nak jadi antara rakan kongsi kamu. Nak juga belajar jadi usahawan jaya walaupun umur aku ni dah senja."

"Tak adalah senja mana pun, haji. Baru nak masuk asar aje umur haji tu. Badan pun nampak tegap lagi tu. Nak belajar ni orang kata biarlah sampai mati. Soal umur tu kita tolak ke tepi. Saya pun banyak nak kena menuntut dengan haji ni, ilmu masih kurang, maklum ajelah, pengalaman hidup pun tak banyak mana."

Haji Lutfi ketawa senang. Anak muda ini tidak pernah meninggi kata-katanya walaupun dirinya sudah diiktiraf antara usahawan yang berjaya dalam kampung itu. Malah sudah beberapa anugerah usahawan jaya berjaya dirangkul oleh Firhad.

Firhad, anak muda yang langsung tidak berminat untuk makan gaji di mana-mana syarikat mahupun jabatan kerajaan. Sebaik sahaja tamat pengajian di universiti, terus sahaja memulakan projek penternakan ayam di kampung itu. Langsung tidak dihiraukan kata-kata negatif orang lain. Siapa kata keluar universiti, belajar tinggi-tinggi harus makan gaji? Lihat sahajalah Firhad sebagai bukti.

"Firhad..." Haji Lutfi diam seketika. Berat rasa hatinya mahu meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya selama hari ini.

Mata Haji Lutfi tunak memandang wajah anak muda di hadapannya ini. Sudah lama hati tuanya berkenan dengan Firhad. Tapi layakkah jika anaknya yang serba tidak sempurna itu mahu digandingkan dengan anak muda yang lengkap serba-serbi ini? Tidak semena-mena laju kepalanya menggeleng. Tidak! Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Kasihan Firhad, bisik hati tuanya.

"Kenapa, tuan haji?" Pelik pula Firhad. Apa kenanya pula sampai tidak semena-mena kepala Haji Lutfi menggeleng-geleng beberapa kali. Firhad menoleh ke belakang. Manalah tahu kalau-kalau Haji Lutfi sebenarnya sedang bermain mata dengan seseorang di belakangnya.

Namun, apa yang dapat dilihat Firhad hanyalah beberapa orang jemaah yang masih berbual-bual sesama sendiri. Memang begitulah lazimnya. Selepas solat isyak biasanya masing-masing tidak terus pulang ke rumah. Kadang-kadang diadakan tazkirah, perbincangan tentang aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan oleh pihak surau ataupun sekadar berbual-bual kosong sahaja. Ha, jangan tak tahu, Firhad pun merupakan salah seorang ahli jawatankuasa surau Kampung Limau Daun.

"Entahlah, Firhad. Susah pak cik nak cakap."

"Tuan haji ada masalah ke?"

"Kamu ni kan, dalam pak cik duk larang kamu panggil tuan haji, tetap juga kamu panggil. Degil sungguh kamu ni, ya? Tak boleh ke kamu panggil pak cik ni pak cik aje?"

Firhad ini memanglah, walau sudah berpuluh kali ditegah, tetap itu juga yang dibuatnya. Firhad hanya mampu tersengih-sengih. Haji Lutfi itu antara orang yang dihormati di kampung mereka. Manalah boleh main panggil ikut suka hati sahaja. Tambah-tambah Haji Lutfi itu terang-terang sudah naik haji, rasanya panggilan tuan haji itu lebih sesuai kut.

"Tuan haji, kalau saya tanya ni tuan haji janganlah marah pula, ya? Tuan haji ada masalah ke? Saya sebenarnya dah lama perhatikan, tuan haji nampak lemah, mudah penat, muka pun nampak pucat. Itu kaki tuan haji tu, pun bengkak semacam aje saya tengok. Maaflah kalau kata-kata saya ni nampak macam menyibuk pula, tapi saya risau sebenarnya tengok tuan haji macam ni."

Haji Lutfi tersenyum. Bahu Firhad ditepuk-tepuknya beberapa kali. Sedikit terharu dengan kata-kata Firhad.

"Hurm... Pak cik sakit sebenarnya, Firhad." Haji Lutfi masih lagi tersenyum. Sakit itu kan salah satu nikmat juga. Tanda Allah sayang. Itulah yang selalu Haji Lutfi ingat dan pegang.

"Sakit apa, tuan haji?" tanya Firhad. Mata Haji Lutfi direnungnya. Lelaki itu sudah seperti seorang ayah baginya. Lelaki tua inilah yang selalu memberikan nasihat dan sering sahaja memberikan sokongan dalam apa jua tindakan yang diambil olehnya.

"Buah pinggang, Firhad. Pak cik sakit buah pinggang."

"Hah? Betul ke, pak cik?" Dek terkejut, langsung Firhad tidak sedar kalau-kalau panggilan tuan haji sudah bertukar kepada pak cik.

"Ya, Firhad. Dah lama dah sebenarnya pak cik sakit buah pinggang ni. Tapi mungkin disebabkan faktor usia agaknya, sekarang ni semakin teruk pula."

"Sejak bila pak cik dapat tahu yang pak cik sakit ni?"

"Dah lapan belas tahun, Firhad. Sebaya sakit ni dengan umur Najla." Terkenangkan anak yang seorang itu, hati Haji Lutfi serta-merta terasa gelisah. Apa-apa pun, dia harus menyampaikan hajatnya kepada Firhad malam ini. Hanya Firhad yang mampu untuk menolongnya kali ini.

"Pak cik tak dapatkan rawatan?"

"Ada, Firhad. Sekarang ni tiga kali seminggu pak cik berulang buat rawatan hemodialisis di hospital kerajaan di bandar tu. Puas dah pak cik berubat di sana sini, makan ubat itu ini, cara tradisional pak cik dah cuba, cara perubatan moden pun pak cik tak tinggal, tapi nampak gayanya langsung tak ada perubahan. Dulu tak adalah teruk sangat. Cuma akhir-akhir ni pak cik dah semakin tak larat. Doktor kata sebelah buah pinggang pak cik ni dah tak berfungsi. Tinggal sebelah aje lagi yang boleh digunakan. Itu pun tak tahulah entah berapa lama lagi dapat bertahan. Doktor pun tak dapat nak beri jaminan," terang Haji Lutfi panjang lebar.

"Tak ada cara lain ke tuan haji selain daripada buat dialisis tu?"

"Ada. Pemindahan buah pinggang. Tapi kenalah tunggu penderma buah pinggang yang sudi berikan buah pinggangnya pada pak cik. Kamu pun tahu kan, nak dapatkan penderma bukan senang. Senarai menunggunya pun panjang. Entahlah, Firhad. Pak cik tak kesah kalau pak cik mati bila-bila masa aje. Cuma yang pak cik risaukan orang-orang yang akan pak cik tinggalkan nanti. Terutamanya Najla."

"Najla? Kenapa?" Firhad laju bertanya walaupun dia sudah dapat mengagak apa sebabnya Haji Lutfi berasa bimbang dengan gadis yang namanya hanya mempunyai cuma lima huruf itu.

Terbayang pada matanya seraut wajah manis berkulit putih bersih, bermata bundar dan jarang tersenyum. Anak ketiga Haji Lutfi. Gadis paling popular dalam kampung itu dengan bermacam-macam versi cerita yang kebanyakannya bukanlah cerita yang seronok untuk didengar.

"Kamu boleh tolong pak cik tak, Firhad? Cuma untuk sekali ini..." Haji Lutfi tiba-tiba memegang tangan kanan Firhad dengan mata yang sudah bergenang.

Dada Firhad sudah terasa berdebar-debar semacam. Pertolongan apakah yang mahu diminta oleh Haji Lutfi agaknya? Firhad tertanya-tanya sendiri.

FIRHAD meraup wajahnya beberapa kali. Terbayang wajah Najla di ruang matanya. Siapa di kampung itu yang tidak kenal Najla? Cucu Hajah Munah dan Haji Idris yang paling disayangi. Najla yang pada asalnya seorang kanak-kanak yang comel, cerdik, sopan tutur kata dan tinggi budi bahasanya.

Namun sejak masuk ke sekolah menengah, atau lebih tepat selepas kematian kedua-dua datuk dan neneknya, Najla lebih dikenali sebagai seorang anak gadis yang nakal dan gemar menimbulkan masalah. Ada-ada sahaja onar yang dibuat oleh Najla yang membuatkan namanya menjadi sebutan dalam kampung itu.

Namun dalam pada itu, Najla juga cukup dikenali kerana kecantikan dan kepandaiannya dalam pelajaran. Firhad tersenyum sendiri. Terbayang wajah Najla yang sudah beberapa kali dilihatnya secara curi-curi sewaktu Najla menemani Hajah Karimah ke pasar atau ke surau.

Haji Lutfi ada beberapa kali meluahkan rasa bimbangnya terhadap sikap yang ditunjukkan Najla. Bukannya Najla tidak pernah dihukum, namun seolah-olah hukuman yang diberikan langsung tidak memberi apa-apa kesan kepada anak itu. Malah, sikap Najla semakin menjadi-jadi.

Firhad merenung ke luar jendela yang sengaja dibiarkan terbuka luas. Mampukah dia mendidik Najla sekiranya hajat Haji Lutfi itu dipenuhinya? Walaupun Haji Lutfi tidak memaksa, namun Firhad sesungguhnya jadi tidak sampai hati mahu menolak. Tetapi mampukah Najla menerimanya sebagai suami dengan hati yang terbuka? Firhad memicit dahinya beberapa kali. Makin difikirkan makin kusut fikiran dibuatnya.

Firhad bingkas bangun. Mahu mengambil wuduk. Dalam keadaan seperti ini, petunjuk daripada Yang Maha Esa sangat-sangat dia perlukan. Biarlah apa pun keputusannya, Firhad berharap ia adalah yang terbaik buatnya dan juga Najla.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro