Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Epilog 4

"Kenapa tak makan sarapan?" Sapa Hajah Norma.

Nasi goreng kampung masakannya elok sahaja tidak terusik. Sedangkan di pinggan dia dan suaminya hampir habis separuh. Tak ada siapa akan menolak hidangan nasi goreng panas air tangannya. Pati ikan bilis hancur akan mengecurkan liur pada suapan pertama.

"Tak lalu." Alya menolak pinggan seramik itu menjauh. Rindunya pada Khairul Iddin memenuhi rasa, terus rasa lapar yang ada jadi mati.

"Kenapa ni Alya?" Haji Daud sedikit hairan. Anak gadisnya tampak lesu pada pagi itu. Bertemankan mata yang sembap dengan lingkaran hitam di bawahnya, Alya kelihatan lain. Seperti ada yang tidak kena. Pastilah hidung tajam Haji Daud dapat menghidu sesuatu.

Gelengan menjawab.

Keluhan orang tua berkenaan terbit. "Kenapa Khairul hantar malam semalam?"

Memang ada yang tidak kena.

"Khairul kata dia ada hal," jawab Hajah Norma, selaku orang yang menyambut kedatangan menantu kesayangan semalam. "Jadi terpaksa tinggalkan Alya dan Zahra di sini buat sementara waktu."

"Ada-ada je budak tu. Hal apa? Salam dengan aku pun tidak, tahu-tahu anak bini dia dah ada depan pintu rumah kita tengah-tengah malam buta."

"Khairul sibuk kerja." Hajah Norma sendiri tidak tahu tentang apa yang anak dan menantunya sedang lalui.

"Kerja apa? Dia kan dah banyak duit. Yang sibuk sangat kerja tu kenapa... Sampai sanggup tinggal anak bini," bidas Haji Daud.

"Saya pun tak tahu nak cakap."

Perbualan berkenaan lagi membuatkan Alya memikirkan suaminya. Entah apa yang sedang Khairul buat di rumah. Baru hari pertama berjauhan dengan lelaki tinggi lampai itu, Alya sudah kembang kuncup hidung menahan tangis. Dia boleh berlagak kuat di hadapan Khairul, yang mampu menjadi pemujuk dan penyedap hati. Hakikatnya jiwa perempuannya rapuh menerima khabaran suami bermesra dengan perempuan di tempat kerja.

Tap tap

Kekura tangan naik mengesat tubir mata. Titisan mutiara itu jatuh ke riba.

Fajar menyingkap, ufuk barat melayarkan cahaya pagi yang permai. Terasa semuanya berlaku sungguh cepat. Dari permulaan perkenalan, hingga ke hari ini. Banyak yang telah mereka berdua lalui bersama.

"Kenapa ni  Alya?" Hajah Norma mengusap belakang tubuh anak gadisnya di kala Haji Daud sekadar memerhati dengan ekor mata.

"Alya rindu Khai," bisik Alya. Wajahnya ditundukkan ketika menghapuskan air mata.

"Call la." Sang ibu tersenyum nipis. Paling tidak, mesti ada badai yang melanggar rumah tangga pasangan muda ini. Hingga ada perang dingin berlaku.

"Dia sibuk."

"Alya bergaduh dengan Khai? Betul ke ayah teka." Haji Daud mengherotkan bibir, sambil mata mencerlung.

"Tak gaduh pun..." Nafi Alya.

Nafas halus dihembus. "Kalau tak gaduh.. tak adanya mata tu sampai bengkak macam baru lepas menangis. Ayah lagi kenal puteri kesayangan ayah macam mana bila waktu dia sedih."

"Khai sibuk, ayah. Dia janji nanti lepas selesai kerja, dia datang balik." Pada pemikiran Alya, dia tidak mahu mengganggu ketenteraman Khairul. Suaminya sudah meminta ruang bersendiri selama satu bulan, siapalah dia untuk tidak menghormati keputusan lelaki itu.

"Sinilah ayah call. Dah rindu, call je la. Daripada menangis sorang-sorang... pergi la menangis sama-sama dengan Khai." Akhirnya Haji Daud sendiri yang rela mendail nombor menantu kesayangan. Pinggan kosong dibawa ke singki sebelum dia membilas tangan.

Telefon pintarnya ditekan pada kenalan yang tertera nama Khairul Iddin.

Alya menyangkakan bahawa Haji Daud sekadar berkata dan tidak memaksudkan. Sekali matanya membulat tatkala melihat tangan ayahnya menyambar sebuah telefon  pintar di rak berhampiran. Alya kaget. Matanya membulat terkejut. "Ayah, takyah... dia sibuk. Nanti dia marah kalau kacau."

"Siapa suruh Alya menangis, ayah call nanti..." ugut Haji Daud.

"Tak nangis pun. Dah, tak payah ayah..." rayu Alya. Hidung merahnya ditenyeh dengan hujung baju. Dia merapati Haji Daud bertemankan wajah simpati.

Telefon pintar diletakkan kembali ke tempat asal. Lama Haji Daud menatap wajah puteri kesayangan. Dua beranak itu berdiri menghadap satu sama lain di tepi rak. "Alya, ayah tak tahu berapa lama Khairul nak tinggalkan Alya dekat sini... Dia tak cakap sepatah apa pun pada ayah semalam. Dia tak nak tengok muka ayah semalam macam ada yang tak kena.. Ayah tahu korang berdua ada perselisihan faham."

"Khairul kata sebulan..." bilang Alya.

Ubun-ubun Alya diusap lembut. "Baru sehari kena tinggal Alya dah tak lalu makan. Kalau sebulan? Ayah risau tinggal tulang je nanti. Alya kena tahu yang Alya menyusu Zahra... Kena makan juga... Barulah bertenaga."

"Ayah tak suka Alya takde semangat macam ni," pujuk Haji Daud yang kasihkan anaknya bagai menatap dulang yang penuh.

Terkelip-kelip mata Alya, pedih. Sarat menanggung sendiri. Jika boleh, ingin sahaja menangis semahunya. Namun, masalah rumah tangga tidak patut dibawa cerita kepada sesiapa termasuklah kedua-dua ibu bapa. "Khai sayang Alya ke ayah?"

"Sayang la," kata Haji Daud yakin.

"Macam mana kalau dia tak sayang."

"Cuba Alya ingat balik... apa yang jadi sebelum nikah. Berapa kali nyawa Khairul di hujung tanduk, semata-mata dia cuba untuk masuk dalam keluarga kita... Tangan dia patah, kena belasah dengan orang upahan bekas kekasih Alya. Dia kena sihir sampai sakit tenat. Dia kena racun makanan. Lagi satu, dia kena tampar dengan ayah setiap kali datang rumah kita."

"Jadi, sayang la?" Alya mengangkat wajahnya yang comot.

"Sayang. Takkan lah tak sayang isteri dan anak sendiri."

"Em, ya..." Bibir pucat itu pun mengukir senyuman nipis. Jiwa isterinya tergugat, banyak persoalan menimpa.

Apakah kurangnya dia sebagai isteri hingga Khairul mahu bermain perempuan lain?

Esakan tangisan bayi memecah hening. Sayup-sayup rintihannya, irama indah di setiap pagi, halwa telinga Alya dan Khairul Iddin . Tertangkap perhatian isi ruang makan itu. Haji Daud dan Hajah Norma memandang Alya.

"Zahra dah bangun. Alya pergi tengok dia sekejap..." pamit isteri Khairul.

Gadis itu berlari anak dalam kain batiknya. Dia menarik nafas dalam. Dipujuk hati, dikawal fikiran agar tidak lemas dalam sangkaan buruk.

Sebaik sahaja kaki menjejak ke dalam bilik, wajah bersih seorang bayi perempuan disapa mata. Tangan kecil bersarung kain asyik menenyeh muka, mulut delima itu lantang memberi tangis. Sesekali kedengaran seperti sedang kesakitan walhal Fatimah Zahra hanya tersedar dari lena dan mahukan orang di sisi.

Kebiasaan, Khairul lah orang pertama yang akan membawa Zahra ke dalam dakapan. Khairul amat gemar mencium bau bayinya yang tidak mandi itu. Katanya bau itu 'comel'.

"Bangun dah dia," kata Alya. Merangkak ke tengah katil perlahan-lahan.

Fatimah Azzahra menggapai tangannya ke udara. Suara Alya amat dikenali. Semestinya susu yang dicari. Esakan tangisan itu mencuit hati sang ibu. Sesaat sahaja bayi itu diam menyepi setelah bibir bertemu kantung susu.

Saki baki esakan terkadang kedengaran.

Rambut nipis Zahra disisir dengan jemari sedang mata almond bayinya terpejam rapat. Rakus mengisi perut yang kelaparan.

Sembilan bulan.

Usia puteri kesayangan Khairul Iddin. Diam-diam anak mereka berdua semakin bertambah sihat. Responnya pada segala macam deria agak memberangsangkan. Ada gelak yang akan kedengaran, mudah terhibur jika diusik, mudah juga membuat rajuk jika tidak diberi apa yang dimahukan.

Air susu jernih mengalir melalui hujung vermilion ke ceruk leher. Fatimah Azzahra tidak menelan seperti di awal tadi. Dia menjuihkan bibir.

"Kenapa ni sayang? Minumlah susu.. Nanti kita pergi mandi," Alya tersedar akan kelakukan bayinya. Kain napkin berhampiran digunakan bagi mengelap limpahan susu dari mulut Fatimah Azzahra.

Apabila disuakan susu, Zahra tidak mahu menelan. Tangisan diiringi tanpa sebab. Ada sesuatu yang cuba diminta. Hanya kerana bahasa bayinya terhad, dia tidak dapat menzahirkan apa yang terpendam.

Teriakan bayi istimewa itu dipujuk Alya. Dari duduk hinggalah berdiri di jendela yang menghadap halaman rumah. Belakang bayinya diusap lembut.

Apa sahaja yang Zahra mahukan. Selain sentuhan papanya di kala mata tercelik. Alya tahu itu. Alya tahu juga dia tidak mampu menunaikan kehendak Zahra kerana Khairul sedang menyendiri entah di mana.

"Papa takde hari ni..." ujar Alya separuh berbisik sebelum mencium pipi gebu Fatimah Azzahra.

Kemerahan yang tersulam di pipi gebu itu tiada. Warna lain tersemi. Warna sedikit kebiruan.

Lama kelamaan tiada tangis dan Alya pun berhenti mendodoi. Diintai wajah anaknya yang baru sahaja dibaringkan ke tengah katil.

Seluruh darah seakan-akan berhenti berjalan. Jantung hilang ritma degupan.

Hujung jemari yang sejuk cuba menyentuh dada Fatimah Azzahra. Tiada alunan.

"A- Abang..." Terketar-ketar Alya pada detik itu. Yang difikirkan ialah Khairul. Dia perlukan Khairul, Khairul perlu bawa Fatimah Azzahra ke hospital kerana sesungguhnya segala kudrat seorang ibu itu hilang melihat tubuh anaknya tiada nafas.

Ya Allah.

Alya buntu. Bertarung dengan masa adalah perkara yang dibenci. Bagaimana dia ingin menyelamatkan anak sendiri andai tiada daya lagi.

"Zahra," panggil suatu suara garau.

Alya terkedu.

Tubuh bayinya digoncang Khairul beberapa kali. Tidak sedar, air mata Alya menitis lebat. Pintu bilik yang terbuka luas menjemput Haji Daud dan Hajah Norma menyaksikan detik itu.

"Ayah, pergi ambil defibrillator cepat," arah Khairul Iddin. Detik cemas yang tidak diduga sesaat selepas dia tiba di hadapan pintu rumah Haji Daud. Kelibat Alya ditepi katil berlinangkan air mata terpaksa diabaikan seketika.

Baju tidur merah jambu Fatimah Azzahra ditanggalkan lalu dicampakkan ke tepi. Khairul mendongakkan kepala puterinya sedikit melangit. Mata helangnya mencerlung ke dada si kecil. Diharapkan terdapat apa-apa alunan. Sisi wajah mendekat ke kawasan pernafasan, lehernya peka untuk merasai sebarang hembusan nafas walaupun sekecil-kecil.

Tiada.

Lantas, Khairul menekup hidung dan bibir Fatimah Azzahra dengan bukaan mulutnya bagi memberikan hembusan nafas. Di setiap hembusan diberikan, hati lelaki itu tidak henti melafazkan nama Ilahi. Lima kali alunan nafas lembut tersalur, lima kali dada Fatimah Azzahra beralun ke atas.

Nadi di bahagian femoral dirasai pula. 15 saat berlalu, 20 denyutan dapat dirasai. Genaplah angka 80 denyutan per minit.

Maka Khairul mengulangi perbuatan yang sama. Dia memberikan bantuan pernafasan tanpa perlu menekan dada. Selang satu saat, mulutnya akan menghembus amaun udara yang sama yang memadai untuk anak kecil seperti Fatimah Azzahra.

"Khairul, defibrillator..." Haji Daud tiba membawa suatu alat berwayar.

Alya mengambil alat itu dan meletakkan di sisi kalau-kalau Khairul mahu menggunakannya. "Abang nak?"

"Tak payah," bilang Khairul di saat memeriksa nadi buat kali kedua.

Batukan si kecil bertemankan tangis nyaring menghadirkan seribu kelegaan pada hati Khairul Iddin. Air matanya jatuh sekali. Dia terduduk di birai katil dengan mata yang berkaca-kaca. Renik peluh dingin pada pelipis terlihat.

***
Bersambung
***

kenapa epilog panjang ni



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro