Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Epilog 5

Usai pulang dari hospital, lelah dilepaskan ke birai katil. Mujurlah tiada apa-apa yang serius terjadi kerana Fatimah Azzahra hanya tersedak susu. Alunan nafas si kecil itu kembali normal setelah diberikan nebulizer beberapa minit. Hingga kini, puteri kesayangan Khairul terlentok lena dalam dakapan Alya Syukrina.

Senja menutup tirai.

Diam kedua-dua mulut itu. Memandang tingkah laku dengan ekor mata, tiada teguran. Baik Khairul mahupun Alya, mereka berdua hanya menyibukkan diri. Alya yang menempatkan anak kecilnya di tengah-tengah katil terus mengiring di situ. Sedang sang suami meleraikan utas jam tangan dari pergelangan tangan kanan. Di susun elok ke atas meja solek bersebelahan telefon pintar dan beberapa barangan peribadi lain.

"Alya," panggil Khairul Iddin.

Berderu darah panas, hujung jemari gadis itu sejuk membeku. Kaku di sebelah tubuh lena Fatimah Azzahra.

"Kita berbincang sekejap boleh?" Perlahan suara garaunya membelah benak sepi bilik berlantaikan kayu berkenaan.

Jantung terus berdetak memainkan rentak tidak keruan. Lambat-lambat gadis berbaju kurung itu bangkit. Satu, takut terbangunkan anak sulungnya. Dua, terlalu gerun pada perbincangan yang entah apa keputusannya.

Keputusan mutlak yang ada dalam genggaman Khairul itu menjadi sebuah tanda tanya.

"Berbincang dalam kereta," tambah Khairul. Melihat pada isterinya yang tertunduk, dia tidak endah untuk mendahulukan langkah ke luar bilik. Ruangan rumah itu agak terhad, maka pasti segala perbualan akan didengari Haji Daud dan ibu mertuanya. Khairul tak mahu begitu. Dia memerlukan ruangan peribadi.

Tudung sarung dicapai Alya segera. Bagaikan mayat hidup, dia melangkah lemah ke bawah. Menurun satu-satu anak tangga. Kejadian pagi tadi masih menghenyak hati ibunya.

Apakah Khairul akan menceraikan dia lalu mengambil hak penjagaan Fatimah Azzahra gara-gara kecuaiannya pada hari itu?

"Mak, tolong tengokkan Zahra dalam bilik. Alya ada urusan dengan Khairul..." Seketika melintasi ruang tamu, bondanya menjadi arah tujuan. Haji Daud tidak ada di situ. Barangkali telah bersiap untuk menunaikan solat maghrib di surau kampung.

Sayup bunyi kenderaan melintasi laluan bertar di hadapan rumah.

Selangkah lagi, dia akan bertemu pintu kereta Khairul Iddin yang berwarna hitam legal. Menembusi satah cermin, kelihatan Khairul termenung kosong.

Nafas dalam diambil. Alya menguatkan diri untuk menghadap apa sahaja yang bakal terjadi. Daun pintu Khairul ditutup rapat. Kini, dia sedang duduk di tempat duduk pemandu.

Berbaju kurung merah jambu, dalam riak wajah yang turut kosong. Gadis itu menekur riba. "Kenapa abang datang? Ayah call?"

"Tak. Ayah tak call," balas Khairul. Tiada siapa yang memanggil dia ke situ. Hanya hati yang menjadi penguat hasrat untuk menjenguk tanpa asbab. "Abang rasa nak datang."

"Belum cukup 30 hari," bisik Alya perlahan. Bukannya tidak gembira akan keberadaan suami di sisi, tetapi keadaan mereka berdua tiada kata putus setakat ini.

Lantas Khairul Iddin tersenyum nipis. Dia menggeleng sekali. "Abang tak dapat bayangkan macam mana hidup abang tanpa awak, Alya."

Lelaki itu menatap sisi profil isterinya dengan kedua-dua lensa hitam. Tidak berkelip lama. "Tanpa cinta abang. Abang takkan ubah macam mayat hidup. Abang akan hilang segala tujuan abang... kekuatan abang..."

Hujung jarinya ditemukan dengan kekura tangan Alya. Dielus lembut. "Hidup abang dah cukup sempurna bila ada Alya dan Zahra di sisi abang... Abang tak nak hilang dua perempuan kesayangan abang. Pagi tadi... Abang ingat abang akan hilang Zahra. Badan abang menggigil. Sampai sekarang abang masih menggigil. Abang terlalu takut."

Khairul tidak berbohong. Getaran tangan lelaki itu dapat dirasai Alya yang duduk membisu. Walau Khairul cuba berlagak biasa dengan mengelus tangannya, ada getaran yang tampak pada mata kasar.

Benarlah kejadian pagi tadi menjentik trauma silam lelaki itu. Alya mengalihkan pandangan ke arah suaminya.

Setitis.

Dua titis.

Air mata jatuh berlinangan. Tiada esakan berbunyi. Hanya tangis sesalan terhidang pada pandangan.

Khairul menjatuhkan wajah seiring air matanya.

"Abang tak nak... Jauh daripada Alya dan Zahra lagi. Abang minta maaf, Alya. Abang janji abang akan berusaha jadi lelaki yang baik."

Vermilion gadis itu mengukir sebuah senyuman nipis. Tanpa segan, memberikan sebuah dakapan kasih. Menenteramkan perasaan takut yang menyelubungi sang suami.

"Abang sayang Alya?" bisik Alya.

"Sayang."

"Alya pun sayangkan abang."

"Abang minta maaf..."

Patah bicara itu seperti menggambarkan keikhlasan di sebalik penyesalan.

Alya meleraikan pelukan. Rahang suaminya dilalukan sentuhan ibu jari. Basah dek tangis tadi. "Tak apa... Lepas ni kita baiki sama-sama. Abang ada Alya."

"Abang takut hilang Alya."

"Alya lagi takut kehilangan abang. Berenggang dengan abang ialah perkara yang paling Alya benci. Separuh jiwa Alya hilang kalau abang tak ada..." balas gadis itu. Alunan dadanya turut sama berombak. Nyata deraian tangisan akan pecah pada bila-bila masa.

Detik yang berlalu bertemankan hangat dakapan.

Kedua-dua hati sudah meluahkan rasa. Baru terasa berat gendongan bertambah kurang.

"Abang dah rasa better?" Pucuk hidung ditemukan pada pipi Khairul.

"Ya." Khairul menjatuhkan kepala sekali.

Mata sendiri menyepet. Dia menangis tadi di bahu suami. Alya menarik nafas dalam. Wajah lelaki itu segera dibersihkan daripada segala anasir luar sebelum sekuntum ciuman dihadiahkan pada pipi kanan.

"Abang tak pernah rasa tenang... melainkan kalau ada Alya dengan abang," jujur Khairul. Kilauan anak mata hitamnya ditatap gadis bertudung sarung.

"Nak peluk lagi, boleh?" pinta Alya. Masih belum puas bermanja.

"Mengada."

Alya mula ketawa. Dia mengambil peluang yang ada buat memeluk Khairul Iddin seerat mungkin. Tidak sangka Khairul akan membalas lembut sambil mengusap kepalanya.

Terkedu seketika.

Andai boleh dibekukan masa, dia mahu berada dalam pelukan lelaki itu selamanya. Tanpa sebarang badai melanda. Tanpa masa mencemburui dan mahu memisahkan mereka.

Air mata hangatnya mengalir di tubir.

Namun, itu suatu permintaan mustahil. Andai tiada hari akhirat pasti hidup ini akan terhenti di sini sahaja. Mujurlah Allah itu Maha Penyayang. Maka, perjalanan cinta mereka tidak akan bernokhtah di dunia.

Dia akan bersama-sama Khairul untuk jauh lagi. Harus kuat. Hinggalah perjuangan selesai, manis tuaian akan dapat dirasai.

"Sayang nak tidur dalam kereta?"

Alya tersentak. Dia bangkit perlahan-lahan daripada terus melekap di dada bidang lelaki itu.

Dilihat ke sekeliling. Senja berarak pergi. Hampir waktu maghrib.

Pandangannya berakhir pada wajah lelaki kesayangan. Lalu dia menghadiahkan sebuah senyuman semanis madu.

"Lapar?" Wajahnya dielus Khairul. Kedua-dua pipi gebu itu diusap lembut.

Alya pantas menangguk. Dia tidak makan dari pagi.

Khairul ketawa halus. Enjin kereta dimatikannya. "Ingat ke nak duduk dalam kereta sampai esok."

"Apa salahnya... Asalkan dapat peluk abang," jawab Alya tanpa segan silu. Dia melingkarkan tangan pada tengkuk Khairul Iddin dengan wajah yang tersenyum kambing.

Senyuman adalah hiasan terindah di wajah Alya yang akan dijaga Khairul.

Terima kasih untuk peluang ini.

***
TAMAT

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro