59 Aqidah
"Alya nak tidur dekat hospital ke?" sapaan mesra bonda Khairul mematikan lamunan gadis itu. Dia memalingkan tubuh ke arah pintu masuk. Senyuman lemahnya terbit sebelum kepala mengangguk.
"Baliklah tidur dekat rumah. Nanti badan masuk angin," Datin Farina berkata. Beradu di kamar ini tiada yang menyelesakan. Sekadar berlabuh di sofa berdekatan, pendingin hawa pun boleh tahan kuat hembusannya. Malam makin lewat, gadis kecil itu masih setia menanti di sisi tubuh Khairul Iddin.
Alya mengalihkan pandangan ke katil kembali. "Tak apa, mama. Alya nak teman Khairul."
"Jangan dimanjakan sangat budak ni. Dah besar panjang pun takkanlah tidur nak berteman." Datin Farina tersenyum nipis. Sudah bercadang mahu menemani Khairul malam ini. Dia kasihankan Alya yang risau tidak berkesudahan, apatah lagi mereka baru sahaja diijabkabulkan siang tadi.
Alya menggeleng perlahan, menyatakan bahawa dia baik-baik sahaja. "Khairul memang manja kan, mama?"
"Ya. Dia nakal... tapi manja. Apatah lagi dengan arwah mak teh. Sampai sekarang pun mama tak boleh nak ganti tempat mak teh." Datin Farina melangkah setapak demi setapak hingga tiba ke penjuru katil. Tas tangan didaratkan berdekatan lunjuran kaki Khairul yang diselimuti kain putih.
"Siapa mak teh?" Gelaran mak teh yang tidak pernah diketahui milik siapa. Alya jadi panasaran. Banyak kisah Khairul yang tidak diketahui.
"Pengasuh Khairul sejak bayi. Mama dan papa sibuk bekerja, jadi kami tak ada masa dengan Khai waktu dulu... Khai banyak habiskan masa dengan mak teh. Khai sangat sayangkan mak teh. Tapi, Allah lebih sayangkan mak teh. Waktu usia Khairul lebih kurang 20 tahun, mak teh meninggal dunia sebab sakit."
" Khairul mesti sedih sangat waktu tu." Sekeras-keras Khairul, ada kisah silamnya yang mencengkam jiwa. Yang membuatkan air mata berlinangan bermukim lamanya. Alya turut memendam pilu.
"Bukan setakat sedih, tapi murung. Dia tak mahu makan apa-apa. Banyak bersendirian hingga hampir buat percubaan bunuh diri. Khairul ambil masa yang lama untuk pulih..." Datin Farina menarik nafas dalam. Jeda dalam percakapan, lirikan mata menatap wajah Khairul yang terulik lena di kala sejuk bayu malam memenuhi atmosfera hospital.
"Mama tahu Khai banyak susahkan semua orang. Tapi sekarang dia sedang berubah. Bila dah berubah, banyak pula ujian datang. Ini bukan kali pertama dia terlantar atas katil hospital. Mama tahu juga Khai penat. Khai nak rehat dan cipta kebahagiaan sendiri. Mama cuba atur majlis pernikahan Alya dan Khairul sebaik mungkin tapi macam ni jadinya..."
"Untung Khai ada ibu macam mama... Mama janganlah risau. Mama dah buat yang terbaik," balas Alya. Mustahil dia dapat mengganti tempat Datin Farina, mahupun mak teh dalam carta hati Khairul. Terasa diri itu kerdil.
"Untung juga Khai dapat isteri macam Alya."
"Perempuan macam Alya ni banyak sahaja dekat luar sana..." Alya menafikan dengan gelengan. Setakat gadis hingusan seperti dia, banyak sahaja tandingan. Bahkan ada yang jauh lebih cantik seperti artis-artis televisyen. Siapalah dia, sekadar anak imam kampung yang menjawat jawatan jururawat.
"Tapi dekat luar sana tiada yang nak terima Khairul seadanya macam apa yang Alya buat. Itu yang mama takut bila Khai kata dia nak kahwin. Mama takut kalau calon isteri Khairul akan jauhkan diri bila tahu kekurangan pada anak mama. Mama tak tahu, siapa yang mampu terima Khairul seadanya macam mama menerima dia." Anak yang seorang ini bagaikan permata, satu-satunya cahaya mata. Jahat dan baik anak sendiri segalanya telah dilihat. Betapa bimbang pada siapa Khairul mahu serahkan hati.
"Tak ada siapa yang sempurna... Untuk perempuan macam Alya, bersuamikan Khairul la yang terbaik."
"Lega hati mama nak lepaskan Khairul pergi."
"Khairul tak pergi mana pun... Tetap anak mama. Anak lelaki masih punya tanggungjawab pada kedua orang tua walaupun dah bernikah."
"Mama..." bisikan suara serak Khairul menarik perhatian kedua-dua mereka.
Datin Farina mendekatkan diri kepada anaknya. Dia sedikit menundukkan kepala, agar daun telinganya di sebalik selendang dapat menangkap perkataan Khairul. "Kenapa sayang?" soal Datin Farina sambil mengelus bahu pemuda yang terlantar itu.
Alya cuba menangkap gerak bibir sang suami, ada sesuatu sedang disampaikan. Wajah Khairul yang berpaling ke Datin Farina di sisi katil diamati. Kedua mata putih masih merah dan berair, ruam di kulit pula kekal di situ. Dua ulas bibir merah bak delima, kerana pembuluh darah yang naik ke permukaan.
Lengan naik memeluk tubuh. Rasa sejuk menyapa. Gadis itu sedikit gembira melihat progres sembuh sang suami , tidak seteruk siang tadi.
"Khai kata dia nak rehat sendiri tanpa sesiapa teman. Dia suruh Alya balik," bilang Datin Farina yang berdiri tegak menghadapnya.
10 malam.
Langsung raut Alya berubah. Hatinya pedih dihalau pergi.
"Balik?" Dibalas pula dengan soalan.
"Ya," kata bonda Khairul.
"Oh..." perlahan akurnya. Niat di hati termansuh pada permintaan suami. Ekor mata mengintai keberadaan Khairul sekali lagi. Nyata lelaki itu telah pun beransur tuk beradu. Mata terkatup, badan dalam kelubung selimut. Bahkan lagi menyakitkan, tubuh Khairul mengiring ke arah yang bertentangan. Yang terlihat hanyalah belakang tubuh.
"Jom balik." Datin Farina menyambar tas tangan.
Berat kaki mahu melangkah, namun lagi pedih hati dihalau pergi. Sekecil-kecil penolakan hampir sahaja menggugurkan air mata di gadis. Serapuh ini hati bila telah meletakkan insan tersayang di lubuk terdalam.
***
Syirik.
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebut, Syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. (al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid, m/s 24)
Dosa yang paling besar. Menyekutukan Allah.
Solat akan terbatal bila mana terbatal wuduk. Begitu juga dengan keimanan. Ada perkara yang akan membatalkannya yakni kufur.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
(QS al-Nisa’: 48)
Walau buruk permulaan, tidak berasal dari keluarga sempurna pengabdian kepada Islam. Namun, biarlah satu ini dijaga yakni aqidah. Kerana bila sudah tiada iman, tiada juga peluang untuk ke syurga.
Peristiwa yang menyentak jiwa. Haji Daud banyak berdiam diri sejak melihat Azzam dilanggar benar-benar di hadapan mata. Perkhabaran ini tidak sampai kepada sesiapa kerana dirahsiakan, tak mahu tular dan menjadi bualan orang. Jenazah Azzam ada di hospital, menunggu keluarga si mati datang menuntut.
Di hospital yang berbeza, Khairul sedang berehat. Mata tuanya memerhati tingkah jururawat mengambil darah daripada salur vena di lengan kiri Khairul Iddin. Kemudian disusuli pula dengan catatan rekod tekanan darah.
"Dah sudah, pak cik," bilang jururawat wanita.
"Okay tekanan darahnya?"
"Masih kurang. Tapi mungkin petang nanti akan kembali kepada normal. Jangan risau, Khairul dah nak pulih." Kalam terima kasih mengakhiri perbualan pendek. Yang hendak dilihat ialah keadaan terkini Khairul Iddin. Haji Daud merapati katil setelah sang jururawat mengangkat kaki.
Kehadiran Haji Daud menjemput senyuman di wajah pucatnya.
"Khai, apa khabar?" soal Haji Daud. kerusi empuk berhampiran menjadi tempat berlabuh. Menemukan tulang belakang dengan bahu kerusi.
"Alhamdulillah..."
"Rasa sakit lagi?"
Nafas dalam ditarik. Dia yang bersandar beralaskan bantal di belakang badan memalingkan wajah pada bapa mertuanya. "Tak sangat. Cuma tak larat. Rasa nak tidur... Tapi asyik tidur je dari semalam macam orang sakit kronik."
"Rehat cukup-cukup. Insya Allah, tak lama lagi boleh keluar."
"Ya... Kasihan Alya dan Zahra kena tinggal. Alya sihat?"
"Ada tu dekat rumah. Monyok je muka."
"Sebab kena suruh balik semalam la tu," gumam Khairul perlahan. Menekur kain cadar yang telah dialihkan daripada menutupi kati. Mata menikam ke bawah, jauh lamunan terbawa.
Bau masakan panas bermenukan ayam berempah naik ke atmosfera. Satu dulang hidangan tengah hari dibawa seorang pekerja dapur ke dalam wad kelas pertama yang menempatkan anak Dato Muhsin. Untung duduk berasingan. Namun sedikit kesunyian tanpa melihat manusia lain berlegar ke sana ke mari. Mujurlah ahli keluarga tak putus berkunjung bagi memastikan Khairul baik-baik sahaja.
"Nak makan?" Haji Daud menyoal setelah dulang di daratkan ke atas permukaan meja kayu.
"Takpa, pak cik. Saya nak makan masakan Alya. Sekejap lagi mesti dah boleh discharge," kata Khairul yakin. Sejak berkahwin, terasa berenggang dengan pasangan itu satu penyeksaan batin. Luaran sahaja berlagak tenang, hatinya pula tidak keruan.
"Aku ada satu khabar berita buruk." Ayat Haji Daud menarik sepenuh perhatian Khairul.
Dipandang orang tua itu. Menanti khabaran melantun daripada ulas bibir.
"Azzam meninggal dunia semalam. Dia kena langgar dengan kereta."
Khabaran kematian yang tidak dijangka. Walhal baru semalam mereka beradu tenaga. "Innalillahi wa inna ilaihi rajiun..."
Menyentak jiwa mereka yang hidup, bahawa kematian itu benar.
"Aku tak tahu kau perasan tak dia ada datang ke majlis semalam," sambung Haji Daud.
"Saya sedar dia datang." Cukup sampai di situ sahaja. Tanpa mengungkit perbuatan jahat Azzam padanya. Yang memukul kepala dengan libasan kayu, lalu memberi makan makanan yang hampir membunuhnya. Khairul tidak berasa hendak meluahkan segala. Itu akan menjadi urusan antara dia dan Azzam sahaja.
Dia mula memaafkan segala perbuatan hasad Azzam. Tiada pun guna untuk memendam kerana jasad itu sudah tiada di atas muka bumi. Masih terkejut atas berita tersebut.
"Dia dah bertemu ajal. Kita yang masih hidup ni bila pula..." Khairul Iddin tersenyum sumbing.
"Kita pun tak lama lagi akan menyusul. Harta, pangkat dan anak bini semuanya cuma pinjaman. Jagalah baik-baik dengan jalan yang diredhai. Lepas kau keluar dari hospital ni... Kau akan sambung galas amanah sebagai suami dan ayah. Aku tak harap banyak, cuma..."
" Cuma apa?" Pemuda berwajah pucat itu mengangkat sebelah kening.
" Cuma datanglah selalu belajar ilmu fardhu ain dengan aku di surau kampung. Aku nak anak lelaki aku selalu ada dengan aku walaupun nanti dia sibuk kerja. "
Kedengaran ikhlas di gegendang telinga. Jatuh menusuk ke dalam hati, mata yang memandang pun jadi berkaca. Khairul Iddin tersenyum nipis. "Saya akan selalu datang, ayah. Insya Allah..."
Hanya dengan ilmu, seseorang itu akan terpelihara akidahnya. Itulah yang Haji Daud risaukan. Kematian Azzam menceritakan pengakhiran hidup seorang lelaki yang mensyirikkan Allah. Tak mahu anak menantunya jatuh ke dalam lembah kekufuran. Aqidah yang ada ini mahu digenggam teguh hingga ke hembusan nafas terakhir.
***
votexkomen
***
Lepas ni bab sweet2 je la kan.. :)!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro