Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 6

KEHENINGAN subuh mendamaikan hati Yusuf Zayyad. Khusyuk dia menghayati deringan bunyi geseran kepak cengkerik sesudah selesai solat Subuh di bawah pemantauan neneknya. Retina biru laut Zayyad jelas kelihatan di bawah pancaran lampu kalimantang. Tidak berkelip matanya melihat langit subuh dari anjung rumah yang terbuka.

"Yusuf."

Zayyad menoleh kepala. Wajah Nekma dalam telekung sulam putih menyapa pandangannya dari belakang.

"Mama dan papa tak ajar solat?"

Dia mendiamkan diri lama.

"Zayyad masuk sekolah asrama. Jarang ada masa dengan papa dan mama. Lepas tu, sekolah Zayyad dulu tak kisah pun tentang semua ni. Tak solat tu perkara biasa. Kawan-kawan Zayyad pun tak solat juga."

Kehidupan di sekolah asramanya sangat memberikan kebebasan pelajar. Barangkali kerana yuran yang dibayar mahal hinggakan bilik tidur pun dipasang penghawa dingin. Tiada peraturan-peraturan renyah apatah lagi suruhan untuk menjaga solat lima waktu. Di sana, para pelajar hanya ditekankan soal akademik bagi menyandang gelaran sekolah elit diraja.

"Kan Nekma pernah ajar waktu sekolah rendah?" Nekma agak terkilan melihat cucunya kekok menunaikan ibadah wajib. Dari raut wajah tuanya, ada bebelan yang bakal dihamburkan.

"Itu enam tahun lalu... Zayyad tak praktiskan langsung dekat asrama." Remaja lelaki itu memeluk tubuh tidak bersalah.

Lagilah hati Nekma sakit.

"Zayyad... Agak memalukan seorang lelaki berusia 17 tahun tak tahu solat. Umur Zayyad ni sepatutnya dah bersedia untuk berkhidmat buat ummah. Sultan Muhamad Al-Fateh berjaya takluki kota Konstatinopel sewaktu berusia 19 tahun. Sekarang Zayyad dah 17 tahun... Agak-agaknya apa Zayyad dapat sumbang untuk ummah lagi dua tahun ke hadapan?"

Yusuf Zayyad menggeleng perlahan. "Zayyad tak tahu. Zayyad tak ada cita-cita."

"Bercita-citalah untuk jadi insan yang berbakti. Yang kehadirannya menyenangkan orang sekeliling. Cukup untuk Zayyad jadikan itu sebagai panduan... Cita-cita pekerjaan nanti boleh difikir kemudian hari." Suara tuanya berisi hikmah untuk jiwa dan raga sang cucu.

"Baik, Nekma."

Nekma menyentuh dagu Zayyad lembut. "Orang yang diredhai Allah dan insan sekeliling."

***

"SHAH, kau perasan tak batch kita ada terima budak baru?"

Topik hangat minggu ini jatuh kepada Yusuf Zayyad. Tak lekang meniti di bibir guru mahupun pelajar.

Shah meletakkan helmet kepala ke atas meja batu di situ. "Ya. Aku dah jumpa dia dekat tandas kelmarin."

"Macam mana rupa budaknya? Dengar cerita semua budak perempuan sekolah tengah tergila-gilakan dia," tanya rakannya yang turut berkumpul di pondok terbiar itu. Masing-masing telah menyumbat baju uniform sekolah ke dalam beg galas dan menyalin pakaian tshirt kolar bulat. Ada tempat yany nak dituju selepas ini.

"Kau ceritalah dia macam mana." Bahu Lutfi ditolak Shah tak semena-mena. Awalnya remaja lelaki bertubuh kecil ini menundukkan wajah sahaja. Muram riaknya bagaikan tidak suka tuk berada antara pelajar jahat berkenaan. Mereka terlampau jahat. Panggilan 'nakal' tidak layak untuk kumpulan itu.

"Nama dia Zayyad. Dia budak pandai. Cikgu pun sayang dia... Tu je yang aku tahu," kata Lutfi selaku 'rakan' sekelas Zayyad selama tiga hari. Lutfi tidak punya rakan sebenar di kelas bahkan di mana-mana.

"Orang kata, dia anak orang kaya." Seorang pelajar kening terbelah mencelah perbualan berkenaan. Namanya Farhan, orang kanan kepada Shah. Antara yang terpandai mengatur strategi bagi tiap-tiap projek yang diterima mereka.

Bunyi deruman kenderaan silih berganti memandangkan pondok terbiar itu berada benar-benar di sebelah batang jalan. Tempat itu hanyalah persinggahan sementara sebelum mereka bergerak secara berkumpulan ke kawasan persembunyian. Ada seorang lagi ahli kumpulan yang belum menampakkan batang hidung, maka topik Yusuf Zayyad dibuka sekadar bicara kosong.

"Dia ada rupa," kata Shah. Bibir remaja lelaki itu tersenyum sinis. Ada niat jahat terpedam sejak kali pertama melihat Yusuf Zayyad. Ruang di sebelah Lutfi didudukinya.

"Kau suka dia?" Farhan bertanya langsung.

Shah mendepakan tangan dan merehatkannya di sepanjang bahu kerusi. "Ya. Tapi nampak gaya Zayyad tu macam keras kepala. Aku suruh melutut, dia tak nak."

"Kita boleh pastikan dia melutut nanti." Farhan menjongketkan kening sebelah. Matanya kekal memandang Lutfi.

Shah menyambut cadangan berkenaan. Dia tersengih sendirian. "Kau sekelas dengan dia kan, Fiey? Apa kata kau rapat dengan dia, jadi nanti kita senang nak guna-gunakan dia." 

Laju Lutfi menggeleng kepala. Cukup dia sahaja yang menjadi mangsa kejahatan kumpulan Mat Shah. Hidupnya sudah cukup sengsara. Setiap hari umpama neraka. "Aku tak nak."

"Betul ni tak nak? Aku tanya sekali je."

Suara keras Mat Shah mengecutkan perut Lutfi.

Lutfi mula menggenggam tangan sendiri ketakutan. Kepalanya ditundukkan, tidak berani memandang syaitan durjana itu.

"Kau nak atau tak nak... Itu bukan urusan aku. Esok aku nak tahu kau dah jadi kawan dengan Zayyad. Faham?" Tangan kekarnya mencengkam rahang Wan Lutfi hingga kulit wajah remaja itu kemerahan. Biji matanya menjegil terkeluar. Cukup buat meletakkan sesiapa diam ketakutan.

"Ke- kenapa kau nak libatkan orang la- lain? Aku tak nak-" Biar pun begitu Lutfi masih berani bersuara.

Remaja lelaki lain yang menyaksikan kemelut itu bersorak gembira. Suara Lutfi diajuk mereka lalu hamburan ketawa terbahak-bahak mengisi benak.

Shah agak terkejut pada keberanian bodoh Lutfi. "Kau berani melawan, ya? Tunggu nanti bila sampai gudang... Kau tahu nasib kau... Jangan ingat sebab kau dah terlepas dalam tandas hari tu, maksudnya kau tak akan kena dengan aku. BODOH!"

Cengkaman tangannya dikuatkan sampailah Lutfi mengeluarkan air mata kesakitan. Pada mereka, Lutfi hanyalah sebuah alat untuk mencapai hasrat. Melihat 'alat' mereka dalam keadaan menyedihkan adalah hiburan wajib harian. 

***

DI koridor tingkat empat, sehelai kertas kuiz matematik dibiarkan bertebangan ke udara.

Wajah puas guru matematik terpampang apabila pelajar lemahnya menunduk malu di hadapan pelajar yang lain.

Angin yang bertiupan membawa kertas berkenaan jauh melintasi dataran di bawah sana. Pendaratannya terhenti di deretan longkang berdekatan tandas tingkat satu. Habis air kotor mencemari kertas yang tersemat nama Wan Lutfi. Kebanyakan soalan tidak bertulis jawapan. Jika ada sekalipun, jawapannya salah dan mengecewakan.

"Kalau dapat markah kosong macam tu, baik campak je." Cikgu Anas menggibas tangan tanda selesai. Dia kembali mendapatkan marker pen di atas meja guru.

Zayyad diam memerhati budaya baharu yang dipelajarinya. Dia acap kali dipesan Faiz untuk tidak memberikan respon pada apa-apa situasi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Maka, tindakan hinaan seorang guru kepada pelajar lemah yang dianggapnya tidak wajar diabaikan sahaja.

Pelajar lelaki yang dikenali dengan nama Lutfi berada berseorangan di luar kelas. Cikgu Anas telah menghalaunya keluar bersama-sama sebuah meja dan kerusi. Teruk Lutfi didenda pagi itu. Tiada hujan dan ribut, markah kuiz Lutfi berjaya menggoncang kegeraman guru panitia matematik berkenaan.

Rasa simpati hadir di hati Yusuf Zayyad. Wajah suram Lutfi membuatkannya tidak selesa tuk terus berada di dalam kelas sedangkan dia berada di barisan hadapan. Apa yang ditulis Cikgu Anas di papan putih dilihat dengan jelas sedangkan Lutfi tentu-tentu tidak nampak sebarang tulisan dari koridor kelas.

"Cikgu, saya rasa Lutfi tak nampak soalan dekat depan ni," kata Zayyad.

"Awak nak mengajar saya pula? Okay, cuba jawab soalan dekat depan ni."

Itu bukanlah suatu masalah buat Zayyad. Dia lekas berdiri dan mengambil batang marker merah.

Tajuk pada hari ini ialah persamaan linear.

Cikgu Anas belum mengajar apa-apa lagi kerana permulaan kelas dimulai dengan perbincangan kertas kuiz tempoh hari. Maka, dia tidak menjangka pelajar baharu itu boleh menjawab sebarang soalan matematik sebelah mata sahaja.

Bunyi coretan marker di papan putih mengisi detik yang akhirnya melopongkan guru tersebut.

Penuh jawapan berstruktur diberikan Yuzuf Zayyad. Jalan kira method lain juga disertakan pelajar itu. Penutup marker ditekan dengan ibu jari lantas dia menoleh badan menghadap seisi kelas.

"Cikgu, ini jawapan dia," bilang Zayyad.

"Awak sekolah mana sebelum ni?" Cikgu Anas jadi teragak-agak. Pelajar baharu itu dikerlingnya atas bawah.

"Sekolah asrama." Ayat dinokhtahkan. Zayyad tidak pernah memberitahu di mana dia bersekolah. Apakah asrama kerajaan atau pun swasta.

"Kalau awak rasa pandai sangat, pergilah duduk luar dengan Lutfi tu. Ajar dia dekat luar. Dah rasa macam pandai sangat kan sampai tak perlu masuk kelas saya?"

Lain pula hamburan guru lelaki berkenaan. Buku teks dan alat tulis diambil Zayyad tanpa banyak songeh. Dia sejujurnya sedikit pun tidak berminat untuk berdrama. Cukuplah tayangan drama 7 malam sahaja yang menyemakkan permandangannya.

Perbuatan pelajar baharu itu mengejutkan satu kelas. Tiada yang berani bersikap sambereno dengan guru ketua panitia matematik yang garang bagaikan singa. Silap hari bulan, ada senarai pelajar bakal digagalkan secara sengaja.

Setiba di pintu kelas, Lutfi berbisik perlahan. "Kenapa kau lawan cakap cikgu?"

"Entah. Aku datang sini bukan nak belajar sangat pun," jawab Zayyad. Langkahnya diteruskan hingga ke koridor kelas. Jika bukan dek paksaan ibu bapanya, Zayyad akan melepak sahaja di rumah Nekma. Dia boleh mengambil peperiksaan SPM pada bila-bila masa.

"Kau nak belajar?" Sebuah soalan cepumas ditanyakan pada Lutfi.

"Ya. Aku datang sekolah sebab nak belajar."

"Okay, cun. Jom kita pergi astaka dekat bawah sana. Aku boleh ajarkan kau."

"Tak apa ke tinggalkan kelas macam ni?"

"Cikgu sendiri halau kita berdua." Zayyad menaikkan bahu. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar.

Lutfi bergegas mengemas peralatan tulisnya. Buku teks dan buku latihan dibawa ke dalam pelukan. Dia membuka langkah luas bagi menyaingi langkah Yusuf Zayyad.

"Aku tak suka cikgu tu," omel Zayyad.

"Aku pun."

"Aku Zayyad. Salam perkenalan."

Satu per satu anak tangga dituruni dua remaja tingkatan lima itu.

Lutfi mencuri pandang wajah Zayyad dari sisi. Wajah tampan yang menjadi bualan pelajar dan guru perempuan.  Layaklah nama hadapannya 'Yusuf' kerana keelokan wajah yang mempersona hati.

"Kau selalu kena buli?" Tiada tapisan bibir Zayyad menitikan persoalan di hati.

"Kau tak patut berkawan dengan aku." Serba salah menusuk Lutfi bertubi-tubi mengenangkan Zayyad ialah sasaran sampah masyarakat yang terus menerus menyeksanya.

"Kenapa?" Zayyad tidak mengerti.

"Nanti kau kena dengan Shah."

"Budak bongkak tu? Jangan risaulah. Aku ada pegawai peribadi dekat luar sekolah."

"Maksud kau bodyguard ??"

Zayyad menaikkan lengan kanan. Sebuah smartwatch hitam melingkar di pergelangan tangannya. Dia menekan sekali pada skrin tetapan lalu ia menyala. "Aku boleh hubungi bodyguard aku bila-bila masa."

Mata kanannya dikenyitkan. Tiada apa hendak dirisaukan.

"Kau orang kaya ke?"

"Mak ayah aku kaya."

"Mesti best kan?" Kaca mata Lutfi bertukar sinarnya. Kelam.

Zayyad tidak bercadang untuk melanjutkan perbualan itu. Seperti dapat diteka bahawa Lutfi datang dari sebuah keluarga miskin. Isu ini amat sensitif bagi sesetengah pihak.

"Aku tak suka tengok kau kena buli dengan budak nakal. Jadi kau stay je la dengan aku. InsyaAllah, selamat," cadang Zayyad.

"Kau tak tahu... Dorang jahat sangat. Kau janganlah dekat dengan aku."

"Okay." Jeda. "Kita belajar dulu. Aku akan analisis tahap pemahaman kau hari ni. By esok, aku akan bagi strategi belajar untuk kau."

Wan Lutfi memberhentikan langkah. Kini mereka telah menjejaki di tingkat terbawah. Anak tangga hilang di situ. "Tapi kenapa?"

"Sebab aku nampak kau nak belajar. Aku nampak kau hari-hari dalam kelas." Zayyad ketawa hambar. "Aku perhatikan semua orang dalam kelas sepanjang minggu ni. Ini tempat baru aku. Aku kena bagi manfaat pada orang lain juga. Atau nenek aku akan marah."

Lutfi begitu hairan pada layanan yang diberikan. Sejahat-jahat manusia di sekolah itu adalah Shah seorang sahaja. Takkanlah Zayyad juga jahat dan mahu mempergunakannya.

"Oh ya, kau duduk dengan nenek kau kan?" tanya Lutfi.

"Erm, ya... Kami tinggal berdua. Dan seorang pengawal peribadi."

"Rumah kau dekat mana?"

"Aku tak sure... Dekat dengan surau kampung ni rasanya." Pelipis kanan digaru Zayyad. Nyata dia tidak begitu ingat selok belok kampung itu.

"Dekat juga. Rumah aku di arah yang bertentangan. Kalau kau ke simpang kanan, aku kena ke simpang kiri."

"Aku tak pernah dengar kau banyak bercakap sepanjang minggu ni. Ini pertama kali aku dapat tengok ekspresi wajah dan nada percakapan kau," jujur Zayyad.

Terus Lutfi mengetapkan bibir. Keterlanjurannya menyambut kebaikan Zayyad akan mendatangkan musibah pada Zayyad sendiri. Niat jahat Shah tidak boleh dibawa gurauan.

"See... Kita okay je berkawan?" Lain pula di pandangan Zayyad. Tidak sedikit pun anak kacukan itu khuatir perihal huluran persahabatannya. "Jangan risau okay? Aku ada pengawal peribadi. Dan kalau jadi apa-apa sekali pun, ayah aku akan hantar peguam untuk bela aku dan... doktor peribadi."

"Aku Lutfi, Wan Lutfi. Kau anak orang kaya, kita jauh berbeza."

Tika itu, mulalah Lutfi berbelah bahagi. Wajah Zayyad yang mengukir senyuman bagai tiket untuk dia bebas dari neraka dunia. Sudah lama hatinya ingin melarikan diri daripada cengkaman syaitan-syaitan itu.

"That's not an issue pun... Kawan is kawan. Harta is harta. Aku bukan nak ajak kau buat pelaburan ke apa. Aku cuma nak berkawan."

"Zayyad, aku minta maaf kalau tak dapat jadi kawan yang baik."

"Merepek. Banyak sangat tengok drama la kau ni. Relaks, okay? Enjoy your day."

Lekukan lesung pipit Zayyad menonjolkan diri tanpa jemu. Senyumannya yakin akan persahabatan ini walau badai yang melanda.

***
votexkomen
.
.
.
More to go untuk Zayyas ingat semua perkara. Vote dan komen okay:))
.

40 vote 🔓 = BAB 7

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro